PAGE

Isnin, Mei 30, 2011

Isteri taat, suami makin tak hormat....


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Ðikhabarkan pasangan ÐiRaja Britain yang berkahwin akhir bulan April lepas telah sepakat untuk menukar sumpah isteri kepada sumpah suaminya daripada ketaatan kepada kesetaraan. Kononnya, William dan Kate tidak mahu meletakkan ketaatan isteri kepada suami sebagai sumpah perkahwinan di hadapan paderi kerana ia memberi justifikasi terhadap keganasan rumahtangga.

Bagaimana pula dalam rumahtangga kita sebagai pasangan muslim? Seakan-akan ketaatan itu menyalahi hak asasi isteri dan memberi jalan kepada suami untuk mengongkong. Jika Barat menolak pandangan bahawa isteri wajib taat kepada suami, Islam pula sebaliknya. Benarkah Islam menzalimi wanita atau kerana sistem dan budaya masyarakat kita yang tidak faham mengaplikasikan hukum-hukum Islam?

Belajarlah membina rumahtangga berpaksikan Islam. Pelajarilah tanggungjawab dan hak suami-isteri dan anak-anak dalam rumahtangga. JANGANLAH hanya menggantungkan rujukan ilmu rumahtangga kita kepada amalan MELAYU turun-temurun yang kebanyakkannya tidak sesuai relevan untuk diamalkan lagi dalam zaman yang serba moden kini. Sebagai contoh, jika bersabar biarlah sabar yang digalakkan dalam Islam dan BUKAN sabar Melayu yang sering dilihat seperti memperbodohkan diri dengan membenarkan orang menginjak-injak hak dan maruah kita.

Perlu disebutkan di sini, al-Quran amat jelas menerangkan bahawa suami tidak boleh melakukan keganasan mental kepada isteri menerusi firman Allah SWT yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata.” (QS 4:19)

Beberapa dalil akan dinyatakan di sini juga sepatutnya membuka mata kita pada suami bahawa Islam yang sebenarnya amat memberi kebebasan, penghormatan, keadilan dan kemuliaan kepada isteri.

1 – Persamaan hak dalam memberi pandangan

Pernahkah anda merasa suami sahaja yang memegang kendali rumahtangga dan berhak memutuskan segala-galanya untuk anda? Mahu membeli barang, suami yang akan memilih, mahu pergi ke mana, suami yang tentukan, hendak keluar duit pun mesti dengan keizinannya.

Ada juga suami yang memegang gaji isteri sehinggakan isteri tiada kebebasan untuk menggunakan wangnya sendiri. Apatah lagi kebebasan dalam bercakap, mengemukakan pandangan dan keinginan sendiri, memang diharamkan langsung! Beginikah yang dituntut oleh agama kita?

Suami sebegini menganggap bahawa kuasa berada di tangannya secara mutlak, isteri tiada hak untuk membantah suami. Tetapi pada hakikatnya, Islam sama sekali menolak pandangan menidakkan hak wanita sebagaimana disebut dalam suatu hadis tentang kebebasan sama rata antara suami dan isteri dalam menentukan pilihan.

Umar bin Khattab r.a. berkata: Kami orang-orang Quraisy pada kebiasaannya menguasai isteri. Tetapi tatkala tiba di Madinah (setelah hijrah) kami mendapati orang-orang Ansar dikuasai isteri-isteri mereka. Sejak saat itu, isteri-isteri kami mula mengikuti tabiat wanita-wanita Ansar itu. Oleh itu aku sangat marah kepada isteriku. Tetapi dia membantahku, sehingga aktu tidak boleh menerimanya. Dia membela diri dengan mengatakan : “Mengapa kamu tidak boleh terima jika aku membantahi? Ðemi Allah, bukankah isteri-isteri Nabi pernah membantah baginda, bahkan salah seorang dari mereka pernah berdiam diri dari baginda (tidak bercakap) selama sehari semalam sehingga aku takut kerananya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Kepada para suami yang tidak faham maksud hadis ini kerana fahaman kolot peninggalan orang-orang jahil yang suka menjual hadis untuk menakut-nakutkan isteri seperti : “Jangan membantah kata-kata suami, nanti tak cium bau syurga...” atau “Izinkan saja suami berpoligami, nanti dapatlah payung emas di syurga...” dan bermacam-macam lagi hadis-hadis palsu seumpamanya.

Cubalah fahami lagi pandangan al-Hafiz ibnu Hajar yang memberi komen terhadap hadis sahih ini, “Terlalu keras terhadap isteri bukanlah sikap yang terpuji. Kerana Nabi SAW meniru sikap orang-orang Anshar kepada isteri-isteri mereka dan meninggalkan sikap kaum Quraisy.” (Fathul Bari)

2 – Persamaan hak dalam menguruskan rumahtangga

Jika Rasulullah SAW saja suka menolong urusan rumahtangga isterinya, mengapa anda yang tidaklah sesibuk Nabi SAW tidak malu mengerahkan segala-galanya kepada isteri? Sayidatina Aisyah r.a. pernah ditanya oleh al-Aswad, “Aku bertanya kepada Aisyah apa yang dilakukan oleh Nabi di rumahnya?” Aisyah berkata : “baginda suka menolong urusan keluarganya. Bila waktu solat tiba, baginda pergi untuk mengerjakan solat.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Mengapa suami suka melihat kerja-kerja rumahtangga itu sebagai perkara remeh dan tidak bermakna? Mereka cenderung tidak menghargai kerja isteri di rumah. Padahal kerja rumah itu memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk menguruskannya.

Kalau isteri tidak kebal mental, siapa yang redha bangun tengah malam dalam keadaan mengantuk untuk menyusui anak, kemudian bangun awal pagi untuk menyiapkan sarapan dan menghantar ke sekolah sementara suami masih asyik diulit mimpi? Memasak, membasuh pakaian dan mengatur kemas rumah walaupun badan tidak berapa sihat. Menahan sabar dengan karenah anak-anak dan menjaga mereka sepanjang masa.

Pekerjaan apakah di dunia ini yang paling tidak berbaloi jika digaji termahal sekalipun, kalau hati anda terus menerus disusahkan oleh pekerjaan itu? Masa dan ruang anda tetap berada dalam kongkongannya dan anda tidak ada cuti sehari pun untuk karier sepanjang hayat ini. Inilah kerja sebagai suri rumah sepenuh masa yang sering diremehkan oleh para suami kerana isteri-isteri yang tidak bergaji dan tentu saja tidak ada harta isteri yang boleh dimanafaatkan oleh suami.

Keadaan sebegini membuatkan suami sering mengungkit, “Kalau awak bekerja bolehlah tolong saya uruskan masalah kewangan keluarga, sudahlah tak bekerja, di rumah saya juga mesti tolong awak?” Memanglah suami mesti menolong isteri melakukan kerja-kerja rumah. Mengapa? Sebab Nabi SAW telah banyak memberi teladan menjadi lelaki yang amanah!

Dua dalil ini cukup untuk membuka pintu hati lelaki supaya berhenti menganggap kuasa memasukkan isteri ke syurga atau neraka berada di dalam tangan mereka. Ðalam Islam, taat kepada suami adalah kewajipan, tetapi ketaatan ini bukanlah untuk dimanipulasi kerana taat isteri menuntut balasan dari suami. Balasannya ialah penghargaan, ketundukan, kasih-sayang, setia dan sudi berkongsi.

Renung-renungkan!




Sumber : Ubah-suai dari Ðr Juanda Jaya MW#1434.

Capaian entry berkaitan :

2 ulasan:

  1. tajuk entry ni mmg best,sbb majority kes-kes yg dibicarakan oleh kaum isteri adalah berkaitan entry kali ini..kaum suami biasanya akan terasa bagai 'raja' apabila isteri terlalu taat, terlalu berlemah lembut dan terlalu menunduk dgn kata-kata suami..dan apabila itu berlaku, si suami kdg2 menjadi semakin lupa diri dgn gelaran 'raja' yg tak berdaulat yg disandangnya itu dan semakin memijak hak isteri,apalah suami mcm ni kan? kurang ilmu dan kurang pendedahan terhadap tauladan rasulullah agaknya.

    BalasPadam
  2. @Butik Busana Bidadari

    Sudah terlampau banyak kes suami 'buli' isteri. Suami sepatutnya didedahkan tentang kewibawaannya memimpin, bukan 'menakluk' secara paksa. Itu yang salah.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...