Hari ini saya membaca berita Pertubuhan guru bantah kena ajar pendidikan seks, teringat draft artikel yang masih tersimpan dan belum sempat disiarkan Laman-Seri. Jika pendidikan seks tetap dilaksanakan dalam masa yang terdekat, seperti yang dicadangkan oleh menteri di KPWKM, apakah impaknya kepada anak-anak kita? Ibu bapa pun berlepas tangan dalam mendidik anak-anak sendiri, guru pula menegaskan pendirian yang mereka belum bersedia. Mampukah mereka mendidik dengan semurni dan mencapai matlamat seperti sasaran kementerian tersebut? Tidak mustahil, sekali lagi anak-anak kita akan menjadi bahan ujikaji!
ISU pendidikan seks di sekolah bukanlah baru dan sudah mula diperkatakan seawal 1980-an dan kini kembali diperdebatkan. Namun, isu pendidikan seks yang dicadangkan di sekolah masih kabur. Pelbagai persoalan yang bermain di benak fikiran...
- Apa yang hendak diajarkan?
- Aspek mana hendak diberi penekanan?
- Bagaimana hendak disampaikan?
- Siapa hendak menyampaikan?
- Apakah asas sistem nilai yang melandasi kurikulumnya?
- Apa objektif pengajarannya?
- Apakah aras taxonomi atau domain kognitif yang hendak dicapai dalam pengajarannya?
Walaupun statistik mutakhir menunjukkan peningkatan dalam kes membabitkan seksualiti, pencarian atau cadangan penyelesaian kepada masalah ini tidak boleh dilakukan tergesa-gesa. Usaha menanganinya perlu membabitkan semua pihak khususnya pelajar, ibu bapa, tenaga pengajar, pihak berkuasa dan masyarakat. Tujuan utama pendidikan seks digubal dan diperkenal sebagai sebahagian kurikulum pendidikan adalah ekoran gejala sosial yang semakin berleluasa.
Mengikut kaji selidik global Durex 2005, mendapati 44% daripada 5,409 responden itu memilih tandas pusat hiburan dan bilik tidur ibu bapa [lokasi lain adalah dalam kereta] adalah pilihan belia Malaysia mengadakan hubungan seksual bersama pasangan. Laporan turut mendedahkan, 39% daripada responden itu mengambil risiko mengadakan hubungan seks tanpa mengenali latar belakang seksual pasangan masing-masing. Sebanyak 61% belia Malaysia berusia antara 16 hingga 24 tahun didapati melakukan hubungan seks tidak selamat tanpa menggunakan perlindungan kondom.
Kajian juga mendapati umur minimum rakyat Malaysia mengadakan hubungan seks untuk kali pertama, adalah yang terendah berbanding negara Asia lain seperti Indonesia, Vietnam dan India. Rakyat Malaysia melakukan hubungan kali pertama pada usia 19 tahun berbanding Indonesia (19.1), Vietnam (19.6) dan India (19.?). [NB : Maaf, tak dapat masuk web Durex untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat].
Pasangan Malaysia secara purata mengadakan hubungan seks sebanyak 83 kali setahun, Vietnam (87), Taiwan (88) dan China mencatatkan kekerapan paling tinggi iaitu 96 kali setahun. Dalam kajian itu lagi, 49% pasangan Malaysia menggunakan filem pornografi untuk meningkatkan kepuasan seks, diikuti bahan pelincir (32%) dan minyak urut sebanyak 24%. Keadaan ini berbeza bagi pasangan di Taiwan, yang mana 47% daripada mereka gemar menggunakan alat bergetar untuk memuaskan nafsu.
Sementara itu, hasil penyelidikan pada 2006 yang dijalankan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mazlin Mohamad Mokhtar menunjukkan 50% daripada 727 pelajar institusi pengajian tinggi yang dijadikan sampel kajian pernah terbabit dalam kegiatan seks. Daripada jumlah itu, 80% tidak menggunakan sebarang kaedah perancang keluarga. Sampel pelajar terdiri daripada pelajar dua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan dua institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Apakah punca semuanya?
