PAGE

Ahad, Mac 21, 2010

Biarlah perceraian jalan terakhir yang dipilih


Assalamualaikum warahmatullah,

Akhir-akhir ini, banyak sekali kes perceraian terjadi. Tidak hanya di kalangan artis, tetapi ini juga terjadi pada masyarakat biasa. Sempat saya baca akhbar yang melaporkan alasan pelik dan lucu yang membawa kepada runtuhnya sesebuah perkahwinan.

Dalam akhbar Utusan 28/2/2010 (Rujuk : Utusan atau Terlupa beli makanan punca cerai? dan Hutang kahwin faktor rumah tangga retak), Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan berkata, ada isteri yang baru tiga hari berkahwin meminta cerai kerana suami terlupa membeli makanan yang dipesan. Antara alasan lain yang diberikan ialah kuat merokok, ubah suai alat kelamin, pasangan bodoh atau lembam, berkira dengan pasangan, banyak bercakap serta kurang memuji. Suami pula ada yang menceraikan isteri gara-gara isteri lewat menyediakan minuman. Alasan remeh lain ialah isteri lambat menyediakan makanan, pasangan bangun tidur lewat, balik lambat dan kurang berkomunikasi. Ini adalah antara lebih 200 alasan remeh yang menjadi punca penceraian pasangan Islam di negara ini.

Selain daripada itu, tubuh badan yang gemuk dan berbau busuk serta tidak menjaga keterampilan diri semasa hendak melakukan hubungan seks juga merupakan antara faktor yang menyebabkan berlaku penceraian. Menurut kajian rambang yang dilakukan oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) terhadap suami atau isteri yang bercerai mendapati faktor tersebut merupakan perkara utama mengapa mereka bercerai selain daripada masalah kewangan dan sikap pasangan masing-masing. Masalah ini bukan sahaja tertumpu kepada wanita tetapi juga kepada lelaki yang dilihat tidak menjaga diri seperti buncit, tidak memberus gigi, mulut berbau busuk dan pelbagai lagi kekurangan dari segi fizikal yang menyebabkan isteri tidak tahan atau tidak dapat menerima.

Kegagalan pasangan melangsaikan hutang pernah dibuat untuk menghadapi kenduri besar sewaktu mula memasuki alam rumahtangga juga dikesan menjadi antara faktor penyumbang keretakan institusi perkahwinan. Disebabkan hutang itu, ada pasangan mengungkit di kemudian hari dan secara tidak langsung memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga. Walaubagaimanapun, kegagalan membayar hutang terbabit bukanlah faktor besar, cuma sampingan sahaja. (updated 26/03/2010)

Peratus penceraian di Malaysia mencecah 22% sejak beberapa tahun lalu dan dijangka terus meningkat dan antara penyumbang kepada kes-kes tersebut adalah masalah hubungan di antara suami dan isteri yang tidak diselesaikan. Penceraian seumpama iaitu dengan memberikan alasan remeh-temeh ini adalah penyumbang terbesar peningkatan kes-kes penceraian di negara ini. Statistik penceraian seluruh negara pada 2008 meningkat kepada 22,289 berbanding 21,051 kes pada tahun 2007. Daripada jumlah tersebut, purata 35% kes adalah pasangan yang tempoh perkahwinan mereka kurang 5 tahun.

Fenomena seperti ini sangat membimbangkan kerana jika kita lihat alasan yang hampir tidak munasabah ini, kita akan dapati sifat sabar dalam kalangan pasangan muda makin tipis. Kadar penceraian yang meningkat akan mendatangkan masalah sosial, kesan psikologi serta membantutkan perkembangan kehidupan berkeluarga.

Saya yakin kes perceraian disebabkan alasan pelik dan lucu itu memang ada berlaku, namun peratusannya amat kecil. Banyak alasan lain yang lebih munasabah kepada pasangan bercerai. Faktor utama perceraian di pihak suami ialah tidak bertanggungjawab, suami ada orang ketiga (curang), berfoya-foya, mendera isteri (keganasan rumahtangga), masalah kewangan, tidak menjalani tuntutan agama dan panas baran. Di pihak isteri pula faktor ialah isteri ingkar perintah suami, kemudian isteri lari keluar rumah, tidak mahu dimadu, tak bertanggungjawab iaitu tidak menjalankan tugas sebagai isteri dengan sempurna, termasuklah tidak patuh. Itu lebih dijadikan faktor yang mendorong perceraian. Kemungkinan juga pasangan memberikan alasan sebegitu sebenarnya mempunyai sebab lebih kukuh, namun enggan mendedahkan perkara yang sebenarnya.

Walaupun sudah bertahun-tahun berkahwin, kita tetap mahu menjaga agar perkahwinan kita diberkati selamanya. Tip ini bermanafaat kepada pasangan yang bercadang mendirikan rumahtangga atau kepada pasangan lama yang mahu menyegarkan semula hubungan mereka bersama pasangan. Ia adalah berdasarkan dari pembacaan saya dan juga pengalaman selama 7 tahun lebih sebagai seorang isteri.

Berikut sedikit tip bagaimana menjaga keutuhan rumahtangga :

1. Tentukan niat bernikah. Jika kita menikah dengan niat beribadah mencapai keredhaan Allah, insya Allah, Dia selalu membimbing kita. Tapi jika niatnya lain, misalnya ingin memiliki keturunan dan sebagainya, kita pasti akan kecewa kepada pasangan kita jika tidak dapat memiliki keturunan. Dan ini menjadi salah satu penyebab perceraian.

2. Sentiasa bersyukur. Banyakkan bersyukur pada Allah dan terima pasangan kita seadanya. Bukankah Allah pernah berjanji pada hamba-Nya, jikalau kamu bersyukur akan Aku tambah nikmat-Ku.

3. Komunikasi. Ramai menganggap remeh perkara ini. Jika zaman bercinta, sanggup bersengkang mata berbual dan berkomunikasi dari lewat malam hingga ke pagi, bila sudah berkahwin, komunikasi tidak lagi dianggap penting. Tidak ada manusia yang sama sepanjang masa. Berapa lama pun usia perkahwinan kita, tidak dapat menjamin kita akan mempertahankannya jika tidak didukung oleh komunikasi yang lancar. Apa pun kita rasakan, baik atau buruk, senang atau susah, sihat atau sakit, sebaiknya dikomunikasikan bersama pasangan kita. Segala permasalahan yang berlaku dalam rumahtangga hendaklah dibawa berbincang. Sekiranya ada perasaan tidak puas hati antara satu sama lain, luahkan, jangan disimpan terlampau lama. Dengan komunikasi atan meminimumkan salah faham di antara pasangan.

4. Elakkan pertengkaran yang berpanjangan. Pertengkaran antara suami-isteri adalah perkara biasa, adalah mustahil sekiranya tidak terdapat perselisihan faham antara suami-isteri. Sekiranya bertengkar salah seorang mestilah beralah sama ada suami atau isteri, keluar rumah seketika dan ambil angin bagi tenangkan kembali ataupun redakan perasaan marah kita itu. Selalunya, bila kita berada dalam keadaan marah, apa yang dikata atau apa yang kita lakukan akan lebih dipengaruhi oleh emosi. Pada masa itu jugalah, macam-macam perkataan yang kurang sedap akan keluar, dan tidak mustahil perkataan yang keluar itu akan menguris atau menyinggung perasaan antara satu sama lain.

5. Kawal emosi dan bermujahadah. Bersabarlah, jangan sakiti hati pasangan dan jangan berdendam, kerana walaupun semasa bergaduh rasa menang tetapi hakikatnya dua-dua kalah (rugi). Rumahtangga yang menjadi mangsa. Zip mulut dengan memperbanyakkan zikir, baca quran dan jangan buang masa dengan perkara-perkara yang melalaikan. Sentiasa baik sangka dengan pasangan.

6. Tolong-menolong dalam melakukan kerja rumah. Zaman sekarang, ramai yang isteri keluar bekerja atas dasar membantu suami kerana suami kurang berkemampuan menanggung keluarga. Bagi suami yang isterinya sama-sama bekerja, suami kenalah membantu isteri dalam membuat kerja-kerja rumahtangga. Janganlah dibiarkan isteri melakukan semua kerja rumahtangga seorang diri. Isteri sedia mengambil alih peranan anda sebagai suami, jadi amat wajar anda juga ambil alih kerja rumahtangga yang mampu anda buat sebagai menghargai pengorbanan isteri.

7. Home sweet home… rumah kemas dan bersih. Suami isteri mesti bekerjasama dalam memastikan rumah hendaklah sentiasa kemas dan bersih agar sedap mata memandang, mendamaikan emosi dan melegakan stress setelah seharian penat bekerja. Sekali-sekala ubahlah posisi meja, sofa, almari dan lain-lainnya. Untuk menampakkan kelainan. Usahakan suami-isteri berkebun juga salah satu cara mengeratkan hubungan.

8. Muhasabah diri. Selalu minta ampun dengan Allah kerana kita hamba-Nya yang lemah tak akan pernah lepas dari membuat kesilapan. Kenali hati budi pasangan, jadilah orang yang suka memaafkan dan meminta maaf, indah bukan? Jangan rasa rugi atau malu jika kita (terutama suami) meminta maaf terlebih dahulu.

9. Berdoa. Doa adalah senjata orang mukmin. Yang ini saya 'selit'kan sedikit info yang saya petik dari artikel asal dari blog CikSuzana rakan blogger --> Selarikan kehendak dan doa .. Katanya, ramai daripada kita yang masih belum faham hakikat berdoa yang sebenarnya. Ada yang meminta orang lain yang dirasakan lebih alim atau warak berdoa bagi pihaknya. Ada yang mencari dan membeli buku himpunan dan berusaha membaca walau merangkak dan teragak-agak. Tak kurang juga yang berusaha mengerjakan solat hajat dan istikharah bagi mendapatkan petunjuk Ilahi. Saya tak kata segala tindakan dan perbuatan tersebut salah cuma kurang tepat.
  • Kenapa perlukan orang lain berdoa untuk anda sedangkan hanya anda sendiri yang betul-betul faham dengan kehendak anda?
  • Kenapa perlu membaca bacaan doa yang anda langsung tak faham apakah yang anda sedang minta?
  • Kenapa perlu tunggu waktu solat hajat atau istikharah untuk mengemukakan hajat dan permintaan anda kepada Allah?
Praktikkan untuk berdoa memohon yang terbaik. Sebagai contoh, berdoalah minta jika meneruskan perkahwinan adalah yang terbaik untuk anda dan suami, mohon agar suami berubah sikap menjadi seorang suami yang dapat melaksanakan tanggungjawab nafkah zahir dan juga batin. Jika sebaliknya, mohon agar dimudahkan jalan untuk mengakhiri perkahwinan anda. Paling penting, doakan agar apa juga keputusan terbaik yang diberikan oleh-Nya, anda akan kekal tabah dan kuat untuk meneruskan hidup dan dapat terima dan percaya, ada hikmah di sebalik setiap ketentuan-Nya. (updated 23/03/2010)

Sebenarnya, banyaaaaak lagi tip-tip untuk rumahtangga bahagia, saya cuma titipkan sebahagian sahaja. Setiap manusia akan berubah. Jika kita rasa sangat kenal pada pasagan sebelum berkahwin ataupun pada awal perkahwinan, jangan anggap kita telah benar-benar mengenalinya. Kerana suatu saat sedikit sebanyak, pasangan kita akan berubah seiring dengan bertambahnya usia dan masa. Maka, teruslah belajar mengenali dan memahami pasangan adalah sangat diperlukan untuk mempertahankan perhubungan.

Jadi sebenarnya dalam hubungan suami dan isteri, jangan asyik mencari siapa benar atau salah. Usahakan untuk saling memahami, mengerti, menghormati, menghargai dan mencintai pasangan pasing-masing seadanya.

Semoga kita semua selamat di dunia dan di akhirat hendaknya, amiin.




Capaian entry berkaitan :
  1. Panduan hindari penceraian
  2. Kenali Hati dan Cinta Lelaki
  3. Usah jadikan gemuk, badan berbau alasan bercerai
  4. Hutang kahwin faktor rumah tangga retak
  5. Puja usah sampai derita
  6. 30 petua kukuh ikatan cinta
  7. Ketepi garis agama antara punca cerai
  8. Statistik Perceraian dan Perkahwinan Pasangan Islam di Malaysia
  9. 6 kesilapan pasangan berkahwin
  10. ISU : Jodoh singkat
  11. Memilih pasangan ideal
  12. Tujuh langkah elak salah sangka dalam rumah tangga
  13. SuamiIsteri: Harus saling membantu
  14. Balasan pahala jika suami bersabar sikap buruk isteri
  15. Suami dengar nasihat isteri
  16. Awas, suami perdaya isteri!
  17. Memahami sikap pasangan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...