PAGE
▼
Rabu, Mac 16, 2011
Khasiat serai
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Ðalam entry yang lepas, Laman-Seri berkesempatan kongsikan maklumat berkenaan Perihal batu serai dan serai wangi. Alhamdulillah, hari ini kita kenali pula serai makan, yang banyak digunakan dalam masakan seharian.
Serai terkenal sebagai salah satu ramuan masakan di negara-negara Asia. Serai atau juga dipanggil serai makan dengan nama saintifiknya cymbopogon citrarus dari keluarga Gramineae juga mempunyai khasiat tersendiri. Ðalam bahasa Inggeris pula, ia dipanggil lemon grass, Cina (heong mau), Filipina (tanglad), Laos dan Thailand (thakai), Vietnam (xa) dan German (zitronengras).
Ði Malaysia, serai bagaikan kemestian untuk menjadi sebahagian ramuan utama dalam kebanyakan masakan terutama sajian lauk berkuah. Serai adalah daripada jenis rempah bumbu berbentuk batang yang memberi rasa harum dan segar pada masakan. Yang menimbulkan aroma harum sebenarnya ialah bahagian batangnya yang berwarna putih, selalunya sepanjang 10sm atau lebih digunakan. Selepas dibersih, batang serai ditiriskan dan kemudian ditumbuk atau diketuk sebelum dimasukkan ke dalam masakan.
Batang serai sesuai dipadankan dengan lada, santan, lengkuas dan bawang putih. Ia juga boleh diracik-racik untuk menjadi sebahagian rencah kerabu atau perisa hiasan bagi mendapatkan aromanya. Haruman daripada batang serai tentunya menimbulkan aroma yang akan menambahkan tarikan dan selera makan. Selain itu, serai juga digunakan untuk menghilangkan hamis kerang, lala dan makanan laut yang lainnya.
Selain popular dalam masakan, serai juga digunakan dalam salah satu bauan yang boleh ditemui dalam lilin, pewangi dan juga sabun. Ia juga dikatakan berguna sebagai pencegah serangga ringan. Lebih daripada itu, serai turut menyediakan pelbagai kebaikan dari segi kesihatan.
Serai merupakan tanaman yang boleh tumbuh di kawasan bersuhu tropika dan subtropika. Ia boleh bertahan selama tiga hingga empat tahun dan dituai setiap tiga hingga empat bulan. Serai banyak tumbuh di Asia Tenggara, Selatan India, Sri Lanka, Afrika Tengah, Brazil, Guatemala dan Hindia Barat.
Banyak bahan dalam serai yang membuatkan herba ini bukan sahaja sesuai digunakan sebagai ramuan makanan, malah berguna untuk tujuan perubatan tradisional. Ekstrak minyak daripada serai mempunyai khasiat ubatan yang tersendiri. Menurut kajian, pokok serai mengandungi pelbagai jenis minyak yang diperlukan oleh tubuh badan manusia. Minyak ini mengandungi beberapa campuran seperti citral, limonena dan methyl heptonen. Ahli-ahli sains juga telah mengasingkan dua jenis bahan kimia daripada pokok serai iaitu campuran Cymbopogonol dan Cymbopogone.
Minyak aromaterapi serai ini dikatakan mengandungi bahan-bahan seperti analgesik (mengurangkan rasa sakit), antikemurungan, antimikrob, antipiretik, antiseptik, astrigen, bactericidal, karminatif, pewangi, diuretik, febrifuj, fungicidal, galaktogogue, insecticidal, nervine, sedatif dan tonik.
Mengurangkan sakit dan inflamasi
Bahan analgesik dalam minyak serai mampu mengurangkan sakit dan inflamasi. Ia juga mampu melegakan sakit otot, sendi, sakit gigi dan sakit kepala. Ia turut mengurangkan sakit badan yang diakibatkan daripada senaman yang dilakukan secara tiba-tiba.
Bahan antikemurungan dalam minyak serai boleh merangsang keyakinan, semangat, kekuatan mental dan melawan kemurungan. Ia amat sesuai untuk mereka yang mengalami kemurungan yang diakibatkan daripada pelbagai sebab.
Bahan antimikrob dan antibakteria dalam minyak serai membuatkan ia sesuai digunakan untuk menyekat pertumbuhan mikrob dan bakteria di dalam atau di luar tubuh. Ia dikatakan boleh menyekat jangkitan bakteria di kolon, perut, saluran urinari, luka, sistem pernafasan dan lain-lain lagi.
