PAGE

Khamis, Mac 29, 2012

‘Insya-Allah’, jangan dibuat main!


Assalamualaikum warahmatullah,

Manusia ini memang tidak terlepas daripada membuat perancangan dan berjanji. Sebagai ibu bapa, kadang-kala kita merancang segala yang terbaik demi keluarga dan anak-anak. Sebagai manusia juga, kita tidak dapat mengelak daripada berjanji. Sama ada tercapai atau tidak, segalanya tertakluk kepada ketentuan Dia yang Maha Berkuasa.

Merancang dan berjanji; dua perkara yang mungkin berbeza tetapi masih dalam konteks yang sama iaitu perkara yang akan dilakukan pada masa depan. Umpamanya ibu berjanji dengan anaknya untuk membelikan barang mainan kegemaran si anak. Sama ada perancangan itu terlaksana atau janji itu dapat dilakukan, ia berada di bawah takluk kuasa Allah.

Ada orang yang merancang tetapi perancangannya tidak menjadi kenyataan. Ada orang berjanji tetapi apabila tiba masa menunaikan janji, hilang tak nampak bayang! Perancangan tidak menjadi, itu suatu perkara di luar jangkaan. Janji tidak dapat ditepati, itu sama ada ingkar sendiri atau kerana masalah teknikal yang lain.

Islam mengajar satu konsep yang amat mudah dalam perkara membuat perancangan dan membuat janji, iaitu mengiringi perancangan dan janji itu dengan kata ‘insya Allah’. Namun selalu juga berlaku, kita main-main dengan ungkapan ‘insya Allah’ itu. Umpamanya, apabila mendapat undangan daripada sahabat, kita dalam keadaan serba salah sama ada mahu hadir atau tidak. Hendak menolak terang-terangan, rasa tidak sampai hati. Hendak menjawab ya, hati memang berat hendak memenuhi undangan itu. Lalu ada di antara kita mengambil jalan tengah, ‘insya Allah’  tetapi dalam hati, “insya Allah, tak datang!”

Kisah mengenai ‘insya-Allah’ ini, Allah nyatakan dalam surah al-Kahfi ayat 23-24 yang bermaksud, “Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan tentang sesuatu: “Sesungguhnya aku akan mengerjakannya esok”, kecuali dengan menyebut ‘insya Allah’.”

Ayat ini mengingatkan kita mengenai kekuasaan mutlak yang hanya milik Allah. Oleh itu apabila melafazkan janji, mengikrarkan sumpah atau membuat perancangan, kita akan selalu ingat bahawa kita makhluk yang lemah dan segala yang terlancar dari mulut kita itu akan jadi kenyataan jika diizinkan Allah. Sebab itulah kita sebut ‘insya Allah’ iaitu ‘dengan kehendak Allah’.

Menurut riwayat Ibnu Jarir, ayat 23-24 surah al-Kahfi tersebut diturunkan oleh Allah berikutan peristiwa yang tercetus antara Nabi Muhammad dengan kaum kafir Quraisy. Pada suatu hari, kaum Quraisy mengutus dua orang utusannya, an-Nadr bin al-Hars dan Uqbah bin Abi Muith untuk menemui para pendeta Yahudi di Madinah. Tujuan mereka adalah untuk memastikan kenabian Muhammad sebagai seorang rasul dengan cara menceritakan sifat-sifatnya dan segala yang dikatakannya. Kaum Quraisy beranggapan bahawa para pendeta berkenaan mempunyai kepakaran dalam memahami kitab-kitab lama yang telah diturunkan dahulu dan memiliki pengetahuan yang mendalam mengenai tanda-tanda kenabian. Lalu, kedua-dua utusan tadi mengemukakan masalah yang sedang dihadapi koleh kaumnya kepada para pendeta yang ditemui.

Para pendeta itu pun menyarankan bahawa untuk memastikan sahih atau tidaknya kenabian Muhammad, ajukan tiga persoalan kepada Muhammad. Pendeta Yahudi berkata, “Tanyakanlah kepada Muhammad akan tiga hal. Jika dia dapat menjawabnya, dia Nabi yang diutus. Akan tetapi, jika tak dapat menjawabnya, dia hanyalah orang yang mengaku sebagai Nabi. Pertama, tanyakan tentang pemuda-pemuda pada zaman dahulu yang berpergian (mengembara) dan apa yang telah berlaku kepada mereka. Kedua, tanyakan juga tentang seorang pengembara yang sampai ke Masyriq dan Maghrib dan apa yang terjadi padanya. Ketiga, tanyakan pula kepadanya mengenai roh dan apakah itu roh.”

Utusan itu pulang kepada kaum Quraisy dan menceritakan pesanan yang diberikan oleh para pendeta Yahudi itu. Kemudian, mereka berangkat pula menemui Nabi Muhammad SAW dan menanyakan ketiga persoalan yang tersebut di atas. Nabi Muhammad SAW berjanji dengan pasti bahawa baginda akan dapat menjawab ketiga-tiga persoalan yang dikemukan tanpa disertai kalimah ‘insya Allah’.

Dari sehari ke sehari, Baginda menantikan turunnya wahyu yang akan menerangkan jawapan kepadaa ketiga-tiga persoalan tersebut. Rasulullah SAW menunggu-nunggu wahyu sehingga 15 malam, namun malangnya Malaikat Jibril tidak juga muncul sehingga orang-orang Makkah mulai merasa sangsi terhadap Baginda. Rasulullah sendiri berasa sangat sedih, gundah gulana dan bingung mengenai jawapan yang harus diberikannya kepada kaum Quraisy yang menunggu-nunggu jawapan Baginda.

Akhirnya setelah 15 malam berlalu, turunlah Malaikat Jibril membawa wahyu iaitu beberapa ayat daripada surah al-Kahfi dan al-Isra sebagai jawapan kepada ketiga-tiga persoalan yang dikemukakan. Sambil itu, Malaikat Jibrail membawa teguran Allah terhadap sikap Nabi Muhammad yang berjanji tanpa mengucapkan ‘insya Allah’. (QS al-Kahfi [18]:23-24).

Mufassir Ibnu Jarir ath-Thabari dalam Kitab Jaami'ul Bayan menjelaskan, “Inilah pengajaran Allah kepada Rasulullah SAW agar jangan memastikan suatu perkara akan terjadi tanpa halangan apa pun, kecuali menghubungkannya dengan kehendak Allah SWT.”

Dalam kesempatan itu juga, Jibril menyampaikan tentang pemuda-pemuda yang berpergian, yakni Ashabul Kahfi (18:9-26); seorang pengembara, yakni Dzulqarnain (18:83-101); dan perkara roh (17:85).

Kalimah ‘insya Allah’ bukan perkara yang boleh dibuat main, sama ada ketika hendak merancang sesuatu atau pun semasa perancangan telah dibuat. Berikut antara perkara yang perlu kita berikan perhatian apabila berjanji dan membuat perancangan :

1 – Buat janji ikut kemampuan

Jangan berjanji sekiranya kita tidak tahu kita tidak mampu untuk menunaikan janji. Sekiranya tidak yakin atau tahu diri tidak mampu menunaikan janji, maka lebih baik kita berterus-terang saja. Berterus-terang mungkin akan menyebabkan ada pihak berkecil hati tetao itu lebih baik daripada mungkir janji. Sekiranya kita yakin dapat menunaikan janji, ucapkanlah ‘insya Allah’ sebagai penyerahan kepada Allah, segalanya akan berjalan lancar dengan izin-Nya.

2 – Janji harus sedaya upaya ditunaikan

Apabila sudah berjanji, cubalah sedaya upaya menunaikannya. Yang penting ada usaha untuk melunaskan janji kerana dengan usaha itu, insya Allah akan dipermudahkan Allah.

3 – Berserah kepada Allah apabila berjanji (tawakal)

Jika ungkapan ‘insya Allah’ diucapkan dengan penuh sedar dan faham, bermakna kita menyerahkan segala urusan kepada Allah. Kalimah ‘insya Allah’ ibarat satu doa, dengan mengharapkan reda Allah supaya memberikan kita kekuatan dan kejayaan menunaikan janji dan membuat perancangan. Apabila kita menyerahkan segala bentuk urusan kepada Allah, bermakna kita sampai ke peringkat bertawakal selepas melakukan segala usaha yang perlu dan patut.

4 – ‘Insya Allah’ jangan dibuat main!

Kalimah ‘insya Allah’ bukan sebarang ungkapan yang boleh dibuat main. Apabila mengucapkan ‘insya Allah’, haruslah dengan penuh sedar, tekad yang ikhlas dan ada kesungguhan yang padu melaksanakan segala janji. Jangan jadikan ‘insya Allah’ sekadar ungkapan di mulut tetapi tiada makna langsung. Boleh jadi hukum haram, andainya kita ungkapkan ‘insya Allah’ tetapi dalam hati memang tidak mahu melunaskan janji atau hati memang tahu tidak dapat menunaikannya. Jika ‘insya Allah’ diungkapkan dengan hati tidak ikhlas, itu juga boleh jadi suatu bentuk penipuan.

5 – Janji tapi tiada niat hendak tunaikan a.k.a. munafik

Berdusta dan ingkar janji adalah antara sifat orang munafik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tiga perkara yang berada di dalam dirinya, maka dia munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya Muslim. Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkir janjinya dan apabila dipercayai dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

6 – Janji tapi terlupa, maka tidak mengapa

Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabda yang bermaksud, “Apabila seseorang berjanji dengan saudaranya dan dia berniat akan menepati janji itu, tetapi dia tidak memperoleh jalan untuk menepatinya, maka tidaklah dia berdosa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Apabila janji diucap, usaha dibuat untuk menunaikan janji, tetapi kemudian ada halangan lain yang datang sehingga akhirnya janji tidak dapat ditunaikan. Janji yang gagal ditepati atau perancangan yang tidak menjadi walaupun sudah habis berusaha, dianggap menepati maksud ‘insya Allah’ – kerana Allah tidak mengizinkannya berlaku.

7 – Selalu menyerahkan segala urusan dan perancangan pada ketentuan Allah

Sebagai manusia, kita selalu membuat perancangan dan beriya-iya berusaha agar perancangan itu menjadi kenyataan. Apabila perancangan tidak berjalan seperti dirancang, kita kecewa teramat, kita menyalahkan orang lain, malah kadang kala sukar menerima hakikat kegagalan. Inilah yang berlau apabila kita tidak menyerahkan segala urusan kita kepada Allah. Kita selalu menyangka kejayaan kita semata-mata kerana usaha kita sahaja. Tetapi kita terlupa kadang kala Allah menguji kita dengan sedikit kegagalan kerana Dia ingin menguji kekuatan kita.

Kisah Nabi Sulaiman dengan kalimah ‘insya-Allah’

Suatu hari nabi Sulaiman yang memiliki 60 orang isteri berkata kepada dirinya, “Aku akan meniduri isteri-isteriku yang seramai 60 orang ini secara bergilir-gilir dalam satu malam. Sudah tentu, semua isteriku ini akan mengandung dan melahirkan anak-anak lelaki dalam masa yang sama. Dengan demikian dapatlah aku membentuk satu pasukan berkuda yang terdiri daripada anak-anak lelakiku ini untuk berjuang dan berperang di jalan Allah.”

Maka nabi Sulaiman pun meniduri isteri-isterinya secara bergilir dalam satu malam sahaja. Malangnya daripada 60 orang isterinya itu, hanya seorang yang mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki.

Kisah Nabi Sulaiman a.s. ini diceritakan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat dalam suatu majlis ilmu. Kisah ini diriwayatkan dari sebuah hadis oleh Imam Bukhari. Rasulullah selanjutnya bersabda, “Seandainya Nabi Sulaiman menyertakan azam atau hasratnya itu dengan kata-kata ‘insya Allah’ (jika Allah menghendaki), sudah tentu semua 60 orang isterinya itu akan mengandung dan melahirkan anak lelaki, yang boleh dijadikan pasukan berkuda untuk berjuang di jalan Allah sebagaimana yang diharapkannya.”

Wallahu a’lam.

Sumber : MiDi 1 Oktober 2011

Rabu, Mac 28, 2012

Bawang putih

PELBAGAI manfaat boleh diperolehi daripada bawang putih.


BAWANG putih sememangnya terkenal di kalangan masyarakat tidak kira di mana dan apa bangsanya. Selain kegunaannya dalam masakan, bawang putih juga menjadi bahan perubatan tradisional.

Kegunaannya merentasi kaum lantaran manfaat bawang putih sememangnya tidak boleh diperkecilkan.

Sebab itu semua sependapat bahawa bawang putih merupakan bahan makanan yang ajaib - sarat dengan nutrien, vitamin, mineral dan bersifat antioksidan. Lebih daripada itu, ia merupakan bahan masakan rendah kalori selain rasanya yang tersendiri menambah keenakan banyak hidangan.

Tentunya ramai yang ingin tahu fakta nutrisi di sebalik bawang putih.

Seulas bawang putih mengandungi:

* 1.76 gm air
* 4 kalori
* 0.19 gm protein
* 0.1 gm serat
* 0.99 gm karbohidrat
* 0.03 gm gula
* 0.01 gm lemak

Bebas kolesterol atau lemak tepu

Bawang putih juga mengandungi pelbagai mineral dan vitamin. Lebih menarik lagi jika diteliti fakta nutrisi, seulas bawang putih mengandungi 5 mg kalsium, 1 mg magnesium, 0.05 mg besi, 5 mg fosforus, 0.018 mg asid pantotenik, 0.037 mg vitamin B6 (pyridoxine) dan juga selenium. Malah, bagi setiap 100 gm bawang putih mengandungi 95% B6, 52% vitamin C, 21% zat besi, 10% zink, 18% kalsium dan 26% selenium.

Namun keajaiban nutrisi bawang putih tidak berakhir setakat itu. Bahan makanan itu turut mengandungi antioksidan yang tinggi berkaitan dengan manfaat dari sudut kesihatan. Ia termasuk berfungsi merendahkan paras kolesterol, menurunkan tekanan darah dan meningkatkan kesihatan kardiovaskular.

Bahan kimia yang berperanan untuk manfaat tersebut dikenali sebagai allicin, diallyl disulfide, diallyl trisulfide danallyl propyl disulfide.

Satu perkara penting yang perlu diingat untuk mengekalkan nutrisi bawang putih adalah bahan tersebut perlu diracik atau ditumbuk dibiarkan selama 5 hingga 10 minit sebelum dipanaskan atau sebelum ditambah bahan berasid semasa memasak.

Mengikut kajian American Heart Association sebanyak 74.6 juta orang dewasa mengidap penyakit darah tinggi yang mengakibatkan antara lain kematian mengejut, strok dan serangan jantung.

Disebabkan kesan negatif yang mungkin timbul di kalangan pengidap penyakit tekanan darah tinggi, keadaan seperti itu sering dirawat dengan ubat-ubatan. Bagaimanapun ramai yang lebih suka menggunakan suplemen semulajadi seperti bawang putih untuk merendahkan tekanan darah mereka. Lebih daripada itu banyak kajian mendapati nilai tambah jika pengambilan ubat-ubatan digabungkan dengan amalan memakan bawang putih untuk memperoleh kesan berganda dalam kawalan darah tinggi.

Keserasian

Kajian juga menunjukkan ‘keserasian’ antara bawang putih dan tekanan darah di mana bawang putih mempunyai keupayan untuk merendahkan tekanan daran terutama di kalangan pesakit yang mengalami penderitaan tersebut.

Bawang putih secara umumnya selamat biarpun ada masanya bahan makanan itu boleh menyebabkan rasa kurang selesa pada perut dan bau yang tidak menyenangkan. Ia juga boleh menyebabkan pendarahan, oleh itu berhenti mengambil bawang putih sebelum pembedahan atau mengunjungi doktor gigi.

Ramai juga berpendapat bahawa bawang putih boleh membantu menurunkan berat badan. banyak tulisan mengenainya, malah ada pakar menyarankan pengambilan tablet bawang putih sebelum waktu makan.

Bagaimana data saintifik kaitan antara bawang putih dan penurunan berat badan agak terhad. Hanya kajian utama menunjukkan seekor tikus yang diberi makanan kandungan gula tinggi sepanjang tiga minggu. Tikus itu turut diberi suplemen bawang putih dan tidak berlaku sebarang peningkatan berat badan. Sama ada uji kaji tersebut mendatangkan kesan yang sama kepada manusia adalah tidak diketahui.

Sehubungan itu, mekanisme bawang putih untuk menurunkan berat badan masih tidak jelas biar pun ada yang berpendapat secara teorinya bawang putih merangsang otak yang mengawal selera.

Satu kajian terhadap manusia telah dijalankan menunjukkan bawang putih membantu menurunkan paras kolesterol. Banyak lagi uji kaji terhadap manusia diperlukan untuk menentukan manfaat bawang putih terhadap manusia.




Sumber : Utusan.

Isnin, Mac 26, 2012

Bukan isu keluarga - Permasalahan sosial remaja perlu ditangani semua

Terap nilai kasih sayang dalam aktiviti keluarga

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

KITA dikejutkan dengan berita kehilangan ramai remaja perempuan sejak mutakhir ini. Kehilangan ini berpunca daripada kejadian culik atau sengaja lari dari rumah atas faktor marahkan keluarga atau mengikut teman lelaki yang hubungan mereka tidak direstui keluarga.

Daripada kes kehilangan remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan diculik dari sebuah hentian bas di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor pada 31 Januari lalu sebelum berjaya diselamatkan Polis Thailand di Bangkok pada 11 Mac lalu, dan disusuli pula dengan kejadian seorang lagi remaja Tingkatan Tiga di Kuantan yang mendakwa diculik, tetapi timbul fakta terbaru kononnya dia melarikan diri ke rumah keluarga teman lelakinya. Terbaharu, berita remaja perempuan dilarikan oleh seorang lelaki pula menghiasi akhbar. (Rujuk : Ibu tanggung derita dakwa anak gadis dilari kekasih)

Kes yang pastinya disambut keluhan berpanjangan selain akan diamati ramai bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Beberapa kes yang bukan pertama atau yang terakhir, tetapi seharusnya dibimbangkan kerana ia boleh berulang lagi dan lagi dan lagi.

Kejadian ini seperti menggambarkan permasalahan akhlak di kalangan generasi muda hari ini agak membimbangkan. Individu yang sanggup merogol, menyeksa dan membunuh adik Nurul Nadirah pada hakikatnya hanya berjasad manusia, tetapi hati dan jiwanya lebih jahat daripada binatang.

Ramai remaja kini terbabit dalam masalah moral dan akhlak rendah dengan begitu mudah melanggar peraturan dan undang-undang negara sedia ada dengan terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah seperti merogol, membunuh, menagih dadah, mencuri, peras ugut serta menjadi ahli kongsi gelap.

Kata orang, jiwa remaja jiwa bergelora. Ada rasa resah, duka dan gejolaknya. Cuma apabila berlaku kejadian tidak diingini seperti remaja hilang atau diculik, bukan hanya jiwanya saja yang terbabit, sebaliknya keluarga serta masyarakat turut sama berkecamuk. Apa yang pasti, bukan sedikit yang mencemuh dan tidak kurang juga yang sedari awal ‘menghukum’ remaja itu yang dilihat kemaruk bercinta monyet tanpa memperdulikan perasaan keluarga. Tidak kurang pula, cercaan turut dilemparkan terhadap keluarga yang disifatkan tidak pandai menjaga anak. Hampir tidak kedengaran kritikan atau kutukan kepada lelaki yang bersubahat dalam ‘penculikan’ tersebut.

Persoalannya, apakah wajar kita bersikap sedemikian? Adakah tindakan ‘bersubahat’ sebegini diterima masyarakat? Apakah perlu setiap kali berlakunya kejadian yang menjadi cubaan kepada masyarakat, pada masa sama reaksinya, ‘padan muka’, ‘alah... bukan anak aku, lantaklah!’ dan sebagainya terpacul di mulut?

Hakikatnya, reaksi sedemikian ibarat ombak yang mungkin mengalih pasir, tetapi tidak mungkin dapat melenyapkan pasir itu sama sekali. Masalah remaja atau social yang berlaku di depan mata bukan lagi menjadi eksklusif kepada keluarga itu semata-mata, sebaliknya menjadi sebahagian daripada hak milik masyarakat kerana itulah ‘cermin’ atau wajah masyarakat kita hari ini.

Pada peringkat sekolah, menurut satu kajian yang pernah dibuat Kementerian Pelajaran pada 2004, hampir separuh kes pelanggaran disiplin yang berlaku berpunca daripada sikap pelajar itu sendiri seperti sentiasa bersifat menentang, bertindak mengikut perasaan, nakal, malas dan sebagainya. Banyak pihak sudah menyuarakan pandangan dan pendapat mengenai cara atau kaedah yang perlu diambil bagi membendung permasalahan ini.

Andai ada remaja bermasalah, tidak kiralah di Kuala Lumpur atau Kuantan mahupun Tapah, di bandar mahupun di ceruk kampong – semuanya ada cerita atau impaknya bukan kena atas batang hidung remaja itu dan keluarganya, tetapi hakikatnya hanya menunggu masa untuk menimpa keluarga lain sekiranya persoalan atau masalah asasnya tidak diendahkan.

Andainya anda tidak percaya, biarlah kenyataan dan statistik ini menjadi peringatan. Menurut Kaunselor Berdaftar yang juga Pakar Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh, kita-kira 5 daripada 10 remaja berusia 13 hingga 17 tahun yang bermasalah, cenderung untuk lari dari rumah. Angka ini hasil kajian sesi kaunseling dan seminar keibubapaan yang dilakukannya sendiri.

Apa yang menyedihkan, remaja ini mendakwa dengan melarikan diri dari rumah dapat menyelesaikan masalah dan meredakan tekanan dihadapi tanpa menyedari mereka sebenarnya berisiko terdedah kepada masalah lebih serius andai tidak dibendung. Keadaan pasti lebih teruk apabila remaja itu dilamun cinta menyebabkan mereka mudah dikaburi dengan ayat-ayat manis sehinggakan tergamak menipu ibu bapa atau keluarga demi bersama insan disayangi. Keluarga yang memelihara mereka sedari kecil tetapi akhirnya diketepikan atas nama cinta monyet yang tidak membawa ke mana.

Selain itu, Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din, yang mengulas Laporan Khas akhbar ini mengenai remaja hilang akhir tahun lalu, pula mendedahkan, kajian terhadap 379 remaja yang pernah lari dari rumah pada 2010, menunjukkan mereka mengakui bahawa tekanan menyumbang kepada faktor utama, selain 105 kes membabitkan pengaruh kawan, ingin bebas (55), bergaduh dengan keluarga (41), bosan (38) dan kurang kasih sayang (35).

Mengejutkan, bukan? Ke semua fakta itu dilontarkan pakar yang ‘masak’ dengan remaja kerana berdepan dan mengendalikan permasalahan golongan itu. Statistik yang diberikan pula bukan mencerminkan keseluruhan gambaran dan bagaimana pula angka tidak rasmi? Atau kes yang tidak dilaporkan atas alasan keluarga mengelak malu?

Namun begitu ada beberapa kaedah dan langkah yang diambil tidak langsung meninggalkan kesan. Kini, masyarakat semakin gusar dengan wujudnya kes culik, bunuh dan rogol di kalangan kanak-kanak bawah umur yang sedang hangat diperkatakan kini. Senario yang agak genting ini jika dibiarkan berterusan, pastinya akan membawa impak besar kepada pembangunan bangsa Malaysia yang sedang bangkit menuju kemajuan.

Dalam waktu kita bercakap mengenai strategi mencapai tahap negara maju seperti diimpikan dalam wawasan perdana, hakikatnya semua anggota masyarakat secara keseluruhannya turut memainkan peranan besar bagi menjana kemajuan tersebut seiringan dengan proses pembangunan rohani masyarakat, tugas ini jika ingin dilihat meninggalkan kesan yang terbaik, maka ia perlu dilakukan secara kolektif atau bersama.

Apa yang berlaku di depan mata kita hari ini adalah sesuatu yang membimbangkan. Fenomena remaja lari dari rumah hanya atas nama kasih atau keseronokan sementara sewajarnya membuka mata semua dan mengakui ia masalah bersama.

Nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Tanggungjawab itu bergantung pula kepada keupayaan diri seseorang itu apabila berada dalam kelompok manusia tertentu dan mengikut tahap keilmuan dimiliki seseorang individu.

Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang mengerjakan amalan salih dan nasihat menasihati agar mentaati kebenaran dan kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Sesuai dengan situasi mengejar kemajuan yang begitu drastik mutakhir ini, maka amat wajar kesedaran daripada semua pihak perlu ditingkatkan memandangkan kemajuan yang dicita-citakan adalah tanggungjawab bersama. Justeru, tugas atau peranan membendung dan membanteras gejala sosial ini tentulah juga menjadi beban tanggungjawab yang harus dipikul bersama untuk menanganinya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada dinyatakan tanggungjawab setiap umat mukmin yang perlu membuat teguran dan perubahan kepada sebarang bentuk kemungkaran yang berlaku depan mata sama ada dengan lidahnya, tangannya dan jika tidak mampu juga dengan bisikan hatinya menyatakan kebencian dan kejelekan terhadap maksiat dan kemungkaran yang berlaku itu.

Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak terutama yang sedang dalam usia remaja, ibu bapa memainkan peranan cukup besar menentukan hala tuju dan arah hidup mereka seharian. Pengawasan yang ketat dengan kebebasan fleksibel perlu dirangka dan dilaksanakan bagi mengelak mereka mudah terjerumus ke dalam pelbagai jenis gejala sosial yang tidak langsung mendatangkan manfaat kepada diri mereka sendiri.

Bukan setakat mengawasi dan mengawal pergerakan mereka, ibu bapa juga perlu mengisi kehidupan berkeluarga dengan sesuatu yang menarik dan menyeronokkan dengan diiringi nilai kasih sayang yang berpanjangan. Anak memerlukan perhatian dan bimbingan daripada ibu bapa. Justeru, jika ibu bapa dengan sengaja atau tidak mengabaikan tugasan berat lantaran terlalu sibuk mengejar kemajuan diri dan keluarga tanpa mempedulikan anak dan menyelesaikan permasalahan yang sering melanda anak remaja, siapakah yang harus dipersalahkan?

Keluarga juga seharusnya perlu lebih prihatin dengan anak mereka – bukan sekadar bertanyakan soal pelajaran, tetapi kenal rakan-rakannya baik di depan mata, sekolah mahupun di Facebook. Ketepikan soal ‘tidak mengapa, biasalah anak remaja suka berkawan’ sebaliknya peka apa yang sedang dilakukan oleh si anak.

Sebagai anggota masyarakat, kita seharusnya lebih peka dengan persekitaran – apa yang berlaku kepada anak jiran, siapa rakan yang datang bertandang dan menegur andai ada yang bersikap mencurigakan, adalah antara caranya. Mungkin ada ibu bapa yang tidak suka anaknya ditegur rakan atau jiran, tetapi itu lebih baik daripada membiarkan anak hanyut tanpa rasa takut atau aib terhadap tindak tanduknya. Ringkasnya, lebih baik bergaduh sekarang daripada menyesali apabila nasi sudah menjadi bubur.

Kita bersyukur dengan beberapa tindakan dan langkah drastik yang diambil Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri untuk menyekat jenayah berat yang dikatakan banyak menyumbang ke arah gawatnya gejala sosial yang melanda negara.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, riwayat Ibnu Majah, baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Allah sudah memerintahkan kamu melakukan yang makruf dan menegah perkara yang mungkar. Sebelum (sampai masanya) kamu berdoa kepada-Ku tetapi Aku tidak memperkenankannya, (perintah dan tegahlah) sebelum (sampai masanya) kamu meminta pertolongan-Ku tetapi Aku tidak menolong kamu.”

Justeru itu, semua anggota masyarakat perlu sama-sama berusaha memikir dan mengambil langkah jangka panjang bagi membendung dan membanterasnya. Allah Taala sudah berpesan dalam kitab suci Al-Quran supaya semua manusia bersatu padu dalam melakukan apa jua bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa ke arah dosa dan kerosakan. (maksud ayat 2, surah al-Maidah)




Sumber : BHarian - Kawal tingkahlaku anak agar tidak bertindak liar dan BHarian - Bukan isu keluarga.

Ibu tanggung derita dakwa anak gadis dilari kekasih

SITI HAJERAH menunjukkan gambar anaknya, Siti Ruzaida yang dipercayai diculik.


ALOR SETAR: Seorang ibu sebak kerana sentiasa terkenangkan anak perempuan bongsunya berusia 18 tahun yang masih belum ditemui selepas dilarikan teman lelaki dari rumah mereka di Taman Aman, Anak Bukit, di sini, Oktober tahun lalu.

Siti Hajerah Ahmad, 52, berkata anak bongsunya, Siti Ruzaida Ishak, pernah beberapa kali menghubunginya dan menyatakan mahu pulang ke pangkuan keluarga namun dihalang teman lelaki yang dikenali sebagai Mohd Faizal Issyam Ismail, 24, atau 'Boy'. Katanya, beliau difahamkan Siti Ruzaida yang lebih mesra dengan panggilan Fatin kini dipercayai berada di Kuala Lumpur.

“Sejak kehilangan Fatin, saya sudah melakukan pelbagai usaha termasuk melaporkan kes berkenaan kepada polis namun masih gagal mengesan kedudukan Fatin. Lelaki itu dipercayai memecahkan tingkap bilik rumah pada kira-kira jam 2 pagi sebelum melarikan Fatin dan kehilangannya hanya disedari tiga jam selepas itu,” katanya.

Siti Hajerah berkata, ketika itu suaminya, Ishak Abdullah, 61, ada terdengar bunyi bising di luar rumah namun tidak menyangka sesuatu yang buruk berlaku ke atas anak bongsu daripada empat beradik itu.

Katanya, kehilangan Fatin hanya disedari kakaknya, Siti Fairuz, 22, yang memasuki biliknya kira-kira jam 5.30 pagi hari terbabit. Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika Fatin yang sebelum itu belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum, Jitra dan tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

“Fatin ada menghubungi saya November tahun lalu menggunakan telefon bimbit seorang penduduk di Damansara Damai, Kuala Lumpur meminta diselamatkan. Beliau juga menangis teresak-esak dan merayu membawanya pulang ketika itu,” katanya.

Katanya, kali terakhir Fatin menghubunginya sebulan lalu menyebabkan mereka sekeluarga bimbangkan keselamatan gadis berkenaan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya berusaha mengesan gadis terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang daripada jagaan sah.




Petikan : BHarian 26/03/2012

Ahad, Mac 25, 2012

45,000 budak hidap Disleksia



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Amat mengejutkan berita yang dibaca di BHarian 24/03/2012. Menurut berita yang dilaporkan, kira-kira 50% daripada lebih 90,000 kanak-kanak negara ini yang menghidapi masalah pembelajaran sejak usia lima hingga enam tahun berpunca daripada masalah Disleksia. Perangkaan diterima Persatuan Disleksia Malaysia daripada Kementerian Pelajaran mendapati nisbah menunjukkan lima daripada 100 orang kanak-kanak berpotensi mengalami keadaan itu dan ia amat membimbangkan.

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata pihaknya kini dalam usaha merancang bersama kementerian bagi mewujudkan satu program khusus untuk kanak-kanak yang menghidap Disleksia supaya ditempatkan dalam kelas khas dan diajar guru khas. Kebanyakan sekolah tidak dapat mengesan penghidap Disleksia selagi kanak-kanak itu belum menjalani pemeriksaan, justeru mereka cenderung meletakkan mereka dalam kelas pendidikan khas dengan alasan mengalami kesukaran dalam pembelajaran.

Menurut Sariah lagi, program dalam pendidikan khas kurang sesuai untuk penghidap Disleksia, sebaliknya mereka memerlukan program dan kaedah pembelajaran khusus bagi mengatasi masalah ini. Adalah difahamkan, ada sesetengah sekolah memberi kad Orang Kurang Upaya (OKU) kepada pelajar Disleksia, sedangkan mereka bukan mengalami penyakit yang kronik, tetapi hanya keadaan mereka yang sukar mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bertutur.

Apa itu disleksia?

Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira. Oleh itu disleksia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.

Mereka yang mempunyai disleksia bukannya menghadapi kecacatan malah sebahagian daripada orang-orang yang terkenal juga mempunyai disleksia. Sesetengah mereka yang mempunyai keadaan disleksia mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang panjang, sukar mempelajari turutan seperti nama bulan, dan sifir. Setiap orang yang menghidap disleksia mempunyai masalah yang tidak serupa dengan penghidap yang lain.

Disleksia juga bukan disebabkan kecerdasan yang lemah serta penglihatan tetapi penghidap disleksia tidak mengecam sesuatu dalam keadaan terbalik. Ternyata sekali disleksia menghuraikan sesuatu kelainan dalam otak, selalunya ia adalah pemberian Tuhan yang terus berkembang dalam diri seseorang dengan cara yang berlainan.

Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh. Daripada kajian-kajian mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan. Ibu bapa mempunyai banyak pilihan untuk memberi pendidikan berterusan kepada anak-anak dengan memilih menghantar mereka ke sekolah biasa yang mempunyai kelas khas disleksia seliaan JPN atau mendapatkan nasihat daripada JKM untuk menghantar anak-anak ke Pendidikan Khas. Kanak-kanak ini akan diberikan bimbingan dengan betul untuk berdikari tanpa memerlukan bantuan ibu bapa apabila dewasa.

Ciri-ciri penghidapnya

♥ Selalunya dikesan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak.
♥ Lambat membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.
♥ Ketika membaca, sering mengurang dan menambah pada sesuatu perkataan.
♥ Sering keliru dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu contohnya 'b' dianggap 'd' dan 'p' dianggap 'q'.
♥ Perhatian mudah terganggu atau gagal untuk menghabiskan sesuatu kerja hingga habis.
♥ Cenderung menjadi seorang yang impulsif atau sering mengikut perasaan sendiri tanpa memikirkan orang lain.
♥ Sering berlaku di kalangan lelaki.
♥ Kerap berlaku di kalangan pasangan kembar, kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan, anak-anak yang lahir daripada ibu yang sudah berumur, dan kanak-kanak yang pernah mengalami kecederaan pada kepala.
♥ Masalah disleksia boleh berlanjutan sehingga dewasa.

Punca-punca disleksia

Mengikut Mercer, 1997; Hammond dan Hughes, 1996 dan Spaafford dan Grosser,1996, antara punca-punca disleksia ialah;

• Keturunan atau genetik
o Kebanyakan kes, terdapat beberapa ahli keluarga yang mengalami masalah-masalah yang sama. Kemungkinan punca ini boleh diwarisi yang membezakan adalah darjah keterukannya. Terdapat kajian yang dijalankan telah membuktikan disleksia desebabkan oleh kromosom 15, 1 dan 16 yang boleh diperturunkan secara turun-temurun

• Biologi
o Sejarah kanak-kanak disleksia biasanya adalah semasa dilahirkan tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau kelahiran yang amat sukar. Faktor-faktor ini menjadi punca kelambatan atau ketidaksempurnaan perkembangan. Sebahagian daripada kerosakan otak yang menyebabkan kanak-kanak ini mengalami masalah belajar dan kerosalan ini minimum

• Kematangan
o Terdapat kanak-kanak yang lambat perkembangnya pada banagian tertentu dalam sisitem saraf. Pada kebiasannya kanak-kanak lelaki lambat matang daripada kanak-kanak permepuan. Kelewatan kematangan pada kank-kanak merupakan salah satu kemungkinan punca disleksia

Rawatan untuk kanak-kanak disleksia

Berikut adalah beberapa cadangan untuk rawatan kanak-kanak disleksia. Apa pun ia bergantung kepada kesesuaian keadaan kanak-kanak.

1. Membawa berjumpa dengan pakar pisikologi pembelajaran atau psikologi klinikal pada peringkat awal.
2. Membantu kanak-kanak memahami bahawa walaupun dia mungkin berbeza dalam banyak hal tetapi tetap disayangi.
3. Menambah dan menggalakkan sebarang kemahiran istimewa bakat atau kebolehan semulajadi.
4. Sentiasa sabar melayani karenah mereka yang mana biasanya kecewa dengan kegagalan yang berterusan.
5. Membacakan cerita untuk anak-anak dan sentiasa mendampingi mereka.
6. Memberikan bantuan dan latihan pembelajaran sebelum memasuki tadika.
7. Mengamalkan suasana kasih sayang serta bersikap perihatin dalam mengekalkan suasana harmoni.
8. Membuat aktiviti berkeluarga serta memberi bimbingan dalam bidang akademik.
9. Mengamalkan konsep diri diberi ganjaran atau pujian contohnya bagus, pandai.




Sumber : BHarian 24/03/2012, Ms.Wiki ~ Disleksia

Sabtu, Mac 24, 2012

Anakku stres!


Tekanan tidak ditangani sejak kecil boleh melarat sehingga dewasa

ANAK anda berusia 10 tahun tetapi sikapnya panas baran. Bukan setakat mengeluh, mengucap dan berbuih mulut anda menasihatinya tetapi sikapnya tetap sama. Bukan setakat itu saja, malah dia mudah naik angin, merosakkan barang dan menangis.

Persoalannya, apakah ia sesuatu normal?

“Tidak,” ringkas jawapan Pakar Perkembangan Pendidikan Kanak-kanak yang juga Penolong Profesor di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis, yang mengaitkannya masalah yang menjurus kepada tekanan.

“Sekiranya anak-anak didapati tidak dapat mengawal tekanan, ibu bapa perlu mencari penyelesaian dengan mengenal pasti punca berlakunya tekanan kepada anak-anak dan memahami tanda yang menunjukkan anak tertekan.”

Ini boleh dilakukan dengan bantuan psikiatri. Kanak-kanak yang tidak dibantu mengawal tekanan, boleh mendorong berlakunya masalah tingkah laku yang mungkin dibawa hingga ke dewasa. Jika keadaan berlarutan dan semakin teruk, anak-anak boleh dirujuk kepada ahli psikologi klinikal atau doktor psikiatri di wad kanak-kanak. Perlu diingatkan, merujuk psikiatri bukan bererti anak berhadapan masalah terlalu besar, sebaliknya langkah awal menangani dan mengetahui punca.

Apa juga perkataan atau ejaannya, tekanan atau ‘stres’ memiliki maksud yang sama. Setiap individu darjah tekanan berbeza, sama ada banyak atau sedikit dan dikawal dengan baik atau sebaliknya.

Untuk dewasa, tekanan dialami mungkin boleh dikurangkan menerusi aktiviti bersukan dan berbual-bual dengan teman. Kanak-kanak yang masih kecil, berharap sepenuhnya kepada ibu bapanya, tidak banyak boleh dilakukan selain daripada menangis dan mohon simpati bagi meraih perhatian. Bagi ibu bapa yang tidak dapat memahami erti tekanan dialami si kecil, mereka kerap kali melabelkan bahawa mereka ‘degil’, mengada-gada atau buat perangai.

Tekanan membawa maksud sama bagi orang dewasa, tetapi orang dewasa ‘tidak melihat sesuatu tekanan berlaku di kalangan kanak-kanak’ sebaliknya melihat tabiat seperti menangis dan merajuk itu adalah ‘perangai biasa kanak-kanak’. Tekanan juga tidak ada sempadan usia.

Satu kajian mengenai kaitan antara tekanan dengan perkembangan otak mendapati hormon stres cartisol ada ketika kandungan berusia 17 minggu. Ia boleh terjadi menerusi pendedahan stres yang dialami oleh ibunya. Bila ibunya berasa tertekan yang teramat sangat, ia akan menghasilkan hormon cortisol berkenaan. Buruknya, kesan tekanan itu kerana ia boleh memberikan kesan kepada saraf dalam otak janin yang boleh menyebabkan perkembangan kecerdasan atau IQ menjadi rendah. Sebab itulah orang selalu kata ibu hamil tidak boleh tertekan sebab ia boleh beri kesan pada kandungan.

Apabila otak bayi menerima stimulasi berlebihan terhadap stres dan apabila otak yang menerima input fizikal dan emosi diabaikan (iaitu dengan membiarkan bayi menangis sendirian berulang kali), bayi berpotensi menghadapi Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) 10 kali ganda berbanding bayi biasa. Malah kajian juga mendapati kesihatan intelektual dan sosial bayi tidak berkembang dengan sihat manakala ahli neurobiology pula mendapati hormon ini dapat mempengaruhi perkembangan minda bayi.

Apa punca stres? Stres boleh disebabkan pelbagai faktor. Sama ada dianggap kecil oleh orang dewasa seperti lapar, terkencing dalam seluar atau yang besar seperti perceraian ibu bapa, berpindah sekolah atau kawasan tempat tinggal baru dan sebagainya.

“Asal saja ia menimbulkan rasa tidak selesa atau tidak menyeronokkan, ia adalah punca berlaku tertekan dalam diri kanak-kanak. Sayangnya ibu bapa mungkin tidak menyedari sesuatu itu membawa rasa tertekan kepada anak-anak, sebaliknya dianggap biasa. Lebih malang apabila ibu bapa beranggapan anak degil dan tidak mahu mendengar kata,” katanya.

Tanda-tanda tekanan pula, adalah pelbagai kerana tidak menunjukkan perubahan nyata. Namun, perubahan sikap daripada pendiam kepada kuat bercakap atau sebaliknya, kerap sakit perut dan sakit kepala, mengigau ketika tidur adalah antara tanda-tanda jelas. Jika anak mengadu berkaitan perkara itu, ibu bapa perlu mengambil tindakan segera bertanya kerana kanak-kanak mungkin tidak tahu bagaimana untuk menerangkan masalah dihadapi itu.

“Saya pernah berhadapan dengan kes seorang budak perempuan berusia 11 tahun yang berhadapan masalah kencing malam. Sukar mengorek cerita daripada mulut kanak-kanak itu. Akhirnya si ibu bertanya sendiri dengan kawan baik anaknya. Rupa-rupanya anaknya berhadapan masalah dibuli dan apabila masalah itu selesai, anaknya tidak lagi kencing malam,” katanya.

Persekitaran baru termasuk memasuki Tahun 1 contohnya juga boleh juga menimbulkan tekanan pada si kecil. Apabila secara tiba-tiba persekitaran menjadi serba baru. Kalau sebelum ini mereka hanya berada di tadika sekerat hari, tiba-tiba bila masuk sekolah dirasakan waktu persekolahan terlalu lama.

“Mereka mungkin terfikir kenapa buka mata saja kena sekolah? Kena berdisiplin. Mereka boleh tertekan dengan perubahan itu tetapi kebanyakan ibu bapa memikirkan masuk sekolah Tahun 1 adalah sesuatu yang biasa dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan satu masalah. Kerana mungkin ibu bapa mereka juga dulu tidak pernah bercerita mengenai hal berkenaan (suasa baru di sekolah). Lebih daripada itu sebahagian besar kita mengambil berat mengenai hal ehwal psikologi itu sendiri dan berharap sebarang perubahan yang baik itu diketahui anak itu sendiri tanpa diberitahu, sedangkan kanak-kanak perlu diberitahu,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, ibu bapa mungkin boleh melukiskan peta ringkas perjalanan dari rumah ke sekolah. Menceritakan keadaan bersekolah dan berhadapan kawan baru.

Mengambil contoh di negara maju United Kingdom, kebanyakan tadika akan melakukan ‘waktu peralihan kelas’ pada bulan terakhir persekolahan sebelum sesi baru bermula bagi kanak-kanak yang akan memasuki Tahun 1. Menegaskan mengenai kepentingan psikologi, kanak-kanak yang mengalami stres dan tidak ditangani dengan baik, atau membiarkan mereka hidup dalam tekanan boleh menyebabkan mereka mengalami masalah tingkah laku termasuk masalah disiplin termasuk vandalisma atau nakal.

“Perbincangan dalam keluarga amat perlu kerana kanak-kanak hari ini suka bertanya. Ada ibu bapa mengadu kandang-kala anak-anak terlalu kerap bertanya sampai dia sendiri malas menjawabnya apatah lagi bila baru saja pulang daripada kerja. Tetapi janganlah sampai begitu. Sebaliknya jelaskan kepada anak-anak, Mama penat baru balik kerja, kita berbincang sekejap lagi. Dengan itu kanak-kanak akan faham. Yang penting kita perlu didik dan beritahu kerana kalau tidak, anak-anak akan menganggap ibu bapanya tidak sayang kepada dirinya,” katanya.

INFO: Urus tekanan

KELEBIHAN didik anak urus tekanan sendiri bukan saja memudahkan anda, sebaliknya membentuk mereka menjadi insan lebih bahagia dan kurang stress. Kerja sekolah yang semakin banyak, peperiksaan selain hubungan bersama rakan sebaya adalah cabaran yang tidak dielakkan daripada dihadapi. Apabila kanak-kanak sedari kecil dapat mengawalnya dengan baik, besar kemungkinan mereka menjadi anak-anak cemerlang dalam hidup.

* Bernafas - Tarik nafas adalah pelega paling baik dalam mengawal rasa tertekan selain mengelak daripada berhadapan dengan masalah dalam cara yang akan mewujudkan tekanan tambahan untuk diri mereka sendiri atau orang sekeliling.

* Melukis - Melukis boleh jadi cara si kecil menyampaikan maklumat. Ia turut bertindak mengalih perhatiannya untuk jadi lebih tenang.

* Komunikasi - Bertanya dan ajak si kecil bercakap mengenai masalah dihadapi itu. Jangan buat tidak endah sebaliknya lihat matanya ketika bercakap.

* Bersukan - Bersukan turut menguatkan otot dan ia amat disenangi anak-anak. Bermain lari-lari umpamanya bukan saja lebih sihat sebaliknya mengelakkan daripada rasa tertekan.

* Sentuhan - Urutan bahagian belakang badan dapat melegakan sesiapa saja, tidak terkecuali si kecil. Urut bahagian belakangnya sudah cukup menyerlahkan sisi ambil berat dalam diri anda terhadap dirinya.

* Makanan - Makanan bergula serta makanan ringan yang mempunyai MSG menyebabkan kanak-kanak mempunyai tenaga berlebihan dan selalunya kanak-kanak kerap diberikan makanan sebegini lasak. Bila mereka disuruh duduk diam mereka akan memberontak atau stres.

* Optimis - Stres antara cabaran hidup dan manusia tidak dapat lari darinya, tetapi individu perlu tahu menanganinya dengan cara yang betul dan optimis. Galakkan di kecil untuk bertahan dan mengambil risiko kerana ia boleh membantu mereka membesar menjadi orang dewasa yang gembira dan sihat.

ANDA ada masalah dengan anak atau ada sikapnya yang membimbangkan? Kongsi masalah anda bersama Pakar Perkembangan Pendidikan Kanak-Kanak yang juga Penolong Profesor di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis. Hantar soalan anda ke e-mel bhnita@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Unit Ratu, Berita Harian, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.




Petikan : BHarian 14/02/2012

Rabu, Mac 21, 2012

Ðaun stevia

Ðaun stevia kawal gula dalam darah

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Stevia merupakan sejenis tumbuhan agak baru di negara ini, biarpun hakikatnya sudah lama digunakan di sesetengah negara sebagai bahan pemanis. Kegunaan daun stevia sebagai pemanis mula disedari oleh orang Eropah pada kurun ke-16. sejak itu, ia mula digunakan dengan meluas di Eropah sehinggalah dibawa ke Asia.

Stevia merupakan 100% ekstrak pemanis semulajadi daripada spesies tumbuhan herba stevia rebaudiana. Ia juga termasuk dalam keluarga yang sama dengan bunga matahari iaitu ateraceae. Selama berkurun, ekstrak daripada daun stevia telah digunakan secara efektif sebagai pemanis minuman herba pahit di India. Kini, stevia telah digunakan di seluruh dunia secara meluas untuk tujuan memaniskan makanan dan minuman atau digunakan sebagai makanan tambahan.

Ðikenali juga dengan nama ‘sweet honey leaf’, daun stevia dikatakan berasal dari kawasan tropika dan sub-tropika di negara Amerika Selatan dan Amerika Tengah. Ekstrak daun stevia banyak ditemui dalam produk pengguna di seluruh dunia, terutamanya di Jepun, China dan Amerika Selatan. Minuman, gula-gula dan gula-gula getah menggunakan ekstrak stevia sebagai pemanis banyak dihasilkan oleh pengeluar makanan utama di Jepun. Ði negara-negara lain terutamanya di Amerika Syarikat, ekstrak stevia banyak digunakan dalam produk makanan tambahan, minuman protein dan pelbagai jenis teh.


Stevia adalah sejenis pokok renek berbatang lembut. Ðaunnya berbentuk bujur. Stevia mengeluarkan bunga halus dan bergerutu berwarna putih. Bunganya akan menghasilkan biji benih apabila matang. Ia dikenali juga sebagai daun manis atau madu kerana mengandungi bahan yang 300 kali lebih manis daripada gula biarpun masih ada rasa pahitnya. Selain itu, stevia mengandungi dua komponen utama pemanis di dalamnya iaitu steviosid dan rebaudiosid A. Kedua-dua bahan pemanas itu akan berkurangan jika tanaman berkenaan dituai lebih awal.

Ðaun stevia mentah mengandungi kira-kira hampir 100% zat fito dan minyak meruap yang telah dikenal pasti. Ini termasuklah sejumlah bahan rutin (daripada belulang) dan B-Sitosterol (daripada daun). Ðaun stevia mengandungi zat yang dikatakan mampu membantu mengawal gula dalam darah. Ini termasuklah kromium, zink dan vitamin B3 (niasin).

Oleh kerana daun stevia tidak mempunyai kalori, karohidrat dan indeks glisemik, maka ia amat sesuai untuk individu yang tidak boleh atau tidak mahu tahap glukos dalam darah berubah-ubah pada tahap mendadak. Ini termasuklah mereka yang menghidap diabetes, hipoglisemia, hiperglisemia dan mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat.

Menurunkan berat badan

Selain dikatakan boleh digunakan sebagai pemanas, ciri-ciri khasiat ubatan pada daun stevia adalah sebagai ubat bagi menurunkan kadar gula dalam darah, melawaskan kencing, menurunkan tekanan darah, membunuh bakteria, membunuh kulat, membunuh virus, mengurangkan keradangan dan mampu menurunkan berat badan. Biasanya dos yang digunakan untuk tujuan pemanas adalah dengan menggunakan ¼ sudu makan daun yang telah dihancurkan bagi menggantikan satu sudu makan gula biasa. Tidak seperti gula asli, stevia tidak menghasilkan rasa manis dengan segera.

Ðalam peruabtan tradisional, penggunaan daun stevia dikatakan mampu mengurangkan keinginan untuk memakan makanan manis dan berlemak. Meminum teh yang ditambah dengan daun stevia dikatakan mampu membantu mengurangkan keinginan untuk mengguna tembakau dan minuman beralkohol.

Terdapat juga kajian yang menunjukkan ekstrak daun stevia mampu menyekat pertumbuhan dan penghasilan semula beberapa bakteria yang bertanggungjawab terhadap kerosakan gigi. Malah, dikatakan ekstrak daun stevia turut digunakan dalam ubat gigi dan ubat kumur di negara China dan negara-negara lain disebabkan kasiat tersebut.

Sungguhpun begitu, dikatakan kanak-kanak dan wanita hamil tidak digalakkan mengambil stevia untuk tujuan perubatan.

Walaupun terdapat pelbagai khasiat ubatan daun stevia, namun begitu penggunaannya perlulah mendapat nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.




Sumber : MW#1387 dan En.Wikipedia ~ stevia.

Isnin, Mac 19, 2012

Bahaya! Anak ketagih gadjet


Assalamualaikum warahmatullah,

Apakah anak-anak anda terselamat dari bahaya ketagih gadjet? Setelah membeli bermacam-macam gadjet terbaru, perasan tak perubahan perangai anak-anak? Ya, mereka jadi tidak sensitif lagi. Makan tak mahu duduk semeja, masing-masing suka memerap dalam bilik melayan ‘game’, Facebook dan YouTube sepanjang hari. Ibu tak dilayan, ayah lagi mereka tak perasan, bagaimana hendak belajar?

Tak hairan kalau prestasi mereka merosot di sekolah, jangan biarkan gadjet menjajah anak-anak kita! Bayangkanlah jika ia seolah-olah dijadikan ‘Tuhan’, manakan tidak, kalau tidak kalau setiap saat sentiasa digenggam.

Waktu terus berlalu, mereka semakin dewasa. Malangnya tidak cukup masa bagi anda untuk meninggalkan kesan-kesan bererti yang akan mereka ingati sepanjang hidup. Bagaimana kalau anda tidak sempat mengajarkan mereka cara sembahyang, mengenal Allah, mengamalkan akhlak Rasulullah SAW?

Takkan gadjet itu yang akan menyelamatkan mereka dalam kubur kelak? Oleh itu, sebelum melepaskan anak-anak, sebebas-bebasnya menggunakan alat canggih itu, baik anda fikirkan kesan-kesanya nanti, bila nak digunakan dan apa aturan menggunakannya. Ada mesti disiplinkan anak-anak supaya mereka tidak menjadi mangsa ketagih gadjet.

Sebagai ibu bapa, anda perlu hadapi tatangan ini dengan ilmu keibubapaan yang cukup. Anak zaman sekarang terlalu canggih hati dan perasaannya. Orang tua mesti bersikap lebih proaktif menangani gejala kecanduan ini. Wajarkah dibiarkan anak anda tumbuh dengan ‘jiwa main-main’ yang membentuk sikap tidak bertanggungjawab? Jangan terkejut kalau anak-anak tidak pedulikan orang tuanya kerana sibuk melampiaskan nafsu gadjetnya!

Bagaimana cara didikan bersifat interaktif mengikut sunnah Rasulullah SAW yang boleh membantu anda menangani masalah ini?

1 – Ðialog, jangan banyak berleter

Anda puas hati kalau boleh meluahkan kemarahan anda kepada anak, bukan? Berleter memang menyeronokkan, apatah lagi kalau anak anda tak berani menjawab, membela diri atau melawan leteran anda. Tapi, adakah diamnya itu tanda dia ok? Siapa pun tak mahu terima jika dipersalahkan seratus peratus. Mereka diam sebab malas hendak melayan anda saja, bukan bermakna sertuju apa yang anda leterkan. Leteran anda itu jadi tidak berguna sama sekali dan buang masa sebenarnya. Elok lagi anda ajak anak berbincang sambil ingatkan dia dengan kata-kata perangsang untuk berubah.

Rasulullah SAW pernah didatangi seorang pemuda yang berterus-terang meminta izin mahu berzina. Baginda SAW ridak terus menghukum, memarahi apatah lagi memulaukan pemuda ini. Bahkan dengan cara penuh kecerdasan, diajaknya pemuda itu berdialog. Apakah dia setujuk jika ada seorang lelaki berzina dengan ibunya atau dengan saudara perempuannya? Akhirnya pemuda itu insaf dan faham mengapa zina itu amat dibenci oleh agama dan budaya masyarakat yang suci. Ikutlah cara Rasulullah SAW yang amat bersabar dengan memperbanyakkan dialog, bukan monolog yang menyakitkan hati.

2 – Puji untuk bangkitkan kesedaran

Anak yang bermasalah menandakan dia kurang disentuh, banyak dikasari atau langsung tidak dipedulikan. Bukankah kelembutan menjadi rahsia kejayaan didikan Rasulullah SAW kepada sahabat-sahabatnya? Contoh sabda Rasulullah SAW yang banyak memuji sahabatnya supaya mereka lebih bersemangat mempertingkatkan kemahiran akhlak dan keimanan.

“Sebaik-baik pemuda adalah Salamah bin al-Akwa.”

Sabdanya lagi, “Orang yang paling amanah dalam umat ini adalah Abu Ubaidah bin Jarrah.”

Ðan sabda Rasulullah SAW lagi, “Seandainya Umar al-Khattab berjalan di suatu tempat maka syaitanpun memilih jalan lain.”

Sabda Rasulullah lagi, “Sebaik-baik pemuda adalah Abdullah bin Umar jika dia tetap menjalankan solat lail.”

3 – Jadual seimbang

Tak mungkin anda menyekat terus keinginan anak-anak yang suka berhibur, bermain dan bersantai-santai. Tapi cubalah jelaskan tentang keutamaan yang perlu didahulukan dalam kehidupan. Buatlah jadual yang seimbang untuk keperluan emosi, rohani, jasmani dan minda anak. Beri ganjaran setiap kali anak berdisiplin memenuhi jadual dengan baik. Jangan berlebihan menyekat kegembiraan mereka dengan didikan ala-ala militeri. Allah SWT menegaskan tentang keutamaan berlembut di dalam al-Quran, “Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Surah Ali-Imran 159)

4 – Kenali Allah SWT sebelum kenal gadjet

Gadjet bukan musuh anak, ia boleh dimanfaatkan untuk pendidikan jika betul caranya. Mengapa takut dengan gadjet jika anda ajar anak menggunakannya dengan amanah? Ibu bapa yang bertanggungjawab, tidak sesekali biarkan anak berleluasa menggunakan gadjet sebebas-benasnya.

Jangan buka pintu kejahatan untuk anak dengan tangan anda sendiri. Awasi dan temani anak melayari gadjetnya dengan kesedaran bahawa Allah SWT Maha Melihat. Pastikan iman anak telah cukup kuat untuk menepis godaan maksiat tawaran gadjet. Anak perlu diingatkan setiap masa, mereka sering lalai sebagaimana kita manusia dewasa. Kecintaan kepada Allah SWT perlu ditanamkan sebelum mereka asyik mencintai permainan dan hiburan. Ajari anak bertanggungjawab dan adil mengisi masa mereka, untuk dunia dan akhirat mesti seimbang.

Banyak ilmu yang boleh diteroka dalam duania internet dan tidak sedikit jurang bahayanya, jika anda menemani, Insya Allah selamat melayari samudera ilmu sejati. Ilmu yang boleh mendekatkan diri kepada Ilahi kini di hujung jari.




Sumber : Ðr Juanda Jaya, MW#1469

Ahad, Mac 18, 2012

Jatuh maut

Strok, sawan dan salur darah pecah antara risiko bahaya akibat tersembam

Usah pandang remeh pening, loya muntah selepas jatuh

LAPORAN kematian akibat terjatuh dalam bilik air, khususnya membabitkan warga emas, termasuk wanita bukanlah asing. Ada yang mengaitkan kejadian itu dengan faktor usia lanjut manakala tidak kurang yang mengaitkannya sebagai takdir.

Itu sudah pasti, tetapi apakah kita akan membiarkan insiden yang boleh dielak atau lebih dipandang remeh, begitu saja tanpa menyelami apa sebenarnya punca kematian? Malah, apakah benar warga tua saja yang berisiko maut akibat terjatuh?

Hakikatnya, insiden terjatuh baik dalam bilik air atau di lokasi mana pun yang berlaku secara tiba-tiba boleh menimpa sesiapa saja, tanpa mengira usia. Dan kejadian terjatuh yang membawa kematian sudah pasti dikaitkan dengan satu punca yang dikenal pasti menjadi penyebab maut termasuk mempunyai penyakit kronik.

Lebih menghairankan, ada pula kes yang mana mangsa kelihatan sihat selepas terjatuh tetapi meninggal dunia beberapa hari kemudian. Mengapa berlaku sedemikian?

Pakar Bedah Otak dan Saraf KPJ Ampang Puteri, Dr Abdul Muin Ishak, menjelaskan keadaan seperti terjatuh di dalam bilik air seharusnya tidak dijadikan alasan kerana jatuh di mana-mana pun boleh mengakibatkan kematian. Apa yang penting ialah mengetahui punca sebenar dan kesan yang dialami selepas itu.

“Jika terjatuh disebabkan oleh punca yang jelas seperti bilik air licin, terlanggar bendul, terpijak kulit pisang dan sebagainya, pasti tiada soalan untuk dipertikaikan. Dan jika mengalami kecederaan, boleh segera dapatkan rawatan doktor. Tetapi, apa yang membimbangkan ialah jatuh secara tiba-tiba tanpa diketahui punca yang jelas. Jika seseorang jatuh tiba-tiba, pengsan sebentar dan tidak berupaya mengingati apa yang berlaku ke atasnya, dia seharusnya mendapatkan pemeriksaan lanjutan kerana khuatir ada pendarahan dalaman terutama bahagian kepala jika terhentak dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di KPJ Ampang Puteri.

Katanya, mereka yang jatuh secara tiba-tiba boleh berpunca sama ada menghidap sawan atau tidak, angin ahmar peringkat sederhana (mild stroke) atau pun salur darah dalam otak pecah secara tiba-tiba.

“Sawan boleh berlaku dalam pelbagai jenis bukan saja yang mengeluarkan buih daripada mulut. Ada sesetengahnya yang mengalami pengsan sekejap-sekejap sejak dari kecil dan kadang-kadang ada yang sampai memorinya kosong secara tiba-tiba walau pun sebentar saja. Selain itu penyakit angin ahmar. Sebenarnya ramai yang mengatakan angin ahmar terjadi disebabkan oleh terjatuh secara tiba-tiba.”

“Tanggapan itu salah kerana pesakit biasanya menghidap penyakit angin ahmar terlebih dulu tanpa disedari terutama kepada penghidap kencing manis dan darah tinggi disebabkan oleh 80 peratus salur darah tersumbat di dalam otak,” katanya yang memberi peringatan kepada semua supaya tidak mengambil ringan mengenai masalah ini.

Ujarnya lagi, bagi kes salur darah dalam otak pecah pula, ia boleh berlaku dalam dua cara iaitu ‘cerebral aneurysm’ iaitu bonjolan pada salur darah pecah secara tiba-tiba dan keadaan boleh menjadi teruk sehingga menyebabkan hilang kawalan. Kes seperti ini banyak berlaku kepada mereka yang berusia 40 hingga 60 tahun.

Selain itu, ‘arterio venous malformation’ iaitu salur darah yang banyak berkumpul secara tiba-tiba pecah. Ia biasa terjadi kepada mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun.

“Bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas pula, mereka boleh mengalami keadaan ‘chronic subdurel hemetoma’ iaitu berlakunya pendarahan dalam kepala selepas terjatuh dan ia akan membesar dalam tempoh selepas dua minggu. Kesan yang dialami oleh golongan ini ialah sakit kepala berterusan, sangat pelupa, rasa lemah bahagian sebelah badan dan pandangan kabur,” katanya.

Menjelaskan lagi, katanya, apabila seseorang itu didapati pengsan dalam tempoh beberapa minit akibat terhantuk di kepala, ahli keluarga terdekat perlu memastikan adakah ia pengsan yang merunsingkan atau tidak kerana sangat berbahaya hingga boleh menyebabkan kematian.

“Pengsan boleh terjadi dengan dua sebab iaitu ‘cerebral concussion’ iaitu berlakunya gegaran pada otak tetapi tidak membabitkan kerosakan pada fungsi otak. Ia akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 24 jam selepas itu. Kesannya, seseorang itu akan pengsan sekurang-kurangnya beberapa minit hingga ke setengah jam, pening, sakit kepala, loya, muntah sekali dan mengantuk. Ia tidak memudaratkan dalam tempoh berkenaan melainkan kesan itu berpanjangan. Apabila itu berlaku, besar kemungkinan berlaku pendarahan dalam kepala,” katanya.

Dr Abdul Muin berkata, keadaan lebih teruk apabila individu itu berulang-ulang muntah, sakit kepala berterusan dan sangat mengantuk. Jika ia berterusan melebihi dalam tempoh enam jam sehingga membawa kepada kesan ‘confusion’ iaitu meracau, besar kemungkinan terdapat pendarahan di dalam kepalanya.

“Sekiranya berlaku, segera lakukan pemeriksaan di klinik atau hospital. Doktor akan melakukan pemeriksaan di bahagian mata dan sekiranya terdapat pendarahan dalaman anak mata akan membengkak sebelah jika di suluh dengan lampu picit serta tidak reaktif disebabkan oleh tekanan tinggi di dalam otak,” katanya.

Tetapi untuk memastikan seseorang itu bebas sepenuhnya daripada pendarahan di dalam otak akibat keretakan adalah tidak mudah kerana besar kemungkinan boleh berlaku ‘delayed haemorrhage’ iaitu pendarahan yang berlaku selepas beberapa jam kecederaan kepala. Mereka akan mengalami kesan seperti sakit kepala dan loya sedikit, selepas itu kembali normal seperti biasa.

“Dalam tempoh beberapa jam selepas itu, mereka akan muntah-muntah dan berasa sangat mengantuk yang disebabkan oleh keretakan pada tulang tengkorak. Ini juga boleh membawa kepada kematian. Tengkorak kepala yang mengalami keretakan akan mengeluarkan sedikit demi sedikit darah pada peringkat awal. Tetapi dalam tempoh beberapa jam tanpa disedari, ia menjadi semakin besar dan otak akan menjadi mampat dan kematian akan berlaku,” katanya.

Selain itu, Dr Muin turut menjelaskan lebih membimbangkan jika perkara ini terjadi ke atas kanak-kanak kerana mereka mempunyai saluran darah yang lebih banyak. Katanya, adalah lebih baik membawa anak kecil yang terjatuh untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut dalam tempoh 24 jam kerana ia lebih selamat, tidak kira sama ada berlaku keretakan atau pun tidak.

“Kalau mereka muntah, tidak aktif, pengsan lama atau sekejap, loya adalah lebih baik masukkan mereka ke hospital untuk pemerhatian dan jika makin teruk, lakukan imbasan untuk melihat sama ada berlaku pendarahan atau pun tidak. Sebenarnya, ramai kanak-kanak meninggal dunia berpunca daripada ini. Mana tidaknya, kanak-kanak tidak tahu bagaimana untuk meluahkan kesakitan mereka. Ibu bapa pula tidak mempunyai pengetahuan mengenai kesan akibat terjatuh dan terhantuk di kepala. Lihat saja anak mereka sudah diam dan tidur, mungkin sudah elok. Tetapi sebenarnya tidak, tahu-tahu saja anak mereka sudah meninggal dunia,” katanya.

Sebenarnya, walau apa pun langkah pencegahan yang dilakukan, jika hendak terjatuh di mana-mana saja boleh berlaku dan semuanya terpulang kepada mereka untuk lebih berhati-hati dan elakkan daripada terhantuk di kepala. Ambil langkah yang tepat supaya tidak kehilangan orang tersayang.

INFO: Risiko jatuh

* Pantau gejala atau perkembangan mangsa selama 24 jam
* Jika ada sebarang keganjilan seperti lupa apa yang menimpanya, mangsa perlu dibawa ke hospital bagi pemantauan dan rawatan berkaitan.

Gejala/simptom perlu perhatian

* Mangsa berulang-ulang muntah
* Sakit kepala berterusan
* Sangat mengantuk
* Jika ia berterusan melebihi enam jam dan meracau, besar kemungkinan ada pendarahan dalam kepala.

Impak jatuh:

1. Kanak-kanak
* Muntah, tidak aktif, pengsan lama atau sekejap, loya
* Perlu dibawa dan dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemerhatian
* Imbasan perlu dibuat untuk melihat sama ada berlaku pendarahan yang menjadi punca ramai kanak-kanak meninggal dunia.

2. Individu berusia 20 hingga 30 tahun
* 'Arterio venous malformation' iaitu salur darah yang banyak berkumpul secara tiba-tiba pecah

3. 40 - 60 tahun
* Salur darah dalam otak pecah.
* Berlaku dalam dua cara iaitu ‘cerebral aneurysm’ iaitu bonjolan pada salur darah pecah secara tiba-tiba dan keadaan boleh menjadi teruk sehingga menyebabkan hilang kawalan.

4. 60 tahun ke atas
* 'Chronic subdurel hemetoma' atau pendarahan dalam kepala selepas terjatuh.
* Pendarahan itu akan membesar dalam tempoh selepas dua minggu.
* Antara simptomnya sakit kepala berterusan, sangat pelupa, rasa lemah bahagian sebelah badan dan pandangan kabur.




Petikan : Saadiah Ismail [saadiah@bharian.com.my] di BHarian 09/02/2012.

Sabtu, Mac 17, 2012

Rangsang minat membaca



Wujudkan pelbagai aktiviti bersama si manja seawal usia

IBU bapa mana yang tidak bimbang, apabila melihat anak kesayangan masih lagi gagap dalam pertuturan apatah lagi sukar untuk membaca. Sedangkan rakan seusia mereka sudah bijak mengeja dan petah berkata-kata.

Apabila berada dalam situasi begitu, ramai ibu bapa mengambil jalan mudah dengan ‘memeras’ anak mereka yang masih kecil untuk terus membaca dan mengeja tanpa menggunakan kaedah yang betul yang hingga akhirnya mendatangkan tekanan buat si kecil.

Keupayaan dan perkembangan kanak-kanak berbeza, walaupun mereka berada di peringkat usia yang sama. Sesetengah kanak-kanak mampu bertindak pantas dalam mengawal kebolehan mereka dan sesetengah juga terpaksa berhadapan dengan kesukaran bergantung kepada waktu dan pertumbuhan yang dilalui anak itu sendiri.

Jadi, sebelum ibu bapa mengambil keputusan drastik untuk membantu perkembangan anak dalam membaca, mengeja ataupun bercakap, mereka haruslah terlebih dulu mengkaji keupayaan dan masalah yang dilalui si manja memandangkan di samping sekolah, rumah adalah tempat terbaik untuk anak belajar dan berkembang.

Ibu bapa ibarat guru pertama dalam kehidupan anak yang sedang membesar. Di rumah, mereka mendengar dan melihat dan belajar untuk bertutur dan memberi tindakan terhadap setiap perkara yang berlaku kepada diri mereka. Maka lebih banyak bahasa yang digunakan, lebih cepat anak menyerap dan menggunakannya sebagai alat berkomunikasi.

Sehubungan itu, seawal kanak-kanak belajar untuk menyebut perkataan pertama mereka, tindak balas yang diberikan secara tidak langsung mendidik mereka mengenai erti dan penggunaannya. Pada masa sama, perlahan-lahan mereka belajar menggunakan setiap perkataan dikembangkan menjadi perkataan hingga tahu bertutur secara sempurna.

Di samping itu, lakukan proses bacaan dengan anak-anak menggunakan penerapan kaedah harian mereka. Ibu bapa perlu tahu bagaimana untuk menarik perhatian anak tatkala melakukan aktiviti bacaan bersama mereka. Lakukan dengan penuh berhemah dan tepat namun menerapkan elemen yang menyeronokkan sesi itu.

Komunikasi antara dua pihak memainkan peranan yang penting supaya keupayaan kanak-kanak untuk menyebut dapat diasah. Biarkan anak belajar dan membaca dengan senang mengikut peringkat bacaan dan kebolehan. Ibu bapa juga boleh menyuruh anak mereka untuk bercerita kepada mereka apabila anak sudah mula tahu membaca bahkan pelbagaikan bahan yang digunakan dalam mendidik mereka.

Selain membaca buku berita dan kaedah komunikasi, teknik membaca boleh dimulakan dengan mempelajari huruf terutama anak yang berusia antara enam ke 12 tahun. Lakukannya dengan menggunakan gambar rajah dan ulangi mengikut minggu. Kaedah ini adalah antara cara terbaik untuk memori anak.

Dalam mendidik minat anak untuk membaca, salah salah satu cara terbaik didik minat membaca dan biarkan mereka sendiri memilih bahan bacaan yang di ingini. Bawa mereka ke perpustakaan mahupun kedai buku untuk melakukannya secara bebas. Buku yang menarik minat mereka akan memukau hasrat anak dalam meneruskan aktiviti itu.

Ibu bapa juga perlu memberikan motivasi positif terhadap anak dengan menunjukkan minat dalam mentelaah tidak kira sama ada ia daripada majalah, akhbar mahupun novel. Ini secara tidak langsung mewujudkan persoalan dan akhirnya mencipta minat buat anak dalam menjalani proses pembelajaran seperti ibu bapa mereka.

Lakukan juga jadual bacaan seperti waktu pagi selepas sarapan atau petang sebelum keluar bermain dan malam sebelum tidur. Setiap bahan yang digunakan hendak berbeza dan menarik. Biarkan anak anda rasa senang dengan alat bantuan belajar yang digunakan.

Akhir sekali, minta maklum balas anak anda. Penilaian dan perbincangan adalah sebahagian penting daripada pengalaman yang positif membaca buku. Tanya soalan seperti adakah mereka menggemari buku yang dibaca itu, mengapa, siapa watak kegemaran dan seiring dengannya. Jangan pula nanti anda yang terkejut jika mereka mahu baca semula buku yang sama sekali lagi. Ini bermakna anda melakukan tugas anda dengan baik dalam memupuk sikap membaca.

Kesimpulannya, dalam mendidik anak, ibu bapa seharusnya tahu dan jangan terlalu menekan hanya kerana rasa tercabar melihat anak jiran boleh membaca dan bertutur lebih fasih dari anak anda.

Dekati anak dan cuba mencari puncanya, jika ia tiada kaitan dengan masalah pembelajaran, lakukannya dengan tenang dan berperingkat dalam masa sama bekalkan kaedah yang menyeronokkan buat anak-anak anda.

Lima langkah sesi bacaan lebih menarik dan berkesan:

* Membaca bahan bacaan dengan kuat.

Membaca dengan nada yang kuat adalah cara efektif untuk mengesan perkembangan kanak-kanak berbanding dilakukan secara senyap. Ia juga antara cara untuk membina perbendaharaan kata, kemahiran perhatian dan kefahaman serta keyakinan kanak-kanak,

* Sentiasa membawa buku bersama.

Lakukan aktiviti membaca tiap kali mempunyai masa lapang. Sama ada sedang menunggu bas atau menantikan hidangan yang dipesan di restoran kegemaran anak anda.

* Hidupkan penceritaan.

Jadikan penceritaan kepada realiti. Jika anak-anak anda didedahkan dengan bahan bacaan yang berkaitan dengan haiwan atau lain-lain supaya dapat melihat dan mengalami pengalaman yang sebenarnya.

* Jadi rakan pembaca anak anda.

Laungkan masa bersama. Cari waktu yang tepat untuk duduk di sisinya membiarkan mereka melakukan pembacaan sambil anda mentelaah buku kegemaran anda.

* Jadikan buku sebagai bahan asas.

Sentiasa kemas kini senarai bahan bacaan anda dan juga anak-anak nada. Pasti mereka sentiasa didedahkan dengan bahan bacaan yang menarik dan segar.




Sumber : Fatin Hafizah Mohd Shahar di BHarian 06/09/2011

Jumaat, Mac 16, 2012

Kawal lidah elak dedah keaiban


ISLAM amat memberi perhatian terhadap hak kehormatan dan maruah seseorang manusia di dalam kehidupannya. Islam menganggap persoalan maruah adalah salah satu daripada lima perkara asas kehidupan, selain agama, nyawa, harta dan keturunan yang wajib dipelihara setiap Muslim bagi menjamin kesejahteraan hidup.

Sehubungan itu, Allah mengharamkan segala perkara sama ada melalui perkataan mahu pun perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah dan kehormatan orang lain. Dalam pergaulan seharian, kita sering mendengar cerita dan kisah daripada sahabat handai mengenai diri dan juga orang lain.

Secara sedar atau tidak, sebenarnya cerita dan kisah itu akan menjadi satu amanah buat kita semua. Oleh kerana ia dianggap sebagai satu amanah, ini bermakna ia akan menjadi satu rahsia yang wajib dijaga. Sehubungan itu, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang itu menceritakan sesuatu perkara kemudian dia berpaling, maka cerita itu menjadi satu amanah. (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Setiap cerita dan kisah yang sampai kepada kita pada dasarnya ialah satu amanah tanpa mengambil kira sama ada ia benar atau salah. Kedua-duanya mesti dirahsiakan, iaitu dalam erti kata jangan sama sekali didedahkan kepada orang lain yang tidak berhak mengetahuinya. Apatah lagi jika cerita dan kisah itu berkaitan dengan perkara negatif.

Jika cerita dan kisah itu benar, bererti ia satu keaiban yang sudah tentu akan menimbulkan sesuatu yang memalukannya apabila ada orang lain yang mengetahuinya. Oleh sebab itulah, kita diperintahkan Allah SWT supaya tidak mendedahkan keaiban orang lain kepada umum.

Namun, apa yang berlaku mutakhir ini ialah pendedahan terbuka mengenai jenayah sememangnya mempunyai tujuan yang murni iaitu untuk memberi pengajaran kepada orang lain pada dasarnya elok, tetapi ia tidak harus dibuat secara keterlaluan sehingga mendedahkan perkara yang sangat peribadi.

Hal ini kerana walau pun ia adalah perkara yang benar, namun ia masih dianggap khianat apabila menceritakan sesuatu yang tidak seharusnya diceritakan kepada orang lain, apa lagi jika ia adalah cerita yang tidak benar.

Setiap Muslim sewajarnya menghindari dirinya daripada terjebak dengan kesalahan yang berpunca daripada lidah. Adalah lebih baik jika seseorang Muslim memilih sikap berdiam diri daripada melafazkan kata dusta yang hanya mengundang kemurkaan Ilahi.

Inilah saja cara untuk Muslim menjaga rahsia berkenaan, manakala orang yang tidak pandai menjaga rahsia, pada hakikatnya terhimpun padanya tiga tanda kemunafikan dalam dirinya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tanda orang munafik itu tiga, iaitu jika dia berbicara dia berbohong, jika dia berjanji dia memungkiri janjinya, dan jika diberikan amanah, dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari)

Islam mengajar umatnya supaya menghiaskan diri dengan sifat hormat-menghormati sesama manusia di muka bumi ini, terutama berhubung hak kemanusiaan, apatah lagi jika orang dimaksudkan meninggal dunia.

Oleh kerana keluarga mereka masih ada di dunia ini, maka amat wajarlah semua pihak menghormati dan menjaga perasaan mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebut seseorang dengan sesuatu perkara yang sebenarnya tidak ada padanya dengan tujuan hendak mengaibkan orang itu, Allah akan menahannya dalam api neraka sehingga dia datang membuktikan adanya perkara yang dikatakannya itu.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Perlu ditegaskan bahawa pendedahan bersifat lebih terbuka seperti ini dikhuatiri memberi kesan negatif kepada kanak-kanak atau remaja yang sedang membesar dan sedang memahami makna kehidupan sebenar di samping mereka mempunyai sifat ingin tahu terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

Pada hal sepatutnya perkara yang perlu didedahkan kepada umum bukanlah perincian peristiwa berkenaan, tetapi bentuk hukuman yang bakal dikenakan kepada perogol atau pembunuh yang terbabit. Sekiranya penekanan terhadap hukuman itu yang diperbesarkan, barulah memberi kesan kepada orang ramai untuk tidak melakukan perbuatan terkutuk itu.

Kesimpulannya, semua pihak bermula daripada orang perseorangan hingga kepada pihak berwajib sewajarnya menginsafi tanggungjawab masing-masing untuk sama memakmurkan bumi Allah ini. Hak kehormatan dan maruah orang lain hendaklah dijaga tidak kira sama ada seorang Muslim atau bukan Muslim, semuanya dilindungi oleh syarak. Islam diutuskan untuk menebarkan roh kedamaian dan kesejahteraan sesama umat manusia sejagat.




Sumber : BHarian 08/03/2012

Khamis, Mac 15, 2012

Pengaruh doa dalam kehidupan


Assalamualaikum warahmatullah,

DOA adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon didengar Allah SWT. Allah SWT tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 55-56 bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.”

Ketika menjelaskan perkara sama, Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah takdir Allah SWT dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang.

Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia sedar bahawa sesungguhnya kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT.

Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbul Allah SWT? Seorang sahabat Saad Abi Waqas pernah meminta Rasulullah SAW agar memberinya panduan untuk mendapat doa yang makbul. Menurut Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda: ‘Wahai Sa'ad, makanlah makanan baik (lagi halal), tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak dikabulkan doanya selama 40 hari. Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh daripada makanan haram maka neraka layak untuknya.” (Hadis riwayat Thabrani)

Lima adab pastikan permohonan dimakbul

Berdasarkan besar peranan doa dalam kehidupan umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadah kepada Allah. Dengan demikian permohonan doa itu hendaklah mematuhi adab tertentu. Berdasarkan rujukan al-Quran dan hadis, antara lain adab berdoa itu ialah:

Pertama: Suci daripada hadas besar dan kecil;

Kedua: Menghadap ke arah kiblat dan dimulai dengan bacaan Surah al-Fatihah, pujian kepada Allah serta selawat kepada Nabi Muhamad SAW;

Ketiga: Berdoa dengan ikhlas, suara perlahan, merendah diri, mengaku kesalahan dosa yang lalu dan yakin Allah akan mengabulkan doa sama ada cepat atau lambat;

Keempat: Berdoa terus menerus sama ada ketika senang atau susah tanpa putus asa;

Kelima: Tidak melampaui batas ketika berdoa iaitu berdoa untuk meminta kebinasaan, mengakibatkan keburukan atau menginginkan kejahatan sehingga boleh memutuskan silaturahim, kerosakan harta benda dan kezaliman sesama umat Islam.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu sekalian berdoa untuk kebinasaan diri, kebinasaan anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang mustajab.”

Doa adalah senjata ghaib umat Islam untuk memohon pertolongan Allah. Dalam hal ini ingin saya mengingatkan umat Islam bahawa terdapat tiga golongan yang doa mereka amat diterima oleh Allah bersandarkan kepada sebuah hadis Qudsi yang disampaikan oleh Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa; kedua, doa pemerintah yang adil; dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Adalah menjadi tanggungjawab ulama, sidang pembaca dan umat Islam sekalian supaya berhati-hati tatkala berdoa. Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan teraniaya adalah mustajab. Apalagi kalau mereka itu orang lemah, tiada kuasa dan orang tua. Semakin lemah mereka, maka semakin besar dan cepat pula pertolongan Allah datang membantu.

Dengan sikap berhati-hati ketika berdoa, insya-Allah kehidupan kita terjauh daripada melakukan pelbagai bentuk kezaliman, pembohongan, ketidakadilan, fitnah-memfitnah dan penganiayaan dalam keluarga, masyarakat, pertubuhan dan organisasi.

Berdasarkan peringatan Allah SWT dan Rasulullah SAW itu, amat yakin mereka yang melakukan kezaliman, fitnah dan penganiayaan kepada manusia tidak terlepas begitu saja. Sebagai peringatan berhubung tingkah laku kita, marilah kita menghayati firman Allah SWT ini.

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih, maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.” (Surah Fussilat:46)




Sumber : Hizbur Rahman di BHarian 28/02/2012

Rabu, Mac 14, 2012

Strawberi kaya antioksidan

strawberi


Assalamualaikum dan salam sejatera,

Melihat sahaja buah strawberi yang merah, pasti membuatkan anda terliur untuk merasanya. Oleh itu, tidak hairanlah jika buah yang dikenali dengan nama saintifiknya fragaria dan tergolong dalam keluarga rosaceae ini antara buah beri yang paling popular di dunia.

Mulanya pokok strawberi tumbuh liar di kawasan bersuhu sejuk di seluruh dunia. Selepas itu, pokok ini mula ditanam sebelum era Kristian dan amat bernilai pada zaman Roman kuno. Tetapi selepas kejatuhan Rom, buah ini seakan hilang keutamaannya. Ia muncul semula di Eropah pada Zaman Pertengahan. Semuanya adalah kerana kebaikan yang diberikan oleh buah ini dari segi perubatan.

Terdapat lebih kurang 600 varieti strawberi yang berbeza daripada segi rasa, saiz dan teksturnya. Kini, pengeluar terbesar strawberi untuk tujuan komersial adalah Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Itali, Jepun dan Australia.

fragaria

Walaupun pengeluaran strawberi sentiasa meningkat pada setiap tahun, tetapi musim kemuncak buah ini adalah daripada bulan April hingga Julai. Ketika ini juga, strawberi mengeluarkan paling banyak buah dan rasanya amat sedap.

Penggunaan buah strawberi amat meluas. Ia digunakan dengan banyak dalam penghasilan makanan seperti ais krim, sirap, bakeri, coklat, konfeksi dan ubat-ubatan disebabkan keunggulan bau, rasa dan warnanya.



bunga strawberi

Buah ini juga amat sedap dimakan secara mentah. Secara amnya, semua buah terutamanya beri dan buah yang mempunyai warna eksotik amat kaya dengan antioksidan. Strawberi juga tidak terkecuali daripada hakikat itu. Selain antioksidan, terdapat juga zat lain yang terdapat dalam strawberi yang dikatakan mampu mencegah banyak penyakit.

Lindungi mata

Banyak kebaikan yang mampu diberikan oleh buah strawberi. Antioksidan yang terdapat dalam buah strawberi seperti vitamin C, flavonoids, fitokimia fenolik dan asid dlagik dikatakan mampu mencegah masalah mata.

Sebab utama kebanyakan masalah mata adalah radikal bebas dan kemerosotan zat tertentu. Ðengan pertamabahan usia dan kekurangan zat perlindungan, oksidan berbahaya radikal bebas memberi masalah pada mata seperti mengeringkannya, saraf optik yuang mengalami kemerosotan sekaligus menyebabkan ia lebih terdedah kepada jangkitan. Ðikatakan dengan memakan strawberi, antioksidan yang diperlukan untuk melindungi mata mampu diperolehi dengan mudahnya.

Buah strawberi juga dikatakan mengandungi kalium yang amat baik untuk mereka yang mengalami masalah sendi seperti arthritis dan gout. Kemerosotan otot dan tisu mengeringkan cecair yang membantu pergerakan sendi.

Pengumpulan bahan toksin dan asid dalam tubuh pula memberi kesan buruk radikal bebas yang hadir dalam tubuh. Ini adalah penyebab utama arthritis. Kandungan antioksidan dan pembuang toksin di dalam strawberi mampu membuang unsur bahaya ini daripada tubuh dengan serta-merta.

buah strawberi masak dan muda

Rendahkan tekanan darah

Vitamin C, folat, anthocyanin, quercetin dan kaempferol yang terdapat di dalam buah strawberi dikatakan amat baik kerana mampu menentang kanser dan tumor. Ðikatakan juga bahawa pengambilan strawberi setiap hari mampu menumpaskan pertumbuhan sel-sel kanser.

Selain itu, vitamin C dan fitokimia dalam strawberi meneutralkan kesan oksidan pada penuaan otak dan sistem saraf akibat radikal bebas. Iodin yang banyak dalam strawberi juga amat baik untuk fungsi sempurna otak dan sistem saraf. Kandungan kalium dan magnesium yang tinggi dalam strawberi juga amat baik untuk merendahkan tekanan darah yang disebabkan oleh sodium atau garam.



Bagus untuk kesihatan jantung

Buah strawberi juga mengandungi serat tinggi, tidak ada lemak dan tinggi antioksidan membuatkan ia amat baik dimakan terutamanya untuk mengurangkan kolesterol. Malah vitamin B yang terdapat dalam strawberi juga dikatakan mampu menguatkan otot kardiak dan membantu membuatkan jantung berfungsi lebih baik.

Selain buah, daun strawberi juga mempunyai khasiat yang tersendiri. Air rebusan daunnya dikatakan boleh digunakan untuk mencuci dan mengubati kudis dan luka. Ðaun yang telah direbus itu boleh ditampal ke bahagian-bahagian yang luka atau berkudis bagi meredakan kesakitan.

Air rebusan daun strawberi juga dikatakan berkesan untuk menjaga kesihatan mulut. Anda boleh menggunakan air rebusan ini sebagai air kumur. Cara ini mampu menguatkan gusi dan gigi serta mengubati ulser dalam mulut.

Memang tidak dapat dinafikan buah strawberi amat sedap dimakan. Namun begitu, buah ini juga dikatakan boleh menyebabkan reaksi alahan serius terhadap sesetengah individu. Antara gejala-gejala biasa berlaku akibat alahan strawberi termasuklah pembengkakan dan kemerahan pada mulut, bibir dan lidah, ekzema, ruam hives, ruam kulit, sakit kepala, hidung berair, mata gatal, gangguan gastrousus, kemurungan, hiperaktif dan insomnia.

Ringkasan khasiat buah strawberi :-

- Membantu menurunkan kadar kolesterol
- Membantu melumpuhkan kerja aktif kanser kerana asid ellagic yang terdapat di dalamnya
- Meredam gejala strok
- Kaya Vitamin C yang amat bagus untuk pertumbuhan kanak-kanak
- Kurang gula dan amat sesuai untuk diet bagi penghidap diabetes
- Mengandungi zat anti alergi dan anti radang
- Memutih dan membersihkan permukaan gigi
- Berkesan untuk melawan radang sendi
- Kandungan tujuh zat antioksidan yang terdapat di dalamnya lebih tinggi jika dibandingkan dengan buah atau sayuran lain, sehingga strawberi menjadi buah yang efektif mencegah proses oksidasi pada tubuh.
- Makan strawberi secara teratur dapat menghaluskan kulit dan membuatkan warna kulit lebih cerah dan bersih.

Walaupun strawberi menawarkan khasiat dan kebaikan kepada kesihatan tubuh, namun begitu pengambilannya perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.




Sumber : MW#1432, En.Wikipedia ~ fragaria dan En.Wikipedia ~ garden strawberry