PAGE

Ahad, Mei 22, 2011

Tips melupakan bekas kekasih


Assalamualaikum dan salam sejahera,

Anda baru putus cinta? Tentu anda rasa dunia seperti hendak kiamat! Silap haribulan, ada yang ingin terjun bangunan swimming pool... Tunggu dulu! Jangan biarkan diri anda terseksa kerana orang yang tidak lagi menyayangi anda.

Tidak dinafikan, ramai yang merana kerana putus cinta, kecuali jika anda seorang yang kuat semangat. Atau anda merasakan cukup mudah mendapat pengganti. Selalunya masalah mereka yang putus cinta adalah jenis yang sukar melupakan kekasih, memadamkan kenangan dan rasa rindu yang bersarang di hati. Jika ini yang sedang anda alami, cara berikut mungkin boleh membantu anda menyelesaikannya.

Tips # 1 - Anggap dia tidak pernah wujud

Perkara pertama perlu anda lakukan ialah berhenti berlakon bahawa dia masih lagi milik anda. Mereka biasanya bukan seorang yang sempurna dan tidak mustahil jika kena pada pujuk rayunya, maka hubungan anda akan terjalin kembali sedangkan hati sakit mengenangkan setiap perbuatannya. Anggap sajalah dia tidak wujud dalam hidup anda.

Tips # 2 - Tutup buku

Perkara kedua perlu anda lakukan ialah, tutup serapat-rapatnya setiap perkara yang pernah anda dan dia lakukan jika anda benar-benar mahu putus hubungan dengannya. Anda harus ingat anda mahu menamatkan semuanya. Anda mungkin sudah bertemu orang lain dan dia juga sama. Jangan sesekali bertemu dengannya lagi bila hubungan anda putus.

Tips # 3 - Jangan hubunginya lagi

Ini satu perkara yang perlu anda amati dalam banyak tip diberi. Apabila anda mengambil keputusan menamatkan sebuah perhubungan, ambil perkara ini sebagai sesuatu yang serius. Jangan sesekali hubunginya lagi. Memang agak sukar melupakan seseorang yang pernah kita sayangi dan cintai namun ia bukan mengambil masa yang sangat lama untuk anda melupakannya. Buang semua nombor telefonnya, jangan sesekali SMS atau bertanya tentangnya pada kawan-kawan yang mengenalinya. Biarkan masa berlalu mengikut takdir.

Tips # 4 - Padamkan jejak/sumber komunikasi

Pastikan anda memadam segala jenis sumber yang dapat menghubungkan kembali dengannya. Contohnya, mendelete lalu menspam dia dari akaun myspace, friendster, facebook ataupun yahoo messenger anda.

Tips # 5 - Sibukkan diri

Tanpa teman istimewa, anda mungkin punya banyak masa dengan diri sendiri. Anda boleh sibukkan diri dengan pergi ke gimnasium atau berjoging. Bukan saja baik untuk tubuh badan malah dengan kesibukan ini anda dapat melupakan dia dengan lebih cepat. Bersukan juga mampu membuatkan tubuh badan lebih sihat selain akan membuatkan seseorang berasa kelelahan. Jadi pergilah keluar bersukan kerana anda akan mudah tertidur pada malam harinya dan anda tidak punya masa berangan lagi tentang bekas kekasih.

Tips # 6 - Lupakan semuanya

Bunyinya seperti agak keras dan menakutkan namun anda perlu mempunyai hati kering untuk melakukannya. Membuang semua memori sebenarnya agak sukar kerana ia berkait rapat dengan hati dan perasaan namun tanyalah pada diri sendiri, sampai bila anda harus berkeadaan begitu. Mengapa anda harus menderita kerananya yang mungkin sudah punya kekasih baru saat anda merana mengenangkannya. Belajarlah menjadi orang yang kuat. Bukan pada tubuh badan tetapi pada hati.

Tips # 7 - Jauhi kawan-kawannya

Jika anda serius mahu melupakannya, anda perlukan pengorbanan. Mungkin agak sukar tetapi ia sangat baik untuk diri anda sendiri. Antara yang harus anda lakukan ialah jauhi kawan-kawannya. Jangan sesekali bertanya khabar tentang dirinya kerana anda akan mahu ambil tahu banyak perkara. Anda juga perlu jauhi tempat-tempat yang biasa anda pergi bersamanya.

Tips # 8 - Jangan ambil barang-barang

Apabila anda sudah maju ke hadapan, jangan sesekali berpatah balik atau menoleh ke belakang lagi. Apabila anda mula menoleh, anda akan mengingati lagi kenangan bersamanya. Apa saja barangan yang pernah anda berikan kepadanya, jangan sesekali ambil kerana ia akan anda akan kelihatan seperti seorang yang buruk siku mengingatkan lagi anda kepadanya. Lebih membuat sakit hati jika barang-barang yang anda beri itu mahal harganya yang membuatkan poket anda rabak ketika membelinya.

Tips # 9 - Keluar bersama kawan-kawan

Kenangan sering kali membuatkan kita terbuai-buai dengan perasaan. Apabila kenangan datang menjelma, sudah tentu kita tidak akan berasa sangat kuat untuk menghadapinya. Justeru itu, keluarlah bersama kawan-kawan anda. Habiskan banyak masa bersama mereka. Ia satu terapi yang paling baik untuk anda melupakan dirinya.

Tips # 10 - Tukar imej baru

Selepas anda rasa cukup meluahkan kesedihan anda, apa kata manjakan diri ke salon atau spa kecantikan. Cubalah stail rambut yang baru atau anda juga boleh dapatkan urut aromaterapi yang dapat memenangkan anda. Tidak salah jika anda keluar shopping dan dapatkan beberapa helai baju yang baru untuk imej yang baru juga. Sedikit sebanyak ini dapat membantu menyerikan mood anda.

Seorang sahabat BG sering bertukar kereta dan pindah ke rumah baru setiap kali beliau putus cinta. Tidak salah jika anda ingin mencuba idea ini, tetapi pastikan anda juga berkemampuan untuk melakukannya.

Tips # 11 - Selalulah ingati perkara buruk tentangnya

Cinta itu indah jika anda selalu mengenang kemanisannya. Namun kalau hati sudah sakit, semuanya jadi benci. Satu perkara yang harus anda lakukan ialah mengingati sesuatu yang buruk pernah terjadi antara anda dan dirinya. Anggap saja ia perkara menyakitkan hati dan membuatkan anda benci. Jangan sesekali mengenang kemanisan, nanti anda juga yang sakit menanggung rindu.

Tips # 12 - Berdoa kepada yang Maha Esa

Banyak–banyaklah berdoa kepada yang di atas sana agar ditenangkan hati dan dilapangkan fikiran. Hanya dia tempat kita memohon pertolongan. Mana tahu rajin berdoa silap–silap bukan saja dapat melupakan si dia tetapi diberi pula seorang insan yang baru untuk menyinari hidup anda.

Semoga tips yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu anda melupakan si dia.




Note : Tips dipetik dari sumber MW#1431 dan sedikit tambahan sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...