“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Februari 18, 2011

Tan Sri, artis antara 500 guna sindiket nikah palsu

PEGAWAI SPRM menunjukkan sijil nikah palsu yang didalangi kakitangan JAKIM, di Putrajaya, semalam.

SPRM tahan 3, seorang kakitangan JAKIM disyaki dalang

KUALA LUMPUR: Tokoh korporat bergelar Tan Sri dan artis adalah antara lebih 500 pelanggan yang menggunakan khidmat sindiket nikah palsu yang dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahad lalu. Kebanyakan pelanggan sindiket yang dianggotai empat orang itu dipercayai mereka yang mahu berpoligami tanpa kebenaran isteri.

Kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas SPRM menahan empat anggota sindiket terbabit, termasuk dipercayai dalangnya, seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Penjawat awam berusia 50 tahun itu dipercayai bertindak sebagai jurunikah, walaupun tidak bertauliah. Kumpulan itu dipercayai bergiat sejak tiga tahun lalu di Lembah Klang.

Selain mempunyai pelanggan rakyat tempatan dan warga asing, sindeket itu juga menyediakan pakej perkhidmatan lengkap, seperti upacara akad nikah di hotel dan penyediaan dokumen nikah tanpa tanpa perlu mendapat kebenaran isteri.

Difahamkan, mereka mengenakan bayaran sebanyak RM2,300 untuk keseluruhan pakej disediakan, termasuk caj untuk jurunikah dan sijil nikah.

Siasatan SPRM bagaimanapun, mendapati sijil nikah itu didapati menggunakan nama pendaftar nikah kahwin Jabatan Agama islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang tidak wujud.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, pihaknya sudah melakukan risikan dan pemantauan kegiatan sindiket itu sejak akhir tahun lalu, berdasarkan maklumat awam dan laporan media.

beliau berkata, daripada empat ditahan, tiga adalah lelaki berusia 50 hingga 64 tahun, manakala wanita berusia 43 tahun adalah isteri kepada kakitangan JAKIM.

"Selain kakitangan JAKIM itu, dua lelaki lain masing-masing berusia 64 dan 58 tahun bertindak sebagai 'runner', iaitu mencari pelanggan dan 'the maker' yang bertanggungjawab memproses semua dokumen berkaitan. Semua mereka direman sejak Isnin lali dan dibebaskan dengan jaminan hari ini (semalam)," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sumber memberitahu BH, lokasi pernikahan bagi pasangan yang mendapatkan khidmat sindiket itu ditentukan dalangnya, manakala pengesahan wali hanya dipseroleh menerusi panggilan telefon tanpa perlu hadir pada majlis akad nikah.

Sumber itu berkata, ketika menahan anggota sindiket terbabit (Ahad lalu), mereka membawa pegawai SPRM ke sebuah rumah di ibu negara yang dijadikan markas. SPRM menemui sebuah komputer riba, pencetak, mesen pengimbas serta kira-kira 50 sijil nikah tanpa tandatangan pendaftar nikah JAWI, tetapi sudah tercatat nama pasangan yang bernikah di rumah itu.



Petikan : BHarian 18/02/2011

Butiran selanjutnya ...

Sifat kasih, pemaaf lambang mukmin hebat


Insan berakhlak mulia dijamin peroleh balasan dimasukkan syurga paling tinggi

SESUNGGUHNYA kualiti seorang insan diukur dengan keimanan dan perilaku mulia yang ada dalam jiwa mereka. Kedua-dua ukuran ini (iman dan akhlak) akan sentiasa seiringan dalam jiwa manusia bagi memastikan kedudukan serta darjat yang tinggi di sisi Allah.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Abu Daud bermaksud: “Aku memberi jaminan bahawa orang yang berakhlak mulia akan bersamaku di syurga yang paling tinggi.”

Imam Masjid Nabawi, Syekh Dr Abdullah Muhsin, dalam khutbahnya, berkata sifat kasih sayang dan kelembutan hati adalah petanda orang yang mempunyai sifat kesempurnaan serta kehebatan dalam dirinya.

Beliau memetik kata-kata Syekh Al-Islam iaitu sifat sabar terhadap ujian dan sedia memaafkan orang yang menganiaya kita adalah sebaik-baik akhlak yang sangat dipuji Allah seperti firman Allah bermaksud: “Dan mereka yang sanggup mengawal kemarahan serta memaafkan kesalahan orang lain.”

Sementara itu, Fudail Bin Iyadh berkata, kedua-dua sifat penyayang dan pemaaf adalah sifat Nabi dan Rasul yang mana Nabi Ibrahim dipuji oleh Allah dalam surah Hud dengan firman yang bermaksud: “Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang penyayang dan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah.” Lalu Allah anugerahkan padanya seorang putera yang hebat iaitu Ismail.

Nabi Nuh, Musa serta junjungan besar Muhammad SAW juga menghadapi ujian sama dengan tentangan dan gangguan hebat daripada kaum mereka sendiri sehingga Baginda menyebut kepada isterinya Aishah: “Aku amat berharap akan lahir dari tulang sulbi mereka insan yang akan menyembah Allah yang maha Esa.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Baginda juga pernah berkata kepada Ibnu Abd Qais: “Sesungguhnya padamu ada dua sifat yang disukai Allah dan Rasul-Nya iaitu perasaan kasih dan pemaaf.” (Hadis riwayat Muslim dari Anas bin Masud)

Insan paling hebat di sisi Baginda SAW ialah Saidina Abu Bakar kerana mempunyai sifat penyayang dan pemaaf. Ini diakui Saidina Umar dengan katanya: “Abu Bakar lebih baik dariku kerana dia seorang yang lemah lembut lagi pemaaf. Beliau juga berani dan teguh pendirian dan tidak pernah goyang dengan segala gangguan serta cabaran kaum Musyrikin.”

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak dikategorikan sebagai orang yang kuat dengan beradu tenaga dan kekuatan, tetapi orang yang kuat ialah mereka yang mampu memadamkan api kemarahannya ketika dia marah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mendiamkan diri daripada orang yang jahil lebih baik daripada melayan kerenah mereka kerana mendiamkan diri adalah sesuatu azab terhadap orang yang bodoh dan jahil.

Seorang lelaki telah memaki hamun seorang tabiin bernama (Sya’bi) lalu beliau menjawab: “Jika benar apa yang kamu katakan, semoga Allah mengampuniku dan jika salah, maka Allah juga bisa mengampunimu kerana sesiapa yang memaafkan orang lain akan dimaafkan Allah.”

Ibnu Qayyim Al-Jauzi pernah berkata: “Seseorang akan diperlakukan seperti apa yang dilakukan terhadap orang lain kerana semua akan mendapat sesuatu yang setimpal dengan usahanya. Sesiapa yang memaafkan akan dimaafkan Allah. Begitu juga bagi yang melampaui batas juga akan memberati baginya kelak.”

Sifat marah adalah anasir yang boleh merosakkan akhlak dan berpotensi mencalarkan maruah seseorang. Pernah disebut seseorang kepada Abdullah Bin Mubarak (ulama tabiin): “Dapatkah tuan memberikan sesuatu yang boleh membentuk kesempurnaan akhlak? Maka beliau menjawab: Kawal kema-rahanmu kerana ia adalah wasiat Baginda SAW. Baginda didatangi seseorang dengan soalan yang sama, maka jawab Baginda: “Janganlah kamu marah (sebanyak tiga kali).” (Hadis riwayat Bukhari).

Ada juga perawi hadis menambahkan, setiap kemarahan akan diiringi dengan setiap jenis kejahatan dan akan melemahkan akal fikiran manusia hingga sanggup berkata dusta serta melakukan perkara di luar peradaban manusia.

Baginda pernah berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, aku memohon kata-kata benar ketika aku sedang marah.” (Hadis riwayat Nasai’)

Ada kala manusia boleh kehilangan segala-galanya disebabkan sifat marah. Jabir bin Abullah berkata: “Kami pernah berjalan bersama Baginda SAW bersama seekor unta lalu berkatalah seseorang kepada unta itu: Laknat ke atasmu, lalu didengar oleh Baginda SAW. Lalu Baginda menjawab: “Siapakah orang yang melaknat untanya sila pergi dari sini kerana perbuatannya itu akan menjauhkan dirinya daripada rahmat Allah dan doanya tidak akan dimakbulkan ketika ia marah.” (Hadis riwayat Muslim)

Ini menunjukkan doa orang yang sedang marah akan ditolak Allah. Nabi SAW pernah menyarankan kepada mereka yang sedang marah supaya memohon perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam.

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP), petikan BHarian 11/02/2011


Butiran selanjutnya ...

Khamis, Februari 17, 2011

Dibelasah suami depan 2 anak

RAWAT...mangsa kini dirawat di wad kecemasan dan dilaporkan stabil.


KUALA LUMPUR: Seorang isteri beranak enam patah pinggang, bengkak di mata kanan dan cedera di dada akibat dibelasah suaminya yang tiba-tiba naik berang selepas mangsa enggan memberi wang, pagi semalam.

Mangsa, Norlela Hussin, 36, dan bekerja sebagai tukang cuci pejabat di sebuah syarikat swasta dipukul dengan besi serta disepak terajang di depan dua anaknya di rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Taman Melati, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi.

Suami mangsa yang tidak bekerja dan dipercayai penagih dadah sudah banyak kali memukul mangsa jika tidak diberi wang untuk membeli dadah. Mangsa yang sudah 17 tahun berkahwin dengan suaminya yang berusia 39 tahun dikurniakan enam anak berusia empat hingga 17 tahun.

Abang mangsa yang datang ke rumah mangsa kira-kira jam 7 malam terkejut apabila mendapati adiknya tidak mampu berdiri dan hanya berbaring di atas lantai serta cedera di seluruh badan. Berikutan itu, dia meminta izin suami mangsa yang berada di rumah untuk membawanya ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut. Abang mangsa, Zakaria Hussin, 60-an, berkata, pasangan suami isteri itu pernah bergaduh, tetapi kejadian hari ini (semalam) paling teruk.

“Dalam pergaduhan sebelum ini, adik saya enggan membuat laporan polis kerana terlalu sayangkan suaminya itu tambahan pula memikirkan nasib enam anak mereka sekiranya bercerai. Tetapi kali ini, laporan polis akan dibuat,” katanya. Katanya, adiknya kini dirawat di wad kecemasan dan dilaporkan berada dalam stabil.

Difahamkan, suami mangsa adik seorang penyanyi, pengacara, pelakon dan model yang pernah merakamkan album dan berlakon beberapa drama serta menjadi model syampu jenama terkenal. Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.


Ambil langkah segera bendung kes keganasan rumahtangga

Sedih betul bila dapat berita begini... MUTAKHIR ini hampir setiap hari kita didedahkan dengan pelbagai kes keganasan rumahtangga yang melanda rakyat kita baik yang baru berkahwin mahupun yang sudah lama berumahtangga.

Lebih mendukacitakan apabila kebanyakan kes yang didedahkan dan dilaporkan membabitkan pasangan Islam yang sepatutnya menjadi contoh teladan kepada pasangan bukan Islam dalam menguruskan rumahtangga masing-masing.

Kebiasaannya mangsanya ialah isteri atau bekas isteri, suami atau bekas suami, anak-anak, ibu bapa dan ahli keluarga yang tinggal serumah manakala kategori keganasan yang terbabit pula ialah penderaan berbentuk fizikal, mental, emosi, seksual dan spiritual.

Beberapa kes yang dilaporkan boleh dikategorikan tenat, merisaukan, menyayat hati dan kejam dilakukan oleh suami ke atas isteri. Dalam satu lagi kes seorang isteri mengadu 10 tahun dilayan macam anjing oleh suaminya di mana sepanjang tempoh berumahtangga beliau dipukul, disepak dan dipijak oleh suaminya hanya gara-gara kerana perselisihan faham.

Ini adalah antara beberapa kes terbaru yang disiarkan oleh akhbar tempatan yang sekaligus menambahkan lagi statistik konflik dan keganasan rumahtangga di negara kita. Keadaan ini akhirnya menyumbang kepada peningkatan kes perceraian di negara kita terutama di kalangan masyarakat Islam.

Persoalannya, kenapa kes seumpama ini masih berterusan dan sukar untuk dikawal? Di mana hilangnya rasa kasih dan sayang seorang suami kepada isteri? Bukanlah isteri atau anak patut dibelai dan dijaga?

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan kita khuatir institusi kekeluargaan di negara kita akan terjejas dan menuju kehancuran. Justeru malapetaka ini perlu dihentikan dengan segera. Hal ini penting kerana kejadian ini meninggalkan banyak kesan negatif kerana kesannya bukan saja kepada diri pasangan suami isteri terbabit yang akan berpisah tetapi anak turut menjadi mangsa keadaan.

Semua pihak baik agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga masyarakat perlu berganding bahu mencari jalan penyelesaian yang mutlak demi mengatasi malapetaka ini dari terus berpanjangan.




Petikan : HMetro 17/02/2011

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Februari 16, 2011

Jika suami tiada, isteri jangan tergoda!


Azilah seorang wanita berjaya dalam kariernya. Dia terpaksa melakukan banyak kerja luar yang memisahkannya daripada keluarga. Seminggu-dua suami ditinggalkan, anak-anak kehausan kasih sayang ibu mereka. Walau tidak sekalipun mengadu, tetapi hati mereka tidak mungkin berkata tidak rindu pada ibu.

Suami Azilah memahami kerjaya seorang wanita berjawatan tinggi seperti isterinya itu. Dia cukup mengerti kesusahan Azilah membahagi tanggungjawab walau sering kali tertumpah juga kecewa di hatinya. Bayangkan jika melihat isteri dengan pakaian seksi, kecantikan yang menggoda, susuk tubuh yang mengancam tetapi bukan untuk dirinya yang kesunyian.

Azilah bekerja, berinteraksi dan banyak menghabiskan masa bersama lelaki-lelaki lain atas nama kerjaya. Bermalam di hotel dan di perantauan untuk tempoh beberapa ketika. Suami pula tiada di sisi hingga datanglah godaan-godaan halus perangkap syaitan di dalam hatinya. Bayangkanlah seminggu di hotel bersama lelaki yang sama, duduk makan bersama, berbincang dari hal kerja hingga melewati batas sensitif di luar hal kerja. Benar sungguh sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila duduk lelaki dan wanita yang bukan mahram, maka yang ketiga bersamanya adalah syaitan.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Perangkap syaitan sedemikian halus, sedikit demi sedikit terjalin hubungan aneh antara Azila dan Zamani, rakan kongsi yang sentiasa menemani. Masing-masing sudahpun berkahwin, tetapi kononnya cinta terlarang itu tumbuh tanpa sengaja. Betulkah ia tidak disengajakan? Terlanjur?

Mula-mula rakan sekerja, hingga ke satu tahap, statusnya bertukar menjadi teman tapi akhirnya mesra (teman-tapi-mesra), semua cerita keluarga dikongsi bersama. Rahsia pasangan masing-masing turut menjadi bahan kajian dan diskusi meja bulat. Padahal aib suami haram dijaja di depan lelaki lain, begitu juga aib istei jangan sesekali didedah ke sana sini. Melainkan untuk mencari nasihat kepada orang yang amanah, berilmu dan akhlaknya terpuji bukan untuk mengambil peluang mencari kesempatan ke atas suami atau isteri orang.

Betulkah cinta haram sebegini tidak disengajakan jika Azilah membuka pintu pertama untuk si penceroboh masuk dengan sukarela? Pintu pertama itu adalah perkongsian maklumat sulit yang semestinya disimpan dalam fail peribadi rumahtangga suami isteri. Walaupun tidak puas hati dengan suami, janganlah dedah sebarangan, apatah lagi kepada suami orang yang sedang naik berahi sebab jauh daripada isterinya sendiri.

Pergaulan yang berlebihan akan merobohkan pagar pemisah di antara suami orang dan isteri orang yang bersatu hati selama berhari-hari di atas satu meja. Mula-mula satu meja, satu majlis, kemudian satu bilik kerja, terkeluar juga akhirnya ke tempat-tempat yang tidak berkaitan dengan kerja, satu tempat hiburan, satu kedai, satu pawagam dan akhirnya terjebak ke satu bilik hotel!

Bayangkanlah jika kulit dan kulit sering tersentuh secara tidak sengaja, berahi mereka akan menagih supaya menyentuh dengan sengaja. Jika bauan wangi wanita cantik menusuk naluri kelelakian seorang yang tidak menjamah isterinya tiga-empat hari dan bauan gagah kejantanan lelaki tercium dari jarak dekat oleh seorang wanita yang jauh dari suami. Siapakah yang boleh mencegah syaitan masuk ke dalam pergaulan mereka?

Hati akan cepat tersentuh jika merasa ada orang lain mahu menemani, berkongsi dan berbahagi suka duka bersama. Di sinilah bermulanya cinta haram berputik, kawan rapat pun berakhir menjadi kekasih gelap gulita. Mula-mula mungkin tiada apa yang perlu dirisaukan kerana mereka hanya bermain perasaan. Tetapi lama kelamaan jika di rumah sendiri tidak mendapat kepuasan dari pasangan masing-masing, baik dari segi seksual atau layanan lain yang berkaitan dengan perasaan, maka tunggulah tsunami taifu datang melanda. Pasti akan roboh juga benteng berahi yang selama ini dipertahankan.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (QS 17:32)

Al-Quran menyatakan, janganlah kamu mendekati zina, bukan terus kepada tegahan supaya jangan berzina. Apakah maknanya? Kerana zina itu dimulai dengan bunga-bunga hubungan yang halus, tidak terimbas oleh orang lain, hanya dua jiwa saja yang tahu bahawa mereka ada sesuatu yang spesial.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: ‘Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.’” (QS 24:30)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud, “Katakanlah kepada wanita yang beriman: ‘Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.’” (QS 24:31)

Jangan buka peluang

Berlaku curang hingga berzina tidak akan berlaku terjadi tanpa permulaan ke arah itu, perkenalan yang mendalam, berkongsi segalanya, sering bersama, akhirnya bersentuhan dengan diiringi perasaan yang seronok.

Mula-mula sentuhan hati, kemudian sentuhan kulit, disusuli pula dengan sentuhan jiwa dan akhirnya sentuhan jasad maka terjadilah perzinaan. Benarlah tegahan Allah SWT supaya manusia jangan dekati zina, dekat saja tidak boleh, apatah lagi memberi peluang dan membuka jalan. Jadi apakah jalan-jalan ke arah zina itu supaya suami orang dan isteri orang boleh menjauhinya?

1 – Pakaian

Aurat merupakan satu tarikan yang merangsang berahi. Hanya orang bodoh yang menyatakan pakaian tiada kaitan langsung dengan jiwa dan nafsu seorang manusia. Sesungguhnya pakaian menunjukkan maruah seseorang.

2 – Pandangan

Dari mata turun ke hati. Jaga panahan syaitan, jangan sampai tembus ke jantung hati anda. Tunduk bukan bererti mata lihat ke bawah saja, tapi pandang tanpa syahwat dan jika datang berahi, cepat-cepatlah larikan mata itu dari sesuatu yang dipandang.

3 – Perhiasan

Gaya berhias boleh memikat sesiapa yang bersama anda. Jangan berlebihan bagai rak atau sengaja hendak menarik perhatian bukan pasangan anda.

4 – Perkataan

Yang manis, halus, lembut, berinti pujuk rayau, lunak, lemah gemalai hanya milik suami anda seorang, bukan untuk lelaki lain!

5 – Wangian

Sekadar menghilangkan bau badan, jika berlebihan, seorang isteri diancam tekkan mencium bau syurga.

Jika lelaki dan wanita boleh mengelakkan diri dari lima jalan syaitan ini, takkan mungkin mereka terbabit dalam kekejian perzinaan.

Renung-renungkan...




Rujukan : Dr Juanda Jaya

Butiran selanjutnya ...

Khasiat betik


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Jalan-jalan cari bahan... terserempak dengan belog Suzy-Dynas, yang menceritakan khasiat pucuk betik. Saya baru saja update resepi Pucuk betik masak lemak tauchu, jadi dalam entry kali ini, Laman-Seri kongsikan pula khasiat sayuran kampung yang semakin dipinggirkan.



Pokok betik dan buahnya yang bergayut


Betik atau nama saintifiknya, Carica papaya L, juga dikenali dengan nama 'papaya' oleh anak-anak saya (selepas famous dengan cerita ZulYahaya yang jadi superhero 'Papaya'). Betik tergolong dalam keluarga Caricaceae, betik adalah tumbuhan semula jadi tropika Amerika. Betik adalah sejenis tumbuhan saka yang mempunyai batang kayu yang lembut, tegak dan biasanya tidak mempunyai cabang.

Buah betik berbentuk bujur yang agak panjang hingga ke bentuk yang hampir bulat. Kulit buah betik yang masak berwarna kuning cerah hinggalah kuning pekat. Isinya pula berwarna kuning, oren hingga ke warna merah cerah atau merah. Isi betik rasanya manis, dan aromanya seharum buah betik. Masyarakt Mexico menggunakan daun betik bukan sahaja untuk melembutkan daging, tetapi juga dijadikan ubat untuk asma dan masalah jantung. Bagaimanapun jika penggunaan daun terlalu banyak ia boleh jadi berbahaya kerana dikatakan, ia boleh menghasilkan toksik.

Buah betik mengandungi pelbagai khasiat pemakanan. Bagi setiap 100g betik , ia mengandungi :
  • 59.0 kalori untuk pembekalan tenaga,
  • 92.1g air,
  • 1.0g protein,
  • 0.1g lemak,
  • 13.5g karbohidrat,
  • 0.5g serat,
  • 0.5g abu,
  • 31.0mg kalsium
  • 0.8mg magnesium
  • 17.0mg posporus
  • 1.0mg zat besi
  • 2.0mg sodium
  • 337.0mg potasium
  • vitamin B sebanyak 0.08mg,
  • vitamin B2 (0.12mg)
  • niasin (0.1mg
  • vitamin C (69.3mg)
  • karotin (2431ug)

Selain mengandungi vitamin C yang amat besar, dua kali ganda dari kandungan buah limau, betik juga boleh menjadi pendinding daripada serangan penyakit yang mendera kandung hempedu. Hal tersebut ditemukan dalam kajian pakar pemakanan dari University of California, San Francisco terhadap lebih dari 13 ribu orang, baru-baru ini. Setelah menganalisis kadar darah para sukarelawan, para pengkaji menemukan bahawa mereka yang kadar vitamin C nya rendah, ternyata risiko menderita penyakit kandung hempedu adalah tinggi.

Walaupun sumber vitamin C boleh diperoleh dari pelbagai jenis buah dan sayuran, tetapi sebiji buah papaya dalam ukuran sederhana (+/- 280 gram) mengandungi 188 mg vitamin C dan 500 kj kalori. Ini adalah jumlah yang amat besar. Memandangkan penyakit kandung hempedu lebih banyak menyerang perempuan berbanding lelaki, jadi memakan buah ini amat baik diamalkan oleh perempuan.

Pucuk betik atau daun muda selalunya direbus dan dijadikan ulam. Ianya mempunyai banyak khasiat antaranya merendahkan tahap kolesterol dalam darah, mengurangkan tekanan darah tinggi, mengurangkan sakit migrain di samping boleh melangsingkan badan.

Pucuk betik mempunyai rasa yang agak pahit. Untuk mengubat penyakit di atas adalah dengan memakan pucuknya yang direbus ataupun meminum satu atau dua gelas air rebusannya.

Bunga betik selalunya terdapat pada pokok betik jantan dan pokok betik betina, boleh juga direbus dan dibuat kerabu. Bunga betik jantan lebih kecil daripada bunga betik betina. Walau bagaimanapun, cuma pokok betik betina sahaja yang berbuah. Jadi, jika anda menanam pokok betik dan hairan mengapa ia tidak berbuah walaupun banyak mengeluarkan bunga, jangan marahkan pokok betik tersebut. Ia sebenarnya pokok betik jantan.

bunga betik betina


bunga betik jantan


Daun betik yang dilayur di atas api dapat mengubati sakit-sakit otot apabila dilekapkan pada bahagian yang sakit. Bagi mengubati sakit sendi pula, meminum air perahan dari daun muda yang ditumbuk lumat dan dicampurkan dengan sedikit perahan limau nipis boleh membantu.

Daun betik tua, dikatakan boleh dibuat jus untuk mengubati penyakit denggi. Dengar khabarnya, platelet pesakit denggi akan segera bertambah jika meminum jus daun betik. Sejauh mana kebenaran ini, tidaklah diketahui.

Biji betik pula boleh digunakan untuk menyingkirkan cacing gelang dan cacing kerawit pada kanak-kanak. Caranya ialah dengan mengambil segengam biji betik dan tumbuk hingga hancur kemudian direbus dan diminum oleh kanak-kanak tersebut, tetapi awas, ia dipercayai tidak berapa sesuai untuk wanita yang sedang mengandung.

biji betik


biji betik (closed up) yang kering


Getah daripada daun, buah atau batang berguna untuk mengubati kaki yang pecah-pecah dan cara menyapu getahnya pada tempat berkenaan. Getah betik juga berguna bagi melegakan kesakitan gigi yang berlubang dengan cara menitikkan getah pada lubang gigi tersebut atau boleh juga menggunakan kapas.

Daun betik yang ditumbuk lumat kemudian dicampurkan dengan sedikit garam dan kemudian dilekapkan pada tempat yang luka dan dibalut dapat menghentikan pendarahan.

Di samping itu berikut adalah khasiat lain betik ;
  • Makan buah betik boleh memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan sembelit.
  • Air rebusan daun betik dapat melegakan perut dengan mengeluarkan segala angin.
  • Jika memanggang daging yang dibalut dengan daun betik, ia dapat melembutkan daging tersebut.
  • Bagi merawat masalah kulit seperti jerawat dan masalah kedutan, hancurkan buah betik tersebut. Kemudian tampalkan di tempat yang bermasalah setengah jam sebelum mandi.
  • Khasiat buah betik selalu dikaitkan dengan pengawalan dan pengurangan berat badan disamping menghaluskan kulit dan mampu menjadikan wajah sentiasa awet muda.

Walaupun terdapat pelbagai kelebihan dan khasiat memakan buah betik dan daunnya untuk kesihatan, namun penggunaannya hendaklah mendapatkan nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudharatan di kemudian hari kelak.




Artikel asal dari : Suzy-Dyna's, Wikipedia dan lain-lain.

Butiran selanjutnya ...

Dilema 'Firaun' Moden



Teka-teki ke mana Mubarak mahu hidup dalam buangan

SEJAK kebelakangan ini, nama Hosni Mubarak pastinya mendominasi berita utama media antarabangsa. Malangnya, ia bukan menghebahkan khabar baik mengenai Presiden Mesir itu, sebaliknya menyentuh tragedi mengaibkan yang membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinannya.

Kebangkitan rakyat Mesir yang mahukan Mubarak berundur selepas 30 tahun memerintah ada asasnya malah ia amat kukuh. Pentadbiran Mubarak dibayangi rasuah dan kegagalan sudah berkumpul di benak rakyat Mesir sehingga tidak boleh dipendamkan lagi. Jalan terakhir ialah menunjukkan secara lantang dan keras mahukan Mubarak berundur.

Tidak seperti pemimpin dunia Arab lain yang agak tertutup kehidupan peribadi mereka, Mubarak atau nama asalnya Muhammad Hosni Sayyid Mubarak, 83, sebaliknya turut mencuri tumpuan dunia dengan gaya hidup mewah yang dijalani biarpun lebih separuh rakyat Mesir hidup di bawah paras kemiskinan.

Mubarak dipercayai meletakkan asas kekayaan keluarganya ketika menjadi pemimpin tentera udara apabila mendapat habuan daripada kontrak tugasan ketenteraan yang diluluskannya. Warga asing yang melabur di Mesir pula didakwa disyaratkan memberi habuan 20% daripada modal permulaan perniagaan kepada rakan kongsi tempatan.

Beliau yang berlatar belakang juruterbang terlatih dan bekas pegawai tinggi tentera udara Mesir pada 1960-an dan 1970-an, memegang tampuk pemerintahan selepas pembunuhan Presiden Anwar Sadat pada 1981.

Dia mengahwini Suzanne, anak pakar kanak-kanak Mesir, Saleh Thabet dan jururawat berketurunan Inggeris, Lily May Palmer. Pasangan berkenaan mempunyai dua anak lelaki, Alaa, 49, dan Gamal, 48.

Keanggunan ditonjolkan isterinya, Suzanne Mubarak dan dua anak lelaki mereka, Alaa dan Gamal, seolah-olah mengiyakan dakwaan media Barat bahawa keluarga nombor satu Mesir itu mempunyai kekayaan tersembunyi dianggarkan bernilai AS$40 hingga AS$70 bilion (RM121 hingga RM212 bilion).

Kalangan pakar Asia Barat pula mendakwa keluarga itu menyimpan wang dalam bank di Switzerland dan England serta dalam bentuk hartanah di London, New York, Los Angeles serta beberapa kawasan mewah di Laut Merah. Keluarga Mubarak juga dikecam kerana mengamalkan kronisme yang membenarkan golongan kaya semakin mewah ketika majoriti penduduk Mesir terus hidup dengan pendapatan kurang RM7 sehari.

Gamal misalnya, sedari awal disebut-sebut sebagai pengganti bapanya menjadi orang nombor satu Mesir tetapi dengan situasi terkini, jawatan itu hampir mustahil menjadi miliknya.

Selain kedudukannya sebagai anak Mubarak, kesetiaan Gamal kepada Mesir yang menjadi tunjang utama untuk bergelar pemimpin turut dipersoalkan apabila menjadi ‘pengecut’ dengan melarikan diri ke England ketika kekacauan di negara itu kian memuncak. Gamal turut mencetuskan kontroversi tersendiri sebelum ini apabila perkahwinannya dengan Khadiga Mahamoud - anak ahli perniagaan terkenal negara itu pada 2007 menarik minat rakyat Mesir. Gamal berusia 44 tahun ketika berkahwin manakala isterinya, 20 tahun lebih muda. Sumber menyatakan baju pengantin direka khas untuk Khadiga di Paris dan dikatakan berharga lebih AS$30,000 (RM91,000).

Lebih menyedihkan, rentetan pergolakan terbaru di Mesir, kedua-dua anak lelaki Mubarak itu dikatakan tiba di London dengan 100 bagasi bersama keluarga masing-masing ketika rakyat miskin Mesir terus menyuarakan ketidakpuasan hati mereka menerusi keganasan.

Rangkaian media beribu pejabat di Qatar juga melaporkan, Suzanne turut menyertai kedua-dua anak lelakinya itu tetapi televisyen Mesir pantas mengeluarkan penafian rasmi mengenai laporan berkenaan dan menegaskan keluarga Mubarak masih berada di Kaherah.

Meneliti keadaan luar kawalan di Mesir, tidak hairanlah jika keluarga Mubarak bertindak meninggalkan pemimpin Mesir itu keseorangan berdepan amarah rakyatnya. Namun jika dilihat dari satu sudut lain, ia jelas menunjukkan betapa lunturnya semangat patriotik keluarga Mubarak.

Nasib Mubarak yang masih belum pasti jatuh bangunnya turut menarik banyak spekulasi mengenai negara bakal didiaminya jika memilih untuk hidup dalam buangan. Bandar raya Munich di Jerman dikatakan antara lokasi pilihan untuk didiami Mubarak kerana pernah mendapatkan rawatan kesihatan di situ.

Media Balkan pula melaporkan Mubarak mungkin memilih Montenegro kerana Gamal mempunyai kepentingan perniagaan di bandar raya itu, manakala sumber di Kedutaan Mesir di Tel Aviv, Israel pula menyatakan mereka membuat persediaan menyambut kedatangan Mubarak selepas Arab Saudi dikatakan menolak untuk menempatkan Mubarak untuk hidup dalam buangan di negara itu.

Walaupun Mubarak yang digelar ‘Firaun Moden’ kerana pemerintahan kuku besinya menegaskan hidup matinya di Mesir, namun tidak mustahil beliau menukar pendirian untuk hidup dalam buangan kerana dosanya terlalu besar untuk dimaafkan dengan mudah oleh rakyat Mesir.




Petikan : BHarian 13/02/2011 - Dilema Firaun Moden

Butiran selanjutnya ...

