PAGE

Isnin, Jun 13, 2011

Ketaatan isteri mengikut syariat


Assalamualaikum dan salam sejatera,

Ketika dimaklumkan mengenai Kelab Isteri Taat yang bakal dilancarkan, penulis tertanya-tanya mengenai objektif penubuhan kelab tersebut. Penulis terfikir kemungkinan ia sebagai satu kempen untuk mengembalikan kerukunan rumah tangga dengan mengingatkan isteri mengenai cara taat yang sewajarnya kepada suami sebagai langkah membanteras kes-kes isteri nusyuz yang makin meningkat.

Namun, selepas membaca objektif penubuhannya seperti yang dilaporkan oleh media penulis cukup terkejut. Antara isu-isu yang dibangkitkan adalah:

Isteri hamba seks

Objektif yang diumumkan bagai satu pengiktirafan bahawa para isteri adalah hamba seks suami. Penulis tertarik kepada pernyataan layan suami macam pelacur.

Pada pendapat penulis, ada pro dan kontranya pernyataan tersebut. Berdasarkan kes-kes yang pernah dikendalikan, memang diakui ada para suami yang mengadu mengenai sikap isteri yang hanya menunggu aksi si suami ketika di ranjang malah ada juga yang komen, isteri hanya keras seperti batang kayu menyebabkan selera suami terganggu.

Dalam konteks ini, bersikap bagai pelacur boleh diterima pakai bagi membolehkan si isteri yang bertindak memulakan gelagat seperti para pelacur mencari pelanggan. Para isteri juga boleh menggoda suami hingga menimbulkan keghairahan suami untuk bersama.

Namun, ada batasan-batasan yang perlu dipatuhi kerana ada aksi panas pelacur yang tidak sesuai dilakukan dalam hubungan seks suami isteri para muslimin dan mukmin. Penulis pernah mendapat penjelasan daripada lelaki yang pernah melanggan pelacur dan menjelaskan mengenai aksi para pelacur. Banyak aksi mereka melanggar adab-adab berjimak seperti yang disarankan syarak.

Islam meletakkan tatacara tertentu yang perlu dipatuhi bagi kebajikan dan kemaslahatan kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri. Islam melarang para suami dan isteri melakukan hubungan seks mengikut tabiat haiwan kerana tabiat seumpamanya banyak dilakukan oleh para pelacur.

Perlu difahami, perkahwinan bukan semata-mata untuk melampiaskan nafsu seks. Perkahwinan adalah tanda kasih sayang dan seks sebagai satu wasilah untuk menyambung keturunan. Banyak perkara penting lain yang diamanahkan dalam perkahwinan. Bukan saja oleh agama Islam malah agama-agama lain juga begitu.

Malah seks dalam Islam BUKAN semata-mata untuk kepuasan nafsu sebaliknya adalah satu ibadah jika kena cara dan adabnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala." (Hadis riwayat Muslim)

Tanggungjawab seks

Satu perkara yang perlu difahami adalah seks BUKAN sahaja tanggungjawab si isteri sebaliknya ia adalah tanggungjawab seorang suami yang menjadi hak seorang isteri. Banyak kes isteri bersikap curang dengan suami disebabkan tidak mendapat kepuasan daripada si suami.

Menurut Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW telah bersabda: "Jika seseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula." (Hadis riwayat al-Suyuthi)

Hak nafkah zahir batin

Dalam isu melayani keperluan seks suami, ada ulama berpendapat tanggungjawab tersebut gugur sekiranya suami gagal melaksanakan tanggungjawab memberi nafkah zahir yang sepatutnya.

Mengambil qias mas kahwin dan nafkah zahir adalah keutamaan tanggungjawab suami dan Rasulullah SAW melarang Saidina Ali bersama dengan Sayyidatina Fatimah sebelum Saidina Ali menyerahkan mas kahwin anakanda baginda.

Ibnu Abbas menceritakan: "Ketika Saidina Ali menikahi Fatimah dan bersedia untuk bersetubuh, lantas Rasulullah menegahnya sebelum dijelaskan mas kahwin (dengan diberikan sesuatu). Saidina Ali memberitahu dia tidak mempunyai apa-apa yang boleh diserahkan. Lantas, Rasulullah bersabda: "Berikan baju perangmu itu." Setelah Saidina Ali menyerahkannya kepada Fatimah, baru dibenarkan kedua-duanya sebagaimana lazim suami isteri. (Hadis riwayat Abu Daud)

Islam meletakkan martabat kaum wanita di tempat yang tinggi tetapi segelintir golongan yang mengakui berilmu memusnahkannya. Jika perkahwinan bertunjangkan seks untuk kepuasan nafsu semata-mata, bahagia sebenar tidak akan diperoleh.

Petikan : Pn Suzana Ghazali di Kosmo! 10/06/2011

Laman-Seri : Saya kongsikan komen di BHarian 13/06/2011.

Mungkin Naib Presiden Kelab Taat Suami, Dr Rohaya Mohamed, berniat baik. Kata-katanya bukan tersurat tetapi tersirat. Mahu wanita bergelar isteri memberi layanan tip-top (terbaik) buat suami tetapi tak bolehkah menggunakan perkataan yang lebih manis bunyinya, lebih molek contohnya.

Layanan terbaik buat suami, memang itu sewajarnya kerana itu tuntutan bukan hanya kerana tidak mahu suami curang. Tetapi, layanan itu bukan hanya di ranjang. Layanan untuk suami merangkumi banyak aspek, makan minumnya, baju seluarnya, sukanya, sedihnya, lelahnya, macam-macamlah.

Kalau nak suruh jadi macam pelacur, setakat hubungan seksual sajalah. Tiada hati, tiada perasaan, jauh lagi kasih, sayang, cinta juga rindu. Yang penting RM! Lagi banyak, lagi besar nilainya, lagi baguslah layanan. Jadi, mungkinkah juga Dr Rohaya, layanan isteri kepada suami perlu dibayar? Hanya Dr Rohaya dan suaminya yang boleh menjawab...

Teringat kata-kata seorang kawan lelaki satu ketika dulu. Isteri bagilah layanan terbaik, isterilah yang paling cun, makhluk paling seksi, kalau suami nak cari perempuan lain, dia cari juga. Tak ada sebab atau alasan kukuh kecuali satu, memang sebab nak cari yang lain. Senang cerita, hati terbuka untuk tambah cawangan!

Kisah Salih Yaacob juga mungkin tak salah dijadikan contoh. Satu demi satu isterinya bertambah sampailah cukup kuota empat sekarang ini. Tidak pernah mendengar cerita dia memburukkan atau melebihkan mana-mana isteri, kehidupan berpoligami bersama empat isteri, tegasnya, bukan berlandaskan nafsu semata-mata sebaliknya kerana kehendak dan keizinan Allah.

Ketaatan isteri bukan hanya di tempat tidur semata-mata, golongan Hawa bukan sekadar tempat golongan Adam memuaskan nafsu dan kecantikan seorang wanita, cantik rupa, lawa hati, adalah hasil bimbingan dan tunjuk ajar terutama daripada suami. Ini sepatut-patutnya. Isteri perlu dibimbing selain disayangi sepenuh hati. Selalu sangat lelaki ‘terjerit-jerit’ bangga wanita kaum yang lemah, tidak seperti mereka yang dilahirkan sebagai pemimpin. Maka, jadilah pemimpin!

Ketaatan suami mengikut hukum, melunaskan tanggungjawab sebagai suami, pasti melahirkan isteri yang taat kepada suami. Selagi suami tidak abaikan tanggungjawab, layan isteri dengan baik pula tu, cakap baik, lemah-lembut, berhalus, tingkah laku baik, 10, 100, beribu kali ganda lagi baik ketaatan dan layan isteri kepada suami.

Ini, dengan orang lain, lembut lidah dari gigi, orang tak minta tolong, dia yang beria-ia nak membantu, semuanya baguslah, sampai orang cakap, baik suami dia tu.. untung isteri dia.

Dengan isteri, anak-anak, punyalah bengis, tak tahu nak cakap baik-baik, high-pitch memanjang, muka muncung sepanjang masa, sampai boleh gantung durian. Mata tu kalau menjeling sampai macam nak terpusing biji mata. Rumah pula, macam hotel. Balik rumah untuk lelapkan mata saja. Masa dengan anak isteri, dalam sebulan nak dapat 24 jam pun susah. Nak layanan terbaik daripada isteri? Minta maaflah.

Ini satu benda yang rasa ramai lelaki mudah lupa. Berubah layanan apabila wanita idaman sudah sah bergelar permaisuri. Masa jadi girlfriend, all out, habis-habisan nak memenangi hati tapi bila jadi isteri, buah hati jadi ‘kuli’- bagi dia anak, jaga anak, sediakan makan minum, siapkan baju seluar, jaga rumah dan layan dia atas katil.

Sampailah bila isteri berubah hati, dingin, tak mesra, mulalah kata isteri tak sayang dia lagi kalau tak pun tuduhlah isteri ada buah hati. Mulalah tak keruan hidup. Tercari-cari di mana silapnya tanpa sekali pun mencari kesalahan dan kekurangan diri sendiri.

Hidup berumahtangga memerlukan pengorbanan yang seimbang. Tidak adil menuntut segala-galanya daripada isteri dalam memastikan kerukunan dan kebahagiaan. Hormat-menghormati, persefahaman, tolak ansur, baik daripada isteri juga suami, barulah ketaatan wujud tanpa dipaksa, tak perlulah sampai berlagak umpama pelacur kelas pertama. Bagilah apa kelas pun, soalnya, pelacur ada kelas ke?



Capaian entry berkaitan :
* 'Layan macam pelacur'
* Peguam Syarie bidas Kelab Isteri Taat
* Kelab Taat Suami galak poligami
* Taat bukan lesen halalkan penderaan
* Isteri tak perlu kelab jaga suami

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...