“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Oktober 15, 2010

Usia 40-an, suami baligh kali ke-2??


Assalamualaikum warahmatullah,

Anda masih ingat entry Apa yang anda perlu tahu di usia 40?? Mari kita baca sambungan al-kisah usia 40 ini lagi. Tahukah anda jika lelaki-lelaki yang sedang melepak, sakat menyakat, cabar mencabar, akhirnya akan menimbulkan satu sifat yang tidak elok di kalangan mereka? Mereka akan mula bersembang dengan rakan-rakan bagaikan remaja baru akil baligh. Tajuk perbualan tidak jauh dari urusan ubat kuat, mahu kahwin baru, harta yang makin berlonggok, hebat sungguh! Sungguh seronok hidup di kemuncak kejayaan.

Pada usia 40-an ke atas, mungkin hormon mereka berubah agaknya. Perbualan yang pada mulanya hanya main-main saja, kadang-kadang hilang arah hingga tidak terkawal lagi, cerita-cerita hal rahsia suami isteri pun dijadikan bahan lawak yang menjijikkan!

Padahal, Rasulullah SAW amat menegah perbuatan sebegini, baginda telah bersabda yang bermaksud, “Janganlah kamu lakukan itu (membuka rahsia perhubungan suami isteri kepada orang ramai) kerana perbuatan seperti itu umpama perbuatan syaitan lelaki apabila berjumpa dengan syaitan perempuan lantas berzina dengannya, sedangkan orang ramai melihat mereka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Barang lama

Perkataan dan isyarat cabuk merupakan dosa yang boleh membawa kepada perlakuan keji. Jika selalu mendengar kisah tentang nikmatnya beristeri baru, mungkin saja seseorang itu akan menyimpan hasrat untuk mencuba. Walaupun yang di rumah diberi ‘makan’ dua atau tiga minggu sekali, atas alasan kononnya tidak bernafsu melihat barang lama malah ada yang menyebutnya ‘jamban lama’, tetapi setelah dipengaruhi oleh persekitaran, mahu juga nak mencari yang baru. Bagaimanakah nanti jika sudah beristeri dua, bolehkah lelaki ini berlaku adil?

Fahami kehendak adil menurut syarak

Konsep keadilan terlalu berat dijalani melainkan bagi lelaki yang benar-benar beriman dan ikhlas niatnya kerana mahu membela nasib wanita. Tapi sayang, hasrat yang baru muncul itu timbul kerana dorongan nafsu.

Ramai lelaki tidak beriman menyalah-guna keizinan agama untuk melakukan poligami. Lelaki yang berfikiran waras dan bersih hati serta jujur mengetahui kelemahan dirinya, pasti akan berasa takut memikirkan betapa beratnya beban melakukan poligami. Lelaki yang sibuk membanting tulang untuk keluarga di samping kuat beribadah dan amanah, tidak akan sempat membayangkan nikmatnya berpoligami. Masa yang diberikan Allah Taala seolah-olah tidak cukup untuk memenuhi segala tanggungjawab dirinya sebagai lelaki harapan masyarakat, harapan ibu dan bapa, juga sebagai suami dan seorang ayah.

Saya pernah melontarkan persoalan “Apakah rancangan anda untuk memanfaatkan poligami sebagai salah satu jalan memperolehi syurga?”, ditujukan khas kepada kaum Adam dalam egrup yang saya sertai. Agak malang sekali kerana tiada yang cukup berani memberikan jawapan. Patutkah saya berburuk sangka, ‘orang lelaki memang kedekut ilmu!’

Malah ditempelak pula dengan pertikaikan, “Mengapa kaum wanita sibuk-sibuk menuntut tentang keadilan dalam poligami, walhal semasa monogami pun belum tentu lagi seorang suami itu mampu berlaku adil?”

Memanglah ‘adil’ akan disebut-sebut apabila hendak berpoligami. Mengapa? Jawapan yang boleh saya fikirkan ialah kerana ADIL itu wajib kerana sudah termaktub dan telahpun diTEGASkan oleh Allah Taala dalam firmannya yang bermaksud, “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri (mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nisaa’ 4:129)

Sudah termaktub dan ditegaskan oleh Allah SWT, suami tidak akan dapat berlaku adil walau kamu kona kiri atau kanan. Ada tak yang terfikir, mengapa Allah anugerahkan poligami, tetapi dalam masa yang sama diancam ‘tidak akan dapat berlaku adil’? Adakah yang mahu memikirkan hikmah disebalik ayat-ayat ini? Berlaku adil memang sukar, maka sebaik-baiknya, memadailah dengan tidak berlaku zalim kepada isteri-isteri, tidakkah begitu maksudnya?

Dikatakan dalam satu hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bertaubat 100 kali atau 70 kali sehari. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Demi Allah, sesungguhnya meminta ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih dari tujuh puluh kali.” (Sahih Bukhari cet. Maktabah al-Iman, hal. 1288. Hadis no 6307)

Dalam hadis yang lain pula, daripada Ibnu Umar r.a., Rasululah SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai umat manusia, bertaubatlah kepada Allah. Kerana sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari kepada-Nya seratus kali.” (Sahih Muslim yang dicetak bersama syarahnya jilid 8, hal. 293. Hadis no 2702)

Rasulullah SAW sendiri, walaupun dipelihara Allah SWT daripada melakukan dosa tetap bertaubat dalam sehari semalam melebihi 70 kali. Itu Nabi, yang sudah terjamin syurganya. Orang biasa-biasa macam kita yang imannya sekejap OK sekejap KO ini, berapa kali bertaubat sebab takut tidak berlaku adil kepada isteri, tidak kiralah dalam monogami mahupun poligami? Cubalah anda tenung-tenungkan....

Bagi lebih jelas dan faham, kita fokus juga ayat utama berkaitan saranan poligami ini, iaitu maksud ayat 3 surah yang sama, “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.” (Surah an-Nisaa’ 4:3)

Menurut riwayat beberapa imam hadis, termasuk Imam Muslim daripada Urwah binti Zubair daripada Aisyah r.a., dinyatakan bahawa Urwah bertanya kepada Aisyah tentang ayat ini. Aisyah menjawab, “Wahai anak saudara perempuanku, yatim yang dimaksudkan di sini adalah anak perempuan yatim yang ada di bawah asuhan walinya, yang mempunyai harta kekayaan yang bercampur dengan harta walinya itu.”

Harta serta kecantikan anak yatim ini menjadikan walinya tertarik untuk menikahinya tetapi walinya itu tidak mahu memberikan mahar kepadanya dengan adil. Wali ini tidak mahu membayar mahar anak yatim ini seperti mahar yang semestinya diterima perempuan-perempuan lain.

Hal inilah yang membuat wali anak yatim ini dilarang menikahinya, kecuali kalau dia mahu berlaku adil kepadanya dan mahu memberikan mahar yang lebih tinggi dari biasanya. Kalau tidak mahu melakukan seperti itu, maka mereka disuruh mengahwini perempuan lain saja yang disenanginya.

Kemudian Aisyah r.a. menyebutkan ayat, “Dan jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil dalam menikahi anak yatim, maka kahwinilah kamu dengan perempuan-pserempuan lain yang menyenangkan mu...”.

Ada syarat tertentu

Ulama menjelaskan, ayat ini bermaksud seorang lelaki bukanlah bebas dan berhak berkahwin dengan sesiapa sahaja yang dikehendaki sebaliknya terdapat peraturan dan syarat tertentu yang mesti dipatuhi.

Pertama – Larangan menikah anak yatim bila takut tidak mampu berlaku adil dalam hal mahar iaitu tidak dapat memberikan mahar yang sama dengan mahar perempuan-perempuan lain. Mereka ini dianjurkan oleh syarak agar memilih untuk menikah dengan perempuan lain saja.

