“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Selasa, Oktober 04, 2011

Emosi ibu bapa pengaruhi anak

DEKATI MEREKA...kanak-kanak tidak pandai menggambar emosi tetapi ia jelas melalui riak wajah mereka.


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apabila tersiar berita wanita Malaysia menduduki tangga ke-16 paling tertekan di dunia, sana sini orang membincangkan isu berkenaan. Tetapi tahukah kanak-kanak juga mengalami tekanan terutama jika ibu bapa kurang memberi perhatian kepada mereka?

Mungkin ramai ibu bapa tidak sedar bahawa masa yang mereka luangkan untuk anak-anak sebenarnya sangat singkat. Mungkin juga ada ibu bapa kurang bersetuju dengan kenyataan ini, tetapi cuba renungkan, berapa lama masa yang anda luangkan untuk benar-benar bercakap dengan anak?

Adakah kemungkinan masa yang anda peruntukkan bersolek dan menggayakan pakaian di depan cermin atau bersembang dengan kawan di kedai kopi lebih lama berbanding anda bercakap dengan anak-anak?

Mungkin ada yang menggelengkan kepala menandakan tidak. Jika difikir logik, memang tidak mungkin kita menghabiskan masa untuk diri sendiri lebih lama daripada bersama anak-anak namun inilah hakikatnya. Malah, ada ibu bapa tidak tahu mengenai pengalaman baru yang dilalui di sekolah atau pusat penjagaan kanak-kanak.

Dalam satu kajian pada 1989 hingga 1990 mendapati purata masa yang diluangkan bapa di Australia untuk bercakap dengan anak hanyalah 10 minit.

Jangan geleng kepala dulu kerana dalam kajian ke atas 10,000 ibu bapa termasuk di Malaysia pada 1990 hingga 1992, masa yang diluangkan ibu (surirumah) untuk benar-benar bercakap dengan anak hanyalah lima minit sehari manakala masa yang diambil oleh bapa di Malaysia hanyalah dua minit sehari! Ibu bekerja meluangkan masa lebih lama untuk bercakap dengan anak-anak iaitu lapan minit - mungkin ini disebabkan kesedaran memperuntukkan masa berkualiti bersama anak.

Menurut Perunding Psikologi Klinikal, Paul Jambunathan, tanpa disedari ramai ibu bapa ‘merelakan’ anak mereka membesar dengan pembantu rumah. Tanpa disedari juga, kebanyakan pembantu rumah yang menjadi ‘dunia’ kepada anak-anak kita lebih memahami emosi mereka.

Kanak-kanak juga ada banyak emosi, sama seperti orang dewasa. Kanak-kanak yang kurang kasih sayang akan menjadi individu dewasa yang kurang normal hidupnya. Mereka akan cepat putus asa, tidak dapat memberikan sentuhan yang mententeramkan kepada pasangan atau anak-anak mereka kelak.

Kanak-kanak akan sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan perhatian ibu bapa. Mereka mahukan belaian, pelukan, kasih sayang dan pujian daripada ibu bapa. Apa yang membimbangkan ialah apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan daripada kekosongan jiwa anak-anak ini dengan mencabul mereka. Mereka memberikan ‘sentuhan kasih sayang’ dalam cara yang salah.

Malah, jika sebarang kejadian tidak elok berlaku termasuk pergaduhan antara emak dan ayah, anak-anak terutama yang masih kecil akan menyalahkan diri sendiri kerana beranggapan merekalah punca masalah berkenaan.

Kanak-kanak tidak pandai menggambarkan emosi mereka dengan kata-kata, tetapi ia boleh dilihat dengan jelas melalui perubahan riak muka dan perlakuan. Namun jika ibu bapa tidak rapat dengan anak, mereka mungkin tidak dapat mengesan perubahan ini. Sudahlah kurang memahami emosi anak, apabila diminta menyenaraikan keadaan emosi - kebanyakan ibu bapa memberikan emosi yang negatif. Inilah sebabnya yang selalu membuatkan kita berfikiran negatif sehingga terbawa-bawa apabila bercakap dengan anak.

BIMBING...kekerapan bersama anak akan memupuk pembesaran yang sihat.

Emosi dan proses pembelajaran

KANAK-kanak yang ceria dan gembira boleh belajar dengan lebih baik, sebaliknya kanak-kanak yang selalu dalam keadaan sedih kurang menunjukkan minat untuk belajar. Malah, komunikasi mereka juga akan bersifat negatif. Emosi ibu bapa akan mempengaruhi anak-anak. Inilah sebabnya ibu bapa perlu bijak mengawal emosi mereka ketika bersama anak. Jika emosi anda negatif, anak-anak akan merasa kesannya. Secara tidak langsung mereka juga akan berasa tidak seronok walaupun ibu bapa ada bersama.

Dalam kajiannya pada 1992 hingga 1992, Jambunathan mendapati kanak-kanak belajar perbendaharaan emosi atau perkataan yang menerangkan emosi melalui pengalaman. Ini bermakna ibu bapa perlu memberitahu perkataan yang betul bagi setiap keadaan emosi seperti seronok, gembira, suka, sedih atau hampa.

Jika tidak diajar, anak-anak tidak pandai untuk luahkan emosi atau perasaan mereka. Kanak-kanak yang tidak dapat melahirkan perasaan mereka dengan baik tidak membesar dengan sempurna. Memberi peluang anak bercakap dalam perbualan keluarga sebenarnya boleh membantu meningkatkan kemahiran mereka berkomunikasi.

Kajian penyelidik ke atas 150 kanak-kanak di bawah Program Penyelidikan Pendidikan Majlis Belanda selama beberapa tahun mendapati mereka dapat menjawab soalan yang diajukan guru dalam kelas dan mampu mematuhi arahan dengan baik.

Peluang bercakap setiap hari (atau hampir setiap hari) secara serius dengan bapa sebenarnya menggembirakan anak-anak. Remaja Britain memberikan diri sendiri skor 87% dalam skala kegembiraan berbanding hanya 79% di kalangan remaja yang jarang bercakap dengan bapa mereka.

Inilah penemuan daripada soal selidik isi rumah rakyat Britain ke atas 1,200 remaja berumur 11 hingga 15 tahun yang dijalankan Universiti York. Ia mendapati hampir separuh responden (46%) berkata sangat jarang bercakap dengan bapa mengenai perkara penting. Kurang daripada 31% responden bercakap dengan ibu hampir setiap hari tetapi hanya 13% yang meluahkan masalah mereka kepada bapa.

Kekerapan bercakap dengan bapa terutama membabitkan perkara penting semakin kurang apabila remaja meningkat dewasa. Data menunjukkan di kalangan kanak-kanak 11 tahun, 42% bercakap lebih sekali seminggu dengan bapa berbanding hanya 16% di kalangan remaja berusia 15 tahun. Keputusan ini lebih kurang sama dengan kajian terdahulu.

Malah, ada penyelidik berpendapat bagi kanak-kanak sekolah rendah, ibu bapa menjadi ‘aset’ terbesar sepanjang waktu persekolahan. Ini kerana pencapaian akademik anak mempunyai kaitan rapat dengan pembabitan ibu bapa dalam aktiviti sekolah. Pembabitan ini bukan sekadar membantu anak menyiapkan kerja sekolah, malah menjadi sukarelawan dalam sebarang aktiviti sekolah juga didapati mampu meningkatkan keyakinan dan pencapaian anak dalam pelajaran.

Keselamatan kanak-kanak di rumah

KESELAMATAN di rumah juga sangat penting untuk menjinakkan hati anak-anak. Gejala lepak berlaku kerana anak-anak berasa tidak selesa di rumah sendiri yang boleh disebabkan pelbagai faktor seperti keadaan rumah sempit, bising atau tekanan daripada ibu bapa.

Anak-anak berasa selesa ketika melepak kerana mereka diterima oleh kawan. Mereka boleh berkelakuan mengikut kehendak sendiri berbanding ketika bersama ibu bapa. Inilah sebabnya ibu bapa perlu ‘buka telinga’ untuk anak, hanya dengan cara ini barulah kita akan nampak apa yang mereka inginkan.

Ibu bapa juga perlu sentiasa mengawal emosi. Pamerkan emosi negatif (seperti marah) pada waktu dan individu yang sepatutnya. Contohnya jika anda marah pada seorang anak, usah babitkan anak yang lain dan pastikan dia tidak dimarah di tempat awam atau di hadapan kawannya.

Ibu bapa yang memukul anak biasanya tidak berfikir terlebih dulu. Jarang ibu bapa berhenti sejenak, berfikir dan berkata, “Ayah/ibu marah dengan sikap awak (nama anak)”. Beri masa kepada diri sendiri untuk berfikir sebelum memukul anak. Biasanya anak akan faham dan jika diberi peluang (dengan menunjukkan perlakuan yang betul), mereka belajar untuk tidak mengulangi kesalahan sama.

Ibu bapa di Malaysia akan marah apabila anak bertanya perkataan yang tidak elok maksudnya seperti bangsat atau perkataan lain yang ada unsur seks. Jangan marahkan anak, sebaliknya tanya dari mana mereka dengar perkataan itu kemudian cuba terangkan secara ringkas supaya mereka faham. Lebih baik jika anda dapat berikan contoh mengapa perkataan itu perlu dielakkan. Mereka sebenarnya dalam proses belajar dan ibu bapa perlu terima hakikat bahawa sebahagian besar perbendaharaan kata anak-anak datang daripada persekitaran.

Selain itu, wujudkan suasana positif di rumah. Contohnya, apabila anak balik dari sekolah, jangan terus terpa telinga mereka dengan arahan tertentu seperti ‘masukkan stokin dalam bakul’ atau ‘susun kasut di rak’ kerana anak akan mendapat emosi negatif.

Alu-alukan kepulangan anak supaya dia berasa senang hati. Ini boleh dilakukan dengan memberi pujian atas kerelaannya ke sekolah, balik tepat masa dan tidak merayau sebelum balik ke rumah, kemudian barulah boleh memberikan arahan.

Bagaimana membantu anak anda menguasai perbendaharaan emosi:

* Dengar apa yang anak hendak katakan
* Tanya perasaannya setiap hari
* Cuba dengar emosi yang tidak diucapkan dan bincangkan dengan anak
* Hubungkan emosi anak dengan realiti dengan memberi contoh supaya dia faham
* Bincang dengan anak semasa gembira atau duka
* Kongsi atau luahkan perasaan anda pada anak

Panduan berkomunikasi dengan anak

CARA Rasulullah SAW melayan anaknya sangat istimewa. Apabila puterinya, Fatimah Az-Zahra datang ke rumah, Rasulullah menyambutnya dengan bangun, memegang tangan, mencium dan memberikan tempat duduknya kepada Fatimah. Layanan seperti ini akan meninggalkan kenangan manis yang akan dikenang sepanjang hayat berbanding memberikan hadiah. Malah, ia juga akan membuatkan anak berasa lebih dihargai dan disayangi. Jadi anak-anak perempuan khususnya tidaklah mudah terpikat dengan pujian dan kata-kata manis lelaki lain. Masalah yang dihadapi kebanyakan bapa (khususnya) ialah tidak tahu apa yang perlu disembangkan dengan anak.

Panduan di bawah mungkin boleh membantu anda:

Pilih masa yang sesuai untuk bercakap dengan anak iaitu ketika dia berasa selesa. Sesetengah kanak-kanak tidak sabar hendak bercerita sebaik balik dari sekolah, ada yang boleh tunggu hingga malam ketika kedua-dua ibu bapa ada di rumah.

* Jangan tanya soalan ‘Macam mana sekolah hari ini?’ kerana anda akan dapat jawapan seperti ‘ok’ atau ‘biasa saja.’
* Sebaliknya tanya ‘Ada perkara menarik berlaku di sekolah hari ini?’
* Tanya juga mengenai cerita kawannya. Bercerita mengenai orang lain lebih mudah daripada bercerita kisah diri sendiri.
* Anda juga boleh mengimbas balik kisah lama dan minta anak bercerita mengenainya.
* Bacakan buku cerita sebelum anak tidur pada waktu malam. Banyak kisah cendekiawan Islam yang boleh diceritakan dan ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan anak dengan tokoh Islam terbilang. Cara ini secara tidak langsung akan menggalakkan interaksi antara bapa dan anak.
* Amalkan solat berjemaah di rumah, jika ada halangan ke masjid. Minta anak yang lebih besar mengalunkan qamat. Anda juga boleh minta anak yang lain jadi ‘pengurus solat’ untuk membentangkan sejadah dan mengemasnya beramai-ramai selepas solat.
* Jika anak sudah cukup besar dan pandai jaga kelakuan, bawalah anak ke masjid untuk solat berjemaah atau sebarang aktiviti lain.
* Minta pandangan anak dalam membuat keputusan mudah yang membabitkan urusan rumahtangga contohnya menu pada hujung minggu, barang keperluan ataupun pembahagian tugas membersihkan rumah.
* Luangkan masa untuk anak dan biar anak tahu anda sentiasa bersedia mendengar cerita atau ada masa untuk mereka. Jika anda lebih mementingkan perkara lain, dikhuatiri anak akan mengadu kepada orang lain, yang mungkin memberi pengaruh tidak elok kepada mereka.
* Ramai ibu bapa tidak sedar mereka lebih banyak memberi arahan atau bercakap kepada anak, bukan dengan anak. Bercakap kepada anak bermakna bercakap satu hala (dari ibu ke anak), sedangkan apa yang perlu diamalkan ialah komunikasi dua hala.

Namun menurut Jambunathan, jika anda tidak mampu mengawal perlakuan anak, dapatkan bantuan daripada doktor atau pakar psikiatri. Mereka akan bantu anda untuk mengenali sikap anak-anak kerana hampir 70% suara anak-anak tersimpan dalam hati.




Petikan : HMetro

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails