Assalamualaikum warahmatullah,
Dalam entry yang lepas, 3 S untuk wanita hidup bermadu, kita telah belajar dari kisah Azian yang menghadapi dilema. Sebelum dia mengambil sebarang keputusan tentang panjang pendek jodohnya dengan suami, dia telah mengamalkan petua hidup syukur, sibuk dan sihat. Masa yang panjang diisi dengan tiga amalan tersebut sambil belajar dari kesilapan dan mencari hikmah dari peristiwa hitam.
Azian menemui kemanisan hidup dengan amalan tersebut, walaupun dalam keadaan tertekan dia cuba menimbang baik buruk perceraian. Apakah dia mahu memberi laluan kepada wanita itu dan mengalah begitu saja? Atau adakah dia melawan kehendak suami dengan muslihat-muslihatnya supaya suami takut dan membatalkan niatnya itu?
Orang bercinta mana mungkin boleh dipisahkan jika sudah sama-sama berniat hendak berkahwin. Apa pun yang dilakukan Azian, pastinya takkan mampu menghalang niat mereka itu. Azian mengaku tidak mampu bermadu kerana tidak tahan cemburu. Cemburu buta yang bakal merosakkan akhlaknya sebagai muslimah, kerana cemburu wanita boleh melakukan perbuatan jahat dengan lidahnya.
Mengata suami dan menyebarkan aib madunya, merajuk dan berdendam mungkin akan menjadi makanannya sehari-hari selepas dimadu nanti. Hati takkan khusyuk diajak beribadah kerana hati sedang sakit. Apatah lagi emosi yang bukan senang boleh diredakan, bagaimana nanti jika agamanya pun terfitnah?
Akhirnya, Azian menyerah kalah. Biarlah dia memutuskan bercerai secara baik-baik demi agamanya dan tanggungjawabnya kepada dua cahaya mata yang diamanahkan Allah. Bukankah suaminya lelaki baik dan berlemah-lembut, bertanggungjawab lagi mahu memahami? Tentu tidak sukar untuknya meminta cerai. Jika jatuhkan talak satu, bukan bermakna mereka tidak boleh rujuk. Itu pinta Azian kepada suami yang berat melafazkan kata perpisahan. Perceraian dengan jalan damai bukan perbuatan maksiat, bahkan ia merupakan jalan penyelesaian yang baik jika kedua-dua pasangan tidak mampu menghindari fitnah berpoligami.
Cinta Allah
Bayangkan jika mereka dipaksa untuk menjalani hidup bersama dalam keadaan tidak tenang, selalu bertengkar, curiga, berbohong, berdendam, mengata di belakang, mengaibkan pasangan, merancang muslihat, berebut harta benda, menyakiti setiap kali berjumpa. Manakan mungkin tersisa masa untuk mengadap Allah, beribadah dan beramal soleh dalam keadaan jati yang carut marut, koyak rabak dan panas membara?
Namun, bagi yang mahu mencuba dan bersabar dengan keadaan yang amat mencabar iman itu tidaklah salah mereka menyediakan bekalan untuk mendapatkan kecekalan hati, juga membeli satu senjata yang boleh menangkis sengatan dari ratu madu yang membunuh jiwa raga dan iman di dada mereka. Bekalan yang diperlukan telah kita bincangkan di sini 3 S untuk wanita hidup bermadu, iaitu syukur, sibuk dan sihat. Senjatanya pula ialah cinta kepada Allah SWT.
Wanita yang terpaksa berpoligami merasa telah kehilangan cinta suami padahal dia masih memiliki sesuatu yang lebih bernilai dari belaian suami. Bahkan sesuatu yang dimiliki itu lebih mahal dari dunia dan seisinya. Cinta suami hanya secebis kenikmatan yang dikurniakan Tuhan di sudut hati isteri, sedangkan cinta Allah itu kenikmatan yang tiada bandingannya dengan sesuatu apapun.
Jika cinta suami hilang, Allah tidak pernah menceraikan anda sebagai hamba-Nya yang dikasihi. Walau berapa banyak pun dosa anda, Allah tetap membuka pintu rahmat-Nya. Jangan anggap cinta suami adalah segala-galanya, ia hanya setitis nikmat saja, sedangkan nikmat lain telahpun Allah limpahkan sebanyak-banyaknya untuk kita. Takkan kerana setitis nikmat yang Allah hapuskan dari hati kita lalu kita merajuk, meratapi takdir, menangisi ketentuan-Nya seolah-olah anda marah dengan qada dan qadar-Nya, tidak puas hati dengan kemahuan-Nya. Padahal, musibah itu terlalu sedikit jika dibandingkan dengan nikmat yang telah pun kita rasa sepanjang hidup kita. Hidup ini bukan untuk melayan suami sahaja, tidak mungkin 24 jam sehari menikmati cinta anda bersama suami. Bukankah anak-anak perlu dijaga, ibu bapa pun amanah di bahu anda?
Sebenarnya terlalu banyak kewajipan lain yang telah anda lalaikan kerana asyik mencintai suami sahaja. Jadi, bagi mereka yang terpaksa bermadu, bukankah Allah memberi peluang untuk anda menghabiskan masa bersama anak-anak dan ibu bapa, bahkan untuk mendekatkan diri anda kepada Allah?
Senjata untuk menipis serangan madu anda hanyalah ‘cinta Allah’. Mengenal jalan-jalan menuju cinta-Nya, belajar kalimah-kalimah cinta-Nya di dalam al-Quran, mengikut jejak kekasih-Nya Rasulullah SAW dalam kehidupan sebenar. Jika selama ini hidup kita bagaikan wanita plastik, penuh dengan kosmetik dan kepura-puraan, setelah dimadukan barulah kita elajar menjadi wanita yang sebenarnya dengan matlamat hidup yang sebenar dan perjuangan yang sebenar.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah SWT.” Kalau dulu kerana suami, suami dan suami, kini terpaksa belajar untuk berkongsi dengan ratu madu lain dan sudah tiba masanya kembali ke jalan Allah.
Renung-renungkan!
Sumber : Dr Hj Juanda Jaya
Capaian entry berkaitan :
- 3 S untuk wanita hidup bermadu
- Ilmu lentokkan suami
- Impian isteri, angan-angan suami, mengapa tak sama?
- Beri 'didikan cinta' kepada suami
- Bila kegiatan sulit suami terbongkar
- Poligami: Jangan Salah Guna Agama!
- Awas, suami perdaya isteri!
- Tajdid Iman: Jenayah lidah, nafsu punca rosak segala ibadat
- Syurga di tapak kaki?
- Poligami lagi ... rentetan sinetron Isteri Untuk Suami Ku
- Personaliti, ransangan paling hebat
- Sakitnya jika terpaksa berpoligami
- Intiplah jiwa pasangan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...