Salam,
Update artikel tidak sempat dimuatkan dalam entry Dilema Isteri Bekerja dan Keputusan Majlis Fiqh Sedunia. Dipetik daripada Ustaz Zaharuddin.
Islam membenarkan isteri bekerja tetapi semua kebenaran tadi adalah diikat dengan syarat-syaratnya. Keharusan ini termasuk dalam umum ayat Allah SWT iaitu:-
Ertinya : "Bagi lelaki bahagian yang ia usahakan dan bagi wanita bahagian yang ia usahakan." (Surah An-Nisaa', ayat 32)
Rasulullah SAW pula telah menyebutkan bahawa :-
Ertinya : "Tiada seorang pun yang makan lebih baik dari orang yang makan hasil dari tangannya sendiri." (Riwayat, Al-Bukhari, no 1966, Fath Al-bari, 4/306)
Disebut juga dalam sebuah hadith dhoif :
Ertinya : "Sesiapa yang tidur dengan keletihan dari kerja tangannya sendiri, ia tidur dalam keadaan diampunkan oleh Allah SWT." (Hadis riwayat Ibn 'Asakir & At-Tabrani ; Al-Haithami dalam Majma Az-Zawaid : Ramai perawinya tidak aku kenali)
Justeru, bekerja dan mencari nafqah adalah wajib bagi lelaki yang tiada sebarang keuzuran tubuh dan aqal bagi menanggung isteri dan keluarganya manakala wanita pada asasnya, hukum Islam meletakkannya untuk berperanan di rumah dan keluarga bagaimanapun wanita tidak dilarang bekerja di luar rumah jika terdapat keperluan serta mampu menepati syarat-syarat yang ditetapkan Islam.
Isu ini tidak dibincangkan meluas di zaman Nabi atau sahabat kerana terlalu kurang keperluan untuk itu pada zaman tersebut. (Nizam Al-Usrah, Dr Uqlah Al-Ibrahim, 2/280)
Sejarah Wanita Bekerja di Zaman Nabi
Kebanyakan wanita di zaman Nabi dahulu tidak bekerja di luar rumah dan hanya bekerja di sekitar rumahnya sahaja. Cuma sebahagian wanita Islam adakalanya bertugas di luar rumah sekali sekala berdasarkan keperluan.
Ummu Atiyah sebagai contoh yang bertugas menguruskan jenazah wanita Islam di Madinah, merawati lelaki yang cedera di medan peperangan di samping itu menyediakan makanan buat pejuang-pejuang Islam.
Termasuk juga adalah Rufaydah Al-Aslamiyyah, yang merupakan doktor wanita Islam pertama yang mana Rasulullah SAW menyediakan sebuah khemah khas di masjid Nabi untuk tujuan rawatan bagi pejuang Islam yang cedera ketika peperangan 'Khandaq'.
Demikian juga Ar-Rabaiyyi' bint Mu'awwiz and Ummu Sulaim yang bertugas di luar rumah untuk memberi minuman dan makanan kepada pejuang. Ash-Shifa' binti 'Abdullah pula pernah bertugas sebagai guru yang mengajar wanita-wanita islam membaca dan menulis di ketika baginda nabi Muhammad SAW masih hidup.
Ummu Mihjan pula bertugas sebagai pembantu membersihkan masjid nabi sehingga ketika ia meninggal dunia, Nabi tercari-carinya dan diberitahu kemudiannya, ia telah meninggal dunia. Sebagai penghormatan, baginda Rasulullah SAW pergi ke kuburannya lalu menunaikan solat jenazah buatnya.
Selain itu, Khalifah 'Umar ibn Al-Khattab juga pernah melantik wanita bernama Ash-Shifa' untuk menjalankan tugas al-hisbah atau 'Shariah auditor' di pasar di ketika itu bagi memastikan ia dijalankan menepati Shariah.
Semua ini menunjukkan keharusannya, cuma semua keharusan tadi diikat dengan syarat tertentu sebagaimana yang disebut oleh Prof. Dr Md Uqlah Al-Ibrahim antaranya (Nizam Al-Usrah, 2/282 ; Al-Mar'ah Bayna Al-bayt Wal Mujtama', hlm 18) :-
1) Terdapat keperluan : menyebabkan ia terpaksa keluar dari tanggungjawab asalnya (iaitu peranan utama kepada rumahtangga) seperti :-
- Kematian suami dan memerlukan belanja kehidupan.
- Memberikan bantuan kepada dua ibu bapa yang sangat miskin atau suami yang uzur tubuhnya.
- Membantu bisnes suami yang memerlukan banyak tenaga dan kos.
- Mempunyai keistemewaan yang hebat sehinggakan kemahiran ini sangat diperlukan oleh masyarakat umumnya.
3) Mestilah keluarnya untuk bekerja dengan menutup aurat dan sentiasa menjauhi fitnah di tempat kerja.
4) Mestilah kerjanya tidak memerlukannya berdua-duanya dan bercampur baur dengan lelaki.
Sebagaimana antara dalil yang menunjukkan keperluan untuk tidak bercampur dan berasak-asak dengan kumpulan lelaki sewaktu bekerja adalah firman Allah SWT :-
Ertinya : "Dan tatkala ia (Musa a.s.) sampai di sumber air negeri Mad-yan ia menjumpai di sana sekumpulan orang (lelaki) yang sedang meminumkan (ternakannya), dan ia mendapati di belakang lelaki-lelaki itu, ada dua orang wanita yang sedang memegang (ternakannya dengan terasing dari lelaki). Musa berkata: "Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?" Kedua wanita itu menjawab: "Kami tidak dapat meminumkan (ternakan kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternakannya), sedang bapak kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya." (Surah Al-Qashash [028], ayat 23)
Maka Musa memberi minum ternak itu untuk (menolong) keduanya, kemudian dia kembali ke tempat yang teduh lalu berdoa: "Ya Tuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku." (Surah Al-Qashash [028], ayat 24)
5) Mendapat izin wali atau suami.
6) Mestilah kerjayanya tidak menyebabkan terganggu dan terhentinya tanggungjawab di rumah terhadap anak serta suami. (Nazarat Fi Kitab As-Sufur, hlm 84)
7) Tujuan dan niat utama bekerja bukanlah kerana keasyikkan dan keghairahan kepada mengumpul harta dan niat semata-mata menyaingi lelaki.
8) Mestilah berhenti sekiranya terdapat keperluan dan kecacatan dalam pendidikan anak-anak.
9) Digalakkan ianya dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja dan bukan selama-lamanya sehingga pencen. Sepatutnya berhenti sejurus suami mempunyai kemampuan menanggung seluruh keluarga dengan baik. Kecuali jika mempunyai kualiti yang amat diperlukan oleh masyarakat umum.
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...