“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Oktober 30, 2009

Lelaki berdiam diri tanda protes

Oleh Nor Affizar Ibrahim


Pasangan perlu tahu apa masalah belenggu suami termasuk
mungkin bosan dengan kerenah isteri


SEORANG wanita yang secara kebetulan bertemu dengan teman lama dan mengetahui rakannya itu sepejabat dengan suami secara spontan bertanya, bagaimanakah sikap suaminya ketika di tempat kerja.

Kata wanita itu, di rumah suaminya seorang yang agak pendiam dan sukar diajak berbual. Malah, sepatah ditanya maka sepatah yang lazimnya akan dijawab oleh suami. Wanita itu mengeluh lagi, katanya, keadaan itu membuatkannya berasa bosan dan ada kala tertekan dengan sikap suami.

Peliknya ketika bercinta dulu, suami rancak bercakap dan pelbagai topik dibangkitkan hinggakan kadangkala dirinya sendiri tidak berpeluang bercakap.

Bagaimanapun, wanita itu mengakui suaminya seorang lelaki yang baik, dan tidak pernah mengabaikan keperluan rumah tangga termasuk tanggung jawab terhadap anak. Cuma yang tidak menyenangkan hati, suami terlalu pendiam dan lebih suka membuat hal sendiri seperti membaca surat khabar, lebih gemar tidur walaupun waktu siang hari atau rajin membasuh kereta selepas berkahwin.

Mendengar segala luahan itu, teman lamanya agak sedikit terkejut. Setahunya, di pejabat suami kepada rakannya itu tidak berhenti bercakap dan ada saja topik yang hendak dibincangkan. Kadangkala, bergurau dan mengusik rakan lain serta rajin juga bergosip sesama teman. Kenapa pula jadi begitu?

Kaunselor berdaftar Universiti Malaya, Hushim Salleh, berkata senario suami menjadi pendiam dalam rumah tangga dan berubah watak apabila berada di luar memang banyak berlaku. Malah, sepanjang mengendalikan kaunseling perkahwinan, masalah seumpama itu adalah antara isu atau konflik rumah tangga yang kerap diluahkan oleh isteri.

Beliau berkata, ada isteri yang mengadu mereka putus asa dan membiarkan suami dengan sikap pendiam asalkan rumah tangga bahagia. Namun, ada juga wanita yang terus bersabar dan terpaksa memendam perasaan serta terus berada dalam keadaan tertekan.

“Berdasarkan kajian kes banyak faktor yang menyebabkan suami menjadi pendiam ketika di rumah dan antaranya ialah tidak wujud lagi hubungan mesra antara pasangan berkenaan seperti mana mereka bercinta dulu. Faktor lain ialah timbul kebosanan suami terhadap kerenah isteri yang selalu mengongkong, banyak bertanya dan asyik membebel atau bercakap tidak berhenti-henti tanpa mengira tempat dan keadaan. Untuk ‘melarikan diri’ daripada semua itu dan tidak mahu menimbulkan konflik serta keadaan haru biru, lelaki memberontak atau protes secara diam dengan mengambil sikap mendiamkan diri,” katanya.

Beliau berkata, sikap seperti itu sebenarnya tidak baik untuk hubungan antara suami isteri. Sikap dan tindakan suami itu akan lebih menyakitkan hati isteri yang tidak faham serta tidak tahu apa-apa dipendamkan oleh pasangannya.

Bagaimanapun, Hushim, berkata tidak semua lelaki bersikap seperti itu sebaliknya, ada yang boleh bersoal jawab dan tidak kisah jika pasangannya bertanya apa saja dilakukannya serta mengetahui segala tindak tanduknya. Begitu pun, beliau berkata, lazimnya antara lelaki dan wanita, pihak isteri sememangnya paling banyak mengajukan pertanyaan. Wanita menganggap dengan bertanya dan bersoal jawab ia sebagai suatu cara untuk mencari jalan penyelesaian. Malah, ada isteri begitu agresif bertanya itu dan ini sehingga terkeluar kata-kata yang tidak elok didengar.

“Selain kedua-dua faktor itu, suami bertukar menjadi pendiam mungkin juga disebabkan ada orang ketiga dalam rumah tangga. Suami bukan takut dengan isteri tetapi mengambil jalan selesa dengan hanya berdiam diri dan membiarkan isteri saja bercakap atau bertanya.”

“Suami seperti itu bijak bermain psikologi dan dia tahu, apabila tiba masa isteri akhirnya akan berhenti bertanya apabila soalan diajukan tidak dijawab. Selain itu, ada suami yang bimbang jika dia menjawab maka akan lebih banyak lagi pembohongan yang dibuatnya kepada isteri,” katanya.

Hushim berkata, memang ada suami yang hanya bersikap pendiam di rumah atau bersama pasangan, tetapi tidak bersikap seperti itu ketika berada bersama rakan atau di luar rumah seperti di tempat kerja. Suami yang bersikap sedemikian boleh dianggap berada dalam dua dunia berbeza atau bertopeng apabila berada dalam situasi berbeza. Antara alasan diberikan, tiada cerita yang boleh dikongsi bersama atau topik menarik yang perlu dibincangkan dengan isteri. Ada juga yang selamba berkata, ketika bercinta dulu, sudah banyak perkara dibincangkan bersama sehingga tiada ‘modal’ lagi untuk dijadikan bahan perbualan.

“Kata-kata seperti itu silap sama sekali. Selepas berkahwin sepatutnya, lebih banyak yang perlu diperbincangkan dan dirunding bersama kerana tanggungjawab semakin bertambah. Ini termasuklah, cara menguruskan kewangan atau hal pelajaran anak. Berbanding ketika bercinta, isu yang dibincangkan tentulah lebih banyak mengenai soal kasih sayang, kesetiaan dan perasaan cinta,” katanya.

Beliau berkata, selain berbincang mengenai isu kekeluargaan dan tanggung jawab, suami isteri juga boleh berkongsi cerita atau meluahkan perasaan masing-masing mengenai hal di luar seperti masalah di tempat kerja atau tekanan dihadapi. Sebagai contoh, apabila suami bercakap mengenai sesuatu hal seperti masalah di pejabat, isteri sepatutnya cuba menyesuaikan topik itu dan perlu memberi sokongan kepada pasangan. Sebagai wanita, tidak rugi jika sekali-sekala mengalah dan mendengar apa yang dicakapkan suami daripada anda bercakap hal lain. Pada masa sama, isteri perlu menjadi pendengar yang baik kepada suami dan cuba elakkan banyak menyampuk supaya suami tidak berasa bosan.

Hakikatnya, kata Hushim, sindrom suami menjadi pendiam di rumah tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana konflik seperti itu bukan saja membuatkan rumah tangga menjadi hambar, tetapi turut menyebabkan sehingga berlaku perceraian.

“Lelaki perlu bersikap terbuka dan membuka ruang untuk berkomunikasi selalu dengan isteri. Sikap suami yang terus membisu boleh memberikan tekanan kepada isteri. Malah, konflik yang timbul boleh memberi kesan kepada anak. Paling dikhuatirkan, isteri yang dalam keadaan tertekan akan bertindak melampaui batas sehingga bersikap ‘pindah gantian’ kepada anak dan melakukan perkara negatif seperti yang berlaku dalam beberapa tragedi sedih antara ibu dan anak sebelum ini,” katanya.

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails