PAGE

Isnin, Julai 26, 2010

Sekolah khas untuk pelajar mengandung tidak sesuai...


Assalamualaikum warahmatullah,

Saya sempat membaca berita dengan tajuk ‘Sekolah khas untuk pelajar mengandung’ di Kosmo! 24/07 pada hari Sabtu lepas. Menurut berita, sekolah khas untuk pelajar mengandung dicadang bagi mengelak berulangnya kes seperti bayi perempuan dalam gambar ini yang ditemui di perhentian bas oleh orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, 23/07/2010.

Kerajaan negeri Melaka semalam mengemukakan cadangan menubuhkan sekolah khas untuk pelajar mengandung, sama ada mengandung hasil perkahwinan sah atau menerusi perhubungan luar nikah, bagi mengatasi gejala pembuangan bayi sekaligus menyelesaikan isu keciciran dalam pelajaran. Jika menjadi kenyataan, sekolah itu akan menerima pelajar dari seluruh negara.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, cadangan penubuhan sekolah itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran untuk pertimbangan. Katanya, mereka (kerajaan negeri Melaka) serius mengenai cadangan itu, jika kementerian tak setuju, mereka sendiri akan mengusahakan penubuhannya.

Mohd. Ali berpendapat adalah lebih baik remaja yang mengandung mempunyai saluran meneruskan persekolahan daripada berhenti dan seterusnya tercicir dalam pelajaran. Beliau bagaimanapun tidak mahu cadangan itu disalah-tafsir sebagai galakan untuk remaja berkahwin atau hamil anak luar nikah.

“Apa yang penting kita nak selesaikan masalah remaja berzina dan selepas itu mereka buang bayi,” katanya.

Bagi membantu remaja yang masih bersekolah untuk berkahwin, beliau turut mengumumkan pemberian insentif RM500 kepada mereka untuk membantu urusan perkahwinan. Perkara ini telah dibincangkan bersama MAIM (Majlis Agama Islam Melaka) dan diluluskan pada mesyuarat Exco dua bulan lalu.

Ini satu berita yang tidaklah begitu memeranjatkan, sebab sebelum ini, sudah diadakan ‘tempat pembuangan perlindungan bayi’ atau ‘Baby Hatch’ yang beroperasi 24 jam di alamat 6, SS1/24A, Kampung Tunku di Petaling Jaya, Selangor.

Sekolah khas pelajar hamil tidak sesuai


Saya lebih setuju dengan pendapat Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menyifatkan cadangan untuk menubuhkan sekolah khas bagi pelajar yang mengandung akibat terlanjur atau berkahwin pada usia muda sebagai suatu idea yang PELIK dan tidak sesuai dilaksanakan. [rujuk : UM25/07/2010]

Menurutnya, cadangan itu juga tidak akan menyelesaikan masalah gejala pembuangan bayi malah dikhuatiri akan menggalakkan lebih ramai pelajar terlibat dalam perbuatan yang tidak bermoral itu. Bukankah kita sudah ada pusatkhidmat masyarakat yang sesuai untuk kes sebegini, contohnya : Raudhatus Sakinah, KEWAJA di Gombak dan beberapa lagi.

Hairan bin Ajaib... pihak yang berkuasa (kerajaan la, bagi saya) sewenang-wenangnya mengumumkan penyelesaian jangkamasa pendek tanpa mahu memikirkan atau mencari jalan penyelesaian untuk jangkamasa panjang bagi sesuatu permasalahan yang timbul. Sudah ketandusan ideakah orang-orang kerajaan? Mengapa tidak mahu ambil pendekatan, berbincang dengan badan-badan NGO... (nak bincang dengan BG pun ok juga...)

Memanglah sekolah khas untuk pelajar mengandung ini suatu idea yang pelik dan tidak begitu sesuai dilaksanakan kerana apakah nanti kita perlu buat sekolah khas untuk penagih dadah, sekolah khas untuk pelajar yang mencuri dan merompak?! Sekolah sebegini tidak perlu kerana kadang-kadang cadangan seperti ini seolah-olah kita hendak menggalakkan pula pelajar terlibat dengan perbuatan yang tidak bermoral.

