PAGE

Sabtu, Februari 13, 2010

Qarin a.k.a. pendamping manusia

Gambar hiasan


Assalamualaikum warahmatullah,

Setiap manusia yang lahir disertakan ‘qarin’ oleh Allah yang bertugas sebagai ‘penggoda’ seseorang itu sejak seseorang itu lahir hinggalah saat kematiannya. Rasulullah SAW sendiri tidak terkecuali. Hanya Rasulullah SAW sahaja yang tidak dapat digoda oleh qarin. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.

Dari Abdullah bin Mas’ud r.a katanya, “Tidak seorangpun di antara kamu melainkan telah ada jin yang ditugaskan pemimpinnya untuk selalu menggodanya.” Para sahabat bertanya, “Anda juga, ya Rasulullah?” Jawab baginda, “Ya. Aku juga. Tetapi Allah selalu melindungiku dari godaan mereka sehingga mereka yang menggodaku akhirnya Islam (menyerah). Kerana itu mereka tidak berani menyuruhku melainkan untuk kebaikan.” (Hadis riwayat Muslim)

Aisyah r.a. menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata: “Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya, “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata, “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah?” Sabda Baginda, “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitanmu?” Aku bertanya, “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda, “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi, “Adakah engkau pun ada syaitan, ya Rasulullah?” Jawab Baginda, “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadis riwayat Muslim)

Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar r.a., sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s. dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis-hadis di atas, qarin adalah dari golongan jin. Ia sentiasa mengajak manusia yang didampingi ke arah kejahatan. Sedangkan sifat manusia itu lemah, mudah lupa menjadi penyebab terjerumusnya manusia ke lembah nista dan kemaksiatan akibat tergoda dengan hasutan qarin ini. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.

Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi oran beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang megikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”

Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca "Bismillah" sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.

Perihal qarin ini bukan saja disebut dalam hadis, malah diceritakan di dalam al-Quran, seperti firman Allah SWT yang bermaksud, “Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), maka Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi qarin (teman yang selalu menyertainya).” (Surah az-Zukhruf [043], ayat 36)

Kewujudan jin, iblis dan syaitan sesatkan manusia wajib dipercayai

Apakah perbezaan antara jin, iblis dan syaitan serta peranan makhluk itu dalam mengganggu dan menyesatkan umat manusia? Apakah benar ia dapat dilihat dalam jelmaan tertentu? Apakah hukum mereka yang ingkar akan kewujudannya dengan alasan ia tidak dapat dilihat?

Menurut Ustaz Zamanuddin Jusoh, sesiapa yang ingkar mengenai kewujudan jin dan keturunannya adalah kafir kerana menolak apa yang terdapat dalam al-Quran daripada nas yang jelas. Ketiga-tiga makhluk ini ciptaan Allah SWT yang berurusan untuk mengganggu serta menyesatkan manusia. Ia dicipta daripada api seperti termaktub dalam al-Quran melalui firman bermaksud, “Dan Dia menciptakan jin dari nyala api.” (Surah ar-Rahmaan [055], ayat 15).

Mereka diberi keizinan Allah untuk menyesatkan manusia sehingga hari kiamat. Kisah ini dirakamkan dalam al-Quran, ““Iblis berkata: “Ya Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan.” Allah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu (wahai Iblis) termasuk orang-orang yang diberi tangguh (untuk mengganggu anak Adam), sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (hari kiamat).”” (Surah Shaad [038], ayat 79~81)

Hakikatnya mereka berasal dari satu golongan kerana al-Quran juga menggunakan istilah jin, iblis dan syaitan. Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya pernah mentafsirkan jin dengan makna iblis. Al-Quran menjelaskan ia asalnya kelompok malaikat (mengikut setengah tafsiran) yang ingkar perintah Allah. Kebanyakan ulama tafsir menyatakan iblis adalah bapa kepada semua jin dan syaitan. Ia juga terdiri daripada yang beriman dan kafir. Ia tidak dapat dilihat oleh pandangan mata kasar manusia. Allah berfirman bermaksud, “Sesungguhnya dia (syaitan) dan kuncu-kuncunya dapat melihat kamu dari suatu tempat, sedangkan kamu tidak dapat melihat mereka.” (Surah al-A’raaf [007], ayat 27).

Ada pendapat mengatakan iblis dan syaitan berasal daripada golongan jin yang ingkar perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam. Dikatakan bahawa Jin Afrit adalah yang paling aktif dan cerdik seperti sejarah Nabi Sulaiman dan Puteri Balqis dari Yaman. Makhluk ini mampu menjelma dalam bentuk tertentu seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Jin ada tiga golongan, bersayap dan mampu terbang di udara, berupa benda melata seperti ular dan sebagainya, berwajah cantik dan mengilai.” (Hadis riwayat Hakim dengan sanad sahih)

Hadis daripada Aishah r.a. diriwayatkan Bukhari dan Muslim, mengatakan anjing hitam adalah jelmaan syaitan. Begitu juga kucing dan keldai hitam kerana warna hitam adalah himpunan kekuatan bagi syaitan dan tenaga tambahan bagi mereka. Tetapi bukan bermakna semua anjing, kucing dan kaldai hitam adalah syaitan kerana maksud ungkapan Rasulullah adalah gambaran kepada warna yang buruk dan kurang faedahnya bagi binatang itu. (Dr Abd Wahab Abd Ati Abdullah, Rektor Universiti Al-Azhar).

Antara peranan jahat syaitan ialah:

1. Mencipta permusuhan antara manusia.

Firman Allah bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).” (Surah al-Maa-idah [005], ayat 91).

2. Menghilangkan pertimbangan akal yang waras.

Sabda Rasulullah bersabda bermaksud, “Janganlah kamu marah kerana perasaan itu adalah datang daripada syaitan.”

3. Tamak dan hasad dengki.

Allah mewahyukan kepada Nabi Nuh di atas bahteranya, “Dua perkara yang akan merosakkan manusia disebabkan iblis, dengki dan tamak.” (Ibnu Jauzi).

4. Mencipta bibit perpecahan sesama umat Islam.

Dari sahabat bernama Jabir bahawa Rasulullah bersabda bermaksud, “Sesungguhnya iblis putus asa terhadap orang yang solat tetapi ia mampu memecah-belahkan perpaduan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari).

5. Memesongkan akidah umat Islam.

Firman Allah bermaksud, “Dan syaitan berusaha untuk menyesatkan umat Islam dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah an-Nisaa’ [004], ayat 60).

6. Menyeru kepada kejahatan.

Firman Allah bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu melakukan perbuatan jahat dan keji dan menyatakan mengenai agama Allah apa yang tidak diketahui.” (Surah al-Baqarah [002], ayat 169).

7. Menghalal serta mengharamkan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan.

Firman Allah bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu melakukan perbuatan jahat dan keji dan menyatakan mengenai agama Allah apa yang tidak diketahui.” (Surah al-Baqarah [002], ayat 169).

8. Menjauhkan manusia daripada mengingati Allah.

Firman Allah bermaksud, “Barang siapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), maka Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu bersamanya.” (Surah az-Zukhruf [043], ayat 36).

9. Mencipta perbalahan dalam agama.

Firman Allah bermaksud, “Di antara manusia ada orang yang membantah mengenai agama Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikuti setiap syaitan yang jahat.” (Surah al-Hajj [022], ayat 3).

Membaca doa keluar rumah

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, “Jika seseorang keluar dari pintu rumahnya atau dari pintu tempat tinggalnya, maka akan ada dua malaikat yang mengawalnya. Jika dia membaca, “Bismillah”, kedua malaikat itu berkata, “Engkau mendapat petunjuk.” Jika dia mengucapkan, “Laa haula walaa quwwata illa billah” (tiada daya dan kekuatan, melainkan hanya Allah), dua malaikat itu akan berkata, “Engkau terjaga.” Jika dia mengucapkan “tawakkaltu ‘alallah” (kepada Allah aku berserah diri), dua malaikat itu berkata, “engkau telah dicukupkan.” Lalu dua malaikat itu menemui qarin (jin yang selalu menyertai manusia) orang itu. Dua malaikat itu berkata, “Apa yang kamu kehendaki daripada seseorang yang telah diberi petunjuk, dicukupi keperluannya dan dijaga dirinya?”

Qarin akan berpisah dengan ‘kembar’nya hanya apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.

Oleh itu hendaklah kita mengamalkan doa perlindungan yang mudah seperti disebutkan di atas, semoga kita terpelihara daripada gangguan golongan yang direjam ini. Amiin.




Capaian entry berkaitan :
  1. Sunnah-sunnah yang berkaitan dengan keluar masuk rumah
  2. 10 Perangkap Syaitan
  3. Ayat Kursi hindari perbuatan pukau dan sihir
  4. Syaitan musuh utama umat Islam
  5. Perihal Azan
  6. Mata dan Bahaya Pandang Memandang
  7. Sila betulkan sebaran - Nama Syaitan Dalam Al-Fatihah??
  8. Iblis Datang Mengganggu Ketika Sakaratul Maut
  9. Tazkirah: Strategi syaitan profesional
  10. Q&A : Menangani gangguan syaitan ikut syarak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...