Soalan:
SUAMI menceraikan saya yang kini bersama-sama empat anak tanpa sebarang nafkah sejak enam bulan lalu. Buat masa ini saya dan anak terpaksa menyewa di rumah flat, sedangkan suami saya mempunyai dua rumah yang dibeli ketika tempoh perkahwinan kami. Demi menjaga hak saya dan anak-anak, saya memohon kepada mahkamah syariah tuntutan harta sepencarian terhadap kedua-dua rumah itu. Saya mendapat maklumat bahawa bekas suami saya akan menjual salah sebuah rumah itu dan akan berkahwin baru. Saya amat risau jika sekiranya rumah itu terjual dan jatuh ke tangan isteri baru bekas suami saya sebelum kes saya selesai. Apa yang perlu saya lakukan?
Rokiah Dali
Segambut, Kuala Lumpur
Jawapan:
Pertamanya saya amat bersimpati dengan apa yang menimpa puan dan anak-anak. Saya juga bangga kerana puan tahu apa hak puan dan anak selepas diceraikan.
Bagi melindungi hak dan kepentingan puan terhadap kedua-dua rumah itu, cara terbaik untuk puan menghalang bekas suami puan daripada menjual atau memindahkan rumah itu kepada orang lain adalah membuat permohonan kaveat persendirian di pejabat tanah yang berkaitan mengikut Seksyen 324(1) Kanun Tanah Negara (KTN).
Kaveat persendirian adalah hak untuk menghalang sebarang urus niaga dan juga bukan urus niaga terhadap sesuatu hartanah oleh mana-mana individu yang mempunyai kepentingan berdaftar terhadap hartanah itu. Ini jelas diperuntukkan Seksyen 323 KTN.
Untuk tujuan permohonan kaveat ini puan perlu mengisi borang 19B yang boleh diambil di pejabat tanah berkaitan berdasarkan kepada nombor hak milik yang tertera pada geran tanah itu. Selanjutnya borang 19B, itu hendaklah dilampirkan bersama-sama akuan bersumpah puan bersama-sama dengan alasan mengapa kaveat persendirian didaftarkan. Akuan bersumpah itu hendaklah ditandatangani dan diikrarkan di hadapan pesuruhjaya sumpah atau pentadbir tanah.
Seterusnya puan boleh nyatakan bahawa kaveat ini didaftarkan bagi tujuan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah sebagai alasan bagi permohonan itu.
Adalah diingatkan bahawa bayaran pendaftaran bagi permohonan kaveat berbeza dari negeri dengan satu negeri yang lain. Kaveat persendirian ini hanya boleh berkuat kuasa selama tempoh enam tahun saja. Sekiranya tempoh itu tamat maka puan dikehendaki membuat permohonan baru di pejabat tanah berkenaan pada setiap enam tahun sekali tanpa apa-apa had melainkan bekas suami puan mempunyai perintah mahkamah agar kaveat itu dikeluarkan atau dibatalkan.
Kesan daripada pendaftaran kaveat persendirian ini, bekas suami puan tidak dapat menjual rumah berkenaan kerana urus niaganya dihalang oleh kaveat itu. Pada kebiasaannya sebelum mana-mana perjanjian jual beli dibuat, satu carian hak milik akan dibuat di mana-mana pejabat tanah berkaitan bagi memastikan status tanah itu. Hasil daripada carian itu, pembeli akan memaklumkan kepada suami puan bahawa urus niaga jual beli terhalang dan tidak dapat dibuat disebabkan kaveat itu .
Oleh itu hak puan terpelihara sehingga mahkamah syariah membuat keputusan sewajarnya. Saya menasihatkan puan agar melantik mana-mana peguam yang berpengalaman dan bertauliah dalam membuat permohonan kaveat, bagi melicinkan perjalanan kes puan. Saya harap jawapan saya ini boleh membantu puan dalam menyelesaikan permasalahan berkenaan.
Jawapan ini disediakan oleh Exco Penerbitan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Yusmawati Abllah
Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Agama/20091028235002/Article/
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Jumaat, Oktober 30, 2009
Hak Muslim: Mahu halang bekas suami jual rumah dibeli ketika bersama
Susunan :
Bawang Goreng
pada
10/30/2009 04:55:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...