“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Isnin, Oktober 31, 2011

Kes dera kanak-kanak wajar dijadikan iktibar



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kejadian kanak-kanak terbabit sebagai pelaku gejala sosial atau menjadi mangsa jenayah, bukan lagi sesuatu yang baru di negara ini. Kisah sedih dan tragik seperti ini boleh dikatakan menjadi santapan pembaca, penonton atau pendengar menerusi pelbagai saluran media hampir sepanjang masa.

Isu sosial seperti ini juga tidak terkecuali berlaku di Melaka, negeri yang pada 20 Oktober lalu menyambut ulang tahun pertama sebagai negeri maju. Setakat ini, ia tidaklah sampai pada tahap serius dan membimbangkan, malah sesetengahnya boleh dianggap terpencil.

Namun, dua kejadian yang berlaku baru-baru ini, seharusnya membuka mata kita semua, terutama di kalangan ibu bapa yang masih mempunyai anak kecil. Banyak iktibar boleh diambil dalam proses kita mendidik dan membesarkan generasi muda ini.

Kejadian pertama di Taman Seri Asahan, Jasin, awal bulan ini, membabitkan dua kanak-kanak berusia sembilan dan tujuh tahun. Mengikut laporan akhbar, kedua-dua kanak-kanak ini cedera teruk dirotan oleh bapa angkatnya hingga terpaksa menerima rawatan lanjut di hospital. [rujuk : Dua beradik berbirat tiru aksi lesbian]

Tentu sekali kita bertanya, kenapa begitu tergamak sekali bapa angkatnya berbuat demikian. Rupanya mengikut laporan itu lagi, dia bertindak begitu kerana dikatakan terlalu berang dengan perbuatan mereka yang terbabit meniru aksi seks ghairah pasangan lesbian. Selepas disiasat, perbuatan itu sudah banyak kali dilakukan hingga mendatangkan keseronokan kepada kedua-duanya, selain menganggap ia bukan satu kesalahan atau tidak wajar dilakukan pada tahap usia seperti itu.

Kanak-kanak yang masih sangat muda ini, apabila diselongkar silamnya mengaku mereka mendapat idea untuk melakukan perbuatan sumbang itu selepas menonton video lucah bersama sepupu, ketika tinggal di rumah nenek mereka di Sabak Bernam, Selangor.

Ibu mereka dikatakan juga pernah menyaksikan perbuatan itu dilakukan dan turut menegur. Malangnya, kedua-duanya seperti tidak serik hinggalah perbuatan itu diketahui bapa angkat mereka. Mengikut maklumat mutakhir diterima daripada penolong Pengarah Warga Tua dan Keluarga Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Zamzuri Mohamad, susulan kejadian itu, bapa angkat dan ibu kandung dua kanak-kanak terbabit kini menjalani proses kaunseling. Dua kanak-kanak terbabit pula yang dikatakan sudah sedar dengan kesilapan mereka, turut diawasi rapi oleh JKM bagi memastikan tidak mengulangi perbuatan itu. Kita berharap, kejadian seperti ini tidak berlaku lagi, baik di Melaka atau di Malaysia, apalagi seks sejenis adalah haram.

Dalam kejadian kedua pada 10 Oktober lalu pula, masyarakat di Melaka dikejutkan dengan kejadian seorng kanak-kanak berusia enam tahun dilaporkan mati di Hospital Alor Gajah, kurang sejam selepas menerima rawatan lanjut di situ akibat dipercayai menjadi mangsa penderaan.

Mengikut laporan akhbar, Mohd Firdaus Mat Dan, dimasukkan ke hospital berkenaan kira-kira jam 4.30 petang, dikatakan dalam keadaan ‘nyawa nyawa ikan’ dan bertubuh kurus, manakala hampir keseluruhan badannya lebam dan tapak kakinya pula melecur serta berlubang. Terdapat juga kesan kecederaan serius pada badan akibat dipercayai dicucuh dengan rokok.

Dilaporkan juga, kanak-kanak berkenaan dibawa ke hospital oleh bapa tirinya berusia 37 tahun itu dari kediaman mereka di kampong Padang Sebang, Alor Gajah selepas bimbang melihat keadaannya yang sangat lemah dan tenat. Sebelum dimasukkan ke hospital itu, ibu mangsa yang berusia 41 tahun, baru beberapa jam keluar dari hospital sama selepas berada di situ selama 10 hari kerana bersalin dan tidak mengetahui langsung mengenai kejadian berkenaan.

Ibunya yang ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka, mengakui hatinya sangat luluh bila mengetahui nasib menimpa anak bongsunya itu. Susulan kejadian itu, polis kemudan menahan bapa tiri kanak-kanak malang itu bagi siasatan lanjut. [Rujuk : HMetro - Azab sebelum mati didera]

Hujung minggu lalu (21/10/2011), lelaki berkenaan didakwa di hadapan majestret Siti Suriatey Mohamed Yusoff. Dia dituduh menyebabkan kematian Muhammad Firdaus, di sebuah kebun kelapa sawit di kampung berkenaan pada kira-kira 3.30 petang, pada 10 Oktober lalu. Dia dituduh mengikut seksyen 302 kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Kes ini yang mendapat perhatian ramai dijadualkan didengar semula pada 5 Disember ini.

Seperti juga kes pertama, kejadian kedua yang dipaparkan ini sedikit sebanyak meninggalkan banyak iktibar. Jadi terserah kepada kita semua untuk membuat penilaian sekaligus mencari yang terbaik bagi memastikan generasi muda negara terus mendapat perjatian sewajarnya.

Penulis, Amirullah Andi Nur (arullah@bharian.com.my), ialah Ketua Biro Berita Harian Melaka.




Sumber : BHarian 27/10/2011

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails