PAGE

Ahad, April 18, 2010

Perihal aktiviti berleter a.k.a. membebel


Assalamualaikum warahmatullah,

Aktiviti berleter yang lebih dikenali sebagai membebel lebih sinonim dikaitkan dengan kaum Hawa, lebih-lebih lagi yang bergelar isteri dan ibu. Berleter adalah satu tabiat atau kebiasaan hidup yang bukan sahaja buruk tetapi hodoh juga.

Bukan hendak masuk bakul angkat diri sendiri, tetapi Alhamdulillah, saya tidak suka berleter, mungkin kerana ibu saya seorang yang agak pendiam dan bukanlah seorang kaki leter, jadi saya dibesarkan, jauh daripada budaya berleteran. Walau bagaimanapun, pada pendapat saya rasa, berleter atau membebel juga salah satu terapi ‘melepaskan’ tekanan.

Tabiat suka berleter sebenarnya banyak berpunca daripada perasaan tidak senang ataupun tidak puas hati seseorang pada sesuatu perkara ataupun seseorang yang lain. Ia adalah manifestasi atau cara luahan atas sebab ketegangan jiwa yang dihadapi. Oleh itu, berleter dapat didefinasikan sebagai satu cubaan seseorang bagi meluahkan perasaan dengan cara mengungkit-ungkit ataupun membongkar semula kelemahan, keburukan ataupun kesalahan seseorang secara berterusan, bertubi-tubi dan bertulang-ulang kali.

Isu yang dibangkitkan dalam sesuatu leteran biasanya berpunca daripada perkara yang terjadi pada hari itu dan dikaitkan dengan peristiwa yang sudah lama berlaku. Peristiwa lama ataupun kemarahan memang sudah lama dipendamkan, hanya menunggu sebab untuk dilepaskan.

Ada isteri berleter disebabkan perangai suami itu sendiri. Kebiasaanya ia berlaku apabila suami itu bila isterinya bercakap, aksinya seperti tuli tunggul kayu atau dinding batu sahaja lagaknya. Ada isteri merangkap ibu, berleter disebabkan perangai anak-anak. Ada jenis anak-anak yang kena diberitahu 5-6 kali baru hendak melakukan sesuatu yang disuruh ibunya. Jika percakapan atau arahan diberi berkali-kali, namun tidak diendahkan, adakah seorang isteri atau ibu itu patut diam dan pendamkan sahaja? Tentu sekali tidak. Jadi, sebelum anda menyalahkan isteri atau ibu anda yang kuat berleter, muhasabah (koreksi) diri dan cari apa punca isteri atau ibu anda berleter.

Seorang rakan sekerja saya, yang saya namakan FM memberitahu saya, "Lepas tol Sungai Rasau, saya bujang..." Walaupun hakikatnya beliau seorang suami dan bapa kepada 2 orang cahayamata. Saya sempat bertanya, mengapa beliau berkata begitu. Beliau menerangkan, "Tension...balik rumah isteri saya tak berhenti-henti bercakap (membebel), macam kita buka 'radio'. Malam hendak tidur, baru 'radio' off. Itu sebab bila keluar saja dari rumah, saya cuba hiburkan hati. Nasib poket ni tak mampu nak pasang lagi satu, kalau tidak dah lama saya cari lain..." Jelasnya sambil tersengih-sengih.

Yare... yare... jangan begitu wahai isteri! Ingatlah, berleter memang ada mudharatnya. Silap haribulan, dapat madu. Hu... hu... Lelaki juga tidak terlepas daripada diberi fasakh akibat aktiviti membebel. Cuba semak entry Kisah dari Mahkamah Syariah: Mohon cerai gara-gara suami kuat membebel, elok benar dijadikan teladan.

Seorang sahabat, Puan Habsah di al-Falaah e-grup melontarkan komennya : Saya perhati, tak ramai suami boleh sabar... padahal memang jelas salahnya.. saya rasa tak perlu cakap panjang-panjang sangat.... tapi yang jadi panjang sebab takde respon... Misalnya : Mula-mula hanya kata, “Lepas minum tolong hantar cawan ke dapur.” Bila takde respon, arahan/suruhan biasanya akan diulang. Kemudian bila masih takde respon, “Dah berapa kali cakap la, lepas minum tolong hantar cawan ke dapur.” Jika masih tiada respon, tak lama lagi ayat bertukar, “Nak hantar cawan ke dapur pun susah sangat ke, orang penat dah ni, tolong la, tak kesian ke kat I ni, hari-hari asyik kutip cawan tu.” Haaaaaa.. sebab itu arahan menjadi semakin panjang dan bertukar menjadi leteran disebabkan tiada respon atau tindakbalas ataupun kerjasama. Jika terlalu kerap sangat berlaku, boleh menjejaskan hubungan juga tu termasuk hubungan ****!

Komen yang mewakili kaum Adam, AbuMuaz MS : Membebel tiada bawa kebaikan. Kalau masih juga mahu juga membebelkan dengan syarat: ADIL, iaitu bila suami buat silap, kita membebel. Bila suami buat baik, maka kita ‘membebel’ juga. Begitu juga dengan anak-anak. Bila dia silap berapa kita membebel? Bila dia baik berapa banyak kita ‘membebel’? Itu tidak apa. Itu hanyalah adil. Bila salah kita bising, bila betul kita diam, kita belum adil. Kita melihat pengajaran dalam al-Quran, Allah mencela sifat kufur banyak kaum terdahulu. Manusia yang paling banyak Allah puji dalam al-Quran ialah nabi Ibrahim a.s.

Menurut sahabat UmmuWaheedah pula : Dalam bab berleter tak tentu pasal, rasanya tak ada orang perempuan yang suka buat begitu sebab berleter ini meletihkan minda dan badan. Cuba kita ingatkan, waktu kita marah, kan kita sendiri jadi tak selesa. TAPI kalau tak berleter langsung, ibarat membiarkan mungkar depan mata. Umpamanya kalau anak perempuan keluar rumah waktu maghrib, dengan pakaian seksi , dengan minyak wangi. Ibubapa yang waras dan beriman, takkan tengok sahaja sambil bagi flying kiss. Ini saya ambil pengalaman saya melihat seorang ibu membebel mendayu-dayu bila anaknya keluar rumah waktu maghrib. Nada suara si ibu itu buat saya bengang, rasa macam nak tolong marah. Nak tahu apa ayatnya? Lebih kurang begini, “Awak ni, asal maghrib jer keluar, asal magrib jer keluar, awak nak jadi kupu-kupi malam ker... Tak gheti duduk rumah?” Si anak selamba saja, macam tak dengar ibu dia cakap. Ada tetamu (saya) pun dia buat derk… tapi dia sempat salam dan senyum pada saya…. Saya pun cakap dengan dia, “Lawa-lawa gini nak pergi mana, dah solat dah? Tak takut ke orang lelaki ramai kat luar tu… Ibu tak bagi pergi janganlah pergi.” Dia sengih-sengih saja, lepas itu pergi juga. Dia kata dekat aje tempat yang dia nak pergi. Rasanya dalam dua situasi yang saya contohkan, si ibu membebel dan saya pun membebel. Kalau tak bebel, jadilah pepatung yang tak peka kepada surah al-Asri, surah az-Zariayat dan surah al-'Ala. Bukankah kita dianjur beri peringatan termasuk peringatan kepada suami/isteri, anak-anak dan ibu bapa jika perkara yang berlaku menyalahi agama.

BG : Betul, betul, betul… berleter itu perlu dan harus dilakukan dalam keadaan tertentu, darurat dan juga dalam hal-ehwal ‘amal maaruf nahi mungkar’. Ok, cukup dulu komen fasal berleter. Mari kita lihat kisah yang elok dijadikan teladan, seperti yang dipetik di bawah.

Tentu ada di antara kita pernah mendengar kisah seorang lelaki mengunjungi Umar bin al-Khattab untuk mengadu perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu, menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun. Maka lelaki itupun beredar sambil berkata kepada dirinya sendiri: “Jika beginilah keadaan Umar, seorang Amirul-Mukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku?”

Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi sudah beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya. Lelaki itu berkata: “Wahai Amirul-Mukminin, aku datang untuk mengadu perangai isteriku yang buruk dan suka berleter di hadapanku. Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku, jika beginilah keadaan Amirul-Mukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku.”

Umar berkata kepadanya: “Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atasku. Sesungguhnya dia memasak makananku, mengadun roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan karenahnya.”

Lelaki itu menjawab: “Wahai Amirul-Mukminin, demikian jugalah isteriku? Umar pun berkata kepadanya: “Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya karenahnya itu tidak lama, hanya seketika saja.

Apakah teladan yang dapat kita belajar dari kisah di atas? Memanglah tiada nas yang menggalakkan isteri berleter atau membebel, tetapi adakah larangan berleter juga, kan? Agaknya sebab itulah orang dok ulang kisah itu untuk ‘membenarkan’ aktiviti membebel...

SEBENARNYA kisah itu hendak menyuruh mendidik suami sabar dengan karenah isteri. Bukan sedikit suami hari ini yang tidak sabar, lantas ada yang menceraikan isteri sebab alasannya isteri suka berleter atau membebel. Cuba semak alasan cerai orang sekarang. Macam-macam seperti selekeh, perut buncit, badan busuk dan bebel juga salah satu sebabnya. Saya tidak mengganggap membebel itu satu kesalahan, tapi jika terlalu kerap pun mendatangkan mudharat juga, sampai boleh dapat talak pula... yare... yare...

Realiti

Realitinya, orang yang berleter beranggapan itulah cara terbaik bagi menarik perhatian individu yang dileterinya terhadap perkara yang cuba diketengahkan. Umumnya, wanita sering kali dianggap sebagai ‘kaki leter’ yang hebat. Di rumah, suami dan anak-anaklah yang menjadi sasaran utama leteran.

Isteri perlu mengikis dan menyingkirkan sikap buruk ini kerana leteran tidak membawa kesan yang diharapkan, malah membawa beberapa kesan negatif, antaranya :
  • Leteran menjatuhkan maruah wanita itu sendiri
  • Leteran yang berterusan menyebabkan mesej yang hendak disampaikan tidak sampai ke sasaran.
  • Leteran yang diharapkan dapat menyampaikan mesej dianggap oleh suami sebagai tidak penting bagi dibincangkan dengan lebih mendalam.
  • Leteran yang diamalkan secara berterusan, boleh menyebabkan wanita itu menjadi pelatah di kemudian hari.
  • Leteran yang sering dilakukan akan menudarkan keharmonian dalam kekeluargaan.
  • Leteran yang ditujukan kepada suami secara bertalu-talu dan kerap boleh menyebabkan suami berasa bosan dan mungkin mencari jalan kelaur dengan cara meninggalkan rumah ataupun mencari orang ketiga bagi meluahkan perasaan bosan, kecewa, marah yang terpendam.
  • Leteran yang menyebabkan suami menjauhkan diri daripada berdepan dengan isteri, menyebabkan si isteri terus memendam rasa ataupun bercakap sendirian kerana sasaran leterannya tiada.

Apa yang isteri perlu lakukan?


Leteran bukan jalan penyelesaian yang terbaik bagi meluahkan perasaan ataupun menegur kesilapan orang lain terutamanya suami. Ini kerana walaupun mesej yang cuba disampaikan adalah penting, tetapi kesilapan teknik menyampaikannya menyebabkan mesej gagal diterima dengan baik oleh suami. Ini bukan sahaja memberatkan lagi masalah, malah membebankan lagi perasaan isteri. Oleh itu, isteri perlu mencari beberapa teknik yang lebih berkesan untuk dijadikan cubaan bagi meluahkan perasaan ataupun menegur sesuatu kesilapan yang secara langsungnya dapat menghapuskan sikap suka berleter.

Antaranya adalah :
  1. Sentiasa bergaul dengan orang yang berhemah tinggi bagi mmpelajari dan mendapatkan contoh teladan beberapa sikap yang baik bagi dipraktikkan.
  2. Sentiasa berbincang atau bermesyuarat bagi menyelesaikan sesuatu masalah, meluahkan perasaan tidak puas hati dan menegur sesuatu kelemahan. Hal ini memerlukan isteri memegang peranan penting sebagai penggerak kepada usaha ini supaya perbincangan dan mesyuarat menjadi tradisi hidup berumahtangga.
  3. Isteri perlu belajar dan berusaha untuk bersikap positif, tenang dan sabar apabila menghadapi sesuatu perkara ataupun masalah.
  4. Setiap kebaikan dan kelemahan suami perlu diketahui oleh isteri. Setiap kelebihan dan kelemahan itu perlu pula diterima dengan ikhlas atau seadanya.
  5. Sentiasa melakukan penilaian dan mengingatkan diri sendiri mengenai keburukan tabiat suka berleter. Ini dapat juga dilakukan dengan cuba meletakkan diri sendiri pada diri orang yang dileteri. Ingatlah, sekiranya kita tidak suka dileteri, begitu juga orang lain.
  6. Apabila menegur suami, berilah dia peluang untuk membela diri, bukannya dengan cara mengasaknya bertubi-tubi dengan leteran dan teguran. Jika iteri memberi suami peluang untuk membela diri, suatu perbincangan yang lebih sihat mungkin dapat dilakukan dengan baik.
  7. Isteri perlu mengambil inisiatif untuk menjalinkan kemesraan dan merapatkan jurang komunikasi dengan suami. Ini penting kerana jika terdapat jurang komunikasi dalam perhubungan, maka sukarlah hendak melakukan perbincangan yang berkesan dengan pasangan.
  8. Menggunakan cara penyelesaian masalah secara sistematik iaitu :
  • Mengkaji latar belakang masalah terlebih dahulu.
  • Menentukan sebab musabab dan hubung kait faktor-faktor yang bertanggungjawab menimbulkan masalah.
  • Mengukur tahap keseriusan masalah yang dihadapi.
  • Membuat unjuran kesan masalah itu jika ia tidak dapat diatasi dengan segera.
  • Mencari kaedah penyelesaian dan alternative yang terbaik bagi menyelesaikan masalah.
  • Jika sedang marah, marahkanlah perkara-perkara yang betul sahaja, bukannya melepaskan geram kepada isu-isu yang kurang tepat. Misalnya jika isteri marahkan suami yang pulang lewat, sedangkan perasaan sebenarnya isteri berasa rindu ataupun sunyi di rumah, maka nyatakanlah perasaan yang sebenarnya. Bukan dengan melakukan tuduhan yang kurang tepat kepada suami. Memang sukar hendak berterus terang kerana mungkin kenyataan akan memalukan diri sendiri. Apa yang penting adalah selitkan rasa kasih sayang semasa melayan perasaan marah.
  • Serangan bertubi-tubi secara lisan adalah tidak adil dan bahaya. Oleh itu, berhati-hati semasa cuba menegur ataupun meleteri pasangan. Jangan mengeluarkan kata-kata menghina dan memanggil gelaran ataupun nama suami. Keadaan ini hanya menambahkan luka di hati suami dan mengusutkan lagi keadaan.
  • Jangan suka menyimpan rahsia, perasaan marah ataupun dendam untuk dibangkitkan apabila berlaku isu leteran. Keadaan ini bukan sahaja memeningkan kepala suami, malah menyebabkan suami rasa terkejut dan sukar menduga ataupun mempercayai isteri. Lebih baik bersama-sama menyelesaikan masalah yang berlaku pada hari itu kemudian dilupakan tetapi jika suami mengulangi kesalahannya, beritahulah dengan baik.

Panduan menjauhkan tabiat berleter
  1. Bergaul dengan orang yang berhemah tinggi.
  2. Mempelajari dan mengambil contoh sikap yang baik.
  3. Berbincang bagi menyelesaikan masalah.
  4. Sentiasa berfikiran positif.
  5. Sentiasa bertenang dan bersabar.
  6. Mengenal pasti kelebihan dan kelemahan suami.
  7. Sentiasa mengingatkan diri mengenai keburukan tabiat berleter.
  8. Merapatkan jurang komunikasi dengan suami.
  9. Menyelesaikan masalah secara sistematik.
  10. Marah perkara yang betul sahaja.
  11. Berhati-hati semasa menegur suami.
  12. Jangan berdendam dengan suami.

Kesimpulan


Kita sama-sama maklum, dalam zaman moden yang serba mencabar ini terutamanya di bandar-bandar besar, kita tidak dapat mengelakkan kos sara hidup yang tinggi, sekaligus memerlukan kedua-dua suami isteri keluar bekerja. Si isteri telah melakukan pengorbanan mencari rezeki tambahan untuk menyara keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami. Jadi sudi apalah kiranya suami bersama-sama meringankan tugas si isteri seadanya. Bukankah Rasulullah SAW telah berpesan supaya para suami berbuat baik kepada isteri mereka? Jikalau isteri taat kepada kalian, janganlah pula menyusahkan mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah an-Nisaa’ ayat 19)

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti diberikan kepada Ayyub kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun.”

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud, “Orang-orang yang terbaik daripada kamu sekalian adalah yang lebih baik dalam mempergauli keluarganya dan aku adalah yang terbaik dalam mempergauli keluarga ku.”

Sikap isteri yang tidak menghormati suami adalah adalah gejala sosial muslim pada hari ini. Tabiat isteri yang suka meleteri suami dan tabiat suami yang suka meletakkan semua tanggungjawab rumahtangga ke atas bahu isteri semata-mata, MESTILAH dihentikan, demi menjaga keutuhan dan kebahagiaan rumahtangga. Kepada kaum lelaki dan wanita yang sudah berumahtangga, marilah kita sama-sama belajar saling membahagiakan dan tolong-menolong dalam meringankan beban pasangan kita.

Mudah-mudahan entry kali ini dapat memberi walau sekelumit manafaat kepada kita semua, amiin.




Sumber : Buku 'Luahan hati suami' dan al-Falaah

Capaian entry berkaitan :
  1. Suami dengar nasihat isteri
  2. Balasan pahala jika suami bersabar sikap buruk isteri
  3. Kisah dari Mahkamah Syariah: Mohon cerai gara-gara suami kuat membebel
  4. Lelaki berdiam diri tanda protes
  5. Sekadar renungan - Sejenak di Alam Rumahtangga
  6. Tiga sikap buat wanita tampak hodoh
  7. Tanya Pakar: Lelaki terpuji

1 ulasan:

Kongsikan komen anda di sini...