Pertama, ibu bapa tidak lagi berperanan sewajarnya. Kebanyakan tanggungjawab sosial anak tidak diambil endah dan anak diberi kebebasan tanpa batasan.
Kedua, pendidikan moral dan agama yang diajar di sekolah tidak memberi impak diharapkan.
Ketiga, pendedahan aktiviti lucah melampau di kaca TV dan media semakin tidak terkawal.
Seperti dilaporkan Kaiser Family Foundation, 3,800 siaran yang berunsurkan seksual terdapat di lebih 1,100 rancangan TV dan ini adalah peningkatan 1,900 siaran berbanding 1998. Laporan ini menunjukkan secara purata lima siaran seks dalam masa sejam ditayangkan. Kanak-kanak yang mendapat pendedahan kepada siaran sebegini akan terbabit secara aktif dengan aktiviti seksual pada usia muda. Walaupun angka ini adalah kajian di Barat, pada jangkaan penulis tiada bezanya dengan Malaysia.
Siaran satelit diperoleh dengan mudah dan murah menyebabkan rancangan sama boleh ditonton di mana-mana saja. Bagi kita di Malaysia, ledakan globalisasi khususnya dalam konteks penyebaran maklumat ini harus ditangani secara teratur dan terancang. Ini juga menjadi cabaran besar dalam memperkenalkan pendidikan seks di sekolah.
Kajian mengenai salah laku seks menunjukkan pendidikan seks di sekolah boleh membantu meningkatkan pengetahuan mengenai perkembangan seks, tetapi tidak merubah tingkah laku seks mereka. Dapatan ini jelas menunjukkan kawalan mutu serta maklumat mengenai pendidikan seks yang hendak disampaikan di sekolah perlu dilakukan dengan berhemah bagi menjamin kesan yang positif. Maklumat tidak jelas, bercelaru serta tidak mempunyai paksi yang kukuh hanya akan mengeruhkan persekitaran pembelajaran.
Mengikut laporan Durex, 52% responden mencadangkan kerajaan memperkenalkan pendidikan seks seawal usia 12 tahun. Bagaimanapun, usia bukan persoalan kerana jika usia menjadi asasnya, Kerajaan Britain lebih dulu mengajar pendidikan seks di sekolah rendah seawal usia 7 dan 8 tahun. Namun kesannya masih mengecewakan. Paling penting ialah kandungan dan pendekatannya.
Matlamat pendidikan seks harus jelas. Jika hanya untuk memberikan panduan seks selamat dan mengelakkan penyebaran penyakit berjangkit seperti HIV, sifilis dan penyakit berkaitan seks rambang, maka kita akan melahirkan generasi yang hanya tahu mengelak dijangkiti penyakit.
Bagaimana pula dari segi moralitinya? Acuan kita tidak sama dengan Barat. Pendidikan seks dalam konteks masyarakat kita, khususnya umat Islam wajib bertunjangkan sistem nilai, moraliti dan akhlak Islam. Ini meliputi kandungan, kaedah pengajaran dan matlamat pendidikan bagi melahirkan insan salih dan seimbang.
Dalam Islam segala hal berkaitan dengan seks terangkum dalam perbahasan yang lebih luas mengenai peraturan dan hukum hakam serta perkara berkaitan dengan hubungan lelaki dan wanita yang semuanya terangkum dalam perbincangan ‘munakahat’.
Kerajaan Johor memperkenalkan ilmu munakahat kepada murid Tahun Empat sekolah agama. Antara silibusnya selain mengenai hubungan seksual suami isteri ialah kebersihan (toharah) dan kesihatan. Maklumat kesihatan dan kebersihan ini sebenarnya amat berkait rapat dengan masalah sosial yang berkaitan seks rambang seperti jangkitan HIV dan Aids. Bagi tujuan pendidikan seks, lebih baik jika pendidikan munakahat itu diperkemas dengan memasukkan elemen baru yang berkait dengan masalah hari ini. Kajian mendalam serta menyeluruh mengenai munakahat untuk disesuaikan dalam pendidikan seks di sekolah mungkin dapat membantu merangka strategi dan hala tuju lebih jelas dalam membentuk pendidikan seks bermutu.
[NB: Sungguhpun pendidikan munakahat diperkenalkan, Johor menduduki tempat ke empat tertinggi dengan kelahiran anak tak sah taraf untuk tahun 1999~2003, rujuk entry Nasib malang anak tidak sah taraf.
Masalah pembuangan bayi juga semakin parah. Sepanjang tempoh 2000 hingga 2006, sejumlah 580 pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya masih merupakan janin. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah pembuangan bayi turut menular di institusi pengajian tinggi (IPT). Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 580 kes buang bayi dari 2000 hingga tahun lalu, dengan Selangor dan Johor mencatat kes paling tinggi. Pada 2000, 65 kes dicatatkan di seluruh negara, 2001 (97 kes), 2002 (98 kes), 2003 (92 kes), 2004 (78 kes), 2005 (67 kes) dan 2006 (83 kes).
Pada tahun 2006 contohnya, sebanyak 83 kes telah dicatatkan di seluruh negara berbanding 65 kes pada 2000. Daripada 83 kes di seluruh negara, Selangor mencatatkan 24 kes, Johor (21 kes), Sarawak (12 kes), Sabah (11 kes), Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing tiga kes), Perak dan Melaka (dua kes) serta Kelantan dan Terengganu (satu kes). Statistik sama turut mencatatkan usia bayi yang dibuang membabitkan dua kategori, iaitu janin (48 kes) dan baru lahir (532 kes).
Adakah pendidikan ilmu munakahat dapat membendung fikiran anak-anak tentang seks atau mungkin saja menjadi 'pencetus sikap ingin tahu lebih lanjut' dan salah satu penyebab keruntuhan akhlak? Jadi di manakah silapnya pengajaran ilmu munakahat di negeri itu?]
Selain itu pendidikan seks juga mesti berteraskan konsep moraliti dan akhlak serta sistem nilai kerana tanpa landasan ini tidak mungkin masalah lebih besar itu dapat ditangani. Usaha itu juga perlu disokong beberapa faktor, antaranya iklim persekolahan yang positif serta pendidik yang benar-benar berteraskan konsep 'mendidik'. Iklim persekolahan yang negatif harus dipantau supaya murid dapat menerima pembelajaran mengenai pendidikan seks dengan perspektif yang betul dan positif.
Amalan berpasang-pasangan yang semakin berleluasa di sekolah menengah [NB : Sekolah berjantina campuran lelaki dan perempuan lebih memudahkan dan mungkin 'menggalakkan pelajar mencari atau mendapat pasangan cinta munyit] dan menular ke sekolah rendah adalah persekitaran yang mengganggu pembentukan disiplin pelajar. Suasana ini hanya akan memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk melihat pendidikan seks sebagai ilmu untuk memenuhi tuntutan nafsu semata-mata. Pendidik yang benar-benar 'mendidik' juga adalah faktor mendorong kepada keharmonian konsep pendidikan seks. Keikhlasan pendidik dapat diterjemahkan dalam pembelajaran dan dihayati oleh pelajar keseluruhannya.
Kesimpulan
Pendidikan seks di sekolah harus disantuni dengan penuh hikmah dan tujuan serta matlamat yang jelas. Kesilapan membuat dasar serta menentukan matlamat yang hendak dicapai akan mengganggu usaha mencapai matlamat itu. Bagi memastikan ia berjaya, pembabitan semua pihak amat diperlukan. Hala tuju dan falsafah yang melandasinya juga perlu jelas.
Penulis asal adalah Ketua Laboratori Pendidikan Komuniti dan Pengajian Belia, Institut Pengajian Sains Sosial, UPM
Sumber : Dr Haslinda Abdullah [lynn@putra.upm.edu.my] di BHarian18/03/2010 dan sedikit tambahan sendiri.
Capaian entry berkaitan :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...