Selasa, Februari 15, 2011

Dua dasar bela nasib si kecil


2.5 juta kanak-kanak Malaysia mangsa penderaan seksual

KANAK-KANAK adalah insan kerdil yang perlu ditatang dengan kasih sayang, dilindungi dan sentiasa diberikan perhatian tetapi sedihnya ada antara mereka yang menerima nasib malang kerana dianiaya dan terbabit dalam kancah penderaan seksual.

Amat membimbangkan, apabila ada kenyataan yang menyebut, daripada 10 juta kanak-kanak yang ada di Malaysia, dianggarkan 2.5 juta daripadanya adalah mangsa penderaan seksual! Lebih membimbangkan, kes berkenaan tidak dilaporkan. Itu belum lagi mengambil kira jumlah kes yang dilaporkan dan jika dicampur kedua-duanya, pasti angka itu lebih tinggi serta menimbulkan pelbagai perasaan, termasuk bimbang, sedih, geram dan marah terutama terhadap si pelakunya.

Terdapat beberapa sebab kes penderaan seksual kanak-kanak tidak dilaporkan antaranya kanak-kanak terbabit tidak mengetahui diri mereka menjadi mangsa penderaan seksual, tidak mengetahui bagaimana untuk menceritakan kejadian itu kepada orang lebih dewasa, bimbang mendedahkan perkara berkenaan kerana ia dilakukan ahli keluarga sendiri atau ibu bapa serta penjaga mereka malu untuk tampil ke depan.

Selain itu, ramai yang beranggapan penderaan seksual terhadap kanak-kanak hanya dikatakan berlaku apabila kanak-kanak berkenaan dirogol. Harus diingat, definisi mengenai penderaan seksual kanak-kanak adalah apabila seorang dewasa atau kanak-kanak yang lebih `berkuasa’, menipu, memaksa, menggunakan kekerasan atau mengugut seseorang kanak-kanak lain untuk mengadakan hubungan seksual dengannya.

Hubungan ini turut meliputi perlakuan tanpa sentuhan. Ini merangkumi, perlakuan orang dewasa yang mendedahkan anggota tubuhnya atau menyuruh kanak-kanak berlagak untuk tujuan lucah.

Pakar sosiologi, Prof David Finkelhor, yang juga pengarah bagi sebuah pusat penyelidikan menentang jenayah terhadap kanak-kanak, dilaporkan berkata di Amerika Syarikat pada 1994, sekitar 20% wanita dan 5% hingga 15% lelaki mengalami sejenis bentuk penderaan seksual ketika kanak-kanak.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Meme Zainal Rashid, berkata penderaan seksual terhadap kanak-kanak sememangnya meninggalkan kesan negatif sama ada dari segi fizikal, biologi dan fisiologi.

Beliau berkata, kesan negatif dari segi fizikal termasuklah luka dalam kemaluan, penyakit kelamin dan kemungkinan mengandung manakala kerosakan emosi terhadap kanak-kanak mengambil masa yang lama untuk disembuhkan. Katanya, keadaan menjadi mangsa menjadi lebih serius jika rawatan perubatan serta sokongan psikologi tidak diberikan.

Meme menegaskan, JKM sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu penderaan kanak-kanak, termasuklah kes penderaan seksual. Prosedur terhadap kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan diberi pensijilan MS ISO 9001:2008.

Justeru, katanya, apabila menerima aduan berhubung penderaan seksual, perkara pertama akan dibuat oleh pegawai JKM yang diwartakan sebagai pelindung ialah membuat siasatan serta-merta, tidak melebihi 10 jam untuk memastikan sama ada kanak-kanak itu dikategorikan sebagai kanak-kanak, iaitu berusia bawah 18 tahun, yang memerlukan perlindungan di bawah seksyen 17.

“Jika kes itu sahih, kanak-kanak terbabit akan diselamatkan dan dibawa ke hospital bagi tujuan pemeriksaan. Pegawai Pelindung akan mendapat perintah sementara dalam tempoh 24 jam daripada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak supaya kanak-kanak itu ditempatkan di tempat selamat atau diserahkan kepada orang yang layak dan sesuai,” katanya.




Meme berkata, sehingga kini kes penderaan seksual kanak-kanak yang dirujuk kepada JKM terdiri daripada kes sumbang mahram, rogol, cabul seks luar tabie dan terdedah kepada bahaya moral seperti pelacuran.

Mengikut statistik JKM, sebanyak 2,279 kes penderaan dilaporkan pada 2007; 2,780 kes pada 2008 dan 2,789 kes pada tahun berikutnya. Setakat Oktober 2010 saja, sebanyak 1,790 kes penderaan dilaporkan kepada JKM merangkumi kes penderaan fizikal, seksual, emosi dan sumbang mahram.

Kata Meme, pelbagai usaha diambil bagi memastikan keselamatan dan kebajikan serta hak kanak-kanak di negara ini terpelihara. Sehubungan itu, JKM melaksanakan dua dasar teras untuk kanak-kanak iaitu Dasar Kanak-Kanak Negara (DKKN) dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak (DPKK) berserta dengan Pelan Tindakan. Kedua-dua Dasar ini diluluskan oleh Kabinet pada 29 Julai 2009.

“DKKN adalah satu dasar mengenai hak kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation) kanak-kanak supaya mereka dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif.”

“DPKK pula adalah satu dasar khusus bagi memastikan setiap kanak-kanak di negara ini mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Penekanan diberikan kepada sistem saringan ke atas pekerja yang berurusan terus dengan kanak-kanak seperti pemandu bas sekolah, pekerja di kantin, penyelia asrama, tukang kebun sekolah, pengawal keselamatan dan pekerja di institusi kanak-kanak,” jelasnya.

Katanya, program pencegahan di peringkat komuniti turut diketengahkan seperti menyediakan perkhidmatan kaunseling di peringkat negeri dan daerah sebagai satu usaha untuk memberi bimbingan serta khidmat nasihat kepada mangsa yang masih trauma dengan kejadian yang menimpa mereka. Bengkel interaktif membabitkan keluarga dan kanak-kanak pula dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab serta peranan terhadap penjagaan kanak-kanak selaras dengan keperluan Akta Kanak-Kanak 2001.

JKM juga menubuhkan Majlis Penyelaras bagi Perlindungan Kanak-Kanak bertujuan mendidik masyarakat melalui pewujudan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak selaras dengan keperluan Sub Seksyen 7(1) Akta Kanak-Kanak 2001, yang menyatakan bahawa Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak hendaklah ditubuhkan di seluruh Malaysia. Memantapkan usaha, JKM mewujudkan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK), yang bertujuan menyelaraskan perkhidmatan setempat kepada keluarga dan kanak-kanak jika kanak-kanak memerlukan atau disyaki memerlukan perlindungan. Sehingga kini, terdapat 131 buah PPKK diwujudkan di seluruh Malaysia.

Begitu juga dengan perkhidmatan 24 jam sehari Talian Nur 15999 yang menyediakan kemudahan kepada masyarakat untuk membuat laporan pada bila-bila masa berhubung dengan sebarang masalah yang memerlukan bantuan. Terkini, Childline diwujudkan sebagai perkhidmatan telefon khas untuk menyalurkan sebarang pertanyaan, laporan dan aduan mengenai kanak-kanak. Childline ini dilancarkan sempena dengan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia pada November tahun lalu.

Meme berkata, tidak kira peringkat usia, semua mangsa penderaan seksual mengalami trauma dan memerlukan pemerhatian serta pengurusan yang rapi daripada JKM. Lebih menyukarkan keadaan, katanya, apabila ada keluarga yang menghalang usaha Pelindung JKM menyelamatkan kanak-kanak terbabit. Malah, ada keluarga yang malu untuk membuat laporan polis berhubung dengan penderaan seksual apabila pelaku adalah ketua atau ahli keluarga mereka.

“Hasrat JKM untuk menjadikan sifar penderaan seksual tidak akan menjadi kenyataan tanpa kerjasama semua pihak. Memberikan perlindungan kepada kanak-kanak bukan lagi isu yang bersifat peribadi tetapi menjadi isu masyarakat. Justeru, saya menyeru masyarakat berani tampil ke hadapan bagi membantu mengatasi masalah penderaan seumpama itu kerana kanak-kanak yang didera sentiasa menghantar isyarat penganiayaan terhadap mereka. Peka dan prihatin terhadap anak yang berada di sekeliling kita. Keselamatan kanak-kanak adalah di tangan kita yang dewasa” katanya.



Trauma mangsa penderaan

RAWATAN kepada mangsa penderaan seksual yang membabitkan kanak-kanak, khususnya membabitkan mereka berusia bawah empat tahun mempunyai beberapa cabaran. Ini kerana lazimnya, kanak-kanak usia sedemikian tidak dapat memberikan penerangan yang tepat dan jelas terutama sejarah kejadian, tidak dapat mengenali pelaku dan gagal memberikan butir terperinci serta beberapa perkara lain boleh dijadikan bukti.

Pakar Perunding Kanak-kanak dan Remaja, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datin Dr Sheila Marimuthu, berkata dalam hal ini bantuan pakar psikiatri, psikologi dan ‘play teraphy’ diperlukan ketika rawatan dijalankan.

Dr Sheila berkata, reaksi yang ditunjukkan kanak-kanak usia seperti itu ketika rawatan ada kala menunjukkan tingkah laku biasa dan seolah-olah, tiada apa-apa yang berlaku. Berbanding, mangsa yang berusia remaja atau berusia 10 tahun ke atas, mereka lebih mudah untuk memberitahu apa yang sudah berlaku.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana kanak-kanak berusia bawah empat tahun tidak faham apa yang sebenarnya berlaku kepadanya tetapi dalam keadaan penderaan seksual yang begitu traumatik dan tragik, keadaan emosi kanak-kanak itu akan teruk terganggu.

“Mereka mungkin menangis, dalam keadaan terkejut, tidak mahu bercakap langsung, tidak mahu tidur kerana takutkan mimpi buruk dan sebagainya. Apabila ini berlaku kita perlu berikan masa kepada mereka,” kata Dr Sheila.

Beliau berkata, reaksi atau maklum balas mangsa penderaan seksual sepanjang rawatan umumnya berbeza-beza dan selain faktor usia, ia juga tertakluk cara atau situasi kejadian dialami. Ini bermakna, lebih teruk atau lebih tragik penderaan seksual itu , lebih teruk trauma yang dihadapi mangsa.

Misalnya, mangsa penderaan seksual yang dirogol beramai-ramai mungkin mengalami trauma teruk dan begitu juga bagi mangsa yang dipukul serta didera dengan pelbagai cara menyakitkan, sehingga meninggalkan kesan pada tubuh atau mencederakan bahagian anggota lain selepas kejadian itu.

“Jangka masa rawatan kepada mangsa terpulang kepada reaksi yang ditunjukkan mereka. Ada yang mungkin mengambil masa panjang dan ada masa singkat,” katanya.

Dr Sheila berkata, dalam setahun kira-kira 3000 kes penderaan seksual yang membabitkan kanak-kanak dan remaja dirujuk di hospital itu. Antara kes penderaan seksual itu ialah sumbang mahram, pencabulan, rogol, rogol berkanun, liwat dan pornografi seksual.

Katanya, kes rogol berkanun iaitu yang membabitkan remaja berusia bawah 16 tahun dan pasangan sebaya atau lingkungan usia hampir sama adalah paling banyak diterima setakat ini.

“Pasangan berkenaan selalunya kenal mengenali dan suka sama suka antara satu sama lain tetapi disebabkan pergaulan tidak terbatas maka berlakulah hubungan seksual. Mereka ini kebanyakan tidak tahu risiko besar bakal dihadapi. Mangsa iaitu remaja perempuan biasanya akan menunjukkan perasaan sedih dan tertekan apabila pasangannya disoal siasat polis. Ada juga yang berasa amat bersalah,” kata Dr Sheila.

Kes kedua paling tinggi ialah pencabulan, diikuti kes sumbang mahram. Kes pencabulan lazimnya membabitkan perbuatan pelaku memasukkan jari ke dalam kemaluan kanak-kanak terbabit atau memegang dan meraba mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak. Ada juga pelaku membuka seluar atau pakaian mangsa. Penderaan seksual seumpama itu lebih banyak dialami mangsa kanak-kanak perempuan manakala kanak-kanak lelaki pula dipaksa menghisap zakar pelaku.

“Dalam banyak kes penderaan seksual, kanak-kanak perempuan menjadi mangsa paling ramai iaitu 85% berbanding kanak-kanak lelaki yang mencatatkan 15%. Kes cabul kebanyakan membabitkan mangsa berusia antara tiga tahun dan lima tahun dan kejadian mungkin berlaku di rumah pengasuh, rumah jiran dan rumah sendiri,” katanya lagi.

Dr Sheila berkata, kes penderaan seksual kanak-kanak dan remaja dirujuk ke HKL adalah kes sama ada yang dibawa oleh pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pun ibu bapa mangsa sendiri. Setiap kes dirujuk akan dibawa ke bilik kecemasan One Stop Crisis Centre (OSCC) untuk pemeriksaan dan rawatan awal.

“Pemeriksaan dibuat oleh doktor terhadap mangsa dilakukan secara sukarela, tiada paksaan sama sekali. Ketika rawatan, sejarah klinikal diambil dan laporan polis akan dibuat jika ia belum dibuat lagi. Kebanyakan mangsa akan memberikan kerjasama apabila pemeriksaan ingin dilakukan. Bagi remaja, mungkin tiada banyak masalah, khususnya perempuan akan lebih mudah bercerita dan meluahkan apa yang dialami. Tetapi bagi kanak-kanak, bius akan diberikan supaya mereka tertidur bagi membolehkan doktor menjalankan pemeriksaan dengan terperinci,” jelasnya.

Bagi mengurangkan penderaan seksual kanak-kanak dan remaja, khususnya yang membabitkan kes rogol berkanun, Dr Sheila menyarankan, ibu bapa bersikap lebih terbuka dengan anak mereka mengenai pendidikan seksual dan sering membincangkan batas pergaulan sosial dengan teman.

INFO: Penderaan seksual merujuk kepada segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai tujuan untuk memenuhi nafsu seks orang dewasa, melalui pornografi, gambar, perakam, suara, filem, perakam video atau mengeksploitasi bahagian sulit kanak-kanak. Ini merangkumi:

1. Memasukkan objek atau bahagian tubuh ke dalam faraj, mulut atau dubur.
2. Menyentuh bahagian sulit.
3. Menunjukkan bahan lucah kepada kanak-kanak.
4. Mengambil gambar kanak-kanak dalam aksi seksual.
5. Menggalakkan kanak-kanak menonton atau mendengar aksi seksual.
6. Membuat panggilan telefon lucah,
7. Merogol.
8. Melakukan seks oral.
9. Meliwat.
10. Melacurkan.
11. Mengintai.
12. Mencium.
13. Mengusap.
14. Mempamerkan aksi lucah.

INFO: Kesan yang mungkin dialami kanak-kanak mangsa penderaan seksual:

i) Traumatik
Merujuk kepada proses seksualiti kanak-kanak seperti perasaan dan pandangan mereka terhadap seks yang dibentuk dalam keadaan tidak sempurna. Mereka berasa takut dan benci kepada orang yang mempunyai ciri yang sama dengan pelaku. Mangsa akan terbayang dan teringat perlakuan dibuat kepadanya menjadikan pembangunan diri mereka terencat.

(ii) Pengkhianatan
Mangsa tidak akan percaya terhadap orang yang lebih dewasa kerana berasakan orang yang lebih dewasa akan mudah mengambil kesempatan terhadap mereka. Justeru, mereka akan mudah berurusan dengan rakan sebaya. Keadaan yang berlaku juga menjarakkan lagi hubungan kekeluargaan menjadikan masalah yang dihadapi sukar diatasi.

(iii) Gangguan perasaan
Berasa malu, rendah diri dan sering menyalahkan diri sendiri terhadap apa yang berlaku. Sering berasa keliru dengan apa yang berlaku dan memendam perasaan.

(iv) Masalah pembelajaran dan komunikasi
Suka ponteng sekolah, tidak berminat dalam pelajaran, tidak fasih dan lancar berbahasa atau penguasaan bahasa yang lembap dan mengalami kesukaran untuk berkomunikasi.

(v) Masalah tingkah laku
Mudah tersinggung, sensitif, kurang daya tahan, ego, pasif, pendiam, agresif, pemarah, hilang keyakinan diri dan tidak suka bergaul dengan teman sebaya. Mudah termakan pujuk rayu dengan orang yang dirasakan menyayangi diri mereka. Mereka juga suka lari dari rumah dan kurang mempunyai sikap menghormati diri sendiri.

(vi) Gangguan sistem saraf
Kencing waktu malam, sering didatangi mimpi buruk hingga menyebabkan tidur mereka terganggu. Tidak lawas buang air kecil dan hilang selera makan. Kesan ini lebih dirasakan kepada kanak-kanak yang lebih berusia berbanding dengan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

INFO: Tanda kanak-kanak didera secara seksual:

Bahagian fizikal
1. Kemaluan atau dubur menjadi merah atau gatal.
2. Rasa sakit atau luka di kemaluan atau dubur.
3. Rasa sakit ketika membuang air kecil.
4. Lelehan daripada faraj atau zakar.
5. Rasa sakit di bahagian abdomen.
6. Penyakit kelamin.
7. Sakit kerongkong psikomatik.
8. Mengandung.

Tanda psikologi
1. Sakit kepala, perut, dada dan rasa penat.
2. Insomnia.
3. Sering menangis.
4. Histeria.
5. Takut yang tidak ketentuan.
6. Kurang tumpuan.
7. Hilang selera makan.
8. Rasa rendah diri.

Tingkah laku
1. Suka berpaut, takut balik ke rumah atau takut pada orang tertentu.
2. Kerap berkhayal.
3. Berperangai kebudak-budakan.
4. Menghisap ibu jari.
5. Melarikan diri dari rumah.
6. Menyalahgunakan arak dan dadah.
7. Cuba membunuh diri.
8. Kemurungan.
9. Takut pada sentuhan dan mengelak kasih sayang.




Artikel oleh Nor Affizar Ibrahim [affizar@bharian.com.my] di BHarian 15/02/2011

Capaian entry berkaitan :
* Budak perempuan mati selepas 4 hari kahwin
* Lelaki makin ganas
* Dilema penderaan kanak-kanak
* Poligami banyak menganiaya anak-anak
* Fantasi seks penghidap parafilia

Butiran selanjutnya ...

Tips menjadi ayah yang hebat


Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Fasa baru hidup lelaki selepas menimang cahaya mata, dulu solo, kemudian berkahwin dan sekarang sudah bergelar ayah! Pasti pengalaman berbeza dirasai lelaki tatkala melangkah ke alam perkahwinan. Dan sudah tentulah, bukan mudah mengubah tabiat lama selama hidup membujang dan tiada komitmen.

Andai ketika bersendiri, semua yang dilakukan hanya berpandu kehendak dan gerak hati. Sebaik menjadi suami, senario nyata berbeza. Lelaki yang berkahwin wajib melindungi isteri, menjaga hatinya selain menyediakan segala keperluan keluarga. Begitulah hakikatnya apabila sudah memiliki tanggungjawab besar.

Tiba masa bergelar bapa, lain pula ceritanya. Ketika asyik berseronok mendengar perkhabaran itu, sedarkah anda betapa besarnya tanggungjawab yang harus dipikul jejaka sebaik menerima anggota baru dalam hidup? Lelaki semestinya perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memikul tugas baru sebagai ketua keluarga.

Tibanya si comel penyeri hidup, suara dan tawanya pasti melengkapkan hidup lelaki bergelar bapa dan isteri. Indahnya mahligai yang dibina dengan kehadiran si kecil tanda kasih sayang anda berdua. Namun berdepan ‘tugas’ baru sebagai bapa, bagaimana agaknya melayan kerenah atau mood si kecil? Meragam, menangis tanpa henti siang atau malam, merengek, menguruskan aspek kebersihan termasuk memandi dan membersihkannya selepas membuang air kecil atau besar serta ketika si kecil tidak sihat?

Sebaik mendapat cahaya mata, inilah masanya bagi suami membuktikan rasa tanggungjawab dan kasih sayang kepada isteri. Bukan sekadar menjaga isteri dan si manja, sebagai ayah, anda harus melakukan lebih daripada itu. Anda perlu mengambil-alih tugas menguruskan rumahtangga selain belajar membancuh susu, memandikan bayi, memakaikan lampin dan paling mustahak, mengorbankan masa tidur anda.

Kali ini Laman-Seri berkongsi berkongsi tips untuk panduan bakal bapa, ayah atau daddy.

1 - Biasakan berjaga malam

Tiada alasan untuk tidur nenyak dan berdengkur sepanjang malam... :-t Jangan mengharapkan isteri sahaja untuk berjaga, sebaliknya tunjukkan kesungguhan anda untuk bangun bersama dan beri perhatian kepada si comel.

2 - Kejutan kasih sayang

Inilah detik terbaik untuk melakukan kejutan terbesar buat isteri yang telah berkorban bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat anda. Apa kata anda pula yang mengambil peranannya ketika isteri dalam pantang. Mungkin anda boleh mulakan dengan menyediakan sarapan, membantu isteri menguruskan dirinya, menyediakan keperluan si comel dan sesekali hadiahkan bunga tanda kasih sayang.

3 - Ringan tulang

Jika sebelum lahirnya si kecil, anda dimanjakan oleh isteri. kali ini, anda harus beralah dan mengambil alih peranan menjaga isteri dan anak. Memadailah dengan membantu menyediakan makanan, membasuh pinggan atau mengasuh si kecil.

4 - Sedia untuk kotorkan diri

Geli dengan najis si comel? Akurlah hakikat di mana anda harus membersihkan najis bayi dan belajar memakaikan lampinnya. Fikirkan ayah anda juga pernah melakukan perkara yang sama ketika anda masih kecil dahulu. Mungkin agak kekok pada permulaannya, namun, alah bisa tegal biasa. Ikuti cara-cara memandikan si comel dalam entry cara mandikan bayi.

5 - Dapatkan petua orang tua

Ketepikan ego serta sikap tahu seba-serbi. Sebagai ayah muda, anda perlu mendapat banyak nasihat dan petua daripada orang yang lebih berpengalaman. Guru terbaik untuk mendapatkan maklumat ialah ibu bapa serta saudara-mara atau kenalan yang lebih arif mengenai soal penjagaan bayi dan kanak-kanak. Tidak perlu malu kerana maklumat yang diberi akan memudahkan urusan menjaga si kecil.

6 - Buku panduan dan internet

Zaman sudah berubah, dunia semakin maju, banyak maklumat kini terletak di hujung jari anda. Sebagai ayah moden, anda harus menguasai ilu penjagaan awal bayi melalui bahan bacaan serta informasi di internet. Walaupun belum lagi memiliki cahaya mata, tidak salah andai memulakan pembacaan awal.

7 - Sediakan pengasuh

Jika mampu, dapatkan pengasuh untuk meringankan tugas anda dan isteri di rumah. Pengasuh bukan sahaja boleh menguruskan isteri yang sedang berpantang, malah pada masa yang sama boleh menjaga si comel yang memerlukan perhatian hampir 24 jam sehari.

8 - Belajar berhadapan dengan tekanan

Bohonglah jika anda tidak tertekan terutamanya apabila tiba saat si comel 'mengamuk' atau menangis tanpa henti. Jika waktu siang, mungkin anda tidak terasa, tetapi di kala tengah malam, tentu haru biru anda dibuatnya. Usah panik, uruskan saat itu dengan tenang dan penuh motivasi. Selidik punca bayi menangis, mungkin kerana kembung perut atau berasa panas atau mungkin juga kesejukan. Belajarlah bersabar!

9 - Kawal nafsu!

Sudah namanya lelaki, tidak dapat tidak, nafsu selalu bsergelora. Jangan gelojoh dan akurlah pada detik yang sesuai untuk bersama isteri dalam hubungan intimasi. Fikirkanlah yang isteri anda sudah bersusah-payah menggendong si kecil ke sana ke sini selama 9 bulan 10 hari tanpa keluh kesah dan kini dalam pantang pula. ;;) Tentulah mengambil masa untuk pulih seperti sedia kala. Fikirkan juga yang kini ada orang ketiga yang harus diutamakan.

10 - Pastikan tabungan mencukupi

Ayah muda perlu memastikan tabungan sentiasa mencukupi bagi menghadapi saat-saat kecemasan terutamanya bila membabitkan si kecil yang mungkin diserang demam serta perlu mendapatkan rawatan segera di hospital. Peruntukan sebahagian daripada pendapatan bulanan untuk memenuhi keperluan kecemasan si kecil dan isteri sepanjang bergelar ayah.





Apabila anak-anak anda sudah semakin membesar, peranan seorang ayah semakin bertambah. Bagi ayah yang memilik anak-anak yang sedang membesar, ikuti tips yang berikut pula.

11 - Hormati ibu anak-anak anda

Salah satu hal terbaik yang dapat dilakukan ayah bagi anak-anaknya adalah menghormati ibu mereka. Setelah anda melafazkan ijab-kabul, anda wajar menjaga ikatan pernikahan anda agar tetap kuat dan penuh komitment.

12 - Luangkanlah waktu bersama anak-anak anda

Bagaimana seorang ayah meluangkan waktunya dengan anak-anak amat mempengaruhi perkembangan mental anak-anak. Jika anda nampaknya selalu terlalu sibuk untuk anak-anak anda, mereka akan merasa dipinggirkan dan ini mampu menjejaskan perkembangan mereka.

13 - Upayakanlah hak untuk diperdengarkan

Sering kali satu-satunya saat si ayah bersuara kepada anak-anaknya adalah ketika mereka melakukan sesuatu kesalahan. Mulakanlah mendekatkan diri dengan anak-anak dengan berbicara ketika mereka masih kecil. Jika anda biasa meluangkan masa untuk mereka, topik-topik sulit akan lebih mudah ditangani ketika mereka semakin besar. Luangkanlah waktu dan dengarkanlah idea-idae serta persoalan-persoalan mereka. Ingat, mereka kecil hanya sekali.

14 - Disiplinkanlah dengan kasih sayang tanpa syarat

Setiap anak memerlukan bimbingan dan disipli, bukan sebagai hukuman, melainkan untuk menetapkan batasan-batasan yang masuk akal. Ingatkanlah anak-anak anda akan ganjaran bagi perlakuan mereka dan berikanlah imbuhan yang munasabah atas perilaku baik mereka yang seperti kita ingini.

15 - Role model atau idola

Mungkin anda tidak menyedarinya, tetapi sebenarnya, para ayah adalah role model atau idola bagi anak-anaknya. Seorang anak perempuan yang meluangkan waktu dengan ayahnya akan tumbuh dengan penuh kasih sayang dan tahu apa yang harus dicarinya dalam diri seorang suami, apabila dia dewasa kelak. Seorang anak lelaki yang meluangkan masa dengan ayahnya pula akan menghormati ayahnya. Setiap ayah seharusnya mengajar anak-anak lelakinya apa yang penting dalam kehidupan ini dengan mendemonstrasikan kejujuran, kerendahan hati dan tanggungjawab.

16 - Jadilah guru kepada anak-anak

Tidak dapat dinafikan, terlalu ramai bukan sedikit ayah yang menganggap bahawa mengajar adalah urusan isterinya dan orang lain. Contohnya, guru di sekolah. Jadikanlah anak sebagai amanah dan bukan sekadar anugerah. Seorang ayah yang memahami amanah yang dititipkan Allah Taala akan mengajar anak-anaknya tentang yang benar dan yang salah serta mendorong mereka untuk melakukan yang terbaik. Dengan ini ayah akan melihat anak-anaknya membuat pilihan yang baik dalam hidup mereka.

17 - Makanlah bersama-sama keluarga

Makan sarapan, makan siang, atau makan malam bersama-sama, boleh menjadi bahagian penting dalam kehidupan keluarga yang sihat. Selain memberikan hak kepada ahli keluarga (walaupun anda seorang yang sangat sibuk), ini juga memberi anak-anak peluang untuk membicarakan apa yang sedang mereka kerjakan dan apa yang ingin mereka kerjakan. Hal ini pernah dikupas dalam entry Manfaatkan waktu malam bersama keluarga.

18 - Bacakanlah cerita untuk anak-anak

Mulakanlah membacakan cerita untuk anak-anak semenjak mereka masih kecil. Setelah mereka lebih besar, doronglah mereka untuk membaca sendiri. Menanamkan semangat kecintaan untuk membaca adalah salah satu cara terbaik untuk memastikan anak-anak anda mengalami pertumbuhan peribadi yang lebih cemerlang dalam hidup mereka.

19 - Perhatikanlah kasih sayang anda

Anak-anak berhak untuk mendapatkan rasa tenteram yang tumbuh dari fikiran bahawa mereka diingini, diterima dan dikasihi oleh keluarga. Orang tua terutama para ayah, perlu membiasakan diri memeluk anak-anaknya. Memperlihatkan kasih sayang setiap hari adalah cara terbaik untuk memberitahu mereka bahawa anda sayang kepada mereka.

20 - Sedarlah bahawa tugas sebagai ayah takkan pernah selesai /:)

Walaupun setelah anak-anak besar dan bersedia untuk meninggalkan rumahpun, mereka akan tetap mencari hikmat serta nasihat daripada ayah mereka. Mungkin persoalan bagi meneruskan pendidikan, pekerjaan baru atau pernikahan, para ayah terus memainkan peranan penting dalam kehidupan anak-anak mereka.

Diharapkan tip-tips yang disenaraikan di atas dapat menjadi guideline para ayah di luar sana. Kita semua kalut dengan gejala sosial yang melanda masyarakat. Jika setiap ayah dan ibu berganding bahu menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna, mungkin krisis sosial dapat dikurangkan di masa hadapan. :-?


Butiran selanjutnya ...

Rasulullah ikon cinta sebenar umat Islam


Kasih sayang Nabi Muhammad SAW terhadap generasi muda lebih hebat, wajar diingati

RASULULLAH SAW tidak melupakan golongan pemuda malah, sebahagian pemuda digambarkan secara jelas rasa cintanya Nabi SAW kepada mereka. Rasulullah tidak menyembunyikan rasa sayang. Apa terpendam dalam diri, pasti digambarkan Baginda.

Disebabkan itulah, setiap kemarahan Baginda membuatkan tertunduknya wajah sahabat kerana terpancar merah saga mukanya. Apabila Baginda gembira, tergambar indah daripada lakaran senyuman bibirnya membuatkan semua merindui wajah seceria itu.
Ada sahabat yang masih muda disebut-sebut Baginda SAW sebagai manusia terpilih untuk dicintai Rasulullah. Usamah bin Zaid dikritik sahabat lain kerana tidak puas hati beliau terpilih sebagai panglima perang dalam usia cukup muda.

Lalu Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kalian mencela kepemimpinannya, maka kalian juga mencela kepemimpinan ayahnya sebelum ini. Demi Allah dia (ayahnya) sangat layak menduduki jawatan panglima dan dia salah seorang yang paling aku cintai. Dan Usamah adalah orang yang paling aku cintai sesudah ayahnya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Rasa cinta Rasulullah kepada Usamah turut digambarkan oleh Ibnu Umar dengan katanya: “Sekiranya Rasulullah SAW melihatnya, nescaya beliau akan mencintainya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Begitu juga rasa cinta Nabi SAW kepada cucunya iaitu Hassan dan Hussain sehingga Baginda mendoakan mereka dengan doa yang bermaksud: “Ya Allah, cintailah keduanya kerana aku mencintai keduanya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Rasulullah juga memuliakan orang muda. Pernah suatu ketika, Nabi SAW menghadiri satu majlis yang dihadiri pembesar kaum, beliau dengan sendiri menunjukkan penghargaan kepada orang muda.

