Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my
KEASYIKAN melayari internet boleh mengundang pelbagai masalah.
KETAGIH seks siber dikenal pasti menjadi punca terbaru keretakan rumah tangga yang turut menyumbang kepada peningkatan jumlah perceraian di kalangan pasangan muda hari ini. Tiada bezanya dengan ketagihan judi dan dadah, ketagih seks siber turut menjejaskan keharmonian rumahtangga, bermula dengan renggang hubungan dan lalai dengan tanggungjawab kepada pasangan tidak kira suami, isteri mahupun anak-anak.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SJKM), 44% daripada 2.5 juta pengguna internet adalah golongan sudah berkahwin yang gemar melayari 25 laman web popular yang mengandungi bahan seks dan porno. Tabiat buruk itu dilakukan sama ada menggunakan komputer riba mahupun telefon bimbit, tidak kira di pejabat mahupun di rumah.
Pensyarah Kaunseling Keluarga, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Saedah A Ghani, berkata semakin ramai pasangan yang datang mengadu ingin bercerai kerana tidak tahan dengan sikap pasangan masing-masing yang terbabit dengan seks siber.
“Kebanyakan yang terbabit adalah si suami berbanding isteri. Selepas ditanya, kebanyakan mereka mendakwa sunyi dan sukar meluahkan keinginan kepada isteri. Berbanding isteri, mereka rasa lebih puas melayan komputer kerana alat itu tidak akan memberikan reaksi negatif atau merendahkan diri mereka. Kebanyakan yang terbabit dengan gejala ini juga berpunca daripada kurang sokongan keluarga. Mereka merasakan seolah-olah lebih difahami apabila bersama rakan di dalam internet,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Kaunseling Perkahwinan dan Seksualiti 2009 di USIM yang dianjurkan Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM dan Institut Sosial Malaysia (ISM).
Dr Saedah berkata, ada pelbagai faktor yang mendorong mereka ke arah ketagihan seks siber iaitu bermula dengan berkenalan di ruang perbualan seperti Friendster, e-mel sehinggalah bertukar-tukar bahan lucah atau lebih teruk sanggup melakukan hubungan seks secara siber.
“Asyik dengan komputer, ada sesetengahnya sanggup berminggu tidak balik ke rumah kerana lebih sanggup menghadap komputer di pejabat. Sesetengahnya terus mencari komputer apabila sebaik melangkah masuk ke rumah. Tanpa disedari, lama-kelamaan hubungan suami isteri menjadi renggang dan dingin. Dajal komputer bukan saja menyebabkan ketagihan seks siber tetapi ada juga yang ketagih dengan permainan di internet sehingga tanpa disedari hidup terasing daripada masyarakat sekeliling,” katanya.
Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Menangani Isu-Isu Perkahwinan dan Seksualiti Melalui Kaunseling Perkahwinan’, mengakui dari sudut psikologi, mereka yang ketagih seks siber berkemungkinan dibelenggu rasa rendah diri yang lazimnya akibat tidak berupaya dari segi seksual.
“Mereka yang tidak pandai berkomunikasi mahupun meluahkan perasaan terhadap pasangan serta lemah dalam hubungan seksual lazimnya cenderung terjerumus kepada ketagihan seks siber. Ini diburukkan lagi dengan sikap pasangan yang tidak pandai menyuburkan hubungan mesra. Berbeza ketika bercinta, selepas berkahwin, aktiviti terhad kepada makan, minum dan seks semata-mata. Akhirnya hubungan semakin membosankan dan mudah terdedah kepada konflik biarpun hanya disebabkan perkara kecil,” katanya.
Katanya, perhubungan seksual yang sihat memerlukan komunikasi perhubungan fizikal secara lisan mahupun bukan lisan. Pasangan perlu mengetahui dan berkongsi keperluan seksual masing-masing secara terbuka dan berusaha untuk memuaskan keperluan pasangan.
“Ketidakpuasan hubungan seksual boleh menyebabkan pasangan tidak bahagia dan mengundang kepada pelbagai masalah lain seperti tidak bersefahaman, kecurangan dan poligami. Setiap pasangan yang berkahwin perlu mengambil langkah pencegahan dan rawatan jika berdepan masalah seksualiti,” katanya.
Pensyarah Kaunseling USIM, Zaliridzal Zakaria dan Tenaga Pengajar Kaunseling USIM, Dini Farhana Baharuddin, turut berkongsi kertas kerja berjudul ‘Ketagihan Seks Siber Remaja dan Dewasa’ sempena bengkel berkenaan.
Zaliridzal berkata, kebanyakan orang melayari internet sekurang-kurangnya dua jam sehari dengan kira-kira 53.8% melayarinya di rumah, manakala 24.4% lagi di rumah menggunakan komputer mahupun telefon bimbit.
“Kebanyakan memberikan alasan mudah dicapai dan tidak ada undang-undang yang boleh menyekat. Daripada 25 laman web paling popular, hanya dua saja yang terikat pada undang-undang. Berdasarkan kajian Dr Rozmi Ismail pada 2001, 30% memberikan alasan untuk hiburan dan 20% sekadar hobi, manakala selebihnya pula bagi remaja untuk menghilangkan tekanan belajar dan dipelawa rakan,” katanya.
Katanya, ketagihan seks bermula daripada fantasi, menjadi tabiat diikut dengan bertindak memuaskan nafsu sendiri mahupun mencari mangsa untuk melakukannya. Kitaran ini berterusan dan sukar dihentikan walaupun mereka yang terbabit merasa malu dan jahat kerana melakukannya.
“Kesan ketagihan mendorong mereka yang terbabit beronani, kurang bermotivasi, mengalami hubungan yang renggang dengan pasangan serta mutu kerja yang merosot. Tidak mustahil juga ia boleh menyebabkan berlaku perceraian akibat kerap melayari laman web lucah. Kesan lebih teruk juga boleh melanda mereka yang ketagih seks siber seperti banyak menghabiskan masa dengan internet di mana saja mereka berada. Mereka lebih suka menyendiri kerana rasa bersalah pada diri sendiri, agama dan moral masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Dini Farhana berkata, mereka yang ketagih seks siber sering berasa rendah diri untuk menjalinkan hubungan dengan dunia luar. Mereka juga dikatakan tidak mempunyai kemahiran berkomunikasi di alam realiti dan sekiranya mempunyai isteri, ada jurang yang memisahkan antara mereka.
“Penagih seks siber sering merasakan mereka sama dengan orang lain yang melayari laman berkenaan dan tidak membuat sebarang kesalahan. Oleh itu, tiada sekatan untuk mereka terus melakukannya. Apabila tidak dapat melayari laman web itu, mereka mula resah dan murung. Personaliti mereka berbeza sebaik berdepan komputer atau laman web ini iaitu menjadi lebih berani. Ketagihan ini sama seperti orang yang ketagih alkohol dan dikenali sebagai online dishibition effect. Mereka merasakan tiada siapa kenal mereka dan bebas berekspresi di alam siber,” katanya.
Info:
Jenis ketagihan seks siber
# Ketagihan seks
# Ketagihan hubungan siber (hubungan secara dalam talian)
Jenis aktiviti penagih seks siber
# Mempamerkan diri sendiri.
# Membaca bahan lucah.
# Menatap gambar lucah.
# Berbual lucah bersama rakan sembang secara dalam talian.
# Bertukar gambar lucah (orang lain atau diri sendiri).
# Permainan berbentuk porno.
Punca
# Kurang iman.
# Mudah dicapai atau akses.
# Tiada undang-undang.
# Berasa selamat kerana identiti boleh dirahsiakan.
Sumber : BHarian 2009/04/17
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...