PAGE

Isnin, Oktober 17, 2011

Pastikan sahih sebelum tuduh


Contohi kaedah Nabi tangani masalah tanpa terburu-buru

KONFLIK antara individu mahupun masyarakat hari ini berpunca daripada sikap suka melepaskan tuduhan secara sewenang-wenang tanpa ada bukti sahih. Justeru, banyak yang perlu kita beri perhatian bagi menangani permasalahan sebegini.

Contohnya seseorang yang sedang mencari ilmu pengetahuan tidak sewajarnya bertindak terburu-buru mengutuk dan mengecam pihak berbeza pendapat dengannya. Sebaliknya, mereka perlu memastikan kesahihan kerana pendapat pihak lain mungkin ada kebenarannya.

Ambil satu peristiwa yang pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW yang berlaku pada Umar al-Khatab.

Diceritakan Umar: “Aku terdengar Hisham ibn Hakeem ibn Hizam membaca surah al-Furqan pada masa hayat Rasulullah SAW dan Hisham membacanya dengan kaedah berbeza daripada cara Rasulullah SAW selalu membacanya. Ketika itu aku hampir-hampir hendak mengganggu solatnya namun aku bersabar dan menunggu sehingga dia selesaikan solatnya terlebih dulu.

Kata Umar lagi: “Selesai saja Hisham menunaikan solatnya, aku menarik jubah sambil berkata kepadanya: Siapakah yang mengajar engkau untuk membaca begini dan tidak seperti dibacakan Rasulullah SAW? Hisham tenang saja berdepan situasi seperti itu, lantas menjawab: Rasulullah SAW mengajarkan kepadaku dengan cara bacaan itu.

Umar berkeras dan berkata: Engkau sudah berdusta wahai Hisham! Rasulullah SAW mengajarkan kepadaku dengan cara bacaan berbeza dengan apa engkau sudah bacakan sebentar tadi.

Dilanjutkan kisah, Umar membawa Hisham berjumpa Rasulullah SAW untuk mengadu dan mendapatkan kepastian.

Sesampai kepada Rasulullah SAW, Umar beritahu Baginda: Wahai Rasulullah SAW, aku mendengarkan Hisham membacakan surah al-Furqan dengan cara bacaan berbeza daripada apa engkau ajarkan kepadaku.

Mendengar aduan sahabatnya itu, maka Rasulullah SAW menceritakan kedudukan sebenar. Kata Baginda: “Lepaskan dia dan bacalah wahai Hisham. Lantas Hisham pun membaca seperti mana bacaan dalam solatnya tadi. Rasulullah SAW mendengar dengan teliti kemudian berkata: Begitulah bagaimana ia diturunkan.

Selepas itu tiba giliran Umar yang diminta Rasulullah SAW supaya membacanya. Umar membaca seperti mana yang dia ketahui. Tatkala mendengar Umar membacanya, Rasulullah SAW mengatakan kepadanya: Begitulah seperti ia diturunkan. Al-Quran itu diturunkan dengan tujuh cara bacaan untuk mempermudahkannya. Jadi bacalah dengan cara yang memudahkan kamu.”

Justeru, jangan cepat sangat menuduh seseorang mukmin lain sudah melakukan kesalahan seandainya kita tidak mengetahui perkara sebenarnya. Dapatkan maklumat lengkap secara terperinci dan mendalam terlebih dulu supaya apa yang kita luahkan perkara benar.

Apabila Rasulullah SAW meminta Umar untuk melepaskan Hisham, ia mencerminkan metodologi pendidikan Rasulullah SAW bahawa cara menegur dan memberikan pelajaran seharusnya dengan kaedah berhemah. Ternyata dalam kisah itu, Umar nampak terburu-buru dan bersikap kasar.

Kita lihat betapa halus kaedah Rasulullah SAW menangani permasalahan yang timbul di kalangan sahabatnya sehingga kedua-dua belah pihak menerima segala kesilapan dengan hati terbuka.

Rasulullah SAW mendidik kita supaya melakukan siasatan secara terperinci terlebih dulu terhadap seseorang yang kita anggap sudah melakukan kesilapan. Rasulullah SAW tidak menghukum sebaliknya menerangkan cara membetulkan kesalahan dilakukan.

Ibu bapa bapa hari ini sentiasa berdepan kelakuan anak melakukan kesalahan di rumah atau di luar seharusnya mengambil iktibar dalam usaha mendidik anak dengan lunas betul dan penuh hemah.

Banyak kali berlaku tindakan terburu-buru sehingga tiada langsung penyiasatan rapi dibuat untuk memastikan hal yang sebenar. Ibu bapa sepatutnya mengambil pengajaran daripada cara ditunjukkan Rasulullah SAW dalam menangani perkara seperti ini.




Petikan : BHarian 17/10/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...