PAGE

Ahad, Julai 04, 2010

Awas daripada muflis di akhirat


Assalamualaikum warahmatullah,

Masih ingat lagi entry Menukar fitnah kepada syurga, saya ada menyelitkan :
Saya berkira-kira untuk tidak memaafkan hamba Allah yang telah memfitnah saya. Mengapa saya mesti memaafkan??? ..... Walaupun memberi maaf itu baik, namun tiada paksaan dalam Islam untuk memberi maaf. Dan percayakah anda jika saya nyatakan ia boleh dijadikan modal untuk dikutip hasilnya di mahkamah akhirat kelak? Ini salah satu cara menukar fitnah kepada syurga!
Saya telah berjanji untuk menghuraikan tentang ini di LamanSeri. Ikuti artikel Ustaz Syed Mohd Norhisyam, insya Allah, sungguh bermanafaat!



Diriwayatkan Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Adakah kamu semua mengetahui siapakah orang yang muflis?” Sebagaimana biasa, salah satu teknik didikan Rasulullah SAW adalah dengan cara kumikasi dua hala, iaitu dengan mengemukakan persoalan, diikuti penjelasan Baginda kepada persoalan tersebut.

Para sahabat menjawab, “Muflis kalangan kami ialah orang yang tiada dirham (tidak berduit) dan tidak memiliki sebarang harta (aset).”

Jawapan tersebut adalah berdasarkan kefahaman umum masyarakat ketika itu dengan kalimah muflis. Bahkan pada zaman sekarang, apabila disebut kalimah muflis, maka yang terlintas di dalam fikiran kita ialah seseorang yang tiada duit dan harta serta memiliki liabiliti (hutang) yang tidak mampu dibayar.

Lantas Rasulullah SAW menerangkan apakah pengertian muflis yang dimaksudkan. Baginda bersabda yang bermaksud, “Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah seseorang yang dibangkitkan di akhirat kelak bersama-sama dengan pahala solat, puasa dan zakat yang pernah dilakukan semasa di dunia. Namun pada masa yang sama, dia juga membawa dosa memaki hamun orang lain, memfitnah, memakan harta orang, menumpahkan darah dan memukul orang. Waktu perbicaraan, diambil pahalanya (si muflis) dan dibayar kepada mangsa-mangsa tersebut. Dan sekiranya telah habis pahalanya, diambil pula dosa-dosa mangsanya, lalu dibebankan kepada si muflis. Kemudian dia dihumbankan ke neraka!” (Hadis riwayat Muslim dari Abu Hurairah, no 2581)

Hadis ini amat menakutkan. Inilah hakikat muflis atau bankrap yang hakiki. Penjelasan baginda ini cukup menggerunkan hati-hati orang yang tersemai iman di dasarnya, mereka bimbang sekiranya terjerumus ke kancah muflis. Adapun muflis dalam kehidupan dunia mungkin boleh diselesaikan atau berakhir. Namun muflis jenis ini membawa kesan dalam kehidupan ‘alam abadi’. Ya, kita semua jarang yang terlepas dari kesalahan ini. Namun kita wajar selalu berusaha dan ingin mengelaknya.

3 Modal, 5 Liabiliti


Modal yang dibawa ke akhirat kelak tidaklah terhad kepada tiga jenis pahala yang disebut di dalam hadis ini sahaja. Bahkan menurut Ibn ‘Allan al-Syafi’i dalam kitabnya, Dalil al-Falihin, juga termasuk pahala amalan soleh yang lain. Ini bermakna, segala kira bicara di akhirat kelak adalah berdasarkan ‘mata wang dosa pahala’. Ketika itu nilai ringgit sudah tidak laku, begitu juga riyal, dolar dan sebagainya. Manusia yang besar modal pahalanya, dia akan bergembira dan bersenang-lenang. Manakala yang kekurangan modal, pasti tercari-cari tempat bergantung yang sudah pasti tiada lagi. Bertambah malang lagi apabila modal yang sedikit terpaksa dibayar kepada manusia lain yang pernah menjadi mangsanya di dunia dahulu.

Apakah yang terjadi apabila tiba-tiba dia kehabisan modal, sedangkan hutang yang dituntut masih belum selesai? Maka ketika itu dia dipaksa pula oleh malaikat untuk memikul dosa mangsanya. Sahlah, dia telah muflis!

Dosa kepada manusia

Apabila ditilik kembali kelima-lima dosa yang menjadi liabiliti di akhirat kelak, semuanya berkait rapat dengan hubungan sesama manusia.

Memaki hamun orang lain
seperti pekerja, orang miskin, orang yang lemah, apatah lagi isteri atau ibu bapa sendiri, hanya mampu memberikan kepuasan sementara kepada seseorang, tetapi bahananya menanti di akhirat kelak.

Begitu juga pemfitnah, dia begitu seronok melihat mangsa fitnahnya dibenci masyarakat atau dikenakan tindakan tertentu di dunia, tetapi dia pasti menyesal apabila diminta membayar pahalanya kepada mangsa fitnah tersebut. Menyesal ketika itu sudah tiada manafaatnya. Bak kata pepatah Melayu, “menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.”

Ada juga yang memakan harta orang lain dengan cara yang tidak diredhai agama seperti menipu, pecah amanah, mencuri, merampas dan sebagainya. Mereka begitu licik ketika di dunia ini tetapi ke manakah tempat untuk bersembunyi apabila berhadapan dengan malaikat di akhirat kelak? Ada yang berhutang dengan niat untuk tidak membayarnya, pekerja mencuri harta majikan, majikan yang tidak menyempurnakan gaji pekerja, peniaga yang menipu dalam urus niaga dan sebagainya. Manusia seperti ini adalah calon yang sangat layak mendapat title muflis di akhirat kelak!

Begitu juga para samseng yang memukul dan melukakan orang lain, bersedialah berhadapan dengan mangsa-mangsa anda di mahkamah Allah SWT nanti. Kekuatan dan ruang di dunia ini hanya sementara, tetapi ingatlah bahawa doa manusia yang dizalimi tiada hijab di hadapan Allah. Doa mereka mudah dikabulkan.

Bagaimana mengelak menjadi muflis?


Ada dua pilihan sahaja untuk mengelakkan diri daripada diisytiharkan muflis di akhirat. Sama ada tidak melakukan dosa terhadap manusia lain atau sekiranya telah melakukannya, mestilah memohon maaf dan redha daripada mangsa ketika di dunia lagi. Biarlah bersusah payah dan menahan malu ketika di dunia kerana ini lebih baik daripada diisytiharkan muflis di akhirat. Sedarlah seseorang yang diisytiharkan bankrap di dunia, mereka masih ada kawan-kawan atau sanak saudara yang boleh memberi modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan, tetapi apabila Allah yang telah mengisytiharkan muflis di akhirat, ke manakah lagi hala tuju kita, melainkan neraka… sebagaimana yang diungkapkan oleh Rasulullah SAW.

Ingatlah dosa memaki hamun hanya terhapus dengan cara memohon maaf daripada orang yang dimakinya. Begitu juga dengan memukul dan melukakan orang, Islam memberi hak qisas (balas balik) kepada yang menjadi mangsa. Perbuatan fitnah pula disyaratkan memohon maaf dan mengisytiharkan kepalsuan fitnah tersebut. Dan dosa kelima iaitu memakan harta orang, dia mestilah memulangkan balik nilai harta tersebut atau mendapat redha mangsa. Mampukah kita lakukan semua itu? Jika tidak, jangan buat dosa!

Ulama tasawuf yang mengatakan: “Jangan melihat dosa itu kecil atau besar tetapi lihatlah kepada siapa kita melakukan dosa itu.”

Malah balasannya juga boleh dilihat pada peristiwa yang dilihat oleh Rasulullah SAW sepanjang perjalanan Israk dan Mikraj. Ia satu gambaran bagaimana balasan yang akan diterima mereka yang melakukan dosa-dosa besar. Ertinya setiap kejahatan itu akan dibalas-Nya setimpal dengan dosa yang dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk.” (Hadis riwayat Muslim)

Satu renungan untuk kita semua...




Dirujuk daripada artikel : Ustaz Syed Mohd Norhisyam dalam Majalah Solusi Isu#20

Capaian entry berkaitan :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...