Peningkatan statistik hubungan luar nikah dorong kes pembuangan bayi
Assalamualaikum dan salam sejatera,
Jika dalam entry yang sebelumnya melaporkan 300 remaja Melayu salah laku seksual, seks bebas dan 10 positif HIV setiap hari, kali ini dilaporkan ‘3 daripada 6 remaja terbabit seks bebas’. Angka ini agak memeranjatkan kerana ia bertentangan dengan cara hidup Islam yang mementingkan sahsiah keturunan yang bakal dilahirkan.
PUTRAJAYA: Setiap tiga daripada enam remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini, kebanyakannya lulusan universiti didapati melakukan hubungan seks luar nikah bersama pasangan masing-masing kerana didorong perasaan ingin mencuba akibat menonton video lucah, sekali gus dikhuatiri menyumbang kepada kes pembuangan bayi.
Kajian Isu pembuangan Bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada September hingga November 2010 mendapati gejala seks bebas di kalangan remaja semakin membimbangkan apabila seramai 2,260 responden daripada 5,016 yang diselidik mengakui hal terbabit, meliputi 49% (2,457) adalah lelaki, manakala 51% (2,559) responden adalah perempuan.
Seramai 1,922 responden mengetahui rakan mereka mempunyai sejarah hitam mengandung anak luar nikah sebelum berkahwin dengan Melaka, Johor, serta Kelantan merekodkan angka tertinggi, manakala sebanyak 32% (621) responden memaklumkan pernah membantu rakan mereka yang mengandung dari segi kewangan dan perlindungan.
Ketua Pegawai Operasi IPPBM, Zakaria Md Sam, berkata jumlah ini dilihat kritikal bagi sebuah Negara membangun seperti Malaysia terutama apabila sahsiah diri dan keperibadian golongan belia mula dipersoalkan dalam membawa nama baik Negara yang ingin dicontohi sebagai model Negara Islam terbaik.
“Daripada kajian yang kita lakukan, 76% daripada mereka adalah pemegang ijazah, diploma serta PhD, jadi bila mereka ini sudah terbabit dengan isu moral, bagaimana golongan ini mampu dijadikan teladan kepada belia lain yang memandang tinggi status mereka sebagai orang yang berpendidikan tinggi.”
“Kita seharusnya akur bahawa pendidikan setinggi mana sekalipun, tidak mampu menjamin ketinggian sahsiah diri. Usaha membangunkan nilai moral di kalangan belia bukan hanya terletak di bahu pendidik semata-mata, malah kita secara kolektif perlu bersama-sama bertanggungjawab,” katanya.
Zakariah berkata, kajian yang menggunakan kaedah ‘online survey’ itu juga mengeluarkan fakta mengejutkan apabila 20% (1,003) responden mengetahui sekurang-kurangnya seorang rakan mereka pernah terbabit melakukan hubungan seks luar tabii termasuk biseksual/lesbian.
“Berdasarkan kaji selidik itu juga, sebanyak 52% (2,608) menyatakan rakan mereka melakukan seks sebelum berkahwin dan 76% (3,812) lagi mempunyai rakan pernah menonton video serta memiliki bahan lucah,” katanya.
Zakariah berkata, golongan belia yang berada dalam lingkungan umur 20 hingga 24 tahun mewakili 77% adalah kumpulan majoriti terbabit secara langsung dalam masalah sosial berkenaan. Mereka ini beranggapan kumpulan umur itu adalah waktu sesuai untuk berkahwin tetapi kekangan kewangan menjadi penghalang utama.
“Kebiasaannya pada usia itu mereka baru saja menamatkan pengajian, jadi seharusnya langkah proaktif kerajaan sepeti tidak melanjutkan umur persaraan harus dititikbratkan serta disokong semua pihak kerana peluang pekerjaan akan lebih banyak, sekaligus memberi lalluan kepada belia untuk memperoleh pendapatan.”
“Selain itu, penstrukturan semula pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh dikaji semula kerana apabila mereka tamat pengajian, belia sudah dibelenggu dengan hutang sebelum sempat berpeluang mendapatkan pekerjaan mahupun pendapatan bulanan,” katanya.
Zakariah berkata, jika diambil kira semua faktor yang diperoleh, masyarakat tidak seharusnya melatah dengan hanya menuding jari kepada pihak tertentu terutama belia, sebaliknya membantu menyelesaikan masalah seksuall mereka yang disifatkan sebagai kekeliruan emosi sehingga membelakangkan nilai keagamaan.
INFO | ||
Kajian isu pembuangan bayi Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia 2010 | ||
Kriteria | Peratusan | Jumlah |
Jantina | 51(P) 49(L) | 2,559(P) 2,457(L) |
Pemegang diploma/ijazah dan PhD | 76% | 3,812 |
Rakan menonton video/memiliki bahan lucah | 76% | 3,812 |
Rakan melakukan seks sebelum berkahwin | 52% | 2,608 |
Rakan mempunyai sejarah hitam mengandung anak luar nikah | 38% | 1,922 |
Rakan pernah terbabit melakukan hubungan seks luar tabii | 20% | 1,003 |
Pernah membantu rakan mengandung | 32% | 621 |
Petikan : BHarian 01/10/2011
Capaian entry berkaitan :
* 300 remaja Melayu salah laku seksual, seks bebas
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...