Oleh Juanda Jaya
Orang berilmu mesti ikhlas sampaikan kebenaran, cari reda Allah dengan iman dan amal
AGAMA tidak boleh dibeli dengan duit tetapi hanya dapat dimiliki hati yang ikhlas, tunduk dan setia kepada Allah SWT, serta menepati Sunnah jalan kehidupan Rasulullah SAW. Maka agama itu sah hanya menjadi milik orang yang mukhlis dan muttabi' (mengikuti) jalan kehidupan Rasulullah SAW.
Jika agama boleh dibeli, hanya orang kaya yang akan masuk syurga. Mereka boleh bertaubat dengan duit bukan kerana keikhlasan hatinya. Setiap tahun mereka pergi mengerjakan haji tetapi setiap kali balik haji, dosa dan maksiat yang sama diulangi lagi. Atau mereka yang suka mewakilkan sebarang ibadah dengan perantaraan ustaz dan lebai upahan. Bayar orang mengaji dan berjemaah di rumah tetapi pemilik rumah sendiri tidak sembahyang atau kenal al-Quran.
Jika sudah meninggal nanti, senang saja hendak tebus dosa dengan kenduri tahlil upahan. Berebut-rebut membayar segelas air Yasin dengan harga yang lumayan tinggi untuk melariskan perniagaan, mengubat penyakit, menundukkan isteri agar reda dengan kehendak suami yang mahu berkahwin lagi dan bermacam-macam lagi khasiat yang dipercayai boleh memenuhi hajat.
Alangkah hodohnya agama ini, jika ajarannya boleh dijual beli sesuka hati. Seolah-olah semua masalah itu boleh diselesaikan dengan duit, maka selamatlah mereka masuk syurga. Biarlah maksiat dikumpul, daripada dosa besar dan kecil. Kerana bagi mereka bukankah semua boleh dirunding dengan membeli doa, sembahyang dan bacaan al-Quran atau menderma kepada anak yatim?
Jika orang Islam memahami agamanya dengan pemikiran jahil dan tempang sebegini, maka hancurlah harapan matlamat syiar tauhid yang dibawa Nabi dan Rasul. Seperti orang Yahudi dan Nasrani menyelewengkan ajaran agama dengan permainan politik wang mereka sehingga boleh membeli agama dengan harga murah. Pahala dan dosa dibeli dan ditebus dengan jaminan tokoh agama. Tokoh agama mereka pula dilimpahi harta ditimbun di dalam rumah ibadat kemudian mereka menyembunyikan kebenaran dan membiarkan umatnya hidup bergelumang dosa, bahkan mereka berani melakukan penyelewengan fatwa agama agar mengikut hawa nafsu mereka dan menguburkan ajaran tauhid murni yang ditinggalkan Nabi.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah kami menerangkannya kepada manusia dalam Al-Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati." (Surah Al-Baqarah: 159)
Begitulah keadaan orang yang berilmu tetapi menyembunyikan kebenaran kerana mahu mendapatkan keuntungan dunia yang sedikit. Mereka membiarkan umat dalam kesesatan asalkan mereka dibayar dengan harga yang murah. Apakah pelaku maksiat boleh berasa aman dan selamat dengan membayar duit atas dosa itu? Pada hal hati tidak boleh dibohongi dan sememangnya mereka masih dihantui ketakutan dikejar rasa bersalah akibat mempermainkan agama Allah, bahkan mereka menipu Allah SWT.
Sesungguhnya reda Allah SWT tidak dapat dibeli dengan duit, ia hanya dikurniakan kepada orang yang ikhlas, taat dan setia kepada ajaran-Nya tanpa berbelah bagi. Contoh manusia yang mulia ini dizahirkan Allah SWT pada diri Nabi dan Rasul berserta umat mereka yang setia. Mereka membeli keredaan Allah dengan tauhid yang murni, ilmu dan amal yang teguh mengikut landasan wahyu dan bekerja untuk memperjuangkan agama.
Tidak sesekali mereka memilih sesuka hati mana ajaran yang disenangi dan mana yang dibenci untuk ditinggalkan. Semuanya wajib ditaati di sisi Allah SWT. Orang yang mengharap keredaan Allah bertungkus lumus mencari hidayah-Nya dengan pencarian ilmu sepanjang hayat. Ibnu al-Qayyim pernah berkata, "Ilmu hakiki adalah firman Allah, ia adalah tingkat pertama, sabda Rasulullah, ia adalah tingkat kedua dan kata-kata sahabat, ia adalah tingkat ketiga". Setiap mukmin mesti berpegang dengan ketiga-tiga kekuatan ini jika ia tidak mahu tersesat. Kerana ramai yang mengamalkan agama mengikut selera akal saja tanpa mahu tunduk kepada Al-Quran, Sunnah Rasulullah SAW dan amalan Salafus Saleh yang sahih daripada mereka.
Semestinya pencari reda Allah SWT menjadikan Al-Quran sebagai bacaan wajib yang tidak sesekali ditinggalkan. Kemudian dia menggandingkan dengan hadis Rasulullah SAW yang menterjemahkan ajaran al-Quran secara nyata dalam kehidupan seharian. Keduanya, bukan hanya dibaca tetapi semestinya dihadam secara halus untuk direalisasikan dengan sikap dan perbuatan yang sesuai dengan nilai al-Quran, seperti jawapan Aisyah ketika ditanya mengenai sikap dan akhlak Nabi SAW, beliau berkata, "Sesungguhnya Rasulullah SAW seperti Al-Quran yang berjalan."
Seperti manusia kini yang sempurna pada ibadat tertentu tetapi hancur akhlak dan moralnya. Pada hal akhlak adalah bukti benarnya akidah seseorang. Contohnya ahli sembahyang yang derhaka kepada ibu bapa, kaki masjid yang menghabiskan masanya berzikir tetapi kuat mengampu, memfitnah dan mengaibkan orang. Seseorang yang kononnya membela dakwah tetapi tidak bertanggungjawab kepada keluarga.
Rasulullah SAW hidup dengan perjuangan dan jihad membina masyarakat bukan semata-mata duduk di masjid untuk beribadah sepanjang masa. Kerana agama yang dibawa Rasulullah SAW ini bukan hanya mengatur urusan hamba dengan Tuhan, tetapi juga membabitkan sesama makhluk dan alam semesta.
Selepas sempurna ilmu dan amal, akidah dan akhlak seseorang demi mengharap reda Allah SWT, maka usaha yang lebih mendekati Allah adalah dengan memperjuangkan agama. Kadang-kadang ilmu dan akhlak boleh menipu seseorang, ramai yang memanfaatkan keduanya untuk kepentingan dunia dan peribadi melebihi keredaan Allah.
Di sinilah diperlukan bukti yang menunjukkan ilmu dan akhlaknya bersih iaitu dengan mencurahkan segala khazanah ilmu dan akhlak itu untuk menegakkan agama.
Allah SWT menetapkan dalam firman-Nya bahawa reda Allah hanya dikurniakan kepada orang berjihad: "Dan orang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik." (Surah Al-Ankabut: 69)
Penulis ialah Mufti Perlis
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20091019233400/Article/index_html
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...