“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Rabu, April 08, 2009

Taklik poligami - Pilihan bukan kemestian




PENAMBAHAN syarat tidak membenarkan suami berpoligami di dalam lafaz taklik boleh dijadikan pilihan jika kedua-dua belah pihak iaitu lelaki dan wanita yang ingin berkahwin bersetuju mengenainya. Begitupun, langkah tersebut perlulah melalui prosedur yang betul iaitu dengan mendapatkan nasihat serta pandangan daripada pihak kadi atau mahkamah syariah bagi memastikan segala syarat itu masih dalam lingkungan hukum syarak.

Ketua Wanita Jemaah Islah Malaysia (JIM), Dr Harlina Halizah Siraj berkata, sebagai kontrak perkahwinan para ulama turut sepakat membenarkan isteri boleh meletak apa juga syarat yang telah dipersetujui antara kedua pihak termasuk tidak boleh berpoligami.

“Perkara ini bukan tidak pernah berlaku. Malah mengikut riwayat cucu Rasulullah SAW sendiri iaitu anak kepada Saidina Hassan, Sakinah, pernah meletakkan syarat tidak mahu dipoligami di dalam takliknya,” ujarnya.

Bagaimanapun, Harlina berpendapat, penambahan syarat seumpama itu agak ‘berbahaya’ kerana tiada siapa yang mampu meramalkan apa yang akan berlaku pada perkahwinan tersebut pada masa akan datang. Justeru katanya, wanita JIM mencadangkan penambahan syarat hanya boleh dijadikan pilihan, bukan sebagai lafaz tetap dalam taklik sebagaimana yang dicadangkan oleh 12 pertubuhan wanita yang bersatu di bawah Gabungan Hak Wanita Dalam Islam.

Cadangan yang dibuat sempena pelancaran kempen monogami atau Satu Suami Satu Isteri baru-baru ini, menyebut bahawa lafaz taklik di mana si isteri menetapkan syarat tidak mahu berpoligami dan akan gugur talak sekiranya si suami berbuat demikian dimasukan dalam surat nikah sebagaimana surat perakuan taklik yang sedia ada.

Harlina berkata, bantahan terhadap cadangan itu berlandaskan kepada alasan bahawa lafaz tersebut seolah-olah ingin mengharamkan sesuatu yang halal (poligami). Menurutnya, syarat tersebut tidak boleh disamakan dengan lafaz taklik sedia ada antara lain menyebut jika suami meninggalkan isteri tanpa nafkah zahir dan batin dalam tempoh empat bulan berturut-turut maka isteri boleh membuat aduan di mahkamah syariah untuk membubarkan perkahwinan - yang jelas bertujuan membela wanita daripada kes gantung tidak bertali.

“Tiada sesiapa yang dapat menentukan masa depan perkahwinan, kerana suatu hari suami mungkin mempunyai alasan kukuh untuk berpoligami, seperti isteri sakit dan tidak dapat melahirkan anak. Melalui poligami si suami berpeluang mendapatkan cahaya mata dan masih dapat hidup bersama dengan isteri pertama yang masih disayangi,” ujarnya.

Sebaliknya, kata Harlina lagi, jika pasangan telah bersetuju dengan lafaz taklik seperti yang disarankan dalam kempen tersebut, tentulah perceraian akan berlaku secara automatik sekalipun kedua suami isteri itu tidak mahu berpisah.

Selain itu menurutnya, wanita JIM khuatir dan bimbang kempen tersebut akan lebih menimbulkan kekeliruan dan pandangan negatif masyarakat, bukan saja di kalangan orang bukan Islam bahkan orang Islam sendiri, terhadap hukum Allah yang telah ditetapkan untuk kesejahteraan hidup manusia. Wanita JIM berpendapat seeloknya kempen tersebut dihentikan kerana ia bukan penyelesaian terbaik dalam menangani dan memperbaiki keadaan serta status pengamalan poligami.

“Memang tidak dapat dinafikan masih banyak kesilapan serta masalah berkaitan poligami ekoran tindakan suami yang tidak mengikuti prosedur sehingga menyebabkan isteri dan anak-anak menderita,” ujarnya di pejabat JIM, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, tidak perlulah sehingga dibuat kempen monogami kerana suami yang berkahwin lebih daripada satu isteri tidak ramai. Malah menurutnya, monogami sudah menjadi norma perkahwinan dan pilihan popular masyarakat setakat ini.

Beliau memberi contoh statistik Pejabat Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menunjukkan hanya 32 kes pernikahan poligami atau 0.01% didaftarkan daripada 3,122 pernikahan sepanjang 2001. Walaupun kemungkinan terdapat perkahwinan poligami tidak didaftarkan, beliau percaya peratusannya tidak akan mencapai kepada satu angka yang besar.

Harlina berpendapat, adalah lebih berfaedah jika tumpuan diberikan kepada usaha mempertingkatkan pendidikan mengenai konsep keadilan sebagai teras ajaran Islam dan mengadakan kursus mengenai idealisme pelaksanaan poligami sebagaimana yang diamalkan Rasulullah.

“Kita berharap pertubuhan yang menyertai gabungan itu akan menumpukan isu wanita Islam yang jauh lebih memerlukan banyak perubahan dan motivasi seperti peningkatan kadar perceraian dan pengabaian tanggungjawab,” ujarnya.

Sebagai langkah permulaan menurutnya, pihak berkenaan harus menggunakan pendekatan yang lebih berhikmah daripada mengetengahkan dan memperbesarkan isu sensitif, walaupun pihaknya sentiasa menyokong agar pihak mahkamah mendapatkan pandangan isteri sedia ada sebelum poligami.

Dalam pada itu Harlina juga berkata, sesuatu juga perlu dilakukan bagi mendidik golongan muda lelaki dan wanita, bahawa mereka masih mempunyai hak untuk meletak apa juga syarat yang mereka mahukan di dalam lafaz taklik - termasuk syarat berpoligami - asalkan ia tidak melanggar hukum syarak.

“Masalahnya, masyarakat di negara tidak mengetahui wujudnya pilihan tersebut dan tidak pernah untuk cuba meminta selain daripada menggunakan lafaz taklik yang telah disediakan oleh Jabatan Agama Islam, yang diakui cukup penting bagi melindungi wanita,” ujarnya.

Namun, beliau menasihatkan agar pilihan tersebut tidak digunakan untuk meletakkan syarat yang 'bukan-bukan' dan harus dirujuk kepada pihak kadi serta mahkamah syariah.

Jangan jadikan perkahwinan sesuatu yang begitu teknikal dengan meletakkan bermacam-macam bentuk syarat. Sebuah perkahwinan merupakan cantuman dua hati yang berlandaskan tolak ansur dan hormat-menghormati.

Petikan : Utusan 26/03/2003

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails