helang terbang terbalik dari Telegraph ~ gambar hiasan ~
Assalamualaikum warahmatullah,
Kesempatan meluangkan sedikit masa di fB ~ UstAzharIdrus menemukan saya satu kemusykilan dari fB - Mohd Sheifullah yang berbunyi:
Walimatul Urus : Mengadakannya sunat, menghadirinya wajib.
Sifir pada musimnya :
1 hari : 3 majlis,
1 majlis RM5 x suami isteri : RM30.
Soalannya : Adakah wajib bagi orang miskin yang mana lebih memerlukan wang tersebut untuk perkara lain (sebagai contohnya RM30 telah dapat membeli dua kampit beras untuk keluarganya), menghadiri majlis walimatul urus yang diadakan, sedangkan dia tahu yang jika dia hadir dan hanya bersalam kosong, dia akan dipandang serong dan dikeji oleh tuan rumah?
Mohon penjelasan... Terima kasih.
Saya bukanlah ahli untuk menjawab kemusykilan sebegini, tetapi sepanjang pengetahuan saya yang dangkal ini, menghulurkan salam berisi wang bukanlah sesuatu yang wajib. Saya pernah menerima kiriman email, senarai budaya
Antara adat dan agama
Ketika Islam tersebar luas di Semenanjung Arab hingga ke Eropah dan juga ke Asia, maka ramai mubaligh Islam dalam kalangan orang-orang Arab dan bukan Arab yang dating membawa agama islam ke sebelah Asia Tenggara sebagai pedagang menyebabkan Islam mula bertapak dan berkembang pesat. Contohnya, Melaka menjadi pusat perdagangan yang mahsyur dan kerajaan Melaka pada masa itu mula menerima Islam.
Bermula dari situ, timbul perkahwinan campur dari pelbagai kaum antara penduduk Melayu tempatan dengan pedagang-pedagang Arab dan India. Kepelbagaian kaum yang wujud hasil daripada perkahwinan campur ini banyak mempengaruhi dan menjadikan adat resam masyarakat Melayu pada ketika itu begitu unik dan bercampur-aduk dengan adat atau budaya bangsa pendatang selain bangsa Melayu itu sendiri. Adat ini dibawa daripada generasi ke generasi sehinggalah ke hari ini. Maka, begitu jugalah adat dengan agama. Adat dan agama bukanlah dua isu yang berbeza, bahkan kedua-duanya adalah satu.
Adat didefinasikan sebagai pola kehidupan manusia dalam kelompok yang dibentuk, dihayati dan diamalkan dalam hubungan sesame anggota kelompok. Adat dibuat dan ditentukan oleh manusia, manakala budaya atau adat resam terus mengalami perubahan, baik dari sudut geografi (seperti adat perpatih dan temenggung), waktu (seperti adat primitive dan masa kini), status sosial (bangsawan atau rakyat), mahupun usia (adat orang tua dan muda). Adat seharusnya berlandaskan kepada agama yang benar.
Masyarakat Melayu di Malaysia sinonimnya dikaitkan dengan Islam. Masyarakat Melayu Islam seharusnya tidak keliru antara adat dan agama supaya nanti tiada yang mengatakan adat yang bercanggah dengan Islam itu adalah salah satu dari tradisi agama Islam. Adat resam Melayu berkait dengan cara hidup Melayu itu sendiri, sejak mula lahir seseorang anak hinggalah anak itu berkahwin dan seterusnya membimbing adat resam atau budaya Melayu supaya berlandaskan agama dan tidak mengamalkan kepercayaan karut, khurafat dan syirik kepada Allah SWT.
Sedar atau tidak, bila kita renung-renungkan, terdapat banyak budaya atau amalan yang kita lakukan hari ini sebenarnya tidak menepati syariat Islam yang sebenarnya. Bahkan, ramai di kalangan kita yang telah dibesarkan dengan budaya sebegitu dan telah dipraktikkan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain, tanpa mengetahui bahawa ia adalah budaya terbalik dan bukan dituntut oleh agama. Selain itu, tidak kurang juga yang mengamalkan adat yang bertentangan dengan syarak hingga menimbulkan khurafat, mungkin disebabkan kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Budaya ini telah lama diamalkan oleh orang-orang kita sehingga ia menjadi satu kemestian atau kewajipan pula, walhal ia bertentangan dengan syariat Islam.
Apabila masyarakt semakin keliru dan tidak tahu membezakan antara adat dan agama, ia akan menyebabkan umat Islam keciciran tanggungjawab terhadap agama. Kali ini, Laman-Seri kongsikan budaya atau amalan terbalik yang berlegar di kalangan masyarakat Islam di Malaysia pada hari ini. Semoga boleh dijadikan pedoman dan renungan untuk kita bersama.
1 – Kenduri arwah/tahlil
Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (contohnya malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah amalan terbalik daripada yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Sudahlah dilanda kesedihan atas kematian, terpaksa menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Ia adalah budaya terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW di mana Baginda menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.
Kata Sayyid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah: “Para imam (ilmuan besar) bersepakat tentang kemakruhan keluarga si mati menyediakan makanan untuk orang ramai lalu mereka berhimpun untuk jamuan tersebut. Demikian itu menambakan kesusahan dak kesibukan keluarga si mati. Sebahagian ulama berpendapat perbuatan ini haram.” (Fiqh al-Sunnah 1/508)
Perbuatan mengadakan kenduri sempena kematian adalah bida’ah. Hal ini menyanggahi sunnah. Ada ulama berpendapat bahawa kenduri arwah hukumnya harus dan yang tidak boleh ialah apabila kita menetapkan hari seperti tiga malam, lima malam atau tujuh malam. Sekiranya kita hendak mengadakan kenduri arwah, janganlah ditetapkan hari. Buatlah ikut kemampuan. Ulama yang mengatakan boleh dilakukan bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi yang bermaksud, “Adalah Nabi SAW apabila selesai menanam mayat berhenti di atas kubur maka Baginda berkata minta ampun sekalian kamu bagi saudara kamu dan dioakan baginya ketetapan, sesungguhnya dia sekarang ditanya.”
Daripada Aisyah r.a. bahawa sesungguhnya telah datang seorang lelaki pada Nabi SAW seraya berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal mendadak sebelum berwasiat, ku kira bila dia sempat berbicara mestilah ia akan bersedekah, bolehkah aku bersedekah atas namanya?” Rasulullah SAW menjawab, “Boleh.” (Hadis sahih riwayat Muslim)
Berkata Imam Nawawi rahumahullah di dalam Syarah Muslim yang bermaksud, “Dan dalam hadis ini (hadis riwayat sahih Muslim di atas), menjelaskan bahawa sedekah untuk mayat bermanfaat bagi mayat, dan pahalanya disampaikan pada mayat, demikian pula menurut Ijmak (sepakat) para ulama, dan demikaian pula mereka bersepakat atas sampainya doa.”
Maka apabila keluarga si mati menyediakan makanan dengan maksud bersedekah maka hal itu sunat, apalagi apabila diniatkan pahala sedekahnya untuk mayat, demikian kebanyakan orang yang kematian kerabat, mereka menjamu tetamu dengan sedekah makanan yang pahalanya untuk si mati, maka hal ini sunat.
Walau bagaimanapun, sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. (Rujuk DrMAZA)
Yang lebih elok dan sunat pula, apabila kaum kerabat dan jiran menghantar makanan kepada ahli si mati sebagai tanda simpati untuk meringankan beban mereka kerana ahli si mati ketika itu dalam keadaan sibuk menguruskan perkara-perkara si mati. Inilah yang sebenarnya wajar dilakukan oleh orang Islam dalam usaha meringankan bebanan keluarga si mati dan di antara cara menghiburkan mereka. Inilah juga perkara yang disuruh oleh Rasulullah SAW ketika sampai kepada Baginda berita kematian Ja‘afar bin Abi Talib, Baginda bersabda yang bermaksudnya: “Buatkanlah makanan oleh kamu untuk ahli keluarga Ja‘afar yang telah meninggal, (kerana) telah datang kepada mereka perkara yang membuat mereka sibuk (disebabkan ditimpa kematian itu).” (Hadis riwayat Ibnu Majah) (Rujuk : MuftiBrunei)
2 - Kenduri kahwin/Walimatul Urus
Jika menghadiri kenduri walimatul urus (kenduri kahwin), para jemputan kerap bersalaman 'berisi' (hadiah wang yang diberi semasa bersalam) dengan tuan rumah. Jika tiada wang yang hendak dikepit dalam tangan, maka seganlah ia hendak menghadiri kenduri. Sebenarnya, tak bagi pun tidak mengapa kerana tuan rumah yang panggil untuk meraikan jemputan, bukan untuk dia menambah pendapatan.
Pemberian secara niat ukhuwah oleh masyarakat kita yang terdahulu dengan hanya pemberian kecil-kecilan dalam pelbagai bentuk dan sumbangan tadi telah disalah-ertikan oleh masyarakat hari ini dengan menganggap sumbangan itu umpama satu keperluan atau kemestian pula, hingga ada yang menjadi malu dan janggal jika tidak memberi, tambahan lagi jika tuan rumah membuat jamuan kahwin di tempat-tempat mewah ataupun di rumah dengan kenopi yang besar terhias cantik. Jika tidak diberi, takut-takut nanti kalau anak kita kahwin taka da orang dating dan datangpun dengan tangan kosong. Anggapan seperti ini atas ketakutan dan tiada asas yang kukuh menjadikan ia kebiasaan dan diterima masyarakat.
Walau bagaimanapun, pemberian wang kepada keluarga pengantin itu dilakukan oleh orang dahulu sebagai ganti kepada hadiah dengan niat yang baik bagi membantu tuan rumah yang menganjurkan majlis, sudah tentu banyak kos yang terpaksa ditanggung. Dalam Islam, pemberian hadiah atau sumbangan di majlis walimah adalah digalakkan.
Daripada Anas r.a., beliau berkata: Setelah Nabi SAW menikahi Shafiyah, pada pagi harinya Nabi pun berkata: “Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk disumbangkan, hendaklah disumbangkan”. Baginda pun menghamparkan lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju, ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak samin. Mereka pun membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak). (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 2048)
Berdasarkan hadis ini, Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan: “Orang-orang kaya dan yang memiliki kelebihan (bekalan) dianjurkan untuk memberikan sumbangan di dalam majlis walimah saudaranya.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 139, Media Hidayah)
Oleh kerana kesuntukan masa, sukarnya untuk mendapatkan hadiah dan seumpamanya, maka orang dulu-dulu mengambil langkah mudah dengan hanya menghadiahkan wang sebagai sumbangan. Dengan hati yang ikhlas mereka menghulurkan wang kepada keluarga pengantin, oleh itu keluarga pengantin (biasanya bapa) seharusnya tidak menolak pemberian ini. Hal ini kerana dengan menolak pemberian mereka, kita seolah-olah menarik pahala yang sepatutnya meraka perolehi. Selain itu, ia mungkin juga akan menbuatkan mereka berkecil hati.
Demikianlah sesebuah majlis walimah (walimatul urus) yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah SAW dan diamalkan oleh para sahabat dan generasi awal umat Islam lainnya.
3 - Berpakaian cantik
Ketika menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh syarikat, lebih-lebih lagi jika ada penyertaan daripada pemimpin negara, ramai yang berpakaian cantik, kemas dan segak. Tidak kurang juga ada yang berlebih-lebihan bertabaruj. Malangnya, bila menghadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik?
“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah A’raf, ayat 31)
Pakailah pakaian yang cantik dan bersih untuk pergi ke masjid atau ketika sembahyang sunat bersendirian di rumah. Dalam sebuah hadis disebut yang bermaksud, “Sesungguhnya orang sedang sembahyang sedang bermunajat kepada Tuhannya.” Juga disebut, “Allah ada di antara orang yang sedang sembahyang dan Kaabah.”
Oleh itu pakailah pakaian yang cantik dan bersih ketika menghadap Allah, Raja kepada segala Raja. Imam Abu Hanifah memakai minyak attar (wangi) dan berserban setiap kali beliau sembahyang tahajjud.
Sekiranya diberi rezeki yang lebih, belanjalah untuk membeli pakaian dan makanan yang baik sebagai tanda untuk menunjukkan bahawa Allah telah memberi nikmat kepada kita. Ia sebagai memperakui kurniaan Allah dan bukannya untuk menunjukkan kesombongan. Janganlah terlalu bakhil untuk berbelanja setelah diberikan rezeki yang banyak.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Makanlah serta minumlah, dan bersedekahlah, dan juga pakailah (pakaian yang baik-baik serta berhiaslah), asalkan jangan untuk bermegah-megah dan menyombong, dan jangan pula melampau, kerana Allah SWT suka melihat kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya.” (Hadis riwayat Ibn Majah)
Namun, janganlah membazir dalam berbelanja. Syaitan membaxirkan kuasanya, iaitu digunakan kuasanya pada tempat yang salah, untuk menyesatkan manusia. Kerana itulah, siapa yang membazir (termasuk harta) ialah saudara syaitan : “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Israa, 27)
Memang kita digalakkan berpakaian cantik ketika bersama dengan pemimpin negara tetapi hendaklah berpakaian cantik juga semasa kita mengadap Allah SWT. Orang yang hanya cantik sesama manusia tetapi tidak cantik dengan Allah adalah orang-orang yang melakukan ibadat bukan kerana Allah tetapi kerana hendak menunjuk-nunjuk atau riak.
4 - Adab sebagai tetamu
Selalunya jika kita menjadi tetamu di rumah orang dan dijamu dengan makanan, kita rasa segan dan malu-malu kucing hendak makan habis-habisan (orang kata pulun makan) kononnya ‘beradap’, sepatutnya sebagai tetamu, kita tak perlu malu dan segan untuk menjamah hidangan yang disediakan tuan rumah.
Sebagai tuan rumah, menerima dan memuliakan tetamu bukan sekadar sesuatu yang diianjurkan oleh Islam tetapi menjadi petunjuk akan kebenaran dan kekuatan iman dirinya. Rasulullah SAW menerangkan: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka muliakanlah tetamunya.” (Shahih al-Bukhari, no: 6018)
Sekiranya tuan rumah tidak menyediakan apa-apa hidangan untuk tetamu sekalipun seteguk air, ini merupakan adab tuan rumah yang tidak baik. Ketahui bahawa jika tuan rumah tidak menyediakan apa-apa maka tetamu berhak mengambil sendiri apa yang mereka kehendaki pada batas yang berpatutan. Ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Jika kalian singgah di sebuah kaum lalu mereka melayan kalian dengan apa yang berpatutan sebagai tetamu, maka terimalah. Jika mereka tidak melakukan itu maka ambillah hak kamu (sebagai tetamu) daripada tuan rumah apa yang berpatutan bagi tuan rumah.” (Shahih Muslim, no: 1727)
Maksud “apa yang berpatutan” ialah ukuran mengikut kadar kemampuan tuan rumah. Tuan rumah hendaklah meraikan kedatangan tetamu dan tetamu wajar menghabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak berlaku pembaziran.
Rujuk juga entry : Adab menyambut tetamu, Adab bertandang jaga hak tetamu, tuan rumah dan Adab kunjungi rumah terbuka.
5 - Solat sunat
Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Adakah di kalangan kita yang bersikap sebegini? Eloklah muhasabah diri dengan meneliti hadis-hadis yang dikemukankan di bawah. Adalah lebih afdal (sebaik-baiknya) solat sunat dilaksanakan di rumah sendiri seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak dan solat fardhu yang digalakkan berjemaah di masjid. Melainkan solat-solat sunat yang disyariatkan perlaksanaannya secara berjemaah atau di tempat-tempat yang tertentu seperti masjid, musollah (tanah lapang) dan lain-lain.
Daripada Zaid bin Tsabit r.a. yang menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia, kerjakanlah solat (sunat) di rumah kalian, sebab solat yang paling utama ialah solat seseorang yang dikerjakan di rumahnya, kecuali solat fardu.” (Hadis riwayat Imam al-bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no. 731)
Hadis yang diriwayatkan daripada Jabir r.a. yang bermaksud, “Apabila salah seorang di antara kamu selesai solat di masjid hendaklah jadikan sebahagian solatnya dibuat di rumahnya. Sesungguhnya Allah SWT akan menjadikan kebaikan di rumahnya dengan sebab solatnya.” (Hadis sahih riwayat Muslim)
Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “hendaklah kamu solat sunat di rumah kamu dan jangan jadikan rumah kamu sebagai kubur kamu.” (Hadis riwayat Ahmad, at-Thabrani dan al-Bazzar meriwayatkan hadis dengan makna yang sama dan sanad yang sahih)
Abdullah bin Saad berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Di manakah lebih baik untuk didirikan solat, di masjid ataupun di rumah?’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Bukankah engkau lihat rumahku begitu hampir dengan masjid? Walaupun begitu, aku lebih suka solat di rumahku daripada solat di masjid kecuali solat fardu.’” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)
Umar r.a. meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud, “Adapun solat kamu di rumah kamu adalah cahaya. Cahayakanlah rumah kamu.”
6 - Bulan puasa, bulan muhasabah diri
Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan kebanyakan rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa sepatutnya yang terendah. Bukankah ini juga terbalik amalan kita?
Ramadan ialah bulan yang mulia. Allah melarang umat Islam membazir bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi juga pada bulan-bulan yang lain. Tetapi disebabkan godaan nafsu yang kuat pada bulan puasa ini, dikatakan bulan yang mencabar terhadap konsep puasa itu sendiri. Ramai antara kita tidak dapat membezakan antara keperluan dengan kehendak. Manakala nafsu manusia memainkan peranan merangsang keinginan dalam belanja seharian, lebih-lebih lagi dalam bulan puasa. Ingatlah, membazir adalah amalan syaitan.
Larangan mengenai pembaziran telah dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-Isra’ ayat 26 dan 27 yang bermaksud, “Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya.”
Orang yang berlebihan berbelanja dalam bulan Ramadan ialah orang yang tidak menepati kehendak puasa itu sendiri yang mana bulan Ramadan yang diwajibkan berpuasa adalah untuk mengawal nafsu daripada makan berlebih-lebihan.
7 - Ibadah haji
Kebiasaannya, jika ada yang hendak mengerjakan haji, kebanyakannya akan membuat kenduri doa selamat sebelum bertolak ke Mekah dan sebaik pulang dari Mekah, mereka tidak pula membuat kenduri doa selamat. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik?
Mengadakan kenduri sebelum berangkat menunaikan fardu haji adalah suatu amalan yang tidak terdapat dalam Islam. Sungguhpun begitu, tidak salah jika kita tetap ingin melakukannya dengna tujuan untuk bersedekah dan memberi makan kepada fakir miskin, bukan pula kenduri untuk mengumpul atau buat ‘collection’ duit sedekah. Kenduri itu juga mestilah tidak dianggap sebagai prasyarat wajib dilakukan oleh setiap bakal-bakal haji. Hal ini kerana terdapat sesetengah masyarakat yang beranggapan bahawa ia ‘wajib’ dilakukan bagi mendapatkan haji yang mabrur. Tanggapan sebegini salah dan amat tidak dibenarkan dalam Islam. Sememang kita digalakkan mengadakan kenduri kesyukuran selepas kita selamat dari bermusafir, lebih-lebih lagi setelah kita menunaikan rukun Islam yang ke lima.
8 - Pendidikan anak
Ibu bapa yang mana tidak bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam pelajaran? Disebabkan itulah, maka berduyun-duyun anak-anak dihantar ke kelas tuition walaupun banyak belanjanya. Malangnya, jika anak tak boleh baca Quran atau tak tahu mengerjakan solat, tak bimbang pula, bahkan ada ibu bapa yang tak mahu hantar tuition membaca al-Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Jika guru tuition sanggup dibayar sebulan RM100 satu pelajaran 8 kali hadir sebulan tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah ini budaya terbalik?
Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 9 yang bermaksud, “Sesungguhnya al-Quran itu memberi petunjuk ke jalan yang benar (iaitu ajaran Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”
Menjadi kewajipan ibu bapa merancang program kelas-kelas al-Quran untuk anak-anak secara serius dan bersungguh-sungguh. Amat malang jika anak-anak diabaikan daripada ilmu al-Quran, sedangkan pelajaran akademik sanggup disediakan kelas-kelas tuition walaupun terpaksa membayar dengan harga yang tinggi. Sebagai umat Islam yang wajib beriman dan mengamalkan ajaran al-Quran, perlulah memastikan bahawa masyarakat Islam bebas daripada penyakit ‘buta’ al-Quran. Sesungguhnya masyarakat yang celik al-Quran akan dilimpahi hidayah keberkatan dan rahmat Allah SWT.
Ibu bapa yang hanya menekankan pencapaian akademik sahaja dengan mengabaikan kewajipan menunaikan solat dan membaca al-Quran ialah ibu bapa yang ‘derhaka’ (kepada anaknya) kerana terpedaya dengan dunia sehingga melupakan akhirat.
9 - Mencari rezeki
Perasan tak, ramai di antara kita yang sanggup bangun awal pagi terkejar-kejar hendak ke tempat kerja kerana takut terlambat atau tak mahu punch card merah. Tidak kira hujan atau ribut, tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja.
Malangnya, ramai pula yang lihat hendak ke rumah Allah (masjid) walaupun tidak panas, hujan atau ribut. Mereka tetap tak mahu ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta-minta, tetapi hendak ke rumah-Nya segan dan malas pula.
Memang ini adalah reality yang berlaku dalam masyarakat kita yang lebih mengutamakan mencari rezeki sehingga mengabaikan kewajipan pergi ke masjid atau surau. Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Tsauban r.a., katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan dating mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah dari krana kami sedikit pada hari itu?” Rasulullah SAW menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab, “Cintakan dunia dan takut mati.”
Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW. Keadaan umat Islam hari ini jelas menggambarkan kebenaran sabda Baginda. Umat Islam walaupun mereka mempunyai bilangan yang ramai, iaitu 1000 juta (1/5 penduduk dunia), tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain. Mereka ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walaupun berbeza-beza agama, mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatan umat Islam.
Sebenarnya, segala kekalahan kaum Muslimin berpunca dari dalam diri kaum Muslimin itu sendiri, iaitu dari penyakit ‘wahan’ yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua, iaitu ‘cinta dunia’ dan ‘takut mati’. Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan. ‘Cinta dunia’ bermakna tamak, rakus, bakhil untuk mendermakan harta ke jalan Allah SWT, manakala ‘takut mati’ pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah SWT.
Marilah kita berdoa agar Allah SWT menurunkan mushrah-Nya kepada kaum Muslimin dan memberikan kepada mereka kejayaan di dunia dan juga di akhirat.
10 - Perihal isteri dan suami
Ramai wanita yang berstatus isteri, jika hendak keluar rumah kerana bekerja atau shopping, apatah lagi jika hendak menghadiri majlis keraian, bukan main lagi berhiasnya. Sebaliknya, jika berada di rumah, pakaian biasa-biasa saja, make up, jauh sekali. Sedangkan dalam Islam, seorang isteri dituntut supaya berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Budaya yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia dan ramai juga suami makan hati.
Wanita yang berhias hanya ketika hendak keluar dari rumah tetapi tidak berhias ketika bersama suami di rumah ialah wanita yang tidak solehah. Daripada Imam Ahmad dan Imam Muslim, daripada Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan dan sebaik-baik kesukaan itu ialah perempuan yang solehah.”
Dalam sebuah hadis yang Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Mahukah kamu aku beritahu daripada hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seorang lelaki? Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira, jika suaminya menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara kehormatan dirinya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Menghias diri merupakan kegemaran wanita. Namun kadang-kala wanita yang tidak faham akan kewajipannya, ia berhias diri ketika akan keluar rumah, sebaliknya ketika di rumah dia dalam keadaan tidak bersih, kadang-kala rambutnya pun tidak terurus. Padahal Islam menganjurkan supaya isteri berhias hanya untuk suami.
Tujuan isteri berhias ketika di rumah ialah supaya suami terhibur. Jika suami pulang dari tempat kerja dalam keadaan letih dengan melihat isteri dalam keadaan berseri-seri serta pakaian yang bersih, maka ia menjadi penawar kepada suami. Sehingga keletihan dalam mencari rezeki tadi menjadi hilang, dan bertambahlah kasih sayangnya terhadap isteri.
Daripada Jabir r.a., dia berkata, “Kami pernah pergi bersama-sama Rasulullah SAW dalam satu peperangan. Ketika kami sampai di Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah pun bersabda, ‘Bersabarlah, masuklah pada waktu malam iaitu selepas Isyak, supaya isteri kamu dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia dapat berhias kerana telah lama ditinggalkan suaminya.’” (Muttafaqun alaih)
Berhias bukan sahaja bagi menyambut kepulangan suami dari tempat kerja tetapi juga ketika suami ada di rumah. Wanita Islam hanya boleh berhias untuk dirinya sendiri dan untuk suaminya. Berhias mestilah dilakukan secara sederhana kerana tujuan berhias agar ia kelihatan bersih dan senang dilihat oleh suami. (Meh baca : Berdandan untuk suami, satu kewajipan!)
Bukan sedikit lelaki yang berstatus suami pula, jika dengan kawan-kawan sepejabat lebih-lebih lagi dengan rakan sepejabat yang berlainan jantina dengannya, boleh bersembang-sembang sambil bergelak ketawa. Macam-macam hal yang dibualkannya, padat beridea dan ada yang tidak segan silu pula bertepuk-tampar macam suami-isteri pula lagaknya. (Jemput baca : Batas bersahabat dengan wanita, bagi seorang suami dan Batasan bersahabat dengan lelaki, bagi seorang isteri) Malangnya, bila balik rumah dan bersama dengan isteri sendiri, ada yang bengkeng, tiba-tiba jadi pendiam dan tidak kurang juga ada yang seperti orang asing.
Sedangkan menurut ajaran Islam, suami patut ada IHSAN dan EMPATI terhadap isteri, sebab itulah Allah SWT perintah suami agar bergaul dengan isteri dengan cara yang baik, seperti dalam firman Allah SWT di dalam al-Quran, yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka karena hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah an-Nisaa’ ayat 19)
Dalam ayat al-Quran yang dipetik di atas, Ibn Kathir berpendapat bahawa ayat ini, “...dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik...” bermaksud : para suami hendaklah memperelokkan bicara mereka bersama isteri, hendaklah memperelokkan tingkah laku kepada mereka serta menjaga penampilan yang baik mengikut kemampuan kamu seperti mana yang kamu harapkan daripada mereka iaitu isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu melakukan yang baik-baik itu terhadap mereka seperti yang kamu mahukan daripada mereka. (Ibn Kathir, jld:1, hlm: 466)
Maka jelas lagi terang bahawa hukum bergaul baik dengan isteri adalah WAJIB. Malangnya, berapa ramai yang ikut perintah Allah yang ini? Akibat mengabaikan perintah Allah yang ini, natijahnya amat teruk sekali. Bila suami tidak ikut perintah Allah dan Rasul-Nya, maka, tidak hairanlah isteri tidak taat kepada suami. Iyalah, jika suami ikut perintah Allah dan Rasul-Nya, secara automatiknya tentu dia juga menjaga hak-hak isterinya. Bila dia menjaga hak-hak isterinya, agak MUSTAHIL isterinya tidak taat kepadanya dan agak MUSTAHIL pula isteri tidak hormat kepada suaminya. Selalunya orang perempuan ini amat tinggi dengan tahap ketaatan dan kesetiaan mereka. Belas ihsan dan empati mereka lebih tinggi (dibanding lelaki), tetapi jika masih ada isteri yang tidak taat walaupun suaminya memenuhi tanggungjawap, adalah silap ‘wayarnya’ di mana-mana...
Bagi suami yang gagal menggauli isterinya dengan baik sedangkan dia taat kepada suaminya adalah berdosa. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan suluh yang sebenar-benarnya dan suluh itu lebih baik (bagi mereka).” (Surah al-Nisa’ ayat 128)
Suami nusyuz bolehlah ditakrifkan sebagai suami yang enggan menunaikan hak spiritual, material atau bertindak kasar terhadap isteri. Hak spiritual isteri ialah komunikasi yang baik, memenuhi kepuasan seksual, memberi pendidikan agama, dicemburui dan adil antara para isteri, tidak dihina dan dikasari. Hak material isteri ialah maskahwin, nafkah dan mutaah jika berlaku perceraian tanpa nusyuz isteri. (al-Qurtubi, op.cit 5:422-324, Dr. Muhamad `Uqlah, op.cit 2:84, Muhammad Qutb,Syubhat Haula al-Islam 124).
Rasulullah SAW juga menganjurkan agar setiap suami menggauli isteri dengan cara yang baik. Ini jelas dapat dilihat dalam hadis baginda yang bermaksud, “Lelaki yang paling sempurna imannya ialah lelaki yang paling sempurna akhlaknya, dan sebaik-baik kamu (baik akhlak) ialah mereka yang baik dengan isteri-isterinya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Dalam hadis yang lain pula disabda baginda yang bermaksud, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah sebaik-baik lelaki kepada isteriku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
11 - Berziarah dan meminta maaf hanya pada Hari Raya
Anggapan bahawa amalan berziarah dan meminta maaf itu sebagai amalan khusus semasa hari raya sahaja, sedangkan yang sebenarnya lebih baik meminta maaf sebaik sahaja menyedari kita telah membuat kesilapan, tidak mengkhususkannya pada hari raya sahaja.
Mengapa amalan memohon maaf ini cuma ada pada hari raya sahaja? Jika difikirkan secara logiknya, waktu hari raya merupakan antara waktu yang paling sesuai sekali untuk kita memohon maaf. Sebab apa ya? Mungkin kerana pada waktu itu, hati-hati umat Islam lebih lembut dalam menikmati keheningan pada hari kemenangan (sebab sudah berpuasa serta bermujahadah pada bulan Ramadan) dan semua umat Islam bergembira menyambut hari raya. Apabila hati gembira, lebih mudah untuk memaafkan orang berbanding ketika marah. Maka itu, budaya bermaafan pada hari raya dijadikan amalan.
Jjika ada peluang yang lebih baik, maka gunakanlah setiap peluang yang ada kerana kita kena segera memohon kemaafan manusia. Kita tidak tahu adakah kita atau beliau (orang yang kita berbuat kesalahan) sempat bertemu pada masa akan datang atau sebaliknya.
12 - Memberi ‘duit raya’
Amalan menghulurkan sedekah adalah lebih afdal jika dilakukan semasa kita berada di bulan Ramadan, bukan bulan Syawal. Mengapa agaknya timbul amalan memberi duit pada hari raya? Secara logiknya, disebabkan pada hari raya sahaja kebanyakan kita dapat berkumpul sekeluarga, sanak-saudara dan rakan taulan, mungkin kerana itulah amalan menghulurkan ‘duit raya’ timbul.
Jika amalan ini dilihat dari perspektif baik, ia dapat memupuk semangat dan sifat menderma sebagai bukti hasil keberkatan yang diperoleh daripada tarbiyah Ramadan, walau bagaimanapun, sebenarnya lebih baik jika diberikan sebelum tamatnya Ramadan. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW dari Ibnu Abbas r.a. katanya, “Nabi SAW ialah manusia yang paling bagus dan pemurah dengan segala jenis kebaikan, dan Nabi paling pemurah pada bulan Ramadan, di mana ketika bertemu Jibril yang dating di setiap hari pada bulan Ramadan membentangkan (menyemak) al-Quran dari Nabi SAW, apabila ditemui Jibril maka Nabi akan menjadi paling pemurah dengan kebaikan lebih daripada angina yang bertiup.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sekiranya ia dapat diberikan dalam bulan Ramadan sebagai sedekah, sudah tentu keberkatan pahalanya berlipat kali ganda berbanding memberikannya pada bulan Syawal. Jika tidak dapat melakukannya pada bulan Ramadan, marilah kita perbetulkan dan memasang niat ia sebagai sedekah dari bulan Ramadan dan bukan sekadar adat hari raya semata-mata.
Cukuplah dengan contoh-contoh yang diberi di atas. Jika ada budaya terbalik yang telah menjadi amalan kita sehari-hari, eloklah kita muhasabah diri dan mengambil iktibar untuk mengubah budaya terbalik ini. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita atau kehendak budaya.
assalamualaikum miss onion. :D
BalasPadamsangat suka nih! ~nak gelak sebentar. hehe
memang pun. semuanya betul. perasan sume benda ni jadi dalam masyarakat kita. bab solat sunat tu saya banyak kali terfikir. terutamanya bila keluar beramai2 then singgah solat.
bab nak pergi kerja tu pun satu hal jugak. terang2 ramainya manusia begitu caranya.
dengan erti kata lain, semua bab la. memang kena banyak2 muhasabah diri lagi ni. thanks yep. :)
Mengubah aesuatu budaya yang telah berakar umbi sekian lama pastinya bukan sesuatu yang mudah.
BalasPadamApa yang mampu dilakukan adalah bersama-sama kita mengubah segala kekeliruan ini bagi pihak diri kita sendiri dan ahli keluarga kita sebaik sahaja kita menyedarinya...
Semoga Allah berikan kekuatan kepada diri kita...