'Selamat hari pekerja' kepada setiap pekerja yang menunjungi Laman-Seri. Hari ini kita ingin berbicara tentang sikap yang perlu ada pada setiap pekerja di dunia ini.
SETIAP pekerja mempunyai amanah terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Bagi pekerja Muslim, memelihara amanah yang diberikan adalah satu tanggungjawab maka hendaklah ditunaikan dengan sebaik-baik mungkin dan tidak menyalahgunakannya sama sekali.
Jika kita seorang majikan sesebuah organisasi, maka kita perlu memiliki amanah untuk memelihara kebajikan pekerja termasuk membayar gaji atau upah bersesuaian dengan kebolehan serta kecekapan mereka, menghormati pandangan mereka, tidak sama sekali menindas serta memerah keringat mereka secara tidak adil dan sentiasa memberikan dorongan supaya mereka mencintai pekerjaan, memotivasi dan memberi semangat dalam melaksanakan tugas.
Sebagai seorang pekerja maka di bahu kita menggalas amanah untuk melaksanakan tugas dengan penuh minat, ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang tinggi. Kita diseru agar mengutamakan kepentingan majikan serta organisasi berbanding kepentingan diri, sentiasa berusaha memastikan majikan dan organisasi tempat kita bekerja, mencapai matlamat yang disasarkan dengan jayanya.
Amalan melaksanakan tugas dengan penuh ketekunan, kegigihan dan kesungguhan sememangnya tidak asing bagi seorang pekerja Muslim. Ini kerana ia telah dilatih dalam kehidupan seharian, khususnya melalui ibadah yang dilaksanakan, seperti solat. Al-Quran menjelaskan bahawa solat berperanan mencegah orang yang melaksanakannya daripada melakukan dosa dan kemungkaran.
Apatah lagi, isyarat tentang ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang menjadi penanda aras bagi pelaksanaan sesuatu tugas oleh seseorang Muslim begitu jelas dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud; "Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna lagi teliti." (Riwayat al-Baihaqi daripada 'Aisyah r.a.)
Begitu juga setiap pekerja atau warga sesebuah organisasi mesti sedar akan amanah yang ada pada diri mereka untuk menjalin hubungan yang baik dan penuh kasih sayang antara pekerja. Mereka perlu sentiasa berusaha mewujudkan nilai-nilai mulia dalam hubungan antara sesama mereka seperti bekerjasama, bantu-membantu, bersangka baik, nasihat-menasihati dan sebagainya. Sebaliknya, sikap dan nilai buruk seperti iri hati, saling memudaratkan, hasut-menghasut, berprasangka buruk dan lain-lain perlu dijauhi serta dihapuskan.
Di samping itu, amanah diri pekerja turut dikaitkan dengan sejauh mana mereka dapat melindungi kepentingan serta rahsia dalam mempertahankan nama baik atau imej organisasi. Kita ibaratkan sahaja organisasi atau syarikat tempat kita bertugas sebagai sebuah keluarga, masyarakat atau sebuah negara. Maka dari situ kita perlu menjaga organisasi agar tidak terpalit dengan unsur-unsur negatif yang boleh menjatuhkan organisasi berkenaan.
Selain itu, sebagai pekerja kita turut diamanahkan untuk menjaga peralatan serta kemudahan yang disediakan oleh majikan untuk kegunaan kakitangannya. Ini bertujuan memastikan kelancaran tugas yang diamanahkan. Segala peralatan dan kemudahan milik pejabat atau organisasi tempat kita bekerja seperti telefon, mesin fotokopi, kereta pejabat, pencetak dan lain-lain untuk keperluan pejabat perlu dimanfaatkan hanya untuk tujuan penyempurnaan tugas semata-mata; bukan sebaliknya.
Asas kepada nilai amanah seseorang pekerja juga hendaklah sentiasa berusaha memanfaatkan masa bekerja untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan. Ia perlu mengatur perancangan dengan baik agar tiada waktu yang berlalu dengan sia-sia atau sering menunda-nunda kerjanya. Keadaan ini penting untuk mengelakkan tugasan yang diamanahkan tidak dapat diselesaikan dengan baik menurut tempoh yang telah ditentukan.
Menyentuh tentang sikap gemar menunda-nunda kerja, ia sebenarnya merupakan amalan yang akan mendorong kegagalan seseorang pekerja, sama ada dari sudut matlamat pekerjaan mahupun juga pencapaian organisasi.
Oleh yang demikian, perancangan tugasan yang baik akan dapat membantu pekerja untuk menentukan keutamaan dalam pelaksanaan tugas. Tugas yang lebih penting, didahulukan dan yang kurang mendesak, dilakukan kemudian.
Fikirkan pula jika nilai amanah ini terhakis daripada diri kita. Apakah yang akan berlaku jika masyarakat kita telah mula menerima budaya khianat-mengkhianati, menyalahgunakan kuasa, tidak bertanggungjawab, rasuah dan sebagainya?
Justeru, cara terbaik untuk memupuk nilai amanah dalam diri pekerja ialah dengan memanfaatkan semua bentuk ibadah yang difardukan ke atas kita. Bahkan seseorang pekerja Muslim sebenarnya amat beruntung kerana memiliki peluang yang amat banyak untuk memupuk nilai amanah. Ini kerana sejak kecil lagi, kita telah diberikan pendidikan keimanan (Rukun Iman) dan bimbingan untuk beribadah (Rukun Islam).
Sebagai contoh, dengan mengerjakan solat pasti dapat menghalang seseorang yang melaksanakan tugas dengan penuh ketulusan dan keimanan untuk tidak terbabit dengan perbuatan melanggar amanah seperti penyalahgunaan kuasa, salah laku di tempat kerja, ponteng dan sebagainya.
Selain itu, hayatilah nilai amanah Rasulullah SAW yang boleh menjadi teladan terbaik dalam kehidupan kita. Nabi SAW yang memulakan perniagaan bersama-sama dengan bapa saudaranya tetapi dalam tempoh masa yang singkat, disebabkan kejujuran dan keadilannya, baginda terkenal di kalangan penduduk Quraisy Mekah sebagai seorang yang sangat jujur lagi amanah sehingga digelar al-Amin (orang yang jujur) dan al-Siddiq (orang yang benar).
Oleh itu, pemupukan nilai amanah dalam diri pekerja seharusnya bermula dengan diri sendiri. Jika ini berlaku barulah amanah terhadap orang lain terutama dalam organisasi akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Ini bertepatan dengan apa yang diungkap oleh cendekiawan, "Seseorang yang tidak memiliki sesuatu (amanah), tidak akan dapat memberikan apa pun (amanah)."
Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Get your facts first, then you can distort them as you please. ~ Mark Twain ~
Sumber : Nor Hartini Saari di utusan
Capaian entry berkaitan :
- Jadikan anak sebagai amanah
- Harta dunia hanyalah ujian dan amanah Allah
- Kelahiran anak ujian dunia buat ibu bapa
- Akauntabiliti seorang pemimpin
- Perihal Amanah
- Ibu bapa alpa laksana amanah antara punca anak derhaka
- Q&A : Wajib bergaul baik dengan isteri
- Tajdid Iman: Harta, pangkat penguji tahap keimanan
- Amanah perisai hindari amalan rasuah
- Q&A : Melaksanakan amanah pahala besar dilaksana
- Bukan hak milik, tetapi anugerah....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...