Pesta unik jadi tarikan utama pelancong
Masyarakat di negara ini memang cukup kaya dengan pelbagai jenis perayaan dan sambutan. Boleh dikatakan hampir semuanya mempunyai perayaan besar dan tidak kurang juga perayaan untuk memperingati satu tarikh istimewa. Begitu juga dengan orang Portugis yang meraikan lima perayaan penting setiap tahun dan disambut secara besar-besaran.
Sebagai penganut Kristian, mereka tentunya tidak terlepas daripada sambutan Krismas dan menjadikan perayaan di Kampung Portugis lebih unik serta meriah ialah kerana penempatan meraka yang strategik. Berada di tepi pantai, ditambah dengan medan selera terkenal, selain mempunyai pentas khas berdepan pintu masuk kampung membolehkan perayaan disambut meriah.
Justeru, tidak hairan jika setiap kali tiba musim perayaan, tidak kira perayaan keagamaan atau budaya, Kampung Portugis disambut sangat meriah. Pendek kata, jika mahukan kemeriahan sebenar berpesta ketika perayaan, kunjungilah kampung itu dan semuanya terhidang di sana. Dengan persembahan kebudayaan, joget lambak, perarakan dan pelbagai lagi disajikan di situ.
Perayaan pertama dalam kalender mereka ialah pesta Intrudu. Tidak ada tarikh tetap dalam kalender masihi untuk perayaan ini, tetapi dalam kalender Kristian, ia jatuh pada 40 hari sebelum Krismas atau pada Ahad sebelum ketibaan ‘Esh Wednesday’ (hari Rabu di mana penganut Roman Katolik diwajibkan ke gereja untuk meletakkan abu pada dahi).
“Esh Wednesday tidak tentu. Ia bergantung kepada kalender Roman Katolik. Ada ketikanya jatuh pada Februari. Kalender ini tidak sama dengan kalender masihi. Intrudu ialah pesta air. Ia disambut sebelum semua orang Roman katolik berpuasa selama 40 hari bermula pada Esh Wednesday.
Konsep berpuasa kami berbeza dengan orang Islam. Ia bergauntung pada kemampuan individu. Ada yang alim, berpuasa sepanjang hari, ada yang separuh hari. Boleh minum, cuma kurangkan makan. Cuma, diharamkan makan daging pada Jumaat sepanjang 40 hari itu.
Pada pesta Intrudu, permainan air dimulakan sejak pagi. Sebenarnya sambutan ini dulu tidak besar, hanya dibuat dalam rumah. Mereka main air dalam rumah sendiri. Namun, disebabkan di sini majoriti orang Portugis, jadi kami berasakan lebih baik buat di jalanan.
Apabila semua orang mula main air di jalanan, sesiapa saja yang masuk ke kampung kami akan disimbah air juga. Secara tidak langsung ia bertukar menjadi satu perayaan atau pesta pula. Tujuannya adalah untuk membersihkan diri. Ia juga sebagai peringatan bahawa inilah hari terakhir bersuka ria sebelum berpuasa. Sekurang-kurangnya apabila ia menjadi pesta tahunan, ia kekal menjadi warisan dan tidak dilupai generasi muda,” cerita Setiausaha Kampung Portugis, Michael Banerji, 63.
Semua perayaan yang disambut dalam Kampung Portugis adalah berkaitan agama. Boleh dikatakan mereka ialah penganut Kristian Roman Katolik yang kuat dalam beragama. Ia mungkin disebabkan kedudukan masyarakat mereka yang berkumpul dalam satu penempatan dan membolehkan aktiviti serta proses keagamaan digerakkan secara maksimum.
Jawatankuasa Kampung Portugis terpaksa membuat peraturan khusus bagi mengawal ‘kegilaan’ penduduk di situ setiap kali tiba pesta Intrudu. Dulu, mereka bermula seawal jam 12 malam dan berlarutan sehingga petang. Kini, ia hanya dibenarkan bermula selepas jam 9 pagi, namun peraturan itu tidak pula membataskan siapa yang bakal disimbah. Jika tidak mahu basah, jangan masuk ke kampung itu pada hari pesta Intrudu!
“Dulu lagi teruk. Bukan setakat simbah dengan air paip, tetapi dicampur tepung, buah gatal, arang dan pewarna. Kami terpaksa larang sebab tidak sesuai. Kini, yang popular ialah dicampur dengan air. Awal pagi, lori ais sudah sampai untuk jual air kepada orang kampung. Satu lori pun tak cukup!
Pelbagai kaedah digunakan. Ada guna pistol air, ada guna belon. Sejak malam, jawatankuasa sudah menyediakan tangki air untuk kemudahan orang kampung. Meriah! Sangat meriah! Pelancong pun ramai. Mereka sudah tahu mereka akan basah. Amaran, berhati-hati kerana mereka tidak kira siapa dan apa yang anda bawa. Kamera pun basah,” ceritanya.
Ada simbolik lain dalam pesta itu. Selepas puas membasahkan orang, sedikit wain dihulurkan sebagai tanda memohon maaf. Selalunya jawatankuasa menyediakan 24 botol wain. Penduduk sendiri pun sediakan wain sebagai tambahan.
San Juang atau pesta lampu pula diadakan pada setiap 23 Jun di mana semua masyarakat Portugis di situ memasang lampu dan lilin di dalam serta di luar rumah dalam jumlah yang banyak. Biasanya, ia dipasang ketika senja. Sama seperti Intrudu, permulaannya ia hanya dilakukan secara individu oleh tuan rumah itu sendiri.
Namun, apabika ia sudah menjadi satu tarikan kerana pada hari itu, suasana di Kampung Portugis berkerdipan cahaya lampu, ia terus diangkat menjadi perayaan rasmi di situ. Kini, selain pemasangan lampu dan lilin di rumah, jawatankuasa turut anjurkan persembahan kebudayaan di pentas, terbuka untuk tontonan sesiapa saja, terutama pelancong.
Malam itu menjadi pesta. Selain persembahan kebudayaan, turut dihidangkan makanan tradisi, iaitu kanji mungu (bubur kacang hijau) dan pakaian tradisi pada hari itu mestilah berwarna hijau. Ia melambangkan kesucian dn lebih kepada orang muda mudi. Petanda mereka masih bersih.
Malam itu, ramai orang datang. Penuh sesak kampung ini bersama kami meraikan hari kelahiran nabi kami, St John. Semua lebih 1,000 orang Portugis di luar Melaka turut dating ke sini untuk meraikan pesta ini. Tidak ada tempat lain di negara ini yang meraikan dua perayaan seperti ini di Kampung Portugis,” kata Ketua Kampung Portugis, Peter Gomez.
Kemuncak kepada perayaan San Juang ialah satu pesta paling unik, iaitu San Pedro pada 29 Jun, enam hari selepas San Juang. Ia adalah perayaan khas untuk nelayan sebagai memperingati St Peter, ketua pertama semua mahzab (Pope). Dia adalah seorang nelayan dan pesta itu adalah sebagai memperingati hari lahirnya.
Pada hari itu, semua nelayan menaikkan perahu mereka, bersihkan dan hias dengan cara paling kreatif. Ada peraduan untuk hiasan itu, malah jawatankuasa memberikan mereka duit sebagai ganti rugi kerana tidak ke laut pada hari itu. Ia nyata sudah dikomersialkan kerana mendapat sambutan pelancong.
Berbeza dengan dulu, kami hanya jemput paderi utnuk memberi restu kepada bot nelayan supaya meraka selamat pergi dan pulang. Namun, apabila semakin ramai gemar melihat upacara itu, kami menjadikannya satu pesta dan terbuka kepada orang luar untuk melihatnya.
Tujuan perayaan ini memang sebenarnya untuk memohon perlindungan. Hanya nelayan terbabit. Ada 40 nelayan sepenuh masa dan 150 lagi separuh masa. Semua mereka ini akan menaikkan perahu mereka. Beberapa hari sebelum perayaan itu, ada pelbagai persembahan kebudayaan setiap malam dan kemuncaknya pada 29 Jun. memang seminggu itu cukup meriah,” kata Peter.
Pada malam 30 Ogos, sama seperti rakyat Malaysia lain, pastinya teruja membilang detik menyambut Hari Kemerdekaan. Mereka berkumpul beramai-ramai menyaksikan pelbagai persembahan pentas dan berjoget lambak tarian Portugis.
Semangat patriotik kuat dalam diri kami. Tepat jam 12 malam, bendera dinaikkan dan semua bangun menyanyikan Negaraku dan Tanggal 31. Semua penduduk di sini datang dan biasanya disertai pemimpin kawasan. Ia antara sambutan yang meriah di sini,” ceritanya lagi.
Kemuncak kepada perayaan dalam masyarakat Portugis tentulah Krismas, sama seperti penganut Kristian lain. Uniknya di Kampung Portugis, kemeriahannya sudah mula terasa sejak minggu pertama Disember, di mana semua rumah dihias dan dipasang lampu kelip-kelip.
Menambah tarikan, ada pertandingan untuk memotivasikan penduduk kampung menghiasi rumah. Namun, tanpa pertandingan itu pun, rumah mereka tetap dihias dengan hiasan mahal, ada yang kosnya mencecah sehingga puluhan ribu ringgit dan diimport dari luar negara.
Mahu rasa kemeriahan Krismas, cuba berkunjung ke Kampung Portugis sepanjang Disember. Setiap hari ada persembahan muzik di pentas da nada kumpulan mengelilingi kampong menyanyikan lagu Krismas. Bukan sehari, tetapi setiap hari sepanjang bulan!
Kampung Portugis jadi destinasi popular
Destinasi tarikan pelancong sarat dengan aktiviti kebudayaan dan kekal memelihara khazanah serta sejarah mereka. Itulah antara kekuatan utama masyarakat Portugis di Kampung Portugis dalam meneruskan kehidupan penduduk minority di Melaka, tetapi Berjaya membangunkan ekonomi walaupun bermula sekadar sebagai nelayan satu ketika dulu.
Elemen komersial yang diserapkan dalam pelbagai perayaan dan sambutan, selain keterbukaan mereka menerima kunjungan pelancong dan penganut agama lain untuk bersama merasai kemeriahan sambutan keagamaan mereka menjadikan kampong itu begitu dikenali dan sentiasa menerima kunjungan pelawat setiap masa.
Paling meriah, tentulah ketika pesta Intrudu (pesta air), walaupun ia menyebabkan sesiapa yang masuk ke kampung itu, melintasi pintu gerbangnya basah lencun, tetapi ia menyeronokkan. Tidak dapat digambarkan dengan tulisan bagaimana satu pesta agama berubah menjadi satu pesta bermain air yang sangat dinantikan ramai orang.
Difahamkan, pelbagai pesta yang dianjurkan di situ sentiasa menerima kunjungan sehingga lebih 50,000 orang, sekaligus melonjakkan ekonomi sebahagian penduduk di situ yang mengusahakan perniagaan restoran. Boleh dikatakan, semua perayaan di situ tidak pernah sunyi dengan junjungan dan pembabitan orang luar. Itulah kekuatan kampung Portugis.
Di situ, umpama gedung penyimpan khazanah budaya Portugis. Cukup sekadar mengunjungi kampung Portugis, keunikan masyarakat yang sudah bertapak di negara ini sejak 500 tahun dulu, ada di sana. Muzium Portugis yang ada di bangunan pertama kampung itu padat dengan pelbagai maklumat dan turut menerima kunjungan ramai orang yang mahu tahu mengenai sejarah serta budaya mereka.
Penyelia muzium, George Paul Overee, 79, antara orang yang cukup sarat dengan cerita sejarah orang Portugis selain mempunyai kumpulan kebudayaan sendiri yang boleh pada bila-bila masa mempersembahkan keunikan budaya mereka kepada pelancong. Begitulah kesungguhan masyarakat minoriti di Melaka ini mempertahankan tradisi serta budaya mereka.
Berbalik pada perayaan khusus masyarakat Portugis tadi, ia selain dapat menonjolkan budaya mereka kepada orang luar, ia turut menjadi landasan atau tapak terbaik menyatukan semua penduduk dalam satu majlis khusus yang penuh kegembiraan. Peter Gomez mengakui hubungan masyarakat dalam kampung itu tidak semuanya mesra, tetapi semua masalah atau selisih faham dapat dibuang jauh ketika bersama dalam perayaan.
Umpamanya mereka kerana lima perayaan itu disambut meriah, sekaligus memberi peluang secara maksimum untuk bersatu dalam sebuah masyarakat. Malah, lebih beruntung lagi kerana semakin lama, budaya dan penempatan mereka semakin dikenali.
Sumber : BHarian 14/10/2011
Capaian entry berkaitan :
* Misteri Etnik Part 1 : Warisan 500 tahun masyarakat Portugis terpelihara
* Misteri Etnik Part 2 : Perkahwinan campur sinonim masyarakat Portugis Melaka
* Misteri Etnik Part 3 : Laut ibarat nyawa masyarakat Portugis sejak dulu
* Misteri Etnik Part 4 : Portugis Melaka lebih asli
* Misteri Etnik Part 5 : Orang Portugis Melaka kaya perayaan, budaya
* Misteri Etnik Part 6 (Akhir) : Adat Portugis Melaka dipengaruhi Melayu
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...