Anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa yang perlu dididik supaya menjadi insan yang berguna. - Gambar hiasan
Assalamualaikum warahmatullah,
Masih ingat lagi entry-entry ini?
- Bukan hak milik, tetapi anugerah....
- Jadikan anak sebagai amanah
- Harta dunia hanyalah ujian dan amanah Allah
- Anugerah itu amanah dan tanggungjawab
Ada pasangan yang 10 tahun kahwin tetapi tidak juga mendapat anak. Ini kerana ia tidak mendapat keizinan dari-pada Allah. Sebaliknya, ada orang yang baru enam bulan saja kahwin tetapi sudah mendapat anak.
Sedar akan hakikat bahawa anak yang dianugerahkan kepada ibu dan bapa itu adalah satu amanah daripada Allah. Maka menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa menjaga amanah Allah itu dengan sebaik-baiknya. Sebagaimana anak wajib berbakti kepada ibu bapanya, ibu bapa juga bertanggungjawab memenuhi segala yang menjadi hak anaknya.
Anak yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka. Ibu bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap anaknya juga boleh dianggap sebagai derhaka. Tetapi orang tidak biasa menyebutnya derhaka. Mungkin istilah yang lebih tepat adalah berlaku zalim.
Meneliti kisah yang berlaku pada zaman Umar al-Khattab menjadi khalifah boleh membuktikan adanya penderhakaan ibu bapa terhadap anaknya.
Suatu hari seorang lelaki datang berjumpa Saidina Umar mengadu perihal anaknya yang didakwanya derhaka kepadanya. Umar memanggil anak yang dikatakan derhaka itu. Khalifah mengadili anak itu secara berhadapan dengan ayahnya.
Dalam majlis pengadilan itu, si anak meminta khalifah menyatakan hak anak terhadap ayahnya. Khalifah Umar menyatakan bahawa: "Antara hak-hak anak terhadap ayahnya adalah ayah hendaklah mencari isteri yang baik untuk menjadi ibu kepada anak-anaknya yang bakal lahir ke dunia. Setelah anak itu lahir, hendaklah si ayah memberikan nama kepadanya dengan nama yang baik. Dan setelah anak itu besar, hendaklah diajar membaca al-Quran."
Mendengar yang demikian, si anak lantas berkata: "Wahai Amirul Mukminin! Itu semua tidak ada yang dia laksanakan. Ibuku dicarinya dari orang Majusi. Namaku dibuatkan Jaklan dan aku tidak diajarnya membaca al-Quran."
Khalifah Omar melihat ke arah lelaki yang membuat aduan sambil berkata kepadanya: "Apakah engkau datang ke sini untuk mengadu kelakuan anakmu? Ternyata engkau telah derhaka kepadanya sebelum dia derhaka kepadamu. Engkau telah berbuat jahat kepadanya sebelum dia berbuat jahat kepadamu."
Begitulah besarnya tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya. Sebelum anak itu lahir lagi, kita sudah mempunyai tanggungjawab terhadapnya.
- Kita mesti mencari ibu yang baik baginya. Kita mesti mencari wanita yang sihat, sempurna dan cantik. Lebih penting lagi, kita mesti mencari wanita yang solehah dan keturunan yang baik.
- Ketika anak berada dalam kandungan, kita wajib menjaganya dengan baik. Si ibu mesti memakan makanan yang baik lagi halal. Jika ibunya memakan benda-benda haram, ia akan menjadi darah daging bagi si anak dan akan mempengaruhi jiwanya setelah dewasa nanti.
- Apabila anak lahir, dia berhak untuk diazan, ditahnik, diberi nama yang baik, dicukur rambutnya dan dibuat akikah. Setelah anak itu nampak sudah faham akan sesuatu, dia mesti diajar mengaji, ditanam kepadanya masalah akidah, diajar masalah halal haram, mengerjakan solat dan sebagainya.
Sabda Rasulullah bermaksud: Setiap anak yang di-lahirkan adalah dalam keadaan bersih melainkan dua orang tua-nyalah yang bertanggungjawab mencorakkannya menjadikan Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (Hadis riwayat Muslim dan Baihaqi)
Daripada hadis di atas kita dapati peranan ayah dan ibu adalah amat besar untuk melahirkan anak-anak berperibadi dan berakhlak mulia. Anak-anak berada di sekolah kira-kira tujuh jam sahaja sehari. Dalam masa tersebut anak-anak berada di bawah pengawasan guru. Baki 17 jam lagi dalam hari tersebut, anak-anak berada di bawah penjagaan ibu bapa masing-masing.
Sesungguhnya, anak yang masih kecil mudah dibentuk sesuka hati seperti halnya dengan tepung. Seorang tukang kuih yang sedang memegang tepung, sanggup membentuk tepung itu sesuai dengan kehendaknya. Begitu jugalah keadaan anak yang masih kecil. Dia masih mudah dibentuk, sama ada untuk dijadikan orang baik atau orang jahat.
Dalam memperkatakan tentang pemberian pelajaran kepada anak-anak, satu perkara yang amat mendukacitakan kita ialah sikap dan tanggungjawab ibu bapa serta bentuk pendidikan yang diberikan kepada anak-anak. Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa ini kesedaran ibu bapa terhadap kemajuan persekolahan anak-anak memang amat ketara sekali. Mereka rela membayar yuran persekolahan anak-anak hingga berpuluh-puluh ringgit untuk menjamin kejayaan masa depannya.
Bagaimana pula halnya kalau kita bertanya tentang kemajuan pendidikan rohani khususnya kemampuan anak-anak untuk membaca al-Quran dan menulis tulisan jawi. Jawapannya adalah amat mengecewakan. Boleh dikatakan majoriti belia kini tidak tahu membaca jawi. Jika boleh pun bacaan mereka merangkak-rangkak. Para ibu bapa tidak sedikit pun merasa runsing dan bimbang dengan anak-anak mereka yang tidak boleh membaca jawi dan tidak tahu membaca al-Quran. Sumbangan ibu bapa terhadap perkembangan rohani anak-anak mereka adalah begitu rendah sekali. Hati mereka merasa begitu berat untuk memberi sumbangan atau hadiah kepada tok-tok guru yang mengajar al-Quran anak-anak mereka. Namun, mereka tidak memprotes atau bersungut tentang kadar yuran tuisyen anak-anak yang begitu tinggi.
Melihat kepada keadaan ini, satu persoalan boleh diketengahkan. Apakah sikap ibu bapa sebegini boleh dianggap sebagai ibu bapa yang amanah dan bertanggungjawab terhadap anak-anak yang dianugerahkan Allah itu? Sedarkah para ibu bapa bahawa pendidikan sekular sedikit sekali dapat membantu dan menjamin hidup yang bahagia kepada anak-anak mereka di akhirat kelak.
Sesungguhnya anak yang baik akan membawa manfaat kepada ibu bapanya. Dia akan meneruskan perjuangan ibu bapanya dan menolong mereka sesudah tua. Setelah ibu bapa meninggal dunia, anak itu akan mendoakannya dan meminta ampunkan dosanya.
Menyedari hakikat bahawa sifat amanah adalah semulia-mulia sifat di sisi Allah SWT, maka menganggap barang amanah dengan sambil lewa dan cuai dikira sebagai satu perbuatan mencuri. Hukumannya adalah berdosa besar.
Oleh itu awasilah anak dengan sebaik mungkin kerana anak adalah amanah Allah.
Sumber : Hashim Ahmad di Utusan 20/05/2010
Capaian entry berkaitan :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...