Penyelesaian jangkamasa panjang

Apabila sesuatu masalah berlaku, kita selalunya berusaha untuk menyelesaikan masalah. Sebagai contoh, bila tiba hari hujan, atap rumah opah saya bocor dan air hujan menitik-nitik turun membasahi lantai. Kebiasaannya, apa yang selalu opah saya buat, dia memasukkan kain buruk ke dalam baldi atau besen dan ditadahnya air hujan yang menitik. Keadaan ini berulang-ulang setiap kali hujan turun. Bayangkan jika hujan turun hari-hari, tatkala musim hujan. Jenuh juga saya jadi tukang mengejar ambil itu ini (yang perlu) untuk membuat kawasan tadahan sementara. Sebenarnya, jika opah saya fikir penyelesaian jangkamasa panjang, opah tak perlu susah-susah begitu. Apa yang opah perlu buat ialah memangil seseorang untuk menampal atap bumbung yang sudah bocor dan uzur, atau menggantikan atap lama dengan yang baru. Itulah jalan penyelesaian untuk jangkamasa panjang, sebab bila hujan, saya dan opah tak perlu berkejar-kejar ke sana ke sini untuk mengambil kain buruk dan baldi/besen untuk menadah air hujan. Sayangnya, allahyarhamha opah saya bukanlah orang berada yang mampu buat itu ini.... Sob.. sob... [NB: Maafkan cucunda, opahnya... cucunda sebut cerita opah untuk dijadikan teladan...]

Apa yang dapat kita teladani daripada kisah opah saya? Ya, setiap daripada kita sepatutnya mampu mencari atau memikirkan jalan penyelesaian jangkamasa panjang untuk sesuatu masalah yang kita hadapi kerana kita tidak mahu masalah yang membebankan benak kita terbelenggu dalam lingkungan kehidupan kita setiap hari. Sebenarnya, masalah yang kita hadapi, jika tidak selesaikan dengan segera, akan menimbulkan masalah lain pula di kemudian hari. Maknanya, kita berpotensi untuk kita menghadapi masalah berkenaan berlanjutan untuk jangkamasa yang lama dan semakin hari masalah itu akan menjadi semakin besar. Bila masalah ini dibiarkan saja, tentu kita semakin sukar untuk mencari jalan keluar (menyelesaikannya).


~ gambar hiasan ~

Dilaporkan dalam UM 03/07/2010, angka sijil kelahiran tanpa bapa yang mencecah 257,000 (bagi tempoh 2000 hingga Julai 2008) seperti yang didedahkan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dalam akhbar ini semalam menjelaskan hakikat sebenar penyakit sosial di negara kita.

Banyak yang menyumbang kepada lambakan sijil tersebut, antaranya berleluasanya seks luar nikah, rogol, sumbang mahram dan bersekedudukan. Ia seperti satu endemik yang seolah-olah tidak dapat dikawal daripada terus merebak sekali gus meragut banyak nyawa dan maruah mereka yang tidak berdosa.

Kehilangan nyawa berlaku apabila bayi-bayi yang tidak diingini menemui ajal akibat ditinggalkan atau dibuang di merata-rata tempat. Manakala, maruah yang hilang pula berlaku apabila anak-anak yang mempunyai sijil kelahiran tanpa bapa itu terpaksa membawa palit lumpur yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka sepanjang hayat.

Bayangkan apa perasaan mereka ketika mahu berurusan dengan pelbagai pihak yang memerlukan mereka menunjukkan sijil kelahiran. Yang berdosa dan bersalah adalah ibu bapa mereka, tetapi mereka pula terpaksa menanggung malu sepanjang hayat.

Mungkin dalam kes ini, si ibu telah pun menerima hukuman sama ada daripada masyarakat atau undang-undang. Tetapi di mana pula si bapa yang berjaya menghilangkan diri? Adakah adil hanya si ibu dan si anak sahaja yang dihukum sepanjang hayat mereka?

Buru lelaki penyebab kelahiran anak luar nikah

Di mana keadilan untuk mereka? Mungkin ketika itu, lelaki terbabit sudah memiliki isteri dan anak-anak baru daripada perkahwinan yang sah dan hidup bahagia. Tentulah mereka tidak kisah terhadap apa yang berlaku, sementelah pula tiada 'sesiapa' yang mahu mengejar mereka untuk memastikan mereka juga mendapat hukuman yang sewajarnya.

Sudah tiba masanya, golongan lelaki yang menghamilkan gadis bawah umur atau kekasih mereka diburu sehingga dapat ditahan untuk dibawa ke muka pengadilan. Tanpa peranan lelaki terbabit, tidak mungkin anak-anak tidak sah ini dilahirkan. Inilah mungkin boleh jadi penyelesaian jangkamasa panjang kemelut yang kita hadapi ketika ini.

Justeru, usaha memburu mereka perlu dilakukan bersungguh-sungguh kerana terdapat kes gadis hamil akibat dirogol oleh individu yang tidak dikenali. Kes rogol yang meningkat saban tahun turut menjadi penyebab kelahiran anak luar nikah. Misalnya, statistik kes rogol di negeri Perlis menunjukkan peningkatan sehingga 85% dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun 2008 berbanding 2007. Lebih membimbangkan apabila daripada 26 kes rogol yang dilaporkan itu, sebanyak 20 kes melibatkan gadis bawah umur 16 tahun.

Peningkatan kes seumpama itu juga dilaporkan berlaku hampir di semua negeri seluruh negara dan kebanyakan kes bukan kerana dipaksa tetapi kerelaan gadis-gadis terlibat. Ia satu keadaan yang memerlukan tindakan segera semua pihak daripada institusi keluarga, sekolah, masyarakat, agama dan negara.

Tiada gunanya negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi jika kualiti diri penduduk berada di tahap yang begitu rendah. Adakah dapat kita bayangkan satu hari kelak, budaya seks bebas dan tinggal serumah tanpa ikatan perkahwinan yang sah diterima sehinggakan masyarakat menganggapnya tidak salah. Golongan yang menolak gaya hidup itu pula akan dikatakan kolot dan ketinggalan zaman.

Untuk mengelak penyakit sosial itu merebak dan bernanah di dalam masyarakat, maka sudah tiba masanya satu peruntukan undang-undang digubal bagi menyeret lelaki yang tidak bertanggungjawab itu ke muka pengadilan dan jika sabit kesalahan, mereka patut dihukum penjara sekurang-kurangnya 20 tahun atau dikenakan denda dalam jumlah yang besar.

Mungkin bagi sesetengah orang, membayar denda tidak menjadi masalah. Justeru, hukuman sebat di khalayak ramai mengikut undang-undang syariah yang hanya melibatkan pesalah beragama Islam wajar dilaksanakan.

Hukuman itu boleh diadakan di perkarangan masjid seperti mana yang dipraktikkan di negara Arab Saudi. Ia boleh dilaksanakan selepas solat Jumaat dan penulis yakin, jika hukuman sebat itu dilaksanakan, maka mereka yang mahu melakukan perbuatan terkutuk tersebut akan berfikir panjang untuk melakukannya. Kadangkala hukuman dapat meredakan sesuatu keadaan yang melampau dan ia boleh dicuba dahulu. Lihat sejauh mana ia berkesan dalam mendisiplinkan dan membetulkan akhlak masyarakat hari ini.

Beri tempoh masa yang sesuai untuk pelaksanaannya iaitu sekurang-kurangnya lima tahun. Jika, statistik kelahiran anak luar nikah masih meningkat, maka hentikan kaedah hukuman itu dan jika sebaliknya, teruskan sahaja walaupun ada kritikan daripada individu atau kumpulan tertentu.

Ada pemimpin yang mahu menyahut cadangan ini?





Rujukan :
Capaian entry berkaitan :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...