Diriwayatkan dari Sahl bin Sa’ad: Rasulullah SAW mendapat hidangan segelas minuman dan beliau meminumnya. Di sebelah kanan Baginda ada anak paling muda yang hadir. Di sebelah kiri Baginda ramai yang sudah tua. Baginda bertanya: “Hai anak, apakah kamu mengizinkanku memberi minuman ini kepada orang tua itu? Si anak muda itu menjawab: Wahai Rasulullah SAW, aku tidak akan mendahulukan seorang pun disebabkan keutamaanku di sebelah engkau. Maka Baginda memberikan minuman kepada anak muda itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Diceritakan oleh Salamah: “Rasulullah SAW memboncengku menaiki kenderaan berkali-kali. Baginda mengusap wajahku berkali-kali. Baginda meminta ampun kepadaku sebanyak bilangan jari jemariku di kedua tanganku.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Kisah cinta Rasulullah kepada orang muda mesti dibalas dengan cinta. Siapa kita di akhirat kelak andai cinta yang ditunjukkan Baginda kepada umatnya tidak dibalas setanding dengannya. Antara kaedah untuk kita membalas cinta Rasulullah ialah mengisytiharkan rasa cinta walau ia belum pernah dipupuk. Dengan meletakkan cinta kepada Rasulullah melebihi cinta terhadap dirinya sendiri.

Umar al-Khattab berkata kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, sungguh engkau lebih kucintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri. Nabi SAW bersabda: Tidak, demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya sehingga aku lebih dicintai daripada dirimu sendiri. Umar RA berkata: Maka sesungguhnya sekarang demi Allah sungguh engkau kucintai lebih dari diriku sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sesudah mengisytiharkan cinta kita, maka ia perlu disambut dengan mengamalkan sunnahnya dan inilah yang dimaksudkan oleh Imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan surah Ali-Imran, ayat 31 yang bermaksud: “Katakanlah, jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutlah aku (Rasulullah) nescaya Allah Mengasihimu.”

Kata Imam Ibnu Kathir, ayat ini sebagai pemutus hukum bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah tetapi tidak menempuh jalan Nabi Muhammad SAW, maka pengisytiharan cintanya adalah suatu pembohongan sehinggalah ia mengikuti syariat dan agama dibawa Nabi Muhammad SAW dalam semua ucapan dan perbuatannya.

Sebab itulah perasaan cinta kepada Rasulullah mesti serasi dengan mengikuti jejak sunnahnya. Cinta dan mengikut sunnah tidak boleh berpisah. Siapa tidak mengenali Abu Talib ayah saudara Nabi SAW yang mencintai Nabi SAW dengan cinta yang sangat hebat.

Namun disebabkan cinta itu bukan saja boleh dituruti oleh hati, namun mengikuti ajaran Nabi itu perlu seiring, maka cintanya tertolak kerana menolak mengikut ajaran Nabi SAW.

Begitu juga jika hanya mengikut petunjuk dan mengamalkan ajaran Nabi SAW, tetapi tidak seiring dengan cinta kepada Nabi SAW, maka ia juga tertolak.

Abdullah bin Ubay bin Salul, seorang munafik yang solat di belakang Nabi SAW. Beliau menuruti ajaran Baginda namun tersemat dalam hatinya perasaan bencikan Nabi SAW, maka segala amalannya tertolak.

Remaja kini hanya mengingati ikon cinta dan kasih sayang milik Saint Valentine hingga tidak sabar meraikan hari kekasih pada 14 Februari tetapi melupakan tarikh 12 Rabiulawal yang sepatutnya mengingatkan mereka kepada ikon kasih sayang lebih hebat dan mulia.

Sedihnya, kisah cinta Rasulullah kepada umatnya sudah hilang daripada diari hidup remaja. Justeru, marilah mengenang kembali kisah Rasulullah yang mengalir darah di kaki Baginda akibat dibaling batu oleh penduduk Thaif yang menolak dakwah Baginda.

Ketika hadirnya malaikat penjaga gunung yang bersimpati dan bertanya mahukah Baginda jika penduduk Thaif dimusnahkan, Rasulullah menolak sebaliknya berdoa supaya penduduk Thaif mendapat hidayah petunjuk dari Allah.

Hebat benar kisah cinta Nabi SAW kepada umatnya membuatkan Baginda terlupa luka di kaki yang berdarah. Namun kita sebagai umatnya, tidak mahu menjadikan Baginda sebagai ‘ikon cinta.’

Semasa Nabi SAW menakluk Kota Makkah bersama sepuluh ribu tentera, sahabat lain mengenang kembali saat umat Islam diusir dan ada sahabat yang dicincang oleh kafir Quraisy. Betapa hina mereka difitnah dan dicaci sebelum ini.

Lalu seorang sahabat bangun dan berkata: “Hari ini adalah hari pembunuhan balik (balas dendam) terhadap musyrik yang memerangi mereka.”

Bagaimanapun, jiwa yang amat mencintai umatnya iaitu Muhammad SAW menolak dan berkata: “Bukan, sesungguhnya hari ini adalah hari kasih sayang.”

Sayangnya, sejarah ini dilupakan umat Nabi Muhammad sehingga lebih mengagungkan ikon cinta agama lain. Sedangkan, kita memiliki ikon cinta sebenar yang lebih hebat serta tinggi kedudukannya.

Benarlah ungkapan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Aku adalah kasih sayang yang dihadiahkan.” (Hadis riwayat al-Hakim). Ya Rasulullah, kami mencintaimu, moga ditetapkan hati kami di atas ketaatan mengikut petunjuk ajaranmu.

Penulis, Muhammad Asyraf, ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis di BHarian 15/02/2011


Butiran selanjutnya ...

Umat tepati janji mencontohi akhlak Rasulullah



Assalamualaikum warahmatullah,

Selamat menyambut Maulidur Rasul. RASULULLAH SAW diutuskan untuk mengajarkan umat manusia berakhlak mulia, sama dalam berhubungan dengan Allah dan sesama manusia. Ada banyak contoh akhlak mulia diajarkan Rasulullah SAW dalam berhubungan sesama manusia antaranya ialah menepati janji.

Memang diakui kita tidak terlepas daripada membuat janji ketika menjalani kehidupan seharian. Contohnya, suami berjanji dengan isterinya, ayah berjanji dengan anaknya, sahabat berjanji dengan sahabatnya, rakan sekerja berjanji rakannya, pekerja berjanji dengan majikannya, pemimpin berjanji dengan rakyatnya dan begitulah sebaliknya.

Malah, ada kala seseorang itu berjanji juga dengan Allah atau bersumpah dengan nama-Nya untuk melakukan perkara kebajikan dan meninggalkan kemungkaran. Hakikatnya Islam tidak melarang umatnya berjanji dengan sesiapa pun, asalkan janji itu ditepati dan ditunaikan, khususnya dalam perkara kebajikan.

Allah berfirman bermaksud, "Wahai orang beriman, penuhi serta sempurnakanlah segala perjanjian (yang kamu buat)." (Surah al-Ma’idah, ayat 1)

Perjanjian adalah amanah yang wajib ditunaikan. Soal meringan-ringankan perjanjian dan tidak menepati perkara dijanjikan termasuk dalam kategori dosa besar. Ia sangat dibenci dan dimurkai Allah.

Firman Allah bermaksud, "Wahai orang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (Surah al-Saff, ayat 2-3)

Memungkiri janji boleh mendatangkan implikasi negatif kepada kepada pihak berjanji. Akibat memungkiri janji hubungan seorang sahabat dengan sahabat menjadi renggang, pekerja dengan majikan bermusuhan, suami isteri berselisih faham dan tidak wujud perasaan kasih sayang antara ayah dengan anaknya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud, "Tiga perkara, sesiapa yang padanya ada tiga perkara itu, maka dia adalah seorang munafik walaupun ia berpuasa, mengerjakan solat dan mengakui dia seorang Muslim. (Tiga perkara itu) ialah apabila berbicara, ia berdusta; apabila berjanji, ia menyalahi janji; dan apabila diberi amanah, ia khianati." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebagai panduan, Islam meletakkan adab dalam berjanji antaranya mengucapkan lafaz 'insya-Allah' apabila berjanji. Inilah yang menjadi kebiasaan dalam kalangan kita, apabila berjanji akan mengucapkan 'insya-Allah', dengan maksud tidak memberatkan apa dijanjikan itu.

Ucapan 'insya-Allah' bukanlah alasan untuk tidak menyempurnakan janji. Bahkan perkataan itu hendaklah disertai dengan azam menyempurnakan janji supaya tidak termasuk dalam golongan yang dibenci Allah.

Allah berfirman bermaksud, "Dan jika kamu khuatir akan terjadinya pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang khianat." (Surah al-Anfal, ayat 58)

Renung-renungkan!




Petikan : BHarian 11/02/2011

Butiran selanjutnya ...

Isnin, Februari 14, 2011

Fantasi seks penghidap parafilia

PERBUATAN menyeksa pasangan untuk mendapat kepuasan seksual masih berlaku di Malaysia.


KEMATIAN misteri lelaki bercoli yang terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Sentul, Kuala Lumpur membuka lembaran tahun 2011. Kisah ini belum terungkai. Apakah motif lelaki keturunan Melayu berusia 26 tahun itu memakai coli sambil memanjat bangunan setinggi 17 tingkat itu? Mangsa diandaikan sedang melakukan percubaan mencuri di beberapa buah rumah di kawasan tersebut. Dia turut dikaitkan dengan perilaku seksualnya yang luar biasa berdasarkan corak pemakaian mangsa ketika menemui ajal.

Sama ada disedari atau tidak, terdapat individu yang memperoleh kepuasan seksual dengan memakai pakaian atau peralatan peribadi milik jantina berlawanan. Kes yang digelar transvestisme ini merupakan salah satu daripada cabang perilaku seks luar biasa atau disebut juga parafilia.

Bidang kegilaan seks luar biasa yang berleluasa dalam diam ini turut meliputi perbuatan mengintai (voyeurisme), menayangkan alat kelamin (ekshibisionisme), melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak (pedofilia) dan menyalut tubuh dengan makanan sebelum melakukan hubungan seks (nyotaimori). Selain itu, kegiatan melakukan seks dengan mayat (nekrofilia), haiwan (bestialiti) dan saudara kandung (incest) merupakan sebahagian lagi kegilaan parafilia. Tidak terkecuali juga keinginan mencapai kenikmatan seks dengan cara yang ganas seperti memukul, mencekik dan menggunakan alatan untuk menyakiti pasangan.

Menurut pakar seksual lelaki, wanita dan reproduktif, Dr. Ismail Thamby, parafilia dikaitkan dengan kecelaruan mental yang menyerang penghidap masalah psikologi bipolar.

“Penghidap ini akan mengalami dua situasi berbeza pada satu-satu masa sama ada riang atau murung dalam tempoh tertentu,” ujarnya yang melihat punca lain parafilia disebabkan ketagihan peribadi yang timbul berdasarkan perkembangan minat pada mulanya.

Perilaku ini tidak dikategorikan sebagai penyakit mental kerana kecelaruan ini berupaya untuk menjadi terlalu ekstrem begitu juga sebaliknya. Parafilia lebih ditumpukan kepada langkah untuk menaikkan syahwat dengan pelbagai teknik dan gaya. Ismail tidak menolak kecenderungan untuk mencapai kepuasan seksual ini disebabkan oleh pengaruh daripada persekitaran yang bersifat global sekali gus menyuntik perasaan ingin tahu yang membuak-buak.

KEMATIAN lelaki bercoli yang terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Sentul, Kuala Lumpur menimbulkan tanda tanya mengenai orientasi seksualnya.


Perlakuan parafilia, dikawal sendiri oleh penghidap menerusi saluran bersifat persendirian seperti menonton filem lucah atau melayari laman pornografi.

“Namun, apabila terdapat peluang lain untuk bereksperimentasi, sikap mencapai kepuasan seksual akan bertambah yang seterusnya menjadikannya satu bentuk ketagihan,” terang beliau.

Seks dengan haiwan

Ismail berkata, lelaki bahkan wanita tidak kira peringkat umur boleh menjadi pelaku parafilia.

“Mungkin wanita kurang menampakkan ciri perlakuan pelik ini kerana sifat lembut mereka berjaya menyembunyikan perlakuan ekstrem ini,” katanya.

Mudah terjebak dalam perlakuan seks luar biasa ini menyebabkan kegiatan parafilia terus berleluasa di negara sedang membangun seperti Malaysia, Kemboja, Vietnam, Filipina dan Thailand.

Menghuraikan kesan dan akibat perbuatan ini, Ismail sempat berkongsi pengalamannya merawat beberapa pesakit yang cenderung mendapatkan kepuasan seks dengan amalan yang luar biasa.

“Pada tahun 1990-an saya pernah merawat pasangan yang suaminya mempunyai masalah mati pucuk. Oleh kerana wanita tersebut menderita tidak mencapai kepuasan seks yang diinginkan daripada suaminya, dia memilih untuk melakukan hubungan seks dengan seekor anjing yang dipeliharanya di rumah,” cerita beliau.


KEMATIAN Nurin Jazlin turut dikaitkan dengan penghidap parafilia.


Selain itu, maklum Ismail, terdapat juga lelaki yang memperoleh kenikmatan apabila melakukan hubungan kelamin dengan anak kandungnya. Perceraian yang diakibatkan gaya hidup tidak bermoral ini juga meninggalkan impak jangka panjang kepada individu terbabit. Ada kes yang dirujuk kepadanya mengundang parah dalam kesihatan mental terutama golongan kanak-kanak yang pernah dicabul oleh orang dewasa lebih-lebih lagi melibatkan darah daging sendiri.

“Impak psikologi yang mendalam boleh meninggalkan trauma berlanjutan kepada kanak-kanak. Tidak mustahil ia akan menyebabkan depresi yang berpanjangan sehingga ke usia dewasa,” ujarnya yang menentang amalan tidak sihat ini.

Tambah Ismail, kematian juga boleh terjadi jika ‘permainan seks’ tidak mengikut prosedur yang betul apatah lagi apabila melibatkan kejutan elektrik dan peralatan tajam. Oleh itu, rawatan terbaik yang diberikan Ismail adalah melalui teknik kauseling yang dilakukan secara berperingkat kepada pesakit.

“Oleh kerana perilaku ini tidak diklasifikasikan sebagai masalah mental, teknik kaunseling adalah langkah terbaik untuk membendungnya daripada terus menular,” tegasnya.

Mencari punca dari sudut pemakanan pula, pakar dietetik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof. Madya Dr. Sharida Abdul Razak menegaskan faktor pemakanan tiada kaitan dengan salah laku berkenaan.

“Melainkan individu tersebut mengambil dadah secara berlebihan dan bahan perangsang seks tanpa kebenaran pihak berkuasa,” ujarnya yang percaya faktor pergaulan liar tanpa batasan turut menjadi punca.




Petikan : Kosmo!

Butiran selanjutnya ...

Kontroversi nikah bawah umur

USIA remaja perlu dihabiskan dengan usaha menuntut ilmu. - Gambar hiasan


SITI Nur Zubaidah Hussin baru berusia 11 tahun ketika dia dipaksa berkahwin oleh bapanya dengan lelaki berusia 41 tahun di Kelantan awal tahun lalu. Bapanya, Hussin Mat Salleh ialah pengikut kumpulan tabligh yang diyakinkan oleh ketuanya, Shamsuddin Che Derahman, juga digelar ‘Sudin Ajaib’, bahawa perbuatan itu mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Akibat perkahwinan tanpa rela, kanak-kanak pintar darjah lima itu mengalami tekanan perasaan yang hebat. Dia telah ditemui dalam keadaan separuh sedar di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera, Batu Caves, Selangor.

Kes itu bukanlah yang pertama dan terakhir di negara ini kerana masih ada lagi remaja yang berkahwin dengan kerelaan hati malah ada juga yang terpaksa berkahwin kerana hamil di luar nikah.

Pusat Kajian Wanita Antarabangsa (ICRW) pada tahun 2005 memberikan definisi pernikahan bawah umur sebagai pernikahan atau penyatuan antara dua orang, iaitu salah seorang ataupun kedua-duanya berusia kurang daripada 18 tahun.

Gubal undang-undang

Sehingga kini, kadar peratusan pernikahan bawah umur di Malaysia masih kecil iaitu 0.725%. Pada dasarnya, perkahwinan adalah sebahagian daripada fitrah manusia dan berdasarkan fitrah itulah, Allah menciptakan manusia, tetapi sejauh manakah pernikahan bawah umur diterima oleh masyarakat yang semakin maju pada masa kini?

Justeru, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) telah menganjurkan Seminar Kebangsaan Undang-Undang Keluarga Islam bertajuk Nikah Bawah Umur: Patut atau Tidak? di sini baru-baru ini.

Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakari berkata, terdapat nas yang membolehkan perkahwinan dengan kanak-kanak bawah umur sama ada daripada al-Quran, Sunnah dan ijma’. Bagaimanapun, beliau berkata, penggubalan atau peruntukan undang-undang perlu ada bagi mengawal perkara itu dan untuk memastikan pihak yang terlibat, terutamanya pihak perempuan mendapat perlindungan dan jaminan.

Matlamat perkahwinan

Syeikh Abdullah al-Manie, iaitu anggota Majlis Ulama Kanan Saudi melontarkan pandangan bahawa perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewajarkan perkahwinan bawah umur.

“Pandangan beliau itu timbul sebagai reaksi kepada perkahwinan seorang gadis berumur 12 tahun dengan seorang lelaki berumur 80 tahun di Buraidah, Arab Saudi,” kata Zulkifli ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pernikahan Di Bawah Umur Dari Perspektif Syarak.

Zulkifli menambah, walaupun hukum berkahwin dengan gadis kecil adalah harus, tetapi dengan memahami maksud dan matlamat perkahwinan, ia jelas menunjukkan bahawa sewajarnya kanak-kanak yang dikahwini mestilah dalam usia yang mampu menanggung hubungan kelamin.

“Justeru melihat kepada adat, sewajarnya tidak dibenarkan perkahwinan bawah umur kecuali melihat kes tertentu sahaja,” katanya.

KISAH seorang gadis bawah umur yang ditemui separuh sedar di Batu Caves menggemparkan negara awal tahun lalu.


Seksyen 8, Akta Undang-Undang Keluarga Islam, Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 dan enakmen-enakmen seumpamanya di peringkat negeri memperuntukkan umur minimum untuk berkahwin. Akta itu menyatakan bahawa tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan jika si lelaki berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika hakim syariah memberi kebenaran secara bertulis dalam keadaan tertentu.

Bukan budaya Malaysia

Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, perkahwinan bawah umur berlaku di negara lain malah dalam jumlah yang tinggi. Di Malaysia, rata-rata masyarakatnya mengecam perkahwinan bawah umur.

“Antara jawapan yang ditemui adalah kerana Malaysia menjadi model negara Islam, maka ia tidak sepatutnya menggalakkan perkahwinan bawah umur. Malaysia juga negara maju. Perkahwinan bawah umur dilihat sebagai satu amalan yang ketinggalan zaman,” katanya ketika membentangkan kertas kerja Pernikahan Di Bawah Umur Dari Perspektif Undang-Undang.

Zaleha berkata, berkahwin bawah umur bukanlah budaya di Malaysia pada masa kini dan ibu bapa sepatutnya menggalakkan anak-anak mereka untuk belajar pada usia itu dan bukannya untuk berkahwin.

“Dengan perkembangan dunia kini dan semangat membudayakan ilmu, kita tidak sepatutnya menggalakkan remaja kita berkahwin bawah umur melainkan dalam hal-hal yang tidak dapat dielakkan,” kata Zaleha.

Beliau berkata, mungkin Malaysia harus belajar dari pengalaman India iaitu undang-undang untuk menyekat perkahwinan bawah umur adalah seperti ‘harimau yang tidak bergigi’.

“Peratusan perkahwinan bawah umur menjadi sedikit rendah di India dan Pakistan bukan kerana kewujudan undang-undang itu, tetapi kerana usaha menggalakkan gadis-gadis negara itu menuntut ilmu sehingga tertubuhnya universiti khas untuk wanita,” katanya.

Implikasi kesihatan

Pakar Perunding Obstetriks dan Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj berkata, kebanyakan remaja perempuan yang berkahwin akan hamil dalam usia yang muda dan berhadapan dengan banyak komplikasi dan masalah kesihatan semasa hamil (antenatal), ketika melahirkan (intrapartum) dan juga selepas kelahiran (post-partum).

“Kadar kematian ibu dan bayi juga meningkat dalam kalangan remaja belia yang hamil, bukan sahaja kerana komplikasi semasa proses kehamilan dan kelahiran, malahan juga disebabkan faktor persekitaran yang menyukarkan remaja terbabit mendapatkan kemudahan dan jagaan kesihatan yang optimum,” katanya ketika membentangkan kertas kerja Pernikahan Di Bawah Umur Dari Perspektif Perubatan.

Harlina memberitahu, kelompok itu tidak mendapat nasihat yang tepat mengenai kontrasepsi dan perancangan keluarga di samping kesukaran membeli sendiri ubatan yang diperlukan untuk tujuan tersebut.

“Selain itu, pemakanan yang kurang memuaskan boleh menyebabkan kekurangan zat, kepucatan dan malnutrisi kepada remaja terbabit. Perkahwinan bawah umur juga dikaitkan dengan kadar keganasan rumah tangga yang menyebabkan gangguan kesihatan emosi dan mental remaja itu,” kata Harlina.

Tambah beliau, gadis bawah umur itu terpaksa berhadapan dengan realiti hidup berkeluarga yang memerlukan kemahiran membuat keputusan dan penyelesaian masalah, pengurusan kewangan dan emosi, kematangan serta keupayaan berkomunikasi yang baik.

Capaian entry berkaitan :

* ISU : Kahwin muda (bawah-umur)
* Kahwin : Jangan berlandaskan seks
* Bukan hak milik tetapi anugerah
* Tazkirah : Nafkah batin bukan sekadar keperluan seks




Petikan : Kosmo! 14/02/2011

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails