PAGE

Ahad, Ogos 29, 2010

Kaunselor Anda: Mentua rampas harta peninggalan suami


Keluarga arwah suami tidak mahu membuat faraid kerana khuatir harta diwarisi menantu dan cucu lelakinya

SOALAN :

SAYA seorang janda berusia 24 tahun yang kematian suami. Saya makan hati dengan keluarga arwah suami. Saya adalah menantu perempuan sulung keluarga arwah suami. Saya bersama arwah mendirikan rumah tangga pada hujung tahun 2007 dengan restu kedua-dua ibu bapa kami. Suami saya baru meninggal dunia lima bulan lalu dalam kemalangan ketika pulang dari kerja. Ketika itu, saya sedang sarat mengandung.

Pada hari itu, ketika jenazah belum sampai di rumah, keluarga arwah sudah mengira harta suami. Hati saya hancur dengan sikap mereka, tambahan ibu mentua menyatakan saya hanya bernikah dengan anaknya selama 10 bulan, sedangkan dia menjaga anaknya ketika kakinya masih merah. Bayangkan betapa pedihnya hati saya sebagai isteri.

Hari demi hari keluarga arwah merampas semua harta peninggalan suami untuk saya dan anak, yang juga darah daging mereka sendiri. Malah, ibu mentua pernah menyatakan tidak akan menyerahkan satu sen pun peninggalan suami kepada saya. Namun, saya berikhtiar untuk mencari jalan untuk membahagikan harta peninggalan mengikut hukum syarak sebagai seorang Islam.

Sekali lagi saya ditentang oleh ibu mentua, mereka tidak mahu membuat faraid kerana khuatir harta itu diwarisi anak lelaki kami. Ikutkan hati, saya tidak mahu menyakiti hati ibu mentua dan keluarganya kerana mereka bagaikan ibu bapa saya sendiri. Kini saya buntu puan, hanya kecekalan hati dan ketabahan dalam diri ini saya reda dengan ketentuan Ilahi. Mungkin Allah sedang menguji saya sebagai hamba-Nya di muka bumi ini. Kini saya hanya ingin membesarkan anak saya dan mendidiknya sehingga menjadi orang yang berguna pada masa hadapan. Namun, saya ingin memperjuangkan hak anak saya. Puan bantulah saya untuk menghadapi situasi begini.

Dewi Permata


JAWAPAN :

JODOH pertemuan dan ajal maut memang di tangan Tuhan, namun Tuhan tidak membenarkan kita untuk hanya berserah bulat-bulat kepada takdir tanpa usaha. Tuhan sudah berjanji tidak akan mengubah nasib kita selagi kita tidak berusaha mengubahnya.

Dalam proses ini kita tidak dibenarkan menimbulkan pergaduhan dan perselisihan yang melanggar hukum adat kehidupan. Dalam keadaan anda sekarang, anda harus jelas dan pasti apa jenis harta yang ditinggalkan oleh arwah suami. Jika benar-benar ada yang berbaloi dituntut seperti kereta, rumah, simpanan atau disebut harta tetap dan harta mudah alih yang perlu dituntut, anda boleh menuntutnya di mahkamah mengikut undang-undang. Ini adalah prosedur biasa. Buat laporan dan kemukakan tuntutan anda secara rasmi.

Tapi jika harta itu hanya barang peribadi milik arwah yang mudah alih dan luput seperti pakaian, rasanya tidak perlulah dikecohkan kerana menghormati roh arwah yang sedang di alam barzakh agar damai dan tenteram. Apatah lagi jika anda tidak tinggal serumah atau berdekatan dengan mentua. Jangan sampai kerana peninggalan yang sedikit ini akan meretakkan hubungan anda dengan nenek kepada anak anda.

Jika difikirkan secara sihat, anda sedang memiliki peninggalan arwah yang paling mahal dan paling penting iaitu waris keturunannya yang akan menjadi pelindung, penawar dan talian hayat anda ke syurga nanti iaitu anaknya. Inilah hadiah teragung daripada seorang suami. Pada pandangan Umi, jagalah harta termahal ini. Dengan penuh kasih sayang dan usaha yang gigih dan keyakinan yang tinggi bahawa setiap anak yang lahir itu ada rezekinya, maka berusahalah untuk berdikari mencari rezeki dari Allah untuk hidup bersama anak anda, pasti anda akan berasa puas dengan peninggalan suami anda yang satu-satunya ini. Yakinlah, ada masa depan cerah untuk anda dan anak yang disediakan Allah. Biarlah apa yang dilakukan oleh ibu mentua anda itu sebagai pengajaran untuk anda tidak melakukannya kepada orang lain nanti.

Tidak ada harga yang kekal dan mencukupi selamanya, pasti akan habis jua. Lagipun, harta pusaka jika disalah gunakan akan menimbulkan kesan negatif pada pemiliknya. Serahkan rezeki anda dan anak kepada Allah dengan keyakinan bahawa telah ditakdirkan Allah tidak akan ada orang lain yang akan mengambil rezeki yang telah ditetapkan untuk kita.

Jika ini anda yakini anda tidak akan tamak kepada peninggalan arwah suami atau mana-mana harta yang menggoda kita. Laluilah dengan tenang agar anak anda menikmati kasih sayang anda sepenuhnya, kerana dia sudah kehilangan satu kasih sayang yang sangat mahal. Umi juga ingin berpesan anda sedang memelihara anak hebat, iaitu anak yatim. Siapa yang memakan harta anak yatim akan sulit hidupnya, malah haram hukumnya jika diperlakukan secara tidak adil.

Oleh itu rawatlah emosi anda dengan baik kerana kehilangan orang tercinta membuat anda mengalami goncangan yang kuat di jiwa. Allah berpesan, “....jangan berduka terhadap apa yang luput daripada kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepada mu.” (QS Al: Hadid:23) dan dipesan Rasulullah SAW, “Sesungguhnya kesabaran itu ada pada hentakan pertama.”
Dari pesanan ini jelas sesiapa yang mampu menguasai perasaan dalam setiap peristiwa, baik yang memilukan dan juga yang menggembirakan, maka dialah orang yang benar-benar memiliki kekukuhan iman dan keteguhan keyakinan. Maka laluilah hidup anda seadanya sebagai hamba Allah.
Bagi pembaca yang ingin berkongsi masalah dan pendapat dengan Dr Rubiah K Hamzah, anda boleh menghantar soalan ke alamat Ruangan Kaunselor Anda, Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel bminggu@bharian.com.my



Sumber : BHarian 2009/03/01

Khamis, Ogos 26, 2010

Khasiat buah avokado

~ Buah avokado dibelah dua ~ gambar hiasan ~

“...... Jadi balik tak? Buah avokado dah masak....” Itu antara mesej yang saya terima daripada ayahanda, beberapa hari sebelum ketibaan Ramadan. Waaahhh... sedapnya buah avokado... Dalam berkira-kira hendak balik ke tidak, saya usulkan cadangan balik kampung kepada EnSyujin kerana buah avokado sudah masak. Lawaknya, EnSyujin sempat mengusik, “Orang balik kampung makan buah durian, rambutan atau manggis. Awak balik kampung makan buah avokado. Macam berkampung di oversea...”

Sehari-dua sebelum menerima mesej daripada ayahanda, saya ‘pulun’ borong buah avokado Afrika yang dijual murah di sebuah pasaraya (RM1.49 sebiji). Tiap-tiap malam mengudap avokado bersama baby Iman yang usianya sudah hampir mencecah setahun (semasa artikel ditulis). Rasa buah avokado ini tidaklah berapa sedap tetapi khasiatnya, masya Allah.... menakjubkan. Tekstur dan rasa isinya seakan-akan rasa isi kelapa muda yang lemak-lemak manis, tetapi isi avokado lemak-lemak ‘tawo lesyo’…

Setelah berbincang, memandangkan kami masing-masing ‘banyak hal’ saya terpaksalah pendam perasaan keinginan balik kampung. Lalu saya beritahu ayahanda, yang kami tidak dapat balik dan pesan supaya ayahanda ‘makankan’ buah avokado untuk saya… :)



~ Pokok avokado ~ gambar ehsan wikipedia ~


~ Buah avokado belakang rumah ayahanda ~

Sedikit info tentang avokado dan khasiatnya, untuk manafaat bersama….

