“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Sabtu, April 16, 2011

Menangani karenah anak

IBU BAPA perlu konsisten dalam membentuk tabiat dan tingkah laku anak-anak.

Assalamualaikum warahmatullah,

Anak-anak adalah anugerah Allah SWT yang sangat bernilai. Mereka adalah pewaris kita di dunia ini. Doa mereka sangat diperlukan ketika kita berada di alam barzakh. Kiriman doa setulus hati daripada anak-anak yang soleh adalah penawar di alam kubur.

Kehadiran mereka ke dunia ini di sambut dengan tangisan riang gembira oleh si ayah, si ibu hilang perit sakit melahirkannya hanya dengan menatap wajah si kecil yang masih kemerahan. Di benak ayah macam-macam yang terlintas daripada mula memberi nama hinggalah berkahwin dan mendapat cucu.

Beberapa minit itu ayah dapat membayangkan apa yang terbaik untuk warisnya itu. Nah, semua ini adalah gambaran kemeriahan awal dalam menyambut ahli baru dalam keluarga mereka.

Saya percaya, setiap kita akan berhadapan dengan situasi mencabar dalam membesarkan anak-anak. Bukan senang untuk membesarkan anak-anak, apatah lagi di zaman yang serba moden hari ini. Terdapat ibu bapa yang menghadapi karenah anak yang pelbagai sehingga memeningkan kepala ibu bapa.

Namun begitu, sebelum menyalahkan anak-anak, eloklah kita lihat kelemahan kita terlebih dahulu. Kita yakin tidak ada seorang pun di antara kita yang mahu anaknya menjadi kurang ajar, tidak menghormati ibu bapa, adik-beradik, sahabat handai dan selainnya. Pun begitu, ada yang sudah mengajar anaknya tapi tetap menjadi anak yang nakal kenapa? Persoalannya mungkin ada kesilapan dalam mendidik anak. Mungkin juga sumber rezeki ada unsur syubhat dan sebagainya.

Sesungguhnya setiap anak itu lahir ke dunia ini dalam keadaan suci bersih. Fitrahnya belum dicemari. Tetapi apa yang berlaku selepas itu? Siapa yang benar-benar menjaga kesucian fitrah anak kita yang lahir bersama dengannya sebagai satu anugerah? Bukankah kita yang tanpa sedari telah mencemarkannya? Anak-anak kita degil mesti ada sebab, mesti ada punca, cubalah cari apakah yang menjadi puncanya. Gunakan mata hati untuk mengenal mana kelemahan kita terhadap mereka. Insya Allah, kita akan menemui jalan untuk membantu anak-anak.

Inilah yang disebut fitnah awlad ujian anak-anak. Manusia boleh sabar bila diuji dengan harta benda, kedudukan dan kemewahan. Tetapi belum tentu boleh sabar dan tabah menghadapi ujian anak-anak.

Dalam al-Quran, Allah SWT memberitahu manusia bahawa anak-anak itu adalah ujian, firman-Nya yang bermaksud, “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal: 28)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun: 9)

Bila anak memberontak

Kita sering beranggapan hanya orang dewasa mengalami tekanan, gangguan emosi atau emosi kurang stabil. Hakikatnya, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dibelenggu permasalahan psikiatri ini. Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah 2~4% di kalangan kanak-kanak manakala 10% di kalangan remaja dan 15~20% di kalangan dewasa.

Kajian yang dilakukan Dr. Ramli Musa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diterbitkan dalam Jurnal Psikiatri Hong Kong itu turut mendapati 10.5% daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan.

Menurut Profesor Psikiatri, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azhar Mohd. Zain, gangguan atau tekanan emosi di kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan perlu diberi perhatian segera. Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan. Ia juga sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas.

Kebiasaannya kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atau rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan. Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara memberontak atau menangis.

Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh kalah dengan tangisan anak-anak kerana ia hanya akan menambah sifat ingin memberontak. Tabiat kerap menangis atau memberontak untuk mendapatkan sesuatu memang sering digunakan kanak-kanak dalam menarik perhatian orang dewasa. Namun sebagai ibu bapa, kita adalah orang yang bertanggungjawab membentuk tabiat kanak-kanak dengan syarat mesti konsisten.

Didik akidah anak

Ramai ibu bapa lupa kepentingan mendidik akidah kepada anak-anak. Kadang-kadang sengaja tidak diendahkan kerana sudah sekolah agama mengajar anak kita, atau beranggapan bahawa cukup dengan apa diajar di sekolah.

Sebenarnya mengikut Islam, ayah bertanggungjawab sepenuhnya dalam pendidikan anak-anak. Kemudian barulah difikirkan bersama isteri untuk mendidik anak-anak. Tugas isteri lebih kepada mengasuh anak. Mendidik dan mengasuh adalah perkara yang berbeza. Hari ini, bukan sedikit ibu bapa yang tidak menjalankan kewajipan terhadap anak-anak mereka. Ayah tidak mahu mendidik anak-anak kerana merasakan itu adalah tugas si ibu, si ibu yang bekerja pula tidak lagi mengasuh anak-anak dan menyerahkan tugas kepada pembantu rumah atau pusat jagaan anak-anak.

Apabila anak tidak mengenal Allah SWT selaku pencipta sekelian alam, ayahlah orang yang pertama yang seharusnya dipersalahkan. Ini kerana tanggungjawab ahli keluarga secara mutlak di atas bahu si ayah. Tanggungjawab ini Allah SWT perintahkan di dalam al-Quran, firman-Nya yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)....” (Surah al-Tahrim: 6)

Kebanyakan ahli tafsir berpendapat konsep menyelamatkan ahli keluarga daripada seksaan api neraka bermula di dunia lagi dengan mengajar mereka perintah-perintah Allah SWT. Sebab itu tanggungjawab ayah adalah ajar anak-anak dan isteri mengenal Allah. Ajar mereka ibadat, ajar mereka membaca al-Quran serta ajar mereka halal dan haram dalam Islam.

Anak-anak yang bermasalah adalah anak-anak yang kosong jiwanya. Jiwa mereka tidak diisi dengan iman dan takwa. Didik akhlaknya, didik ibadatnya, didik jiwanya, didik kemasyarakatannya, didik ilmunya, didik perkembangan jati dirinya.

Di bawah ini ada beberapa perkara yang ingin dikongsikan untuk kita sama-sama bertindak sebagai ibu ayah yang prihatin. Antaranya :

# Ibu bapa semestinya bersangka baik dengan Allah SWT dalam menjalankan usaha tarbiyah anak-anak mereka.

# Bersikap lemah lembut dan prihatin terhadap anak-anak yang bermasalah.

# Sabar dalam menghadapi kerenah mereka.

# Konsisten dan berterusan dalam mengasuh mereka.

# Peruntukkan masa untuk bermain dengan mereka.

# Banyakkan bercerita kisah-kisah teladan anak-anak soleh atau kisah-kisah Nabi a.s.

# Berbicara dengan mereka mengenai kenikmatan syurga, seksa azab neraka, malaikat dan syaitan.

# Sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada mereka.

# Sentiasa bersangka baik dengan mereka.

# Banyakkan berdoa kepada Allah SWT

Semoga bermanafaat.




Diolah semula dari : Utusan 15/04/2011 dan Kosmo!.

Capaian entry berkaitan :
# Bapa semakin berperanan mendidik & mengasuh anak
# Adakah Anda Suami Yang Lalai Melaksanakan Tanggungjawab?
# Jadikan anak sebagai amanah
# Kain Putih Apa Coraknya?
# Peranan suami dalam mendidik anak

Butiran selanjutnya ...

Rabu, April 13, 2011

Tidak dilayan isteri bukan alasan untuk curang


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kita baru saja reda dengan komen seksis Bung Mokthar Radin terhadap pemandu wanita yang entah ada entah tidak akan statistik yang menyokong komennya. Rujuk Kecoh dicuit Bung. Kita percaya Bung Mokhtar pasti mempunyai alasan kukuh mengeluarkan kenyataan sensitif seperti itu. Isu ini mengundang kontroversi kerana membabitkan jantina di mana kaum wanita mula mempertahankan hak mereka dengan menyatakan ia kenyataan tidak berasas.

Namun bila diteliti sehalusnya, ternyata Bung Mukhtar sesedap rasa mengeluarkan komen yang boleh Laman-Seri kategorikan sebagai 'cakap ikut emosi', kerana statistik kemalangan jalan raya yang melibatkan kaum lelaki TERNYATA jauh lebih tinggi dibandingkan kaum wanita. Saya cuba bersangka baik dan beranggapan Bung Mokthar dihimpit oleh seorang pemandu wanita ketika dalam perjalanan ke Parlimen, sebab itulah beliau sungguh marah dan sanggup melontarkan komen tidak berasas. Ha ha ha...

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan bilangan pemandu lelaki yang terbabit dalam nahas jalan raya 2.4 kali lebih tinggi berbanding wanita. Menurut Ketua Pengarah MIROS, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, lelaki mempunyai purata kadar nahas jalan raya 1,351.74 bagi setiap 100,000 penduduk berbanding 537.97 bagi wanita, dan ini membuktikan lelaki 2.5 kali lebih berisiko berbanding wanita. Pada masa sama, jumlah pemandu wanita yang terbabit dalam kemalangan bertambah daripada 26.4% pada 2006 (berbanding lelaki 73.6%) dan meningkat 29.7% pada 2009.

Hah, tang mana pula dikatakan wanita memandu sambil lewa di jalan raya dan membahayakan orang lain serta menyumbang peningkatan kadar kemalangan?

Baru-baru ini, komen seksis Ibrahim Ali pula telah mencetuskan kemarahan kaum wanita di seluruh negara. Ketua Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Ivy Josiah berkata komen tersebut tidak wajar datangnya dari seorang ahli parlimen. Katanya, adalah mengejutkan apabila ahli parlimen Bebas Pasir Mas itu menyamakan wanita sebagai bahan mainan seks. Menurut Ivy, Ibrahim Ali menggunakan agama untuk menjustifikasikan pendiriannya itu kerana daripada komen itu, ia menunjukkan Ibrahim menjunjung ketuanan lelaki.

Menurut Tenaganita pula, sentimen sedemikianlah yang menjadi salah satu punca berlakunya penyeludupan manusia di negara itu. Memetik kata penyelaras kanan Tenaganita, Aegile Fernandez, jika setiap lelaki percaya, adalah hak mereka untuk melakukan seks dengan isteri pada bila-bila masa, atau jika tidak, mereka cari di tempat lain, maka itulah sebabnya mengapa industri seks berkembang dan berlakunya kes-kes penyeludupan manusia.

Saya melihat komen Ibrahim Ali tersangatlah 'bangang' tahap MORON bagi seorang lelaki muslim. Maaf ye, kasar banyak bunyinya, tetapi sebagai seorang muslim yang sepatutnya SEDAR dan AMBIL TAHU akan tugas dan tanggungjawab sebenar seorang suami sebagai PEMIMPIN tidak akan mengeluarkan kenyataan MORON sebegini. Apa sudah jadi dengan ahli parlimen Malaysia? Adakah anda sudah sangat terdesak merai publisiti hingga sanggup MEMPERBODOHKAN diri sendiri? Nyatalah, kedua-dua ahli parlimen ini bercakap mengikut emosi... kasihan sungguh!

Apa-apapun saya sangat-sangat setuju dengan pandangan Tuan Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) iaitu, suami sepatutnya FAHAM tanggungjawab berat wanita urus rumahtangga dan mengasuh anak. Memang menarik sungguh apabila membaca kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas), Datuk Ibrahim Ali yang mendakwa isteri tidak bertanggungjawab menjadi punca suami melakukan hubungan sulit yang didakwanya, ada masanya bila suami ‘ada keinginan’ tetapi pulang ke rumah, isteri kata tunggu kerana ‘sedang masak’ atau ‘sedang bersiap untuk ziarah saudara-mara’. Dalam Islam, menurut Ibrahim Ali lagi, seorang isteri sepatutnya menghentikan apa yang sedang dilakukan untuk memenuhi tuntutan si suami, KERANA tidak mendapat layanan isteri, ada suami pergi ke tempat sulit untuk memuaskan nafsu serakah mereka.

Kita tidak pasti adakah kajian berkaitan yang pernah dijalankan bagi menyokong penemuan ini. Ibrahim Ali perlulah kemukakan statistik berkaitan, sebelum kita dapat mengambil pendirian dalam hal ini. Bagaimanapun, pada pandangannya memang ada sedikit kebenaran kenyataan Presiden PERKASA itu khususnya tanggungjawab isteri melayan keinginan dan kehendak suami. Memang ada di kalangan ulama sudah disepakati mengenai tanggungjawab isteri terhadap suami ini. Nas al-Quran dan hadis juga banyak boleh dikutip bagi menyokong hujah ini.

Persoalan juga timbul dari kenyataan itu, adakah kebanyakan suami begitu rendah imannya melakukan larangan Allah semata-mata kerana isterinya tidak mahu memenuhi tuntutannya? Tidak ada jalan lainkah yang diajar agama bagi menangani masalah sebegini?

Dalam memperkatakan tanggungjawab isteri ini kita sebenarnya tidak boleh lari daripada meneliti tanggungjawab suami juga. Jika ingin mengambil Islam sebagai autoriti, kita mesti mengambil secara keseluruhan dan bukan dalam kompartmen tertentu saja.

Memang benar isteri perlu berhenti daripada membuat perkara lain sekiranya suami mempunyai keinginan untuk bersama isterinya. Memang benar juga isteri perlu berhias untuk suami dan melayan suaminya. Tetapi, realitinya isteri itu turut dibebankan dengan tanggungjawab lain yang tidak perlu sebenarnya dipikul isteri. Urusan rumahtangga dan anak secara eksklusif digalas isteri.

Dalam Islam tugasan menyediakan makan minum suami sebenarnya bukan tanggungjawab hakiki isteri. Tetapi isteri sekarang bukan saja dibebankan dengan tanggungjawab memasak malah menjaga anak dan ramai juga yang berkerja bersama-sama membantu suami meningkatkan ekonomi keluarga. Semua ini sebenarnya tanggungjawab suami yang perlu menyediakannya. Suami sepatutnya menyediakan pembantu rumah. Begitu juga halnya mengasuh anak. Sekiranya semua ini disediakan oleh suami, pada masa itu, isteri wajib menuruti apa saja kehendak suami.

Dalam Islam apabila seseorang itu diberikan sesuatu keistimewaan ia bukan datang begitu saja. Ia sebenarnya juga disertakan dengan tanggungjawab. Lebih banyak keistimewaan diberikan lebih besar sebenarnya tanggungjawab yang disertakan. Setiap suami harus sedar tanggungjawab ini dan tidak hanya memikirkan hak dan keistimewaan diberikan kepada mereka saja.

Sebagai seorang manusia, isteri juga mempunyai perasaan dan kelemahan. Sudah pasti isteri yang pulang dari bekerja itu berasa letih dengan kerja di pejabat. Adalah amat tidak munasabah sekiranya isteri ini juga selepas pulang dari kerja dibebankan lagi dengan pelbagai tugasan lain sedangkan si suami duduk menonton televisyen ataupun beristirehat saja. Sebagai ketua keluarga suami perlu menjaga kebajikan keluarganya. Suami akan dipersoalkan kelak sekiranya gagal mentadbir keluarganya dengan baik.

Kita percaya jika suami isteri mengambil neraca Islam sebagai panduan keharmonian rumahtangga mereka, sudah pasti tiada seorangpun akan teraniaya dalam keluarga. Malah isu mengadakan hubungan sulit dengan orang lain juga tidak akan timbul kerana hubungan suami isteri itu disulami dengan sulaman akhlak budi pekerti dan ketakwaan.

Keengganan isteri melayan suami bukan tiket kepada suami untuk berlaku curang. Islam mengajar bagaimana mendidik isteri nusyuz atau derhaka kepada perintah sah suaminya. Pada awalnya suami hendaklah menasihati isteri supaya tidak derhaka kepada suaminya. Sekiranya masih berdegil maka hendaklah diasingkan tempat tidur antara suami dan isteri dan sekiranya isteri itu masih berdegil ingkar kepada arahan suaminya dibenarkan kepada suami itu memukul isterinya bagi tujuan mengajar. Bagaimanapun pukulan itu hendaklah tidak mencederakan isteri dan tidak boleh dipukul pada bahagian tertentu seperti muka dan bahagian sulit. [NB: Ada perbincangan mengenai hal ini di entry Benarkah Islam membolehkan suami pukul isteri?]

Wanita dijadikan Allah daripada tulang rusuk sebelah kiri lelaki. Tulang rusuk ini begitu dekat dengan hati sebagai simbolik wanita itu hendaklah dicintai. Wanita tidak dijadikan daripada tulang di kepala untuk dijunjung ataupun tulang kaki untuk dipijak. Begitu indahnya kejadian wanita dijadikan Allah untuk kita fikirkan bersama.

Berbalik kepada kenyataan Ibrahim tadi, adalah disarankan, tidak kira suami ataupun isteri perlu melihat dalam diri mereka sendiri terlebih dulu sebelum menuding jari mendakwa orang lain melakukan apa-apa kesilapan ataupun menjadi penyebab berlakunya gejala sosial. Mendakwa orang lain menjadi penyebab kepada perlakuan salah seseorang yang lain amat tidak adil. Sebaliknya kita hendaklah melihat kepada diri sendiri sebelum mengatakan orang lain bersalah.

Laman-Seri : Janganlah jadi seperti bangau yang menyalahkan ikan yang tidak timbul kerana itulah badannya kurus! Jika inilah minda ahli parlimen yang mewakili kita, bagaimana pula minda rakyat marhein di luar sana???

HENTiKAN SiKAP BANGAU-MEMBANGAU!




Rujukan : Zainul Rijal Abu Bakar di BHarian 11/04/2011.

Butiran selanjutnya ...

Jintan manis (fennel seed)


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ini Laman-Seri kongsikan satu lagi flora yang amat berguna dalam kehidupan tukang masak sehari-hari. Jika anda tahu akan khasiat jintan manis, anda pasti akan menyimpannya di dapur anda selepas anda membaca artikel ini. :)

Jintan manis atau fennel adalah spesies tanaman di genus foeniculum (diperakuikan sebagai satu-satunya spesies dalam genus ini oleh kebanyakan ahli botani). Jintan manis atau nama botaninya foeniculum vulgare adalah dalam keluarga apiaceae atau karrot. Apiaceae (dahulu dikenali sebagai Umbelliferae).

Carrot family

Jintan manis juga dikenali sebagai saunf atau mauti saunf dalam bahasa Bahasa Hindi dan Urdu, sompu atau madhrikam dalam Telugu, badesoppu di Kannada, Mouri dalam bahasa Bengali, shombu atau peruncheeragam di Tamil dan Malayalam, variyali di Gujarat, badeeshop atau badeeshep di Marathi, Razianeh dalam bahasa Bahasa Parsi dan shomra dalam bahasa Arab.

Jintan manis adalah tumbuhan herba yang tahan lasak dengan bunga kuning dan daun berbulu. Jintan manis umumnya dianggap berasal dari tepi Mediterranean, namun telah tumbuh meluas secara semulajadi di banyak bahagian dunia, khususnya di tanah kering berdekatan pantai dan di tepi muara sungai.

Pokok jintan manis sedabg berbubga (Fennel in flower)


Bunga jintan manis (Fennel flowerheads)

Jintan manis adalah ramuan herba yang sangat aromatik dan berperisa yang digunakan dalam kulinari dan perubatan. Jintan manis juga merupakan salah satu bahan utama absinthe, iaitu sejenis minuman beralkohol. Jintan florence atau finocchio adalah jintan yang mempunyai batang membengkak mempunyai rizom seperti ubi bit adalah pilihan popular sebagai sayur.

Jintan manis digunakan sebagai makanan larva dari beberapa spesies Lepidoptera, termasuk kupu-kupu moth dan rama-rama swallowtail.

Perkataan fenel berasal fenyl iaitu dari Inggeris Tengah. Ia berasal dari pserkataan denol atau finol iaitu bahasa Inggeris Kuno, yang pada asalnya dari perkataan feniculum atau foeniculum (bahasa Latin) atau Foeniculum, yang bermaksud jerami. Tanaman ini dalam bahasa Latin dipanggil ferula, yang sekarang digunakan sebagai nama genus tanaman yang berkaitan.

Jintan manis adalah tumbuhan herba perennial (tahunan), iatu herba yang mampu hidup lebih daripada dua tahun. Pokok jintan manis tumbuh menegak, berwarna hijau keabu-abuan dan tumbuh sehingga 2.5 m. Batang pokoknya berongga. Daun pokok Jintan manis boleh membesar sehingga 40 cm panjang dan sangat halus seperti benang dengan kelebaran sekitar 0.5 mm.

Fennel, from Koehler's Medicinal-plants (1887)



Bunga jintan manis tumbuh pada terminal yang bertangkai panjang dalam 5-15 cm, setiap bahagian terminal mempunyai 20-50 bunga kuning kecil di tangkai pendek. Buah jintan manis adalah biji kering yang bersaiz 4-10 mm setengah panjang, lebarnya separuh daripada panjangnya dan bentuknya berlekuk.


Jintan Florence (Florence fennel bulbs)

Jintan manis ditanamkan secara meluas untuk daunnya (yang mempunyai perisa) dan buahnya yang sering dipanggil 'biji'. Jintan florence adalah sekumpulan kultivar dengan pangkalan daun menggembung yang membentuk struktur seperti ubi. Ia mempunyai rasa seperti jintan manis, tetapi lebih aromatik dan rasanya manis. Bunga jintan florence yang ditanam lebih kecil berbanding yang tumbuh liar atau semulajadi. Daunnya dimakan sebagai sayur-sayuran, baik mentah mahupun dimasak. Ada beberapa kultivar jintan florence, yang juga dikenali dengan beberapa nama, seperti finocchio. Jintan florence adalah salah satu daripada tiga herba utama yang digunakan dalam pembuatan absinthe, campuran alkohol yang asalnya sebagai ramuan ubat di Switzerland dan menjadi minuman beralkohol yang popular di Perancis dan negara-negara lain pada akhir abad ke-19.

Daun dan biji Jintan manis digunakan secara meluas dalam banyak masakan tradisi dunia. Biji jintan berwarna coklat atau hijau ketika segar dan perlahan berubah ke warna kelabu apabila usianya matang. Untuk digunakan dalam masakan, biji yang berhijau adalah yang paling optimum. Daunnya juga boleh digunakan sebagai penambah rasa dan aroma, sementara yang jenis berubi bawangnya boleh dijadikan sayur-sayuran yang boleh ditumis, direbus, direbus, dipanggang atau dimakan mentah.

Jintan manis banyak digunakan dalam masakan di benua India dan Timur Tengah. Jintan manis merupakan salah satu rempah-rempah yang paling penting dalam Kashmiri Pandit dan memasak Gujarati. Ini merupakan bahan penting campuran rempah-rempah dari Assam / Bengali /Oriya dan dalam lima-rempah serbuk di China. Di banyak bahagian Pakistan dan India, biji jintan panggang diambil sebagai Mukhwas, iaitu sejenis makanan untuk pencernaan dan penyegar nafas. Beberapa masyarakat petani juga mengunyah tangkai segar biji jintan hijau untuk khasiat yang sama. Daun Jintan manis digunakan sebagai sayuran berdaun hijau baik dimasak begitu sahaja atau dicampur dengan sayuran lain. Di Lubnan Jintan manis dicampur bersama-sama dengan bawang dan tepung, yang digunakan dalam masakan seperti telur dadar yang disebut ijjeh (عجة).

Banyak hidangan yang menggunakan telur, ikan dan hidangan yang lain juga menggunakan daun segar atau kering. Jintan florence adalah bahan utama dalam beberapa salad Itali dan Jerman. Ia sering dicampurkan bersama chicory dan avokado. Ia juga direbus dan dihidangkan sebagai lauk hangat.

Fennel, bulb, raw
Nutritional value per 100 g (3.5 oz)
Energy 130 kJ (31 kcal)
Carbohydrates 7.29 g
Fat 0.20 g
Protein 1.24 g
Thiamine (Vit. B1) 0.01 mg (1%)
Riboflavin (Vit. B2) 0.032 mg (2%)
Niacin (Vit. B3) 0.64 mg (4%)
Pantothenic acid (B5) 0.232 mg (5%)
Vitamin B6 0.047 mg (4%)
Folate (Vit. B9) 27 μg (7%)
Vitamin C 12 mg (20%)
Calcium 49 mg (5%)
Iron 0.73 mg (6%)
Magnesium 17 mg (5%)
Phosphorus 50 mg (7%)
Potassium 414 mg (9%)
Zinc 0.20 mg (2%)
Manganese 0.191 mg
Percentages are relative to US recommendations for adults. Source: USDA Nutrient database

Mengurangkan kembung dan gangguan pencernaan

Jintan manis mempunyai khasiat perubatan yang tersendiri. Jintan manis mengandungi anethole yang dapat menjelaskan beberapa kesan perubatan yang bertindak sebagai phytoestrogen. Jintan manis boleh dijadikan sirap untuk mengubati bayi dengan kolik (kembung). Untuk orang dewasa, teh jintan manis boleh diminum untuk merehatkan usus dan mengurangkan kembung yang disebabkan oleh gangguan pencernaan. Jintan manis dikatakan mampu melegakan kesakitan dalam badan, melancarkan aliran keluar haid, membanyakkan susu dan membuang gas dalam usus.

Menurut sumber artikelduniaherba1 :

1. Teh gabungan serai, pudina, jintan manis, kulit limau mandarin dan daun limau purut membantu merehatkan usus dan meredakan sembelit.

2. Satu sudu teh serbuk jintan manis dicampurkan dengan ½ cawan air dan diminum tiga kali sehari dapat mengurangkan air tubuh yang berlebihan, membantu pencernaan, meredakan sembelit.

Menurut rakan blogger UmmuWaheeda dalam entry jintan manis kempiskan perut :

Amalkan minum air rebusan jintan manis + halia. Amalkan setiap hari segelas pun memadai. Sesudu besar jintan manis + seinci halia yang telah dihiris. Rebus hingga menggelagak beberapa kali (10-15 minit). Biarkan suam dan minum. Dalam tempoh 4-6 bulan perut akan susut sendiri tanpa senaman.

Meningkatkan daya penglihatan

Di India, biji jintan dimakan mentah kerana dikatakan mampu untuk meningkatkan daya penglihatan. Ianya juga boleh digunakan dalam bentuk serbuk dan disapu di sekeliling mata bagi menguatkan pandangan mata. Roman Kuno juga menganggap jintan manis sebagai ramuan untuk penglihatan. Ekstrak akar sering digunakan dalam tonik untuk membersihkan mata yang mempunyai penglihatan yang kelabu. Ekstrak biji jintan manis juga telah dikatakan mempunyai potensi untuk digunakan dalam rawatan glaukoma.

Diuretik dan mengurangkan tekanan darah

Jintan manis mempunyai sifat diuretik dan dikatakan merupakan diuretik yang berkesan. Ia juga dikatan berpotensi untuk rawatan hipertensi.

Menggalakkan pengeluaran susu

Jintan manis mengandungi bahan yang dipanggil galactogogue, yang dikatakan dapat meningkatkan pengeluaran susu ibu. Walau bagaimanapun, fakta ini tidak tidak disokong oleh bukti secara langsung, namun dikatakan bunga mempunyai sumber fitoestrogen, yang mendorong petumbuhan jaringan payudara yang menghasilkan air susu.

Sirup yang diperbuat dari sari bunga jintan manis boleh dijadikan ubat untuk batuk kronik. Jintan manis juga merupakan salah satu tanaman yang dikatakan tidak disukai oleh kutu dan serbuk jintan manis dikatakan mempunyai kesan mengusir kutu atau bubuk di kandang ternakan.

Walaupun terdapat pelbagai kegunaan jintan manis, namun sebelum menjadikannya sebagai bahan ubatan, anda hendaklah mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.




Sumber rujukan : En.wikipedia - Fennel.

Butiran selanjutnya ...

Selasa, April 12, 2011

Zakat, haji tak dapat ‘bersihkan’ harta hasil rasuah


ADAPUN dimaksudkan ‘dosa beruntun’ adalah melakukan perbuatan mengandungi dosa dan kemudian daripada dosa yang satu, lahir pula dosa lain secara beranak-pinak. Hal ini paling dahsyat apabila orang yang terbabit adalah isteri, anak dan keluarga dalam perbuatan dosa besar yang dilakukan seseorang manusia.

Gejala rasuah contoh paling tepat dalam hal dosa beruntun dan bertali arus ini. Anehnya perasuah selalu menggunakan dalih dan muslihat jika ada pihak mencurigai dan ada kala menyembunyikannya ialah bekerjasama dengan pihak tertentu. Lebih menghairankan perasuah itu membohongi orang ramai atau keluarga harta diperoleh itu hasil keringatnya.

Akibat daripada nafkah haram ini juga menjadi tanggungjawab perasuah apabila muncul kelakuan buruk daripada penerima nafkah terutama di kalangan anak-anak. Sama ada disedari atau tidak, nafkah haram yang diberikan itu memiliki pengaruh signifikan terhadap perilaku seseorang. Anak, isteri keluarga perasuah turut terbabit dalam dosa yang mereka lakukan akibat hasil rasuah. Demikian juga orang lain tetap terbabit dengan dosa yang sama.

Melakukan perbuatan rasuah, ibadat dilakukan perasuah khususnya berkaitan zakat dan haji tetap mengandungi dosa walaupun mereka cuba mengaburi mata masyarakat dan negara, apa lagi mengaburi mata Tuhan.

Mereka beranggapan dengan melakukan ibadah seperti itu maka dosa mereka akan terhapus. Dalam al-Quran disebutkan, tujuan asasi zakat ialah membersihkan harta dan jiwa. Begitu juga haji, harta yang bersih dan halal saja diterima Tuhan. Bahkan amalan zakat dan haji mereka itu sebaliknya dikutuk dan mendapatkan dosa pula daripada Tuhan.

Perintah serta ajaran al-Quran agar manusia mencari harta secara halal dan menggunakannya kepada hal yang halal serta memakan makanan halal dapat dijadikan isyarat dan langkah awal membangun generasi salih. Bagi manusia yang menolak pelakuan rasuah, Allah akan memberikan imbalan pahala ketika di akhirat dan memberikan imbalan ketenangan ketika hidup di dunia. Sebaliknya orang yang mendapatkan dan menggunakan harta secara haram serta mengingkari perintah al-Quran, pelakunya akan berhadapan dengan pelbagai akibat di dunia dan akhirat.

Berikutan banyaknya implikasi dosa daripada hasil rasuah, khususnya bagi pelakunya, sudah sewajarnya jika perbuatan ini dianggap musuh, malah boleh memutuskan persaudaraan dengan mereka yang memakan rasuah.

Seorang perasuah menjadi penyebab kepada dosa beruntun yang menjejaskan reputasi peribadinya dan tidak boleh dipercayai di kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi di sisi Tuhan. Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari kiamat) maka baginya balasan lebih baik daripadanya, dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Qasas, ayat 84).

Pengamal rasuah di kalangan masyarakat kita, tidak segan melakukan perbuatan jahat itu sama ada secara tersembunyi atau terang-terangan. Ini menunjukkan mereka tidak memiliki beban moral dan akhlak jika kejahatannya akan ditiru generasi seterusnya.

Balasan yang akan diterima oleh orang yang menjajakan kejahatan seperti ini ialah Allah akan menyungkurkan muka mereka ke dalam api neraka. Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang dikerjakannya), maka sudah tentu mereka akan disungkurkan mukanya ke dalam api neraka (sambil dikatakan kepada mereka): “Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu lakukan.” (Surah an-Naml, ayat 90).

Hasil haram didapati perasuah tetap haram walaupun dilakukan pelbagai kebaikan, sehingga perbuatan rasuah itu memikul beban kepada zuriat dan keturunannya pula dengan terus menerus memakan benda haram.

Perkara haram tetap haram walaupun dibungkus dengan kebaikan. Selain itu, jika perbuatannya ditiru atau dinikmati sebahagian orang, selama itu pengamal rasuah tetap bergelumang dengan dosa mereka.


Renung-renungkan...




Sumber : Ibrahim Abdullah di BHarian 11/04/2011

Capaian entry berkaitan :
# Beli dunia dengan akhirat bawa padah
# Pemberi rasuah harus diperangi
# Rasuah bermula dari rumah

Butiran selanjutnya ...

Isnin, April 11, 2011

Hubungan ibu, anak kekal selepas nikah


Assalamualaikum warahmatullah,

Anda masih ingat entry Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa? Entry ini mendapat 922 hits dalam statistik Laman-Seri. Walaupun statistiknya tidaklah begitu tinggi, namun saya percaya, setiap daripada kita masih terus mahu berusaha menambahkan ilmu dengan membaca hal-hal yang berkaitan.

Dalam entry berkenaan, saya ada menyentuh sedikit tanggungjawab anak perempuan setelah mereka berkahwin. Sama ada perempuan mahupun lelaki, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa perkahwinan seorang anak perempuan dengan seorang lelaki pula tidak memutuskan hubungannya dengan ibu bapa dan tidak pula menghilangkan tanggungjawab anak kepada ibu bapa. Perkahwinan adalah penambahan kepada tanggungjawab yang sedia ada bagi lelaki dan perempuan, dan bukan pengurangan. Yang kekal ialah prinsip menunaikan tanggungjawab ikut kemampuan kita. Islam tidak menuntut kita lakukan sesuatu lebih dari kemampuan. Bagi lelaki yang telah berkahwin, kebajikan ibu bapa mertua juga menjadi tanggungjawabnya sebab status ibu bapa mertua adalah sama dengan ibu bapa sendiri.

Pernahkah anda mendengar kenalan anda, atau mungkin anda sendiri pernah menyatakan kepada ibu anda, “Kini setelah saya bersuami, syurga berada di bawah tapak kaki suami bukan lagi di bawah telapak kaki ibu”? Dapatkah anda bayangkan jika ibu anda sendiri mendengar anda mengucapkan ayat yang sungguh mengguris perasaan dan menyayat hati seperti di atas? Anda mungkin tidak akan dapat memahami perasaan seorang ibu yang terguris, sehinggalah anda sendiri menjadi seorang ibu dan anak anda pula mengguriskan hati anda.

Saya kurang pasti, dari manakah datangnya dan siapakah yang menyebarkan ‘ajaran’ sebegini. Setahu saya, fahaman sebegini sebenarnya salah dan jauh menyimpang. Mengapa dikatakan salah? Seperti yang dijelaskan di atas, perkahwinan seorang anak perempuan dengan seorang lelaki pula tidak memutuskan hubungannya dengan ibu bapa dan tidak pula menghilangkan tanggungjawab anak kepada ibu bapa. Hubungan keluarga dengan ibu bapa tidak putus dengan sebab perkahwinan. Malah, perkahwinan itu sendiri me ngeratkan hubungan kedua-dua keluarga termasuk hubungan antara mentua, menantu, ipar, kerabat dan sebagainya.

Adalah SALAH menyatakan perkahwinan menyebabkan hubungan antara ibu dengan anak perempuan terputus dan isteri hanya mempunyai hubungan dengan suami dan keluarga suami semata-mata. Dalam Islam, seorang isteri tetap mempunyai status peribadinya, iaitu anak perempuan kepada ibu bapanya dan tidak sekali-kali dinasabkan kepada keluarga suami. Anak dan menantu perlu menyedari bahawa di antara asas utama Islam ialah suruhan Allah supaya berbuat baik kepada ibu bapa tidak kira Islam atau bukan Islam.

Allah berfirman yang bermaksud, “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Isra'il (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada ibu-bapa, dan kaum kerabat, anak yatim, serta orang miskin dan katakalah kepada sesama manusia perkataan yang baik...”” (Surah al-Baqarah ayat 83)

Mengenai ayat keempat surah an-Nisaa’ bermaksud: “Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka iaitu (isteri yang dikahwini) dengan suka hati memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

Ia berkenaan dengan pemberian mahar wajib kepada isteri. Apabila isteri secara sukarela mengembalikan sebahagiannya kepada suami, Islam membenarkan suami untuk menerimanya. Dalam ayat ini, tiada langsung disentuh bahawa isteri terputus hubungan dengan ibunya selepas kahwin. Berbuat baik kepada ibu bapa termasuk semua anak wajib melakukan kebaikan kepada ibu bapa sepanjang masa dan ketika, patuhi mereka dalam semua perkara yang baik, menghormati mereka, sentiasa bersyukur dengan jasa ibu bapa dan menjaga mereka sepenuhnya apabila tua.

Ibu bapa perlu diberi perhatian sepenuhnya, sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran, bermaksud, “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka per kataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada ke duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku ketika kecil. Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada di hatimu; jika kamu orang yang baik, maka sesungguhnya Ia adalah Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat.” (Surah al-Isra' ayat 23-25)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud, “…dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya.” (Surah al-Ahqaf, ayat 15)

Bagi pasangan suami isteri yang masih mempunyai ibu bapa, mestilah menunaikan suruhan Allah untuk berbuat baik kepada ibu bapa. Ia adalah nilai akhlak terbaik yang akan dicontohi oleh anak. Anak akan mendapat contoh yang baik daripada ibu bapa. Kita hendaklah memberikan contoh ini kepada anak agar apabila mereka dewasa akan berbuat perkara yang sama kepada kita nanti. Apabila ibu bapa tidak memberikan contoh baik, bagaimana anak dapat melakukan perkara yang sama. Anak perlu berbuat baik kepada ibu bapa sementara mereka masih hidup.

Suami hendaklah berusaha supaya isteri dapat berbuat baik kepada ibu sendiri. Sekiranya isteri tidak berkereta hendaklah dihantar ke rumah ibu. Isteri pula hendaklah menjalankan tanggungjawab kepada suami dan rumahtangga dengan sebaiknya. Dengan kata lain, seorang isteri ada tanggungjawab kepada Allah, diri, suami, anak dan ibu. Memutuskan hubungan antara anak dan ibu adalah perbuatan zalim dan berdosa. Islam tidak pernah menyuruh mana-mana orang berbuat perkara sedemikian.

Ingatlah, Dari Abdullah ban Amru r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Renung-renungkan, semoga bermanafaat.




Diubah-suai dari : HMetro 08/04/2011

Butiran selanjutnya ...

Back on track...


Assalamualaikum warahmatullah,

Alhamdulillah, setelah lebih dua minggu BG offline kerana terpaksa berehat dan belog hanya dihiasi dengan scheduled entry, akhirnya BG kembali aktif berbelogging. Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa BG cuti lama sangat ya...

Jeng.. jeng.. jeng... sebabnya, laptop BG masuk workshop. Dan BG ada kisah di sebalik laptop masuk workshop nih.

Insya Allah, jika ada kelapangan, BG akan ceritakan kisah ini di sini...


Butiran selanjutnya ...

Jumaat, April 08, 2011

Rugi sia-siakan usia dengan kemaksiatan


Muslim mesti sentiasa beringat manfaat kehidupan di dunia untuk kesejahteraan di akhirat

NIKMAT kehidupan yang dikurniakan Allah kepada setiap hamba-Nya ialah gambaran cinta dan kasih sayang yang tidak terbanding. Kesusahan hilang dengan kesenangan, kejahilan lenyap dengan pengetahuan, kesakitan terhapus dengan kesihatan dan kegelapan berganti gemerlapan.

Terlalu banyak nikmat dilimpahkan kepada isi dunia ini, tinggal lagi kita memanfaatkan setiap satunya dengan harapan untuk mendapat keberkatan dari-Nya.

Ada manusia cuba menghitung nikmat, membandingkannya dengan kesusahan hidup dihadapi, lalu ternyata kemewahan hidup yang Allah kurniakan tidak terkira dengan jari. Nikmat melihat, mendengar, merasa, berfikir malah berkongsi kehidupan penuh kasih sayang tidak akan diperoleh jika tiada kuasa yang menganugerahkan. Tentu kita tidak boleh menyesali kepayahan dan kesukaran hidup di dunia, malah anggaplah ada hikmah menanti sementara iman diuji, tetapi berusahalah untuk mencari kesenangan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18)

Ada kala kita tidak sedar apa yang dimiliki hari ini adalah nikmat, bahkan ada orang lain yang tidak dapat merasainya. Sebab itu kita tidak harus lupa mensyukuri segala kemurahan hati Allah SWT menganugerahkan sebuah kehidupan lengkap. Cuma, ada kemudahan yang Allah sediakan tidak dapat dimanfaatkan akibat sikap manusia yang tidak tahu menghargai nikmat.

Sikap manusia yang mudah lalai dan lupa menyebabkan nikmat dikurniakan tidak memberi apa-apa faedah kepada manusia itu sendiri. Usia yang panjang sepatutnya diisi dengan kebajikan dan faedah kepada diri sendiri serta orang lain. Malangnya, ada yang menghabiskan kehidupan dari awal hingga saki bakinya dengan judi dan zina. Tidak pula terkilan dengan kezaliman dan kejahatan meragut atau merompak, bahkan ada kehidupan orang lain yang terkesan dengan kejahilan ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan ilmunya untuk apakah ia gunakan dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Buat orang yang berhati-hati menjaga amanah Allah, mereka tidak akan alpa dengan kemewahan dunia kerana sedar semuanya adalah pinjaman saja, sebaliknya berusaha meningkatkan limpahan rahmat dan nikmat itu.

Ia supaya nikmat Allah yang ada padanya dapat dikongsi dengan orang kurang berkemampuan kerana orang yang tidak melupakan hari akhirat walaupun dunia ini menjanjikan seribu kemewahan adalah orang yang tidak membazirkan nikmat Allah dengan keangkuhannya sebagai manusia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini meliputi segala kesenangan dan kemewahan, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat tidak lain hanya ibarat hiburan dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahui hakikat ini tentu mereka tidak akan melupakan hari akhirat.” (Surah Al-Ankabut, ayat 64)

Diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmizi: “Daripada Abdul Rahman Abi Bakrah dari ayahnya, seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia? Berkata Rasulullah: Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umur itu dipergunakan untuk berbuat kebaikan. Berkata lelaki itu lagi: Siapakah sejahat-jahat manusia? Maka Rasulullah berkata: Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat kejahatan.”

Usia panjang adalah satu nikmat tidak ternilai kerana dengannya kita terus dapat beribadat, merasai kehidupan, berkongsi kebahagiaan dan merencana masa depan. Jika nikmat usia ini diambil semula pemiliknya maka kita tiada peluang untuk terus menjadi hamba yang taat dan bersyukur. Sebab itu jika kita beringat bahawa setiap yang bermula itu ada akhirnya, maka usia adalah satu peringatan sangat bermakna. Justeru, jika kita mengerti nikmat Allah yang satu ini tidak boleh dirayu jika Allah menghendakinya semula, apalah daya kita.

Sedangkan bertahun lamanya Dia berikan kita peluang dan ruang untuk memanfaatkannya demi kehidupan lebih abadi. Janji-janji kosong juga tidak mampu menukar qada’ dan qadar-Nya, dan kita sepatutnya sedar bahawa kematian adalah pengakhiran.

Oleh itu, sedang pintu taubat sentiasa terbuka, jangan kita longlai usaha untuk menjadi insan berguna.

Renung-renungkan!




Sumber : Penulis, Nik Salida Suhaila Nik Saleh ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom, petikan BHarian 24/03/2011.

Butiran selanjutnya ...

Rabu, April 06, 2011

Biji kembang semangkuk

~ biji kembang semangkuk ~

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alangkah sedapnya meminum lai chi kang jika ditambah dengan buah longan dan juga kembang semangkuk. Terasa segar badan dibuatnya. Kembang semangkuk juga amat sinonim dengan minuman yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia seperti ais kacang. Sebenarnya, selain sedap untuk dimakan, kembang semangkuk juga dikatakan turut mempunyai khasiat ubatan.

Nama kembang semangkuk merujuk kepada semua spesies dalam genus scaphium spp.. Ke semua spesies tersebut menghasilkan biji yang mempunyai tisu yang akan kembang seakan jeli apabila direndam di dalam air. Biji kembang semangkuk yang kering adalah ukuran dari hujung jari orang dewasa, berwarna coklat dan mempunyai kulit yang kasar.


~ keadaan biji kembang semangkuk yang telah direndam ~

Isi di sekitar biji kembang semangkuk yang kering mengembang sehingga lapan kali ganda daripada saiz asalnya jika direndam dalam air, tidak teratur bentuknya apabila kembang dan rupanya seperti gel kemerahan. Setelah direndam dan biji dibuang, isi kembang semangkuk biasanya dicampur dengan gula pasir putih, ais dan biji selasih (basil seeds) dan diminum sebagai minuman penyejuk badan.

Kembang semangkuk turut juga dikenali sebagai selayar, malva nut (Inggeris), sahm raawng (Thai) dan kapas-kapasan (Indonesia). Terdapat 4 jenis spesies pokok kembang semangkuk yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Spesis utama termasuklah S.linearicarpum, S.longiflorum, S.macropodum dan S.scaphigerum. Tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Sterculiaceae ini merupakan sejenis pokok balak dan banyak ditemui di dalam hutan hujan tropika dan di kawasan bertanah rendah terutamanya di Semenanjung Malaysia, Thailand dan Myanmar. Setiap spesies pokok mempunyai ketinggian yang berbeza. Begitu juga dengan bentuk daun antara setiap spesies turut berbeza.


Nama sama spesies berbeza

Bagi spesies S.linearcarpum, daunnya jenis ringkas, berbentuk bujur telur yang lebar atau hampir bulat. Bahagian pangkal lai daun berbentuk jantung, hujung lai daun agak bulat. Bahagian bawah daun mempunyai sedikit bulu. Pokoknya pula sederhana besar, setinggi 35 meter. Buah spesies ini berukuran 25 milimeter panjang manakala bijinya mempunyai bulu.

Bagi spesies S.longiflorum, daunnya jenis ringkas dan berbentuk memanjang atau bujur telur. Bahagian pangkal lai daun berbentuk bulat atau membulat manakala hujung lai daun agak bulat atau tajam. Permukaan bawah lai daun tiada atau ada bulu halus berwarna kuning. Pokoknya sederhana besar dan mempunyai ketinggian 35 meter. Buah spesies ini berukuran 15 milimeter panjang bijinya berbulu.

Bagi spesies S.macropodum, daunnya mempunyai variasi bentuk dan saiz yang terdiri daripada bentuk bujur telur yang luas, memanjang, bentuk mata lembing dan sedikit tirus. Pokoknya besar dan setinggi 45 meter dan mempunyai banir yang besar yang seing menjalar luas. Buahnya berukuran hingga 22 milimeter panjang.

Bagi spesies S.scaphigerum pula, daunnya jenis ringkas dan berbentuk bujur telur. Pokoknya jenis sederhana besar setinggi 36meter. Buahnya berukuran lebih kurang 20 milimeter panjang dan bijinya berbulu.

Rawat batuk kering dan pendarahan rahim

Biji kembang semangkuk mengandungi lebih kurang 60% basorin (bahan gam atau musilaj). Kulit biji yang kering lazimnya mengandungi 4.5% protein, 24% pentosan dan 40% karbohidrat. Selalunya biji kembang semangkuk akan direndam dalam air dan dicampurkan air gula lalu dijadikan minuman.

Sejukkan badan sewaktu demam

Selain sedap diminum, biji kembang semangkuk juga dikatakan mempunyai khasiat ubatan yang tertentu. Biji kembang semangkuk dikatakan boleh direndam dalam air dan tisu buah yang kembang berwarna coklat diminum bersama air. Ia boleh digunakan bersama biji selasih dan getah anggur yang mempunyai kesan yang sama.

Ramuan ini dikatakan mampu dijadikan sebagai ubat untuk merawat asma, batuk kering, buasir, pelbagai jenis demam panas, pendarahan (hidung, perut, usus atau pundi kencing), penawar racun, melawaskan pembuangan air besar, merawat masalah kulit yang terlampau terdedah kepada cahaya matahari, masalah ginjal, sakit mata, sakit gigi, cacing dalam perut dan usus, cirit-birit dan disenteri. Bijinya juga dikatakan boleh dibuat teh herba untuk merawat bronkitis dan juga dijadikan ubat luaran, selalunya air rendaman kembang semangkuk perlu diembunkan semalaman sebelum diminum.

Pelbagai guna

Batang pokok kembang semangkuk yang agak ringan amat sesuai dibuat papan lapis, perabut, tangga, kotak, lantai lamina dan bilah mancis.

Selain itu, kulit kayu pokok kembang semangkuk juga dikatakan mempunyai khasiat ubatan terutamanya untuk merawat disenteri, pendarahan rahim dan melawaskan pembuangan air kecil. Caranya adalah dengan mencampurkan kulit kayu dengan bahan herba lain dan kemudiannya direbus dan air tersebut kemudiannya diminum.



Resepi pilihan untuk kembang semangkuk

Bahan-bahan (5-6 orang)

* 6-7 biji kembang semangkuk
* 1 senduk gula batu - ikut suka manisnya
* 12-14 biji buah mata kucing (kering)
* sepaket kecil biji selasih (basil seed)
* 7-8 ketul buah kabung/kundur
* 1 1/2 - 2 jag air

Cara-cara :

1. Rendam kembang semangkuk selama 1 jam sehingga betul-betul kembang di dalam periuk yg berisi 1/12 - 2 jag air. Buang kulit kembang semangkuk serta urat-uratnya.
2. Basuh dan rendam biji selasih hingga kembang.
3. Masukkan buah mata kucing ke dalam periuk yang berisi air kembang semangkuk tadi.
4. Masak air tersebut dengan api sederhana sehingga mendidih.
5. Setelah mendidih masukkan pula gula batu dan buah kabung/kundur dan kacau.
6. Tunggu 10 minit sehingga gula larut dan sebati dengan air dan bolehlah padamkan api.
7. Masukkan biji selasih yang telah kembang tadi.
8. Sedia dihidangkan untuk diminum mahu pun panas ataupun sejuk pun boleh ikut selera masing-masing.

Walaupun terdapat pelbagai kebaikan dan khasiat kembang semangkuk, namun begitu penggunaannya perlu mendapat nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.




Sumber : MisteriAlam #1265 dan En.Wikipedia.

Butiran selanjutnya ...

Isnin, April 04, 2011

Persediaan menghadapi Hari Kiamat


Pelbagai tanda penghujung usia dunia sudah dikhabarkan wajar jadi iktibar manusia

BENARKAH seperti dikatakan atau lebih tepat, diramalkan bahawa 2012 adalah penghujung dunia kerana sudah ada tanda-tanda Hari Kiamat kian hampir seperti bencana alam yang dahsyat berlaku dan terkini, tsunami yang melanda Jepun.

Kebetulan, kebanyakan yang diperkatakan bakal berlaku atau ramalan mengenai kiamat sudah pun berlaku walaupun tidak semestinya tepat seperti dikatakan tetapi hampir menyamai apa diramalkan. Contohnya, ramalan yang dibuat akan berlaku gempa bumi pada 2004, tahun itu juga terjadinya tsunami yang menggemparkan dunia. Begitu juga ramalan mengenai serangan Anthrax, sejenis bakteria membiak menerusi penyebaran spora pada 2001 dan Taufan Katrina pada 2005.

Semua peristiwa serta bencana alam yang pernah diramalkan itu baik oleh tukang ramal, kitab agama, program dikembangkan laman web di internet atau perkiraan berasaskan ilmu matematik, sudah berlaku.

Satu lagi ramalan, pada 2012 nanti akan berakhirnya riwayat bumi dikuatkan dengan tarikh dalam kalendar suku Maya yang dijumpai di bawah runtuhan di Mexico iaitu kiamat bakal berlaku pada 21 Disember 2012.

Suku Maya terkenal dengan kebolehan mereka dalam ilmu matematik dan astronomi. Kalendar itu secara misteri berakhir dengan satu tarikh pengakhiran hari iaitu 21122012. Fakta menarik itu turut menjadi jalan cerita sebuah filem.

Mencari maklumat berkaitan 2012, akan menemukan banyak laman web serta sedutan video yang mengupas mengenainya bukan saja di kalangan bukan Islam, juga umat Islam yang turut mengambil peluang membahaskan ramalan dikatakan berasaskan fakta itu.

Pendakwah dan penulis buku, Ustaz Zahazan Mohamed, ketika diminta membicarakan mengenai kekalutan masyarakat terhadap teori mengatakan kiamat sudah tidak lama lagi, berkata tiada guna meletakkan tarikh tertentu berlakunya kiamat. Ini kerana banyak disebutkan dalam al-Quran dengan jelas bahawa perkara ghaib termasuk Hari Kiamat hanya diketahui oleh Allah. Malah, Nabi Muhammad yang banyak kali ditanya sahabat tidak dapat memberikan jawapan.

“Bagaimanapun, ada beberapa hadis menyebut apabila Rasulullah SAW ditanya mengenai kiamat, Baginda berkata, jarak diutuskannya dengan kiamat ibarat jari telunjuk dan jari tengah. Jadi jika dilihat jarak antara jari itu, kita berasakan kiamat tidak jauh. Bagaimanapun, hanya Allah yang mengetahuinya. Tetapi, ada sabda Baginda menyebut saat diutus dirinya dengan kiamat sangat dekat, malah hampir kiamat itu mendahului Baginda,” katanya.

Sebagai kasih sayang Allah terhadap hambanya yang memang kuat sifat ingin tahu itu, Allah menunjukkan tanda-tanda kiamat sama ada yang kecil mahu pun yang besar supaya mereka mengambil iktibar daripadanya. Antara tanda kecil kiamat seperti diungkapkan ulama memang banyak dan ada yang sudah terlihat sekarang berlaku kepada dunia serta dalam kehidupan masyarakat.

Antara yang lainnya pula, diutuskan Nabi Muhammad sebagai nabi terakhir dan tiada nabi selepasnya, sebaliknya yang menanti adalah kiamat itu sendiri. Wafatnya Baginda juga adalah tanda kiamat.

Tanda lain, penaklukan Baitulmaqdis, melimpahnya harta, munculnya pelbagai fitnah, munculnya orang yang mengaku sebagai nabi, hilangnya amanah, hilang ilmu dan tersebar kebodohan.

Amalan riba bermaharajalela, ramainya peminum arak, berlumba menghias masjid dan berbangga dengannya, berlumba meninggikan bangunan, banyak terjadi gempa dan ibu melahirkan tuannya.

“Semua ini ada yang kita sudah lihat berlaku. Contohnya, ramai antara kita yang anak dijaga oleh ibu dan itulah yang dinamakan ibu melahirkan tuannya. Melihat sekeliling, banyak lagi tanda-tanda kecil yang dikatakan sudah berlaku seperti bencana alam,” katanya.

Sementara tanda besar akan berlakunya kiamat masih belum kelihatan lagi, Zahazan berkata, ia bukan alasan untuk menundakan usaha melakukan persediaan menghadapi hari yang turut dinamakan hari akhirat itu.

“Tidak perlulah hendak fikirkan betul ke kiamat sudah dekat atau meramalkan bila berlakunya kiamat. Sebaliknya, pastikan kita sudah bersiap sedia menghadapi apabila tiba saatnya nanti. Itu sepatutnya menjadi keutamaan,” katanya.

Tindakan perlu dilakukan ialah banyak berdoa kepada Allah supaya umat Islam selamat, memperbanyakkan amal soleh, mencegah kemungkaran dan berdampingan dengan ulama.

Tanda besar kiamat pula diungkapkan dalam hadis yang menggariskan tanda itu secara keseluruhan atau sebahagiannya kerana ada menyebut 10 tanda dan ada yang menyebut enam tanda.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Huzaifah bin Asid al Ghiffari, dia berkata: “Nabi datang kepada kami sedang kami berbincang lalu bertanya: Apa yang kalian bicarakan. Mereka menjawab: Kami sedang membicarakan kiamat. Baginda berkata: Sesungguhnya ia (kiamat) tidak akan terjadi hingga kalian lihat sepuluh tanda sebelumnya. Kemudian Baginda menyebut asap, dajjal, binatang, terbitnya matahari dari barat, turunnya Nabi Isa bin Maryam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga penenggelaman di bumi (di Timur, Barat dan Arab) dan yang terakhirnya adalah api keluar dari Yaman yang mengiring manusia ke tempat mereka berkumpul.”

Laman-Seri : Rasa-rasanya, tak perlulah kita sibuk-sibuk ribut-ribut pusing-pusing mengkaji dan memikirkan bilakah kiamat akan tiba, kita sepatutnya risau akan ketibaan kiamat kecil untuk diri kita sendiri!

Adakah kita telah bersedia?





Petikan : Hasliza Hassan di BHarian 26/03/2011

Butiran selanjutnya ...

Sabtu, April 02, 2011

Isteri lebih tua punya kelebihan


Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Ramai yang memandang semacam bila seorang wanita bersuamikan lelaki muda. Pelbagai tanggapan termasuklah si lelaki diguna-gunakan, tak kurang juga berkata si suami hanya berkehendakan harta. Tanggapan serong ini mungkin lebih hebat lagi jika masyarakat melihat beza usia si antara keduanya agak jauh misalnya lebih 10 tahun.

Keputusan mengahwini wanita yang lebih berusia sering kali dilihat seperti ‘udang di sebalik batu.’ Begitu ramai gadis di luar sana tapi mengapa wanita berusia jadi pilihan hati. Bukankah pilihan wanita muda lebih berbaloi, cantik dipandang dan sedap pula bila dalam pelukan.

Tapi jangan sangka semua kelebihan hanya berpihak pada wanita muda saja kerana wanita berusia juga tidak kurang hebatnya. Dalam urusan seks, punya isteri yang lebih berusia ternyata mempunyai keistimewaan tersendiri. Tak percaya, semak perkara di bawah ini.

1. Lebih menikmati seks

Wanita yang lebih tua sering kali lebih terbuka dalam masalah seks. Mereka juga lebih menikmatinya daripada wanita muda. Berdasarkan beberapa kajian, puncak tenaga seksual wanita dicapai pada usia pertengahan 30-an hingga 40-an.

Hasrat seks ini akan lebih besar jika wanita itu sudah memiliki karier yang bagus dan mapan secara kewangan. Wanita berusia ini dikatakan merupakan pasangan seks yang tepat bagi lelaki muda yang hasrat seksnya cukup tinggi pada usia muda.

2. Lebih bijak dan positif


Melalui pengalaman, isteri yang lebih berusia memiliki pandangan dan sikap yang lebih positif serta lebih bijak daripada gadis muda yang baru mengenal dunia. Sikap ini sangat menguntungkan lelaki muda yang sedang berkobar-kobar semangatnya mengejar impian.

Mereka memerlukan seseorang untuk mendengar harapan, pandangan serta memberi simpati dan sokongan ketika dia berdepan dengan kegagalan.

3. Lebih menghargai cinta

Pertambahan usia selalu mengingatkan seseorang betapa dekatnya mereka dengan saat akhir dalam hidupnya. Keadaan ini membuatkan isteri yang lebih berusia makin menghargai kehidupan dan setiap perkara yang dilaluinya.

Mereka juga akan lebih menghargai cinta yang diberikan pasangannya apa lagi jika usianya lebih muda. Dia akan membalasnya dengan sepenuh hati. Biasanya wanita muda tidak punya fikiran yang sama, mereka takkan dapat membalasnya seperti wanita yang lebih matang usianya.

4. Punya pengalaman luas

Tidak dinafikan isteri yang lebih berusia terutama sekali pernah melalui alam perkahwinan sebelum ini lebih mahir dalam aspek layanan seks untuk suami. Kelebihan ini memang tidak boleh dipertikaikan.

Pengalaman lalu tentunya mengajar isteri ini memberi layanan yang lebih mantap pada suami. Sementelah mereka tahu apa yang suami inginkan, termasuklah dalam hal pemanasan dan cara untuk memberi kepuasan seks yang lebih pada suami. Maka beruntunglah lelaki yang memiliki isteri berusia.

3 tips isteri bersuami lelaki muda


Biarpun punya kelebihan dalam urusan seks, namun sudah tentu kerana faktor usia, mereka dirasakan punya kekurangan. Dalam hal ini, wanita yang mempunyai suami yang lebih muda harus memerhati dan memperbaiki diri agar rumahtangga lebih harmoni.

Tips # 1 - Jaga penampilan

Walaupun usia bertambah, namun pastikan anda sentiasa menjaga bentuk badan dan penampilan diri. Buang perasaan negatif bahawa anda sudah tua dan tidak layak bergaya. Sebaliknya cari fesyen yang sesuai dengan usia anda.

Tips # 2 - Tonjolkan kelebihan

Anda mungkin mampu menyaingi daya tarik gadis muda, oleh itu pastikan anda punya satu perkara yang membuatkan pasangan sentiasa menginginkan anda. Contohnya, pandai memasak, pendengar yang setia atau pun bijak berbicara.

Tips # 3 - Jangan paksa diri

Terutamanya untuk mengikuti gaya hidup atau aktiviti yang tidak anda gemari. Ia juga memberi ruang untuk suami muda anda satu ruang peribadi. Tapi tidak salah jika anda mencubanya dulu.

Semoga bermanafaat!




Rujukan : MW#1407

Capaian entry berkaitan :
* Tip menghadapi pasangan yang lebih muda

Butiran selanjutnya ...

Jumaat, April 01, 2011

Tamakninah, tadabbur elemen penting tambah kekhusyukan solat


Assalamualaikum warahmatullah,

KEBANYAKAN umat Islam dalam kecanggihan masa kini kian menumpulkan kepekaan dengan kewajipan solat fardu yang menjadi tiang agama dan batas pembeza antara orang Islam dengan bukan Islam. Mereka sangat berani meringankan solat, malah lebih malang langsung tidak solat.

Tindakan yang mereka ambil ini tanpa rasa bersalah terhadap Allah SWT. Keadaan gerhana ini semakin memburuk dari sehari ke sehari yang bukan saja melanda golongan muda remaja, bahkan juga dewasa dan tua, yang sudah sewajarnya menginsafi dan memahami secara dalam tujuan hidup seorang Muslim di dunia ini.

Benarlah apa yang digambarkan dalam al-Quran, firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang jelek) yang mensia-siakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan.” (Surah Maryam: 59)

Dalam ayat lain, Allah memberi ancaman kepada golongan yang lalai dalam solat yang bermaksud: “Neraka wail bagi orang yang solat iaitu mereka yang lalai dalam solatnya.” (Surah al-Ma’un: 4-5)

Sesungguhnya ada banyak pendapat dan tafsiran mengenai maksud lalai dalam solat iaitu:

* Cuai hingga habis waktu solat (ditunaikan secara qada atau ditinggalkan begitu saja).
* Tidak khusyuk (dalam solat terbayang perkara yang berlaku di luar solat, tidak mengetahui maksud lafaz dan perbuatan dalam solat).
* Tidak melaksanakan segala ikrar dan janji yang dilakukan dalam solat (misalnya dalam solat mengakui bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah, tetapi di luar solat tidak menghayati akhlak dan sunnah Rasulullah).

Kadang-kadang kita terfikir apakah yang akan berlaku kepada umat Islam yang meremehkan solat fardu, padahal kita sedia maklum, solat membentuk keperibadian luhur, terhormat dan berkualiti menepati sebaik-baik umat. Kenyataan hari ini sudah cukup memberi jawapan kepada pertanyaan tadi.

Masyarakat bergelumang dengan maksiat, mengenyangkan nafsu syahwat, lupa kepada Allah dan menjalani kehidupan yang menjurus kepada kehidupan jahiliah yang tidak bertamadun. Di sini perlunya peranan ibu bapa, guru, pemimpin serta seluruh masyarakat sebagai penyuluh, pendorong dan pembimbing mereka agar kembali mendekati solat dengan penuh kebijaksanaan.

Bagi yang taat mengerjakan solat, perlulah mengemaskinikan solatnya agar benar-benar memenuhi kategori solat khusyuk yang diterima Allah SWT. Kadang-kadang kita menganggap solat kita telah baik dan sempurna, tetapi hakikatnya termasuk golongan lalai dalam solat. Apakah selama ini kita khusyuk dalam solat? Persoalan ini akan terjawab bila kita memahami pengertian khusyuk.

Menurut Imam Ibn Taimiyah khusyuk itu mengandungi dua makna, pertama tawaduk dan kerendahan serta kehinaan diri di hadapan Allah dan kedua ketenangan dan tamakninah. Hal itu adalah kenescayaan dari kelembutan hati dan menafikan kekerasan hati. Jadi, khusyuk itu adalah rasa takut kepada Allah yang ada di dalam hati dan tampak di atas aspek lahiriah, manakala Ibn al-Qayim al-Jawziyah pula berpandangan khusyuk adalah berdirinya hati di hadapan Rab dengan tunduk dan rendah.

Daripada dua pendapat tokoh ulama tersohor tadi dapatlah kita buat satu rumusan bahawa khusyuk adalah kerendahan hati, ketenangan serta memberi tumpuan hati kepada Allah dengan rasa takut (kepedihan azab-Nya), kagum (kebesaran-Nya) dan cinta.

Bagaimana jalan bagi mencapai solat yang khusyuk? Pedoman yang dikemukakan oleh ulama berdasarkan hadis dan al-Quran ini boleh kita tekuni iaitu:

* Membuat persiapan awal seperti pakaian, wuduk dan menunggu waktu solat. Dengan ini tidak ada istilah tergesa-gesa melakukan solat.
* Tomakninah (berhenti sejenak dari rukun ke rukun sampai salam). Kelakuan Rasulullah ketika solat contoh terbaik tomakninah. Rasulullah SAW ketika solat baginda melakukan tomakninah sehingga semua anggota badan baginda kembali pada tempatnya. (Hadis riwayat Abu Daud)
* Sentiasa ingat mati kerana mengingati mati akan memperelok solat dan menganggap solat yang dilakukan itu yang terakhir.
* Tadabbur (menghayati) ayat al-Quran, zikir dan bacaan lain yang dibaca ketika solat menjadikan hati diserap kekhusyukan.
* Beranggapan ketika solat kita sedang menghadap Allah. Dengan demikian, seseorang akan menyedari bahawa dirinya sedang diperhatikan Allah, lalu mendorongnya mengerjakan solat secara bersungguh-sungguh dan ikhlas.

Semoga bermanafaat...





Sumber : Mohd Adid Ab Rahman di BHarian 23/03/2011

Capaian entry berkaitan :
* Wuduk zahir dan batin
* Tamakninah, rukun solat yang sering diabaikan...

Butiran selanjutnya ...

Rabu, Mac 30, 2011

Khasiat Chicory

bunga Chicory

Chicory atau nama saintifiknya cichorium intybus telah tumbuh liar di seluruh Eropah selama berkurun lamanya. Malah, dikatakan herba ini telah lama digunakan semenjak zaman Mesir kuno terutamanya untuk tujuan perubatan dan pemakanan.

Herba yang tergolong dalam keluarga asteraceae ini juga merupakan tumbuhan kekal dan mempunyai akar tunjang. Batangnya pula mempunyai ketinggian kira-kira 2 hingga 3 kaki. Batangnya berbentuk bulat berwarna hijau perlahan atau kuat serta mempunyai bahagian sisi yang banyak dan merebak. Bahagian bawah daun adalah besar dan merebak, tebal diliputi rerambut manakala bahagian atas daun lebih kecil. Ðaunnya jika dimakan akan berasa sedikit pahit. Chicory mempunyai flower head yang besar dan terletak di bahagian tangkai daun yang bertangkup ke batang, selalunya dalam kelompok dua atau tiga. Bunga chicory berwarna biru dan akan berkembang dan terbuka ketika matahari terbit dan tertutup sewaktu senja.



pokok dan bunga Chicory


Chicory ditanam untuk mendapatkan daunnya, biasanya dimakan mentah sebagai daun salad. Chicory yang ditanam, umumnya terbahagi kepada tiga jenis yang terdapat banyak kelainan di antara satu sama lain :

* Radicchio - biasanya mempunyai daun beraneka warna merah atau merah dan hijau. Ada juga yang hanya merujuk pada jenis-urat putih berdaun merah sebagai radicchio. Juga dikenali sebagai endive merah dan chicory merah. Ia memiliki rasa pahit dan pedas, yang rasanya terserlah bila dipanggang atau dibakar. Ia juga digunakan untuk menambahkan warna-warni dalam salad.

* Sugarloaf - sama seperti daun salad, dengan susunan daun yang padat.

Belgian endive


Belgian endive

* Belgian endive - juga dikenali sebagai endive Perancis, witlof di Belanda atau witloof dalam bahasa Bahasa Belanda Belgium, witloof di Amerika Syarikat, chicory di Inggeris, seperti witloff di Australia, endive di Perancis, dan chicon di bahagian utara Perancis dan di Wallonia.

Ia mempunyai kepala kecil berwarna krem dan berdaun pahit. Ia ditanam di dalam bilik bawah tanah atau di dalam rumah/bilik yang tidak ada sinar matahari. Ini untuk mencegah daunnya daripada bertukar menjadi hijau dan kembang. Ia perlu disimpan di bawah permukaan tanah untuk mencegahnya daripada membesar, hanya sedikit hujung daun dibenarkan tumbuh. Sebelum dijual, ia sering dibungkus dengan kertas biru untuk melindunginya dari cahaya dan begitu terjaga warna pucat dan rasa lembut.

Daun mulus putih krem ini boleh dihidangkan dengan cara dibakar, direbus, dipotong dan dimasak dengan sos susu, atau hanya dipotong mentah. Rasanya sedikit pahit, makin putih daun, semakin sedikit pahit rasanya. Bahagian bawah daun yang menghampiri batang, harus dipotong sebelum daun dimasak untuk mencegah rasa pahit.

Witloof

Belgium mengeksport chicon/witloof kepada lebih daripada 40 buah negara di serata dunia. Teknik penanaman tumbuhan endives pucat ini ditemui secara tak sengaja pada tahun 1850-an di Schaerbeek, Belgium. Endive yang digunakan dalam kulinari, dituai dengan memotong daun yang tumbuh daripada batang akarnya. Batang akarnya dibiarkan hidup di tempat gelap untuk menghasilkan tunas yang baru pula. Tunas yang tumbuh dalam gelap tanpa sinar matahari, berwarna putih dan tidak mempunyai rasa pahit. Ketika ini, Perancis merupakan pengeluar terbesar endives.


leaves unlobed and pointed

Perangsang dan penjulap ringan


Analisis terhadap 100 gram kandungan daun chicory mendapati daunnya mengandungi kira-kira 93.0% kelembapan, 1.7% protein, 0.1% lemak, 0.9% serat dan 4.3% karbohidrat. Kandungan mineral dan vitaminnya pula adalah seperti kalsium, fosforus, besi, karotena, thiamin, riboflavin, niasin dan vitamin C. Nilai kalorinya pula ialah 20.

Bunga chicory pula dikatakan mengandungi glucoside chichorin dan bahan pahit, lactucin dan intbin. Bijinya pula mengandungi minyak tawar dan akarnya mengandungi potash nitrat dan sulfat, musilah dan bahan pahit.

Chicory juga dikatakan meningkatkan perembesan dan pembuangan urin. Ia juga merupakan perangsang dan penjulap ringan. Herba ini juga dikatakan membantu fungsi hati dan pundi hempedu. Disebabkan chicory merupakan penjulap asli, ia amat berguna dalam rawatan sembelit kronik.

Ekstrak daripada akar chicory terdapat ramuan aktif dipanggil inulin. Inulin telah didapati untuk bertindak sebagai pembersih usus besar, membantu menyahtoksik dan menyingkirkan bahan buangan daripada badan.

Rendahkan kolesterol dan gula dalam darah

Chicory adalah herba tonik apabila ia diambil dalam kuantiti yang sederhana. Antara kebaikan chicory dari segi perubatan adalah merendahkan kolesterol dan gula dalam darah. Semuanya ini adalah kerana terdapatnya kandungan sebatian yang dipanggil insulin di dalamnya.

Baik untuk mata

Chicory juga dikatakan mengandungi elemen pemakanan yang diperlukan oleh sistem optik. Ia juga dikatakan merupakan sumber yang kaya dengan vitamin A yang amat berguna untuk mata. Ðikatakan pengambilan jus campuran antara chicory, lobak merah, seleri dan parsli sebanyak setengah liter hingga seliter pada setiap hari, dikatakan mempunyai khasiat pemakanan kepada saraf optik dan sistem otot. Ia dikatakan mampu memberi kesan yang baik dalam memperbetulkan kerosakan mata.

Bunga, biji dan akar chicory, dikatakan telah digunakan sebagai ubat dalam rawatan masalah hati. Pengambilan kira-kira 30 hingga 60 ml air rebusan bunga, biji dan akar sebanyak tiga kali sehari dikatakan mampu memberi kesan baik dalam rawatan hati yang tidak cergas, biliary statis, jaundis dan limpa membesar.

Ðikatakan kombinasi jus chicory, lobak merah dan seleri juga mampu membantu dalam masalah asma dan demam hay. Serbuk akar yang telah dikeringkan sebanyak setengah sudu teh yang kemudiannya dicampurkan dengan madu, jika diambil tiga kali sehari, dikatakan menjadi bahan pelancar kahak bagi masalah bronkitis kronik. Buat wanita pula, air rebusan biji chicory dikatakan amat berguna dalam merawat haid yang terhalang.

Pengganti kopi

Setelah digunakan sebagai herba ubatan, kegunaan lain bagi daun chicory adalah jika muda dijadikan salad, manakala daun yang tua dijadikan sebagai sayur yang dimasak. Akar chicory yang telah dipanggang dan kemudiannya ditumbuk halus pula mampu dijadikan sebagai bahan yang dicampurkan dengan kopi atau dijadikan sebagai pengganti kopi itu sendiri.

Kegunaan dalam perubatan

Akar chicory mengandung minyak volatile yang sama dengan yang mudah ditemui pada tumbuhan dalam genus Tanacetum (termasuk Tansy), yang mempunyai kesan menghilangkan cacing di dalam usus. Seluruh bahagian dari tanaman ini mengandung minyak volatile, dengan majoriti komponen beracun tertumpu di akar tanaman.

Chicory terkenal kerana sifat toksik terhadapnya parasit dalaman. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan chicory dalam diet binatang ternakan dapat pengurangan serangan cacing. Diet binatang ternakan yang mengandungi chitory telah digunakan secara meluas sebagai suplemen makanan ternakan. Hanya beberapa syarikat besar yang aktif dalam penyelidikan, pengembangan dan pengeluaran chicory pelbagai jenis dan pilihan terutamanya syarikat di New Zealand.

Chicory, terutama bunganya, digunakan sebagai rawatan di Jerman, dan dicatat dalam banyak buku sebagai rawatan Jerman kuno untuk penyakit sehari-hari. Ia banyak digunakan sebagai tonik dan sebagai rawatan untuk batu hempedu, gastro-enteritis, masalah sinus, luka dan lebam. Inulin, iaitu serat makanan yang ditemui di chicory, memberi kebaikan untuk penyakit diabetes dan sembelit.

Walaupun herba chicory mempunyai khasiat ubatan, namun begitu penggunaannya perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.




Rujukan : MisteriAlam dan Wikipedia - Chicory.

Butiran selanjutnya ...
Related Posts with Thumbnails