TENGKU Abdullah bertanya sesuatu kepada Zarina di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan baru-baru ini.
KES mencederakan individu dengan menyimbah asid kembali menjadi-jadi mutakhir ini. Antara kes yang mendapat perhatian banyak pihak membabitkan seorang isteri, Zarina Wahab, 44 yang disimbah asid oleh suaminya semata-mata setelah mangsa menolak ajakan melakukan seks. Rujuk entry Tolak seks, isteri melecur kena simbah cuka getah.
Malang sungguh apabila alasan keengganannya melakukan hubungan kelamin kerana tidak sihat dan sakit kepala dibalas dengan simbahan cuka getah. Akibatnya, muka dan tubuh wanita itu cedera parah kerana melecur.
Ekoran insiden itu, suaminya, Supian Hani Ismail, 47, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan dan mahkamah memutuskan hukuman penjara enam tahun serta sebatan dua kali. [NB: Rasanya ini bukanlah balasan setimpal kerana kecacatan kekal yang dilakukan suami wajar dibalas dengan hukum qisas!]
Banyak pihak yang prihatin terhadap nasib Zarina yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Ketua Wanita UMNO Pahang, Datuk Rosni Zahari antara yang tampil menziarahinya.
Ikuti temu bual Jurnal dengan Zarina ketika ditemui baru-baru ini. Wartawan KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM melaporkan.
JURNAL: Boleh puan ceritakan apa yang sebenarnya terjadi pada malam kejadian itu?
ZARINA: Pada hari tersebut, saya berasa kurang sihat dan tidak sedap badan. Selepas habis waktu bekerja, saya terus pulang ke rumah lebih kurang pada pukul 7 malam. Sampai di rumah, saya terus makan ubat, rehat lalu masuk tidur. Entah kenapa hari itu kepala saya berasa sangat sakit dan anggota badan menjadi lemah. Kebetulan suami, Supian tiada di rumah ketika itu. Kira-kira pukul 2 pagi, tiba-tiba saya dikejutkan suami yang baru pulang sambil marah-marah, (dia) mengajak melakukan hubungan kelamin. Saya menolak kehendaknya secara baik dengan alasan kurang sihat. Mendengar jawapan itu suami yang memang panas baran tiba-tiba naik angin dan maki hamun saya. Tidak lama selepas itu, tanpa saya sedar, dia datang semula lalu menyimbah sesuatu berupa cecair ke muka saya. Sebaik terkena simbahan itu muka dan tubuh saya menjadi panas dan (rasa) terbakar. Saya menjerit kesakitan dan berlari mendapatkan air bagi membasuh bahagian yang sakit berulang-ulang sebelum bergegas ke rumah jiran meminta pertolongan. Saya ralat sangat kerana anak yang berusia tujuh tahun turut terkena percikan (yang dipercayai) cuka getah ketika cuba membantu saya. Mujur keadaannya tidak kritikal, kalau tidak musnahlah masa depan anak saya itu.
JURNAL: Malam itu puan betul-betul sakit?
ZARINA: Ya, pada malam tersebut saya memang betul-betul tidak sihat. Sejak siang lagi saya rasa tidak sedap badan. Kepala saya sakit sangat. Seingat saya, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada suami.
KETUA Wanita UMNO Paya Besar, Kuantan, Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman (kiri) turut meluangkan masa melawat Zarina.
JURNAL: Adakah suami puan seorang yang panas baran?
ZARINA: Ya, suami saya seorang yang sangat panas baran. Malah, tidak keterlaluan kalau saya katakan dia seorang lelaki yang pelik kerana cara dia mendidik anak-anak tidak seperti bapa lain. Dia sanggup menambat kaki anak saya kononnya tidak mahu anak menjadi liar dan tidak mendengar kata. Dia juga pernah mengugut untuk mencederakan saya sekiranya tidak menurut kehendaknya. Bukan sekali, tetapi sudah berkali-kali. Pendek kata, kehidupan selama 15 tahun bersamanya saya sentiasa dihantui perasaan takut dan diselubungi kesedihan. Sebelum ini saya pernah berniat untuk menuntut cerai daripadanya kerana tidak tahan dengan sikap barannya yang tidak menentu. Tetapi, apabila mengenangkan anak-anak, saya terpaksa akur serta bersabar dengan tingkah lakunya itu.
JURNAL: Sudah berapa lama puan berkahwin? Berapa ramai anak yang lahir dari perkongsian hidup bersamanya?
ZARINA: Hampir 15 tahun saya hidup melayari perkahwinan bersamanya. Itu pun kami dikenalkan oleh sahabatnya, bukan atas sebab perasaan cinta. Kebetulan ketika itu saya (berstatus) janda anak tiga. Tanpa berfikir panjang dan demi masa depan anak-anak (bersama bekas suami terdahulu), saya akhirnya terima lamaran itu. Saya mendapat tiga cahaya mata hasil perkongsian hidup bersamanya, masing-masing berumur 14, 8 dan 7 tahun.
JURNAL: Bagaimana perasaan puan terhadap suami sekarang? Marah, kecewa atau sudah boleh memaafkan suami?
ZARINA: Sudah hilang semua perasaan sayang walau sebesar kuman. Saya tidak pernah menyimpan dendam terhadap suami dan reda dengan ketentuan Ilahi. Mungkin sudah suratan nasib saya begini. Apa pun selepas ini, saya tidak mahu hidup bersamanya lagi. Saya nekad dan ingin melupakan terus segala kenangan ketika hidup di sampingnya. Namun begitu, saya tetap maafkan akan segala perbuatan kejamnya terhadap saya selama ini. Selepas ini, saya tidak mahu ada apa-apa kaitan lagi dengan lelaki itu. Cukuplah apa yang dilakukannya dan jangan harap saya akan kembali ke pangkuannya.
JURNAL: Jika ditakdirkan masih bersama, adakah puan berani untuk menolak ajakan seks selepas ini?
ZARINA: Tidak akan ada takdir lagi (untuk terus) bersamanya. Saya sudah buang semua kenangan bersamanya. Walaupun ada perasaan marah dan benci, saya tetap simpati terhadapnya. Biarlah dia dihukum kalau itu sahaja yang boleh buat dia sedar. Saya bersyukur kalau sudah ditetapkan Allah yang hukuman itu sahaja yang boleh buat dia insaf. Selepas ini, saya akan terus bekerja di tempat lama untuk menyara kehidupan kami sekeluarga. Saya tidak mahu lagi mengenang kisah sedih serta mahu memulakan hidup baru demi untuk membesarkan tiga orang anak yang masih bersekolah.
Sumber : Kosmo 18 Apr 2010
Capaian entry berkaitan :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...