Pokok avokado atau nama saintifiknya persea Americana mempunyai zat khasiat yang dikatakan mampu merawat dan mencegah pelbagai penyakit daripada masalah penglihatan, penyakit jantung sehinggalah kepada masalah obesiti.

Pokok avokado dikelaskan dalam tumbuhan berbunga keluarga Lauraceae. Ia adalah sejenis pokok saka yang menghasilkan buah. Buahnya berbentuk bujur dan kulit buah berwarna hijau berkilat. Isi buahnya pula berwarna kuning cair dan mempunyai biji yang agak besar di tengah. Daun pokok avokado mempunyai hujung yang runcing.

~ Sebelah kiri gambar buah avokado species dari Medan Indonesia, sebelah kanan gambar buah avokado species dari Afrika Selatan ~

Pokok avokado berasal dari Mexico dan Amerika Tengah. Kini, buah avokado ditanam di negara-negara seperti Afrika Selatan, Australia dan New Zealand. Buah ini dikategorikan dalam beberapa jenis seperti bacon, fuerte, gwen, hass, penkerton, reed dan zutano.

Bahagian yang digunakan untuk tujuan perubatan adalah daun, buah, kulit kayu dan biji. Buahnya amat berkhasiat kerana mengandungi protein, zat besi, fosforus, kalsium, sodium, potasium, vitamin A, vitamin C, naisin dan riboflavin.

Berikut senarai nutrisi buah avokado, dipetik dari wikipedia (sila klik utk paparan lebih besar) :


Buah avokado mengandungi asid oleik iaitu sejenis lemak tak tepu tunggal yang jika dimakan bukan sahaja mampu mengurangkan kolesterol tidak baik, tetapi mampu meningkatkan kolesterol baik. Disebabkan kandungan potassium yang tinggi dalam buahnya, pengambilan avokado secara kerap juga mampu merendahkan tekanan darah.

Kandungan folat di dalam buahnya juga mengandungi zat, baik untuk kesihatan jantung. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa wanita yang kerap mengambil kandungan asid folat, mempunyai risiko yang rendah iaitu sebanyak 55% untuk mendapat serangan jantung dan penyakit jantung.

Walaupun avokado tinggi dengan lemak iaitu kira-kira 30gm lemak bagi sebiji avokado, namun itu tidak menghalang buah ini berkhasiat untuk mereka yang mahu mengurangkan berat badan. Pengambilan buah yang kaya dengan kandungan vitamin dan zat, amat baik untuk tubuh kita. Lemak daripada avokado juga dikatakan mampu membantu tubuh berasa lebih kenyang dan menyimpan tahap gula dalam darah daripada meningkat.

Dikatakan, sebiji buah avokado mengandungi kira-kira 300 kalori dengan 88% daripadanya adalah lemak. Ia juga berkesan sebagai pelincir semulajadi bagi membolehkan sendi-sendi tulang bergerak bebas terutamanya di bahagian leher, siku, pergelangan tangan, pinggul, lutut dan pergelangan kaki seterusnya menghindarkan penyaki lenguh-lenguh tulang.

~ Pokok avokado berbuah setahun sekali ~

Avokado mampu mencegah penyakit mata

Avokado juga mengandungi lutein iaitu sejenis antioksidan yang amat baik untuk mata. Pengambilan makanan yang tinggi lutein dikatakan mampu mencegah penyakit mata seperti katarak dan kemerosotan makular.

Lembutkan kulit

Avokado digunakan dengan banyak dalam industri kosmetik seperti pencuci, krim dan masker muka. Ada juga yang dibuat syampu, minyak avokado dan bermacam-macam lagi. Avokado terbukti berkesan dalam penjagaan kulit wajah kerana kandungan vitamin E yang tinggi.

Antara kebaikan lain buah avokado ialah mampu mencegah arteriosclerosis, merangsang pembentukan kolagen sekaligus membantu kulit mengalami penuaan, membantu menentang masalah kulit seperti ekzema, dermatitis dan jerawat.

Selain itu, buah avokado juga boleh dihancurkan dan ditampal pada ruam dan kulit yang kasar. Kesannya, kulit akan menjadi lebih lembut. Minyak yang diekstrak daripada buah avokado boleh dijadikan sebagai losen kulit dan minyak urut. Penggunaannya dikatakan mampu memperbaiki kulit menjadi lebih bermaya. Isinya yang lembut dan berkrim amat sesuai untuk dijadikan sebagai buah segar pertama dimakan oleh bayi.

~ avocado smootie ~ gambar ehsan wikipedia ~

Buah avokado boleh dijadikan jus minuman yang menyegarkan. Campurkan isi buah avokado dengan susu segar, masukkan sedikit susu pekat, coklat yang dicairkan dan ketulan ais dan kisar untuk dijadikan avokado ‘smootie’... yummy!!

Daun pokok avokado pula dikatakan boleh direbus dan kemudiannya dijadikan sebagai ubat. Air rebusan yang dikatakan bersifat diuretik ini mampu membersihkan hati dan mengurangkan tekanan darah tinggi. Dalam ilmu perubatan Cina dan perubatan tradisional lain, avokado dikatakan memiliki daun yang bersifat pahit, kelat dan diuretik manakala bijinya bersifat anti-radang dan analgesik. Hasil kajian dan penyelidikan menunjukkan daun buah ini bersifat anti-bakteria. Ia menghapuskan pertumbuhan beberapa spesies bakteria seperti Staphlococus sp., Pseudomonas sp., Escherichea sp. dan Basillicus sp.

Manakala daun pokok avokado yang telah dicampurkan dengan kulit pokok avokado lalu direbus, boleh digunakan untuk tujuan merawat masalah kesihatan yang berlaku pada perut dan dada.

Air rebusan ini juga dikatakan mempu mengawal ketetapan haid. Bagi mereka yang sering mengalami masalah disenteri, dikatakan biji buah avokado boleh digunakan sebagai ubat. Di Amazon, biji buah avokado juga dikatakan boleh dijadikan sebagai ubat pencegah hamil.

Senarai kebaikan avokado

Selain daripada khasiat yang dinyatakan di atas, di sini saya senaraikan 10 mengapa kita patut makan avokado, info dipetik dan diterjemahkan dari laman web Health Diaries.com :

1. Pencegahan kanser prostat

Avokado telah dibuktikan berkesan untuk menghalang pertumbuhan kanser prostat.

2. Perlindungan (mencegah) kanser mulut

Penyelidikan telah menunjukkan bahawa sebatian tertentu dalam avocado dapat mencari pra-kanser dan kanser sel kanser mulut dan menghancurkan mereka tanpa merosakkan sel-sel sihat.

3. Perlindungan (mencegah) kanser payudara

Seperti minyak zaitun, avokado mengandungi asid oleik yang sangat tinggi, yang telah terbukti untuk mengelakkan kanser payudara dalam kajian banyak.

4. Baik untuk kesihatan mata

Avokado mengandungi lebih lutein karotenoid daripada buah-buahan yang lain biasa dimakan. Lutein melindungi mata daripada kemerosotan makular, katarak dan penyakit mata yang berkaitan dengan usia lanjut.

5. Menurunkan paras kolesterol

Avokado mengandungi beta-sitosterol yang tinggi, satu sebatian yang telah terbukti dapat menurunkan paras kolesterol. Dalam sebuah kajian, 45 sukarelawan mengalami penurunan paras kolesterol sebanyak 17%, selepas mereka mengambil buah avocado hanya untuk satu minggu.

6. Memelihara kesihatan jantung

Satu cawan avokado mengandungi 23% kandungan folat daripada nilai harian yang disyorkan. Kajian menunjukkan bahawa mereka yang mengambil diet kaya folat mempunyai risiko yang lebih rendah daripada mendapat penyakit jantung daripada mereka yang tidak. Kandungan vitamin E, lemak tak tepu tunggal dan glutathione yang terdapat dalam buah avokado juga bermanafaat besar bagi jantung anda.

7. Mencegah strok

Kandungan folat yang tinggi dalam buah avokado juga dapat memberi perlindungan terhadap strok. Mereka yang makan diet kaya folat mempunyai risiko lebih rendah terkena strok daripada mereka yang tidak.

8. Penyerapan nutrisi lebih baik

Kajian telah mendapati bahawa nutrisi tertentu diserap lebih baik bila dimakan dengan avokado. Dalam sebuah kajian, ketika peserta makan salad yang mengandungi avokado, mereka dapat menyerap lima kali jumlah karotenoid (kumpulan nutrisi yang merangkumi lycopene dan beta karoten) daripada mereka yang tidak termasuk avokado.

9. Sumber glutathione

Avokado merupakan sumber glutathione yang sangat baik iaitu satu agen antioksidan yang penting yang menurut para penyelidik, ia penting dalam mencegah penuaan, kanser, dan penyakit jantung.

10. Sumber vitamin E

Buah avokado adalah sumber terbaik vitamin E, yang merupakan vitamin penting untuk melindungi badan terhadap banyak penyakit dan membantu menjaga kesihatan secara keseluruhan.

Walaupun terdapat pelbagai khasiat buah, daun, biji dan kulit pokok avokado, namun begitu penggunaannya perlu mendapat nasihat daripada pengamal perubatan agar kemudharatan di kemudian hari dapat dielakkan.

Semoga bermanafaat!




Rujukan : Misteri Alam, http://www.healthdiaries.com/eatthis/10-health-benefits-of-avocados.html, http://en.wikipedia.org/wiki/Avocado dan lain-lain.

Capaian entry berkaitan :

Ihya Ramadan: Umat Islam dituntut jaga adab berbuka puasa


ADAB berbuka puasa ialah menyegerakan berbuka apabila masuk waktu. Sahl bin Sa’ad melaporkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

1. Berdoa ketika berbuka

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Doa daripada Rasulullah SAW ketika berbuka dan disunatkan kita membaca: “Hilanglah dahaga, basahlah peluh (hilang kekeringan) dan tetaplah pahala, insya-Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

2. Berdoa kepada orang yang menjamu kita berbuka.

Kata Anas: “Rasulullah SAW pernah datang ke (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda makan dan berkata: Mereka yang berpuasa berbuka puasa di sisi kamu, mereka yang baik makan makanan kamu dan malaikat akan berselawat ke atas kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

3. Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air

Rutab ialah buah kurma yang sudah masak sebelum menjadi tamar kering. Ia lembut dan manis, manakala tamar ialah buah kurma yang sudah kering.

Anas berkata: “Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Jika tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar dan jika tiada tamar, maka beliau minum beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

4. Makan dengan sederhana

Orang berpuasa digalakkan tidak makan berlebihan ketika berbuka bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

5. Segerakan solat Maghrib

Selepas berbuka dengan tamar atau air, jika makanan belum dihidangkan, umat Islam perlu segera menunaikan solat. Namun, jika makanan sudah dihidangkan, maka makruh meninggalkan makanan untuk menunaikan solat.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jemaah) sudah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Rujuk : BH2010/08/18

Capaian entry berkaitan :

Isnin, Ogos 23, 2010

Q&A : Larang lakukan seksaan bunuh binatang


Kemusykilan agama bersama Ustaz Zahazan Mohamed

SOALAN :

SAYA selalu menangkap tikus menggunakan perangkap besi. Kerana takut digigit, saya lazimnya membunuh tikus berkenaan dengan menyimbah air panas atau menenggelam tikus itu di dalam baldi dipenuhi air. Apakah perbuatan saya ini berdosa?

AH, Kuala Lumpur.

JAWAPAN :

IMAM an-Nawawi rahmatullah ‘alaih meletakkan satu tajuk di dalam kitabnya Riyadus Solihiin iaitu: “Pada menyatakan haram menyeksa binatang dengan api.”

Di antara hadis yang terkandung dalam tajuk itu ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah yang berkata, Rasulullah SAW pernah mengutus kami dalam satu pasukan dan Baginda bersabda, “Apabila kamu sekalian mendapatkan Fulan dan Fulan iaitu dua orang Quraisy yang Baginda sebutkan namanya, maka bakarlah dengan api.” Kemudian ketika kami hendak berangkat, Baginda bersabda, “aku tadi menyuruh kalian untuk membakar Fulan dan Fulan, tetapi sesungguhnya tidak selayaknya menyeksa dengan api kecuali Allah SWT. Oleh itu, apabila kamu menemui kedua-duanya, maka bunuhlah mereka.” (Riwayat al-Bukhari no.2853)

Begitu juga sebuah hadis riwayat Abu Daud, daripada Ibn Masud, beliau berkata: “Ketika kami bersama Rasulullah SAW dalam satu perjalanan dan Baginda berhajat (ke belakang), tiba-tiba kami melihat seekor burung yang mempunyai dua anak, kemudian kami mengambil kedua-dua anaknya itu, lantas ibunya datang dengan terbang berputar-putar. Kemudian Nabi SAW datang dan bersabda, “Siapakah yang mempermainkan burung itu dengan mengambil anaknya?” Kembalikan anak burung itu kepadanya.”

Baginda melihat ada sarang semut yang kami bakar, kemudian Baginda bertanya, “Siapa yang membakar sarang ini?” Kami menjawab: “kami”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya, siapa pun tidak layak menyeksa sesuatu dengan api kecuali Tuhan api itu sendiri.” (Riwayat Abu Daud no.6277)

Kesimpulannya, jika saudara hendak membunuh haiwan itu, carilah cara yang boleh mematikannya dengan cepat dan tidak menyeksa.
“Sesungguhnya Allah SWT sudah menetapkan agar berlaku ihsan kepada semua. Apabila kamu hendak membunuh, maka perelokkanlah cara membunuh dan apabila kamu hendak menyembelih, hendaklah perelokkan cara menyembelih...” (Riwayat Muslim)

Ini kerana Allah SWT sudah memerintahkan agar berlaku ihsan pada makhluk-makhluk-Nya sebagai mana sebuah hadis, daripada Syaddad bin Aus, daripada Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT sudah menetapkan agar berlaku ihsan kepada semua. Apabila kamu hendak membunuh, maka perelokkanlah cara membunuh dan apabila kamu hendak menyembelih, hendaklah perelokkan cara menyembelih…” (Riwayat Muslim no.5167).

Wallahua’lam.

Sumber : BH 2010/03/21




Capaian entry berkaitan :

Ahad, Ogos 22, 2010

Kaunselor Anda : Tertekan kerenah mentua

Ibu nyaris batal ke Makkah mahu elak perbalahan keluarga

SOALAN :

SAYA berusia 35 tahun dan dikurniakan seorang anak. Saya lulusan universiti dan ada kerja sendiri. Suami saya sebaya tetapi dia bukan lulusan universiti dan bekerja di jabatan kerajaan.

Gaji saya lebih tinggi daripada suami dan banyak kemudahan dalam rumah saya sediakan. Saya tidak kisah kerana sejak berkawan pun saya sudah tahu tahap kewangan suami dan kami berjanji untuk hidup susah dan senang bersama.

Hingga kini sudah 10 tahun berkahwin kami hidup bahagia, tiada masalah antara kami. Cuma, saya bermasalah dengan ibu mentua.

Ibu mentua tidak memahami keadaan kami dan selalu cuba mencampuri urusan hal ehwal keluarga. Maksudnya, kalau saya hendak beli meja makan, dia yang akan memilih corak macam mana, kalau hendak bercuti dia yang akan tentukan ke mana dan hendak ikut sekali tetapi kami melunaskan pembayarannya. Menjelang Hari Raya, termasuk perayaan Tahun Baru Cina mahupun Krismas, kami harus balik rumahnya dulu, baru ke rumah emak saya.

Selama 10 tahun berkahwin saya selalu bersabar dan memenangkan ibu mentua. Tak mengapalah kerana mengenangkan dia sudah tua serta banyak jasanya pada suami. Tetapi, saya tercabar apabila baru-baru ini emak saya ke Makkah atas perbelanjaan saya. Saya yang simpan duit untuk emak lebih 10 tahun iaitu sejak bujang dan suami pun tahu hal ini.

Pemergian emak ke Makkah semata-mata menunaikan nazar saya yang berhasrat menghantarnya ke Tanah Suci itu dengan wang sendiri. Saya menjalankan tanggungjawab sebagai anak, lebih-lebih lagi ibu tiada tempat bergantung setelah kematian ayah. Emak pernah beberapa kali menunaikan umrah namun dengan pembiayaan kakak dan abang.

Ibu mentua belum lagi berkesempatan menunaikan haji jauh sekali umrah. Yang saya kesalkan, dia mendakwa wang perbelanjaan ibu ke Makkah adalah wang poket anaknya. Malah, katanya, suami dikawal isteri dan mentuanya hingga sanggup mengeluarkan belanja ibu saya menunaikan umrah, sedangkan ibu sendiri dinafikan haknya.

Saya beritahu mentua, duit itu saya simpan sejak belum kahwin malangnya dia tidak percaya dan tetap mengatakan itu duit anaknya. Saya beritahu suami dan suami pun ada beritahu ibu mentua hal sebenar tetapi dia masih enggan percaya. Oleh kerana ketegangan itu, emak nyaris membatalkan pemergian ke Makkah kerana menganggap dia punca saya dan mentua berbalah. Setelah dipujuk, baru emak setuju pergi.

Adik-beradik sebelah suami seramai lima orang (tidak termasuk suami) percaya penuh kata-kata ibu mereka. Kesannya, saya menerima layanan dingin setiap kali menjengah mentua pada hujung minggu. Saya jadi tidak selesa ketika di rumah mentua. Kalau saya tanya sepatah, mereka jawab sepatah. Kalau anak saya buat salah, cepat saja tangan mereka hinggap di pipi anak saya. Sedih saya Umi.

Di belakang saya, saya dengar mentua dan ipar bercakap mengenai saya. Kononnya saya kawal duit suami patutlah suami menggunakan Kancil saya, saya memandu kereta Honda.

Saya sangat sedih. Urusan kewangan dan hal rumahtangga sejak dulu kami menguruskannya secara muafakat. Kami sudah lama menanam persefahaman mengenai hal itu namun tidak sangka mentua sekeluarga pula berburuk sangka.

Saya sangat tertekan dan berat hati ke rumah mentua lagi. Namun, sebagai isteri, saya perlu taat kepada suami walaupun, saya tidak tahu selama mana saya boleh bersabar.

Isteri Taat.

JAWAPAN :

Salam syurga buat Isteri Taat, semoga diberi Allah kekuatan sebagai isteri, ibu dan menantu. Rumahtangga adalah istana dan itulah permulaan syurga di dunia andai ia dihayati dan diamalkan dengan cermat demi mencari reda Allah. Sebab itu Rasulullah berpesan dijadikan rumahtangga sebagai syurga di dunia, Insya-Allah kita dibimbing untuk berpindah ke syurga Allah di akhirat.

Tetapi, jika di dunia kita tidak pernah tenteram, maka sulit bagi kita untuk meraih nikmat syurga di akhirat. Sebab itu kita dipesan mengejar akhirat, pasti dunia akan bersama, namun jika dunia diburu, bimbang akhirat tercicir kelak.

Dalam persoalan anda, seolah-olah anda sudah hampir ke penghujung sabar, namun syukur, anda masih mampu bertahan. Apa yang sedang anda hadapi ialah cabaran hidup berkeluarga. Anda sudah berjaya selama 10 tahun berumahtangga diasak pelbagai cabaran, khususnya daripada ibu mentua. Ini menandakan anda menantu yang baik, sebab itu anda diberi ujian getir. Lagipun, hendak menjadi baik bukan mudah, tapi senang untuk melakukan kejahatan.

Segala yang anda lakukan selama ini ibadah membantu suami, berhasrat mendapat reda ibunya dan syurga, maka jangan diungkit-ungkit. Sekiranya diungkit, pahalanya akan hilang pada hal kebaikan sudah dilaksanakan. Ini dilakukan selagi ibu mentua berkelakuan tidak melampaui larangan Allah. Jika perkara dilakukan berlawanan perintah agama, tidak perlu taat, sebaliknya perlu hormat, tetap mendoakan selain melayannya dengan cara terbaik selaku orang tua kita.

Apa yang berlaku hanyalah salah faham dan sedikit prasangka. Jika anda terus melihat kejadian, kelakuan serta tindakan itu sebagai sesuatu yang buruk, maka anda akan berasa jauh daripada mereka, terus menderita sakit hati hingga ke hujung waktu. Alangkah ruginya kalau ini terjadi lebih-lebih lagi dalam fasa hidup manusia yang singkat ini.

Justeru, belajar menerima semua yang berlaku sebagai ujian Allah bagi memantapkan cinta dan kasih terhadap suami serta keluarganya. Jika segalanya diterima dengan hati terbuka dan prasangka baik, setiap peristiwa dilalui mahal harganya melebihi segunung wang ringgit. Sebab anda dilatih mengalaminya maka anda belajar untuk bersabar.

Anda tidak kehilangan apa-apa dengan tindakan mereka melainkan sakit hati dan sedikit tekanan saja. Namun, nikmat Allah yang lain pada diri anda masih melimpah, maka ikatlah nikmat itu dengan rasa syukur kerana Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari(nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (QS Ibrahim : 7)

Ini bererti nikmat Allah pada anda melimpah-ruah, maka jangan dikira apa yang dibuat orang terhadap kita, tetapi hitung berapa banyak kita sudah berbuat silap pada orang lain. Jika kita sentiasa mengambil berat silap orang pada kita, maka kita terlepas pandang keburukan diri sendiri. Pada akhirnya, kita pula beranggapan orang lain tidak benar, sebaliknya kita saja yang betul. Perasaan yang membuatkan anda terus tidak selesa dengan sesiapa pun hatta keluarga mentua.

Sedarlah bahawa kehidupan ini hanya sesuap nasi dan seteguk air saja, selebihnya cuma sisa. Pesanan saya, untuk terus merasa nikmat hidup, cari ubat terbaik di dunia ini yang dinamakan ‘ketenangan’ dan ‘keriangan’ yang dibekalkan oleh klinik ‘kurangkan makan’.

Ketenangan ialah makanan lazat bagi hati dan pesta bagi jiwa sedangkan keriangan adalah awal kegembiraan, selain makanan paling berzat bagi tubuh. Terima hakikat perbezaan, ibu mentua berbeza dengan ibu anda, semua perbezaan ini harus diterima sebagai ramuan dalam masakan dalam hidup.

Kita tidak boleh memaksa orang berkelakuan seperti yang kita mahukan kerana setiap manusia berbeza. Jangan jadikan perbezaan itu musuh yang akan merosakkan diri kita. Akuilah setiap orang memiliki sifat, watak serta potensi masing-masing dan tidak ada orang yang boleh melebur ke dalam diri orang lain, begitulah sebaliknya.

Akhirnya, kenali diri anda, fikirkan apa sumbangan diberikan pada diri, keluarga serta ibu mentua. Jika anda fikir positif, maka perasaan negatif akan hilang seterusnya hubungan menjadi baik. Tetapi jika sentiasa memikirkan yang buruk serta negatif berkenaan mereka, anda tidak akan menikmati apa yang dipanggil senang hati dan gembira tetapi asyik berduka. Ingat, hidup ini seperti apa yang anda fikirkan. Justeru, fikirkan yang baik saja, anda akan menuai kebahagiaan di celah kehebatan kesyukuran. Ubah dulu diri sebelum anda berhasrat mengubah orang lain.




Rujuk : Klikkhas.bharian. 2009/12/20

Jumaat, Ogos 20, 2010

Ihya Ramadan: Individu berpuasa dituntut sentiasa bersikap murah hati


AMALAN yang menghidupkan Ramadan ialah memperbanyakkan sedekah kerana sikap bermurah hati pada Ramadan adalah dituntut. Ibn Abbas melaporkan: “Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan padanya al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)

1. Membaca al-Quran

Disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan kerana ia bulan al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “... bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran dengan Nabi SAW setiap hari sepanjang Ramadan. Para salaf mendahulukan bacaan al-Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al-Quran dalam masa tiga hari, sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadan.

Saidina Uthman bin Affan khatam al-Quran setiap hari pada Ramadan. Imam Zuhri berkata apabila tiba Ramadan, “Sesungguhnya Ramadan itu bulan membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa.”

2. Memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurung sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.” (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi)

3. Qiamullail

Disunatkan berjaga malam secara berjemaah pada bulan Ramadan iaitu solat terawih dan waktunya di antara solat Isyak hinggalah terbitnya fajar. Nabi sangat gemar mendirikan malam pada bulan Ramadan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah Taala, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.” (Hadis riwayat Bukhari)

4. Solat tarawih

Solat tarawih adalah solat khusus yang hanya dilakukan pada Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjemaah di masjid. Di sesetengah tempat, sebelum solat tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati jemaah.