Kedua – Seorang lelaki dihalalkan berkahwin lebih daripada seorang perempuan, bahkan sampai kepada empat jika dia sanggup untuk mematuhi ketentuan yang ditetapkan.

Ketiga – Seorang lelaki hanya boleh berkahwin dengan seorang perempuan saja, jika dia takut terjadi kederhakaan kepada Allah kalau berkahwin lebih daripada satu.

Keempat – Seorang lelaki hanya boleh dmenikahi hambanya jika dia tidak sanggup menikahi seorang perempuan merdeka sedangkan dia amat perlukan isteri untuk memenuhi kehendak syahwatseksualnya.

Lanjutan daripada maksud ayat ini jugalah, ulama menetapkan terdapat lima hukum berkaitan kahwin iaitu wajib, harus, sunat, makruh dan haram. Syariat Islam hanya membenarkan poligami dan bukan mewajibkan dengan syarat si suami mampu berlaku adil kepada isteri-isterinya dalam berbagai urusan seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan segala yang berkaitan dengan perkahwinan mereka, tetapi termasuk juga adil dalam memberi layanan yang baik kepada isteri-isteri tanpa membezakan antara satu dengan lainnya.

Adil bukan bermaksud sama rata, tetapi menepati hak dan paling penting, penuhi segala keperluan yang wajib menurut syarak. Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah r.a. menjelaskan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang mempunyai dua orang isteri, lalu memberatkan salah satunya (tidak berlaku adil), maka dia akan datang pada hari kiamat dengan bahu yang senget.” (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Hurairah, Nasaei dan Ibnu Majah)

Keadilan yang dimaksudkan dalam hadis ini tidak bertentangan dengan maksud firman Allah Taala dalam surah an-Nisaa’ ayat 129 kerana adil yang dituntut daalm surah an-Nisaa ayat 3 adalah adil dalam hal-hal yang bersifat zahir iaitu yang boleh diusahakan dan bukan dalam hal cinta dan kasih sayang.

Keadilan yang perlu diaplikasikan ialah adil dalam nafkah zahir, nafkah batin, adil dalam giliran, adil dalam bermusafir termasuk membawa isteri-isteri ke majlis-majlis keraian malah adil dalam layanan komunikasi dan sikap romantis. Bukan sedikit isteri-isteri yang dinafikan hak-hak mereka kerana suami berpoligami secara sembunyi, di manakah keadilan untuk isteri-isteri ini jika suami terpaksa menyorok-nyorok dan berbohong-bohong dalam membuat giliran? Berapa ramai isteri yang makan hati kerana terpaksa beralah dengan madu mereka dan meraikan Aidilfitri sendirian? Ada juga kes yang terpaksa bertarung nyawa melahirkan zuriat sendirian tanpa ditemani suami kerana si suami disibukkan dengan isterinya yang lagi satu....

Keadilan yang tidak sukar berlaku ialah keadilan dalam cinta dan kasih sayang. Mengenai hal ini, Aisyah r.a. menyebutkan bahawa : Rasulullah selalu membahagi giliran sesama isterinya dengan adil. Dan baginda berdoa, “Ya Allah, inilah pembahagianku terhadap isteri-isteriku pada apa yang aku miliki. Kerana itu, janganlah Engkau cela aku atas apa yang Engkau kuasai dan tidak aku kuasai.” (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Nasaei dan Ibnu Majah)

Tidak disentuh

Seperti mana yang telah berlaku kepada seorang sahabat Rasulullah SAW, Abu Darda’ r.a. Beliau menjauhi isterinya kerana sibuk bekerja dan beribadat, hingga menyebabkan keadaan isterinya tidak terurus akibat tidak disentuh oleh suami yang sentiasa sibuk ini. Pada suatu hari, datanglah Salman al-Farisi menziarahi keluarga Abu Darda’, isteri Abu Darda’ ditanya mengapa dia tidak berhias untuk suaminya. Beliau menjawab, “Saudaramu Abu Darda’ tidak memerlukan dunia.” Salman menasihati Abu Darda’, “Sesungguhnya dirimu mempunyai hak, tetamumu memiliki hak, isterimu juga memiliki hak. Berikanlah hak kepada yang berhak memilikinya. Kemudian kedua-duanya datang meminta nasihat daripada Rasulullah SAW. Baginda bersabda, “Salman telah benar dalam nasihatnya.”

Kalau seorang isteripun belum mampu ditunaikan haknya dengan sempurna, bagaimana mahu menambah koleksi baru? Alangkah peliknya species lelaki yang mengaku-ngaku layak berpoligami tetapi tidak sempurna solatnya, hidup menumpang harta isteri, tidak ambil kisah tentang perkembangan anak-anak. Berlainan halnya dengan lelaki kaya dan berjawatan tinggi, mungkin Mahkamah Syariah dengan senang boleh meluluskan permohonan mereka, tetapi bagaimanakah beban psikologi yang terpaksa ditanggung oleh isteri dan anak-anaknya? Tidak ada wanita yang mahu dimadukan, melainkan wanita yang bersifat di luar kebiasaan.

Soal hati

Bukan hendak menafikan hukum Allah Taala kepada suami yang mampu dalam hal nafkah untuk berpoligami, tetapi soal hati tetap menjadi masalah terbesar yang wajib diuruskan segala haknya. Mungkin iman anda dan isteri akan tercabar, mungkin kualiti ibadah akan terjejas dan keikhlasan akan surut diburu oleh kebencian, kebohongan dan mahu membalas dendam. Sampai bila hati dibiarkan rosak, adakah berbaloi menelan kepahitan sampai agama tercabut dari hati isteri lama yang malang dan isteri baru yang sering kena serang? Melainkan isteri lama tidak ada pilihan lain tempat dia bergantung. Hanya mampu menelan kepahitan dengan redha kerana harapkan belas kasihan Allah Taala di akhirat nanti.

Kalaupun mahu bercerai dan mulakan hidup baru, dia mesti menerima risiko yang berat dan ia terpaksa menanggung sendirian. Bagaimana dengan nasib anak-anak? Isteri yang kaya dan bekerja mungkin tidak merasa terbeban hal kewagan jika bercerai tetapi tanggapan masyarakat pasti akan memandang keji ke arah seorang janda. Beban emosi yang kejam sebegitu terpaksa ditanggungnya juga.

Setiap kali perceraian berlaku, masyarakat pasti menyalahkan isteri yang tidak pandai jaga suami. Padahal dalam Islam, di tangan suamilah segala amanah keluarga itu dibina. Dialah pemimpin, kenapa harus isteri yang dipersalahkan? Jika isteri tidak baik sekalipun, itu juga merupakan kesalahan suami juga, kerana dia tidak memperbaiki isterinya. Sebenarnya sikap suami amat berpengaruh terhadap tingkah laku isteri. Cuba semak entry Isteri degil tanda suami gagal.....

Isteri anda tak OK? Cubalah muhasabah diri, pasti kerana kelemahan anda juga, wahai para suami. Jangan lari dari kelemahan diri sendiri dengan cara berpoligami! Dan ingatlah, jika perkara zahir yang wajib diberi secara adil untuk seorang isteri itu pun tidak mampu dilaksanakan, nyatalah anda tidak layak berpoligami. Fahamilah ayat al-Quran sebaiknya, bukan hanya untuk memenuhi kehendak sendiri. Nanti sudah jatuh ditimpa tangga pula! dapat neraka dunia, dapat juga neraka akhirat pula....

Renung-renungkan....



Rujukan : Dr Juanda Jaya MW#1281, Cik SuzanaGhazali MW#1402

Capaian entry berkaitan :

  1. Promote skit blog Ustaz Baei - Poligami, suami atau isteri siapa dulu tempah ke neraka?
  2. Harus poligami hanya kepada yang layak

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails