PAGE

Isnin, Oktober 17, 2011

Misteri Etnik Part 2 : Perkahwinan campur sinonim masyarakat Portugis Melaka

GAMBAR atas, photo lama majlis perkahwinan masyarakat Portugis. Gambar bawah, perkampungan Portugis sekitar 1930-an di Melaka.

Susah untuk kenal pasti kerana ramai di kalangan generasi baru berwajah mirip orang Melayu, Cina

SEJARAH Portugis di negara ini sendiri sudah cukup lama, namun kewujudan sekelompok masyarakat itu di Kampung Portugis di Melaka tidak cukup kuat membuktikan mereka kekal beranak pinak di negara ini.

Malah, ketika Portugis menawan Melaka pada 1511, sudah berlaku perkahwinan campur antara tentera Portugis dengan penduduk negara lain yang berada di bawah pemerintahan mereka. Dasar Putera Henry ketika itu juga menggalakkan perkahwinan dengan penduduk tempatan yang mana mereka menjajah untuk memperkembangkan keturunan mereka di sesebuah Negara, termasuk melalui perkahwinan dengan orang Negro Afrika.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung Portugis, Peter Gomez, berkata orang Portugis ketika zaman penaklukan pada abad ke-16 banyak menyerap masuk dalam budaya masyarakat kebanyakan negara, malah meninggalkan budaya mereka di negara terbabit seperti Thailand, Timur Leste, Goa dan Macau.

“Penjajahan Belanda di Melaka pada 1641 menyebabkan ramai tentera Portugis kembali ke Timur Leste dan sebahagiannya ke Goa. Bagi mereka yang sudah mempunyai keluarga di sini, mereka lari ke hutan da nada antaranya ke Pulau Pinang. Tindakan melarikan diri itu kami namakan ‘balik pulau’.

Masalahnya, kini sukar untuk mana-mana orang Portugis mengenal pasti asal keturunannya kerana berlaku terlalu lama. Malah, pernah pada abad ke-18, Raja Portugis menawarkan masyarakat kami di sini untuk kembali ke sana dan sekiranya sudah berkahwin dengan orang tempatan, seluruh keluarganya layak mendapat kerakyatan Portugal tetapi tidak seorangpun terima tawaran itu kerana tidak tahu siapa keturunan dan keluarga di negara itu kerana sudah dianggap asing bagi mereka,” katanya.

Memperjelaskan mengenai sama ada orang Portugis di Melaka memiliki darah keturunan asal atau sebaliknya, Gomez berkata, memang diakui mereka mengekal dan mengamalkan budaya, bahasa dan cara hidup Portugis, malah penggunaan nama keluarga Portugis seakan-akan menjelaskan yang mereka Portugis asli.

Namun, katanya, jika dirujuk kepada sejarah, orang Portugis logiknya pasti mahu balik ke negara asal kerana ada harta dan keturunan di sana tetapi ada kemungkinan masyarakat Portugis yang ada pada hari ini bukan asli dari negara itu.

Ini kerana berdasarkan laluan ketika Portugis menjajah Melaka, mereka melalui Afrika Selatan, Brazil, Goa dan baru sampai ke Melaka. Di semua laluan itu, mereka mengambil hamba dan menukar agama mereka kepada Roman Katolik selain memberikan nama keluarga Portugis kepada hamba itu.

Orang Melaka mana pernah tengok orang dari Portugal. Bagi mereka, siapa saja yang pegang bendera Portugal ialah orang Portugis. Tidak boleh dinafikan, merekalah (hamba) banyak berkahwin dengan wanita tempatan dan nama lelaki keluarga itu akan turun kepada anak lelaki sehingga sekarang.

“Apabila tiba masa untuk pulang ke negara asal, ramai yang tidak mahu kerana tidak tahu untung nasib mereka di sana. Selain itu, ada juga cerita mengaitkan Kapten Eredia, seorang pegawai Portugis ketika itu yang mempunyai 23 isteri dan 109 anak. Ada juga berkemungkinan kami sekarang berasal daripada keturunan itu atau ada yang berdarah keturunan hamba. Sukar untuk dikenal pasti kerana ia sudah terlalu lama,” katanya.

Meskipun kenyataan Gomez mungkin boleh menimbulkan kemarahan sesetengah pihak, namun ada kebenarannya kerana sejarah membuktikan memang Portugis pernah singgah dan membina koloni di beberapa negara berkenaan, selain membawa ratusan hamba ketika menakluki Melaka pada abad ke-16.

Kini, untuk mengenal pasti seseorang itu sebagai berketurunan Portugis asli adalah lebih sukar kerana ada individu yang sudah hilang nama kelaurganya. Ini disebabkan dalam keturunan masyarakat itu, nama keluarga hanya boleh diturunkan kepada anak lelaki dan sekiranya tiada anak lelaki dalam sesebuah kelaurga, nama keturunan mereka dianggap sudah berakhir.

Antara nama keluarga asal Portugis ialah Collar, De Costa, De Mello, De Roche, De Rozario, De Silva, De Souza, Dias, Felix, Fernandes, Gomez, Lazaroo, Loboo, Lopez, Monteiro, Pereira, Pestana, Pinto, Rodriguese, Santa Maria, Sequerah, Rozario dan Theseira, manakala nama yang berakhir dengan Danker, De Witt, Federick, Goonting dan Hendricks adalah nama keluarga bagi keturunan Belanda. Hal ini kurang difahami ramai orang yang secara mudah mengatakan seseorang itu Portugis meskipun nama keluarganya menggunakan nama Belanda.

Jika kebanyakan orang mengatakan penaklukan Portugis di Melaka membawa satu budaya baru sekaligus mengubah cara hidup orang tempatan, ia pantas dinafikan Gomez yang melihat realitinya orang Portugis yang mengasimilasi dalam budaya tempatan.

Malah, tarian Portugis yang kini giat digerakkan dalam Kampung Portugis bukan warisan turun temurun tetapi dipelajari daripada paderi yang masuk ke Melaka selepas zaman penjajahan.

Pakaian tradisional Portugis


Asimilasi masyarakat tempatan dalam budaya hidup orang Portugis jelas dapat dilihat dengan menu memakan nasi berbanding roti meskipun ia bukanlah makanan utama di Portugal. Makan dengan tangan dan berpakaian tradisional orang Melayu menjadi bukti nyata asimilasi itu.

Perkahwinan campur yang berlaku sejak awal kemasukan Portugis sehingga mewujudkan generasi ‘mesticos’ atau Portugis berdarah campuran tetapi istilah itu hilang apabila perkahwinan campur itu menjadi lebih banyak dengan gabungan antara ‘mesticos’ dan Kristian yang asli dan dalam kalangan pribumi Kristian itu sendiri, namun diberi nama keluarga Portugis.

Patrick de Silva dalam buku tulisannya bertajuk The Melaka Story ada menyatakan antara contoh perkahwinan campur yang mewujudkan ‘mesticos’ terkenal di Melaka ialah Manuel Godinho De Eredia, di mana ibunya, anak perempuan Raja Supa, Dona Elena Vessiva.

Dona Elena dikatakan jatuh cinta dengan Juan De Eredia, bapa Manuel ketika bertemu di Melaka, mereka berkahwin di negeri itu dan mempunyai tiga anak lelaki, Domingos, Manuel dan Francisco serta seorang anak perempuan, Anna. Dona Elena meninggal dunia pada 20 Mei 1575 pada usianya 45 tahun dan dikebumikan di Melaka.

Kemasukan Belanda juga menjadi satu lagi punca masyarakat Portugis kini semakin hilang identiti aslinya. Ia dibuktikan dengan dua perkahwinan antara lelaki Belanda dan seorang wanita Portugis pada 2 Jun 1641. Jan Janzs Menie berkahwin dengan Dona Da Roger dan Roelop Manninghaz Schaep berkahwin dengan Jeronimo Da Mota, balu Juan Fernandez seorang pedagang Portugis.

Malah, gabenor Belanda, Abraham Couperous juga mempunyai seorang isteri tempatan Portugis seperti yang pernah dinyatakan Kapten Lennon pada 1796. Ia bukan setakat itu kerana terdapat lebih banyak perkahwinan campur antara orang Belanda dan Portugis sehingga mewujudkan nama keluarga seperti Danker, De Witt, Klassen Minjoot, Marbeck, Van Huizen dan Westerhout.

Tidak dapat dinafikan semua maklumat di atas ada logik dan kebenarannya. Berkunjung ke Kampung Portugis, susah untuk dikenal pasti mana Portugis, mana Cina atau Melayu. Bentuk wajah mereka sama. Malah, dalam ramai orang Portugis yang bersantai di medan selera berhampiran kampung itu, ada yang berwajah seperti Cina dan ada pula seperti India. Banyaknya seperti orang Melayu. Ia membuktikan terlalu banyak campuran dalam darah mereka.

Pintu gerbang mengalu-alukan kedatangan pengunjung


Suasana persekitaran di Kampung Portugis


Tinggal sekelompok untuk pelihara budaya

Ada beberapa sebab bagaimana penempatan semula wujud di Kampung Portugis, sedangkan sejak zaman penjajahan Portugis sehingga 1889, masyarakat mereka banyak tertumpu di Tengkera, Kubu, Bunga Raya dan Bandar Hilir sehingga menunjukkan penurunan ketara jumlah penduduk di kawasan Kubu dan Bunga Raya, sedangkan peningkatan berlaku di Tengkera.

Perkembangan aktiviti komersial di kawasan Bunga Raya pada awal 1920-an dan pertambahan penduduk Cina mengingkatkan nilai tanah dan sewa. Ia menjadi antara faktor memaksa masyarakat Portugis yang tertekan dengan bebanan ekonomi berpindah ke kawasan lain.

Penghijrahan juga turut berlaku di Tengkera pada 1920, juga disebabkan penambahan penduduk Cina yang mengkomersialkan kawasan itu, sekaligus turut menajdi satu tekanan kepada orang Portugis yang kebanyakannya adalah nelayan.

Taraf sosioekonomi orang Portugis sudah berlaku sejak zaman penjajahan Belanda. Penumpuan mereka kepada pertanian juga tergugat kerana persaingan dengan orang Melayu, menyebabkan ramai terpaksa berhijrah di kawasan berhampiran pantai untuk aktiviti laut.

Menyedari keadaan itu, dua paderi iaitu Jules Pirre Francois dan A M Coroado mengambil inisiatif berbuat sesuatu untuk mengletakkan masyarakat Portugis di lokasi berpusat supaya generasi dan budaya mereka boleh dilindungi. Usaha mereka membuahkan hasil apabila 25 lot tanah seluas 28 ekar diperoleh pada 1926 membabitkan pembelian tanah menerusi dana King George V.

Pada permulaannya, sukar untuk menghimpunkan orang Portugis di penempatan semula itu, malah Tun Tan Cheng Lock yang ketika itu seorang ahli politik terkenal di Melaka menjelaskan betapa usaha itu masih pada peringkat awal dan berdepan dengan beberapa masalah seperti kekurangan rumah, jalan serta jambatan.

Namun, usaha untuk merealisasikan penempatan semula kaum Portugis itu tetap diteruskan dengan kerja pembersihan tanah yang sebahagian besarnya adalah paya. Kerjasama Jabatan Kerja Raya turut diperoleh untuk menambak kawasan itu bermula 1930 sebelum siap sepenuhnya pada 1933.

Penantian orang Portugis untuk disatukan semula hanya menampakkan sinarnya pada Oktober 1933, ketika satu-satunya akhbar tempatan ketika itu, Malacca Guardian, menyiarkan berita memaklumkan kepada umum bahawa Jawatankuasa Penempatan Semula Portugis sudah bersedia mempertimbangkan permohonan daripada penduduk yang layak.

Sebenarnya banyak konflik dan campur tangan politik sepanjang Kampung Portugis di Ujong Pasir dibina sehingga dapat berdiri teguh seperti sekarang. Masalah kewangan turut menyebabkan ada rumah yang disewakan dan dijual dan kini kampung itu mula menampakkan petanda penghijrahan semula generasi muda ke lokasi lain untuk membina kerjaya.

Senario itu sebenarnya tidak dapat dielakkan kerana taraf hidup dan cara menggerakkan ekonomi mereka juga mula berubah. Jika dulu, tumpuan hanya sebagai pelaut, namun kini semakin ramai menceburi kerjaya dengan kerajaan dan menjadi peniaga.




Sumber : BHarian 11/10/2011

Capaian entry berkaitan :
* Misteri Etnik Part 1 : Warisan 500 tahun masyarakat Portugis terpelihara
* Misteri Etnik Part 2 : Perkahwinan campur sinonim masyarakat Portugis Melaka
* Misteri Etnik Part 3 : Laut ibarat nyawa masyarakat Portugis sejak dulu
* Misteri Etnik Part 4 : Portugis Melaka lebih asli
* Misteri Etnik Part 5 : Orang Portugis Melaka kaya perayaan, budaya
* Misteri Etnik Part 6 (Akhir) : Adat Portugis Melaka dipengaruhi Melayu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...