5. Mengerjakan umrah

Perkara disunatkan pada Ramadan adalah mengerjakan umrah berdasarkan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Umrah pada Ramadan (pahalanya) sama dengan (pahala) mengerjakan haji atau mengerjakan haji bersamaku.” (Hadis riwayat Bukhari)

6. Zakat fitrah

Zakat fitrah dikeluarkan khusus pada Ramadan atau paling lambat sebelum selesainya solat sunat hari raya. Setiap Individu Muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat fitrah. Nilai zakat fitrah adalah satu gantang makanan ruji atau setara dengan 2.7 kilogram beras. Di Malaysia, nilai zakat fitrah ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.





Rujuk : BH2010/08/17

Capaian entry berkaitan :

Kisah burung bantu padam api wajar jadi iktibar


cicak mengkarung ~ gambar hiasan ~


DARIPADA Amir bin Saad, daripada bapanya (Saad bin Abi Waqas) katanya: “Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya sebagai ‘si penjahat kecil’.” (Hadis riwayat Muslim)

Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali.

Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain yang kehairanan melihat perlakuan burung kecil, lalu bertanya kepada burung kecil itu: “Wahai pipit, apa yang engkau mahu lakukan?” tanya makhluk Allah yang lain.

“Aku mahu membantu Nabi Ibrahim. Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim,” jawab burung pipit.

“Macam mana kamu mahu padamkan api itu. Kamu tidak mampu membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada itu kecil, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu. Sia-sia saja usaha kamu itu,” kata burung lain pula.

Lalu dijawab oleh burung berkenaan: “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”

Burung kecil itu tidak berputus asa dan meneruskan usahanya untuk membantu Nabi Ibrahim. Lalu ia membawa air yang disimpan di dalam paruhnya itu ke arah api yang marak. Dengan izin Allah SWT, api yang marak itu semakin berkurangan. Itu sahaja yang ia mampu untuk membantu Nabi Ibrahim. Walaupun sedikit sahaja pertolongannya, ia berpuas hati. Sekurang-kurangnya ia telah menjalankan tanggungjawabnya; tidak berdiam diri apabila melihat kekasih Allah dizalimi oleh orang kafir.

Setelah kayu-kayu itu menjadi bara, maka orang ramai menghampiri unggun api yang telah menjadi bara. Burung pipit berasa gembira. Keyakinan burung pipit terhadap kekuasaan Allah semakin kuat dan terbang dengan penuh kesyukuran. Orang ramai yang berada di situ berasa terkejut apabila melihat Nabi Ibrahim keluar daripada bara api itu seperti sediakala. Badannya sedikitpun tidak melecur.

Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusan itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan).

Adakah anda seperti si burung kecil atau seekor cicak?

Renung-renungkan!




Sumber: JAKIM di BH 28/07/2010

Khamis, Ogos 19, 2010

Ihya Ramadan: Pelihara adab serlah takwa


Assalamualaikum warahmatullah,

Semalam kita berkesempatan membuat sedikit revision tentang Ramadan. Ikuti sambungan revision dalam entry ini. Mudah-mudahan bermanafaat.

LATIHAN dan pendidikan pada Ramadan tidak akan menghasilkan takwa melainkan jika adabnya dijaga serta dipelihara.

Antara adab itu ialah :

# Menyediakan makanan atau juadah berbuka

Menyediakan makanan atau juadah berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikit pun pahalanya (orang yang berpuasa).” (Hadis riwayat Baihaqi dan Ibn Khuzaimah)

# Kurangkan tidur siang dan makan malam

Tidak banyak tidur pada siang hari dan makan pada waktu malam. Sebaiknya, bersederhana pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan inti pati puasa yang perlu dicapai.

# Berusaha menjaga semua pancaindera

Berusaha menjaga semua pancainderadan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara sia-sia. Dengan berbuat demikian, ibadat puasanya pasti suci dan sempurna. Ada ramai yang penat dengan berlapar dan dahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihan tidaklah berbaloi seperti sabda Rasulullah SAW: “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.” (Hadis riwayat Nasa’i)

# Melaksanakan tanggungjawab sosial iaitu mengeluarkan zakat fitrah.

Abdullah ibn Omar berkata, “Rasulullah mewajibkan zakat fitrah satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum ke atas budak, orang yang merdeka, lelaki, wanita, anak-anak dan orang tua daripada kalangan Muslimin, dan baginda memerintahkan supaya zakat itu dikeluarkan sebelum manusia keluar melaksanakan solat Aidilfitri.” (Hadis riwayat Bukhari)

# Mengejar lailatulqadar.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Berusahalah untuk mencari lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Pada ketika itu, Nabi menyuruh umatnya memperbanyakkan bacaan doa yang bermaksud, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Engkau sukakan kemaafan, maka ampunlah dosa-dosaku.” (Hadis riwayat Tirmizi)




Rujuk : BH 2010/08/16

Capaian entry berkaitan :

Tafsir Ayat: Kelonggaran jalani ibadat puasa permudahkan golongan uzur


FIRMAN Allah bermaksud: “(Iaitu berpuasa) pada sebilangan hari yang tertentu. Jika di antara kamu ada yang sakit atau sedang bermusafir (lalu ia berbuka) maka wajiblah ia berpuasa (qada sebanyak hari berbuka) pada hari-hari yang lain dan wajib di atas orang-orang yang terdaya berpuasa (tetapi meninggalkan puasa kerana keberatan) membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada orang-orang miskin dan barang siapa dengan sukarela memberi makan (melebihi kadar yang ditentukan), maka itulah yang lebih baik baginya. (Namun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (dari membayar fidyah) jika kamu mengetahui. ” (Surah al-Baqarah, ayat 184)

Allah mensyariatkan ibadat puasa ke atas umat Islam, diwajibkan kepada mereka berpuasa pada hari tertentu atau dalam jumlah hari yang sedikit iaitu antara 29 atau 30 hari dalam bulan Ramadan.

Sehubungan itu, Islam menetapkan permulaan ibadat puasa melalui rukyah atau menggenapkan bilangan 30 hari bulan Syaaban.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu mula berpuasa kerana melihat anak bulan Ramadan (rukyah) dan berbukalah (akhiri Ramadan) dengan melihat anak bulan Syawal (rukyah). Apabila awan menghalang pandanganmu, maka sempurnakanlah bulan Syaaban selama tiga puluh hari.” (Hadis riwayat Bukhari)

Kebanyakan ulama tafsir berpendapat ayat ini dimansuhkan kerana kewajipan berpuasa pada permulaan Islam adalah kewajipan baru yang belum biasa mereka lakukan. Oleh itu, mereka diberi peluang memilih antara dua iaitu sama ada berpuasa atau berbuka dengan membayar fidyah.

Pemansuhan (pembatalan) ayat ini diganti dengan ayat lain, iaitu ayat 185 dalam surah sama yang bermaksud: “Barang siapa di antara kamu yang berada pada bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa. Pengertian ayat ini tidak membenarkan umatnya memilih.”

Sekumpulan ulama lain pula berpendapat ayat ini tetap teguh, tidak dimansuhkan. Menurut mereka, ayat yang bermaksud: “Bagi mereka yang berkuasa (berdaya) berpuasa pada masa mudanya tetapi tidak berdaya pada masa tuanya, mereka dibolehkan membayar fidyah sebagai ganti dari puasa.”

Kata Ibnu Abbas, ayat ini tidak dimansuhkan tetapi dikhususkan kepada orang lelaki yang sudah tua atau perempuan yang sudah tidak lagi berdaya untuk berpuasa. Maka dia dibolehkan menggantikan puasanya itu dengan fidyah.

Fidyah ialah penebusan sesuatu yang diserahkan sebagai tebusan, iaitu memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan kadar mencukupi bagi berbuka dan sahur.

Selanjutnya, jika orang itu suka membayar fidyah dengan memberi makan kepada dua orang miskin bagi sehari adalah lebih baik baginya. Walaupun begitu, berpuasa itu lebih baik berbanding dengan berbuka kerana ibadat puasa memiliki banyak kelebihan serta fadilat di samping mendidik jiwa bertakwa kepada Allah.

Perlu ditegaskan, ibadat puasa adalah wajib dan tidak dibenarkan sama sekali berbuka puasa bagi orang Islam yang mukalaf dengan tiada sebarang sebab atau keuzuran dibenarkan.

Keuzuran yang membolehkan seseorang itu berbuka puasa, bermusafir, orang sakit, datang haid dan nifas. Jika mereka ini tidak berpuasa, mereka wajib mengqada puasa dan tidak dikenakan fidyah.

Orang tua dan orang sakit yang tiada harapan sembuh, dia boleh berbuka atau tidak berpuasa dengan tidak perlu mengqadakan puasanya dan hanya membayar fidyah.

Perempuan mengandung dan menyusu bayinya, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama fikah. Ibnu Kathir dalam tafsirnya mengemukakan beberapa pandangan ulama dalam masalah ini, ada berpendapat harus berbuka dan wajib mengqada puasa ditinggal serta membayar fidyah.




Rujukan : BH 18/08/2010

Jenayah domestik cemar institusi kekeluargaan



Isteri perlu benarkan undang-undang jalankan peranan, tidak lindungi kezaliman suami

MUTAKHIR ini jenayah domestik menjadi-jadi dan beberapa kejadian yang berlaku pada awal Ramadan lalu begitu menyayat hati. Isteri dan anak ditetak suami, disimbah asid, malah ada yang menjadi mangsa pembunuhan suami atau bapa termasuk gejala membuang bayi yang baru lahir.

Terkini, rujuk entry --> Jenayah : Bapa simbah asid

Kejadian berlaku di bulan mulia ini tentunya meninggalkan trauma bukan sedikit kepada mangsa yang masih hidup. Mereka kehilangan ibu, adik beradik dan ahli keluarga lain disebabkan kezaliman bapa yang sepatutnya melindungi ahli keluarga.

Malangnya, nafsu serakah berimamkan syaitan dalam diri mereka yang sepatutnya menjaga keselamatan ahli keluarga membuatkan ada ahli keluarga tidak selamat lagi berada di rumah sendiri.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya antara sifat yang boleh menjadikan seseorang sempurna imannya ialah orang yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya.”

Pelbagai kes penganiayaan wanita dan kanak-kanak yang berlaku dalam lanskap domestik, antaranya penderaan seks, sumbang mahram, buli isteri, memeras ugut dan memukul isteri sering berlarutan dalam tempoh yang lama.

Ia berikutan sikap ahli keluarga itu sendiri yang sanggup bertahan serta tidak mahu mengaibkan suami dan bapa, ibarat kata pepatah seperti meludah ke langit. Jika umum mengetahui perbuatan buruk ahli keluarga sendiri, mereka juga yang menanggung malu. Hakikatnya, pepatah itu tidak bermanfaat dalam situasi jenayah domestik yang semakin meningkat. Setiap lelaki bergelar suami adalah pelindung kepada isteri kerana beberapa kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada mereka seperti fizikal lebih kuat dan hak mewarisi harta melebihi wanita.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah sudah melebihkan orang lelaki atas wanita, dan juga kerana orang lelaki sudah membelanjakan dari harta mereka.” (Surah An-Nisa, ayat 34)

Namun, kelebihan Allah kurniakan ini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh segolongan suami. Mereka mendabik dada mengatakan mereka adalah ketua keluarga dan enggan memahami hikmah di sebalik anugerah istimewa itu.

Adanya suami yang kuat fizikal tetapi malas bekerja, bahkan mengambil kesempatan atas kerajinan isteri menambah pendapatan keluarga tentunya memburukkan lagi institusi keluarga yang sepatutnya menjadi syurga buat pasangan berkahwin.

Rasulullah SAW membawa teladan yang sempurna untuk menjadi ikutan umat Islam berperanan sebagai suami dan bapa. Ia memudahkan lagi kaum lelaki memahami tugas dan tanggungjawab sebagai pelindung keluarga dengan hanya mengikut apa dilakukan Rasulullah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang paling baik terhadap ahli keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli keluargaku.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Apabila seruan yang ditujukan kepada setiap suami dan bapa, ia menyampaikan mesej Rasulullah SAW adalah model ikutan terbaik, kerana Baginda suami dan bapa paling baik kepada ahli keluarga.

Justeru, sebelum bergelar suami, setiap lelaki perlulah mengetahui garis panduan sebagai pelindung keluarga, bukan sekadar berseronok dengan makan pakai yang akan tersedia.

Jenayah domestik memang sukar ditangani kerana ia berlaku dalam ruang peribadi yang tidak ditembusi undang-undang. Urusan suami isteri adalah ruang tidak sepatutnya mendapat campur tangan pihak luar, melainkan diminta berbuat demikian.

Namun, ahli keluarga lain perlu sensitif dengan sesuatu yang tidak kena dalam institusi keluarga.

Suami yang menagih dadah, mendera isteri dan anak serta menghidap penyakit mental boleh membahayakan ahli keluarga dan memungkinkan jenayah domestik berlaku pada bila-bila masa.

Senario sebegini memerlukan kerjasama isteri yang sayangkan suami supaya membenarkan undang-undang mengambil peranan mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terhadap ahli keluarga. Jangan melindungi penjenayah hanya kerana ia seorang suami.




Rujukan : Nik Salida Suhaila Nik Saleh di BH 19/08/2010

Degil!

BEBERAPA penumpang lelaki warga asing selamba memasuki koc wanita.

Lelaki warga asing tak hirau larangan masuk koc wanita

KUALA LUMPUR: Tak faham bahasa! Itulah ungkapan paling sesuai untuk lelaki yang masih memasuki koc khas wanita walaupun sudah berkali-kali dimaklumkan perkara berkenaan sejak koc itu dilancarkan empat bulan lalu.

Penumpang wanita hanya boleh memandang sinis telatah golongan lelaki yang kebanyakannya warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Afrika yang selamba masuk ke koc khusus untuk wanita itu.

Tidak faham bahasa Melayu dan Inggeris menjadi alasan apabila ditanya mengapa mereka masuk ke koc berkenaan SEDANGKAN jelas tertera maklumat pada poster dan pelekat berwarna merah jambu yang diletakkan di bahagian luar dan dalam koc.

Malah, maklumat mengenai koc untuk wanita itu turut diterjemahkan ke dalam tiga bahasa lain iaitu Mandarin, Tamil dan Arab berserta imej wanita. Pengumuman mengenai perkara itu juga dibuat setiap kali tren tiba di setiap stesen.

Tinjauan Sentral mendapati kesedaran warga tempatan lebih tinggi berbanding warga asing mengenai larangan ke atas lelaki memasuki koc untuk wanita. Mereka yang memasuki koc wanita juga didapati malas berjalan ke koc lain sebaik tren tengah khusus untuk wanita berhenti di depan mata.

Dari segi penguatkuasaan pula amat lemah apabila anggota polis bantuan hanya bertumpu kepada stesen di KL Sentral, sedangkan di stesen lain khususnya stesen yang agak sunyi seperti Sungai Buloh, tiada seorangpun polis bantuan dilihat mengawasi koc berkenaan.

Hanya seorang pegawai KTM Komuter muncul di stesen Kepong dan mengarahkan beberapa penumpang lelaki keluar dari koc wanita ketika tren berpatah dari Rawang ke KL Sentral.

Usaha KTM Komuter memperkenalkan koc khas untuk wanita memang disenangi semua pihak tetapi tanpa penguatkuasaan dari segi keselamatan, matlamat memberi lebih keselesaan dan menjamin keselamatan penumpang daripada risiko gangguan seksual dan bersesak dengan penumpang lelaki nampaknya sukar dicapai.

Seorang pelajar kolej, Vibi, 18, mengakui masih berasa tidak selamat walaupun berada dalam koc wanita kerana sehingga kini, penumpang lelaki bebas masuk ke koc berkenaan disebabkan tiada penguatkuasaan.

“Saya berasa belum cukup selamat lagi kerana mereka (polis bantuan) hanya menjaga di KL Sentral sedangkan ramai lelaki yang memasuki koc wanita di stesen lain seperti Kepong, Sungai Buloh, Kuang dan sebagainya,” katanya.

Ruzita Yahaya, 43, yang sering berulang alik dari Rawang ke tempat kerjanya di Shah Alam meminta KTM menimbangkan untuk meletakkan pegawai mereka atau polis bantuan di setiap stesen sepanjang tren beroperasi bukan saja demi kepentingan penumpang wanita tetapi mengelakkan kejadian jenayah seperti ragut.

“Saya pernah melihat seorang gadis diragut tetapi pada masa itu, tiada seorangpun polis bantuan apatah lagi pengawal keselamatan. Orang ramai hanya mampu memandang gadis berkenaan diheret kerana cuba menahan begnya daripada diragut,” katanya.

Rujuk : BH 19/08/2010


Rabu, Ogos 18, 2010

Jin menjelma dalam bentuk ular


Assalamualaikum warahmatullah,

Kisah ini dipetik dari majalah Solusi # 12, yang ditulis oleh Ustaz Ismail Kamus. Dua-tiga malam di awal Ramadan, BG asyik-asyik mimpikan ular saja, elok benarlah saya masukkan entry mengenai ular. Apa alamat mimpikan ular, ya? Setahu saya, memang jin boleh menjelma sebagai ular, tetapi jika mimpikan ular, tentu ada kait-mengait dengan species jin atau syaitan juga seperti dalam kisah di bawah. Merujuk artikel tafsir mimpi, mimpi ular katanya alamat yang baik. Entahlah... Apa-apapun, menurut Rasulullah, mimpi yang buruk tidak akan dapat memudharatkan si bermimpi. Semoga saya tetap dalam peliharaan-Nya. Amiin.

Suatu ketika Abu al-Sa’ib menemui Abu Sa’id al-Khudri di rumahnya. Kemudian dia berkata, “Ketika itu dia (Abu Sa’id) sedang solat, kerana itu aku duduk menunggu hingga dia menyelesaikan solatnya. Tiba-tiba aku dengar suara berdesisi di ‘urjun (lapisan penyangga atap) rumahnya. Tiba-tiba aku melihat seekor ular. Kerana itu aku berdiri dan bermaksud untuk cepat-cepat membunuhnya. Tetapi Abu Sa’id mengisyaratkan kepada aku agar aku tetap duduk. Aku pun kembali duduk. Ketika dia telah selesai menunaikan solatnya, dia menunjukkan salah satu ruang di rumahnya seraya berkata, ‘Engkau lihat bilik ini?’ Aku menjawab, ‘Ya.’”

“Dulu di sini tinggal seorang pemuda yang baru bernikah. Pernah sekali kami sedang menuju ke Perang Khandak bersama-sama Rasulullah SAW. Pemuda itu pun meminta izin daripada Nabi untuk ikut berperang hingga tengahari dan pulang untuk menemui isterinya. Suatu hari, pemuda tersebut meminta izin kepada Nabi untuk pulang ke rumahnya. Nabi SAW berkata kepadanya, ‘Bawalah senjatamu, sebab aku bimbang Bani Quraizah akan mengganggumu.’

Pemuda itu mengambil senjatanya, kemudiannya pulang. Sebaik sahaja tiba di rumah, dilihatnya isterinya sedang berdiri di antara pintu rumah dan pintu halaman. Terdorong rasa cemburunya, dia segera meluru untuk menikam isterinya dengan tombak. Isterinya berteriak, ‘Tahanlah tombakmu! Masuk dan lihatlah apa yang menyebabkan aku keluar dari rumah.’

Pemuda itu pun masuk ke rumah dan dilihatnya ada seekor ular besar melingkar di tempat tidur. Dia membidik tombaknya ke arah ular itu dan mengenainya. Dia keluar rumah dan membiarkan ular itu menyerang dan membelitnya. Mereka bergomol, dan entah siapa yang akan segera mati, pemuda itu ataupun ular.”

Abu Sa’id al-Khudri meneruskan ceritanya : “Kemudian kami menemui Nabi SAW dan menyampaikan berita tentang pemuda itu. Kami memohon kepada baginda, ‘Ya Rasulullah, mohonlah kepada Allah agar dia boleh tetap hidup bersama kita.’ Nabi SAW berkata: ‘Sebaiknya, kamu semua memohon ampun kepada Allah untuknya.’ Sesudah itu baginda melanjutkan : ‘Di Madinah terdapat jin yang menyatakan dirinya telah masuk Islam. Kalau kamu melihat gelagat yang tidak baik daripada mereka (jin-jin lain), maka panggillah dia selama tiga hari. Kalau sesudah itu ternyata dia masih membangkang, maka bunuhlah dia. Sebab dia adalah syaitan.’” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain, riwayat Muslim juga menyebut bahawa Abu Sa’id mengatakan, “Kami menemui Abu Sa’id al-Khudri r.a. Ketika kami sedang duduk, tiba-tiba kami mendengar suara berisik di bawah tempat tidurnya, lalu kami mencarinya dan ternyata di situ terdapat seekor ular...”

Dalam hadis itu juga menyebut, “Di dalam rumah-rumah itu terdapat penghuni-penghuni (jin), maka jika kamu sekalian melihat sesuatu, maka usirlah tiga kali. Kalau ia pergi, biarkanlah. Tetapi jika ia berdegil, maka bunuhlah. Sebab ia pasti jin kafir.”

Selanjutnya Nabi SAW mengarahkan, “Pergilah kalian, dan kuburkan sahabat kalian itu.”

Menurut riwayat Muslim, dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Di Madinah terdapat sekelompok jin dan mereka telah menyatakan diri masuk Islam. Kalau salah seorang di antara kalian melihat sesuatu (yang mencurigakan), maka mintalah ia pergi. Tetapi kalau ia tetap berdegil, maka bunuhlah ia. Sebab dia adalah syaitan.”

Dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim, Imam al-Nawawi memetik bahawa al-Mazari mengatakan, “Janganlah kamu membunuh ular-ular di Madinah. Kecuali sesudah kamu mengingatkannya terlebih dahulu, sebagaimana yang terdapat dalam hadis. Kalau engkau sudah mengingatkan dan ia tetap membatu, maka bunuhlah. Sedangkan ular-ular yang terdapat di kota selain Madinah, yakni yang ada tanah dan tempat-tempat tinggal, maka dianjurkan untuk embunuhnya tanpa harus terlebih dahulu memberi peringatan, berdasarkan pengertian umum yang terdapat dalam hadis-hadis sahih tentang perintah membunuhnya.

Rujuk : Dato’ Ismail Kamus, Solusi#12.


Ihya Ramadan


Assalamualaikum warahmatullah,

Revision untuk Ramadan. Mudah-mudahan input ini boleh digunakan untuk memdidik anak-anak tentang bulan yang istimewa, khusus untuk umat Nabi Muhammad SAW. Semoga bermanafaat...

Ramadan adalah bulan mulia yang mempunyai kelebihan tersendiri antaranya:

1. Ramadan penghulu semua bulan.

Diriwayatkan al-Tabarani dalam al-Kabir, “Penghulu bulan ialah Ramadan dan penghulu hari ialah Jumaat.”

2. Dibuka pintu syurga.

Diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah: “Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu.”

3. Diampunkan dosa sehingga Ramadan akan datang.

Hadis riwayat Muslim yang diriwayatkan Abu Hurairah: “Solat fardu lima waktu, Jumaat kepada Jumaat dan Ramadan kepada Ramadan, akan diampunkan di antara keduanya sekiranya seseorang itu melakukan dosa besar.”

4. Ganjaran daripada Allah.

Diriwayatkan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda bermaksud: “Allah berkata: Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa dan Aku yang akan membalasnya. Bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan berjumpa dengan Tuhannya. Dan perubahan bau mulut orang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding haruman kasturi.”

5. Diampunkan dosa terdahulu.

Hadis ini diriwayatkan sebilangan ahli hadis termasuk Bukhari dan Muslim iaitu: “Sesiapa menghidupkan Ramadan dalam keadaan beriman dan ikhlas (kepada Allah), diampunkan dosanya (yang terdahulu).”

6. Diturunkan al-Quran.

Nabi Muhammad SAW berkata: “Diturunkan suhuf Nabi Ibrahim pada awal malam Ramadan dan diturunkan Taurat pada 6 Ramadan dan diturunkan Injil pada 13 Ramadan dan diturunkan Zabur pada 18 Ramadan dan diturunkan al-Quran pada 14 Ramadan.” (al-Mu’jam al-Kabir)

7. Malam Lailatulqadar.

Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosanya yang lalu dan sesiapa yang qiamullail pada malam Lailatulqadar dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari)

8. Dibebaskan daripada api neraka.

“Sesungguhnya bagi Allah hamba yang bebas (daripada api neraka) setiap berbuka, dan demikian itu pada setiap malam.” (Hadis riwayat Ahmad)

Petikan buku Adab Ramadan

Rujukan : BH2010/08/11


Seksyen 302 langkah wajar elak buang bayi


Hukuman berat dapat hentikan jenayah, tindakan tak berperikemanusiaan

KES pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi hasil hubungan luar nikah pasangan muda yang terlanjur tidak kira kerana suka sama suka, terlalu percayakan lelaki, dirogol atau tekanan keluarga, kian membimbangkan.

Melihat bayi dibuang seperti sampah, ditinggalkan di merata tempat, menggambarkan sifat manusia yang semakin kejam hingga sanggup membunuh sedangkan al-Quran menegaskan tiada siapa yang boleh mencabut nyawa sama ada dirinya atau orang lain. Firman Allah bermaksud: “Dan apabila bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup di tanya. Apakah dosanya sehingga dia dibunuh?” (Surah at-Takwir, ayat 8-9)

Jika diajukan soalan ini, pasti pihak tidak berperikemanusiaan itu tidak boleh menjawabnya.

Manusia kini semakin hilang pertimbangan dan tidak menggunakan kewarasan dalam tindakan. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan perhubungan haram dapat dirasai secara berulang kali tanpa ikatan sah.

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai yang seharusnya lahir daripada ikatan perkahwinan sah kerana secara fitrahnya manusia berhajat serta mengharapkan kurniaan itu. Justeru, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran.” (Hadis riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).

Anak sepatutnya dibelai dengan kasih sayang. Perlakuan membiarkan atau mengabaikan anak menjadikan manusia lebih rendah martabatnya daripada binatang yang tahu sayangkan anak.

Melihat realiti pembuangan bayi yang menggerunkan, langkah kerajaan memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat adalah langkah wajar.

Kes pembuangan bayi dicadangkan diklasifikasikan sebagai kes bunuh serta disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Sebelum ini, kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hukuman gantung sampai mati juga bertepatan dengan konsep qisas diperuntukkan dalam qanun jinayah syar`iyyah, bertujuan menjaga prinsip perundangan Islam tertakluk di bawahnya lima perkara iaitu menjaga agama, nyawa, akal fikiran, keturunan dan harta benda.

Qisas bermaksud memotong dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan syarak melalui nas al-Quran dan hadis. Kesalahan diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mencederakan mata, hidung dan telinga.

Mengikut hukum qisas, seseorang penjenayah mesti dikenakan hukuman sama seperti dilakukan terhadap mangsanya. Jika membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami tetapkan atas mereka dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, mata dibalas dengan mata, hidung dibalas dengan hidung, telinga dibalas dengan telinga, gigi dibalas dengan gigi dan luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka jadilah ia penebus dosa baginya.” (Surah al-Maidah, ayat 45)

Pembunuhan dalam Islam terbahagi kepada tiga iaitu :

1. Pembunuhan sengaja

Pembunuhan sengaja ialah membunuh dengan niat yang dikenakan hukuman qisas atau diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Dalam kes pembuangan bayi, seseorang yang membuang bayi hingga menyebabkan kematian atau tidak boleh dianggap sebagai membunuh dengan sengaja.

2. Pembunuhan separuh sengaja

Pembunuhan separuh sengaja ialah seperti memukul dengan tongkat atau melempar dengan batu kelikir, tanpa disangka-sangka terus mati orang itu (tanpa niat membunuhnya).

3. Pembunuhan tidak sengaja

Pembunuhan tidak sengaja pula seperti seorang tertembak rakan disangkanya binatang buruan. Hukuman bagi jenayah pembunuhan separuh sengaja dan pembunuhan tidak sengaja adalah diat saja.

Bagi hukuman membabitkan penjara pula, termasuk dalam kategori hukuman yang dikenakan atas kesalahan takzir, hukuman ditentukan oleh pemerintah berdasarkan kemunasabahan dengan mengambil kira suasana serta keadaan pesalah.

Langkah menguatkuasakan hukuman berat wajar untuk membawa pihak bertanggungjawab membunuh bayi dihadapkan ke mahkamah, sekali gus diberikan hukuman setimpal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan.

Oleh itu, tiada alasan dan maaf bagi mereka yang masih sanggup melakukan kesalahan membuang bayi kerana perbuatan mereka tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang. Kesedaran kepada masyarakat saja tidak mencukupi.

Sebaliknya, masyarakat harus disedarkan perlakuan jenayah membuang bayi ini dengan mengenakan hukuman berat seperti gantung sampai mati ataupun hukuman penjara. Ini perlu bagi membendung gejala ini yang semakin berleluasa.

Penulis, Mohamad Isa Abd Ralip ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Rujuk : BH 2010/08/18


Isnin, Ogos 16, 2010

Sekoi hiasan


Bunga sekoi mutiara kekuningan bak mutiara popularkan pohon sebagai tanaman hiasan

SEKALI pandang rupanya sama seperti pokok ja­­gung namun warnanya sangat berbeza kerana ia bukannya hijau sebaliknya berwarna ungu keperangan.

Pokok yang semakin mendapat tempat dalam industri landskap dan seni laman tempatan kini, dikenali sebagai sekoi ungu atau sekoi mutiara kerana bulu bunganya berwarna kekuningan dan putih mutiara. Nama saintifiknya Pennisetum glaucum, juga dikenali sebagai ‘Purple Majesty’ tumbuhan ini dikate­gorikan sebagai lalang yang asalnya dijumpai di kawasan pergunungan di benua Afrika sebelum di bawa ke India.

Pada awalnya tumbuhan ini menjadi tanaman pertanian seperti jagung yang menjadi makanan ruji bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat. Kemudian ia dibawa ke benua Amerika 1850-an dan menjadi tanaman komoditi di Brazil pada 1960-an.


Gandingan menarik antara sekoi dan tunbuhan hiasan lain.

Namun, kini ia menjadi tanaman hiasan yang semakin mendapat tempat di kalangan peminat seni hias taman, malah pokok ini memenangi anugerah emas Tanaman Pilihan Amerika Syarikat (AAS) pada 2003.

Pokok ini mudah ditanam di negara ini kerana ia tanaman yang sukakan cuaca kering, tanah yang lembap dan suhu yang tinggi seperti jagung dan barli. Sehingga kini, kawasan seluas 260,000 kilometer persegi ditanam dengan sekoi di seluruh dunia terma­­suk sekoi ungu yang menjadi tanaman hiasan.


Rupa seakan pokok jagung tetapi berwarna ungu keperangan.

Oleh kerana pokok ini boleh tinggi paras lelaki dewasa, maka ia selalu dijadikan pokok pagaran dan pemisah sempadan. Warna daun, batang dan bunganya yang menarik menghasilkan pemandangan yang menarik, malah kerana jarang dilihat di negara ini, sekoi ungu pastinya memikat mata pengunjung yang melawat kediaman.


Bunganya yang unik dan wangi tarikan burung dan rama-rama.

Bunganya seperti bunga lalang dengan warna eksotik bukan saja menarik perhatian orang, malah burung, lebah dan rama-rama sangat menyukainya. Dengan kata lain, pokok ini sesuai menarik kehadiran burung kecil dan rama-rama di laman kediaman.

Tanpa memerlukan siraman dan pembajaan yang kerap, sekoi adalah tanaman hiasan yang cantik untuk dijadikan titik tumpu laman kerana warnanya sangat berbeza dengan tumbuhan lain seumpamanya.

Gandingan pokok ini dengan mana-mana pokok hiasan lain pasti menjadi kerana ia mempunyai warna yang kontras, malah ia juga sering dijadikan pokok hiasan jambangan bunga yang eksotik.

Satu lagi fakta menarik Pennisetum glaucum ialah ia mengeluarkan bunga berbau wangi. Pokok ini pada peringkat awal anak benih dilihat sama seperti benih anak jagung tetapi berubah warna ungu keperangan apabila matang.

INFO: Sekoi
  • India adalah negara pengeluar sekoi terbesar dunia dan menjadi makanan kegemaran di wilayah Gujarat, Haryana, Rajasthan, dan Madhya Pradesh.
  • Berasal dari benua Afrika menjadikan sekoi makanan ruji di beberapa negara di benua berkenaan seperti Nigeria, Niger, Mali dan Burkina Faso.
  • Di Namibia, sekoi dikenali sebagai 'mahangu' yang selalu dimasak sebagai bubur dipanggil 'oshifima' dan sekoi yang diperam dijadikan tuak digelar 'ontaku' atau 'oshikundu'.




Rujuk : BH 15/08/2010