PAGE
▼
Rabu, Mac 16, 2011
Kementerian patut segerakan pengharaman botol susu polikarbonat
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Lanjutan berita dalam entry Botol susu bayi polikarbonat 'bisphenol A' diharamkan, pastinya ramai yang tertanya-tanya mengapa Kementerian Kesihatan harus menunggu sehingga 2012 untuk mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi bahan Bisphenol A (BPA), sekiranya ia didapati berbahaya.
Apabila diketahui kesan buruk BPA terhadap sistem hormon dan tubuh bayi serta kanak-kanak, maka apa yang perlu dilakukan Kementerian Kesihatan ialah mengharamkannya terus, bukan saja penjualannya malah penggunaannya dengan serta-merta. Jika botol susu jenis itu masih dibenarkan dijual di pasaran, bermakna kita seolah-olah membiarkan BPA terus mengancam kesihatan bayi dan kanak-kanak yang masih menggunakannya.
Apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan botol susu polikarbonat mengandungi BPA dan membahayakan kesihatan si kecil kelmarin, ibu bapa khususnya yang menggunakan botol berkenaan pasti berasa bimbang. Tetapi apabila pengharamannya hanya berkuat kuasa pada 2012, kini mereka bukan saja bimbang, sebaliknya keliru dengan tindakan kementerian kerana jika penggunaannya dikatakan berbahaya, kenapa pengharamannya perlu ditangguhkan?
Kementerian sepatutnya bertegas dalam soal ini kerana kita tidak mahu rakyat membuat andaian bahawa kerajaan lebih mengutamakan kepentingan komuniti perniagaan – pengilang, pengedar dan peruncit, sebaliknya memperjudikan keselamatan pengguna. Risiko perniagaan tidak boleh disamakan dengan nilai serta kebahagiaan rakyat apabila kesihatan mereka terancam, apatah lagi bayi yang tidak berdosa.
Walaupun tempoh pengharaman itu diputuskan Kabinet minggu lalu, tetapi Kementerian Kesihatan boleh memberi rasional terbaik kenapa botol susu berkenaan perlu diharamkan serta-merta di pasaran. Kita juga tidak mahu rakyat mempersoalkan langkah Kementerian Kesihatan kerana ia tidak selari dengan slogan gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, yang diilhamkan Perdana Menteri.
Justeru, keputusan yang tidak memihak kepada kepentingan rakyat seperti ini dikhuatiri menjejaskan usaha kerajaan yang sedang giat merealisasikan slogan berkenaan.
Bukti saintifik mengenai kesan BPA terhadap bayi dan kanak-kanak ternyata serius. Gangguan terhadap sistem hormon dan tubuh badan bayi dan kanak-kanak bukan isu kecil dan tidak boleh dikompromi kerana pada peringkat awal usia, sistem ketahanan badan masih lemah. Ibu hamil yang terdedah kepada BPA juga dikhuatiri melahirkan bayi cacat atau terencat tumbesarannya. Ibu bapa yang mempunyai anak tidak sihat juga bakal berdepan beban kewangan, selain emosi.
Anda tentu masih ingat akan entry Lelaki lembut. Dalam artikel ini mencadangkan plastik adalah salah satu punca dapat anak lelaki 'lembut'. Hasil penyelidikan sains terhadap bahan kimia dalam plastik dan amat membimbangkan Suruhanjaya Plastik Eropah dan Persekutuan Plastik Britain. Besar kemungkinan ada bahan kimia yang diharamkan di US dan EU masih digunakan oleh Malaysia dan terdapat pada barangan plastik yang diimport dari China.
Ketika rakyat perlu menerima hakikat kos sara hidup yang terus meningkat, ketegasan kementerian mengharamkan botol susu polikarbonat mampu mengurangkan risiko ibu bapa menanggung beban berkenaan. Kementerian juga wajar memberi panduan membeli bukan saja botol susu yang selamat, malah memeriksa status bahan pelbagai jenis bekas minuman dan botol air lain yang dilambakkan di pasaran sekarang.
Kanada dan negara anggota Kesatuan Eropah mengharamkan botol polikarbonat pada 12 September 2010 dan kepekaan kerajaan kita menyusul tindakan itu tetap dihargai tetapi bukan menunggu sehingga 2012. Jangan tunggu sehingga ada bayi atau kanak-kanak terkorban atau mengalami kecacatan akibat penggunaan botol mengandungi bahan BPA ini, barulah Kementerian Kesihatan terhegeh-hegeh mahu bertindak drastik mengharamkan penjualan dan penggunanya kerana ketika itu tindakan kita sudah terlambat dan sia-sia.
Oleh itu, walau apa juga alasan kementerian kita harap keputusan itu harus dikaji semula demi keselamatan rakyat.
Diubah-suai dari : BHarian 16/03/2011 - Kementerian patut segerakan pengharaman botol susu polikarbonat
Capaian entry berkaitan :
* Botol susu bayi polikarbonat 'bisphenol A' diharamkan
* Lelaki lembut
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...