Tambah susu ibu, halang bayi dari jangkitan
Bahan galaktogogue dalam minyak serai juga amat baik untuk wanita. Ini adalah kerana bahan galaktogogue adalah agen yang mampu meningkatkan pembentukan susu dalam payudara. Ia amat sesuai untuk ibu yang sedang menyusui bayi.
Penawar sakit kuning
Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, serai boleh membantu mengubati sakit demam kuning. Bagi merawat demam kuning, secekak pokok serai direbus dalam bekas mengandungi sebaldi air. Keseluruhan pokok termasuk akar dan daunnya direbus sehingga air rebusan menggelegak. Selepas beransur suam, ia kemudian dijadikan air mandian dan sebaik-baiknya tidak dibilas dengan air biasa. Amalkannya tiga kali sehari iaitu setiap kali waktu mandi sehingga demam kuning benar-benar sembuh.
Mandian air rebusan serai ini juga sangat sesuai untuk ibu-ibu dalam pantang kerana ia boleh menghilangkan bau hamis badan.
Mengatasi masalah angin
Bahan antipiretik dalam minyak serai dikatakan boleh merawat demam. Ia hampir sama dengan bahan febrifuj tetapi ia amat berkesan untuk menurunkan demam yang tinggi. Bahan karminatif dalam minyak serai dikatakan mampu mengawal masalah angin dalam badan. Ia bukan sahaja mampu mengurangkan angin daripada usus tetapi mampu menghentikan pembentukan angin dengan lebih lanjut.
Rawat masalah haid dan loya
Kajian juga telah menunjukkan bahawa serai memiliki bahan antibakteria dan antikulat. Dalam perubatan tradisional, serai yang dicampurkan dengan lada hitam boleh merawat masalah haid dan loya. Jika serai diminum sebagai teh, ia juga adalah diuretik yang paling berkesan.
Serai juga dikatakan herba pencuci yang mampu membantu menyahtoksik hati, pankreas, buah pinggang, pundi kencing dan saluran pencernaan. Ia juga dikatakan mampu menurunkan asid urik, kolesterol, lemak berlebihan dan toksin lain di dalam tubuh. Penggunaan serai juga dikatakan berupaya merangsang pencernaan, pengedaran dan susu ibu. Malah, masalah gastroenteritis juga boleh diringankan.
Mengurangkan tekanan darah
Serai juga mampu memperbaiki kulit dengan cara mengurangkan akne dan jerawat. Ia bertindak menegapkan otot dan tisu. Ia juga dikatakan mampu mengurangkan tekanan darah. Caranya adalah dengan meminum air serai yang telah direbus. Serai amat terkenal dengan kesan memberi ketenangan yang mampu melegakan insomnia dan tekanan.
Membantu mengawal kolesterol
Serai juga membantu mengurangkan kolestrol iaitu asid lemak tepu yang terdapat dalam badan menerusi pemakanan. Bagi mengurangkan kolesterol, tiga atau empat batang serai yang telah dibuang akar dan daunnya diracik-racik kiub terlebih dahulu sebelum direbus. Segelas air rebusan itu kemudian diminum perlahan-lahan atau sedikit demi sedikit dua kali sehari iaitu setiap pagi dan petang.
Selalunya, mereka yang mengamalkannya dapat melihat kesan pengurangan kolesterol dalam beberapa minggu. Tetapi pada waktu yang sama pengambilan makanan berkolesterol tinggi perlu dielakkan.
Mencegah kanser
Satu kajian yang dilakukan mendapati bahawa setiap 100gm serai yang direbus mengandungi beta karotena, sejenis antioksidan yang dipercayai oleh ahli saintis mampu mencegah kanser. “Citral” ada kunci utama yang memberikan rasa dan bauan seakan lemon di dalam sebahagian jenis herba atau rempah ratus seperti serai (Cymbopogon citrates), melissa (Melissa officinalis) dan verbena (Verbena officinalis).
Menurut Dr. Rivka Ofir dan Prof. Yakov Weinstein dari Jabatan Microbiologi dan Immunologi di Universiti Ben Gurion (BGU), hasil daripada penyelidikan mendapati “citral” akan menyebabkan sel-sel kanser ini “membunuh diri sendiri” dengan mengunakan “apoptosis”, sejenis mekanisme yang dikenali sebagai sistem sel mati. Hanya dengan meminum sebanyak satu gram air rendaman serai segar sudah cukup untuk “citral” telah memaksa sel-sel kanser membunuh diri di dalam bekas kajian.
Para penyelidik di Universiti Ben Gurion (BGU) memeriksa keberkesanan”citral” ini pada sel-sel kanser dengan memasukkannya pada kedua-dua jenis sel iaitu sel-sel kanser dan sel-sel yang sihat dan dibiarkan membiak dalam bekas kajian. Quantiti “citral” yang dimasukkan adalah satu gram sama seperti kandungannya didalam secawan teh panas yang direndam bersama serai dan didapati “citral” ini hanya membunuh sel-sel kanser sahaja manakala sel-sel sihat tidak mengalami sebarang kerosakan.
Penemuan ini telah dipaparkan didalam sebuah journal sains iaitu “Planta Medica”, di mana journal ini mengetengahkan tentang penyelidikan sampingan atau alternatif dan kegunaan rempah ratus. Sejurus selepas penemuan ini berjaya, ianyanya dipaparkan sekali lagi di dalam surat khabar yang paling popular di Israel.
Bagaimana “citral” ini berfungsi? Tiada siapa pun ketahui akan tetapi para penyelidik dari Universiti Ben Gurion (BGU) mempunyai teori terhadapnya.
“Dalam sel di dalam badan kita, terdapat satu sistem gen yang mengawal sistem sel-sel mati. Sekiranya sistem tersebut salah, sel-sel di dalam badan kita akan membahagi dengan tidak menentu dan seterusnya menyebabkan terbentuk sel-sel kanser. Di dalam sistem sel-sel yang sihat, sekiranya sistem tersebut tidak berjalan dengan betul – sebagai contoh, bila mendapati sel-sel tersebut mengandungi gen-gen yang rosak maka sel-sel tersebut akan menjadi sel-sel mati dalam badan. Penyelidikan ini berupaya untuk menjelaskan kita tentang kebaikan serai,” kata Weinstein.
Kejayaan dari hasil penyelidikan ini telah menemui satu kesimpulan bahawa serai mengandungi “citral” yang menjadi bahan untuk menentang sel-sel kanser di dalam badan kita.
Menentang keratomycosis (inflamasi kornea)
Kajian yang turut dilakukan oleh Institut Penyelidikan Makanan dan Nutrisi itu juga menunjukkan bahawa minyak serai juga berpotensi sebagai ubat sapu bagi menentang keratomycosis, iaitu sejenis inflamasi kornea yang berkaitan dengan penglihatan kabur dan rasa panas.
Antikemurungan
Malah, serai juga boleh digunakan sebagai bahan untuk memastikan anjing tidak menyalak dengan berlebihan. Caranya adalah dengan menyemburkan bau serai pada anjing untuk mencegah ia daripada menyalak atau untuk mengurangkan kelakuannya.
TIPS : Melebatkan rambut
Rambut yang lebat dan panjang sentiasa menjadi idaman wanita. Anda tidak perlu menghabiskan banyak wang untuk membuat rawatan rambut di pusat-pusat kecantikan. Ada petua tradisional yang mudah dan murah untuk anda cuba. Ambil beberapa batang serai dan tumbuk sehingga pecah. Saya sarankan anda gunakan anak lesung batu untuk menghancurkan batang serai. Rebus batang serai yang dihancurkan dengan air hingga mendidih. Apabila air rebusan telah sejuk atau suam-suam kuku, bolehlah disapu ke seluruh rambut. Sapu hingga rata, pastikan air rebusan serai meresap ke kulit kepala. Perap rambut selama lebih kurang dua jam, kemudian bolehlah dibilas dengan air biasa. Amalkan sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.
TIPS : Kurangkan Nyamuk
Sedikit masa dahulu, bro Manntrex dari SIM berkongsi tips untuk mengurangkan nyamuk yang menggunakan serai sebagai bahan utama. Terima kasih kepada bro Manntrex kerana sudi berkongsi ilmu. Kepada yang berminat, sila rujuk entry Tips kurangkan nyamuk.
Memang tidak dapat dinafikan terdapat pelbagai khasiat serai, tidak kiralah sama ada digunakan secara mentah mahupun direbus dan diekstrak minyaknya. Namun begitu, penggunaannya perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.
Kompilasi rujukan dari : MW#1415, Anizyn dan UM 31/03/2002
Capaian entry berkaitan :
* Perihal batu serai dan serai wangi
* Tips : Kurangkan nyamuk
banyak khasiat serai ni rupanya
BalasPadam