PAGE

Sabtu, Oktober 30, 2010

Beri Acai (Acai Berry)

Beri acai

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Namanya yang pelik, mengingatkan saya kepada salah seorang sahabat EnSyuJin yang dipanggilnya 'Acai'. Saya belum pernah melihat buah beri acai ini dan agak kagum dengan khasiatnya. Sebetulnya, entry kali ini adalah request seorang pengunjung belog (zaza). Semoga bermanafaat untuk tatapan semua.

Beri acai atau nama botaninya euterpe oleracea adalah sejenis buah yang kini mendapat perhatian ramai berikutan khasiatnya terhadap kesihatan tubuh manusia. Buah beri acai dikatakan berasal dari hutan hujan Amazon. Sebenarnya, buah beri acai ini telah digunakan selama beribu tahun lalu, tetapi ia hanya diperkenalkan pada masyarakat Barat pada tahun 1990. Lapan spesis asli buah beri acai berasal dari Amerika Tengah dan Selatan, iaitu dari Belize selatan ke Brazil dan Peru. Pokok beri acai tumbuh terutamanya di paya dan dataran banjir. Pokok beri acai agak tinggi, mempunyai batang yang kurus dan ramping. Ia mampu tumbuh hingga mencecah 15-30 meter, dengan daun menyirip (pinnate) dan boleh mencapai 3 meter panjang.

Pokok beri acai

Masyarakat yang menghuni hutan Amazon menggunakan beri acai untuk merawat pelbagai jenis masalah kesihatan. Malah, ada yang menggelar buah beri acai sebagai permata rahsia dari hutan hujan Amazon. Buah beri acai diperoleh dari pohon palma. Buahnya berada dalam kelompok dan bergantungan pada dahan-dahan pohon ini. Setiap pohon palma menghasilkan kira-kira 20 kilogram buah yang dihasilkan setiap tahun. Buah beri acai dihasilkan dalam malai bercabang daripada 500-900 buah.

Buah beri acai kecil kira-kira 1 inch (25 mm), berbentuk bulat, berwarna ungu kehitaman di keliling, hampir sama tetapi lebih kecil daripada anggur dan dengan pulp kurang dan bijinya lebih besar daripada biji anggur. Buah ini memiliki biji tunggal yang besar sekitar 0.25-0.40 inci (7-10 mm) diameter. Buah matang adalah warna ungu, atau hijau, bergantung pada jenis Acai dan tahap kematangannya. Kulit buah ini lembik dan tipis, dengan ketebalan konsisten 1 mm atau kurang. Ini mengelilingi isi buah tebal dan keras, yang mengandungi biji yang agak besar, sekitar 80% dari buah.

Beri acai yang dipetik

Melalui kajian yang telah dilakukan oleh pengamal perubatan professional di Amerika Syarikat, buah beri acai dikatakan mengandungi pelbagai zat seperti besi, kalsium, karbohidrat, serat dan antioksidan. Buahnya turut mengandungi vitamin dan mineral yang penting termasuklah vitamin B, E, asid lemak (fatty acid) Omega 3, Omega 6 dan Omega 9.

Buah beri acai yang telah dijadikan jus dikatakan mempunyai protein lebih daripada telur. Protein adalah sumber utama dan merupakan komponen penting bagi hormon dan kebanyakan tisu tubuh termasuklah organ dan otot-otot. Protein juga membantu pembentukan lapisan luar rambut, kuku dan kulit.

Jus buah beri acai mengandungi glukosamin. Sebatian ini mampu membantu menguatkan tubuh dan mengekalkan tisu tubuh. Kalsium yang dimiliki oleh buah beri acai boleh menguatkan tulang, mencegah keretakan dan mencegah kehilangan tisu tulang. Zat ini sesungguhnya amat penting bagi wanita yang mengalami masalah sakit haid melampau, kerana ia melindungi lapisan perut dan rahim, sekaligus membantu mengurangkan sakit akibat kekejangan dan pembengkakan.

Mampu beri perlindungan pada jantung

Antioksidan yang dikenali sebagai polifenol yang terkandung dalam jus buah beri acai dikatakan amat baik untuk melindungi jantung dan memperbaiki penghasilan oksida nitrik dalam sel-sel endothelial. Oksida nitrik dikatakan membantu melindungi saluran darah untuk lebih mengendur dan mengembang, sekaligus mengurangkan tekanan pada jantung dan mengurangkan risiko saluran darah tersekat.

Selain itu buah beri acai juga kaya dengan asid lemak perlu (EFA) yang dikatakan mampu mengurangkan kolesterol tidak baik yang bahaya untuk kesihatan. Anthocyanin dalam buah beri acai boleh melindungi saluran darah yang kecil dan besar termasuk vena, arteri dan kapilari. Indek glisemik rendah yang diberikan buah beri acai mampu memperbaiki tahap glukos dan lipid pesakit diabetes.

Beri tenaga

Antioksidan dalam buah beri acai amat baik untuk kulit. Antocianin dan fitosterol di dalam buah beri acai ini boleh mengurangkan hakisan lapisan perlindungan kulit dan melindungi tisu-tisu penyambung termasuklah kolagen. Bagi mereka yang ingin menjaga kecantikan kulit, amat sesuai mengambil buah beri acai dalam pemakanan harian.

Zat dalam buah beri acai juga dikatakan mampu merangsang pertahanan semulajadi tubuh dalam menguatkan sistem imun. Ia juga dikatakan mampu mencegah pengoksidaan, salah satu daripada penyebab utama kelemahan sistem imun dan juga mengurangkan kekerapan penyakit berjangkit.

Buah beri acai mengandungi kandungan lemak yang terdiri daripada asid oleik (56.2% dari jumlah keseluruhan lemak), asid palmitic (24.1%), dan asid linoleik (12.5%). Acai juga mengandungi beta-sitosterol (78-91% dari jumlah keseluruhan sterol). Kandungan minyak dalam buah beri acai mengandungi polifenol seperti oligomer procyanidin dan asid vanillic, asid syringic, asid p-hidroksibenzoik, asid protocatechuic dan asid ferulat, walau bagaimanapun ia menurunkan secara mendadak semasa simpanan atau terdedah kepada suhu panas.


Menurut kajian, serbuk beku-kering beri acai terbukti mempunyai kesan ringan penyekatan atau penghalangan kepada enzim siklooksigenase COX-1 dan COX-2. Ekstrak polifernol dari buah beri dilaporkan mampu untuk mengurangkan anti-pembesaran sel leukemia. Kesan anti-pembesaran ini juga terdapat dalam minyak yang diekstrak dari pulp beri acai.

Dalam kajian terhadap tikus yang diberi diet kolesterol tinggi, makan tambahan dengan pulpa kering buah acai mengurangkan tahap lipoprotein kolesterol dan aktiviti superoksida dismutase dalam darah. Beri acai yang dimakan secara mentah telah diuji sebagai laksatif untuk sistem pencernaan. Ia juga boleh digunakan sebagai pewarna makanan alami.


Jus beri acai

Jus buah beri acai juga dikatakan kaya dengan campuran asid amino perlu dan mineral yang amat baik untuk kekuatan dan penyembuhan selepas aktiviti yang memberi tekanan pada otot. Dengan meminum jus buah beri acai juga dikatakan mampu memberi tenaga selepas melakukan aktiviti senaman dan kerja-kerja seharian. Beta karotena dan vitamin C dalam jus buah beri acai dikatakan mampu memberi zat dalam melindungi kesihatan mata dan mengurangkan komplikasi penyakit kemerosotan makular pesakit diabetes.


Perbandingan beri acai dengan buah-buahan yang lain

Membantu menurunkan berat badan

Buah beri acai dikatakan mampu mengurangkan proses penuaan dan membantu pemulihan sel kerana kandungan antioksidan yang tinggi. Selain daripada itu, ia dikatakan boleh membantu penurunan berat badan. Agen pengurangan berat badan yang terdapat dalam buah beri acai dikatakan dapat meningkatkan tahap metabolisme yang mampu menyebabkan penurunan berat badan. Hal ini terjadi kerana buah beri acai mengandungi antioksidan (zat yang mencegah tekanan oksidatif dan kerosakan sel) yang sangat besar jumlahnya. Antioksidan membolehkan proses pemecahan lemak berlaku dengan lebih cepat, meningkatkan tahap tenaga dan mengurangkan keletihan. Gabungan kesan ini membuat proses menurunkan berat badan menjadi lebih cepat dan mudah tanpa kesan sampingan yang biasanya berkaitan dengan bahan kimia sintetik. Banyak kajian menunjukkan bahawa dengan pengambilan diet yang tinggi kandungan antioksidan adalah kunci untuk penurunan berat badan.

Berikut disenaraikan beberapa manfaat buah beri acai :
  • penurunan berat badan
  • peningkatan tenaga
  • pencernaan yang baik
  • peningkatan kualiti tidur
  • peningkatan kesihatan mental
  • sistem imunisasi (kekebalan) yang lebih kuat
  • memelihara kesihatan kulit (lebih sihat)
  • awet muda
  • manfaat detoksifikasi
  • membaiki peredaran darah
  • memelihara kesihatan jantung
Walaupun terdapat pelbagai khasiat ubatan buah beri acai, namun begitu, penggunaannya perlulah mendapat nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari kelak.




Rujukan : wikipedia, MisteriAlam #1388, ezinearticles dan ezinearticles.com.

Jumaat, Oktober 29, 2010

Punca wanita bosan dengan cinta


Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

BG terkejut beruk bangat membaca berita yang disiarkan di BH28/10/2010 yang bertajuk Kena simbah cuka akibat tolak cinta. Menurut berita, seorang lelaki bertindak menyimbah cuka getah ke muka bekas rakan sekerjanya bagi membalas dendam akibat cintanya tidak berbalas. Gadis malang itu melecur teruk di bahagian muka, tangan dan badan.

Di dalam akhbar Kosmo!29/10/2010 pula memetik “Hazreen teruk dipukul teman lelaki selepas putuskan hubungan, Pelajar UiTM koma dibelasah, yang melaporkan pelajar tersebut kini koma akibat kecederaan dalaman yang teruk di bahagian kepala. Semoga teman lelakinya cepat dapat ditangkap dan dihukum sewajarnya.

Terror sungguh lelaki zaman sekarang, semakin ramai pula yang mahu menyaingi Zionist yang bermaharajalela menzalimi rakyat Palestine... aduhai... BG sangat bersimpati atas apa yang berlaku kepada dua gadis di atas. Nauzubillah, minta dijauhkan perkara sebegini terjadi lagi.

Agak sukar untuk kita jangka, orang yang kita kenali dan sayangi, sanggup bertindak kejam sehingga mengakibatkan kecederaan kekal atau meniti maut seperti yang berlaku kepada mangsa-mangsa ‘si pendek akal’ dalam petikan berita di atas. Jika kita lihat peristiwa di atas, tindakan kejam sebegini mungkin berpunca akibat tidak dapat menerima kenyataan dan amat mencabar kelelakian mereka yang dibuang direject oleh orang yang disayangi.

“Saya sudah tidak cintakan awak lagi. Cukup di sini saja hubungan kita” ....kalimah ini walaupun nampak sangat mudah diucapkan, tetapi ia sangat menghiris perasaan, apatah lagi jika diucapkan oleh seorang yang disayangi setengah mati. Bagi lelaki, ayat ini cukup tidak digemari kerana ia mencabar kelelakian mereka.

Bagi lelaki yang pernah atau akan mendengar ayat sebegini, jangan sesekali anda menjerit atau mengambil keputusan bodoh seperti yang berlaku dalam berita di atas. Sebaliknya, tarik nafas panjang-panjang dan cubalah berfikir dengan waras.

Rasa cinta tidak boleh dipaksa sebaliknya ia datang dari hati. Kalau pasangan sudah tidak menyukai anda lagi, cubalah bermuhasabah diri, buat post mortem dan cari apakah puncanya. BESAR kemungkinan anda punca utamanya. Cuba semak punca yang sempat dikupas dalam entry kali ini :

1 – Bosan dengan ikatan cinta

Ada sesetengah wanita yang tidak boleh hidup tanpa cinta. Bagi mereka, cinta umpama makanan harian seperti mimegi nasi. Bukan saja wanita, ada juga lelaki yang begini. Ada pula yang sangat bosan berkasih dengan orang yang sama sementelah jika mereka sudah menjumpai lelaki yang jauh lebih baik daripada anda.

Jadi sebagai lelaki, kalau sudah selalu sangat pasangan anda melahirkan rasa bosan kepada anda, sedar-sedarlah diri kerana mereka sebenarnya bosan dengan sikap anda yang mungkin tidak berubah. Meletakkan perumpamaan, anda berkahwin selama 15 tahun tetapi selama 15 tahun itu jugalah anda tidak perihatin atau mengucapkan ‘selamat hari lahir sayang’ bila tiba harijadinya, adakah rasa cinta itu akan wujud? Kalau sekali dua mungkin mereka akan menerimanya, tetapi jika anda masih gitu-gitu macam apek juga, ketahuilah, ia sangat membosankan.

2 – Bertemu dengan insan lain

Salah satu sebab mengapa wanita bosan dengan anda adalah kerana dia sudah bertemu dengan lelaki lain yang lebih baik daripada anda. Ini termasuklah dari segi rupa paras, penampilan, kewangan, pekerjaan dan banyak lagi aspek lain. Sebelum mendirikan rumahtangga, wanita biasanya akan mencari lelaki yang boleh memberi perlindungan untuk mereka. Mereka mahukan lelaki yang benar-benar boleh menjaga mereka sehingga ke tua. Tetapi kalau dia sudah bertemi orang lain yang jauh lebih baik daripada anda, sudah tentulah anda bukan lagi menjadi pilihannya.

3 – Berasa diri terabai

Tidak semua wanita memandang wang sebagai pakej utama dalam memilih lelaki. Sebaliknya, mereka mahukan lelaki yang boleh menjadi pelindung, mampu memberikan mereka kasih sayang dan perhatian.

Kalau wanita terasa dirinya diabaikan, pasti sukar untuk anda memenangi hatinya semula. Hati wanita, sekali pun dilihat lembut tetapi apabila sudah keras, baling ke dinding pun tidak dapat memecahkannya lagi.

4 – Anda tidak lagi dipercayai

Cinta umpama masa berlalu. Ia tidak akan menoleh ke belakang atau mengundur, sebaliknya akan terus berputar mengikut peredaran masa. Ketika menjalinkan hubungan, mungkin ada di antara sikap anda yang memualkan dirinya.

Mungkin juga sikap anda yang kaki perempuan, kaki tangan atau kaki temberang, membuatkan jiwa wanitanya memberontak. Apabila telah tiba masanya, mungkin timbul rasa bosan tahap gaban, dia tidak akan menoleh ke belakang lagi dan tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan anda yang mungkin pada ketika itu baru terhegeh-hegeh hendak berubah. Jadi berhati-hatilah, kerana bila hati wanitanya dilukai, anda juga yang akan terasa lukanya.

Sebenarnya, cinta memerlukan pengertian. Keduanya saling memerlukan, baik lelaki mahupun perempuan. Allah menjadikan manusia itu berpasang-pasangan. Sudah tentu fitrah ini dipenuhi oleh setiap insan. Namun, apabila kerap dikhianati, tidak diperdulikan, dikecewakan atau seumpamanya, sudah tentu rasa cinta itu akan pudar.

Jadi sebelum anda terus kecewa, berhati-hatilah kerana bila rasa cinta itu hilang, barulah anda menyedari bahawa dia adalah insan yang terbaik buat anda.

Semoga menjadi renungan yang bermanafaat....



Rujukan tips dari MW#1384

Pelajar UiTM koma dibelasah

HABERI sedih ketika melawat Hizreen di Unit Rawatan Rapi Hospital Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.

Dilaporkan, dalam Kosmo! 29/10/2010, KOTA BHARU - Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Machang yang bakal menamatkan pengajian Disember ini koma selepas dipercayai dibelasah oleh teman lelakinya pada 22 Oktober lalu.

Mangsa, Hizreen Ieraqueen Haberi, 21, pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Perbankan tidak sedarkan diri sejak hari kejadian akibat luka dalaman yang teruk di bahagian kepala. Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Bapa mangsa, Haberi Hamzah, 49, yang merupakan seorang juruteknik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi berkata, dia menerima panggilan daripada teman serumah anaknya itu pada pukul 1.30 pagi 22 Oktober lalu di rumahnya di Semenyih, Selangor.

"Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan Hizreen, dia dikejarkan ke Hospital Machang kerana cedera dipukul oleh kawan lelaki yang dikenalinya. Keadaannya tenat dan saya diberitahu Hizreen dipindahkan ke HUSM. Daripada cerita rakan anak saya itu, kejadian tersebut berlaku lebih kurang pukul 10 malam pada 22 Oktober lalu di hadapan rumah sewa Hizreen berhampiran kampus UiTM Machang selepas mereka bergaduh," katanya.

Rakan anaknya itu mendakwa sebelum kejadian Hizreen dilihat bertemu dengan teman lelaki yang datang ke rumah sewa mereka dan berlaku sedikit pertengkaran.


Kena simbah cuka akibat tolak cinta

KEADAAN Ain yang melecur 70% di bahagian muka, tangan dan badan, di bilik rawatan Hospital Pulau Pinang.

Kena simbah cuka akibat tolak cinta

BH 2010/10/28, GEORGETOWN: Akibat cinta tidak berbalas, seorang lelaki menyimbah cuka getah ke muka bekas rakan sekerjanya bagi membalas dendam di depan rumah nenek wanita itu di Taman Cenderwasih, Seberang Prai Selatan, baru-baru ini.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Ain, 21, melecur 70% di bahagian muka, tangan dan badan, masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Mangsa merancang mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya selepas sambutan Aidiladha bulan depan, buntu memikirkan masa depannya berikutan kecederaan dialaminya.
Ain berkata, beliau tidak menyangka lelaki itu sanggup menyimbah asid kerana mahu membalas dendam akibat cinta tidak berbalas.

“Saya kecewa dengan perbuatannya dan berharap dia dikenakan tindakan sewajarnya, setimpal dengan kesalahan yang dilakukan," katanya.

Mengimbau kejadian itu, Ain berkata, kejadian berlaku jam 11 malam pada 17 Oktober lalu di depan rumah neneknya ketika beliau bersama ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah.

Katanya, ketika tiba di depan pagar rumah, beliau dihampiri motosikal suspek sebelum disimbah cuka getah ke muka sambil suspek mengejek ‘padan muka hang’ dan berlalu pergi.

"Saya tersentak dengan muka dan badan menjadi sejuk seketika sebelum bertukar panas dan seluruh kulit bertukar menjadi hitam dan terbakar dan membengkak. Suasana ketika itu sukar digambarkan kerana kesakitan yang amat sangat. Saya berlari ke rumah untuk meminta bantuan," katanya.

Katanya, beliau dihantar ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke HPP untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat, berkata suspek yang bekerja sebagai kelindan lori ditahan pada 20 Oktober lalu di rumahnya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana cintanya tidak berbalas.



Kelindan lori mengaku simbah asid kena 5 tahun



Mohd Shukri Mat Suib

BH2010/10/29, BUTTERWORTH: Seorang kelindan lori dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas mengaku salah atas tuduhan menyimbah cuka getah ke atas gadis yang menolak cintanya sehingga menyebabkan mangsa parah, pada 17 Oktober lalu.

Mohd Shukri Mat Suib, 26, dari Tasek Chempedak, Simpang Ampat, Nibong Tebal, membuat pengakuan salah itu selepas tuduhan dibacakan di depan Hakim Mohd Zairan Aman.

Dia dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nor Azni Mohd Ameerdin, 21, dengan cecair yang boleh menyebabkan kulit melecur kira-kira jam 11 malam pada 17 Oktober lalu, di depan sebuah rumah di Lorong 12, Taman Chendarawasih, Nibong Tebal. Mohd Shukri didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda serta sebat jika disabitkan kesalahan.

Mohd Zairan ketika menjatuhkan hukuman, berkata tertuduh didapati bersalah dan tiada tanda penyesalan ditunjukkan walaupun melakukan kesalahan serius sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

“Tindakan tertuduh menyebabkan mangsa tidak berpeluang berkahwin. Tertuduh tidak sepatutnya melampiaskan nafsu sehingga sanggup mencederakan mangsa dan patut menjalani hukuman sebagai pengajaran, " katanya.

Sebaik hukuman dijatuhkan, Mohd Shukri yang dibawa sementara ke lokap mahkamah, sempat meminta telefon bimbit daripada bapanya yang hadir untuk mengikuti perbicaraan itu.


Selasa, Oktober 26, 2010

3 tempat untuk elak gangguan suami & anak


Anita wanita yang mempunyai kerjaya hebat dan sentiasa sibuk. Dia juga amat bertanggungjawab terhadap tugas-tugas isteri dan ibu yang disandangnya di rumah. Ada masanya dia merasakan penderaan atas emosi dan fizikal jika terlalu letih, tertekan dan terdera oleh keadaan.

Bukankah bagus jika dapat duduk di rumah, menikmati harta suami dan cukup menjaga anak saja daripada hidup dengan beban tanggungjawab pekerjaan yang meletihkan? Tetapi, bukankah sifat-sifat wanita yang sempurna itu ada pada mereka yang mandiri, kuat bekerja, berilmu dan bermuamalah dengan masyarakatnya? Kalau hanya duduk di rumah dan tidak berfungsi sebagai insan kamil pun tidak berguna juga, bukan? Pasti timbul juga rasa bosan, jemu dan malas akibat persekitaran yang tidak sihat.

Wanita bekerja dituntut bersikap cekap, cepat, cerdas dan cemerlang mengharungi rintangan kehidupan. Alahai kasihannya mereka yang kadang-kadang tidak dihargai oleh suami dan anak-anak. Hanya iman di dada yang mampu membangkitkan semangat mereka untuk terus berjuang sampai nafas yang terakhir.

Oleh itu tidak salah apabila isteri mempunyai tempat-tempat rehat yang baik untuk menenangkan fikiran dan perasaannya. Di situlah dia mendapatkan kebebasan sebagai seorang insan secara bersendirian. Bukankah kita semua datang ke dumia ini sendirian dan akan pergi ke alam kuburpun sendirian, dibangkitkan di akhirat sendirian dan disoal di hadapan Rabbul Jalil Allah sendirian? Jadi tidaklah salah kalau kita berfikir tentang diri sendiri untuk menyelamatkan hidup di dunia dan di akhirat.

Bukankah ramai isteri dan ibu melalaikan anggungjawabnya sebagai hamba Allah kerana gangguan suami dan anak? Mereka terlalu sibuk dengan rumahtangga dan kerjaya sehingga tidak mampu beribadah kerana keletihan.

Kalau dahulu sebelum berkahwin boleh solat dengan sempurna dan membaca al-Quran menurut rutin, tetapi kini tidak mampu lagi mengamalkan semua itu kerana sibuk menguruskan suami dan anak-anak.

Tapi anehnya, mengapa sempat pula untuk shopping? Bercuti setiap tahun dan melabur duit untuk kecantikan sentiasa ada masa. Jika dibiarkan keadaan sebegini, kita akan berasa kering rohani, hilang daya kawalan iman dan akhirnya tenggelam dalam arus dunia yang melalaikan. Kebahagiaan yang dirasai tidak lagi nikmat dan berkat kerana Allah pasti akan mencabut rasa tenteram dari hati orang yang lalai.

Kepada isteri-isteri yang mengeluh tidak bahagia, didera anak dan suami, marilah kembali ke jalan Allah. Carilah tempat-tempat untuk anda melepaskan diri dari kongkongan suami, anak dan kerjaya yang menekan perasaan anda. Tempat-tempat yang tenang itu adalah :

1 – Di atas sejadah

Ramai yang berdisiplin untuk dunia tetapi tidak untuk akhiratnya. Mengapa anda boleh menjaga diet atau menghadiri kelas-kelas senaman dengan disiplin sedangkan solat selalu tertinggal atau ditinggalkan ?

Anda boleh berjaga semalaman untuk melayan suami tetapi tidak pula ingat malam pertama di dalam kubur. Anda boleh mengikut apa saja kehendak anak, tetapi tidak mahu mengikut suruhan Allah. Bukankah anda seolah-olah hamba kepada suami dan anak-anak jika terlalu cintakan mereka melebihi diri sendiri?

Bukankah diri anda juga berhak mendapatkan kebebasan dan tidak boleh diperhamba oleh manusia lain? Jika anda berasa susah hati kerana suami dan anak-anak, sesungguhnya itu adalah balasan yang sangat berbaloi bagi sesiapa yang lupakan Allah.

Lepaskanlah segala ikatan yang menghalang kita dari rahmat Allah. Bukan bermakna terus melupakan anak dan suami, tetapi jadikanlah meraka sebagai pembangkit semangat untuk lebih mendekati Tuhan. Di atas sejadah, di situlah ketenangan.

Hanya dengan melepaskan segala ikatan dunia, kita boleh melupakan rasa sedih, kecewa, benci, takut dan risau yang diwariskan oleh dunia kepada kita.

Berhentilah berfikir tentang dunia yang suka mendera kita, alihkan tumpuan kepada alam akhirat dan janji-janji Allah kepada hamba-Nya yang beriman. Berfikirlah tentang kemanisan syurga dan kasih sayang Allah yang melimpah dalam kehidupan kita.

2 – Di rumah anak-anak yatim & bersama orang sakit

Ketenangan hanya akan hadir di hati yang insaf. Betapa beruntungnya kita yang masih diberi peluang dan kekuatan untuk merasai kehidupan sebagai hamba yang diberi cukup nikmat.

Jika anda seorang isteri yang memiliki rumah, kerjaya, suami dan anak-anak yang sihat, maka apalagi nikmat yang belum anda rasai, apakah ada lagi nikmat Allah yang tidak cukup untuk anda? Tidak cukupkah Allah menyayangi anda? Tidak cukupkah Allah memaafkan dan berlembut kepada anda?

Mengapa anda membalas kenikmatan dan kasih sayang Allah dengan kelalaian dan maksiat? Bukankah suami dan anak, harta dan pangkat itu datangnya dari Allah, mengapa anda membalas jasa-jasa Allah dengan melupakan-Nya? Lihatlah mereka yang miskin, sakit dan terlantar. Tidakkah cukup tayangan kisah benar sebegini menyedarkan hati kita?

3 – Di atas kubur

Kubur merupakan tempat yang tenang dan boleh memberikan kesedaran pada jiwa manusia. Di situ manusia akan ingat dari mana dia datang dan ke mana dia akan pergi. Kita melalui alam rahim, alam dunia, alam kubur dan alam akhirat.

Dunia menjadi tempat penentuan adakah kita akan selamat untuk perjalanan ke destinati seterusnya. Anak dan suami adalah dunia anda, adakah mereka boleh menyelamatkan anda daripada seksa kubur atau mungkin merekalah sebenarnya yang menjadi penyebab anda mendapat seksa kubur dan seksa akhirat yang abadi?

Renung-renungkan....



Rujuk : Dr Juanda Jaya MW#1330

Ahad, Oktober 24, 2010

Kaunseling : Dilema anak angkat

Assalamualaikum warahmatullah,

Hari ini izinkan saya kongsikan satu permasalahan yang dihadapi oleh seorang sahabat dalam egrup yang saya sertai. Semoga apa yang akan dicoretkan di sini dapat memberi manafaat kepada mereka yang menghadapi permasalahan yang sama dengan sahabat kita.

Email diterima daripada saudari sapiah74, berisi :
Saya ingin menolong seorang hamba allah ni yg tiada arah hidupnya,saya dan dia telah menjadi ank angkat sejak kecil kepada sepasang suami isteri yg tiada mempunyai zuriat,malangnya ibubapa angkat kami telah meninggal dunia. Saya telah menemui kembali keluarga kandung dan tinggal bersama. Skrg saya telah berumahtangga dan hidup bekeluarga. manakala adik angkat saya (lelaki) tidak dpt menerima kenyataan bahawa dirinya ank angkat, termasuk utk kembali kpd keluarga kandungnya (Saya dan dia dari keluaraga yg berlainan). Dia cuba hidup sendiri. karja n tinggal di hostel. hubungan saya dgn dia juga renggang selepas kematian ibubapa angkat kami. nasihat saya langsung tidak didengarnya. masalahnya akibat tertekan, dia mengalami tekanan perasaan hingga menjejaskan kerja dan arah tuju. skrg ni hidupnya bergelandangan...

kerana sifat keperimanusiaan dan tanggungjawab sy sbg kakak angkatnya ingin menolongnya agar hidupnya lebih sempurna,(umurnya 33 th). apa saya tahu drp bekas majikannya tiada seorg pun yg berani berkwn dgnnya ketika dia masih bekerja, kerana sikapnya yg terlalu pendiam tetapi adakalanya panas baran, (sbb tu dia langsung tak respect saya n klrga kandung saya) sebelum ni dia tinggal dgn saya, cuma 3 bln shj kerana sikap panas baranya itu ada kalanya membahayakan org lain, jd dia keluar dan tinggal d hostel. Tujuan saya, kalau ada mana2 badan kebajikan yg dpt membantu (cthnya: dari segi kaunseling, pekerjaan) dan memberikan perlindungan tmpt tinggal utknya.

Saya berharap sangat sekiranya ada sahabat SIM dapat memberi pendapat atau bantuan untuk mengatasi masalah ni..

JAWAPAN :

Adik angkat saudari berusia 33, bukan 3 atau 13 tahun yang masih memerlukan sokongan emosi yang jitu daripada orang tua. Usia 33 tahun sepatutnya seseorang itu boleh berfikir dengan matang dan dapat mengawal emosi. Saya tidak mengetahui sejarah hidup saudari adik-beradik semasa kecil yang dibawah jagaan ibu bapa angkat, tetapi saya percaya ibu bapa angkat saudari telah memberikan yang terbaik untuk saudari dan adik saudari.

Tidak dinafikan setiap anak memerlukan keperluan asas dan kasih sayang daripada ibu bapa, khususnya ketika kecil. Ini adalah perlu sebagai keperluan asas setiap manusia bagi membentuk emosi, mental dan perkembangan diri untuk pembentukan anak dengan lebih seimbang apabila ia dewasa.

Kebanyakan anak yang dipelihara sama ada oleh saudara terdekat seperti nenek atau ibu bapa saudara ataupun sebelah ibu mahupun sebelah bapa, sering merasa terasing dan mudah berkecil hati terhadap kedua ibu bapa kandung. Tidaklah mustahil, sering pula mereka bertanya kenapa dia yang terpilih di antara adik beradik yang lain untuk dipelihara oleh nenek atau saudara terdekat. Malah, ia akan lebih terasa jika diserahkan kepada keluarga angkat yang lain, yang tiada pertalian saudara.

Walau apapun alasan kenapa dia diserahkan untuk diperlihara oleh orang lain, perasaan dan tanggapan negatif terhadap ibu bapa kandung tetap ada dan sukar dikikis daripada minda individu tersebut hingga dia dewasa. Keadaan rasa jauh hati, rendah diri akan lebih dirasai jika suasananya semasa kecil terutama di bangku persekolahan, bila rakan-rakan sering menceritakan tentang kedua ibu bapa mereka.

Persepsi kita berkemungkinan berbeza dengan persepsi kedua ibu bapa kandung kita. Pernahkah kita cuba meletakkan diri kita dalam situasi mereka? Mungkin juga ada penyesalan di hati mereka yang kita telah diserahkan kepada orang lain, namun tidak diluahkan kepada kita. Janganlah dikisahkan mudah tersinggung terhadap apa jua alasan yang diberikan yang menyebabkan ibu bapa kandung tidak mampu memelihara anak mereka sendiri. Sebaliknya, fikirkanlah keadaan pada waktu itu menuntut satu tindakan yang terbaik untuk anak itu sendiri.

Cuba kita renungkan sesuatu yang positif yang berlaku dalam kisah hidup kita. Ditakdirkan kita dipelihara oleh ibu bapa kandung, pastikah kita anak berjaya seperti kini? Belajar hingga ke peringkat tinggi dan menjawat jawatan yang tinggi? Adakah kita sedar, berjauhan dengan ibu bapa kandung sebelum ini menyebabkan kita kurang berdosa terhadap mereka, berbanding dengan anak-anak yang lain? Dengan kata lain, anak-anak yang sering berhubung dengan ibu bapa, mereka sering melakukan dosa, sama ada ingkar suruha kedua ibu bapa atau melawan cakap.

Tidak dinafikan sebagai manusia, kita akan berperasaan begitu, menyalahkan keadaan terhadap apa yang berlaku dalam hidup kita. Apatah lagi setelah kita berjaya, orang yang tidak menunaikan tanggungjawabnya, perlu kita bantu, malah perlu kita curahkan kasih sayang terhadap mereka. Rasa tidak adil atau rasa kecewa pasti menyelubungi diri… Namun kita kerugian jika kita tahu hakikat tentang pentingnya mendapat keredhaan ibu bapa dalam hidup ini.

Bagaimana untuk membantu kita menerima semula ibu bapa kandung? Mungkin beberapa langkah ini boleh membantu kita menjalani kehidupan dengan lebih ceria.

1 – Usahlah dilayan dulu perasaan dendam, sakit hati dan sebagainya. Sebaliknya, cuba usahakan hanya perasaan tanggungjawab terhadap ibu bapa dilaksanakan seperti memberi wang pada setiap bulan, membelikan hadiah pada hari-hari terterntu seperti hari lahir, Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Raya dan sebagainya.

2 – Cuba perlahan-lahan buangkan perasaan kecewa terhadap ibu bapa kerana tidak memelihara kita ketika kecil. Selalu katakan pada diri, “Jika aku tidak menetap dengan ibu bapa angkat, belum pasti aku berjaya sehingga kini.”

3 – Usah pedulikan kata-kata orang (jika ia menyakitkan hati) dan anggap ianya sebagai gurauan.

4 – Kita perlu tanamkan pada diri bahawa mentaati ibu bapa akan membawa keberkatan dalam hidup. Untuk menenteramkan hati, bacalah buku-buku berkaitan pentingnya berbuat baik terhadap ibu bapa, walaupun mereka tidak berbuat baik terhadap kita.

5 – Cuba usahakan diri agar dapat menghadiri kuliah-kuliah agama berkaitan ketaatan terhadap ibu bapa. Berbaik sangka terhadap ibu bapa amatlah dituntut dalam agama.

Dengan kata lain, walaupun mereka tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa, kita tetapi menganggap mereka insan terbaik kepada kita. INGAT, kerana merekalah adanya kita di dunia ini. Maka, usaha ke arah berbaik sangka terhadap mereka perlu ada.

Insya Allah, jika kita ada usaha ke arah peningkatan rasa ketaatan dan rasa sayang terhadap ibu bapa, Allah akan melapangkan kita untuk usaha-usaha itu. Malah, dengan izin Allah juga, kita akan mengecap keberkatan dan rahmat Allah dalam hidup kita apabila berbuat baik terhadap mereka berdua.

Wallahualam.


Jumaat, Oktober 22, 2010

Bakal pengantin 'hilang'

BH 2010/10/19 ~ Keluarga percaya tunang sembunyikan Rozaliya

Rozaliya

Tindakan suspek cuba larikan diri curigakan bakal mentua

BANDAR CHENEH BARU: Keluarga Rozaliya Mat Lazim, 20, gadis yang hilang selepas keluar bersama tunangnya untuk membeli barangan perkahwinan kini bingung apabila tunang mangsa dikatakan cuba melarikan diri dan sukar dihubungi sejak semalam.

Ibu mangsa, Sabariah Mansor, 42, berkata dia sekeluarga cuba menghubungi tunang anaknya berkali-kali sejak pagi semalam, namun gagal sehinggalah bakal menantunya itu menjawab panggilan jam 5.30 petang, menyatakan dia berada di Johor Bahru.

“Apabila dihubungi semula adik saya selepas itu, dia mendakwa berada di Melaka pula. Saya bingung dengan jawapan diberikan dan kini mula mengesyaki dia cuba menipu kami kerana keretanya masih berada di rumahnya di sini,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sabariah berkata, dia mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena mengenai hubungan pasangan itu kerana Rozaliya pernah mengadu dia tawar hati berkahwin pada 12 November depan, serta pernah meminta diputuskan pertunangan.

“Saya juga ada menghubungi rakan tunang anak untuk mengesahkan sama ada dia benar-benar pulang ke pejabat seperti dikatakannya ketika meninggalkan Rozaliya di Kuantan. Saya terkejut kerana ternyata semua yang dikatakannya meleset dan tidak benar,” katanya.

Sabariah berkata, Rozaliya yang bekerja sebagai pembantu kedai pernah mengadu kepada seorang bapa saudaranya yang mereka sering bergaduh, malah tunangnya pernah melakukan perkara yang tidak baik terhadapnya.

Dalam pada itu, Sabariah berkata, beliau menerima panggilan daripada seorang lelaki yang kemudian datang ke rumahnya petang semalam, memaklumkan ternampak anak gadisnya sedang makan bersama seorang lelaki di gerai makan berhampiran Pasar Besar Kuantan, kira-kira jam 12 tengah malam semalam.

“Menurut lelaki itu, dia terpandang gadis seperti Rozaliya yang dilihatnya di televisyen ketika siaran berita di TV1 malam kelmarin. Malah, dia yakin tidak tersilap orang selepas membaca dan melihat gambar Rozaliya di akhbar hari ini (semalam),” katanya.

Sabariah berkata, lelaki terbabit meminta supaya dia ke Kuantan malam ini untuk mencari di sekitar kawasan berkenaan dan mengecam sendiri gadis itu.

Di KUANTAN: Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha berkata, siasatan terperinci dalam semua aspek sedang dilakukan pihaknya bagi mengenal pasti kehilangan gadis berkenaan.

“Pasukan penyiasat kita turut menemu bual rakan dan kenalannya sebelum dapat mengesahkan gadis itu diculik atau kemungkinan menghilang diri dengan alasan tertentu,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mohd Shamsul Sazali Md Shah, 37, berkata pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha untuk mengesan anak saudaranya itu.

“Kami sendiri sudah buntu dan tidak tahu sama ada dia benar-benar diculik, atau sesuatu yang buruk menimpanya atau kemungkinan melarikan diri.

“Saya bersama bapanya serta seorang jiran baru pulang dari Kuala Lumpur selepas mencarinya di sekitar Chow Kit, Puchong dan beberapa tempat lain.

“Kami berdoa dan berharap dia akan pulang dengan selamat,” katanya ketika dihubungi semalam.


Mohd Helmi Mohd Noor (kiri) dan Rozaliya Mat Lazim.

Gadis hilang bekerja di kedai serbaneka, enggan teruskan perkahwinan

KUANTAN: Kehilangan Rozaliya Mat Lazim, 20, yang bakal berkahwin pada 12 November ini sejak seminggu lalu, terjawab apabila beliau melarikan diri dan bekerja di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur kerana enggan meneruskan perkahwinan dengan tunangnya, Mohd Helmi Mohd Noor, 24.

Gadis yang dikatakan hilang ketika membeli-belah kelengkapan perkahwinan di sebuah pusat beli-belah di sini bersama Mohd Helmi, Rabu lalu, bekerja di kedai serbaneka di ibu kota sejak dua hari lalu. Rozaliya bagaimanapun dikesan jam 12.30 tengah hari semalam, selepas pengurus kedai serbaneka itu yang terlihat gambar Rozaliya dalam akhbar menghubungi polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini.

Bapanya, Mat Lazim Mat Ismail, 52, berkata anaknya memaklumkan perubahan sikap Mohd Helmi menjadi pemarah dan suka mengongkong membuatkan Rozaliya tawar hati dan memutuskan melarikan diri bagi mengelak perkahwinan diteruskan.

Beliau berkata, berikutan tindakan yang diambil anaknya itu, keluarganya bersetuju membatalkan perkahwinan dirancang sebelum ini dan perkara berkenaan akan dibincangkan dengan lebih lanjut antara dua pihak.

"Mereka bertunang pada April tahun lalu selepas saling mengenali empat bulan. Rozaliya tawar hati untuk mengahwini Mohd Helmi lalu bertindak melarikan diri selepas takut dan tidak tahu bagaimana mahu memaklumkannya kepada keluarga," katanya ketika ditemui pada sidang media yang diatur di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, malam tadi.

Hadir sama ialah Mohd Helmi dan beberapa ahli keluarga Rozaliya, manakala ibu Rozaliya, Sabariah Mansor, 42, tidak datang kerana kakinya dipatuk ular, Isnin lalu.

Rozaliya yang kelihatan sugul dan hanya menundukkan muka enggan ditemuramah dan hanya mendiamkan diri sepanjang sidang media berlangsung. Terdahulu pada hari kejadian, mangsa dikatakan keluar dari rumah keluarganya dengan berpakaian blaus berwarna hitam dan seluar jeans gelap bersama Mohd Helmi kira-kira jam 11 pagi.

Selepas membeli-belah di sebuah kedai peralatan pengantin di sini, Mohd Helmi dikatakan terpaksa pulang ke pejabatnya di Bandar Cheneh Baru kerana terpaksa menyelesaikan satu urusan penting dan berjanji untuk menemui Rozaliya semula pada kira-kira jam 3 petang pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata Rozaliya pergi ke Kuala Lumpur sehelai sepinggang pada hari dia dilaporkan hilang.

“Sebaik menerima maklumat, sekumpulan anggota polis bergegas ke kedai terbabit dan membawa pulang gadis berkenaan dan tiba di balai polis kira-kira jam 8 malam sebelum kita menghubungi keluarganya bagi memaklumkan penemuannya,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai pembatalan perkahwinannya, Mohd Helmi berkata, beliau menyerah perkara itu kepada kedua-dua pihak keluarga untuk membincangkannya.

"Saya maafkan dia (Rozaliya) atas apa yang berlaku. Saya memang sayangkan dan suka kepadanya, tapi selepas perkara ini saya tidak tahu nak gambarkan macam mana perasaan saya," katanya yang bersyukur Rozaliya ditemui semula dengan keadaan selamat.


BH 2010/10/22 ~ Sikap tunang lukakan hati saya : Rozaliya

CHUKAI: "Hati saya sudah tawar kerana sikapnya (tunang) tidak tahu menghargai dan banyak kali tindakannya melukakan hati dan perasaan saya. Lebih baik berseorangan buat masa ini daripada sentiasa terluka akibat selalu berselisih faham dengan dia dan hati saya kini sudah tertutup untuk dia,” kata Rozaliya Mat Lazim, 20, gadis yang menghilang diri selama seminggu sebelum ditemui di Kuala Lumpur, kelmarin.

Katanya, sebelum pergi ke Kuala Lumpur dia memberi barangan perkahwinan yang dijadual 11 November ini bersama Mohd Helmi di Kuantan, sebelum bekas tunangnya pulang ke pejabat di Cheneh Baru.

“Saya kemudian pergi ke sebuah bank berdekatan mengeluarkan wang untuk membuat bayaran tempahan set pelamin dan sedar diekori dua lelaki. Sebaik mengeluarkan wang kira-kira RM1,500, saya melalui jalan belakang untuk menunggu tunang, Mohd Helmi Mohd Nor di depan Pasar Besar Maidin dan ketika hendak memasukkan wang ke dalam beg tangan, tiba-tiba seorang daripada dua lelaki terbabit meragut wang itu.”

“Saya terkejut dengan kehilangan wang itu dan ketika fikiran berkecamuk saya terus berjalan sehingga sampai terminal bas. Saya kemudian membeli tiket ke Kuala Lumpur dan turun di Bukit Bintang,” katanya yang bersyukur kerana selamat pulang dan kembali ke pangkuan keluarganya.


Tips merebut hidayah


Assalamualaikum warahmatullah,

Beberapa hari yang lalu (semasa artikel ini disediakan), saya sempat membaca email mesej yang dihantar ke inbox, yang bertajuk, “Masitah Istihar Murtad Dalam FaceBook”. Saya tidak mahu mengulas lanjut isi email yang diterima, tetapi jika ada yang berminat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, bolehlah blog walking ke sumber asal email, petikan artikel di ijoks2009 dan resepirahsiaku.

Di zaman serba moden berteknologi tinggi dan segala maklumat mudah diperolehi dengan hanya menggunakan hujung jari seperti hari ini, terlalu banyak dugaan dan cabaran hidup yang ‘terpaksa’ kita tempuhi. Saya masih ingat, beberapa tahun yang lepas, saya pernah membaca kisah anak Melayu muslim yang murtad hanya kerana terpengaruh dengan teman lelaki yang beragama hindu, bertindak membuang keluarga yang bersusah payah mendidiknya dengan penuh kasih sayang dan tidak luak sedikitpun pendidikan agama yang diberikan kepadanya. Selepas itu, beberapa lagi kisah anak-anak gadis Melayu muslim murtad turut dihebohkan dan kisah mereka datang dan pergi silih berganti tanpa mendengar atau membaca cerita mereka kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

Itu kisah mereka yang ‘berani’ mengisytiharkan diri mereka telah berpaling daripada Islam, tetapi saya percaya, bukan sedikit daripada kita yang mengaku saja Islam, tetapi tidak pula mengamalkan cara hidup Islam yang sebenarnya. Apakah status kita? Tidak mustahil kita martabat kita lebih rendah daripada mereka yang terang-terangan mengisytiharkan diri mereka murtad!

Apa-apapun, marilah kita bersama-sama mendoakan semoga kita semua dan mereka yang telah tersasar jauh tergelincir dari Islam agar diberi taufik dan hidayah oleh Allah Taala. Memang benar hidayah hanya milik Allah SWT, walau bagaimanapun, wajar sekali kita mencuba sedaya upaya kita untuk merebut hidayah dari Allah SWT agar kita tetap terpelihara iman dan dapat menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tidak berpaling kepada yang lain, selain dari-Nya.

Ingatlah firman-Nya yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang yang diberi al Kitab, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman. Bagaimanakah kamu (sampai) menjadi kafir, padahal ayat-ayat Allah dibacakan kepada kamu, dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu? Barang siapa yang berpegang teguh kepada (agama) Allah maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus. Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (Surah ali-‘Imran 3:100~102)

Dikatakan hidayah itu milik Allah SWT dan hanya Dia-lah yang menganugerahkan hidayah kepada hamba-Nya. Walaupun hidayah itu milik Allah, kita perlu carinya untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di kampung akhirat. Bagaimana caranya untuk kita merebut hidayah? Berikut disenaraikan tips bagi merebut hidayah, semoga dapat menjadi amalan kita sehari-hari, insya Allah.

Tip # 1 – Berpegang teguh kepada agama

“..... Dan barang siapa yang berpegang teguh kepada (agama) Allah maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk (hidayah) kepada jalan yang lurus (betul).” (Surah ali-‘Imran 3:101)

Tip # 2 – Beriman dengan Allah SWT dengan sebaik-baik iman

Iman yang tiada sekelumit pun dalam hati syak atau ragu-ragu.

“Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk (hidayah) kepada hatinya (memimpin hatinya untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar). Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah al-Taghaabun 64:11)

Tip # 3 – Beramal dengan al-Quran dan sunah

Allah berfirman: “.... Maka jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku, lalu barang siapa yang mengikut petunjuk-Ku, nescaya ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka (menderita azab).” (Surah Taha 20:123)

“Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada cahaya (al-Quran) yang telah Kami turunkan. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Taghaabun 64:8)

Tips # 4 – Berilmu

Ilmu membawa kepada mengenal dan mendapat hidayah-Nya. Allah berfirman, “….Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama (orang-orang yang berilmu). Sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah Fathir 35:28)

Tips # 5 – Tidak menjadi hamba hawa nafsu

“Katakanlah: ‘Aku tidak akan mengikuti hawa nafsumu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya tersesatlah aku, dan tidaklah (pula) aku termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk (hidayah).’” (Surah al-An‘aam 6:56)

Tips # 6 – Bermujahadah

“Dan orang-orang yang berjihad (berusaha bersungguh-sungguh) untuk (mencari keredhaan) agama Kami, sesungguhnya Kami akan tunjukkan kepada (memimpin) mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik (berusaha membaiki amalannya.”

Tips # 7 – Taat kepada Allah dan Rasul-Nya

“Katakanlah: “Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah; dan jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang dibebankan (ditugaskan) kepadanya, dan kamu sekalian pula bertanggungjawab akan apa yang dibebankan (ditugaskan) kepada kamu semata-mata. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk (beroleh hidayah).”” (Surah an-Nur 24:54)

Tips # 8 – Bersabar fillah, billah dan ‘alallah

“Dan Kami jadikan dari kalangan (di antara) mereka itu pemimpin-pemimpin yang membimbing (memberi petunjuk dengan perintah Kami) kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap meyakini ayat-ayat keterangan Kami.” (Surah as-Sajdah 32:24)

Tips # 9 – Berdoa kepada Allah SWT

Hanya Allah SWT berhak memberi hidayah, terutamanya pada waktu mustajab doa.

“Maka barang siapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk (hidayah), nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam.” (Surah al-An‘aam 6:125)

Amalkanlah bacaan doa, “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia).” (Surah ali-‘Imran 3:8)

Tips # 10 – Perbanyakkan amalan sunat

Ibn al-Qayyim berkata, “Hidayah akan menarik hidayah dan kesesatan akan menarik kepada kesesatan. Maka amal yang baik itu membuahkan hidayah…” (Ibn Qayyim, Tanwir al-Mawalik, 1/338)

Tips # 11 – Mendengar ceramah, peringatan atau tazkirah

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan Kami akan memberi kamu taufik (hidayah) kepada jalan yang mudah, oleh sebab itu berikanlah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran al-Quran) kerana peringatan itu bermanfaat (dan sudah tentu berguna), orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran.” (Surah al-‘Alaa 87:8-10)

Mutiara kata : “Masa itu umpama pedang, jika kamu tidak menggunakannya, ia akan memancung kamu.”

Mudah-mudahan bermanafaat!




Nota kaki : Tips dirujuk daripada Solusi Isu#12, boleh dapatkan dari Ust Baei. (Sorry ust Baei... promote lagi ek...!)

Capaian entry yang sangat bermanafaat di :

Rabu, Oktober 20, 2010

Khasiat buah markisa


Assalamualaikum warahmatullah,

Hari ini, Rabu 20-10-2010 (unik tarikh nih...) kita berkongsi maklumat khasiat buah markisa. Markisa atau juga dikenali sebagai buah susu, merupakan sejenis pokok yang menjalar bagi mendapatkan cahaya matahari. Buahnya yang rasa sedikit masam dan manis boleh dimakan begitu sahaja ataupun dijadikan minuman.

Markisa adalah buah tropika semulajadi yang terdapat di Amerika. Terdapat dua jenis variasi komersial buah markisa iaitu Passiflora Edulis L yang merupakan buah berwarna ungu dan Passiflora Edulis F yang berwarna kuning. Terdapat kira-kira lebih daripada 400 spesies buah markisa, di mana sekurang-kurangnya 50 atau lebih daripadanya boleh dimakan.


buah markisa ungu

Penggunaan buah markisa ini bermula apabila orang Sepanyol meneroka Amerika Selatan. Mereka telah menjumpai serta mengetahui bahawa buah markisa telah digunakan dalam perubatan tradisional sebagai sedatif. Apabila orang Sepanyol membawa buah markisa ini ke Eropah, daunnya pula telah digunakan sebagai ubat memudahkan tidur.

Tergolong dalam keluarga passifloraceae, pokok markisa banyak terdapat di kebanyakan negara-negara tropika dan sub tropika terutamanya di Australia, India, Kenya, New Zealand dan Hawaii. Malah boleh dikatakan, markisa ditanam secara komersial di negara-negara berkenaan.


buah markisa kuning

Varieti kuning didapati lebih sesuai ditanam di Malaysia kerana boleh mengeluarkan hasil yang lebih tinggi berbanding varieti ungu. Varieti kuning ini telah dibawa ke Malaysia dari Australia dan Hawaii pada tahun 1960-an. Di Malaysia, markisa dari varieti kuning mula menghasilkan buah dalam jangka masa 5-6 bulan selepas tempoh penanaman dan jangka hayat pokok adalah lebih kurang 3 tahun. Lebih kurang 74 hari selepas pendebungaan, bunga akan menjadi buah yang bujur berukuran kira-kira 7 cm dan 6 cm dan mempunyai berat dalam lingkungan 8 g. Buah ini manis serta mempunyai rasa dan bau yang sedap apabila ranum.


bunga markisa

Buah markisa boleh didapati sepanjang tahun tetapi puncak pengeluarannya ialah di antara bulan Disember hingga Januari dan Julai hingga Ogos. Indeks kematangan komersil untuk buah markisa adalah apabila buah tersebut jatuh dari tangkainya secara semulajadi. Maka barulah buah markisa tersebut boleh dituai. Ini selalunya berlaku selepas 75 hari selepas proses pendebungaan.

Buah markisa ungu sesuai dimakan mentah, manakala buah markisa kuning pula sesuai digunakan untuk penghasilan jus. Saksikan cara penyediaan jus markisa di YouTube - How to make Passion Fruit Juice.

Namun begitu, buah markisa jarang dimakan mentah kerana ia agak masam. Pulpa markisa boleh dijadikan jem, agar-agar, perasa ataupun campuran kepada yogurt dan aiskrim. Bahagian yang boleh dimakan adalah kira-kira 48% bagi setiap 100 g bahagian yang boleh dimakan markisa mengandungi:


Tindakan sedarif ringan, bantu atasi kesukaran tidur

Dikenali juga dengan nama ‘passion fruit’ dan granadilla, pokok markisa ialah tanaman saka yang menjalar. Bentuk daunnya bulat membujur dan rata di tepi. Buah markisa mengeluarkan sulur paut dari pangkal daun. Bahagian pokok yang banyak digunakan ialah daun, bunga, batang dan juga buahnya. Kandungan pitokimia yang terdapat di dalam markisa ialah passaflorine, harmine, harman, harmon, harmalin, karotenoid, vitexin, isovitexin, chrysin, scopoletin dan theobromine.

Markisa dikatakan merupakan buah yang berkhasiat kerana ia sumber yang kaya dengan pro-vitamin A, vitamin C, niasin dan riboflavin. Vitamin A merupakan sumber penting anti oksidan yang bertindak menghapuskan radikal bebas. Buah ini juga dapat memperbaiki tisu dan menghalang pelbagai masalah kulit. Kandungan AHA buah markisa bagus sebagai agen pengelupasan yang menjadikan kulit lebih bersih dan cerah.

Selain buah, bahagian lain juga dikatakan mampunyai khasiat ubatan. Daun pokok markisa mengandungi alkaloid termasuklah harman yang dikatakan mempunyai tindakan untuk merendahkan tekanan darah, sedatif atau mententeramkan dan antispasma. Jika anda mempunyai masalah sukar tidur, ambillah satu sudu teh daun markisa yang telah dikeringkan. Rendamkan dalam secawan air selama 10 hingga 15 minit. Tapis air ini sebelum diminum sebelum tidur.

Bunga pokok markisa pula mempunyai tindakan sedatif yang ringan dan boleh membantu untuk tidur. Dikatakan juga bahawa bunga pokok markisa telah digunakan dalam asma bronkial, insomnia, masalah saraf gastrousus dan masalah menopaus. Kadang-kala bunga pokok markisa juga turut digunakan sebagai halusinogen ringan.

Mampu kurangkan simptom asma

Terdapat juga kajian yang mencadangkan bahawa bunga pokok markisa mampu membantu melegakan kesakitan. Bukan itu sahaja, dikatakan bahawa bunga pokok markisa juga boleh membunuh kebanyakan kulat dan baketia. Penemuan ini dikatakan telah menyokong kegunaan bunga pokok markisa oleh kaum Indian di Amerika yang menggunakannya dalam merawat luka.

Bahan harmala dalam bunga pokok markisa bersifat perangsang rahim. Namun begitu, keseluruhan bunga pokok markisa tidak berkait dengan keguguran bayi. Tetapi wanita hamil perlu mengelakkan diri daripada mengambil herba ini kerana tindakan kompleks sebegini memberi kesan kepada sistem saraf utama.

Kulit buah markisa dikatakan mampu memperbaiki simptom-simptom asma. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh saintis di Barat iaitu oleh Ronald Ross Watson dan rakan sekerja menunjukkan bahawa pengambilan ekstrak buah markisa ungu mampu mengurangkan simptom-simptom asma. Mereka telah memilih 42 pesakit sebagai penerima ekstrak buah markisa ungu ini. Hasil daripada kajian itu telah mendapati bahawa 90% daripada pesakit telah sembuh daripada masalah sukar bernafas. Manakala termengah-mengah ketika bernafas pula telah berkurangan sebanyak 80% selepas empat minggu pengambilan ekstrak buah markisa.

Walaupun terdapat pelbagai kegunaan setiap bahagian pokok markisa, namun begitu penggunaannya perlu mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.




Rujukan : MisteriAlam #1281, pkukmweb.ukm.my dan cari sendiri.. :)

Isnin, Oktober 18, 2010

Menelusur jejak percintaan tidak ikhlas


“Saya menyesal tidak pernah bercinta, saya tidak pernah merasa jatuh cinta kepada isteri saya, walaupun dia telah melahirkan tiga orang anak saya. Perkahwinan kami dirancang teman-teman jemaah dakwah yang kami ceburi ketika di universiti dulu.”

“Saya tidak pernah melihat wajahnya kecuali semasa akad nikah, apatah lagi mengenali hati budinya jauh sekali. Nasi telah menjadi bubur. Dia wanita yang kurang bersih, rumah kami tidak teratur, makan minum saya apa adanya saja, tiada yang istimewa. Saya selalunya merajuk bila melihat rumah macam kapal pecah, saya redha menolongnya membersihkan rumah, tetapi dia menyerahkan segala-galanya kepada saya.”

“Saya letih pulang dari pejabat, dia pula tidak bekerja, hanya duduk di rumah dengan anak-anak. Tidak bolehkah dia menolong saya menjaga rumahtangga? Bukankah itu kewajipan dia sebagai isteri? Tetapi dia selalu berdolak-dalik, katanya tugas dia hanya melahirkan anak dan menjaga mereka sahaja.”

“Saya pula wajib menolongnya menguruskan kerja-kerja rumah. Saya betul-betul tidak larat hendak menyapu dan mengemas rumah, membasuh dan menggosok baju sendiri, kadang-kadang masak sendiri. Saya hairan, wanita lain pun ramai anak tetapi boleh juga melayan suami dengan baik, bahkan mereka pun bekerja mencari nafkah dengan penuh dedikasi.”

“Betulkah isteri saya tidak mampu menjaga rumahtangga atau dia sengaja memanjakan sifat malasnya yang semakin menjadi-jadi? Saya hairan, dia termasuk wanita muslimah yang kuat beribadah, giat mengikuti aktiviti dakwah tetapi tidak peduli langsung dengan tanggungjawab rumahtangga.”

“Isteri saya tidak cantik, tidak pandai melawa, badannya sentiasa berpeluh kerana sibuk menguruskan anak-anak kami, saya tidak terangsang melihatnya. Kami berhubungan seks hanya kerana memenuhi kewajipan sebagai suami dan takut berdosa jika tidak memberi nafkah batin.”


“Saya rasa tertekan, bila saya berterus-terang kepadanya apa yang saya mahu, isteri selalunya menangis. Akan tetapi dia tidak mahu berubah dan memperbaiki kelemahannya, sekarang dia makin kuat cemburu, dia tidak suka kalau saya bergaul dengan teman-teman wanita.”


“Kalau dia marah, saya kasihankan anak-anak yang menjadi mangsa. Saya bersabar memberi nasihat kepada isteri, tetapi dia memberi respons dengan merajuk dan merajuk saja, tanpa mahu memperbaiki kelemahan diri. Akhirnya saya putus asa dan biarkan saja keadaan ini membelenggu jiwa saya selama-lamanya.”


Kesilapan memilih pasangan hidup

Berkenalan sebelum berkahwin tidaklah haram hukumnya, bahkan Rasulullah SAW tegas menjelaskan dalam hadis baginda yang bermaksud, “Lihatlah kepadanya, sesungguhnya melihat itu lebih berkesan untuk menyatukan kamu berdua.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Merisik-risik keperibadian wanita yang diminati tidaklah salah, bahkan ia perlu dilakukan supaya boleh dinilai apakah ia sessuai untuk lelaki yang mahu meminangnya. Supaya tidak ada penyesalan di masa hadapan.

Mereka perlu mengenali satu sama lain, jatuh cinta dan akhirnya secocok. Jika mereka tidak kenal dan berpura-pura mencintai, akhirnya tidak sehaluan memilih jalan hidup masing-masing, tentu keadaan sebegini akan mencetuskan konflik yang lebih berbahaya. Kalau tidak bercerai, pasti keduanya stres selama-lamanya.

Aneh dan tidak masuk akal langsung, mereka bertahan sehingga sampai tiga orang anak. Di samping sifat menutup diri, malu jika bergaduh didengar orang kerana mereka kuat beragama, sikap pentingkan diri sendiri nyata memburukkan lagi hubungan ini. Kedegilan isteri dan kurang tegasnya suami menyebabkan kemelut rumahtangga semakin berlarutan.

Alasan suami buka cawangan baru

Tidak cinta isteri sekian lama tetapi melahirkan tiga anak? Betulkah tidak cinta? Atau sekadar mencari alasan untuk berkahwin baru? Ramai orang yang berkahwin sebab dijodohkan tetapi bahagia juga, jangan salahkan orang lain dalam hal perjodohan ini. Masalahnya, suami tidak faham fungsinya sebagai ketua keluarga, seharusnya dari awal perkahwinan lagi suami wajib menerima isteri sepenuh hati kemudian mendidik dan membentuk keperibadian isteri sebagaimana yang dia suka.

Cinta boleh dirangsang, kemesraan boleh dipupuk, kasih sayang boleh dinyatakan dengan sikap jujur. Manusia boleh berubah jika mahu berusaha. Disebabkan suami tidak tegas, maka isteri pun tidak ambil kisah tentang perasaan suami. Seharusnya suami berterus-terang menyatakan aib-aib isteri supaya dia berfikir dan bermuhasabah, cara menasihati juga dengan lemah lembut supaya isteri boleh menerima dengan ikhlas.

Tanyakan juga kepada isteri tentang kelemahan-kelemahan suami yang mesti diperbaiki bersama-sama, kejujuran dan sikap terbuka sebegini kurang diamalkan masyarakat kita.

Adil membahagi tugas

Suami berperanan sebagai pemimpin dan wajib memberi nafkah kepada keluarga, isteri pula tugasnya memelihara diri dan keluarga ketika suami ada atau tiada di rumah, termasuk melayan suami dan mentaatinya.

Kerja-kerja rumahtangga bukan tugas mutlak atau sesuatu yang wajib bagi isteri. Malah, suami yang berkemampuan perlu menyediakan pembantu untuk isteri kerana ini termasuk nafkah zahir yang layak diterima isteri. Jika masih ada yang tidak memahami akan hal-hal sebegini, maka eloklah kita buat sedikit revision ke entry lepas :
Walau bagaimanapun, adalah satu bonus jika isteri dapat berusaha mengerjakan hal-ehwal rumahtangganya kerana ia adalah lubuk telaga pahala. Rasulullah SAW menolak memberi hamba sahaya kepada puterinya Fatimah r.a. untuk menolongnya penguruskan pekerjaan rumahtangga kerana mengerjakannya merupakan pahala yang paling mudah diperolehi jika dilakukan dengan hati yang ikhlas. Malahan, Rasulullah SAW menyuruh Fatimah bersabar walaupun tangan dan bahu Fatimah terluka disebabkan beratnya beban kerjarumah yang diuruskannya sendiri. Bukan kerana suaminya Ali r.a. tidak menolong, tetapi dia miskin dan terlalu sibuk dengan tugas-tugas jihad dan mencari nafkah sehingga terpaksa Fatimah mengerjakan sendiri kerja-kerja rumah.

Susah sama dipukul, tidak sesekali merungut dengan kemiskinan dan beratnya amanah menguruskan rumahtangga. Jika suami keluar mencari nafkah, maka menjadi tugas isteri menjaga rumahnya supaya memberi ketenangan kepada suami yang baru pulang keletihan dari medan jihad.

Renung-renungkan...



Rujukan asal : Dr Juanda Jaya #1359

Capaian entry berkaitan :

Jumaat, Oktober 15, 2010

Usia 40-an, suami baligh kali ke-2??


Assalamualaikum warahmatullah,

Anda masih ingat entry Apa yang anda perlu tahu di usia 40?? Mari kita baca sambungan al-kisah usia 40 ini lagi. Tahukah anda jika lelaki-lelaki yang sedang melepak, sakat menyakat, cabar mencabar, akhirnya akan menimbulkan satu sifat yang tidak elok di kalangan mereka? Mereka akan mula bersembang dengan rakan-rakan bagaikan remaja baru akil baligh. Tajuk perbualan tidak jauh dari urusan ubat kuat, mahu kahwin baru, harta yang makin berlonggok, hebat sungguh! Sungguh seronok hidup di kemuncak kejayaan.

Pada usia 40-an ke atas, mungkin hormon mereka berubah agaknya. Perbualan yang pada mulanya hanya main-main saja, kadang-kadang hilang arah hingga tidak terkawal lagi, cerita-cerita hal rahsia suami isteri pun dijadikan bahan lawak yang menjijikkan!

Padahal, Rasulullah SAW amat menegah perbuatan sebegini, baginda telah bersabda yang bermaksud, “Janganlah kamu lakukan itu (membuka rahsia perhubungan suami isteri kepada orang ramai) kerana perbuatan seperti itu umpama perbuatan syaitan lelaki apabila berjumpa dengan syaitan perempuan lantas berzina dengannya, sedangkan orang ramai melihat mereka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Barang lama

Perkataan dan isyarat cabuk merupakan dosa yang boleh membawa kepada perlakuan keji. Jika selalu mendengar kisah tentang nikmatnya beristeri baru, mungkin saja seseorang itu akan menyimpan hasrat untuk mencuba. Walaupun yang di rumah diberi ‘makan’ dua atau tiga minggu sekali, atas alasan kononnya tidak bernafsu melihat barang lama malah ada yang menyebutnya ‘jamban lama’, tetapi setelah dipengaruhi oleh persekitaran, mahu juga nak mencari yang baru. Bagaimanakah nanti jika sudah beristeri dua, bolehkah lelaki ini berlaku adil?

Fahami kehendak adil menurut syarak

Konsep keadilan terlalu berat dijalani melainkan bagi lelaki yang benar-benar beriman dan ikhlas niatnya kerana mahu membela nasib wanita. Tapi sayang, hasrat yang baru muncul itu timbul kerana dorongan nafsu.

Ramai lelaki tidak beriman menyalah-guna keizinan agama untuk melakukan poligami. Lelaki yang berfikiran waras dan bersih hati serta jujur mengetahui kelemahan dirinya, pasti akan berasa takut memikirkan betapa beratnya beban melakukan poligami. Lelaki yang sibuk membanting tulang untuk keluarga di samping kuat beribadah dan amanah, tidak akan sempat membayangkan nikmatnya berpoligami. Masa yang diberikan Allah Taala seolah-olah tidak cukup untuk memenuhi segala tanggungjawab dirinya sebagai lelaki harapan masyarakat, harapan ibu dan bapa, juga sebagai suami dan seorang ayah.

Saya pernah melontarkan persoalan “Apakah rancangan anda untuk memanfaatkan poligami sebagai salah satu jalan memperolehi syurga?”, ditujukan khas kepada kaum Adam dalam egrup yang saya sertai. Agak malang sekali kerana tiada yang cukup berani memberikan jawapan. Patutkah saya berburuk sangka, ‘orang lelaki memang kedekut ilmu!’

Malah ditempelak pula dengan pertikaikan, “Mengapa kaum wanita sibuk-sibuk menuntut tentang keadilan dalam poligami, walhal semasa monogami pun belum tentu lagi seorang suami itu mampu berlaku adil?”

Memanglah ‘adil’ akan disebut-sebut apabila hendak berpoligami. Mengapa? Jawapan yang boleh saya fikirkan ialah kerana ADIL itu wajib kerana sudah termaktub dan telahpun diTEGASkan oleh Allah Taala dalam firmannya yang bermaksud, “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri (mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nisaa’ 4:129)

Sudah termaktub dan ditegaskan oleh Allah SWT, suami tidak akan dapat berlaku adil walau kamu kona kiri atau kanan. Ada tak yang terfikir, mengapa Allah anugerahkan poligami, tetapi dalam masa yang sama diancam ‘tidak akan dapat berlaku adil’? Adakah yang mahu memikirkan hikmah disebalik ayat-ayat ini? Berlaku adil memang sukar, maka sebaik-baiknya, memadailah dengan tidak berlaku zalim kepada isteri-isteri, tidakkah begitu maksudnya?

Dikatakan dalam satu hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bertaubat 100 kali atau 70 kali sehari. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Demi Allah, sesungguhnya meminta ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih dari tujuh puluh kali.” (Sahih Bukhari cet. Maktabah al-Iman, hal. 1288. Hadis no 6307)

Dalam hadis yang lain pula, daripada Ibnu Umar r.a., Rasululah SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai umat manusia, bertaubatlah kepada Allah. Kerana sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari kepada-Nya seratus kali.” (Sahih Muslim yang dicetak bersama syarahnya jilid 8, hal. 293. Hadis no 2702)

Rasulullah SAW sendiri, walaupun dipelihara Allah SWT daripada melakukan dosa tetap bertaubat dalam sehari semalam melebihi 70 kali. Itu Nabi, yang sudah terjamin syurganya. Orang biasa-biasa macam kita yang imannya sekejap OK sekejap KO ini, berapa kali bertaubat sebab takut tidak berlaku adil kepada isteri, tidak kiralah dalam monogami mahupun poligami? Cubalah anda tenung-tenungkan....

Bagi lebih jelas dan faham, kita fokus juga ayat utama berkaitan saranan poligami ini, iaitu maksud ayat 3 surah yang sama, “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.” (Surah an-Nisaa’ 4:3)

Menurut riwayat beberapa imam hadis, termasuk Imam Muslim daripada Urwah binti Zubair daripada Aisyah r.a., dinyatakan bahawa Urwah bertanya kepada Aisyah tentang ayat ini. Aisyah menjawab, “Wahai anak saudara perempuanku, yatim yang dimaksudkan di sini adalah anak perempuan yatim yang ada di bawah asuhan walinya, yang mempunyai harta kekayaan yang bercampur dengan harta walinya itu.”

Harta serta kecantikan anak yatim ini menjadikan walinya tertarik untuk menikahinya tetapi walinya itu tidak mahu memberikan mahar kepadanya dengan adil. Wali ini tidak mahu membayar mahar anak yatim ini seperti mahar yang semestinya diterima perempuan-perempuan lain.

Hal inilah yang membuat wali anak yatim ini dilarang menikahinya, kecuali kalau dia mahu berlaku adil kepadanya dan mahu memberikan mahar yang lebih tinggi dari biasanya. Kalau tidak mahu melakukan seperti itu, maka mereka disuruh mengahwini perempuan lain saja yang disenanginya.

Kemudian Aisyah r.a. menyebutkan ayat, “Dan jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil dalam menikahi anak yatim, maka kahwinilah kamu dengan perempuan-pserempuan lain yang menyenangkan mu...”.

Ada syarat tertentu

Ulama menjelaskan, ayat ini bermaksud seorang lelaki bukanlah bebas dan berhak berkahwin dengan sesiapa sahaja yang dikehendaki sebaliknya terdapat peraturan dan syarat tertentu yang mesti dipatuhi.

Pertama – Larangan menikah anak yatim bila takut tidak mampu berlaku adil dalam hal mahar iaitu tidak dapat memberikan mahar yang sama dengan mahar perempuan-perempuan lain. Mereka ini dianjurkan oleh syarak agar memilih untuk menikah dengan perempuan lain saja.

Kedua – Seorang lelaki dihalalkan berkahwin lebih daripada seorang perempuan, bahkan sampai kepada empat jika dia sanggup untuk mematuhi ketentuan yang ditetapkan.

Ketiga – Seorang lelaki hanya boleh berkahwin dengan seorang perempuan saja, jika dia takut terjadi kederhakaan kepada Allah kalau berkahwin lebih daripada satu.

Keempat – Seorang lelaki hanya boleh dmenikahi hambanya jika dia tidak sanggup menikahi seorang perempuan merdeka sedangkan dia amat perlukan isteri untuk memenuhi kehendak syahwatseksualnya.

Lanjutan daripada maksud ayat ini jugalah, ulama menetapkan terdapat lima hukum berkaitan kahwin iaitu wajib, harus, sunat, makruh dan haram. Syariat Islam hanya membenarkan poligami dan bukan mewajibkan dengan syarat si suami mampu berlaku adil kepada isteri-isterinya dalam berbagai urusan seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan segala yang berkaitan dengan perkahwinan mereka, tetapi termasuk juga adil dalam memberi layanan yang baik kepada isteri-isteri tanpa membezakan antara satu dengan lainnya.

Adil bukan bermaksud sama rata, tetapi menepati hak dan paling penting, penuhi segala keperluan yang wajib menurut syarak. Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah r.a. menjelaskan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang mempunyai dua orang isteri, lalu memberatkan salah satunya (tidak berlaku adil), maka dia akan datang pada hari kiamat dengan bahu yang senget.” (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Hurairah, Nasaei dan Ibnu Majah)

Keadilan yang dimaksudkan dalam hadis ini tidak bertentangan dengan maksud firman Allah Taala dalam surah an-Nisaa’ ayat 129 kerana adil yang dituntut daalm surah an-Nisaa ayat 3 adalah adil dalam hal-hal yang bersifat zahir iaitu yang boleh diusahakan dan bukan dalam hal cinta dan kasih sayang.

Keadilan yang perlu diaplikasikan ialah adil dalam nafkah zahir, nafkah batin, adil dalam giliran, adil dalam bermusafir termasuk membawa isteri-isteri ke majlis-majlis keraian malah adil dalam layanan komunikasi dan sikap romantis. Bukan sedikit isteri-isteri yang dinafikan hak-hak mereka kerana suami berpoligami secara sembunyi, di manakah keadilan untuk isteri-isteri ini jika suami terpaksa menyorok-nyorok dan berbohong-bohong dalam membuat giliran? Berapa ramai isteri yang makan hati kerana terpaksa beralah dengan madu mereka dan meraikan Aidilfitri sendirian? Ada juga kes yang terpaksa bertarung nyawa melahirkan zuriat sendirian tanpa ditemani suami kerana si suami disibukkan dengan isterinya yang lagi satu....

Keadilan yang tidak sukar berlaku ialah keadilan dalam cinta dan kasih sayang. Mengenai hal ini, Aisyah r.a. menyebutkan bahawa : Rasulullah selalu membahagi giliran sesama isterinya dengan adil. Dan baginda berdoa, “Ya Allah, inilah pembahagianku terhadap isteri-isteriku pada apa yang aku miliki. Kerana itu, janganlah Engkau cela aku atas apa yang Engkau kuasai dan tidak aku kuasai.” (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Nasaei dan Ibnu Majah)

Tidak disentuh

Seperti mana yang telah berlaku kepada seorang sahabat Rasulullah SAW, Abu Darda’ r.a. Beliau menjauhi isterinya kerana sibuk bekerja dan beribadat, hingga menyebabkan keadaan isterinya tidak terurus akibat tidak disentuh oleh suami yang sentiasa sibuk ini. Pada suatu hari, datanglah Salman al-Farisi menziarahi keluarga Abu Darda’, isteri Abu Darda’ ditanya mengapa dia tidak berhias untuk suaminya. Beliau menjawab, “Saudaramu Abu Darda’ tidak memerlukan dunia.” Salman menasihati Abu Darda’, “Sesungguhnya dirimu mempunyai hak, tetamumu memiliki hak, isterimu juga memiliki hak. Berikanlah hak kepada yang berhak memilikinya. Kemudian kedua-duanya datang meminta nasihat daripada Rasulullah SAW. Baginda bersabda, “Salman telah benar dalam nasihatnya.”

Kalau seorang isteripun belum mampu ditunaikan haknya dengan sempurna, bagaimana mahu menambah koleksi baru? Alangkah peliknya species lelaki yang mengaku-ngaku layak berpoligami tetapi tidak sempurna solatnya, hidup menumpang harta isteri, tidak ambil kisah tentang perkembangan anak-anak. Berlainan halnya dengan lelaki kaya dan berjawatan tinggi, mungkin Mahkamah Syariah dengan senang boleh meluluskan permohonan mereka, tetapi bagaimanakah beban psikologi yang terpaksa ditanggung oleh isteri dan anak-anaknya? Tidak ada wanita yang mahu dimadukan, melainkan wanita yang bersifat di luar kebiasaan.

Soal hati

Bukan hendak menafikan hukum Allah Taala kepada suami yang mampu dalam hal nafkah untuk berpoligami, tetapi soal hati tetap menjadi masalah terbesar yang wajib diuruskan segala haknya. Mungkin iman anda dan isteri akan tercabar, mungkin kualiti ibadah akan terjejas dan keikhlasan akan surut diburu oleh kebencian, kebohongan dan mahu membalas dendam. Sampai bila hati dibiarkan rosak, adakah berbaloi menelan kepahitan sampai agama tercabut dari hati isteri lama yang malang dan isteri baru yang sering kena serang? Melainkan isteri lama tidak ada pilihan lain tempat dia bergantung. Hanya mampu menelan kepahitan dengan redha kerana harapkan belas kasihan Allah Taala di akhirat nanti.

Kalaupun mahu bercerai dan mulakan hidup baru, dia mesti menerima risiko yang berat dan ia terpaksa menanggung sendirian. Bagaimana dengan nasib anak-anak? Isteri yang kaya dan bekerja mungkin tidak merasa terbeban hal kewagan jika bercerai tetapi tanggapan masyarakat pasti akan memandang keji ke arah seorang janda. Beban emosi yang kejam sebegitu terpaksa ditanggungnya juga.

Setiap kali perceraian berlaku, masyarakat pasti menyalahkan isteri yang tidak pandai jaga suami. Padahal dalam Islam, di tangan suamilah segala amanah keluarga itu dibina. Dialah pemimpin, kenapa harus isteri yang dipersalahkan? Jika isteri tidak baik sekalipun, itu juga merupakan kesalahan suami juga, kerana dia tidak memperbaiki isterinya. Sebenarnya sikap suami amat berpengaruh terhadap tingkah laku isteri. Cuba semak entry Isteri degil tanda suami gagal.....

Isteri anda tak OK? Cubalah muhasabah diri, pasti kerana kelemahan anda juga, wahai para suami. Jangan lari dari kelemahan diri sendiri dengan cara berpoligami! Dan ingatlah, jika perkara zahir yang wajib diberi secara adil untuk seorang isteri itu pun tidak mampu dilaksanakan, nyatalah anda tidak layak berpoligami. Fahamilah ayat al-Quran sebaiknya, bukan hanya untuk memenuhi kehendak sendiri. Nanti sudah jatuh ditimpa tangga pula! dapat neraka dunia, dapat juga neraka akhirat pula....

Renung-renungkan....



Rujukan : Dr Juanda Jaya MW#1281, Cik SuzanaGhazali MW#1402

Capaian entry berkaitan :
  1. Promote skit blog Ustaz Baei - Poligami, suami atau isteri siapa dulu tempah ke neraka?
  2. Harus poligami hanya kepada yang layak