Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,
Membaca tajuk di atas, mengingatkan saya pada entry Rawat segera tekanan perasaan ketika hamil. Tidak dinafikan, emosi ibu berupaya mempengaruhi orang-orang yang berada di sekelilingnya, apatah lagi bayi yang dikandungnya. Dalam entry kali ini pula, kita lihat kupasan bagaimana seorang ibu (dan bapa) mempengaruhi orang-orang yang berada di sekelilingnya, terutama mereka yang paling rapat, iaitu anak-anak mereka.
Pernahkah anda mendengar ungkapan, “Anak dan emak sama saja, bodoh! Lembap!” Atau pernahkah ayat yang cukup pedas ini keluar dari lidah seorang suami? Mudah-mudahan tidak!
Bahasa kasar sebegini amat cepat diserap anak-anak kita seperti span menyerap air. Mereka akan percaya apa saja kata ayah dan ibunya, provokasi sebegini telah menghancurkan rasa ‘yakin diri’ anak-anak kita. Akhirnya mereka tumbuh menjadi manusia yang lemah semangat dan tidak pecaya kebolehan diri sendiri. Gelaran bodoh, lembap itu akan hidup berakar dalam hati anak kecil, kecuali anda mencantasnya dengan penghargaan dan mencabutnya dengan kasih sayang.
Siapa yang tidak mahu memiliki anak-anak yang bijak dan soleh, tetapi apakah anda menyediakan persekitaran yang mendukung ke arah itu? Ðalam Islam, pendidikan anak bermula daripada pemilihan calon-calon ibu yang layak melahirkan anak yang bijak. Nak anak anda bijak, tapi pilih isteri tidak ada kriteria ibu yang bijak memang susah! Kecuali anda lelaki yang bertanggungjawab mendidik isteri sehebat yang boleh supaya dia cukup bekalan mendampingi anak-anak anda nanti. Bagi wanita, pilihlah calon suami yang amanah, jangan asal kutip dari internet, akhirnya menyesal tak sudah.
Walau bagaimanapun, isteri tetap menjadi orang nombor satu yang paling berpengaruh dalam diri anak-anak. Sesibuk mana pun ibu, anak-anak tetap di hatinya. Hubungan yang rapat antara ibu dan anak tidak dapat dinafikan kaum bapa, hinggakan ramai yang cemburu melihat anak-anak memilih ibu daripada bapa ketika mahu bermanja. Tapi jangan pula salahkan bapa yang selalu tiada masa bersama anak, keadaan yang memaksa seorang bapa meninggalkan keluarga seharian demi memastikan anak isteri tidak kebuluran.
Kadang-kadang pening juga memikirkan bagaimana menjadi bapa yang baik, kita duduk di rumah saja nanti jadi pemalas sebab leka berhibur, kalau sibuk mencari wang pun masih disindir tidak memenuhi hak isteri dan anak. Yang terbaik adalah yang pertengahan, sesibuk apa pun jangan lupa bermanja dengan keluarga.
Sikap bapa amat mempengaruhi pertumbuhan anak, kerana kebaikan atau keburukan pada hakikatnya berjangkit antara satu sama lain. Contohnya, ayah pulang dari pejabat membawa stres yang hebat. Anak dan isteri terkena tempias, rumah tiada ketenangan lagi kerana setiap kali wajah suami yang isteri lihat hanya kekecewaanm kemarahan dan kekasaran. Isteri pula tidak dapat mengawal emosi yang sudah berhari-hari diprovokasi suami. Anak-anak akhirnya jadi mangsa kalau ibu mereka merajuk. Ibu tak mahu masak, buat tak tahu saja keadaan anak-anak, tak mahu lihat kerja-kerja rumah mereka, tak sudi memeluk mereka kerana hati ibu sedang ‘sakit’.
Keadaan sebegini boleh menjejaskan perkembangan anak, ibu merajuk akhirnya anak-anak tak bersedia ke sekolah, pelajaran terganggu, di rumah mereka ditekan, dimarah-marah dan dibiarkan saja tanpa perhatian. Semuanya salah bapa! Bapa yang menjangkiti ibu dengan penyakit stresnya. Kalau ibu tak memiliki kekuatan dalaman, iman yang kukuh dan takutkan Allah SWT, mungkin dialah yang akan menyokong anak-anak memberontak dengan cara tak peduli langsung kepada anak. Kekusutan ini makin menjadi jika tiada pegangan iman dalam keluarga yang dibina.
Belajar kawal diri
Anak soleh dan bijak hanya impian semusim, tak jadi realiti kerana ibu bapa tidak peduli. Bahkan harta yang mereka kumpulkan dan anak-anak itu telah menjadi azab terhebat dalam hidup mereka sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Ðan janganlah harta benda dan anak-anak mereka (orang-orang munafik) menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki akan mengazab mereka di dunia dengan harta dan anak-anak itu dan agar melayang nyawa mereka dalam keadaan kafir.” (Surah at-Taubah 9:85)
Akhirnya kita sedari bahawa kejahatan ibu bapa telah meranapkan impian mereka sendiri. Jangan asyik memperkatakan isu anak derhaka jika kita tidak sekelsaikan dulu isu ibu bapa yang derhaka. Jangan masukkan stres dalam rumah jika anda mahu terlepas daripada dituduh menderhaka kepada anak. Belajarlah mengawal diri, mempersembahkan diri anda yang terbaik untuk isteri dan anak. Melepaskan segala kekalutan di luar rumah hanya di tepi pagar rumah anda, jangan bawa masuk dan ceroboh jiwa-jiwa bersih anak-anak kita.
Seorang bapa semestinya ingat untuk apa keletihan yang dirasainya, jika bukan untuk mendapatkan imbalan kasih sayang keluarga. Bukankah sia-sia rezeki yang dibawa balik ke rumah dengan wajah penuh kebencian akhirnya dibalas dengan tangisan isteri dan anak? Hidup sebegini terlalu meletihkan, sudahlah kerjapun letih, takkan anda hendak sambung pula keletihan itu dengan konflik dalam rumah pula?
Bagaimanapun bukan salah suami seorang jika dia tidak selesa di rumah, isteri juga mesti sensitif dengan keadaan suami. Sediakan apa yang membuatnya selesa jangan cuba tambahkan stersnya dengan masalah baru. Kalau isteri sudah berusaha tapi suami masih tidak berubah, agaknya perlu pelan yang lebih telus dalam mencipta komunikasi yang kondusif.
Jika mahu berkonflik, ingatlah masa depan anak-anak. Mahukan anak anda soleh dan bijak? Ia bergantung dengan kesolehan dan kebijakan ibu bapa mereka dalam menyayangi dan menghargai sesama sendiri.
Renung-renungkan…
Capaian entry berkaitan :
* Rawat segera tekanan perasaan ketika hamil
* Emosi ibu bapa pengaruhi anak
* Ibu tenang, anak senang
* Masalah kerap lupa ketika hamil
Sumber : Dr Juanda Jaya di MW#1453
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Rabu, Oktober 05, 2011
Inginkan anak pandai...? Jangan kacau ibunya!
Susunan :
Bawang Goreng
pada
10/05/2011 09:30:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...