“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Ahad, Oktober 16, 2011

Misteri Etnik Part 1 : Warisan 500 tahun masyarakat Portugis terpelihara

KOTA A Famosa di Banda Hilir kubu pertahanan Portugis yang menjadi tarikan pelancong.


Budaya nenek moyang tak tercemar dek arus pembangunan, peninggalan sejarah jadi kebanggaan.

SEJARAH mereka sudah cukup jelas. Malah, sejak di bangku sekolah lagi, pelajar sekolah menengah sudah didedahkan dengan kisah penjajahan Portugis di negara ini, terutama di Melaka yang menjadi punca kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka, kekal hingga hari ini.

Sejarah 1511 jelas tercatat sebagai detik bagaimana sebuah empayar pemerintahan Melayu terbesar dan cukup dihormati di nusantara, malah di dunia jatuh ke tangan mereka, meninggalkan Melaka sebagai sebuah negeri tanpa raja meskipun di situlah pemerintahan beraja Melayu pertama diasaskan di Kepulauan Melayu bermula dengan kemasukan Parameswara.



tentera Portugis menyerang Melaka

Penjajahan Portugis selama 130 tahun di Melaka bermula sejak 24 Ogos 1511 di bawah pimpinan Alfonso de Albuquerque sebenarnya bukan sekadar meninggalkan sejarah, turut mewujudkan keturnan etnik baru di negara ini, selain menyerap masuk pelbagai elemen budaya, bahasa dan cara hidup dalam kehidupan masyarakat tempatan.

Tidak perlu diperincikan mengenai sejarah penjajahan Portugis kerana ia memang sudah cukup diketahui umum. Malah, kesan penjajahan itu masih dapat dilihat di Melaka terutama di tengah bandarnya di mana masih dapat dilihat di Melaka terutama di tengah bandarnya di mana masih tersergam sisa bangunan A Famosa, kubu pertahanan Portugis yang menjadi tarikan pelancong di Bandaraya Bersejarah itu.

Replika kapal Portugis di Melaka


Lebih menarik untuk diceritakan ialah mengenai bagaimana masyarakat Portugis yang turut dikenali sebagai Papia Kristang boleh kekal berkembang pesat di negara ini, malah membentuk satu komuniti di Penempatan Portugis di Ujong Pasir, Melaka. Bukan itu saja, cara hidup, bahasa dan budaya mereka masih utuh seperti ketika 500 tahun dulu.

Melewati pintu gerbang kampong Portugis, beberapa ratus meter dari Bukit San Juan (St John), sudah terasa seperti berada dalam kampung Melayu kerana ketika berselisih dengan penduduknya, sukar untuk dibezakan sama ada mereka Melayu atau Portugis. Ada juga yang raut wajahnya mirip India dan ada pula seperti Cina.

Itu sudah cukup jelas membuktikan wujud perkahwinan campur antara orang Portugis dengan masyarakat tempatan satu ketika dulu sekaligus mewujudkan masyarakat percampuran budaya yang cukup kuat akibat asimilasi sesama mereka dan senario sebegitu sudah menjadi perkara biasa di Melaka termasuk membabitkan orang Chetti Melaka serta Baba Nyonya.

Namun, apa yang uniknya mengenai orang Portugis di Melaka ini ialah budaya dan bahasa mereka tidak pula 100% sama seperti di Portugal ketika ini. Bunyinya ada sedikit lain dan rentak tarinya juga tidak serupa. Dikatakan orang di Melaka lebih asli budayanya berbanding di Portugal.

“Orang di sini (Melaka) lebih Portugis daripada orang di sana (Portugal). Bahasa kami lebih asli dan lama... bahasa asal. Banyak juga kelainan dalam sebutan kami. Dari segi tatabahasa, bahasa orang Portugis di sini bahasa baku, tidak seperti di Portugal yang sudah menerima banyak pembaharuan bahasa. Di sini tidak kerana sejak Belanda mengambil alih penjajahan, hubungan kami terputus dengan Portugal.

“Apa saja yang ditinggalkan Portugis sejak Melaka diambil alih Belanda pada 14 Januari 1641, itulah yang kekal sehingga hari ini. Paling ketara ialah bahasa di mana kami hanya mewarisi bahasa Portugis secara turun temurun. Tidak seperti di Portugal yang sudah berlaku ubah suai terutama dalam aspek tatabahasa.

“Jika orang Portugis Melaka ke Portugal, orang di sana akan pelik dan kagum mendengar kami bertutur. Ia sangat unik bagi mereka kerana bahasa asal Portugis masih kekal seperti sedia kala di luar negara mereka. Di Melaka ini, bahasa itu sangat dijaga dan kami sentiasa pastikan anak mewarisinya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung Portugis, Peter Gomez.

Kagum melihat bagaimana masyarakat ini membangunkan budaya dan cara hidup mereka, kekal terpelihara selepas 500 tahun memasuki Negara ini. Lebih mengagumkan apabila semua mereka yang ada di Kampung Portugis tidak kenal sesiapa lagi di Portugal, pendek kata putus semua hubungan kekeluargaan.

Justeru, pasti sukar sebenarnya untuk mereka mempertahankan budaya asal, tetapi tidak bagi orang Portugis. Ia mungkin kerana suasana dalam perkampungan itu yang sedaya upaya menghidupkan latar Portugis sama ada daris egi bahasa pertuturan, seni budaya, pekerjaan dan upacara perayaan.

Perkampungan Portugis terkenal di tepi laut


Mungkin jika melangkah melalui jalan utama ke pintu masuk kawasan perkampungan itu yang dianggap sudah dikomersialkan, tiada apa yang menarik perhatian. Hanya deretan rumah gaya moden, tidak pula menampakkan keunikan mereka, tetapi sejurus memasuki pintu menghala ke Muzium Portugis di situ, semuanya berubah kerana alunan muzik yang kedengaran sudah membuai jiwa seperti berada di perkampungan barat.

Mereka memang sukakan hiburan. Minuman keras boleh dikatakan satu kemestian dalam apa saja perayaan dan upacara masyarakat mereka. Kerana itulah, kedai pertama yang ditempuh sejurus masuk ke pintu kawasan mereka adalah restoran berkonsepkan bar yang juga tidak lupa mengetengahkan budaya Portugis dalam hidangan dan persembahan.

Sukar sebenarnya untuk mengenal pasti mana satu orang Portugis. Kebanyakan mereka berkulit sawo matang dan ada juga yang gelap. Namun, dalam ramai-ramai, ada juga yang putih gebu. Pendek kata, mereka seperti orang Asia lainnya, hilang terus karakter ‘orang putih’ meskipun berketurunan barat.

Cuma, ketika mendengar mereka berbual sesama mereka, bahasa Portugis digunakan. Gaya pemakaian mereka pula tidak menampakkan langsung mereka ini orang Portugis. Kebanyakannya suka memakai seluar, tidak kira jantina, meskipun sebenarnya mereka dulu juga berkebaya.

Berkampung di tepi pantai, mesti ada sebabnya. Orang Portugis sukakan lautan, mungkin kerana sejarah mereka sendiri berkait rapat dengan laut, merantau meneroka dunia. Kini, lautan juga terus menjadi sumber kehidupan mereka dengan masih ramai terus ke laut menjadi nelayan meskipun ada banyak peluang kerjaya lain terhidang, terutama di Bandar seperti Melaka.

Jika yang sudah berjaya membina kerjaya pula, kehidupan nelayan tidak pula terhenti begitu saja. Masih ramai yang terus ke laut pada masa lapang kerana bagi mereka, lautan dan orang Portugis sukar sekali untuk dipisahkan. Malah, ada perayaan khas untuk nelayan dikenali sebagai San Pedro, penaung kepada nelayan.

Lebih menguntungkan mereka, minat dan kehidupan itu kini memberi kelebihan pula kerana hasil laut yang ditangkap sendiri boleh terus dijual dalam kalangan mereka yang membuka perniagaan di medan selera sekitar pantai yang 100% diusahakan orang Serani atau Portugis itu.

Ada juga yang lebih rajin dengan memasak dan menjual sendiri hasil laut sekaligus menberikan kehidupan lebih baik kepada mereka. Tidak dinafikan mereka cukup selesa dengan kehidupan sebegitu sehinggakan ada yang menggelar mereka sebagai ‘orang laut’. Apa tidaknya, anak seusia lima tahun tidak kisah bermain air di tebing pantai keruh yang sebenarnya tidak sesuai untuk mandi.

Kehidupan dalam komuniti berpusat di Kampung Portugis nyata memberikan kelebihan kepada masyarakat ini untuk mempertahankan cara hidup mereka. Semuanya mengenai mereka boleh ditemui di situ. Apa saja perayaan dan sambutan mengenai masyarakat itu berlaku di kampong itu.

Ia sekaligus menjadikan perkampungan mereka sentiasa meriah. Setiap masa ada saja orang luar mengunjunginya terutama pada waktu malam yang mana medan selera di tepi laut dalam kampong itu sentiasa penuh dengan pengunjung. Mungkin kerana fokus masakan di situ iaitu makanan laut segar dan dijamin halal cukup kuat menarik perhatian orang ramai, bukan sekadar dari Melaka, tetapi di seluruh Negara.

Apapun, keunikan masyarakat Portugis tidak setakat itu saja kerana lebih banyak untuk dikongsi termasuk mengenai budaya dan keagamaan yang menonjolkan kelainan berbanding masyarakat lain.

Hotel Lisbon di perkampungan Portugis


Perkampungan di tepi laut jadi tarikan pelancong asing

Paderi Sir Chang ialah nama asal perkampungan Portugis di Melaka sebelum ditukar menjadi penempatan Portugis selepas diwartakan oleh kerajaan British. Nama berkenaan ada hubung kait dengan pembukaan kampong itu oleh dua orang paderi iaitu Martino Larada dari Portugal dan Reven Fansua dari Perancis.

Kampung itu juga pernah dikenali sebagai Kampung St John kerana berada di lokasi berhampiran bukit San Juan. Pembukaan kampong itu berlaku pada tahun 1926 selepas dua paderi itu mahu masyarakat Portugis yang ketika itu berselerak di beberapa kawasan supaya dapat tinggal dalam satu kawasan untuk mempertahankan budaya dan cara hidup mereka.

“Dua paderi itu membuat permohonan kepada kerajaan British ketika itu dan membeli tanah seluas 28 hektar di tepi laut yang dikatakan bernilai RM50,000. Pembelian tanah di tepi laut adalah sesuai dengan jiwa orang Portugis yang gemar dengan aktiviti laut. Sukar untuk dipisahkan kami dengan lautan.

Sebelum kawasan itu dibeli, orang Portugis berselerak di enam daerah iaitu tengkera, Kubu, BUnga Raya, Bandar Kabar, Bandar Hilir, kampong Laut dan Bukit San Juang.

Selepas penempatan ini diwujudkan, sedikit demi sedikit orang Portugis berpindah dan tinggal di sini kerana tanah ini sudah diwartakan sebagai tanah untuk orang Portugis saja. Jika nak jual, hanya kepada orang Portugis,” cerita JKKK, Peter Gomez.

Meskipun perkampungan itu sudah diwujudkan sejak 1926, pada 1930 hanya ada tiga keluarga yang sanggup berpindah dan tinggal di situ. Walaupun tanah itu ditawarkan secara percuma, tidak ramai yang sanggup mendirikan rumah di kawasan yang pada ketika itu berpaya.

Disebabkan kurangnya sambutan untuk mendirikan rumah di situ, dua paderi tadi meminta bantuan British untuk mendirikan rumah panjang yang disewakan sebanyak RM1 sebulan. Selepas itu, sedikit demi sedikit pembangunan berkembang di situ dan semakin ramai berpindah ke perkampungan itu.

“Jika masuk ke kampung ini, bermula dari pintu gerbangnya, di sebelah kanan adalah perkampungan asal. Kerana itu rumahnya rapat dan padat. Kebanyakannya masih ke laut sebagai nelayan,” katanya lagi.

Kini, perkampungan Portugis dijangka akan kekal dengan imej dan cara hidup mereka dalam tempoh lebih lama kerana ia sudah diwartakan sebagai kampung warisan dengan pemilik tanah di situ tidak boleh menjal tanah mereka kecuali kepada orang Portugis.

Malah, lokasi mereka yang dianggap cukup strategik sering menjadi tumpuan pelancong sekaligus menjadikannya sebagai lubuk rezeki masyarakat itu.




Sumber : BHarian 10/10/2011

Capaian entry berkaitan :
* Misteri Etnik Part 1 : Warisan 500 tahun masyarakat Portugis terpelihara
* Misteri Etnik Part 2 : Perkahwinan campur sinonim masyarakat Portugis Melaka
* Misteri Etnik Part 3 : Laut ibarat nyawa masyarakat Portugis sejak dulu
* Misteri Etnik Part 4 : Portugis Melaka lebih asli
* Misteri Etnik Part 5 : Orang Portugis Melaka kaya perayaan, budaya
* Misteri Etnik Part 6 (Akhir) : Adat Portugis Melaka dipengaruhi Melayu

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails