“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, April 07, 2009

Menyelamat nyawa ibu, anak

Kira-kira 500,000 wanita di seluruh dunia maut akibat komplikasi mengandung dan melahirkan anak setiap tahun, sementara anggaran 20 juta wanita menderita penyakit yang berkaitan dengan kehamilan selepas melahirkan anak.



ANAK adalah sebesar-besar anugerah dan kelahirannya sudah pasti membawa bersama seribu harapan kepada ibu bapa. Anak bukan sahaja penyambung zuriat tetapi juga kesinambungan bagi sebuah kehidupan!

Namun bagi beratus ribu keluarga yang tinggal dalam kedaifan dan kemiskinan di negara-negara miskin serta sedang membangun, impian indah itu hanya akan tinggal sebagai sebuah impian. Bagi mereka yang kehidupan bagaikan sesuram malam, kehamilan wanita lazimnya bukan sahaja dibelenggu kekecewaan dan air mata tetapi juga mengundang maut.

Hakikatnya, kematian ibu adalah satu daripada masalah global yang tidak diberi perhatian sewajarnya dan kemajuan untuk mengurangkan kadar kematian ibu (MMR) bergerak perlahan.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), kira-kira 500,000 wanita di seluruh dunia maut akibat komplikasi mengandung dan melahirkan anak setiap tahun, sementara anggaran 20 juta menderita penyakit yang berkaitan dengan kehamilan selepas melahirkan anak.

Hampir empat juta bayi yang baru dilahirkan meninggal dunia dalam tempoh 28 hari selepas kelahiran sementara berjuta-juta lagi menderita akibat kecacatan, penyakit, infeksi dan kecederaan.

Penemuan Unicef

Wanita di negara-negara dunia paling miskin dilaporkan 300 kali lebih berkemungkinan maut kerana komplikasi ketika mengandung, sementara bayi yang dilahirkan dalam serba-serbi kemiskinan hampir 14 kali berkemungkinan mati dalam tempoh sebulan selepas kelahiran berbanding jika dia dilahirkan di negara maju.

Perangkaan ini mungkin memeranjatkan tetapi inilah hakikat yang disaksikan di dalam hasil penemuan laporan tahunan Unicef bertajuk The State of the World's Children (Kedudukan Kanak-Kanak Global). Tema untuk edisi 2009 adalah Maternal and Newborn Health (Kesihatan Ibu dan Bayi yang Baru Dilahirkan).

KEADAAN di Malaysia jauh lebih baik daripada negara-negara ASEAN yang lain dalam risiko kematian ibu dan anak. - Gambar hiasan

Penemuan lain termasuk:

* Setiap satu minit, seorang wanita maut akibat komplikasi kehamilan dan melahirkan anak.

* 95 peratus kes kematian semasa melahirkan anak di dunia berlaku di Afrika dan Asia, terutama di sub-Sahara Afrika (50 peratus daripada keseluruhan kes global) dan Asia Selatan (35 peratus).

* Komplikasi kehamilan dan melahirkan anak adalah punca penting kematian anak perempuan berusia antara 5 hingga 19 tahun di seluruh dunia, dengan jumlah 70,000 kematian setahun.

* Bagi setiap bayi yang mati selepas dilahirkan, 20 yang lain menderita akibat kecederaan semasa dilahirkan, komplikasi akibat kelahiran tidak cukup bulan atau keadaan lain selepas dilahirkan.

Selamatkan nyawa

Laporan 2009 Unicef memberi fokus kepada kesihatan ibu dan bayi selepas dilahirkan serta mengenal pasti langkah dan tindakan yang perlu segera ditingkatkan demi menyelamatkan nyawa mereka.

Menurut laporan itu, daripada semua kematian ibu di peringkat global, dua pertiga berlaku di 10 negara iaitu India, Nigeria, Republik Demokratik Congo, Afghanistan, Ethiopia, Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan Republik Bersatu Tanzania.

Katanya, kebanyakan kematian ibu berpunca daripada komplikasi obstetrik (berkaitan dengan pengendalian ibu semasa hamil, sewaktu bersalin dan selepas bersalin) termasuk pendarahan selepas bersalin, infeksi, eclampsia (kekejangan) serta masalah semasa hendak bersalin dan komplikasi pengguguran.

Di samping itu, kira-kira 86 peratus kematian bayi yang baru dilahirkan di seluruh dunia disebabkan oleh tiga punca utama iaitu infeksi melampau termasuk sepsis (infeksi saluran darah) dan radang paru-paru (pneumonia), penyakit kancing gigi (tetanus) dan cirit-birit.

Laporan itu turut menyatakan sekitar 80 peratus kematian ibu boleh dielakkan sekiranya wanita mempunyai akses kepada perkhidmatan ibu-ibu mengandung dan penjagaan kesihatan asas.

Ini termasuk pemakanan yang mencukupi, amalan kebersihan yang lebih baik, penjagaan sebelum bersalin (antenatal), pekerja kesihatan yang mahir membantu ibu bersalin, obstetrik kecemasan dan penjagaan bayi yang baru dilahirkan, serta lawatan selepas bersalin untuk kedua-dua ibu dan bayi. Semuanya itu melibatkan penjagaan berterusan di kediaman ibu serta komuniti dengan sistem kesihatan.

Laporan Unicef itu, bagaimanapun mendedahkan kemajuan global yang mengecewakan bagi memenuhi sasaran Matlamat Pembangunan Milennium (MDG) yang mahukan pengurangan 75 peratus dalam kematian ibu dari tahun 1990 hingga 2005.

Bagi memenuhi sasaran itu, ia memerlukan penurunan tahunan sebanyak 5.5 peratus, sedangkan penurunan yang dilaporkan adalah kurang daripada satu peratus.

Kematian boleh dielak

"Kita tidak boleh menerima alasan sekiranya wanita dan bayi dinafikan hak mereka untuk hidup semata-mata kerana kemiskinan. Sekurang-kurangnya, 80 peratus daripada kematian itu boleh dielakkan.

"Menjadi seorang ibu dan untuk anak yang dilahirkan itu membesar ialah hak setiap wanita, setiap keluarga, setiap bayi yang belum dilahirkan atau sudah dilahirkan tanpa mengira di mana mereka tinggal atau berapa banyak pendapatan isi rumah," kata wakil Unicef ke Malaysia, Youssouf Oomar sempena Hari Kesihatan Sedunia yang disambut pada hari ini.

JANGAN gunakan alasan untuk menafikan hak wanita dan bayi untuk hidup semata-mata kerana kemiskinan.

Tema untuk Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini ialah Save Lives, Make Hospitals Safe in Emergencies (Selamatkan Nyawa, Menjadikan Hospital Selamat dalam Kecemasan).

Mengulas tema berkenaan, Oomar berkata, ia jelas menunjukkan betapa pentingnya melabur dalam sistem keselamatan yang dapat memberi khidmat di sebalik berlakunya kecemasan, termasuk krisis yang berpunca daripada kegawatan ekonomi.

Menurut Oomar yang juga Wakil Khas Unicef ke Brunei, kelangsungan hidup wanita sewaktu melahirkan anak mencerminkan pembangunan keseluruhan sesebuah negara dan sama ada perkhidmatan kesihatannya berfungsi.

"Apabila ibu meninggal dunia semasa mengandung dan melahirkan anak, kematian mereka menandakan kegagalan untuk menjamin hak wanita. Ia juga, antara lain mencerminkan kedudukan rendah wanita, kurang kuasa, tidak mendapat maklumat dan penjagaan yang secukupnya, tidak mendapat keutamaan politik yang sewajarnya dan sumber untuk kesejahteraan kesihatan mereka.

"Bagi wanita muda, semua faktor ini berserta dengan ketidakupayaan untuk mendapat khidmat perancang keluarga, kekurangan kakitangan kesihatan yang terlatih, sistem kesihatan yang lemah dan infeksi HIV hanya membawa kepada satu tragedi," kata Oomar.

Ancaman terbaru

Berdasarkan Laporan 2009 Unicef, ketika risiko kematian ibu satu dalam tujuh di Nigeria dan satu dalam lapan di Afghanistan, wanita di kebanyakan negara Asia Tenggara lebih bernasib baik.

Sebagai contoh, di Indonesia kematian ibu adalah satu dalam 97, di Filipina satu dalam 140 dan di Thailand satu dalam 500.

Keadaan di Malaysia jauh lebih baik di mana risiko kematian ibu hanya satu dalam 560. Kemudahan kesihatan di negara ini untuk tahun 2009 semakin kukuh dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM13.7 bilion di bawah belanjawan kesihatan.

Peruntukan itu melibatkan kenaikan 5.35 peratus berbanding tahun sebelumnya dan dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

NEGARA-NEGARA maju mencatatkan risiko kematian ibu dan bayi yang rendah berikutan penjagaan sebelum dan selepas bersalin yang moden. - Gambar hiasan

Di Australia, risiko kematian ibu ialah satu dalam 13,300 sementara di Ireland, satu dalam 47,600, menjadikannya paling rendah di dunia.

Laporan itu bagaimanapun mendedahkan bahawa dalam kalangan negara yang disebutkan tadi, terdapat jurang ketara dari segi kesihatan ibu yang kaya dan miskin, desa dan bandar serta komuniti yang kehidupannya terpinggir daripada masyarakat.

Krisis ekonomi yang sedang melanda dunia dijangka menambahkan bebanan dalam bulan-bulan yang akan datang ini, dan kira-kira 100 juta orang dilaporkan sudah dihimpit belenggu kemiskinan.

Pakar kesihatan disebut sebagai berkata, lebih ramai ibu akan maut pada tahun ini berbanding 2008 akibat kegawatan ekonomi yang parah.

Ekoran itu, Bank Dunia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini memberi anggaran antara 200,000 hingga 400,000 kanak-kanak akan mati setiap tahun iaitu antara 1.4 dan 2.8 juta kanak-kanak sebelum tahun 2015, sekiranya krisis ekonomi yang tenat sekarang berterusan, dan jika tiada usaha untuk menyokong dan menguatkan penjagaan kesihatan diutamakan.

Sumber : Kosmo!

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails