PAGE
▼
Ahad, Jun 19, 2011
Fikrah Islamiah: Peranan bapa yang tidak pernah selesai
Sempena Hari Bapa yang disambut pada Ahad minggu ketiga bulan Jun, ingin saya mencoretkan sedidik cacatan bagi mengingatkan kembali peranan kita sebagai bapa. Semoga ada maaf kepada kita semua. Pada masa yang sama, anak kita dapat hargai peranan itu lalu tidak menyakitkan hati kita.
Cuma sedikit ingatan, bapa wajib ditaati dan dihargai setiap hari. Dengan ini tidak wajar kita membuat majlis sambutan seperti orang bukan Islam menyambutnya. Namun tidak salah anak menjamu makan bapanya di restoran terkemuka sebagai salah satu usaha menghargai peranan bapanya.
Sebagai ketua keluarga, maka seorang bapa wajib menyediakan bajet yang cukup untuk keluarga, memimpin dan melindungi anak dan isteri. Itulah asas dalam merealisasikan perintah Allah dalam ayat di atas. Maknanya kalau salah satu daripada tiga perkara itu diabaikan, neraka sedia mengalu-alukan mereka sekeluarga.
1. Menyediakan bajet; sebagai bapa dia wajib berusaha sedaya mungkin untuk mendapatkan pendapatan halal. Untuk itu bapa boleh bekerja dengan orang lain atau menjadi pengusaha sendiri, yang penting sumber pendapatannya halal. Inilah yang selalu diistilahkan sebagai nafkah.
Perkara ini bukan senang untuk direalisasikan oleh golongan bapa. Kadang-kadang sebagai pekerja, dia tidak amanah. Kalau dia berjawatan tinggi terlibat dengan penyelewengan dan rasuah. Kalau dia berusaha sendiri, terlibat dengan penipuan, riba dan sebagainya. Kalau ini yang mampu dilakukan, bagaimana bajet yang sediakan itu boleh menyelamatkan dirinya dan keluarganya daripada api neraka?
Namun jika bapa boleh bersyukur, rezeki mereka akan datang mencurah-curah. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya) ‘bersyukurlah kepada Allah (akan Segala nikmat-Nya kepada-Mu)’, dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya akan dipulangkan kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Surah Loqman : 12)
2. Memimpin; sebagai pemimpin bapa perlu kuat iman, kuat jiwa dan bijak merancang. Pemimpin yang kuat iman tidak akan bertolak ansur soal dosa. Maka dengan itu bapa akan mendidik keluarganya agar mentaati agama. Mereka akan dibimbing supaya takut kepada Allah, gerun kepada neraka-Nya dan cintakan syurga-Nya. Firman Allah menukilkan pesanan Loqman kepada anaknya yang bermaksud:
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Surah Loqman :17)
Pemimpin yang kuat jiwa mampu berhadapan dengan pelbagai karenah isteri dan anak-anak. Masalah yang ditimbulkan oleh mereka dapat diatasi dengan baik. Bapa ini tidak akan mudah mengalah lalu mudah menyerah kepada takdir. Dengan sikap ini isteri dan anak-anak akan hormat dan kagum dengan kepimpinannya.
Begitu juga dengan pandai merancang; sebagai pemimpin bapa sudah memikirkan masa depan mereka bahkan anak-anak mereka. Bapa sentiasa memikirkan masa depan yang cerah di dunia ini dan syurga di akhirat nanti. Dengan ini dia merancang pendidikan yang berkesan kepada anak-anaknya.
Di sinilah kebanyakan bapa gagal merancang. Pendidikan yang diberikan kepada anak-anaknya tidak seimbang dengan kehendak Islam. Akhirnya anaknya yang berjaya dalam pelajaran menjadi sombong kepada orang ramai dan Allah. Kalau ini yang terjadi, bolehkah selamat daripada api neraka.
3. Melindungi; bapa wajib melindungi anak daripada dikhianati atau dizalimi oleh orang lain. Oleh sebab itu pasti anak-anak berada dalam keadaan selamat apatah lagi mencetuskan keadaan yang tidak selesa terhadap orang lain. Tentulah tidak wajar bapa membiarkan anak lelakinya bergaul bebas dengan wanita. Lebih-lebih lagi tidak wajar dia membiarkan anak perempuannya keluar bersendirian dengan lelaki.
Sikap bapa seperti ini bukan sahaja tidak melindungi anaknya tetapi mendedahkan mereka kepada bahaya. Inilah yang sering terjadi dalam masyarakat kita. Maka atas dasar percaya, kononnya kerana ikatan tunang, anaknya dilepaskan bebas. Bapa dalam keadaan ini adalah dayus.
Tanggungjawab yang diremehkan
Selain tanggungjawab di atas, terdapat beberapa lagi tanggungjawab namun sering diremehkan. Padahal perkara yang kecil itu boleh memberi infak kepada kemajuan anaknya pada masa hadapan. Antara tanggungjawab itu ialah:
1. Memilih nama yang baik untuk anak
Bapa seharusnya memilih nama yang baik kepada anak. Pilihan itu merupakan cermin keperibadian dan kefahaman orang tua, kerana nama yang diberikan menggambarkan harapan hati dan harapan orang yang memberikannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya antara hak anak ke atas bapa ialah mengelokkan namanya dan mengelokkan adabnya.” (Riwayat al-Bazzar)
Nama yang baik ini penting kerana nama itulah nanti akan dipanggil di padang mahsyar nanti. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksudnya: “Sesungguhnya kamu dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, dari itu elokkanlah nama-nama kamu.”(Riwayat Abu Daud dan Ahmad)
2. Membuat Aqiqah
Untuk mensyukuri kelahiran anak, agama menganjurkan bapa mengadakan acara kesyukuran dengan menyembelihkan kambing. Untuk anak lelaki, dua ekor dan seekor untuk anak perempuan. Acara tersebut sebaiknya dijalankan ketika anak berumur 7 hari. Aqiqah amat penting, malah menurut keterangan ulama hukumnya adalah “Sunat Muakkad”.
Hukum ini masih pada tanggungjawab bapa selagi anak itu belum baligh. Tetapi setelah baligh masih lagi belum melakukannya, tanggungjawab itu dikembalikan kepada anak itu sendiri. Walaupun bapa itu tidak berdosa, namun dia dianggap cuai melaksanakan tanggungjawab itu.
3. Mengkhatankan anak
Berkhatan atau bersunat harus dilakukan untuk membersihkan anak-anak kerana kemaluan merupakan tempat berkumpulnya najis. Jadi, bahagian itu harus dibersihkan. Hukum berkhatan bagi anak lelaki menurut Imam Shafi’i, Imam Malik dan Al-Auzai dan lain-lain adalah wajib.
Berkhatan untuk anak perempuan dihukumkan sunat. Jadi, peluang bapa menunaikan tanggungjawab itu harus tidak diabaikan. Semoga anak-anak kita sentiasa berada dalam keadaan bersih.
Saya percaya, jika tanggungjawab dan peranan ini dapat dilakukan sebaiknya, bukan sahaja rumah tangga kita berada dalam keadaan selamat dan bahagia, malah anak-anak kita akan menjadi anak soleh. Mereka akan taat dan sayang kepada bapa apatah lagi sewaktu mereka sudah tua.
Petikan : Fikrah Islamiah
Capaian entry berkaitan :
* Wahai suami, dekatilah anak-anakmu!
* Bapa semakin berperanan mendidik & mengasuh anak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...