Kena simbah cuka akibat tolak cinta
BH 2010/10/28, GEORGETOWN: Akibat cinta tidak berbalas, seorang lelaki menyimbah cuka getah ke muka bekas rakan sekerjanya bagi membalas dendam di depan rumah nenek wanita itu di Taman Cenderwasih, Seberang Prai Selatan, baru-baru ini.
Berikutan kejadian itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Ain, 21, melecur 70% di bahagian muka, tangan dan badan, masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Mangsa merancang mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya selepas sambutan Aidiladha bulan depan, buntu memikirkan masa depannya berikutan kecederaan dialaminya.
Ain berkata, beliau tidak menyangka lelaki itu sanggup menyimbah asid kerana mahu membalas dendam akibat cinta tidak berbalas.
“Saya kecewa dengan perbuatannya dan berharap dia dikenakan tindakan sewajarnya, setimpal dengan kesalahan yang dilakukan," katanya.
Mengimbau kejadian itu, Ain berkata, kejadian berlaku jam 11 malam pada 17 Oktober lalu di depan rumah neneknya ketika beliau bersama ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah.
Katanya, ketika tiba di depan pagar rumah, beliau dihampiri motosikal suspek sebelum disimbah cuka getah ke muka sambil suspek mengejek ‘padan muka hang’ dan berlalu pergi.
"Saya tersentak dengan muka dan badan menjadi sejuk seketika sebelum bertukar panas dan seluruh kulit bertukar menjadi hitam dan terbakar dan membengkak. Suasana ketika itu sukar digambarkan kerana kesakitan yang amat sangat. Saya berlari ke rumah untuk meminta bantuan," katanya.
Katanya, beliau dihantar ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke HPP untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat, berkata suspek yang bekerja sebagai kelindan lori ditahan pada 20 Oktober lalu di rumahnya.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana cintanya tidak berbalas.
Kelindan lori mengaku simbah asid kena 5 tahun
BH2010/10/29, BUTTERWORTH: Seorang kelindan lori dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas mengaku salah atas tuduhan menyimbah cuka getah ke atas gadis yang menolak cintanya sehingga menyebabkan mangsa parah, pada 17 Oktober lalu.
Mohd Shukri Mat Suib, 26, dari Tasek Chempedak, Simpang Ampat, Nibong Tebal, membuat pengakuan salah itu selepas tuduhan dibacakan di depan Hakim Mohd Zairan Aman.
Dia dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nor Azni Mohd Ameerdin, 21, dengan cecair yang boleh menyebabkan kulit melecur kira-kira jam 11 malam pada 17 Oktober lalu, di depan sebuah rumah di Lorong 12, Taman Chendarawasih, Nibong Tebal. Mohd Shukri didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda serta sebat jika disabitkan kesalahan.
Mohd Zairan ketika menjatuhkan hukuman, berkata tertuduh didapati bersalah dan tiada tanda penyesalan ditunjukkan walaupun melakukan kesalahan serius sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa.
“Tindakan tertuduh menyebabkan mangsa tidak berpeluang berkahwin. Tertuduh tidak sepatutnya melampiaskan nafsu sehingga sanggup mencederakan mangsa dan patut menjalani hukuman sebagai pengajaran, " katanya.
Sebaik hukuman dijatuhkan, Mohd Shukri yang dibawa sementara ke lokap mahkamah, sempat meminta telefon bimbit daripada bapanya yang hadir untuk mengikuti perbicaraan itu.
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...