PAGE

Sabtu, November 29, 2008

Q&A: Adakah bersetubuh tanda rujuk?


Soalan:

Suami menceraikan saya di luar mahkamah dengan talak satu. Perceraian kami telah didaftarkan dan kami kini menunggu hari perbicaraan untuk pengesahan cerai. Dua minggu setelah melafazkan talak, suami datang ke rumah dan mengadakan hubungan kelamin dengan kerelaan saya. Adakah kami dianggap sudah rujuk semula? Bagaimana cara yang betul sekiranya suami mahu merujuk semula dengan saya?

Anunziata Abdool Raheem,
Kuala Lumpur.



Jawapan:

Terima kasih kerana mengemukakan kemusykilan puan kepada kami. Rujuk merupakan keadaan di mana suami yang telah melafazkan talak ke atas isterinya kembali semula kepadanya semasa dalam tempoh idah. Tempoh idah bagi seorang wanita adalah tiga kali suci daripada haid.

Suami hanya boleh merujuk kembali bekas isterinya sekiranya isteri dicerai dengan talak satu atau talak dua (talak rajie). Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 229: "Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali, sesudah itu bolehlah ia rujuk memegang terus (isterinya) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskannya dengan cara yang baik."

Berdasarkan Seksyen 51 (8) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, terdapat beberapa perkara yang perlu dipenuhi oleh pasangan yang ingin merujuk.

Pertamanya, suami hendaklah melafazkan niat untuk merujuk bekas isterinya. Kedua, bekas isteri perlu memberikan persetujuannya ke atas rujuk tersebut. Kemudiannya, suami perlu membuat permohonan ke mahkamah syariah untuk mendaftarkan rujuk. Akhir sekali, mahkamah akan mengeluarkan perintah supaya pasangan yang telah bercerai tadi hidup semula sebagai suami isteri. Setelah proses rujuk itu lengkap barulah suami boleh kembali kepada bekas isterinya.

Daripada peruntukan undang-undang ini. Jelas terdapat dua perkara yang amat penting dalam proses rujuk: lafaz niat rujuk oleh suami dan persetujuan daripada isteri.

Seorang suami tidak boleh menganggap bahawa rujuk akan terjadi secara automatik kerana itu kemahuannya. Isteri haruslah bersetuju ke atas rujuk tersebut. Sekiranya isteri tidak bersetuju maka tiada rujuk bagi pasangan tersebut. Suami juga tidak boleh memaksa bekas isterinya rujuk semula dengannya.

Apabila pasangan yang bercerai rujuk semula, mereka harus melaporkannya ke mahkamah syariah. Ini bagi memastikan bahawa rekod mengenai perceraian dan rujuk adalah betul dan tidak timbul apa-apa syak wasangka akan status perkahwinan seseorang.

Menurut jumhur ulama yang empat, iaitu pandangan Imam Malik, Imam Abu Hanifa, Imam Syafi'e dan juga Imam Ibn Hanbal, rujuk hanyalah berkesan jika niat rujuk dilafazkan secara terang dan jelas. Tetapi, terdapat perbezaan pendapat antara keempat-empat mazhab tentang sama ada rujuk boleh berlaku berikutan hubungan kelamin.

Menurut Mazhab Syafi'e yang diterima pakai di Malaysia, hubungan kelamin tidak dianggap sebagai memenuhi syarat untuk rujuk, walaupun suami mengadakan hubungan kelamin dengan niat untuk rujuk semula dengan puan. Ini kerana, bagi Mazhab Syafi'e, niat rujuk mestilah dilafazkan atau dibuat secara bertulis.

Apa yang puan dan suami patut lakukan sekarang adalah pergi ke mahkamah syariah yang mendengar kes perceraian puan untuk memastikan sama ada rujuk sudah terjadi, dan jika adanya rujuk, maka daftarkanlah rujuk tersebut.

Diharap jawapan yang kami berikan di sini sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan masalah puan.




Sumber: UtusanOnLine 28/11/2008

Nasib malang anak tidak sah taraf

Di Malaysia, anak luar nikah dalam maksud pendaftaran kelahiran terdiri daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa yang tidak berkahwin tetapi maklumat dimasukkan ke dalam daftar dan sijil kelahiran. Pendaftaran tersebut dibuat di bawah peruntukan pendaftaran kelahiran anak tak sah taraf.

Ada sesuatu yang luar biasa pada sijil kelahiran anak tidak sah taraf. Nombor sijil yang lazimnya tertera di bahagian kanan dokumen, dicetak di bahagian bawah. Ini menunjukkan bahawa pemiliknya tidak mengetahui ayah kandungnya.



STATISTIK

Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!


Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah (1999-2003), 30,978 dari 70,430 orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.

Pecahan mengikut negeri:

Selangor = 12,836 orang

Perak = 9,788 orang

Kuala Lumpur = 9,439 orang

Johor = 8,920 orang

Sabah = 8,435 orang

Negeri Sembilan = 4,108 orang

Pahang = 3,677 orang

Kedah = 3,496 orang

Pulau Pinang = 3,412 orang

Melaka = 2,707 orang

Kelantan = 1730 orang

Perlis = 691 orang

Sarawak = 617 orang

Terengganu = 574 orang

JUMLAH = 70,430 orang.


Sumber: Kosmo!

Jumaat, November 28, 2008

Kembalilah kepada Al-Quran

Berkatalah Rasul:

"Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Qur'an ini suatu yang tidak diacuhkan."

(Surah Al-Furqaan [25], ayat 30)


Huraiannya:

Maksudnya, mereka menjadikan Al-Qur'an sebagai kitab yang ditinggalkan, diabaikan dan tidak dipedulikan. Imam Ibnu Katsir dalam tafsirnya telah merinci hal-hal yang termasuk ke dalam sikap tidak mengacuhkan Al-Qur'an.

Di antaranya adalah tidak mengimani dan membenarkannya; tidak mentadabbur (mengkaji) dan memahaminya; tidak mengamalkan dan mematuhi perintah dan larangannya; berpaling darinya dan lebih memilih yang lain, baik berupa syair, ucapan, nyanyian, permainan, atau jalan hidup yang diambil dari selain Al-Qur'an; tidak mahu menyemak dan mendengarkan Al-Qur'an serta membuat kecoh hingga tidak mendengar Al-Qur'an saat ia dibacakan.

Sumber: mykhilafah.com

Wallahu'alam.

Bukan Islam boleh makan akikah


SOALAN:

Baru-baru ini saya mengadakan majlis akikah untuk anak lelaki saya yang baru saja dilahirkan. Mengikut hukum anak lelaki harus korbankan dua ekor kambing, jadi saya telah pun menunaikannya. Ketika majlis ini berlangsung ada juga tetamu bangsa Cina yang hadir.

Adakah sah akikah saya yang dimakan oleh tetamu bangsa Cina itu?


JAWAPAN:

Tiada tegahan dalam mana-mana nas secara qatie (muktamad) sama ada di dalam al-Quran mahupun hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih yang boleh difahami bahawa orang bukan Islam tidak boleh memakan daging akikah. Selagi mana tiada nas yang secara sorih (terang) yang menegah maka selagi itulah perkara itu dilihat suatu yang tidak mutlak dari hukumnya. Apa yang perlu difahami di sini ialah hukum melaksanakan akikah itu sendiri.

Di samping itu daging akikah yang dimasak dengan sedikit rasa manis itu diharapkan agar perangai dan budi pekerti anak tersebut akan menjadi elok dan baik. (Al-Majmu’: 8/322)

Pengertian akikah menurut syarak

Akikah dalam pengertian syarak ialah binatang ternakan yang berkaki empat (binatang an’am) yang disembelih ketika hendak mencukur rambut kepala anak yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh atau selepasnya. Falsafah tuntutan menunaikan akikah adalah sebagai tanda kesyukuran seseorang setelah mendapat anugerah cahaya mata yang dikurniakan oleh Allah SWT. Justeru ia lebih baik di kongsi sesama Islam. Ini kerana ia juga seumpama satu peringatan kepada yang lain untuk berakikah juga untuk anak mereka (jika belum). Bagi bukan Islam, tiada peruntukan akikah.

Hukum melakukan akikah itu adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat digalakkan dalam syarak. Perkara ini bukan sekadar nas semata-mata malahan boleh dilihat sebagaimana perbuatan Rasulullah SAW ketika baginda mengakikahkan cucundanya Hasan dan Husain r.a. Ia bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini pernah ditanyakan kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda yang maksudnya: “Allah tidak menyukai kedurhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (akikah). Baginda bersabda: “Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing.” (riwayat Abu Daud) Maksud hadis daripada perkataan (suka atau ingin menyembelihkan untuk anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan akikah, melainkan jika akikah itu dinazarkan baharulah ia dipanggil akikah wajib.

Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah SAW: “Anak-anak tergadai (terikat) dengan akikahnya, disembelih (akikah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya.” (riwayat at-Tirmidzi) Terdapat dua pendapat dalam menghuraikan maksud hadis “anak tergadai dengan akikahnya” di sini. Pendapat pertama mengatakan bahawa jika tidak diakikahkan, anak itu akan terbantut atau terhalang pertumbuhannya, tidak seperti anak-anak lain yang diakikahkan. Pendapat kedua mengatakan bahawa maksudnya ialah anak itu tidak akan memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya pada hari kiamat kelak jika dia tidak diakikahkan. Pendapat kedua ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, dan pendapat ini dilihat pendapat yang lebih utama. (Mughni al-Muhtaj: 4/369)

Akikah disebut dalam hadis yang bermaksud: "Bersama bayi yang lahir itu akikah, maka kerana itu mengalirkanlah darah (sembelihan) untuknya, dan jauhkan baginya segala kesakitan (godaan syaitan)." (riwayat Bukhari) Ini bermakna: “Setiap anak perlu dipajakkan (terhutang) dengan akikah, disembelih untuknya pada hari ketujuh umurnya, dan diberi nama dan dicukur rambut kepalanya.” (riwayat Ashabus Sunan). Akikah itu pula dari sudut bahasanya adalah tolakan iaitu tolakan dari gangguan dan godaan syaitan.

Adapun persoalan mengenai memberi makan atau dimakan daging akikah oleh bukan Islam tidak mencacatkan amalan akikah. Biarpun daging akikah itu dimakan oleh bukan Islam, akikah itu tetap sah dan tidak perlu diulangi. Sebenarnya perbuatan kita melabelkan hidangan dengan ayat hidangan untuk orang Islam sahaja adalah tidak wajar. Seolah-olah kita memperkecilkan tetamu yang datang ke majlis keraian kita dengan tidak mengizin mereka menjamah apa yang dihidangkan oleh tuan rumah. Sedangkan bukan Islam muslim boleh memakan daging akikah.

Setiap ibu bapa atau ahli keluarga apabila mengadakan majlis tersebut mereka mengharapkan doa yang ikhlas daripada sanak saudara dan sahabat andai atau jiran tetangga yang datang bertandang ke majlis itu. Jika yang diundang itu bukan Islam sekurang-kurang kita dapat menghampiri mereka dan memahamkan bahawa Islam tidak menghalang pergaulan dan penglibatan bukan Islam dalam majlis yang diadakan oleh orang Islam. Ini sekurang-kurangnya memberi peluang kepada kenalan kita yang bukan Islam mengenal amalan yang terkandung dalam agama yang suci ini.

Sumber: UtusanOnLine 28/11/2008

Kecantikan Lelaki, Kegagahan Wanita


Kecantikan seorang lelaki bukan pada rupa fizikal

Tetapi pada murni rohani
Lelaki yang cantik
Adalah lelaki yg mampu mengaliri airmata keinsafan
Adalah lelaki yang sedia menerima teguran
Adalah lelaki yang memberi madu setelah menerima racun
Adalah lelaki yang tenang dan lapang dada
Adalah lelaki yang baik sangka dan tidak pernah putus asa
Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan batin
Seluruh kecantikan yang ada pada Nabi Muhammad yang ummi
Adalah kecantikan sempurna seorang lelaki

Kegagahan seorang perempuan
Bukan pada pejal otot badan
Tetapi pada kekuatan perasaan
Perempuan yang gagah
Adalah perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan
Adalah perempuan yang tidak takut pada kemiskinan
Adalah perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan
Adalah perempuan yang tidak meminta-minta agar dipenuhkan segala keinginan
Kegagahan perempuan yang berdiri di atas keteguhan iman
Seluruh kegagahan yang ada pada khadijah yang ihsan
Adalah kegagahan sempurna seorang perempuan

Kecantikan lelaki mendorong perempuan menjadi gagah
Kegagahan seorang perempuan menjadikan lelaki cantik menangis kerinduan

Sumber: Email

Wanita solehah dalam penyelesaian masalahnya



Salamun'alaik Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh....

Salam serta selawat ke atas Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta salam kepada para sahabat yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.

Masalah rumahtangga memang tidak pernah habis-habis. Lebih-lebih lagi jika suami itu seorang yang tidak bertanggungjawab, membiarkan anak isteri tanpa memberi nafkah yang mencukupi, membiarkan anak isteri sakit di rumah tanpa berusaha mendapatkan rawatan yang sepatutnya, membiarkan isteri sendirian bergelut menghadapi masalah anak-anak dan lain-lain lagi. Kalau iman lemah, tentulah si isteri akan marah-marah, malah ada yang sampai mengajak suami bertarung di dalam mahkamah. Kalaulah hal ini berlaku kepada kita, bagaimana sepatutnya seorang wanita solehah menyelesaikan masalah yang dihadapinya?

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al Imam Bazzar)

Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)

Sebenarnya, wanita yang solehah itu ialah wanita yang sangat cerdik. Cerdiknya dia ialah kerana dia faham apa maksud Tuhan di sebalik kejadian yang menimpa dirinya itu. Cerdiknya dia ialah kerana dia lihat Akhirat yang kekal abadi itu lebih besar dari dunia yang fana ini. Cerdiknya dia ialah kerana dia memahami perkara-perkara tersirat yang tidak difahami oleh wanita biasa. Cerdiknya juga kerana dia bertindak untuk jangka masa panjang dan bukan untuk jangka masa yang sementara. Dan cerdiknya juga kerana dia tidak turut menyakiti suami yang telah “menyakiti”nya itu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Bukankah baik kalau hubungan di antara suami dan isteri itu dikekalkan intim?

Kalau dicari penyelesaian dengan secara merungut-rungut dan meminta-minta sehingga suami naik bosan, atau secara bergaduh-gaduh sama ada di luar atau dalam mahkamah, bukankah ini akan meretakkan lagi hubungan suami isteri itu sehingga boleh menyebabkan penceraian? Pendek kata, cara ini ialah cara penyelesaian jangka pendek yang dicari oleh wanita yang kecil jiwanya, yang tidak tahan dengan sedikit ujian demi mendapatkan hasil yang baik. Walhal, wujudnya institusi keluarga yang aman damai itu adalah asas kepada perpaduan dan pembangunan sebuah masyarakat yang aman makmur.

Apabila seorang wanita solehah dilanda masalah, dia tidak akan terus bertindak mengikut akal dan emosinya, tetapi dia akan terus merujuk kepada Tuhan dengan melakukan beberapa perkara yang utama iaitu:

1. bertaubat atas dosa
2. merintih kepada Tuhan
3. melakukan perkara-perkara yang disukai Tuhan

Bertaubat Atas Dosa

Wanita yang faham akan maksud Tuhan akan sentiasa sedar bahawa Tuhan itu tidak akan mendatangkan masalah dengan sia-sia. Setiap kesusahan yang Tuhan datangkan itu adalah untuk penghapusan dosa atau untuk menaikkan darjatnya di sisi Tuhan. Sebagai seorang hamba yang lemah, lebih baik kita merasakan bahawa kita sudah banyak melakukan dosa sehingga menyebabkan Tuhan murka. Kenang-kenangkan dosa-dosa yang telah kita lakukan, antaranya mungkin kita cuai dan lalai dalam sembahyang, meringan-ringankan sembahyang, mungkin juga kita telah menyakiti hati kawan atau jiran dan lain-lain. Apatah lagi kalau kita selalu mengumpat, memfitnah, mengadu domba, sombong, hasad dengki dan lain-lain. Semua itu adalah dosa yang akan menjerumuskan kita ke dalam Neraka.

Jadi, apabila kita selalu mengenang dosa-dosa ini, akan timbul rasa untuk bertaubat. Cepat-cepatlah kita bertaubat dengan penuh keinsafan dan dengan hati yang sangat takutkan kemurkaan Tuhan serta merasakan diri kita sangat berdosa dan tidak selamat dari Neraka Tuhan.

Merintih Kepada Tuhan

Selain dari bertaubat atas dosa, wanita solehah juga suka bercakap-cakap dan mengadu kepada Tuhan. Dia akan merayu-rayu dan merintih-rintih kepada Tuhan agar Tuhan membantu menyelesaikan masalahnya. Kalau didengarilah rintihan mereka ini, ia ibarat rintihan seorang kekasih kepada kekasihnya, atau rintihan seorang hamba tawanan kepada pemerintah yang sangat berkuasa. “Wahai Tuhan, Engkau Maha Berkuasa, Maha Penyayang dan Maha Penyelesai Masalah. Dan aku sangat lemah dan sangat berdosa. Memang layaklah aku Engkau timpakan masalah sebegini kerana dosa-dosaku yang terlalu banyak terhadap-Mu. Tetapi Tuhan, aku tidak sanggup menghadapi masalah ini tanpa pertolongan-Mu. Tolonglah aku Tuhan! Tolonglah aku Tuhan! Aku sangat lemah kerana memang Engkau ciptakan aku lemah. Manakala Engkau sangat berkuasa dan boleh menyelesaikannya hanya dalam sekelip mata. Tunjukkanlah aku akan kehebatan-Mu sebagai yang Maha Penyelesai Masalah”, begitulah mungkin sedikit daripada kata-kata rintihan seorang wanita solehah apabila dilanda masalah. Dia akan merintih dan terus merintih di dalam hati, walaupun di waktu dia tersenyum gembira di hadapan manusia ramai.

Melakukan Perkara-perkara Yang Disukai Tuhan

Kerana begitu seriusnya dia hendak mengambil hati Tuhan agar Tuhan berkenan dengannya dan sudi menyelesaikan masalahnya, wanita yang solehah ini akan melakukan apa sahaja perkara yang disukai oleh Tuhan, selagi dia termampu.

Di sinilah logiknya mengapa seorang wanita solehah tidak akan menyakiti hati suaminya dengan meminta-minta, memarahi atau bergaduh dengan suaminya kerana dia tahu perkara itu ialah perkara yang tidak disukai oleh Tuhan. Kalau Tuhan sudah tidak suka, tentulah Tuhan tidak akan selesaikan masalahnya. Atau, kalau dapat diselesaikan pun, ia adalah penyelesaian yang Tuhan berikan dengan kebencian dan kemurkaan.

Kerana inilah, dia sanggup menekan perasaannya untuk terus melayan suaminya dengan baik, malah kalau boleh, diperelokkan lagi layanannya itu. Tujuannya bukan untuk mengampu suami, tetapi untuk menagih simpati dan kasih sayang Tuhan. Dia juga akan melakukan perkara-perkara lain seperti bersedekah, membantu orang susah, menambah amalan sunat dan lain-lain lagi. Beginilah yang akan dilakukannya terus-menerus sehinggalah Tuhan kasihan kepadanya dan sudi campur tangan untuk menyelesaikan masalahnya.

Dan apabila masalahnya itu Tuhan sendiri yang selesaikan, tentulah hasilnya selamat dan menyelamatkan. Penyelesaiannya kadang-kadang melalui jalan yang tidak disangka-sangka. Adakalanya, Tuhan berikan dorongan yang kuat (ilham) untuk dia mengambil sesuatu tindakan yang akan mendatangkan kesan yang sangat positif. Adakalanya, Tuhan datangkan seseorang yang sangat prihatin hendak membantunya. Atau mungkin tiba-tiba suatu kejadian berlaku ke atas suaminya sehingga menyebabkan sikap suaminya itu berubah. Atau kalau pun Tuhan mahu mereka berpisah kerana tahu suaminya itu tidak boleh berubah.

Dia akan berikan laluan yang mudah, tanpa perlu pergaduhan atau pertelingkahan. Paling tidak, Tuhan akan berikannya ketenangan dan ketabahan untuk menempuh masalah itu. Bukankah lebih baik mempunyai hati yang tenang walaupun dilanda masalah daripada tiada masalah tetapi hati gundah-gulana? Apabila datangnya bantuan Tuhan ini, wanita yang solehah ini akan cepat mengucapkan syukur seraya memuji-muji Tuhan.

Dia benar-benar merasakan bahawa Tuhanlah yang telah menyelesaikan masalahnya tanpa diduga. Kalaupun ada usaha-usaha lahir yang dilakukannya, dia langsung tidak merasakan yang dirinya hebat kerana pandai menyelesaikan masalah, sebaliknya rasa malu dan tidak layak kerana diberi bantuan.

Pendek kata, semakin banyak masalah yang menimpanya, semakin dekatlah dia kepada Tuhan dan semakin kuatlah imannya. Hatinya akan bertambah tenang kerana dia tidak takut menghadapi sebarang jenis masalah. Dia yakin, walau besar macam mana pun masalahnya, Tuhan boleh selesaikan. Berbeza dengan wanita yang mahu mencari penyelesaian lahiriah tanpa bergantung harap kepada Tuhan, dia akan menghadapi pelbagai kesusahan untuk menyelesaikan masalahnya itu. Sudahlah susah disakiti suami, susah pula hendak selesaikan masalah. Apabila selesai pula, datang pula masalah yang baru. Contohnya, seorang isteri yang begitu bersusah payah naik turun mahkamah untuk mendapatkan penceraian daripada suaminya. Sudahlah habis wang dan masa hanya untuk mendapatkan penceraian, bila sudah bercerai, si suami pula tidak mahu memberikan nafkah atau membawa lari anak kesayangannya. Hatinya akan terus menerus gundah-gulana dan kacau-bilau.

Hakikatnya, Tuhan tidak suka dengan dia kerana dia telah mengenepikan Tuhan. Dia lebih bergantung kepada kepandaian dan kemampuan dirinya sendiri, dan tidak bergantung kepada Tuhan untuk menyelesaikan masalahnya. Secara tidak sedar, dia sudah melakukan syirik khafi (syirik tersembunyi) kerana dia merasakan dirinya itu cukup berkuasa untuk menyelesaikan masalah. Walhal, satu kelipan mata pun tidak akan berlaku kalau bukan dengan kekuasaan Tuhan. Inilah sebenarnya wanita yang tidak pandai menyelesaikan masalah. Dia akan terus-menerus dibelenggu oleh masalah demi masalah, dengan penyelesaian yang kusut dan mengusutkan.

Terseksalah hidupnya di dunia, sebelum seksa yang lebih dahsyat di Akhirat nanti.

Waliyauzubillah.

Sumber: Raudhah.com

Khamis, November 27, 2008

Panduan pilih bakal isteri


SEPERTI mana sukarnya mencari permata di pelimbahan, begitu juga sukar mencari nilai seseorang untuk dijadikan suri dalam hidup. Bagi sesetengah lelaki, mencari wanita untuk disayangi dan seterusnya menjadi teman sepanjang meniti kehidupan tidak semudah memilih atau menukar pakaian. Menjalani hidup berdua, muafakat dalam segalanya, matlamat untuk hidup bahagia disusuli rasa kasih yang tiada taranya menjadi impian semua pasangan.

Pun begitu, dalam soal memilih pasangan hidup banyak perkara harus difikirkan. Islam turut menggariskan ciri wanita yang harus menjadi pilihan lelaki biarpun jodoh, ketentuan takdir, ajal dan rezeki di tangan Yang Maha Esa. Namun, ciri tertentu harus menjadi sempadan dan perlu diambil kira ketika memilih calon yang layak.

Pelbagai andaian dilakukan lelaki di samping meletakkan piawaian tertentu dalam memilih calon isteri. Kehidupan sosial dan peribadinya juga perlu diambil kira kerana melayari hidup bersama pasangan itu bukan untuk tempoh yang singkat, tetapi menyatukan dua jiwa untuk selamanya. Mungkin petua berikut mampu menjadi panduan penting kepada lelaki yang terlalu cerewet dalam memilih pasangan hidup.

1. Wanita kategori liar

Inilah jenis wanita yang sering dinasihati mana-mana ibu untuk dijauhi. Pada awalnya, perhubungan dengan wanita sebegini sememangnya menyeronokkan. Dia selalu melakukan sesuatu di luar jangkaan. Perasaan selalu mencuba sesuatu yang bagus, tetapi sikap mencubanya tidak wujud sempadan. Anda mungkin teruja dengan kegilaannya, tetapi tanpa sedar, tersadung dalam masalah yang diciptanya.

2. Wanita si bom jangka

Wanita bersifat bom jangka seumpama emosi yang akan meletus tanpa sebarang amaran ketika anda menjangka semuanya terkawal. Dia kelihatan normal luarannya sehinggalah anda menjadi sasarannya. Individu seperti ini bukan saja menjadi bom jangka dalam emosi kemarahan malah emosinya akan mengubah keputusan penting dalam hidup anda berdua kelak.

3. Wanita si gula-gula

Gadis muda seumpama gula-gula yang melihat anda sebagai pembimbing dan menyukai kewujudan anda. Dalam keadaan ini, anda seolah-olah bertindak seperti seorang yang mengajarnya untuk menjadi wanita idaman dan cuba mencipta kehidupan yang penuh kematangan untuknya. Hakikatnya, mungkin diri sudah tertipu, gadis muda seumpama ini sebenarnya mungkin hanya menguji kuasa tarikan yang ada pada dirinya.

4. Wanita si bintang

Wanita bersifat bintang menjadikan pasangannya sebagai jalan untuk mempopularkan atau menguntungkan dirinya semata-mata, lebih-lebih lagi jika dia mempunyai keinginan besar terhadap sesuatu yang jelas bukannya diri anda.

5. Wanita si penggapai

Penggapai mempunyai kedudukan kewangan lebih daripada apa yang anda miliki dan dia menyukai keadaan sedemikian kerana ia memberi jaminan kepada dirinya. Mengapa begitu? Dia memilih pasangan yang bukan dalam kelompoknya supaya dapat memberinya ruang untuk bergerak. Anda menjadi sasaran jika matlamat kewangannya gagal dan anda dilihat sebagai punca masanya terbuang begitu saja sekadar untuk aktiviti bersama. Dia cenderung mengatakan setiap usahanya untuk kebahagiaan bersama. Tetapi, harus berhati-hati.

6. Wanita yang terluka

Hubungan yang terjejas menjadikan wanita dalam kategori ini dibelenggu emosi yang terluka sepanjang masa. Kewujudan anda sekadar kapal persinggahan sementara baginya untuk memikirkan kesilapannya, apa yang berlaku, siapa dirinya dan apa yang perlu dilakukannya. Sepanjang anda menjadi pasangannya, anda mendengar segala kisah buruknya. Bahkan, anda akan menjadi pendengar setia kisah sedihnya semalam, hari ini dan esok. Biarpun anda menjangka dia mungkin akan menyintai anda, tetapi dia mungkin lebih memikirkan keadaan dirinya saja.

Sumber: HMetro 2008/11/27

Rabu, November 26, 2008

Sila betulkan sebaran - Nama Syaitan Dalam Al-Fatihah??

Salamun'alaik,

PERNAHkah anda terima email yang bertajuk "Nama Syaitan Dalam Al-Fatihah"? Ramai yang rajin meng'forward' email sebegini, banyak kali juga saya terima tetapi saya cuba baca sambil lewa dan hampir tidak mahu ambil tahu adakah email ini benar atau tidak.
Baru-baru ini, saya berkesempatan bertanya kepada yang reti bahasa Arab di Al-Falaah, jadi di sini saya kongsikan dengan pembaca blog. Beginilah isi email yang diterima:

سُوۡرَةُ الفَاتِحَة
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (١)
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٢) ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (٣)
مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤) إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥)
ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦)
صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)


Nama
Syaitan Dalam Al-Fatihah

Semoga boleh dimanfaatkan Al-Fatihah adalah satu rukun dalam solat, apabila cacat bacaannya maka rosaklah solat. Oleh itu perbaikilah bacaannya dengan ilmu tajwid. Bukan setakat bacaannya saja rosak malah kita menyebut nama syaitan di dalam solat kita. Berikut diperturunkan nama syaitan laknat yang wujud didalam Al-Fatihah, sekiranya kita tidak berhati-hati. Nama syaitan:

1) DU LI LAH (bila dibaca tiada sabdu) sepatutnya DULILLAH

2) HIR ROB (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya HI ROB

3) KIYYAU (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KI YAU

4) KANNAK (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KA NAK

5) KANNAS (bila dibaca dengan sabdu) sepatutnya KA NAS

6) Iya (disebut tanpa sabdu) sepatutnya Iyya. Iya bermaksud 'matahari'
Dalam ayat ke 5, jika salah bacaannya akan bermaksud "kepada mataharilah yang kami sembah dan kepada matahari kami meminta pertolongan"!!!!
7) SIROTHOLLAZI..... sehingga habis, hendaklah dibaca tanpa henti.

8) AMIN. hendaklah mengaminkan Al-Fatihah dengan betul iaitu AA...dua harakat, MIN.... 3 harakat, semoga Amin kita bersamaan dengan Amin malaikat Insya-Allah. semoga kita menjadi orang yang sentiasa membaiki bacaannya.


Perhatian: Sebarkan hukum Allah walaupun satu ayat semoga kita mendapat rahmatNya, Insya-Allah.



JAWAPAN daripada UmmuWaheedah yang saya terima:

Wa'alaikumussalam wmt.,

Alhamdulillah soalan yg baik. Email begini memang laris disebarkan demi memenuhi tuntutan menyerbarkan ilmu walau satu ayat. Masalahnya yang jadi 'forwading agent' adakalanya bukan orang yang mendapat ilmu daripada guru, dia cuma forward apa yang di'forward' kepadanya. Bila ditanya balik, mereka tak dapat jawap, cuma akan respon "saya forward jer...." Sebaiknya kita baca dan fahami, kalau tak faham kita tanya dulu sebelum forward kepada yang lain.
Pertama sekali saya ingin sarankan kepada semua umat Islam supaya memulakan hari dengan Al-Fatihah, bangun tidur terus baca Al-Fatihah selain doa yg lain. Bila berinteraksi dengan internet, buka PC mainkan MP3 Al-Fatihah, boleh download dari link ini Quranicaudio. Di situ kita latih lidah meniru bacaan mengikut dialek Arab bukan ikut lidah melayu. Kita tingkatkan kualiti bacaan disamping hafazkan maknanya.

Berbalik email yang diberi ini, sebenarnya nak belajar tajwid kena berguru baru betul. Bacaan dan cara sebutan huruf tak sama yang ditulis jawi dengan rumi. Huruf dhal jika di tulis rumi sebagai 'd' kurang tepat. Tapi tak mengapalah saya ringkaskan, semoga boleh difahami:
Dalam tajwid ada dua bentuk kesalahan iaitu:


1. al lahnul jali - kesalahan nyata yg membawa perbezaan makna, hukumnya haram dan berdosa. Ini termasulah mengubah huruf dan baris.

2. al lahnul khofi - kesalahan yg tersembunyi yang tidak membawa kepada perubahan makna contohnya kita kurang dengung, terpendek atau terpanjang harkat/kesalahan begini tak membatalkan solat.

1-ayat 1 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Jumlah ayat dalam Al-Fatihah ialah 7 termasuk Bismillah, membaca 'ta'auz (iaitu 'auzubillah...) adalah sunat muakkad bagi surah Al-Fatihah. Membaca Bismillah adalah wajib. Bila menyebut Bismillah, perlu ditekankan huruf 'ba', mesti jelas 'bis' itu. Kalau kita cincai bismi jadi ismi. Bismillah maknanya dengan nama Allah, Ismillah maknanya nama saya Allah. Kan dah ubah makna? Lagi satu hirrohman nir rohim... kena sebut betul rohim bukan rojim. Rohim makna penyayang, rojim makna yg direjam.

2-ayat 2 ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

Alhamdu perlu diperhatikan huruf kha, bukan ha. Jangan baca alhamda lillah! Alhamdulillah memang ada sabdu pada huruf lam, masukkan huruf lam ke dalam lam yang satu lagi.
'alamin - nyatakan huruf 'ain bukan huruh alif (biasakan dengar orang arab sebut 'ain)

3-ayat 3 ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Seperti nota 1. Sebut betul-betul 'ar rohim'.... Pastikan mulut tertutup di akhir kalimah.

4-ayat 4 مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ

maaliki yau mid-din, 'ma' kena panjang 2 harkat, mid-din bukan midin

5-ayat 5 إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ

Iyyaka na'k budu -beri penekanan kepada 'iyya', jelaskan sabdu (syaddah atau tanda tasydid) dan na' (huruf ain bukan hurif k). Sama penekanannya pada kalimat kedua wa iyyaka nas ta'in (huruf ain).
Tentang khonnas, itu ada dalam surah an-nas, min syarril was wasil khonnas (nama syitan). Saya tak biasa dengar orang silap pada ayat 5, iyya kannas ta'in. Sebenarnya iyyaka satu perkataan maknanya kpd Engkau, huruf 'ka' menunjukkan gantinama kedua. Macam sebut 'alaika maknanya ke atas engkau. Na'budu, na maknanya jamak (ramai-kami). Na'budu kami mengabdikan/kami menyembah dari kata 'abda (ain ba dhal), abdullah maknanya hamba Allah, nasta'in maknanya kami minta pertolongan.
6-ayat 6 ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ

Baca ihdi nas siro thol. 'Ih' bukan 'eh', 'siro', 'si' berbunyi tebal sebab huruf sod bukan huruf sin. Begitu juga tho kena tebal berbeza dengan ta.
mustakim, huruf ta kena baca nipis, jangan baca mustokim.

7-ayat 7 صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ

Boleh berhenti kalau tak cukup panjang nafas. Berhenti pada 'alaihim yg pertama:-
sirothol lazina an'am ta a'alaim him (berhenti dan ambil nafas, baru sambung seterusnya)
Ghoiril maghdhu bi alaimhim wa lad dhollin, wajib 6 harakat pada lafaz 'dho'
Kalau kita agak nak sambung tapi terputus, tak boleh curi nafas. Ustaz Zamri (mari mengaji selalu sebut 'curi' nafas haram). Kalau terbrek selepas 'ghairil maghdhu bi 'alaihim', berhenti situ ambil nafas dan ulang, ghairil maghdu bi alaimhim wa lad dhollin (sampai akhir). Kebetulan saya yang tersemput nafas masa talaqi dengan ustaz tajwid minggu lepas, jadi ustaz tunjuk cara nak betulkan).

Kalau kita berhenti sebelum walad dhollin.. makna ayat itu tak tepat. Cuba semak erti/makna ayat tu/ semak di sini www.bicarasufi.com. an 'amta... Baca betul betul. an- sebut huruf alif. amta sebut huruf ain, jangan baca 'an amta atau 'an 'amta Sekianlah yang dapat dijawap. Jika ada yang nak menambah, silakan.

Sabtu, November 22, 2008

Merancang keluarga dari pandangan Islam


Assalamualaikum warahmatullah,

Tertarik saya nak beri sedikit pandangan setelah saya membaca mesej ini, “Nak merancang dia tak izinkan”. Mengapa perlu izin suami? Isteri boleh membuat keputusan sendiri untuk menggunakan pencegah kehamilan walaupun tanpa persetujuan suami kerana ia adalah untuk kebaikan tubuh badan sendiri.

Dalam Islam, kita tidak perlu taat kepada orang yang menentang perintah al-Quran. Lelaki selalunya ego dan enggan memberikan kerjasama dalam hal ini, tetapi mereka perlu fikirkan kesan kehamilan yang tidak dirancang atau dikehendaki kerana ia melibatkan banyak perkara dari segi emosi, kesihatan, fizikal (jasad/badan) dan juga mental isteri. [Rujuk entry Sihat: Rancang kelahiran anak pertingkat kesihatan ibu dan Kehamilan perlu dirancang]

Aduhai perempuan yang bergelar isteri... yang nak membawa zuriat kalian ke sana ke sini selama sembilan bulan 10 hari dengan 1001 jerih perit serta segala jenis kepayahan adalah diri kamu sendiri, bukan suami. Yang nak menempuh kepayahan dan bertarung nyawa mengeluarkan zuriat kalian juga kamu sendiri, bukan suami. Seterusnya yang nak berpantang selama 44 hari, kamu juga yang menempuhnya, bukan suami. Tempoh berpantang adalah waktu rehat yang sangat penting kerana pada masa inilah, sistem peranakan serta organ dalaman wanita perlu dipulihkan, yelah, dah ‘kembang’ lebih sembilan bulan, ambil MASA dan juga USAHA untuk pulihkan diri. Wanita yang bernasib baik mendapat suami yang PERIHATIN dan BERPERIKEMANUSIAAN akan mempastikan isterinya pulih seperti sedia kala. Tapi bukan semua suami bersikap demikian, jadi kita sendirilah yang kena jaga diri kita. Jasad kita ni memang kita akan guna hingga ke hujung nyawa bukan untuk 10-20 tahun saja, jadi kalau jasad rosak, kita sendiri juga yang susah, bukan suami. Sengaja saya tekankan perkataan bukan kerana kalau bukan kita yang SAYANGKAN diri kita, siapa lagi?

Agama Islam versi yang mana kata kita tidak boleh merancang keluarga? Mazhab atau fahaman mana pula yang ajar jika kita nak merancang, kena minta izin suami? Loh! Memang ramai pasangan yang beragama Islam yang keliru dan was-was tentang undang-undang Islam berkaitan perancangan keluarga. Ada yang merasakan amalan tersebut bertentangan dengan agama. Disebabkan itu, mereka hanya berserah kepada takdir tanpa fikirkan risiko kepada kesihatan ibu dan ekonomi keluarga.

Saya perasan, ramai pasangan yang kurang berkemampuan memiliki anak yang ramai. Saya tak nafikan setiap anak yang lahir di dunia memiliki keistimewaan dan dijanjikan rezeki masing-masing oleh Allah Taala. Sungguhpun begitu, mcmana pulak dengan nasib mereka sekiranya tidak mendapat mendapat keperluan yang sepatutnya? Kesian saya tengok keluarga miskin, punya anak yang ramai, especially yang keluar dalam siaran BersamaMu TV3. Dek kerana wang yang tidak mencukup, anak-anak bukan sahaja tidak ke sekolah, terpaksa menahan lapar dan bekerja pada usia yang muda.

MAJLIS Fatwa Kebangsaan 1981 menghalalkan penggunaan kaedah pencegah kehamilan selagi ia bukan berfungsi secara kekal (kasi). Sebaliknya jika disebabkan oleh faktor kesihatan ibu, penyakit ginetik dan kehamilan terlalu kerap, kaedah mengikat rahim adalah dibenarkan. Matlamat perancangan keluarga adalah untuk memastikan setiap kehamilan dirancang dan dikehendaki.

Institusi keluarga adalah unit sosial yang penting dalam masyarakat. Sungguhpun Islam menggalakkan lelaki dan wanita berkahwin dengan tujuan mendapatkan zuriat, tetapi kualiti hidup perlu dititikberatkan. Perancangan keluarga diharuskan agama untuk menjarakkan anak atas alasan kesihatan ibu bapa dan kanak-kanak, memberikan kemudahan pendidikan sempurna kepada setiap anak dan kesejahteraan keluarga. Amalan perancangan keluarga tidak pernah ditentang oleh agama Islam. Tidak pernah tercatat dalam al-Quran yang mengharamkan merancang keluarga. Jika ada, sila kemukakan dalil/hadis mengenai ini. Saya juga hendak tahu.

Adakah dengan merancang keluarga kita akan beranggapan bahawa amalan ini seperti membunuh zuriat? Ini tidak benar sama sekali, kerana kaedah mencegah kehamilan hanya digunakan untuk menggelakkan kehamilan berlaku, iaitu mencegah persenyawaan sperma dalam ovum. Islam membenarkan penggunaan kaedah mencegah kehamilan seperti pil oral kontraseptif, IUS, IUD, IUCD, implanon dan (yang paling kaum suami tak suka) kondom. Kaedah yang dinyatakan tidak memusnahkan sama sekali keupayaan untuk hamil dan melahirkan. Ada beberapa cara digunakan pada zaman Rasulullah yang menunjukkan mencegah kehamilan dibenarkan. Contohnya, ketika sahabat Rasulullah SAW, Jabir r.a., menyampaikan kepada Baginda mengenai amalan al-azl ['AZAL ( العزل )] atau coitus interruptus iaitu memancutkan air mani di luar vagina di kalangan sahabat, Baginda ternyata tidak menghalangnya.

عَنْ جَابِرٍ قَالَ كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَلَغَ ذَلِكَ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَنْهَنَا

Ertinya: “Daripada Jabir r.a beliau berkata, Kami pernah melakukan Al-'Azal di zaman Rasulullah SAW dan perkara itu sampai ke pengetahuan baginda, tetapi Baginda tidak pula menegah kami daripada melakukan perkara tersebut.” (Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim – Kitab An-Nikah – 2610).

Walaubagaimanapun, suami tidak dibenarkan melakukan al-'azal melainkan dengan redha isterinya. Al-Imam Ibn 'Abd al-Barr (wafat 463H) berkata: “Tiada khilaf di kalangan ulama bahawa tidak boleh dilakukan 'azal dengan isteri yang merdeka melainkan setelah mendapat keizinannya. Ini kerana persetubuhan adalah daripada haknya.” (rujukan: Ibn Hajar al-'Asqalani, Fath al-Bari, 10/385, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).

Tahukah kita, mengikut statistik purata sejak tahun 1997-2000, 55% kematian wanita hamil di Malaysia kerana tidak pernah mengamalkan perancangan keluarga. Pecahan statistik mengikut tahun adalah seperti berikut:
1997 - 59.5%
1998 - 65.4%
1999 - 64.9%
2000 - 58.9%

Tanyalah kepada diri sendiri, adakah kita mahu diri kita termasuk dalam statistik kerana kelalaian kita sendiri?

Perancangan keluarga seharusnya dilakukan supaya menjarakkan usia anak daripada anak yang lain, menjaga kesihatan dan keselamatan ibu dan merancang kelahiran apabila pasangan sudah cukup bersedia (kewangan, fizikal dan mental). Umat Islam digalakkan menjarakkan usia setiap anak iaitu sebaik-baiknya dua tahun bagi membolehkan setiap anak mendapat belaian dan perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa. Ia terbukti berdasarkan ayat Al-Ahqaf dan Luqman yang mengkehendaki anak disusukan selama dua tahun atau 30 bulan oleh ibunya bagi memastikan kanak-kanak berkenaan mendapat khasiat pemakanan secukupnya.

Wallahu'alam.








Posting from SiM dari perbincangan MINTA NASIHAT : Suami malas bekerja tapi kongkong kewangan [message/38776]

2008/11/21 Zaini Jamaludin [zaini9@lycos.com]

Assalamualaikum,

akak pun mengalami masalah yang hampir sama. Semenjak gawat 1997 suami diberhentikan dari syarikat swasta. Masa tu anak baru 9 orang. Nak merancang dia tak izinkan. So dia kerja tolong kawan jual satay dapat rm10 semalam. Kerja pengawal keselamatan tolak uniform itu ini tinggal rm200. Duit minyak gi kerja pun tak lepas. Akhirnya tak keluar modal, duk rumah saja. Masa tu anak istimewa (kedua) dah 21 tahun dah tamat sekolah. Jadi duk rumah jaga anak. Yang tak tahan sifat cemburunya. Pasal gaji nasib baik kad giro akak yang simpan. Hak akak, tapi akaklah bayar sewa rumah, ansuran kereta, bil api, air, telefon, yuran dan belanja sekolah anak-anak, makan minum dlln. Memang tension especially bila akak ada kursus atau mesyuarat dia kata jumpa jantan lain. Bila ada program solat hajat di sekolah dia marah sembahyang berimam dengan lelaki lain. Dia pun jarang ke surau, alasannya nak berjemaah di rumah dengan isteri dan anak-anak. Masa tu akak cuma guru sandaran saja. So akak buat pinjaman bank sambung belajar Pendidikan Jarak Jauh. Dari bergaduh 4-5 tahun tak dapat apa, baik belajar. Selepas 4 1/2 tahun dapat sekeping ijazah. Masa belajar pun dia cemburu takut akak jumpa mahasitua. Akak beritahu dia kalau adalah seorang lelaki nakkan akak yang ada anak 11 akak ikut dia. Tapi of course melambak anak-anak gadis di dunia ni, bagi free pun mereka tak nak akak. Masa belajar akak minta izin nak makan pil perancang, suami tak izinkan. Katanya kalau akak makan juga dia doakan akak dirogol beramai-ramai oleh Bangla. Tapi akak mengadu dengan Allah. Akak sampai terpacul kata-kata tak halalkan duit gaji akak sara makan minum dia. Lepas 5 tahun makan pil akak berhenti, so dapat baby lagi ke 12 pada 2007. Sekarang akak ada pekerjaan tetap. Dia di rumah surf internet. Tapi duit gaji akak pegang. Tiap-tiap bulan beri sedikit duit gaji pada mak ayah, tak minta izin pun dari suami, duit sendiri. Nasib baik duk dekat mak. At lea! st seminggu sekali boleh ziarah. Suami complaint tak dapt ziarah saud ara-mara dia. Akak kata pergilah, hari-hari pun boleh tapi guna duit sendiri. Akak pernah gi mahkamah syariat untuk kaunseling, tapi suami tak nak pergi. Pernah terfikir nak minta fasakh tapi fikirkan anak-anak. Akak aktif di tempat kerja, dapt offer gi Jakarta melawat sekolah2 di sana, pun suami tak izinkan, tapi akhirnya dia beri. Dulu keluarganya ingat dia baik sangat dan akak makan duit gaji dia. Selepas anak 10, masa mengandungkan anak ke 11 akak tulis surat panjang lebar pada abang sulungnya suruh ambil balik adiknya. Bayangkan sebagai guru sandaran bila cuti bersalin tak da gaji, so nak makan apa? Jadi lepas bersalin 2 minggu akak kembali bekerja, suami hantar naik motor. Patut masa pantang kaki rapat ni kena mengangkang naik motor kalau tak tak balance. Bila cemburu tuduh akak berzina dengan jantan lain. Akak kata kalau yakin ceraikan akak baliklah ke kampung awak. Mak ayahnya dah tak da. Adik beradik lain ada tanggungan sendiri. Sekarang anak dah besar. ! Kali ni akak dapat offer gi Bukit Tinggi-Padang melawat sekolah2 di sana. Mak ayah siap bagi duit suruh pergi. Akak nak pilih masa yang sesuai minta izin. Suami isteri bukan solat jemaah saja tapi cari duit pun jemaah. Nasib baik boleh ajar silat, tuisyen, repair computer dapatlah sumber pendapatan tapi tak tetap. Cadangan akak minta dari suami hak uruskan duit gaji sendiri. Nasib baik anak baru satu. Kalau fasakh lagi baik. Ramai lagi lelaki yang baik di dunia ini. Jangan tunggu anak sedozen macam akak.

Good luck!

Jumaat, November 21, 2008

Tidak adil sembunyi poligami

SOALAN:

SAYA ingin meminta bantuan mengenai masalah saya, iaitu saya ingin berkahwin dengan suami orang. Kami merancang untuk berkahwin tetapi bakal suami saya tidak mahu berkahwin mengikut sistem perundangan (berkahwin tanpa memberitahu isterinya) sebab alasannya dia tak mahu isteri tertekan. Kami mencari tempat atau negeri yang boleh membantu kami untuk kahwin tanpa perlu memohon kebenaran berpoligami. Buat pengetahuan kami telah berhubungan selama enam tahun dan saya tak mahu menanggung dosa lebih lama lagi. Dan dalam masa yang sama saya juga tidak mahu merosakkan rumah tangga orang lain tetapi untuk berpisah amat sukar.

Aisyah Fatima,
Kuala Lumpur.


JAWAPAN:

Surah Al-Nisa’ ayat 3 telah membawa maksud: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak yatim, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

Salah-satu sifat adil adalah kejujuran. Dalam kes saudari, teman lelaki telah menunjukkan sifat yang amat tidak adil dengan melakukan satu perhubungan dengan wanita lain. Seorang suami harus bertanggungjawab dan tidak sepatutnya menyembunyikan niat untuk berkahwin lain.

Ini bukan sahaja kerana dia akan merubah status perkahwinan dengan isteri sedia ada, tetapi juga mungkin akan timbul masalah lain. Perkahwinan poligami tidak sepatutnya disembunyikan daripada isteri kerana ia boleh memberi kesan yang amat zalim pada keluarga.

Dari segi perundangan pula, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 perlu dirujuk. Seksyen 23(1) telah memperuntukkan bahawa seorang lelaki yang mahu berpoligami perlu memohon keizinan mahkamah syariah terlebih dahulu. Jika dia berkahwin sebelum atau setelah gagal mendapatkan kebenaran tersebut maka tindakannya adalah salah di sisi undang-undang. Dia boleh didakwa di bawah Seksyen 123. Jika disabit kesalahan, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali

Salah-satu kesan perkahwinan yang dilakukan tanpa kebenaran mahkamah adalah perkahwinan tersebut tidak boleh didaftarkan. Tujuan pendaftaran ini bukan hanya satu formaliti bagi mendapatkan sijil nikah, ia merupakan satu rekod yang mensahihkan bahawa perkahwinan tersebut bukan sahaja menurut undang-undang negeri tetapi juga menepati hukum syarak.

Perkahwinan yang tidak didaftarkan adalah tidak sah daripada segi undang-undang. Ia bermaksud bahawa puan tidak akan mempunyai hak sebagai seorang isteri dan tidak boleh membuat apa-apa tuntutan di Mahkamah Syariah kelak. Puan tidak akan dibenarkan menuntut hak ke atas nafkah, hak penjagaan atau nafkah anak, dan lain-lain tuntutan sehingga perkahwinan didaftarkan. Proses pendaftaran bukanlah satu perkara yang mudah terutama sekali sekiranya ia dilakukan di luar negeri, tanpa saksi yang dikenali atau suami enggan bekerjasama.

Sekiranya saudari mempunyai anak kelak tanpa sijil nikah yang sah ia mungkin akan menyukarkan proses pendaftaran kelahiran dan lain-lain proses yang memerlukan kesahihan bahawa suami adalah bapa.

Perkahwinan poligami di luar negara atau negeri tidak boleh dianggap ringan. Saudari tentu telah mendengar mengenai perkahwinan sindiket yang dijalankan oleh kadi yang tidak bertauliah dan menyebabkan perkahwinan tersebut tidak sah.

Sumber: UtusanOnLine 21/11/2008

Syurga di tapak kaki?


Assalamualaikum warahmatullah,

Beberapa hari ini dalam minggu ini, di grup yang saya sertai 'bising' dengan perbincangan satu klausa yang julung-julung kalinya saya dengar, iaitu, "syurga isteri di bawah tapak kaki suami". Muahahaha... Tergelak saya baca kenyataan yang pada kiraan saya tidak berasas sama sekali.

Rata-rata, lelaki (yang sudah bergelar suami) sangat taksub mempertahankan ayat ini walaupun GAGAL memberikan dalil/nas/hadis yang berkaitan dengannya. Saya pula tidak mungkin terpedaya dengan ayat ini kerana bagi saya, apa ke JADAHNYA syurga isteri di tapak kaki suami?

Kita tentu pernah dengar "syurga seorang anak itu di bawah tapak kaki ibu". Syurga itu dikatakan terletak di bawah tapak-tapak kaki para ibu ada diterangkan melalui hadis yang diriwayatkan dari Ibn 'Abbas dan Anas r.a. Ada juga yang mengatakan sanad hadis ini dikatakan sebagai dhaif dan hasan. Sebab apa syurga dikatakan terletak di bawah tapak kaki ibu? Bukanlah syurga itu letaknya di bawah tapak kaki ibu kita, jangan pula ada yang sibuk belek tapak kaki ibu masing-masing (eh.. eh.. tak adapun syurga….?), tapi ia adalah perumpamaan yang menunjukkan betapa agung/tingginya darjat seorang yang bergelar ibu.

Pada zaman Rasulullah SAW, baginda ditanya oleh seorang pemuda, “Siapakah orang yang paling perlu untuk saya berbuat baik?” Rasulullah menjawap, “Ibumu.” Bertanya pemuda itu lagi, “Selepas itu?” Rasulullah menjawap, “Ibumu. Selepas itu, ibumu, selepas itu, bapamu.” Ada juga pendapat mengatakan dua pertiga daripada khidmat bakti anak adalah untuk ibu dan hanya satu pertiga untuk bapa. Terutama apabila ibu sudah lanjut usia. Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Dalam kes jika seseorang itu masuk Islam tetapi ibunya tidak mahu masuk Islam, syurga anak itu tetap di bawah tapak kaki ibunya walaupun ibunya seorang kafir. Anak dituntut berbuat baik kepada ibunya seperti mana suruhan agama, selagi dia tidak syirik, untuknya syurga akhirnya atau awal (lepas dari neraka) walaupun ibunya itu tidak mungkin ke syurga.

Cukup cerita tentang "syurga seorang anak itu di bawah tapak kaki ibu" sebab fokus saya yang sebenarnya adalah pada klausa "syurga isteri di bawah tapak kaki suami". Saya tidak pernah menjumpai mana-mana nas yang mengatakan yang syurga itu di bawah tapak kaki suami. Siapalah agaknya orang yang mencipta frasa tersebut dan diriwayatkan berterusan sehingga boleh dijadikan hujah dalam bual bicara atau perbincangan. Adakah ia sebenarnya hadis palsu?

Besar kemungkinan ramai yang tersasar tafsir dengan satu hadis yang berbunyi, sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Ramai yang tersalah anggap syurga isteri letaknya di tapak kaki suami, kerana tersilap tafsir hadis di atas. Rasanya lebih elok saya rephrase klausa "syurga isteri di bawah tapak kaki suami" kepada klausa yang lebih enak mata memandang, lunak telinga mendengar iaitu, "syurga isteri itu adalah apabila dia taat kepada suaminya".

Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami. Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya.

Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri. Kunci kerukunan rumahtangga adalah persefahaman antara suami isteri. Walaupun isteri diwajibkan untuk mentaati suaminya, dia masih boleh memilih untuk tidak taat (engkar), sekiranya suami menyuruhnya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syarak seperti menyuruhnya kepada perkara-perkara yang mungkar dan kemaksiatan. Bermakna tidak semua suruhan suami perlu ditaati/dipatuhi.

Menurut Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz pula [artikel Wanita wajib taat suami selagi tak langgar syarak dalam BH 5 Mac 08], seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan, walau bagaimanapun tanggungjawab itu bukanlah mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami juga perlu menjalankan sepenuhnya tanggungjawabnya terhadap isteri. Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami. Sementara hak suami pula adalah tanggungjawab isteri. Antara lain yang mewajibkan isteri mentaati suami adalah arahan yang diberi suami tidak bertentangan dengan Islam. Jika arahan suami bertentangan dengan ajaran Islam, arahan itu bukan saja tidak wajib dipatuhi, malahan suami patut diperbetulkan dengan cara bijaksana.

Status suami juga tidak menjadikan dia mempunyai kuasa veto. Maknanya isteri juga berhak bersuara memberikan pendapat dan keputusan. Suami juga manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan dosa; dosa terhadap Allah SWT, dosa kepada ibu bapa, dosa kepada isteri serta dosa sesama makhluk.

Islam adalah agama yang paling mementingkan hak. Bila ada suami yang tidak menunaikan tanggungjawabnya, mengabaikan hak isterinya, maka ianya satu dosa. Bukan dosa sebagai suami, tetapi dosa sebagai seorang yang khianat terhadap apa yang diamanahkan kepadanya. Dosa ini adalah antara suami dengan tuhannya.

Dalam Al-Quran, sangat jelas, Allah telah memartabatkan darjat kaum hawa. Meskipun hak menceraikan diberi kepada suami, tetapi sistem munakahat ada menyediakan hak-hak wanita. Isteri boleh merujuk kepada pejabat kadi, sekiranya diri dianiaya, disiksa atau diabaikan oleh suami. Oleh kerana mempunyai tanggungjawab yang amat berat, suami lebih mudah melakukan kesalahan terhadap isteri berbandingkan isteri kepada suami. Tidak menyempurnakan tanggungjawab sebagai seorang suami tanpa keredhaan isteri, itu sudah melakukan kesalahan (saya gunakan istilah kesalahan kerana tidak dapat mengemukakan nas mengatakan ianya satu dosa dan untuk mengelakkan saya menjadi seorang penghukum. Sila rujuk ustaz/ustazah yang lebih arif tentang perkara ini).

Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.

Kepada yang taksub sangat dengan status anda sebagai suami, beringat-ingatlah, “Isteri bukanlah hak milik tetapi isteri adalah anugerah.” Mungkin ada baiknya anda mentelaah entry wahai-suami-layanilah-isterimu-dengan-baik.

Atas klausa "syurga isteri di bawah tapak kaki suami" inilah, seorang suami yang taksub dengan status/darjatnya yang pada fikirannya sangat mulia/tinggi telah mengeluarkan kenyataan, yang lebih kurang bermaksud, “Isteri kena taat pada suami kerana syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Walau apapun yang berlaku, isteri tidak boleh meminta cerai kerana isteri yang bercerai dengan suaminya adalah isteri yang derhaka. Derhaka kepada suami bermakna derhaka kepada Allah. Derhaka kepada hukum Allah (tidak percaya) dan enggan tunduk terhadap segala hukum hakamnya itulah sebenar-benarnya derhaka kepada Allah. Orang yang derhaka (tidak percaya) dan enggan tunduk kepada hukum Allah itu salalah seperti syaitan iblis yang enggan tunduk kepada suruhan Allah dan tiada tempat bagi syaitan dan pengikutnya selain neraka!”

Aduhai... dalam ertikata lain, isteri kepada suami HAPRAK (yang kaki-tangannya tidak bertanggungjawap dalam segala segi atau seorang yang kaki perempuan, kaki mabuk, kaki pukul, kaki hutang, kaki pembelit dan macam-macam kaki lagi) tiada hak untuk menentukan hala tuju sendiri kerana tidak boleh bercerai atas sebab jatuh derhaka. Begitulah agaknya maksud suami yang taksub ini. Wahai suami yang taksub, sekiranya anda terbaca bebelan saya kali ini, tak perlu anda menuduh isteri/bekas isteri anda derhaka. Cuba anda teliti hadis di bawah. Ingatlah, menghukum (atau menjatuhkan hukum) bukanlah kerja kita. Janganlah kita sibuk mengambil alih kerja Allah SWT.

Hadis 1

Dari Ibn Abbas r.a., Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wasallam pun pernah ingin menjadi perantara dan penolong seorang suami yang sangat mencintai isterinya untuk tetap mempertahankan isteri yang dicintainya dalam ikatan pernikahan dengannya. Namun si isteri enggan dan tetap memilih untuk berpisah, sebagaimana kisah Mughits dan Barirah. Barirah adalah seorang sahaya milik salah seorang dari Bani Hilal. Sedangkan suaminya Mughits adalah seorang hamba berkulit hitam milik Bani Al Mughirah. Barirah pada akhirnya merdeka, sementara suaminya masih berstatus hamba. Dia pun memilih berpisah dengan suaminya diiringi kesedihan Mughits atas perpisahan itu.

Ibn Abbas r.a. menceritakan: "Suami Barirah, iaitu seorang hamba berkulit hitam, beliau dipanggil Mughits. Aku melihat Mughits berjalan di belakang Barirah sambil berlinangan air mata sehingga air matanya membasahi janggutnya."

Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wasallam berkata kepada pakcik baginda, Al Abbas Radiyallahu 'anhu : "Wahai pakcik, tidakkah engkau merasa takjub dengan rasa cinta Mughits pada Barirah dan rasa benci Barirah terhadap Mughits?"

Nabi Shallallaahu 'alaihi wasallam berkata kepada Barirah, "Seandainya engkau kembali kepada Mughits?"

Barirah bertanya kepada baginda, "Wahai Rasulullah, apakah engkau memerintahkan aku?"

"Tidak, kata Rasulullah, "Akan tetapi aku hanya ingin menolongnya."

"Aku tidak memerlukannya," jawab Barirah. (Hadis Sahih Riwayat Al-Bukhari)

Nah! Ada Rasulullah kutuk Barirah seorang isteri yang derhaka?

Hadis 2

Dalam hadis Abdullah bin Abbas r.a., beliau meriwayatkan bahawa isteri Thabit bin Qays datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya bukanlah memandang aib dan rendah pada akhlak dan agama suami saya, tetapi saya tidak mahu hidup dalam keadaan kufur sebagai seorang Islam (akibat tidak menyenangi suami).” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah kamu mahu mengembalikan kepada suami kamu ladang kurmanya (yang menjadi mas kahwin kamu dahulu)? Jawabnya, “Ya, saya bersedia.” Lalu baginda menyuruh Thabit bin Qays dengan bersabda, “Ambillah ladang kurma itu dan talakkan dia dengan satu talak.” (Hadis riwayat al-Bukhari, al-Nasaie dan Ibnu Majah)

Nah! Ada tak Rasulullah tempelak isteri Thabit bin Qays seorang isteri yang derhaka?

Dalam Islam, perempuan diberi hak yang sama rata dengan lelaki. Begitu juga dalam perkahwinan. Meski pun talak di tangan lelaki, namun isteri masih punya hak untuk memilih perceraian. Dan sudah berkali-kali saya gunakan entry [isteri-ada-hak-ceraikan-suami] nukilan salah seorang favorite saya, Dr Hj Juanda.

Saya tahu, seorang suami yang taksub (jangan sampai orang kata sudahlah MENGONG, sombong pulak tu!) takkan setuju dengan entry ini, tak mengapalah. Memang payah kita nak mengubah-manusia.

Semoga kita diberi taufik dan hidayah oleh-NYA. Amiin.

Capaian entry berkaitan :

Tazkirah: Solat modul lengkap didik jiwa manusia

SOLAT atau sembahyang itu Tuhan yang menetapkan rukunnya. la bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk manusia. Jika difahami dan dihayati, solat itu hebat. Kita akan dapat rasa yang Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya, tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan macam mana wujudnya, tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya, tetapi terasa kuasa-Nya. Terasa kita kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.

Solat itu satu modul Iengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul pelbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya dan faham, bahkan solat itu benar-benar dijiwai dan dihayati.

Berikut beberapa contoh bagaimana solat dapat membina sifat positif:

1. Rajin - Sifat yang berlawanan dengan rajin ialah pemalas. Pemalas sangat dibenci Tuhan. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita kena rajin. Sifat rajin tidak boleh dilakon-lakon atau dibuat-buat. Mesti ada pemangkin atau pendorong yang bersifat rohaniah. Dalam solat kita memuja dan memuji Tuhan. Kita kata, Tuhan Maha Besar. Kita akui, Tuhan Maha Suci. Kita akui, Tuhan pentadbir dunia dan akhirat. Hati kita rasa bertuhan, rasa Tuhan itu besar. Kita rasa, Tuhan Maha Melihat, Tuhan itu ada dan Tuhan sentiasa berperanan dalam hidup kita. Kita juga membuat janji dan ikrar yang semua solat, ibadat, hidup dan mati kita hanya untuk Tuhan.

Solat dan ibadat dipisahkan walhal solat pun ibadat juga. Itu tandanya solat itu ibadat penting, utama dan pertama dari ibadat lain, sama ada yang wajib atau sunat. Kita bertungkus-lumus melakukan semua ibadat. Hidup dan mati itu pula merangkumi aktiviti yang tidak ditentukan. Boleh jadi ia perkara ibadat, boleh jadi tidak. Makan, rehat dan tidur boleh dijadikan ibadat ataupun tidak. Tetapi kita berikrar, perbuatan yang harus pun hendak kita menjadikannya ibadat. Jadi mana boleh rehat-rehat. Kita kena aktif, sentiasa bertenaga dan bergerak. Ini dia perkara dalam solat yang membuatkan kita cergas dan aktif, rajin dan sentiasa bergerak. Segala macam perkara yang menjadi ibadat kita lakukan. Perkara yang harus pun kita jadikan ibadat. Maknanya solat itu membunuh kemalasan.

Orang yang kuat hubungannya dengan Tuhan, dia mesti banyak berhubung dengan manusia. Orang yang banyak berkhidmat dengan Tuhan mesti banyak berkhidmat dengan manusia. Jika betul takut dan cinta Tuhan, akan bertambah cinta kepada manusia. Itu sepatutnya natijah atau hasil dari solat.

2. Berjiwa besar - Hasil dari solat ialah rasa beriman dan bertakwa. Kalau itu yang kita rasa, akan timbul rasa berjiwa besar. Sebab orang yang beriman dan bertaqwa itu, Tuhan kata (maksudnya): “Dia orang Aku.” Kalau seseorang itu sudah menjadi orang Tuhan, Tuhan janjikan untuknya berbagai-bagai perkara dan Tuhan tidak mungkir janji. Janji Tuhan pasti Tuhan tepati. Apa janji Tuhan kepada orang mukmin, orang bertaqwa dan orang yang sudah menjadi orang Tuhan? Tuhan janjikan kepadanya:
  1. Keselamatannya
  2. Kewangannya
  3. Kehidupannya
  4. Kepandaian
  5. Kemenangan
  6. Tuhan bertanggungjawab dan akan mengalahkan musuh-musuhnya.

Tuhan mempunyai ramai rijal yang ghaib. Angin, air dan bermacam-macam lagi adalah tentera Tuhan. Tuhan boleh arah mereka bertindak. Kalau begitu keyakinan kita hasil dari solat, dari solat itu kita akan beroleh jiwa yang besar. Orang yang sudah menjadi orang Tuhan, ada sesuatu yang paling besar pada dirinya yang tidak ada pada ciptaan lain. Orang tengok gunung, tidak ada yang masuk Islam. Orang tengok laut, tidak ada yang menangis kerana berasa insaf dengan kebesaran Tuhan. Tetapi dengan melihat orang Tuhan dan orang yang bertakwa, manusia boleh masuk Islam tanpa banyak hujah. Bila tengok sahaja orang bertakwa, tergerak hati mereka hendak bertaubat kepada Allah.

Orang bertakwa itu adalah ciptaan Tuhan yang paling hebat. Orang boleh terpukau dengannya. Dia pemaaf, berkasih sayang, suka mengutamakan orang lain, belas kasihan dan kalau ada orang buat jahat padanya, dibalasnya dengan kebaikan. Dia tidak boleh tengok orang susah. Bila tengok orang pasti dibantunya kerana dia simpati dengan kesusahan itu. Orang yang berjiwa besar sentiasa mahu melahirkan tanda kebesaran Tuhan pada dirinya. Tuhan Maha Pemurah, dia pun mahu jadi pemurah. Tuhan buat baik pada orang yang buat jahat pada-Nya, dia pun mahu buat baik pada orang yang buat jahat padanya. Betapa tidak, orang sekutukan Tuhan, maki Dia, mengata Dia, tolak suruhan-Nya, tidak solat, berjudi, minum arak, tetapi Tuhan tetap layan mereka. Tuhan tetap bagi makan minum, anak dan isteri kepada mereka. Maha Besar Tuhan yang menghadiahkan solat. Siapa yang menghayatinya, dia akan berjiwa besar. Bangsa yang menghayatinya akan menjadi bangsa yang berjiwa besar.

Kebesaran Allah dirasai ketika solat

Kita menghayati dua contoh bagaimana solat dapat membina sifat yang positif, iaitu rajin dan berjiwa besar. Kali ini kita lihat tiga lagi contoh positif iaitu, berani, disiplin dan sabar.

3. Berani - Dalam solat, ada ubat atau pil untuk menjadikan orang penakut itu berani. Malahan sebelum mengangkat takbir solat pun, sudah dirasakan betapa hebatnya kekuasaan Tuhan dan betapa lemahnya makhluk ini. Datang kesedaran yang makhluk tidak ada kuasa langsung. Malaikat, jin, harimau dan manusia lain semuanya setaraf, setitik pun tidak ada kuasa dan kekuatan. Cuma kalau ada perbezaan antara satu sama lain adalah kerana Tuhan bagi sedikit kelebihan kepada dia.

Tuhan bagi kelebihan tidak sama kepada setiap makhluk. Yang kuat dan berkuasa itu Tuhan, bukan makhluk. Bukan malaikat, bukan jin, bukan manusia dan bukan harimau. Yang patut dan layak ditakuti ialah Tuhan. Bila Tuhan sebenar-benarnya ditakuti, akan lenyaplah takut dan akan timbullah rasa berani terhadap sesama makhluk. Ini termasuk juga takut kepada miskin, sakit, hilang pangkat dan jawatan, hilang pengaruh, mati dan sebagainya.

Jika kita sedar semua itu adalah daripada Tuhan, takut kita itu akan berpindah dari perkara terbabit kepada Tuhan. Begitu juga rasa takut kepada bencana alam seperti banjir besar, gunung berapi, gempa bumi dan wabak penyakit. Tuhan kata jadi, maka jadilah. Tuhan kata tidak, maka tidaklah. Akan datang rasa takut kepada Tuhan lebih dari takut kepada bencana alam itu. Takut pada Tuhan itu adalah takut yang hak dan mesti dikekalkan. Takut pada makhluk adalah takut yang batil. la mesti dibuang.

4. Disiplin - Dalam solat kita berikrar dan berjanji, yang hidup dan mati kita pun untuk Tuhan. Kalau pengakuan macam ini boleh dibuat dan dihayati dengan sepenuh hati, kita akan menjadi seorang manusia yang penuh disiplin. Kalau satu bangsa boleh buat pengakuan yang seperti ini, bangsa itu akan menjadi satu bangsa yang berdisiplin.

Bila disebut mati, semua orang yakin akan mati. Bila mati ertinya kembali kepada Tuhan. Kembali ertinya pulang ke tempat asal. Maksudnya, asal kita adalah dari Tuhan. Datang dari Tuhan, kembali pun kepada Tuhan. Maka perlulah kita hidup dan mati kerana Tuhan. Bila datang dari Tuhan dan kembali pun kepada Tuhan, mesti ada jalan dari dan kepada Tuhan. Bila hidup dan mati kita ikrarkan untuk Tuhan, sudah tentu kita akan ikut jalan ini.

Jalan ini ialah syariat Tuhan. Kita akan ikut syariat Tuhan. Taat dan patuh kepada syariat ini ialah disiplin. Disiplin termasuk ciri satu bangsa yang agung. Sebaliknya, bangsa yang tidak berdisiplin, sesiapa sahaja yang melihat akan mentertawakan, bahkan akan memperlecehkan mereka. Tidak ada disiplin di sudut manapun akan menjadi bahan kelakar bagi orang Yahudi. lni dapat kita lihat pada bangsa di Timur Tengah. Mereka sungguh tidak berdisiplin. Naik bas pun berebut-rebut, tidak tahu hendak beratur. Itu sebab bangsa Yahudi tidak hormat, tidak takut dan tidak gerun dengan mereka. Itu sebab jugalah Yahudi berani memperkotak-katik dan menzalimi mereka.

5. Sabar - Sabar juga termasuk ciri satu bangsa yang agung. Sifat sabar Iebih utama bagi pemimpin. Oleh itu sifat sabar yang tertinggi dihadiahkan Tuhan kepada pemimpin, kepada kalangan rasul terutamanya yang rasul Ulul Azmi (mempunyai azam yang kuat). Sabar adalah syarat utama bagi seorang pemimpin. Dalam solat ada ubat dan pil untuk menjadikan seseorang itu penyabar. Sebelum kita mulakan solat pun sudah ada didikan untuk kita bersabar, sama ada kita sedar ataupun tidak, sebab hendak solat bukannya senang, lebih-lebih lagi bagi orang yang belum khusyuk.

Hendak solat pun satu ujian. Bukan senang hendak bangun tidur di waktu pagi untuk solat Subuh. Sebab itu, sesetengah orang, dia duduk-duduk dulu, dia menung dulu, mengenangkan terpaksa ke bilik air. Kalau tidak sabar, kita tidak akan boleh buat. Kalau tidak sabar, boleh jadi kita akan tidur semula.

Sebelum solat pun sudah perlu banyak sabar. Dalam solat Iebih-Iebih lagi. Bila kita baca ayat 3 surah al-Fatihah yang bermaksud: "Tuhan yang memerintah di hari akhirat" ia menjadi pemangkin untuk kita bersabar. Bersabar melaksanakan segala suruhan Tuhan. Bersabar meninggalkan segala larangan Tuhan kerana takutkan neraka dan inginkan syurga-Nya. Biarlah bersusah-susah sedikit. Biarlah sakit sedikit. Biarlah tidak dapat mengikut kehendak nafsu, asalkan di akhirat kita selamat. Dengan itu ia memudahkan kita untuk bersabar.

Samalah dengan orang yang mengejar dunia. Hendak sekolah bukan seronok. Hendak belajar bukan senang. Hendak masuk universiti bukan mudah. Tetapi demi menjadi pandai, supaya dapat kerja dan jawatan yang tinggi, bersusah payah pun dibuat juga. Orang boleh bersabar menghadapi apa yang dia benci, apa yang dia tidak suka dan apa yang menjemukannya, asalkan matlamat dan cita-citanya tercapai.

Sumber : Ust Mohd Zawawi Yusoh di HMetro

Khamis, November 20, 2008

Diskaun yang tak banyak membantu pengguna

Diskaun tol 10 peratus 1 Januari

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Januari depan, pemandu pemandu kenderaan kelas 1 yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) dan Elite antara jam 12 tengah malam hingga 7 pagi akan menikmati diskaun tol 10 peratus.

Menteri Kerja Raya, Datuk Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata langkah Plus dan Elite itu sejajar dengan hasrat kerajaan membantu merigankan beban pengguna dalam keadaan ekonomi sekarang. Katanya, tempoh diskaun itu akan berakhir 31 Disember 2010.

APABILA Plus Expressways Berhad (Plus) dilaporkan bercadang mengurangkan kadar tol di lebuh raya kendaliannya baru-baru ini, semua pengguna pastinya menarik nafas lega. Tetapi apabila syarikat itu mengumumkan tawaran rebat dan diskaun kelmarin, ramai yang tersentak kerana diskaun itu tidak banyak membantu mengurangkan beban mereka. Menerusi Program Insentif Perjalanan Plus, pemandu kenderaan ringan (Kelas 1) yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Ekspres Lingkaran Tengah (Elite) hanya berpeluang menikmati diskaun bayaran tol sebanyak 10% jika mereka menggunakan lebuh raya berkenaan antara jam 12 tengah malam dan 7 pagi berkuat kuasa 1 Januari depan hingga 31 Disember 2010.

Diskaun tambahan 10% untuk tempoh perjalanan yang sama diberi kepada pengguna kenderaan Kelas 1 sepanjang seminggu sebelum dan selepas Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas. Pengguna kedua-dua lebuh raya yang menggunakan sistem bayaran tol elektronik dengan bayaran terkumpul minimum RM200 setiap bulan, akan menerima rebat 5% mulai 1 Januari depan. Tawaran terbuka kepada pengguna yang berdaftar dengan Program Loyalti Plus yang akan dilancarkan bulan depan. Seperti kata Pengarah Urusan Plus, Noorizah Abdul Hamid, program itu bertujuan menyahut seruan kerajaan supaya sektor swasta turut membantu meringankan beban pengguna ketika keadaan ekonomi tidak menentu sekarang.

Hakikatnya, daripada 800,000 kenderaan menggunakan kedua-dua lebuh raya itu setiap hari, hanya 10% menggunakannya pada jam 12 tengah malam hingga 7 pagi. Ini bermakna 90% pengguna tidak mendapat manfaat daripada diskaun berkenaan. Lagi pun, tawaran itu boleh menyebabkan kesesakan dan peningkatan kadar kemalangan, terutama pada musim perayaan apabila pengguna lebuh raya bergerak pada masa yang terhad itu untuk membolehkan mereka menikmati diskaun ditawarkan.

Kita melihat tawaran itu tidak ikhlas kerana ia tidak membabitkan ramai pengguna. PLUS sepatutnya mengkaji semula insentif itu dengan mengutamakan kepentingan lebih banyak pengguna seperti memberi diskaun ketika waktu puncak dan bukan sebaliknya. Satu lagi alternatif ialah menimbang untuk menukar tempoh menikmati diskaun bermula jam 10 malam hingga 8 pagi kerana ia sekurang-kurangnya dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna. Rata-rata pengguna sentiasa berharap supaya PLUS lebih prihatin dengan memberi diskaun tanpa had waktu.

Sememangnya seperti yang dijelaskan oleh Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, program yang diperkenalkan PLUS itu tidak membabitkan apa-apa komitmen kewangan, termasuk pampasan daripada kerajaan, tetapi setiap program insentif yang dilaksanakan sepatutnya meninggalkan kesan kepada sebahagian besar pengguna dan bukan sekadar gimik semata-mata.

Penyelarasan dan pemberian insentif kadar tol ini diperkenalkan hasil kajian dan penilaian Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bermula 7 Mei lalu. Ia sebahagian daripada hasil kajian untuk meringankan beban pengguna. Adalah lebih baik jika PLUS memulangkan sebahagian kecil keuntungannya kepada pengguna kerana syarikat itu dilaporkan terus menikmati keuntungan bersih ratusan juta ringgit setiap tahun.