Salam,
Jalan-jalan ke salah satu blog favorite saya, Bina Bahagia bersama Suzana, terserempak saya dengan artikel ini yang saya kira version yang paling lengkap. Terima kasih kepada Puan Suzana Ghazali atas perkongsian ilmu.
Ia berkaitan ucapan-ucapan mahmudah yang sepatutnya kita amalkan dalam kehidupan seharian. Malangnya, ada antara ucapan-ucapan ini disalah guna oleh orang ramai lantaran terkeliru.
1 – Ucapan “SUBHANALLAH”
Ertinya : “MAHA SUCILAH ALLAH”
Ianya diucapkan tatkala kita melihat sesuatu perkara yang menggembirakan kita ataupun perkara-perkara yang hebat lagi ajaib. Contohnya tatkala kita melihat orang yang tidak cedera walaupun terlibat di dalam kemalangan.
Tujuan kita mengucapkan “SUBHANALLAH” iaitu seolah-olah kita mendidik diri kita : “Wah! hebatnya orang itu, tak cedera langsung. Tapi Allah lebih Maha Hebat kerana itu semua tidak akan berlaku melainkan dengan izin Allah Ta’ala.”
Ianya diucapkan juga apabila kita melihat ada apa-apa perkataan ataupun perbuatan yang menyebabkan seseorang itu syirik kepada Allah . Contohnya kita ucapkan “SUBHANALLAH” apabila melihat ada orang yang menyembah berhala-berhala. Di dalam hati kita ketika itu seolah-olah kita berkata, “Allah Ta’ala Maha Suci dan tiada kena-mengena langsung sebagai Tuhan yang mereka anggap itu.”
Lihatlah firman Allah Ta’ala yang bermaksud, “Dialah Allah yang tidak ada sama sekali Tuhan yang layak disembah kecuali Dia Yang Maha Berkuasa, Maha Suci, Maha Selamat, Maha Memberi Keamanan, Maha Peneguh, Maha Mulia, Maha Gagah-Perkasa, Maha Besar, Maha Sucilah Allah daripada apa yang mereka sekutukan.” (Surah al-Hasyr, ayat 23)
Lihat penggunaan “SUBHANALLAH” ataupun yang semakna dengannya melalui ayat Al-Quranul Karim yang bermaksud, “Maha Sucilah Tuhan yang telah memperjalankan hamba-Nya di waktu malam (Israk) dari Masjid al-Haram (di Mekkah al-Mukarramah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekitarnya, agar Kami menunjukkan kepadanya (Nabi Muhammad SAW) beberapa tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Dia (Allah) adalah Tuhan Yang Maha Mendengar Lagi Maha Melihat.” (Surah al-Israk, ayat 1)
Ya! Peristiwa Israk-Mikraj adalah satu peristiwa yang ajaib lagi hebat, namun sehebat-hebat peristiwa itu, lebih hebat lagi Tuhan yang telah mengatur dan mencipta peristiwa itu, Tuhan itulah Allah Ta’ala Yang Maha Hebat, Yang Maha Mendengar segala doa Nabi-Nya SAW dan tohmahan puak-puak yang tidak mempercayai kisah itu dan Maha Melihat segala-galanya. Dan Maha Sucilah Allah daripada segala sifat-sifat yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada-Nya.
Ucapan “SUBHANALLAH” ini juga dikenali sebagai “TASBIH”.
2 – Ucapan “ALHAMDULILLAH”
Ertinya : “Segala puja-puji hanyalah untuk Allah” ataupun “Segala syukur dan terima kasih hanyalah untuk Allah”.
Ianya diucapkan sebagai puja-pujian dan bersyukur di atas segala nikmat yang Allah Ta’ala berikan kepada kita.
Contoh ayat Al-Quranul Karim yang menerangkan hal ini, yang bermaksud, “Dan Kami cabut segala macam dendam yang berada di dalam dada mereka; mengalir di bawah mereka sungai-sungai dan mereka berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah menunjuki kami kepada (surga) ini. Dan kami sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk kalau Allah tidak memberi kami petunjuk. Sesungguhnya telah datang rasul-rasul Tuhan kami, membawa kebenaran.” Dan diserukan kepada mereka: “ltulah surga yang diwariskan kepadamu, disebabkan apa yang dahulu kamu kerjakan.”” (Surah al-‘Aaraf, ayat 43)
Ayat di atas menerangkan nikmat yang diperolehi oleh orang-orang yang beriman kelak di hari akhirat iaitu nikmat mendiami syurga yang dijanjikan kepada mereka dahulu. Lihat! Para penghuni syurga nanti akan mengucapkan “ALHAMDULILLAH” sebagai berterima-kasih dan bersyukur di atas ganjaran yang Allah Ta’ala berikan kepada mereka dan disebabkan Allah Ta’ala telah mengutuskan kepada mereka wahyu dan panduan melalui Para Rasul a.s.
Kita juga wajib mengucapkan syukur kepada Allah Ta’ala di atas nikmat sampainya Islam kepada kita dan masih ramai lagi para ulama’ r.h., kerana tanpa Islam dan bimbingan para ulama’ r.h., tidaklah kita layak masuk ke dalam syurga Allah Ta’ala kelak.
Lihat lagi firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Kahf, ayat pertama yang bermaksud, “Segala puja-puji hanyalah untuk Allah (Tuhan) yang telah menurunkan kepada hamba-Nya kitab dan tidak pula Allah ciptakan baginya ada sebarang kebengkokan (pertentangan dan perselisihan di antara satu ayat dengan ayat yang lain).”
Kita juga wajib bersyukur kepada Allah Ta’ala di atas nikmat adanya kitab Al-Quranul Karim sebagai panduan hidup kita, yang mana tanpanya, pastilah kita tidak akan menemui kebenaran dan kejayaan di dunia dan di akhirat.
Selain itu ianya diucapkan apabila kita dipuji, contohnya apabila orang memuji kita lantaran kejayaan kita, lalu kita pun menjawab, “Alhamdulillah, saya berjaya.” (Diucapkan ucapan “Alhamdulillah” agar kita tidak lupa bahawa sehebat mana pun usaha kita, ianya tentu tidak akan berjaya jika tidak diizinkan oleh Allah Ta’ala)
Ucapan “ALHAMDULILLAH” ini juga dikenali sebagai “TAHMID”.
3 – Ucapan “ALLAHU AKBAR”
Ertinya : “Allah Maha Besar”
Ianya diucapkan di dalam beberapa situasi :
1 – Apabila berada di tempat yang tinggi.
2 – Apabila berada di dalam ketakutan.
3 – Sebagai teriakan untuk menakutkan dan menggerunkan musuh-musuh Allah Ta’ala.
4 – Sebagai “pembakar semangat” para pejuang Islam.
5 – Ketika azan, takbiratul ihram dan takbir hari raya.
Ucapan ini dikenali juga sebagai “TAKBIR”.
4 – Ucapan “LA ILAHA ILLALLAH”
Ertinya : “Tidak ada sama sekali Tuhan yang layak diibadati melainkan Allah”.
Masyarakat Arab biasanya menyebut kalimah ini apabila melihat sesuatu yang menggerunkan ataupun peristiwa yang mengerikan.
Kalimah ini adalah inti-pati dan dasar ajaran Islam. Silalah melihat kitab-kitab zikir dan wirid yang sahih (seperti RIYADHUS SOLIHIN oleh Al-Imam an-Nawawi rh ataupun KALIMUT TOIYIB oleh Al-Imam Ibnu Taimiyah r.h.) untuk mengetahui fadhilat-fadhilat kalimah Tauhid ini.
Ia dikenali juga dengan gelaran “TAHLIL”.
5 – Ucapan “BISMILLAH”
Ertinya : “Dengan Nama Allah”
Ucapan ini dikenali sebagai “BASMALAH”
Dilakukan sebagai menunjukkan adab di antara seseorang hamba dengan Allah Ta’ala ketika melakukan perkara-perkara yang diredhai-Nya.
Ertinya di sini ialah : “Bismillah” digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah Ta’ala sahaja. Seolah-olah tatkala kita membacanya kita turut sama beriktiqad : “Aku menyebut nama Allah ini supaya kerja yang aku lakukan ini dirahmati dan diberkati oleh-Nya”.
Adapun jika digunakan untuk perkara-perkara yang dilarang, maka ia adalah haram bahkan kadang-kadang boleh membawa kepada murtad kerana dianggap menghina kesucian ataupun mempersendakan Allah Ta’ala.
Contohnya :
- Membaca “Bismillah” untuk menyembelih binatang-bintang yang tidak disembelih untuk tujuan yang dibenarkan (seperti untuk mandi safar, untuk “membuka gelanggang silat”, untuk “menyemah” rumah, untuk “menjamu” penunggu dan jin dan sebagainya.
- Membaca “Bismillah” untuk melakukan jampi-jampian yang dilarang oleh agama kita.
- Membaca “Bismillah” untuk “tikam” nombor ekor, toto dan lumba kuda serta sebarang perjudian.
- Membaca “Bismillah” (supaya selamat konon-kononnya) untuk mengintai orang mandi.
- Membaca “Bismillah” untuk makan dan minum apa-apa yang haram.
- Membaca “Bismillah” kuat-kuat (agar didengar oleh orang ramai) ketika membuka warong demi melariskan jualan.
6 – Ucapan “MA SYA ALLAH”
Ertinya : “Apa yang Allah Kehendaki”
Diucapkan ketika melihat apa-apa yang baik dan indah.
Diucapkan juga ketika melihat perkara-perkara yang luar biasa dan hebat (sama seperti Tasbih)
Tidak boleh digunakan sebagai ucapan tatkala melihat sesuatu yang dilarang, contohnya menyebut “MA SYA ALLAH” ketika melihat wanita-wanita yang berpakaian seksi sebab kalimah itu bermakna “Apa-apa yang Allah kehendaki”, sedangkan Allah Ta’ala tidak pernah sama-sekali menyuruh wanita-wanita berpakaian seksi di hadapan bukan suaminya. Dan begitu juga tidak boleh mengucapkan kalimah ini tatkala melihatpelakon-pelakon yang seksi-seksi di TV.
Hati-Hati dan fahami baik-baik penggunakan kalimah dan ucapan ini!!!
Ucapan ini diistilahkan sebagai : “AL-MASYIAH”
7 – Ucapan “A’UZUBILLAHI MINASY SYAITONIR RAJIM”
Ertinya : “Aku memohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam (terkutuk)”.
Diucapkan sebagai memohon perlindungan dan keselamatan kepada Allah Ta’ala daripada segala jenis gangguan , sama ada gangguan syaitan ataupun bala-bencana.
Diucapkan juga sebagai memulakan bacaan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim.
Ucapan ini digelar sebagai “AT-TA’AWWUDZ”.
8 – Ucapan “LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAH”
Ertinya : “Tidak adalah daya-upaya dan kekuatan (yang sebenar/yang terutama) melainkan dengan izin (pertolongan) Allah”.
Diucapkan apabila melihat perkara-perkara yang tidak disukai ataupun apabila kita tidak terdaya untuk melakukan sesuatu.
Dan diucapkan apabila kita merasai kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri kita seperti sedang berhadapan dengan jumlah musuh yang lebih ramai daripada pihak kita.
Ucapan ini dikenali sebagai “AL-HAUQOLAH”.
9 – Ucapan “INSYA ALLAH”
Ertinya : “Jika diizinkan Allah”
Diucapkan apabila kita berjanji untuk menyempurnakan hajat seseorang. Ataupun apabila hati kita berat 70 % untuk memenuhi janji itu maka bolehlah kita menyebut “INSYA-ALLAH”, tetapi jika kita memang tidak mahu memenuhi hajat itu ataupun hati kita memang berat 70 % untuk tidak memenuhinya, maka tidaklah wajar kita menggunakan kalimah ini . [Hasil temuramah di antara Al marhum S.S Dato’ Ishak Baharom, Bekas Mufti Selangor Darul Ehsan dengan salah sebuah majalah di Malaysia].
Ucapan ini dikenali sebagai “TAWAKKUL” (Tetapi masyarakat Melayu memanggilnya sebagai tawakkal)
10– Ucapan “BARAKKALLAHU FIK”
Ertinya : “Semoga Allah memberkati engkau”
Diucapkan kepada seseorang yang kita cintai ataupun sebagai doa baginya. Menurut sunnah ucapan yang seumpama ini diucapkan juga kepada mereka yang baru berkahwin.
Ucapan ini dikenali sebagai “AT-TABARRUK”.
11 – Ucapan “ JAZAKALLAHU KHAIRAN”
Ertinya : “Semoga Allah membalas jasa-baikmu itu dengan kebaikan”.
Ucapan ini sebagai tanda terima kasih kita pada seseorang. Boleh juga diucapkan dengan “JAZAKALLAHU KHAIRAN KATSIRAN “ (Semoga Allah membalas jasa-baikmu itu dengan kebaikan yang banyak). Juga diucapkan dengan “JAZAKALLAHU KHAIRAL JAZAK” (Semoga Allah membalas jasa-baikmu dengan balasan yang paling baik).
Adalah SALAH dan TIDAK BETUL jika sekadar mengucapkan “JAZAKALLAHU” (Semoga Allah membalasmu…) Membalas dengan apa??? Ayat ini jadi ayat tergantung!
Apabila kita diucapkan sedemikian rupa, maka respon kita pula ialah: “JAZANA WA IYYAK”. Erti respon itu ialah : “Semoga Allah juga membalas ( kebaikan yang kau ucapkan tadi ) kepada kita semua dan juga kepada dirimu”.
Ianya dikenali sebagai kalimah “ASY-SYUKR”
12 – Ucapan “INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN”
Ertinya : “Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali”.
Diucapkan apabila ditimpa sesuatu yang tidak dikehendaki seperti banjir, kemalangan, kecurian dan seumpamanya. (Walhal orang-orang kita hanya mengucapkannya tatkala mendengar berita kematian seseorang).
Firman Allah mengenai ucapan ini : Ertinya : “Orang-orang yang sabar itu apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata : Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)
Ucapan ini dikenali sebagai “LIL ISTIRJAA/TARJIE’”
13 – Ucapan “ HASBUNALLAHU WA NI’MAL WAKIL”
Ertinya : “Cukuplah bagi kami ini Allah itu sebagai sebaik-baik pelindung/penolong”.
Diucapkan sebagai tanda kita ini berserah diri dan bergantung harap (bertawakkal) kepada Allah Ta’ala semata-mata. Dan ia juga merupakan ucapan “pembakar” semangat keberanian orang-orang yang beriman. Contohnya diucapkan tatkala menghadapi serangan musuh.
Firman Allah Ta’ala yang mengisahkan keimanan para sahabat r.a. menjelang Perang Badar yang bermaksud, “Orang-orang yang mentaati Allah dan Rasul itu apabila dikatakan kepada mereka: “Sesungguhnya manusia ( musyrikin Quraisy ) telah mengumpulkanpasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.”” (Surah Ali ‘Imran, ayat 173)
Ucapan ini dikenali sebagai “AL-HASBANA”
Moga sama-sama mendapat manfaatnya!!!
Quote: Allahumma Shalli ala ali Puan Suzana Ghazali.
BalasPadamPerhatian. Kalimah allahumma solli bermaksud selawat. Haram memberi selawat kepada orang lain selain para Nabi dan ahlul bait sahaja. Kita sesama islam hanya dibolehkan memberi salam, assalamu'alaika/kum bukan menyebut Allahummasolli ala...
Harap bawang khasnya berhati-hati bila mengambil ilmu dan menyampaikan ilmu.
firman Allah dalam surah al-ahzab ayat 56 :
mafhumnya:'Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya..
Cuba perhatikan lafaz selawat dalam solat kita. kita sebut "allahumma solli 'ala Mumammad wa ala ali muhammad, kama sollaita'ala ibrohim wa ala ali ibrohim." pernahkah kita dengar orang mengucappakn Allahumma solli ala..abu bakar atau selainnya. Ucapan selawat dan salam adalah ibadat ,jadi kenalah ikut peraturannya. Jangan kerana terlalu mengagungkan seseorang kita tersilap langkah dan berdosa pula.
Nauzubillah. Sebaiknya kita belajar nahu arab atau bertanya dahulu sebelum menggunakan apa2 kalimah yang 'baru'.
Kerana itu, menulis pun kena ada ilmu. cuba lihat penulisan buku agama, penulis biasa menuliskan a.s. (singkatan kepada alaihis salam) selepas menulis nama para nabi. Misalnya Nabi Ibrahim a.s, tetapi tidak di tulis Abu bakar a.s. Kenapa? Kerana semua 'pangkat' tertulis dalam al-quran contohnya salamun ala Ilyas (37:130), salamun 'ala nuh...(37:79). Oleh kerana Allah yg menetapkan kesejahteraan kepada para nabi, maka kita lebih2 lagi wajib memberikan penghormatan yg serupa. Bagi Nabi Muhammad pengormatannya adalah yg tertinggi kerana baginda adalah penghulu segala anbiya.
Apakah Suzana ghazali itu sebaris para anbiya? Apakah beliau ijazah/perguruan dalam bidang agama (sekadar bertanya).
Sebenarnya ucapan yg Bawang fwd ini pernah saya terima 2-3 tahun lepas, rasanya saya ada mengulas dulu. tak pasti...
p/s UNGKAPAN alhamdulillah JUGA dikenali sebagai HAMDALLAH SELAIN
Salam,
BalasPadamAdeh... Saya pulak dapat ilmu yang lain...
Mendoakan orang yang bersedekah:
Dari Abdullah bin Abi Aufa r.a., katanya: "Apabila dihantarkan orang kepada Rasulullah SAW sedekah mereka baginda berdoa: "Allahumma shalli alaihim." (Wahai Allah! Berilah mereka rahmat). Maka pada suatu hari Abu Aufa datang menghantarkan sedekahnya kepada baginda. Lalu baginda berdoa: "Allahumma Shalli ala ali Abi Aufa." (Wahai Allah! Berilah rahmat kepada keluarga Abu Aufa)." (Shahih Muslim)
Guano nih?
"Allahumma Shalli ala ali Abi Aufa.".... yang bermaksud: Ya Allah! Rahmatilah keluarga Abu Aufa.
BalasPadamSaya tak pastilah sama ada lafaz Nabi spt catatan dia atas itu sama maksud dengan solli (selawat) kerana terjemahannya pula dimaksudkan rahmat. Mohon kerahmatan dan kesejahteraan (salam) memang boleh, tetapi selawat tak boleh. Selawat khusus untuk Nabi dan keluarga Nabi Muhammad shj.
apakah lafaz doa nabi itu khusus untuk pembayar zakat atau sesiapa sahaja? Mari kita sama2 kaji... tapi saya tak sangguplah nak menyamakan lafaz selawat kpd Nabi dgn lafaz kpd orang lain.. tak setinggi itulah ilmu saya.
Allahuaklam.