PAGE

Sabtu, September 27, 2008

SALAM AiDiLFiTRi 1429H / 2008


Sebulan genap kita berpuasa,
Semoga digolongkan pada orang berjaya;
Diperintah sudah oleh Yang Berkuasa,
Sesudah berpuasa kita berhari-raya.




Berbilang kaum hidup bersama,
Bersopan-santun amatlah mesra;
Tak kira bangsa juga agama,
Aidilfitri disambut dengan gembira.


Pandu cermat perlahan-lahan,
Insya Allah, selamat di perjalanan;
Hidup tentu banyak kesalahan,
Sempena raya kita bermaafan.




Sungguh tidak dapat diduga,
cempedak diidam dapat kelapa;
Raya tu memanglah raya juga,
Ibadah dan solat jangan dilupa.


Tinggi sungguh terbang Rajawali,
Bintang di langit yang dicari;
Manusia di pagi Raya juga mencari,
Ampun maaf menyusun sepuluh jari.



SALAM AiDiLFiTRi 1429H ~ 2008

MAAF ZAHiR & BATiN

15 alasan rindukan Ramadan

Salamun'alaik Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh...

Segala puji-pujian kehadrat Allah subhanahu wata'ala, kepada-Nya kita menyembah. Salam serta selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.

Hari ini kita sedang melalui hari ke 27 dalam bulan Ramadan. Dalam dua-tiga hari lagi, kita akan meninggalkan. Tanpa kita sedari, Ramadan sudah hampir meninggalkan kita semua. Adakah kita telah memanafaatkan setiap detik yang ada di sepanjang 27 hari Ramadan? Fajar 1 syawal pula bakal menjelang dalam waktu yang amat dekat.

Kita tentu sibuk mengejar masa merebut peluang untuk beribadah dalam masa yang masih tersisa. Bagaimana perasaan kita? Sedih kita kerana bulan yang penuh berkat dan rahmat akan pergi,
pernahkah kita terfikir, mungkinkah ini Ramadan yang terakhir untuk kita? Entah kita akan dapat bertemu dengannya lagi, tidak kita ketahui. Gembira kita kerana, insya Allah kita akan dapat melaksanakan perintah Allah menyempurnakan Rukun Islam yang ke tiga. Bagi yang benar-benar menghayati bulan yang mulia ini, pasti akan terasa bulan istimewa ini semakin hampir ke penghujungnya. Seperti seorang kekasih, selalu diharap kedatangannya. Rasanya tidak ingin berpisah walaupun hanya cuma sedetik. Begitulah Ramadan seperti digambarkan sebuah hadis yang diriwayatkan Ibnu Khuzaimah, "Andaikan tiap hamba mengetahui apa yang ada dalam Ramadan, maka ia bakal berharap satu tahun itu puasa terus."



Sesungguhnya, apa adanya di dalam Ramadan itu, ikutilah berikut ini:

1. Gelaran taqwa

Taqwa adalah gelaran tertinggi yang dapat diraih manusia sebagai hamba Allah. Tidak ada gelaran yang lebih mulia dan tinggi dari itu. Maka setiap hamba yang telah mampu meraih gelaran taqwa, ia dijamin hidupnya di syurga dan diberi kemudahan-kemudahan di dunia. Dan puasa adalah infrastructure untuk mendapatkan gelaran taqwa itu.

"Hai orang-orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." QS al-Baqarah: 183

Kemudahan-kemudahan yang diberikan Allah kepada hambanya yang taqwa, antara lain:

a. Jalan keluar dari semua masalah

Kemampuan manusia amat terbatas, sementara persoalan yang dihadapi begitu banyak. Mulai dari masalah dirinya, anak, isteri, saudara, orang tua, pejabat dan sebagainya. Tapi bila orang itu taqwa, Allah akan menunjukkan jalan bagi persoalan itu. Bagi Allah tidak ada yang sulit, kerana Dialah pemilik kehidupan ini.

"...Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar." QS. Ath Thalaaq: 2

"...Dan barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya." QS. Ath Thalaaq: 4

b. Dicukupkan keperluannya

"Dan memberinya rezeki dari arah yang tak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya...." QS. Ath Thalaaq: 3

c. Ketenangan jiwa, tidak khuatir dan bersedih hati

Bagaimana boleh bersedih hati, bila di dalam dadanya tersimpan Allah. Ia telah menggantungkan segala hidupnya kepada Pemilik kehidupan itu sendiri. Maka orang yang selalu mengingat-ingat Allah, ia bakal memperoleh ketenangan.

"Hai anak-anak Adam, jika datang kepadamu rasul-rasul daripada kamu yang menceritakan kepadamu ayat-ayat-Ku, maka barangsiapa bertaqwa dan mengadakan perbaikan, tidaklah ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." QS. al-A'raaf: 35

2. Bulan pengampunan

Tidak ada manusia yang tiada berdosa, sebaik manapun dia. Sebaik-baik manusia bukanlah yang tanpa dosa, sebab itu tidak mungkin terjadi. Manusia yang baik adalah yang paling sedikit dosanya, lalu bertaubat dan berjanji tidak mengulangi perbuatan dosa itu lagi.

Kerana dosa manusia itu, maka Allah telah menyediakan alat penghapus yang canggih. Itulah puasa pada bulan Ramadan. Beberapa hadis menyatakan demikian, salah satunya diriwayatkan Bukhari Muslim dan Abu Daud, "Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadan kerana keimanannya dan kerana mengharap redha Allah, maka dosa-dosa sebelumnya diampuni."

3. Pahalanya dilipatgandakan

Tidak hanya pengampunan dosa, Allah juga telah menyediakan bonus pahala berlipat-lipat kepada sesiapapun yang berbuat baik pada bulan mulia ini. Rasulullah SAW bersabda, "Setiap amal anak keturunan Adam dilipatgandakan. Tiap satu kebaikan sepuluh lipat gandanya hingga tujuh ratus lipat gandanya." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Bahkan amalan-amalan sunnah yang dikerjakan pada Ramadan pahalanya dianggap sama dengan mengerjakan amalan wajib. (Hadis riwayat Bahaiqi dan Ibnu Khuzaimah)

Maka perbanyakkanlah amal dan ibadah.

4. Pintu syurga dibuka dan neraka ditutup

"Kalau tiba bulan Ramadan terbuka pintu syurga, tertutup pintu neraka, dan syaitan-syaitan terbelenggu." (Hadis riwayat Muslim)

Kenapa pintu syurga terbuka? Kerana sedikit sahaja amal perbuatan yang dilakukan, boleh membawa seseorang itu ke syurga. Boleh diibaratkan, bulan puasa itu bulan "Sale". Orang yang tidak membeli akan merasa rugi. Amal sedikit saja dilipatgandakan ganjarannya sedemikian banyak. Ganjaran itu untuk mendorong orang melakukan amal-amal kebaikan di bulan Ramadan. Dengan demikian secara automatik pintu neraka tertutup dan tidak ada lagi kesempatan untuk syaitan menggoda manusia.

5. Ibadah istimewa

Keistimewaan puasa ini dikatakan Allah melalui hadis qudsinya, "Setiap amalan anak Adam itu untuk dirinya, kecuali puasa. Itu milik-Ku dan Aku yang membalasnya kerana ia (orang yang berpuasa) meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Aku." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Menurut Quraish Shihab, ahli tafsir dari IAIN Syarif Hidayatullah Jakarta, puasa dikatakan untuk Allah dalam erti untuk menauladani sifat-sifat Allah. Itulah substance puasa.

Misalnya, dalam bidang jasmani, Allah tidak makan, tapi memberi makan. Itu ditauladani, maka ketika berpuasa kita tidak makan, tapi kita memberi makan. Kita dianjurkan untuk mengajak orang berbuka puasa. Ini tahap dasar menauladani Allah.

Masih ada tahap lain yang lebih tinggi dari sekadar itu. Maha Pemurah adalah salah satu sifat Tuhan yang seharusnya juga kita tauladani. Maka dalam berpuasa, kita dianjurkan banyak bersedekah dan berbuat kebaikan. Tuhan Maha Mengetahui. Maka dalam berpuasa, kita harus banyak belajar. Belajar boleh melalui membaca Al-Qur'an, membaca kitab-kitab yang bermanfaat, meningkatkan pengetahuan ilmiah.

Allah SWT setiap saat sibuk mengurus makhluk-Nya. Dia bukan hanya mengurus manusia. Dia juga mengurus binatang. Dia mengurus semut. Dia mengurus rumput-rumput yang bergoyang. Manusia yang berpuasa menauladani Tuhan dalam sifat-sifat ini, sehingga dia harus selalu dalam kesibukan.

Perlu ditekankan menauladani Tuhan itu sesuai dengan kemampuan kita sebagai manusia. Kita tidak mampu untuk tidak tidur sepanjang malam, tidurlah secukupnya. Kita tidak mampu untuk terus-menerus tidak makan dan tidak minum. Kalau begitu, tidak makan dan tidak minum cukup sejak terbitnya fajar sampai tenggelamnya matahari saja.

6. Dicintai Allah

Nah, seseorang yang meneladani Allah sehingga dia dekat kepada- Nya. Bila sudah dekat, minta apa saja akan mudah dikabulkan. Bila Allah telah mencintai hambanya, dilukiskan dalam satu hadis Qudsi, "Kalau Aku telah mencintai seseorang, Aku menjadi pendengaran untuk telinganya, menjadi penglihatan untuk matanya, menjadi pegangan untuk tangannya, menjadi langkah untuk kakinya." (Hadis riwayat Bukhari)

7. Doa dikabulkan

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, katakanlah bahawa Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang berdoa apabila dia berdoa, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku." QS. al-Baqarah: 186

Memperhatikan penyusunan kalimah ayat di atas, bererti ada orang berdoa tapi sebenarnya tidak berdoa. Iaitu doanya orang-orang yang tidak memenuhi syarat. Apa syaratnya? "maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku."

Benar, berdoa pada Ramadan mendapat tempat khusus, seperti dikatakan Rasulullah SAW, "Tiga doa yang tidak ditolak; orang berpuasa hingga berbuka puasa, pemimpin yang adil dan doanya orang teraniaya. Allah mengangkat doanya ke awan dan membukakan pintu- pintu langit. 'Demi kebesaranKu, engkau pasti Aku tolong meski tidak sekarang." (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Namun harus diingat bahawa segala makanan yang kita makan, kesucian pakaian, kesucian tempat, itu mempunyai hubungan yang erat dengan pengabulan doa. Nabi pernah bersabda, ada seorang yang sudah lusuh pakaiannya, kusut rambutnya berdoa kepada Tuhan. Sebenarnya keadaannya yang lusuh itu dapat membawa doanya dia diterima. Tapi kalau makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya yang dipakainya diambil dari barang yang haram, bagaimana dapat dikabulkan doanya?

Jadi doa itu berkait erat dengan kesucian jiwa, pakaian dan makanan. Di bulan Ramadan jiwa kita diasah hingga bersih. Semakin bersih jiwa kita, semakin tulus kita, semakin bersih tempat, pakaian dan makanan, semakin besar kemungkinan untuk dikabulkan doa.

8. Turunnya Lailatul Qadar

Pada bulan Ramadan Allah menurunkan satu malam yang sangat mulia. Tersangat mulianya Allah menggambarkan malam itu nilainya lebih dari seribu bulan. QS. al-Qadr

Dikatakan mulia, pertama lantaran malam itulah awal Al-Qur'an diturunkan. Kedua, begitu banyak anugerah Allah diturunkan pada malam itu.

Beberapa hadis sahih meriwayatkan malam laulatul qadar itu jatuh pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan. Seperti dirawikan Imam Ahmad, "Lailatul qadar adalah di akhir bulan Ramadan tepatnya di sepuluh terakhir, malam kedua puluh satu atau dua puluh tiga atau dua puluh lima atau dua puluh tujuh atau dua puluh sembilan atau akhir malam Ramadan. Barangsiapa mengerjakan qiyamullail (solat malam) pada malam tersebut kerana mengharap redha-Ku, maka diampuni dosanya yang lampau atau yang akan datang."

Mengapa di akhir Ramadan, bukan pada awal Ramadan Oleh kerana dua puluh malam sebelumnya kita mengasah dan mengasuh jiwa kita. Itu adalah suatu persiapan untuk menyambut lailatul qadar.

Ada dua tanda lailatul qadar. Al Qur'an menyatakan, "Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan/kedamaian sampai terbit fajar. QS al-Qadr: 4-5

Malaikat bersifat ghaib, kecuali bila berubah bentuk menjadi manusia. Tapi kehadiran malaikat dapat dirasakan. Syekh Muhammad Abduh menggambarkan, "Kalau anda menemukan sesuatu yang sangat berharga, di dalam hati anda akan tercetus suatu bisikan, 'Ambil barang itu!' Ada bisikan lain berkata, 'Jangan ambil, itu bukan milikmu!'

Bisikan pertama adalah bisikan syaitan. Bisikan kedua adalah bisikan malaikat." Dengan demikian, bisikan malaikat selalu mendorong seseorang untuk melakukan hal-hal positif. Jadi kalau ada seseorang yang dari hari demi hari sisi kebajikan dan positifnya terus bertambah, maka yakinlah bahawa ia telah bertemu dengan lailatul qadar.

9. Meningkatkan kesihatan

Sudah banyak terbukti bahawa puasa dapat meningkatkan kesihatan. Misalnya, dengan puasa maka organ-organ pencernaan dapat beristirahat. Pada hari biasa alat-alat pencernaan di dalam tubuh bekerja keras. Setiap makanan yang masuk ke dalam tubuh memerlukan proses pencernaan lebih kurang lapan jam. Empat jam diproses di dalam perut dan empat jam di usus kecil (ileum).

Jika malam sahur dilakukan pada pukul 4.00 pagi, bererti pukul 12 tengahari alat pencernaan selesai bekerja. Dari pukul 12 tengahari sampai waktu berbuka, lebih kurang selama enam jam, alat pencernaan mengalami istirehat total.

Meningkatkan sistem kekebalan tubuh. Berdasarkan penelitian yang dilakukan para ahli kesihatan, ternyata dengan berpuasa sel darah putih meningkat dengan pesat sekali. Penambahan jumlah sel darah putih secara automatik akan meningkatkan sistem kekebalan tubuh.

Menghambat perkembangan atau pertumbuhan bakteria, virus dan sel cancer. Dalam tubuh manusia terdapat parasit-parasit yang menumpang makan dan minum. Dengan menghentikan kemasukan makanan, maka kuman-kuman penyakit seperti bakteria-bakteria dan sel-sel cancer tidak akan dapat bertahan hidup. Mereka akan keluar melalui cairan tubuh bersama sel-sel yang telah mati dan toksin.

Manfaat puasa yang lain adalah membersihkan tubuh dari racun kotoran dan hampas, mempercepat regenasi kulit, menciptakan keseimbangan elektrolit di dalam perut, memperbaiki fungsi hormon, meningkatkan fungsi organ reproduksi, meremajakan atau mempercepat regenerasi sel-sel tubuh, meningkatkan fungsi fisiologis organ tubuh, dan meningkatkan fungsi susunan saraf.

10. Penuh harapan

Ketika berpuasa, ada sesuatu yang diharap-harapkan. Harapan itu kian besar menjelang petang. Sehari penuh menahan lapar dan dahaga, lalu datang waktu berbuka, wah... rasanya lega sekali. Alhamdulillah. Itulah harapan yang terkabul. Apalagi harapan bertemu Tuhan, masya' Allah, menjadikan hidup lebih bermakna.

"Setiap orang berpuasa selalu mendapat dua kegembiraan, iaitu tatkala berbuka puasa dan saat bertemu dengan Tuhannya." (Hadis riwayat Bukhari)

11. Masuk syurga melalui pintu khusus, Rayyaan

"Sesungguhnya di syurga itu ada sebuah pintu yang disebut rayyan yang akan dilalui oleh orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat nanti, tidak diperbolehkan seseorang melaluinya selain mereka. Ketika mereka dipanggil, mereka akan segera bangkit dan masuk semuanya kemudian ditutup." (Hadis riwayat Bukhari)

12. Minum air telaganya Rasulullah SAW

"Barangsiapa pada bulan Ramadan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka itu menjadi keampunan bagi dosa-dosanya, dan mendapat pahala yang sama tanpa sedikit pun mengurangi pahala orang lain.

Mereka (para sahabat) berkata, 'Wahai Rasulullah, tidak setiap kami mempunyai makanan untuk diberikan kepada orang yang berbuka puasa.'

Beliau berkata, 'Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi buka puasa meski dengan sebutir kurma, seteguk air, atau seteguk susu... Barangsiapa memberi minum orang yang berpuasa maka Allah akan memberinya minum seteguk dari telaga di mana ia tidak akan haus hingga masuk syurga." (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)

13. Berkumpul dengan sanak keluarga

Pada 1hb Syawal umat Islam merayakan Hari Raya Aidil Fitri. Inilah hari kemenangan setelah berperang melawan hawa nafsu dan syaitan selama sebulan Ramadan. Ketika itu orang ramai melakukan silaturrahim dan saling memaafkan satu dengan yang lain. Termasuk kerabat-kerabat jauh yang datang berkunjung. Orang-orang yang bekerja di kota pulang untuk merayakannya di kampung bersama kedua orang tuanya. Maka setiap hari raya selalu terjadi pemandangan khas, iaitu orang berduyun-duyun dan berhimpit-himpit menaiki kenderaan mudik ke kampung halaman.

Silaturrahim dan saling memaafkan itu menurut ajaran Islam boleh dilakukan bila-bila saja. Tidak semestinya pada Hari Raya sahaja. Tetapi itu juga tidak dilarang. Justeru itu momentum yang seeloknya. Mungkin, pada hari biasa kita sibuk dengan urusan masing-masing, sehingga tidak sempat lagi menjalin hubungan dengan tetangga dan saudara yang lain.

Padahal silaturrahim itu dianjurkan Islam, sebagaimana dinyatakan hadis, "Siapa yang ingin rezekinya dibanyakkan dan umurnya dipanjangkan, hendaklah ia menghubungkan tali silaturrahim!" (Hadis riwayat Bukhari)

14. Qaulan tsaqiilaa

Pada malam Ramadan ditekankan disunnahkan untuk melakukan solat malam dan tadarus al-Qur'an. Waktu paling baik menunaikan solat malam sesungguhnya seperdua atau sepertiga malam terakhir. QS Al Muzzammil: 3

Tetapi demi kesemarakan syiar Islam pada Ramadan ulama membolehkan melakukan terawih pada awal malam setelah solat isya' dengan berjamaah di masjid. Solat ini lebih popular disebut solat tarawih.

Solat malam itu merupakan peneguhan jiwa, setelah siangnya sang jiwa dibersihkan dari nafsu-nafsu kotor lainnya. Ditekankan pula selesai solat malam untuk membaca Kitab Suci al-Qur'an secara tartil (memahami maknanya). Dengan membaca Kitab Suci itu seseorang bakal mendapat wawasan-wawasan yang luas dan mendalam, kerana al-Qur'an memang sumber pengetahuan dan ilham.

Dengan keteguhan jiwa dan wawasan yang luas itulah Allah kemudian mengurniakan qaulan tsaqiilaa (perkataan yang berat). Perkataan- perkataan yang berwibawa. Ucapan-ucapannya selalu berisi kebenaran. Maka orang-orang yang suka melakukan solat malam wajahnya bakal memancarkan kewibawaan.

15. Hartanya disucikan

Setiap Muslim yang mampu pada setiap Ramadan diwajibkan mengeluarkan zakat. Ada dua zakat, iaitu fitrah dan maal. Zakat fitrah besarnya 2.5 kilogram per orang berupa bahan-bahan makanan pokok. Sedangkan zakat maal besarnya 2.5 persen dari seluruh kekayaannya bila sudah mencapai batas nisab dan waktunya.

Zakat disamping dimaksudkan untuk menolong fakir miskin, juga guna mensucikan hartanya. Harta yang telah disucikan bakal mendatangkan barkah dan menghindarkan pemiliknya dari seksa api neraka. Harta yang barkah akan mendatangkan ketenangan, kedamaian dan kesejahteraan. Sebaliknya, harta yang tidak barkah akan mengundang kekhuatiran dan ketidaksejahteraan.


Khamis, September 25, 2008

Kanser daripada bekas makanan

Haaa... Dah agak lama juga saya dengar tentang bahayanya bekas 'tapau' warna putih ni. Para peniaga suka gunakan bekas ini sebab senang dan harganyapun murah. Logiknya, manusia suka pada benda senang jangka pendek, tanpa memikirkan kesan jangka panjang. Kalau tak silap, di negara maju memang dah lama banned bekas nih. Malangnya, negara ku yang tercinta ni masih kurang sikap perihatin terhadap benda-benda macam ini. Kurang benar health awareness di kalangan kita. Dah lebih malang, pihak berkuasa juga tidak berbuat apa-apa.

Cuba kita lihat dalam longkang atau di tempat-tempat perangkap sampah di parit dan sungai, atau lepas banjir, pasti kita akan jumpa bekas 'tapau' termasuklah segala 'seknika' barangan plastik yang lain seperti botol air mineral, cawan plastik air (pasar malam punya) dan lain lain lagilah.

Aduhai... makanan beracun, bekas makanan beracun, pinggan beracun. Patutlah ramai yang sakit tak menentu penyakitnya. Mungkin kena promote balik guna daun pisang. Lepas raya nanti, tengoklah permintaan untuk bekas 'tapau' ini akan melambung dengan anjuran open house di sana sini. Apa kata kita mula gantikan bekas 'tapau' styro ini dengan bekas plastik yang boleh diguna pakai semula. Lebih bagus jika luangkan sikit masa untuk cuci pinggan mangkuk...

Sedikit kepayahan untuk kebaikan dan faedah jangka panjang....


RISIKO penggunaan bekas polistirena ini mendorong ada pihak melabelkannya sebagai keranda putih.


GEORGE TOWN - Kerajaan diminta bertegas mengharamkan penggunaan bekas makanan polistirena kerana ia mendedahkan pengguna kepada masalah kesihatan khususnya risiko kanser.

Selain itu, polistirena yang mengandungi bahan kimia stirena dan benzena boleh menjejaskan alam sekitar kerana ia didakwa sukar terurai, malah mungkin mengambil masa 500 tahun untuk dimusnahkan secara alam semulajadi.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris berkata, bahan-bahan kimia daripada bekas itu boleh menyerap ke dalam makanan dan kemudian ke dalam tubuh manusia.

Katanya, Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkelaskan stirena sebagai bahan karsinogen kumpulan 2B iaitu agen penyebab kanser kepada manusia.

Ujarnya, stirena juga adalah mutagen yang boleh menyebabkan perubahan genetik yang berpotensi merosakkan sistem pembiakan dan berisiko kanser.

"Pendedahan kepada stirena walaupun sedikit boleh merendahkan bilangan sel darah merah selain kepada wanita boleh mengalami gangguan haid,'' katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Sumber: Kosmo!

Lagi berita tentang bekas makanan beracun...

Kebanyakan pinggan plastic di Malaysia dibuat daripada MELAMINE yang mengandungi 'urea formaldehyde' dan sangat berbahaya kepada kesihatan. Urea Formaldehyde adalah sejenis bahan yang biasanya digunakan untuk membuat bekas barangan elektik dan 'insulation' wayar elektrik. Bahan ini amat berbahaya jika memasuki badan manusia. Ia boleh menyebabkan masalah sistem penghadaman, masalah pernafasan, batu karang, kegagalan buah pinggang, cancer pundi kencing dan kerosakan sistem pembiakan.

Kebanyakan restoran-restoran di Malaysia juga menggunakan pinggan jenis ini kerana ia tidak mudah pecah dan kelihatan cantik seperti pinggan ceramic. Mudah sahaja untuk mengenali pinggan mangkuk yang diperbuat daripada melamine. Pada kebiasaanya di bawah pinggan ini tertulis MELAMINE. Tetapi pinggan-pinggan melamine yang dibuat di Thailand atau China selalunya tidak menulis perkataan ini di pinggan tersebut. Mangkuk pinggan melamine dari Thailand adalah jenis paling berbahaya disebabkan bahan kimia yang terdapat dalam pinggan mangkuk tersebut sangat mudah 'leech out' ke dalam makanan kita, terutamanya jika makanan itu panas. Oleh itu elakkan semua pinggan mangkuk plastik yg kelihatan berkilat seperti seramik, kerana ia kemungkinan besar adalah melamine.

Selain itu, bahan MELAMINE ini juga boleh bertindak-balas dengan bahan makanan dan membentuk racun yang lebih berbahaya, iaitu melamine cyanurate. Bahan ini akan membentuk
crystal seperti kaca yang boleh merosakkan salur darah dan buah pinggang.

Baru-baru ini kecoh berita tentang pencemaran melamine di dalam susu kanak-kanak. Kira-kira 15 bayi telah mati dan beratus-ratus sakit buah pinggang di China disebabkan oleh bahan ini. Pada tahun 2007 juga, telah kecoh di Amerika Syarikat kerana bahan melamine yang mencemarkan makanan haiwan peliharaan telah membunuh beratus-ratus binatang peliharaan. Ini adalah bahan yang SAMA digunakan di dalam pembuatan pinggan melamine.

Pinggan-mangkuk melamine ini banyak dijual di pasaraya besar di Malaysia. Untuk keselamatan, gunalah pinggan yg dibuat dari kaca atau seramik kerana bahan ini adalah sangat 'stable' dan tidak beracun.

Banyak kerajaan di Eropah, New Zealand, kerajaan Amerika Syarikat, dan juga kerajaan UAE telah mengharamkan semua mangkuk pinggan yang diperbuat daripada melamine.

CONSUMERS, BE ALERT!!!

Selasa, September 23, 2008

Malam Lailatulqadar



Soalan:

Bagaimana untuk kita mengetahui mengenai tanda-tanda kehadiran malam Lailatulqadar?

JAWAPAN:

Kata sesetengah ulama, malam Lailatulqadar berlaku pada satu malam tertentu seperti malam 21 dan 23 Ramadan. Ini menurut Imam Syafie r.a. dan sesetengah ulama kerana ada hadis Bukhari dan Muslim yang menceritakan Lailatulqadar berlaku pada malam tersebut sehingga Rasulullah SAW sujud dan dahinya yang mulia masih berlumuran tanah pada malam itu. Ada sesetengah ulama, tidak menentukannya secara pasti dan ada juga ulama terutama dari kalangan para zuhad dan sebagainya mengira dengan hari permulaan puasa.

Di dalam Al-Qur’an tidak diterangkan pada malam ke berapa malam Lailatul Qadar itu jatuh, tetapi di dalam hadis diterangkan bahwa sesungguhnya Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam beri’tikaf pada 10 hari awal di bulan Ramadhan menginginkan malam Lailatul Qadar, kemudian beliau beri’tikaf pada 10 hari pertengahannya dan mengatakan (yang artinya): “Sesungguhnya malam Lailatul Qadar itu jatuh pada 10 hari akhir di bulan Ramadhan.” Beliau melihatnya dan beliau sujud di waktu shubuh di tempat yang berair bercampur tanah, kemudian pada malam ke-21 di saat beliau i’tikaf, turunlah hujan maka mengalirlah air hujan tersebut pada atap masjid karena masjid Nabi shallallahu alaihi wa sallam terbuat dari anjang-anjang. Beliau menjalankan sholat subuh bersama para sahabatnya kemudian beliau sujud. Anas bin Malik berkata: ‘Aku melihat bekas air dan tanah dikeningnya, maka beliau sujud di tempat yang berair bercampur tanah.” (HR. Bukhori no.669 dan 2016, Muslim no.1167, dan 216 dari shohabat Abu Sa’id Al-Khudri).

Menurut mereka, sekiranya permulaan puasa jatuh pada hari Ahad atau Rabu maka Lailatulqadar ialah pada hari yang ke-29. Jika bermula puasa pada hari Jumaat atau Selasa, ia jatuh pada hari ke-27 dan jika permulaan puasa pada Khamis, Lailatulqadar berlaku pada 25 Ramadan. Sekiranya awal puasa pada Sabtu maka Lailatulqadar jatuh pada hari ke-23 dan jika awal puasa pada Isnin, seperti tahun ini, maka Lailatulqadar jatuh pada malam yang ke-21.

Demikianlah kaedah yang diguna pakai oleh sebahagian ulama termasuk Imam Abul Hasan r.a. Tegas beliau: Aku tidak pernah terlepas malam Lailatulqadar tersebut dengan menggunakan kaedah ini.'' Tanda dan alamatnya adalah banyak, antara lain malam itu sendiri berlalu dengan penuh keheningan dan tenteram, angin bertiup lembut sepoi-sepoi bahasa dan esoknya, pada pagi hari kelihatan langit agak redup dan cahaya matahari tidak begitu menyinari ruang angkasa dan macam-macam lagi. Hikmatnya ialah apabila seseorang mengetahui malam Lailatulqadar tersebut, maka eloklah diperbanyakkan doa dan istighfar juga ibadat pada malam dan keesokannya, untuk mendapatkan fadilat hari yang penuh berkat dan mulia itu. Yakinlah apabila seseorang itu bersedia setiap malam Ramadan dengan ibadat, sekurang-kurangnya bersolat jemaah setiap waktu, Maghrib, Isyak dan Subuh, kata ulama dia pasti memperoleh fadilat malam Lailatulqadar Oleh itu bersolatlah dengan tekun dan berterusan terutama pada bulan Ramadan al-Mubarak ini.

Wallahualam.



Siti Aisyah RadiaAllahhu Anha bertanya kepada Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, “Bilakah berlaku malam Al Qadr?” Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bertanya kembali kepada Siti Aisyah RadiaAllahhu Anha; “Apakah kamu nak buat bila kamu bertemu dengan malam Al Qadr?” Siti Aisyah RadiaAllahhu Anha menjawab “Saya tak tahu..”

Kemudian Siti Aisyah RadiaAllahhu Anha bertanya lagi “Apakah yang patut saya buat bila bertemu dengan malam Al Qadr itu?” Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berkata kepada Siti Aisyah RadiaAllahhu Anh, “Malam itu malam yang amat baik untuk beramal dimalamnya dan amat mudah dimakbul Allah doanya.”

Siti Aisyah RadiaAllahhu Anha bertanya lagi; “Apakah doa yang paling baik untuk aku berdoa pada malam itu?” Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menjawab; “ Kalau kamu sempat berjumpa dan mengetahui malam itu ialah malam Al Qadr maka berdoalah;


اللهم إنك عفو كريم تحب العفو فاعف عني

“Allah humma innaka ‘afuwun karimun tuhib bul ‘af wa fa’ fu ‘anni”

(Ya Allah.. Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampuni, ampunilah dosa-dosa ku).

Ini adalah doa yang dipesan oleh Baginda kepada kita demi meraih keampunan dan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala.. Sebaiknya tidak kita hanya menunggu untuk dibaca pada malam Al Qadr sahaja tetapi sepanjang bulan Ramadhan.. InsyaAllah pasti akan kita sempat bertemu pada malam yang lebih baik daripada 1000 bulan (83 tahun 4 bulan)

Jumaat, September 19, 2008

Terbaru: Teknik merancang keluarga

Mirena bukan sahaja satu kaedah pencegahan hamil, bahkan ia terbukti mampu membantu wanita yang mengalami kedatangan haid yang berat dan sakit.

MIRENA merupakan alat kecil plastik, mudah lentur dan berbentuk T ini disisipkan ke dalam rahim.
________________________________________

DALAM kehidupan moden hari ini, pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan mungkin memilih untuk tidak mempunyai cahaya mata pada awal perkahwinan demi menstabilkan kehidupan sebelum menerima tanggungjawab baru. Manakala pasangan yang sudah lama mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata pula akan turut membuat perancangan rapi sebelum menambah kehadiran ahli baru dalam keluarga.

Jika dahulu kebanyakan wanita menggunakan kaedah seperti kondom, pil, suntikan dan implanon sebagai kawalan kehamilan, sebelum beralih kepada kaedah kontraseptif. Namun, pemodenan dan teknologi terkini yang wujud hampir setiap waktu menjadikan wujudnya pelbagai kaedah lebih baik yang disyorkan oleh pengamal perubatan di negara ini.
Sejajar dengan keperluan gaya hidup masa kini, lebih ramai wanita mengimpikan kaedah kontraseptif yang bebas daripada sebarang kesan sampingan, 100 peratus berkesan dan memudahkan proses kehamilan setelah kaedah kontraseptif tidak lagi digunakan.

Terbaru, antara teknologi yang dikatakan paling efektif untuk pencegahan hamil masa kini ialah kaedah Mirena iaitu alat dalam rahim (IUS) yang disertakan dengan ubat hormon.Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pantai Cheras, Kuala Lumpur, Dr. Ho Choon Moy berkata, tidak seperti kaedah IUS lain, kaedah ini merupakan suatu kaedah pencegahan hamil yang bertindak lama dan memberikan kesan yang selamat.


"Mirena merupakan alat kecil plastik, mudah lentur dan berbentuk T ini disisipkan ke dalam rahim. Sarung di keliling batang alat ini akan melepaskan dos hormon levonorgestrel yang amat sedikit pada kadar yang tetap. Dari hari pertama lagi, Mirena menjadi kaedah pencegahan hamil yang amat berkesan dan dapat digunakan sehingga tempoh lima tahun," katanya. Bahkan, katanya Mirena lebih unggul daripada kaedah pemandulan lain kerana wanita boleh hamil semula.

Ho menjelaskan, kesan hormon yang dilepaskan menyebabkan mukus atau lendir serviks akan menjadi tebal sehingga sperma tidak dapat menembusi untuk mempersenyawakan telur. Pergerakan sperma secara biasa di dalam rahim dan saluran ovari juga menjadi terencat.

________________________________________

Bagaimanapun, lebih menyeronokkan apabila semua perubahan yang dialami oleh rahim ini boleh diubah balik selepas Mirena dikeluarkan. Ini bermaksud, wanita boleh hamil semula tanpa sebarang kesan sampingan dalam tempoh bulan pertama Mirena dikeluarkan daripada rahim mereka. Yang lebih menarik, Mirena bukan sahaja satu kaedah pencegahan hamil, bahkan ia terbukti mampu membantu wanita yang mengalami kedatangan haid yang berat dan sakit.

Ramai wanita di peringkat pembiakan lanjut terutamanya wanita yang telah melahirkan anak akan beralih kepada haid yang berat dan berpanjangan atau haid yang sakit. Haid yang berat dan berlarutan ini akan menyebabkan wanita menghidapi anemia atau kekurangan zat besi, sakit kejang otot dan sakit pinggang.


Mengenai putaran haid, Ho berkata, setiap bulan endometrium dalam rahim yang terdiri daripada sel dan kelenjar akan menebal dan proses penebalan ini dikawal atur oleh hormon. Endometrium yang menebal di peringkat awal kitaran haid sebagai persediaan untuk menerima telur yang tersenyawa.


"Jika persenyawaan tidak berlaku, mukrosa rahim diluruhkan apabila kitaran berakhir dan diperkumuh sebagai darah haid menerusi faraj," katanya.
Justeru, Mirena berfungsi apabila sedikit hormon levonorgestrel dilepaskan ke dalam rahim setiap hari dan kehadiran hormon ini ke dalam rahim akan merencatkan penebalan endometrium. Oleh itu, terdapat hanya lapisan endometrium yang nipis untuk diluruhkan. Itu sebabnya darah yang keluar pada penghujung kitaran berkurangan.

Secara puratanya, selepas satu tahun penggunaan Mirena, kira-kira 10 hingga 20 peratus pengguna Mirena tidak langsung mengalami kedatangan haid. Ini mungkin membimbangkan kebanyakan pengguna kerana mereka beranggapan kedatangan haid bulanan itu sesuatu yang semula jadi dan sihat, bahkan fungsi haid yang dikatakan untuk pencucian darah kotor dari tubuh wanita.


Pengguna Mirena usah bimbang kerana haid sebenarnya adalah suatu proses membuang lapisan rahim apabila kehamilan atau implantasi telur tersenyawa tidak berlaku. Mirena berfungsi untuk merencat penebalan endometrium yang terjadi mengikut kitaran. Ini bermakna pendarahan amat sedikit atau tiada langsung tetapi tidak betul jika ada yang mengatakan haid perlu ada untuk mencuci darah dalam tubuh seolah ia mempunyai proses perkumuhan. Ketiadaan haid juga hanyalah sementara ketika menggunakan Mirena tetapi selepas Mirena dikeluarkan, kedatangan haid akan pulih seperti biasa.

PERANCANGAN untuk menambah ahli keluarga perlu dibuat oleh setiap pasangan. - Gambar hiasan
________________________________________

Kebanyakan pengguna turut menyatakan kebimbangan ketiadaan haid itu menandakan terjadinya kehamilan. Ho berkata, selain itu, aktiviti hormon juga tidak terjejas walaupun tanpa kedatangan haid. Menurutnya, ovari tetap melepaskan hormon sepertimana sebelum Mirena disisipkan dan pengovulan tetap berlaku seperti biasa kerana Mirena memberikan kesan setempat sahaja.

Beliau turut menyatakan wanita yang tidak mengalami kedatangan haid selepas memakai Mirena tidak bermakna sudah putus haid kerana fungsi ovari tidak terjejas dan hormon tetap dilepaskan secara normal. Kemungkinan untuk hamil dengan Mirena adalah terlalu tipis. Bahkan, menurut kajian yang dilaksanakan ke atas 1,000 wanita yang menggunakan Mirena selama setahun, hanya satu atau dua orang sahaja berkemungkinan hamil.


Sumber: Bernama

Mohon dihindari kufur selepas dikurniakan nikmat


Tidak dapat kita nafikan, ada manusia yang dapat rezeki banyak jadi bakhil, kikir dan menjauhkan diri daripada beribadah. Kita dianjurkan bersyukur bila berhasil dalam setiap perkara yang kita lakukan dan seharusnya bersabar bila perkara yang kita lakukan, tidak/belum berhasil. Inilah sebaik-baik sifat orang mukmin yang dituntut agama Islam.

Dalam kitab hadis sahih Muslim, dari Shuhaib r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh mengagumkan orang-orang mukmin kerana pekerjaannya semuanya baik. Yang demikian tidak akan terdapat pada orang lain kecuali hanya pada orang mukmin. Kerana apabila dia berhasil (berjaya) dia bersyukur. Dan apabila ditimpa kesulitan dia sabar itulah (rahsia) Kebaikannya." (Shuhaib r.a., Bab - Zuhud (Suci dari kotoran dunia) No Hadis – 2515)

Mari kita lihat dilihat sejarah hidup sahabat Rasulullah SAW bernama Sya'labah bin Hathib. Semoga kisah ini menjadi pengajaran kepada kita semua. Sya'labah bin Hathib sangat rajin beribadat dan berjemaah di masjid bersama baginda. Akan tetapi, akhirnya beliau menjadi munafik, mungkir janji, meninggalkan Jumaat dan tidak membayar zakat hingga menjadi seorang yang ingkar.

Allah telah berfirman yang bermaksud, “Dan di antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah: "Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian karunia-Nya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang saleh. Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari karunia-Nya, mereka kikir dengan karunia itu, dan berpaling, dan mereka memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran). Maka Allah menimbulkan kemunafikan pada hati mereka sampai kepada waktu mereka menemui Allah, karena mereka telah memungkiri terhadap Allah apa yang telah mereka ikrarkan kepada-Nya dan (juga) karena mereka selalu berdusta. Tidakkah mereka tahu bahwasanya Allah mengetahui rahasia dan bisikan mereka, dan bahwasanya Allah amat mengetahui segala yang ghaib?” - (Surah at-Taubah, ayat 75-78)

Disebutkan dalam al-Quran dalam ayat di atas, bermaksud: “Dan antara orang munafik itu, adalah seseorang yang berjanji kepada Allah, dengan ucapannya: Sesungguhnya jika Allah memberi rezeki padaku, nescaya aku akan bersedekah, akan tetap patuh beribadat kepada Allah terutama akan mengorbankan harta bendaku ke jalan amal yang baik.”

Bagaimanapun, setelah mendapat rezeki dari Allah, dia menjadi bakhil, kikir dan menjauhkan diri daripada beribadah. Akhirnya ia dijadikan Allah seorang yang munafik dan penyakit nifak itu tertanam kuat dalam hatinya hingga akhir hayat disebabkan mungkir janji.

Sejarah hidup Sya'labah bin Hathib pernah dihuraikan ahli tafsir, Ahmad bin Muhammad Syamwi: Sya'labah seorang yang rajin solat jemaah dengan Rasulullah SAW di masjid akan tetapi dilihat oleh Rasulullah SAW, dia sering cepat pulang ke rumahnya sebaik selesai solat. Rasulullah SAW bertanya kepadanya: Kenapa kamu lekas pulang, sebagai kebiasaan orang munafik? Dia menjawab: Aku hidup miskin, kain yang kupakai solat ini dinantikan oleh isteriku di rumah untuk dipakainya bagi mengerjakan solat pula, kerana kain kami hanya sehelai ini saja, dipakai solat berganti-ganti. Ya, Rasulullah, doakanlah kepada Allah supaya melapangkan rezekiku.

Rasulullah SAW bersabda kepadanya: Aneh sekali kamu, wahai Sya'labah. Sesungguhnya harta benda yang sedikit, dengan penuh kesyukuran lebih baik daripada harta yang banyak, tetapi tidak sanggup melakukan kesyukuran.

Sya'labah yang sengsara hidupnya berkali-kali datang kepada Rasulullah SAW dengan permintaan sama, supaya Nabi SAW memohon doa kepada Allah dilapangkan rezekinya. Nabi pun menjawab seperti mana sabdanya di awal tadi juga.

Akhirnya Sya'labah meminta, melafazkan janji bersumpah. Dia berkata: Demi Allah, Tuhan yang telah mengurus engkau dengan sebenarnya, aku berjanji, bahawa jika aku diberi rezeki oleh Allah nescaya akan aku penuhi segala kewajipan yang bersangkut dengan harta benda itu.

Maka Rasulullah SAW pun mendoakan dengan ucapannya: Ya Allah, berilah Sya'labah rezeki dengan harta benda.

Maka Sya'labah mulai berternak kambing, dengan kudrat Allah ternakannya berkembang-biak seperti ulat. Akibatnya ia menjadi lebih sibuk, ia hanya pergi solat berjemaah dengan Rasulullah SAW pada waktu Zohor dan Asar saja, sedangkan Maghrib, Isyak dan Subuh, beliau solat di desanya.

Semakin hari ternakannya semakin banyak, sehingga terpaksa ia berpindah ke lain tempat yang jauh dari kota Madinah. Keadaan demikian membuat dia sibuk, tidak dapat lagi solat berjemaah dengan Rasulullah SAW, hanya sempat sekali seminggu saja pergi solat Jumaat bersama Rasulullah SAW.

Ternakannya semakin hari semakin berkembang-biak, sehingga ia terpaksa pindah lebih jauh lagi, Akibatnya ia tidak dapat lagi solat Jumaat, sekalipun hanya sekali seminggu.

Pada suatu hari Jumaat, Rasulullah SAW bertanya kepada orang ramai, bagaimana Sya'labah. Orang menjawab: "Wahai Rasulullah, Sya'labah sudah mempunyai ternakan kambing yang sangat berkembang-biak sehingga sudah kesempitan tempat. Rasulullah SAW mengucapkan: Celaka Sya'labah, celaka Sya'labah."

Setelah datang perintah wajib berzakat, Rasulullah SAW mengutus dua orang utusannya, seorang daripada Bani Sulaiman dan seorang lagi daripada suku Bani Jahinah untuk memungut zakat ke desa di luar kota Madinah, dengan membawa surat perintah berzakat.

Kedua utusan itu lebih dulu datang kepada Sya'labah, meminta zakat ternakannya, membacakan surat perintah Rasulullah SAW. Maka Sya'labah berkata: "Ternakan ini hanya pajakan, bukan kepunyaanku. Pergilah kamu keduanya terlebih dulu kepada orang lain dan jika sudah selesai, kembali lagi kepadaku."

Kedua utusan Rasulullah SAW pergi kepada seorang yang menternak unta daripada golongan Suku Bani Sulaim. Orang itu setelah mendengar perintah Rasulullah SAW lalu diserahkannya zakat daripada ternakannya. Kemudian kedua utusan itu pergi kepada orang lain yang layak mengeluarkan zakat.

Akhirnya, kedua utusan itu kembali menemui Sya'labah, Sya'labah minta surat perintah Rasulullah SAW dan dibacanya. Lalu katanya: "Ini hanya pajakanku. Pulanglah kamu keduanya, nanti aku fikir dulu."

Kedua utusan itu kembali kepada Rasulullah SAW. Belum mereka menyampaikan berita mengenai Sya'labah, Rasulullah SAW bersabda: “Wah, celaka Sya'labah. Wah, celaka Sya'labah.”

Lalu Rasulullah SAW mendoakan untuk kaum Bani Sulaim yang memilih unta yang baik sebagai zakat ternakan mereka, dengan doa kebaikannya. Kemudian kedua utusan itu menyampaikan berita penolakan Sya'labah sehingga turunlah ayat surah at-Taubah, ayat 75-78.

Kemudian Sya'labah datang kepada Rasulullah SAW menyerahkan zakatnya. Rasulullah SAW menjawab, al-Quran melarang untuk menerima zakat daripada Sya'labah. Maka Sya'labah berasa amat susah hati dan sedih sehingga dia siram kepalanya dengan tanah.

Rasulullah SAW bersabda: Inilah akibat perbuatan kamu sendiri, saya selalu perintahkan dulu, tapi hari itu kamu menolak, tidak mahu menurutinya. Tidak lama kemudian Rasulullah SAW wafat. Maka Sya'labah pergi kepada Abu Bakar, khalifah pertama untuk menyerahkan zakatnya. Abu Bakar menjawab, oleh kerana Rasulullah SAW menolak, ia tentu tidak dapat pula menerimanya.

Selepas Abu Bakar wafat, Sya'labah berulang-ulang menyerahkan zakatnya kepada Umar dan Usman. Kedua-dua khalifah itu pun menolak untuk menerima zakatnya, seraya berkata: Rasulullah SAW dan Abu Bakar sudah menolak, tentu kami tidak dapat pula menerimanya.

Begitulah Sya'labah yang mungkir janji sesudah berharta, berlimpah-ruah dan mewah, akhirnya dia meninggal di zaman khalifah Usman. Panjangnya umur Sya'labah kerana hidup di zaman Rasulullah SAW, zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Umar Ibnu Khattab dan meninggal di zaman Khalifah Usman.

Biarpun umurnya dipanjangkan, hartanya banyak berlimpah-ruah, tetapi kekayaan itu tidak diredai Allah. Maka, setiap insan beriman dianjurkan berdoa: “Jika Engkau panjangkan umurku berilah umur yang Engkau reda (umur yang engkau sukai), dan jika Engkau beri kekayaan berilah kekayaan yang Engkau reda.”

Renung-renungkan, dan selamat beramal!

Khamis, September 18, 2008

Pening bila tiba raya?

CERITANYA sama. Setiap kali menjelang Aidilfitri, si ayah mula bising. Mengapa tidak, bila hendak membuat persiapan raya, poket ayah jugalah yang menipis. Puas menyindir, letih juga menegur, nampaknya isu bajet raya terus menjadi topik hangat bersama isteri.

Tipikal lelaki - berbelanja hanya bila perlu dan semuanya perlu ada alasan logik. Isteri pula berlainan pendiriannya - Aidilfitri setahun sekali maka perlu diraikan penuh bergaya. Beginilah senarionya saban tahun malah isu hangat ini makin meruncing dengan peningkatan kos sara hidup keluarga. Selain musim jualan mega yang berlangsung dua kali setahun di negara ini, Ramadan juga dianggap antara ‘fasa kerancakan’ aktiviti membeli-belah bagi masyarakat tempatan. Dalam fasa ini, perbelanjaan seseorang, baik lelaki mahupun wanita banyak tertumpu kepada pembelian makanan dan juga persiapan menyambut hari raya.

Walaupun secara logiknya, seseorang sebenarnya boleh berjimat pada tempoh seperti ini memandangkan mereka harus berpuasa di siang hari (tidak perlu membeli sarapan, makan tengah hari dan minum petang, rata-rata individu masih tidak dapat mengelak daripada berbelanja lebih sepanjang bulan ini.

Situasi ini bagi seseorang lelaki mungkin lebih memeningkan buat mereka. Kebanyakan lelaki, tidak kira yang bujang atau berkeluarga menggalas tanggungjawab sebagai pembiaya ekonomi keluarga. Kedatangan Ramadan dan Syawal pastinya memerlukan golongan ini bersiap sedia dari segi kewangan untuk menampung perbelanjaan yang meningkat berbanding bulan biasa.

Waktu beginilah mereka terpaksa melayan permintaan keluarga yang berkehendakkan pelbagai benda baru, daripada pakaian, aksesori, juadah hingga kepada perhiasan rumah untuk sambutan hari raya, yang kononnya akan lebih bermakna dengan adanya semua kelengkapan ini. Mahu tidak mahu, cukup tidak cukup, permintaan keluarga tidak sampai hati untuk diabaikan. Bagi yang tidak bersiap-sedia mengikat perut dan menabung beberapa bulan lebih awal bagi mengharungi fasa ini mulalah mencongak-congak baki wang simpanan sama ada cukup atau tidak untuk bajet raya ini. Bagi yang sudah berpengalaman, bersiap sedia menyimpan dana perbelanjaan lebih awal pula nampaknya tidak begitu terbeban menghadapi Ramadan dan Syawal.

Bagaimana pula dengan kebanyakan lelaki di luar sana tahun ini? Adakah ramai yang menghadapi dilema kewangan kala tibanya Syawal? Adakah lelaki selaku ketua keluarga membuat pertimbangan dalam soal perbelanjaan musim perayaan ini? Sebenarnya, ini semuanya bergantung kepada seseorang individu bagaimana cara mereka menghadapi tanggungan perbelanjaan Hari Raya untuk keluarga mereka.

1. Mereka yang menghadapi masalah biasanya tidak melakukan persediaan dengan lebih awal. Setiap yang berkeluarga seharusnya sudah memikirkan mengenai bajet ini sejak awal tahun lagi. Jangan pula sudah tiba Ramadan baru hendak memikirkan semua ini. Memanglah memeningkan.

2. Mereka yang berperanan bapa dalam sesebuah keluarga juga bukan hanya perlu memastikan dana perbelanjaan mencukupi untuk persiapan raya tetapi juga untuk persiapan persekolahan anak-anak selepas musim raya nanti.

3. Kadangkala, bukan masalah tiada wang, tapi salah cara membelanjakannya. Ada segelintir lelaki yang terlebih belanja untuk perkara yang bukan keutamaan, misalnya untuk hobi memancing dan seumpamanya. Tidak dinafikan, memang dalam agama sendiri kita digalakkan untuk menyambut hari raya dengan kegembiraan, tapi tidak bermakna semua benda hingga kepada perabot dan kelengkapan rumah juga hendak ditukar setiap kali raya. Dalam tempoh ekonomi yang tidak menentu ini, kita perlu berfikir lebih rasional dan ikut kemampuan diri. Mana yang masih boleh digunakan, tidak perlulah diganti baru. Kalau tak dapat sediakan tiga pasang baju baru, sepasang pun sudah memadai.

4. Perkara yang perlu diberi keutamaan dalam peruntukan perbelanjaan hari raya, katanya adalah dari segi penampilan diri yang lebih cantik daripada hari biasa, makanan untuk meraikan sambutan ini dan tidak lupa, perbelanjaan bagi mereka yang bercadang untuk pulang berhari raya di kampung.

Dalam hal ini, golongan lelaki sebagai suami juga haruslah lebih bertegas dalam menentukan perancangan perbelanjaan yang berhemah supaya tidak berlaku pembaziran hingga menyusahkan pula di kemudian hari.

Bila Nak Bawa Isteri Shopping Raya

Apabila datang hari kebesaran ini, orang yang paling banyak sekali berfikir ialah kaum wanita atau istilah lainnya, isteri. Memerahkan otaknya menghias ruang tamu dan hidangan meja untuk menceriakan hari tersebut. Yang paling menjemukan kita ialah apabila dia mengajak kita pergi shopping. Suami yang paling susah hati ialah isterinya yang bekerja yang ada duit sendiri. Kita tiada 'kuasa' untuk menahan kehendaknya. Kita lebih rela menjaga anak di restoren atau taman kanak-kanak yang berdekatan dengan kompleks beli belah dari mengekor isteri kita bershopping. Bukan kita tidak suka dia membeli barang-barang untuk hiasan rumah dan juga anak-anak sebab kesemuanya itu adalah untuk memudahkan diri kita juga. Tetapi cara isteri kita shopping itu yang sangat menjemukan kita.

Mana tidaknya, dia akan tawaf satu komplek dulu 2-3 jam dan akhirnya barulah beli barang yang nak dibeli itu. Kita suami ni pula membeli secara objektif, sampai ke car park, terus ke kedai, beli, bayar dan terus pulang. 2-3 minit aje.

Lagi menjemukan kita bila dia inginkan pendapat kedua dari kita seperti, "Bang, kain ni sesuai tak dengan Yah?" sambil diletaknya sedikit hujung kain yang masih bergolong di rak pameran di atas lengannya. Kita pun kata, "Emmm, cantik? " Kemudian dia akan ambil lagi kain yang di sebelah dan diletakkan lagi di atas lengannya dan malah kali ini dilabuhkannya sampai ke hujung kaki dengan bertanya sekali lagi, "Yang ini pula Bang?" Kita pun menjawab, "Cantik juga." Dia pun naik kelabu fikirannya dan meminta kepastian, "Abang cakaplah betul-betul, yang mana sesuai untuk Yah?" Kita mula naik 'fed up'. "Mana-mana ajelah." Dengan meninggikan sikit suara agar cepat-cepat dia membuat keputusan.

Apabila dia tengok muka kita dah naik mencuka, dia pun letakkan kembali kedua-dua kain tadi dan terus beralih ke bahagian kanak-kanak untuk membeli pakaian anak-anak kita. Kita pun terasa puas dengan anggapan yang isteri kita tahu yang kita sedang marah padanya sebab banyak sangat membuang masa. Bila balik ke rumah isteri kita pula asyik bermasam muka sedangkan pakaian anak-anak semua dah dibelikan dan bahan-bahan untuk buat kek dan biskut pun semuanya lengkap. Kita pun naik pening. Harapan isteri kita pada pagi tadi yang begitu tinggi keseronokan pergi bershopping akhirnya bertukar kepada malam yang bermuram durja.

Mengapa boleh terjadi demikian?

1. Semasa kita keluar bersama-sama dengan isteri tadi, kita tidak dengan niat yang benar-benar mahu menolong dan menghiburkannya. Di dalam otak pemikiran kita masih ada agenda lain yang kita rasa lebih penting yang masih kita fikirkan. Atau kita telah membuat temujanji dengan kawan-kawan kita pada waktu yang tertentu pada sebelah petang hari itu juga. Ini menyebabkan fikiran kira sentiasa mendoakan agar aturcara shopping ini berakhir tepat mengikut apa yang kita jadualkan. Oleh itu jika isteri kita asyik membelek satu-satu kain ambil masa yang lama, kita mulalah nak menjadi 'time-keeper'. Jika lebih waktu, kita mula naik 'hot'.

2. Kebanyakan isteri kita ni amat teliti semasa membeli-belah dan ingin berjimat agar duit yang dia belanjakan itu bernilai tinggi baginya. Diikuti pula dengan cara pemikiran mereka yang menilai sesuatu barangan itu dari pelbagai sudut. Kalau kita sang suami hanya fokus kepada harganya sahaja. Tetapi isteri akan melihat dari sudut kesesuaian dengan kasutnya, sesuai dengan warna kulitnya, ada tak rakan sepejabatnya yang memiliki kain yang sama dan sebagainya. Inilah menyebabkan dia susah nak membuat keputusan. Maka pandangan kedua dari kitalah yang dia harap-harapkan sebagai kata pemutus. Jika kita kata, "Abang suka yang ini sebab corak dan warnanya memang abang suka." Pasti dia akan kembang kincup hidungnya dan terus membeli kain itu dengan hati yang riang. Nanti apabila rakan-rakannya komen, dia akan berkata, "Baju ini abang I yang pilih kainnya." Di berasa puas yang kasihnya terbelai. Abangnya telah menghargainya. Dengan hanya menyatakan sukanya kita atas pilih itu sudah cukup untuk mengembirakan dia pada bulan itu. Bukankah kita juga yang bahagia jika isteri kita gembira?

Pergi shopping adalah satu aktiviti yang dapat menghilangkan stress bagi isteri kita, malah menyeronokkan pula kerana:

  1. Hiasan di komplek itu menyeronokkan dan melegakan dia. Sebab di rumah dah jemu hiasan dalamnya.
  2. Pengunjung yang juga bershopping adalah "peragawati" bagi isteri ini melihat fesyen yang mereka pakai.
  3. Dia pula yang sengaja mengenakan fesyen up-to-date, menjadi jelingan rujukan pengunjung yang lain juga. Rasa megah di hati jika ada yang jelling padanya.
  4. Hiasan perabut dan susun-atur di kedai adalah rujukan hiasan dalaman di rumahnya.
  5. Dapat memegang dan memakai pakaian yang diminati, lebih meningkatkan kepuasan menilai pakaian sebelum dibeli.
  6. Mengetahui harga barangan terkini adalah satu senjata tawar menawar untuk mendapatkan harga termurah, terkualiti dan terpuas.
  7. Dapat membeli barangan/pakaian yang diimpikannya (diangan-angankan) itu laksana bulan jatuh ke riba, 2-3 hari masih seronok menceritakan kepuasan dapat memilikinya.

Oleh itu, jika kita telah bersetuju untuk bersama dengannya pergi 'shopping', maka letakkan niat untuk menolong dan menghiburkan isteri kita pada hari itu. Sebelum melangkah ke pintu, angkat tangan dan tadah ke langit dengan menyebut niat, "Sahaja aku keluar shopping untuk menghiburkan isteri pada hari ini kerana Allah Ta'ala."

Nah… Niat dengan ikhlas kerana Allah SWT akan dikira sebagai ibadah kerana meluangkan masa dan menghibur/menggembirakan isteri. Tak nak saham free ke? Alahai..… Kosongkan agenda lain yang mungkin mengganggu perjalanan agenda shopping di kepala kita. Pohonlah keberkatan daripada Allah SWT, sehari bersama dengan isteri.

Renung-renungkan dan selamat mencuba!!!

Jumaat, September 12, 2008

Suami harus kreatif mendidik isteri


Salam,

Pujangga Arab menyatakan kaum wanita dibekalkan dengan sembilan nafsu dan satu akal berbanding lelaki pula dibekalkan satu nafsu dan sembilan akal. Sejauh manakah anda memahami kenyataan di atas? Ini kata pujangga Arab, ya. BUKAN berdasarkan hadis Rasulullah SAW. Ramai orang keliru dengan ini, padahal Rasulullah SAW tidak sewenang-wenangnya merendah-rendahkan martabat kaum wanita. Saya tidak pernah jumpa hadis berkenaan ini, jika ada yang menyimpannya, harap dimaklumkan kepada saya.

Saya lebih senang mengungkapkan sembilan emosi satu logik bagi wanita dan satu emosi dan sembilan akal bagi lelaki (walaupun tidak 100% setuju dengan dakwaan pujangga ini). Ini kerana wanita dipertanggungjawabkan dengan perkara-perkara yang lebih memerlukan pertimbangan emosi dari logik. Manakala lelaki pula dipertanggungjawabkan dengan perkara-perkara yang lebih memerlukan pertimbangan logik dari emosi.

Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah risau, tidak sabar, mudah prasangka, pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung (sensitif) dan sebagainya. Ia amat jauh sekali dari isu nafsu atau syahwat seperti mana yang selalu diusulkan dengan definisi yg selalu kita dengar sebelum ini. Pendek kata, hasil dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan (emosi) di dada wanita, sebab itulah dikatakan juga bahawa sembilan per sepuluh daripada diri wanita itu adalah perasaan dan satu per sepuluh saja pertimbangan akal.

Atas dasar inilah, wanita mesti dipandu atau dibimbing oleh lelaki agar segala tidak tanduknya tidak melulu mengikut perasaan semata-mata. Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa belajar sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta memenuhi dada dengan ilmu syariat juga. Barulah nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri sekalipun ada kalanya menghadapi ragam isteri yang mampu mencabar kesabaran suami. Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Allah bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang rasional tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki itak mudah tersinggung berbanding dengan wanita.

Jika kekuatan akal ini dapat dimanafaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa. Firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lainnya (wanita), dan kerana mereka (lelaki/suami) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka....” (Surah An-Nisa, ayat 34).

Kesabaran dan kebijaksanaan

Tercetusnya kebahagiaan rumahtangga ialah apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi karenah dan ragam isteri. Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan suami menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri besar kepala. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan nafsu sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh membahayakan isteri. Maknanya, tanpa kesabaran, seseorang itu boleh hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan berpandukan ilmu tasauf.

Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala wanita makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Umpamanya, jika isteri sedang berduka, suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri.

Kekuatan sabar

Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri. Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu (emosi) wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah SAW. Tatkala Rasulullah SAW lalu di sebelah rumahnya, dia akan membaling sampah kepada Rasulullah SAW. Adakalanya dia menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan yan gakan dilalui oleh Rasulullah SAW. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Rasulullah SAW lalu di sebelah rumahnya. Tetapi perbuatannya sedikitpun tidak diperdulikan oleh baginda Rasulullah SAW.

Suatu hari Rasulullah SAW berasa pelik kerana perempuan tua itu tidak lagi menghalangi perjalanannya. Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya jiran perempuan tua tersebut. Rupa-rupanya perempuan tua itu sedang sakit, lalu baginda naik ke rumahnya denga tujuan untuk berziarah. Rasulullah SAW bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tua tersebut melihat akhlak Rasulullah SAW yang sanggup menziarahi dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya sifat sabar Rasulullah SAW menghadapi karenah perempuan tua itu menyebabkan terbuka hatinya memeluk Islam. Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak karenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap suami dan anak-anak. Wanita begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raga untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya, bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa memiliki isteri yang solehah, maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh daripada agamanya.” Rasulullah SAW juga bersabda, “Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.” Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya dunia itu manis. Dan sesungguhnya Allah telah menguasakannya kepada kamu sekelian. Kemudian Allah menunggu (memperhatikan) apa yang kamu kerjakan (di dunia itu). Kerana itu takutilah dunia dan takutilah wanita, kerana sesungguhnya sumber bencana Bani Israel adalah wanita.” (Hadis Riwayat Muslim)

Menjadi Isteri Solehah

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)

i) Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumahtangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami.

ii) Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya (hadis daif) manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya (BUKANNYA syurga suami di telapak kaki suami, istilah ini salah! Rujuk entry Syurga-di-tapak-kaki?) Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul.

iii) Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.

iv) Kunci kerukunan rumahtangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya. Namun yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumahtangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya.

v) Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjwab. Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.

Sungguhpun begitu, wanita yang dikatakan mempunyai sembilan emosi satu logik ini bukanlah insan yang lemah. Wanita sebenarnya diciptakan dengan satu kekuatan yang maha hebat, tetapi sukar dilihat. Kekuatan yang dimaksudkan ialah kekuatan emosi. Oleh sebab itulah wanita diberi peranan sebagai isteri. Atas sebab kekuatan emosi ini juga, wanita ditugaskan memegang tanggungjawab sebagai seorang ibu. Kekuatan emosi ini ialah sabar, tabah, gigih, cekal dan tidak mudah putus asa.

Apabila wanita dapat dididik dengan betul, maka ia dapat memberi kebaikan kepada seluruh umat kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan yang solehah akan membahagiakan seluruh isi alam.

Fikir-fikirkan.

Rabu, September 10, 2008

Isteri Ada Hak Ceraikan Suami



Assalamualaikum,


Benarkah Islam membenci penceraian secara mutlak? Bagaimana pula jika suami zalim, haruskah isteri hanya disuruh bersabar kerana kononnya tidak mahu menggoncang arasy Allah SWT? Dan bagaimana pula kenyataan (dari sebuah hadis) yang disebarkan di kalangan kita, wanita yang meminta cerai daripada suami, takkan dapat mencium bau syurga? Maka ramailah yang takut dan terus taat pada suami walaupun hakikatnya suami tidak seperti suami yang sewajibnya diperintah Allah. Kenyataan yang sering disebut-sebutkan itu tidak lengkap, maka banyaklah silap faham di kalangan kita terutamanya para isteri tentang hak-hak mereka.


Sesungguhnya di antara lelaki dan wanita itu terdapat perbezaan dalam membuat sesuatu keputusan di mana kebiasaannya wanita itu lebih mudah tunduk pada perasaan apalagi jika sedang berada di saat-saat genting di mana persoalan perceraian sebenarnya memerlukan kepada pemikiran yang rasional. Mari kita lihat hadis yang lengkap, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram kepadanya bau syurga.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi).


Memang, sebagai isteri, anda tidak boleh terus menceraikan suami (membubarkan ikatan perkahwinan) serta merta. Keputusan itu hendaklah dijatuhkan setelah melalui proses muhasabah, mengkoreksi kesalahan masing-masing dan mahu memperbaiki keadaan. Tetapi jika suami tidak mahu berubah setelah isteri memberi peluang, maka isteri harus berfikir ke arah yang lebih jauh lagi, demi masa depan diri sendiri dan anak-anak.


Isteri ada hak untuk memutuskan ikatan perkahwinan dengan melakukan khulu’ (tebus talak oleh isteri) dan penerimaan ‘iwadh (ganti diterima oleh suami sebagai penebusan). Khulu’ bermaksud permintaan cerai kepada suami dengan pembayaran yang disebut ‘iwadh bagi menebus talaknya. Malangnya perlaksanaan hak wanita ini sering tidak dipenuhi. Lagi menyedihkan apabila wanita itu sendiri tidak mengetahui Apatah lagi memahami hak mereka yang demikian besar. Manakala pihak yang berwajib mempertimbangkan dan meluluskan hak wanita ini pula bersikap tidak endah akibat kejahilan memahami kehendak syariat Islam, akibat terlalu mengikut prosedur yang kadangkala menyalahi kehendak syarak.


Firman Allah SWT yang bermaksud; “……dan tidak halal bagi kamu mengambil kembali dari sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali kalau keduanya (suami isteri) khawatir tidak akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Jika kamu khuatir bahawa keduanya (suami isteri) tidak dapat menjalankan hukum-hukum Allah, maka tidak ada dosa atas keduanya tentang bayaran yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. Itu hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Baqarah, ayat 229)


Sebahagian ahli masyarakat memandang talak adalah suatu perkara yang sentiasa negatif. Padahal talak adalah satu jalan penyelesaian bagi masalah yang tidak terungkai melainkan dengan jalan ini. Akibat ianya disekat dan disusahkan pula, pasangan yang mahu berpisah (yang sepatutnya) secara baik, akhirnya berpisah secara buruk dan menimbulkan permusuhan dan dendam sehingga memudaratkan banyak pihak terutama anak-anak.


Apatah lagi wujud anggapan yang menyatakan kalau dijatuhkan talak, maka akan bergegarlah ‘Arasy… Maha Suci Allah! Apakah benar kata-kata sedemikian? Dalam hadis Abdullah bin Abbas r.a., beliau meriwayatkan bahawa isteri Thabit bin Qays datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya bukanlah memandang aib dan rendah pada akhlak dan agama suami saya, tetapi saya tidak mahu hidup dalam keadaan kufur sebagai seorang Islam (akibat tidak menyenangi suami).” Sabda Rasulullah SAW, “Apakah kamu mahu mengembalikan kepada suami kamu ladang kurmanya (yang menjadi mas kahwin kamu dahulu)? Jawabnya, “Ya, saya bersedia.” Lalu baginda menyuruh Thabit bin Qays dengan bersabda, “Ambillah ladang kurma itu dan talakkan dia dengan satu talak.” (Hadis riwayat al-Bukhari, al-Nasaie dan Ibnu Majah)


Isteri Thabit bin Qays bukanlah mahu membubarkan perkahwinannya kerana buruknya akhlak dan lemahnya agama suaminya, tetapi dia tidak mahu kufur dalam pergaulan dengan suaminya dan bimbang dia cuai dalam kewajipan terhadap suaminya, disebabkan dia tidak menyukai suaminya. Lantas Rasulullah SAW memberikan dia nasihat dan pandangan, bukan suatu kewajipan agar dia mengembalikan ladang yang menjadi mahar suaminya dulu. Inilah khulu’ yang pertama berlaku dalam Islam dan inilah dia maksud mu’awadah (tukaran barang) dalam khulu’.


Secara umumnya apa sahaja yang boleh dijadikan mahar (mas kahwin) boleh dijadikan bayaran khulu’. Iaitu setiap barang yang bernilai atau mempunyai manfaat dan ditentukan secara pasti tentang benda dan faedah yang hendak digunakan sebagai bayaran khulu’ tersebut. Nafkah yang wajib ke atas suami kepada isterinya atau nafkah anak kecil yang berada di bawah jagaan ibu atau bayaran susuan dan jagaan anak dengan ditentukan jangka waktunya juga boleh dijadikan bayaran khulu’ dari isteri. Dengan ini nafkah yang wajib dibayar oleh suami tidak perlu lagi dibayar dan ia ditanggung sendiri oleh isteri.


Di antara kesan khulu’ ialah bekas suami tidak boleh rujuk kepada bekas isterinya, bekas suami tidak boleh menambah talaq ke atas bekas isterinya, bekas suami tidak boleh menambah talaq ke atas bekas isterinya dalam waktu ‘iddah dan suami juga tidak boleh berkahwin dengan bekas isterinya kecuali dengan akad dan mas kahwin yang baru. Iddah bagi isteri yang dikhulu’ adalah sekali haidh dan pembubaran menerusi khulu’ ini boleh dilakukan pada bila-bila masa iaitu waktu suci atau waktu isteri sedang haidh. Maka berdasarkan khulu’ ini inisiatif untuk perceraian datang dari pihak isteri sendiri dan alasan yang boleh diterima oleh syarak. Namun dalam hal ini mana-mana suami adalah dilarang menggunakan kesempatan untuk bertindak menimbulkan kesukaran kepada isterinya bagi mendapat khulu’ daripadanya kerana dalam kes begini ahli feqah berpendapat khulu’ adalah batal dan bayaran tebus talaq dipulangkan kepada si isteri semula.


Agama Islam adalah syariat yang adil kepada kedua jantina, lelaki dan wanita. Islam sama sekali tidak pernah membezakan hak Apatah lagi menzalimi manusia kerana perbezaan jantinanya. Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia pula sedaya mungkin mahu membela hak dan persamaan kedudukan antara lelaki dan wanita dalam akad kontrak perkahwinan yang diwujudkan. Tetapi mngapa sering kedengaran wanita dizalimi? Hak wanita diabaikan, wanita dipukul, dihina, dibiarkan kelaparan tanpa nafkah dan pelbagai bentuk kezaliman yang dilakukan, namun amat lambat mendapat pembelaan. Sesuatu perlu dilakukan, terutama oleh pihak yang berkuasa. Manakala badan sukarela pembela wanita wajar berperanan lebih serius dalam hal ini sama ada dengan memantau perlaksanaan undang-undang yang sepatutnya membela wanita dilaksanakan secara lebih telus, atau dengan membantu wanita yang mahu mendapatkan hak mereka secara saksama.

Fikir-fikirkanlah!


Sumber: Dr Hj Juanda Jaya (juanda77@hotmail.com) pendakwah bebas, (bekas timbalan Mufti Sarawak)

Selasa, September 09, 2008

Tajdid Iman: Jenayah lidah, nafsu punca rosak segala ibadat

Bersama Dr Juanda Jaya (BHarianOnLine 09/09/2008)
juanda72@hotmail.com, juanda@msu.edu.my


Amalan zikir jamin puasa sempurna, dorong diri sentiasa berusaha untuk kebaikan

PUASA adalah urusan peribadi seorang hamba dengan Allah. Begitu rahsia sifatnya kerana tiada siapa yang tahu apakah seseorang itu benar-benar berpuasa atau dia hanya berpura-pura. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Puasa juga berperanan membentuk kasih sayang dalam diri hamba kepada Allah. Ibadat yang istimewa itu berhasil mengajar kita mengenai rahsia ketundukan dan kesabaran di atas perintah-Nya. Bukan senang mendapat pahala puasa yang dijanjikan Allah. Entah-entah ibadat puasa itu mungkin rosak oleh pengaruh persekitaran dipenuhi gangguan hawa nafsu yang bersekutu. Ada beberapa tanda menunjukkan puasa seseorang itu cacat seperti dijelaskan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan dusta maka Allah tidak berhajat kepada usahanya meninggalkan makan dan minum (puasanya)." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Mengapakah Allah amat membenci lidah yang suka bermaksiat sehingga memberi amaran kepada orang yang berpuasa dengan amaran begitu keras? Tidak dinafikan jenayah lisan bukan hanya menjadi penyebab rosaknya puasa, tetapi ia juga menjadi sumber kerosakan segala ibadat.

Jenayah lisan juga menjadi racun yang mematikan kasih sayang dalam pergaulan sesama insan, menyuburkan benih dendam dan kebencian dalam persaudaraan. Apabila manusia terdedah kepada bahaya fitnah, saling mencela, berprasangka buruk atau menghina secara terang-terangan maka akan rosaklah kehidupan yang asalnya aman dan damai.

Justeru, strategi paling berkesan bagi menghindari maksiat lisan sudah diajar Rasulullah SAW melalui penyaksian Ummul Mukminin Aisyah yang berkata: "Sesungguhnya Rasulullah sentiasa berzikir kepada Allah setiap saat." (Hadis riwayat Muslim)

Alangkah eloknya apabila kita boleh memujuk diri dan membulatkan tekad untuk sentiasa berzikir seperti mana amalan Rasulullah SAW. Walaupun tujuan sebenarnya ialah untuk menghadirkan Allah pada setiap perbuatan, supaya lurus segala amal zahir dan batin, amalan zikrullah juga diyakini boleh menyibukkan lidah dan hati sehingga keduanya tidak berpeluang melakukan maksiat.

Zikrullah menjamin puasa yang sempurna, hati hidup dan jasad sentiasa bergerak untuk kebaikan. Selepas memahami tanda puasa yang cacat dan ubat mujarab untuk mengubatinya, seharusnya kita juga menggali kefahaman mengenai tanda puasa yang sempurna iaitu:

1. Ikhlas beramal secara sembunyi dan terang-terangan.

Setiap mukmin yang beramal ada kalanya terpaksa menghadapi bisikan hati yang ragu-ragu terhadap amalannya itu. Bisikan itu memujuk supaya menyembunyikan amal daripada pandangan manusia sebagai syarat keikhlasan. Padahal fitrah manusia suka kepada pergaulan, saling mempengaruhi dan berhubungan satu sama lain.

Maka tidak menjadi kesalahan melakukan amal secara terang yang dilakukan berjemaah atau di hadapan khalayak ramai. Amal yang terang di hadapan orang lain tidaklah kecil kedudukannya di samping amalan tersembunyi. Kesan dari melakukan amal secara terang amatlah baik untuk persekitaran kita. Bukankah amal itu boleh menjadi teladan untuk diambil peringatan?

Nyata silapnya pandangan mengenai amal yang dilakukan dengan terang-terangan kononnya dapat merosakkan niat. Sedangkan hadis Rasulullah SAW menjelaskan yang mafhumnya: "Sesiapa yang menunjukkan kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya." (Hadis riwayat Muslim)

Tetapi hasutan syaitan tidak akan pernah menyerah untuk memperdaya manusia, dibisikkan ke dalam hati orang yang beramal secara terang-terangan itu mengenai bahaya riak supaya orang itu mengalami keraguan dan akhirnya langsung meninggalkan amal.

Cara ubati was-was yang dihembus syaitan seperti diterangkan al-Imam Fudail bin 'Iyyad katanya: "Meninggalkan amal kerana manusia itu adalah riak. Beramal kerana manusia itu adalah syirik. Adapun ikhlas ialah Allah menyelamatkan kamu daripada keduanya."

2. Reda dan gembira

Tanda puasa yang sempurna selain ikhlas kepada Allah ialah reda dan gembira. Tidak merasa berat melakukan ibadat bahkan merasa gembira dengan mengingat janji Allah kepada orang yang berpuasa.

Janji-janji Allah itu dikhabarkan Rasulullah SAW dalam hadis Baginda antaranya:

Pertama ialah pahala istimewa yang menjadi rahsia Allah disimpan untuk orang yang berpuasa. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Allah berfirman: Puasa itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Janji Allah yang kedua, diampunkan segala dosa seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa dengan keimanan dan keikhlasan maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ketiga, dijauhkan dari api neraka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah seorang hamba yang mengerjakan puasa satu hari kerana Allah, melainkan Allah menjaga dirinya dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun kerana puasanya yang sehari itu." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keempat, imbalan tunai dan kesihatan jasmani. Sebelum pakar kesihatan mengkaji dan menemukan manfaat puasa, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Berpuasalah nescaya kamu akan sihat." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kelima, doa yang tidak akan ditolak. Rasulullah SAW menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud: "Tiga orang yang doanya tidak akan ditolak; pemimpin adil, orang berpuasa sehingga dia berbuka dan orang yang teraniaya." (Riwayat Ahmad, al-Nasai, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Keenam ialah masuk syurga melalui Bab al-Rayyan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang termasuk golongan orang mengerjakan sembahyang maka ia akan dipanggil dari pintu solat. Barang siapa termasuk golongan orang melakukan jihad, maka ia akan dipanggil dari pintu jihad. Barang siapa termasuk golongan orang yang berpuasa maka dia akan dipanggil dari pintu al-Rayyan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Enam ganjaran tadi boleh menjadi pemacu ke arah kesempurnaan puasa. Saat menahan lapar dan dahaga, ketika menghidupkan malam dengan ibadat, membaca al-Quran pada siang hari, bersedekah, bekerja dan menuntut ilmu, ketika zikrullah tidak terlucut dari hati dan lisan, ingatlah enam ganjaran ini.

Puasa itu memberi kesan kepada keperibadian

Selepas seseorang itu bersusah payah mengawal hawa nafsunya sepanjang Ramadan, tetapi ketika berakhirnya Ramadan dia kembali menjadi orang panas baran, tamak, rakus dan gelojoh maknanya puasanya itu tidak memberi kesan kepada keperibadiannya. Dia tidak mencapai matlamat ditetapkan al-Quran.

Hal ini dijelaskan firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Matlamat akhir ibadat puasa ialah mendapatkan bekalan takwa yang cukup untuk menjalani hari-hari seterusnya. Maknanya pada Syawal pun kita masih merasai nikmat beribadah seperti dirasai pada bulan Ramadan. Tetapi ramai melepaskan pakaian takwanya ketika memasuki Syawal dan seterusnya tenggelam mengikut arus kecuali orang yang diberi cahaya petunjuk Allah. Berhasilkah puasa membentuk keperibadian? Hal ini bergantung kepada sejauh mana kesungguhan seseorang menghiasi diri dengan pakaian takwanya atau dia mengganti pakaiannya itu dengan fesyen tidak diredai Tuhannya.

Aduhai, alangkah ruginya manusia itu di dunia dan akhirat.