PAGE

Isnin, Mei 31, 2010

BUKU : Cipta Syurga Hati - HM Tuah



Assalamualaikum warahmatullah,

Saya saya masukkan entry ini, nak kongsikan apa yang sedang saya baca. Buku ini baru saja saya beli di MPH Giant Shah Alam, Jumaat [28/05/2010] lepas.

Serba-sedikit tentang buku ini :

Author : DR HM TUAH ISKANDAR
Publisher : KARYA BESTARI
Price : MYR15.00

Hati dalam konteks buku ini bermaksud jiwa, kalbu atau sanubari. Ia membabitkan batin seperti perasaan, fikiran serta cita-cita yang terkandung di dalam hati kita. Cipta pula bermaksud kekuatan yang ditolak oleh kekuatan berfikir dan kekuatan berinovasi.

Jadi, pengisian CIPTA SYURGA HATI adalah satu usaha mencipta sesuatu yang tidak dapat dilihat dalam bentuk benda tetapi boleh diterjemahkan melalui peribadi yang molek, menarik, betul, patut lagi munasabah. Ia bertujuan mendamaikan jiwa untuk melalui hidup seadanya.

Yakinlah bahawa syurga di hati mampu dibentuk bergantung pada kesediaan hati itu sendiri. Misi buku ini dalah memberikan kita rasa bahagia seakan syurga sebagaimana ungkapan 'rumahku syurgaku'.

Justeru, kita akan dapati banyak hujah DR. HM TUAH ISKANDAR al-HAJ berpaksikan pendirian suci ini apabila mengetengahkan satu-satu persoalan untuk mencipta syurga di hati di dunia yang bakal fana ini.

Saya amat tertarik dengan kupasan bab 'fitnah menfitnah' yang dibawa Dr HM Tuah. Jika ada kelapangan, insya Allah saya akan kongsikan di sini.

Moga-moga ilmu yang dikongsi ini dapat dimanfaatkan bersama. Amiin.


Gula Malaysia melambak di Pattani

~ sekadar gambor hiasan ~

Aisey... baru saja saya masukkan entry fasal gula, terbaca pula 'Gula Malaysia melambak di Pattani!'. Apa sudah jadi? Rujuk Utusan 31/05/2010.

PATTANI (Thailand) 30 Mei – Meskipun beberapa negeri di Malaysia dilaporkan mengalami masalah kekurangan bekalan gula, bahan itu begitu mudah diperoleh di wilayah Pattani di sini.

Penduduk tempatan mendakwa, bekalan gula keluaran sebuah kilang di Malaysia itu boleh dibeli di merata-rata tempat termasuk di kedai runcit di kawasan perkampungan.

Seorang pekedai runcit, Maehya Waesame, 73, dari Kampung Chabang Tiga di sini berkata, dia sudah lama menjual gula keluaran sebuah kilang di Malaysia itu. Katanya, bekalan bahan berkenaan diperoleh daripada orang tertentu yang bertindak sebagai perantara apabila bekalan gula berkurangan di kedainya.

‘‘Kami amat mudah mendapat bekalan gula dari Malaysia. Ada orang yang akan menghantar apabila bekalan gula tidak ada lagi di kedai. Bagaimanapun, harga gula itu terpaksa dijual lebih tinggi untuk mendapatkan sedikit keuntungan iaitu sekitar RM2.50 sekilogram berbanding harga belian RM2.20,” katanya.

Menurut Maehya, selain kedai-kedai runcit, gula juga dapat dibeli dengan mudah di pasar malam berhampiran rumahnya pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Seorang penduduk di Kampung Masjid Raja Pattani, Wan Harun Wan Abdullah, 45, pula berkata, dia sendiri tidak mengetahui bagaimana bekalan gula dari Malaysia begitu mudah diperoleh di sekitar kampungnya.

‘‘Saya selalu terdengar cerita bekalan gula agak sukar diperoleh di Malaysia. Memanglah sukar, kalau tidak ada gula. Namun, kami di sini tidak pernah mengalami masalah seperti itu. Gula ada di mana-mana,” katanya.

Tambahnya, kebanjiran bekalan gula dari Malaysia di wilayah Pattani itu mungkin juga disebabkan oleh aktiviti penyeludupan.

‘‘Sebagai pengguna, kami perlu membeli barangan itu untuk kegunaan harian,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat lawatan selama tiga hari di Yala dan Pattani berakhir semalam.

Lawatan anjuran Persatuan Wartawan Melayu Malaysia Cawangan Negeri Kedah itu disertai oleh 20 wartawan.

Terdahulu, rombongan diketuai Che Saad Nordin selaku pengerusi persatuan itu mendengar taklimat daripada Timbalan Ketua Polis Daerah Yala, Leftenan Kol. Warit Jehdo mengenai keadaan keselamatan di Yala dan Pattani. – Bernama


Gula... Bukan sorok tetapi sekadar 'simpan'


Assalamualaikum warahmatullah,

Entah mengapa saya tertarik untuk memasukkan entry mengenai GULA ini.... Kebiasaannya, kami sekeluarga menggunakan sekilo gula untuk jangkamasa 1.5~2 bulan. Bukanlah satu kegunaan yang berlebihan, saya rasa. Lagipun, kami cuma menggunakan gula untuk membuat minuman teh ‘o’ di pagi dan petang. Itu sahaja kegunaan gula di rumah saya.

Jumaat lepas, saya ke pasaraya Giant Shah Alam dan melalui lorong diletakkan gula. PELIK... sekilo gula pun tiada di rak... Keesokkannya, saya ke Tesco Extra Shah Alam, bibik pesan, “Nanti mama belikan gula, gula habis.” Tiba di rak diletakkan gula, tiada sepeket gulapun yang ada... Hemm... 2 pasaraya besar di Seksyen 13 Shah Alam tidak mempunyai stok gula. Sungguh pelik. Mustahil gula habis sekelip mata. MUNGKIN ada kes ‘sorok’ gula lagi? EnSyujin (hubby) singgah ke pasaraya Hero berdekatan rumah kami, itupun dapatlah beli 2 kilo gula, pembelian terhad untuk setiap pelanggang untuk satu hari. PELIK... Gula dicatu pembeliannya...

Hari ini saya kongsikan komen tentang gula yang dipetik dari Utusan.

Di mana kau gula? Di kilang, di gudang pemborong, di stor peruncit/pekedai atau sedang ‘bersembunyi’ di kebanyakan rumah pengguna? Isu kekurangan gula muncul lagi. Di beberapa negeri, keadaan agak kelam kabut juga. Ada yang terpaksa menunjukkan sijil nikah dan ada pula perlu membeli barang bernilai RM100 sebelum layak membeli gula. Teruknya penangan gula...

Di kebanyakan pasaraya, pembeli dihadkan membeli dua peket atau dua kilogram sahaja sehari. Tetapi untuk mendapat bekalan lebih, ada juga yang menghantar satu keluarga membeli gula. Kalau suami isteri campur dua anak, maka dapatlah dibeli 8 kilo gula sehari. Begitulah jadinya apabila gula menjadi masalah kepada orang kita. Isu yang tenggelam timbul ini membuatkan ramai yang resah kalau-kalau harga gula naik. Lebih-lebih lagi baru-baru ini muncul cadangan untuk menarik balik subsidi gula. Subsidi gula dijangka menyebabkan kerajaan menanggung kira-kira RM1 bilion tahun ini.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang sering mempertahankan pengguna juga bersetuju menghapuskan subsidi gula. Bukan kerana CAP tidak prihatin dengan masalah harga yang akan dihadapi pengguna tetapi CAP lebih sayangkan kehidupan pengguna. Sudah terbukti dalam dunia kesihatan, pengambilan gula boleh membawa kepada banyak masalah kesihatan. Penyakit kronik seperti diabetis memerlukan pengubatan jangka panjang dan akan menelan belanja untuk penjagaan kesihatan. Oleh sebab itu menurut CAP, menjadikan gula lebih mahal akan turut membantu mengurangkan subsidi kerajaan ke atas penjagaan kesihatan. Begitulah pendirian CAP sekalipun tindakannya itu tidak popular. Ini mungkin berbeza dengan pendekatan orang politik yang akan sentiasa mengambil kesempatan membelasah kerajaan lebih-lebih lagi apabila disebut subsidi mahu ditarik balik. Sebenarnya ada subsidi yang boleh ditarik segera dan ada yang secara perlahan-lahan. Subsidi ada kesan baik dan buruk.

Kembali kepada gula, kenapa bahan itu tidak pernah cukup dan menimbulkan masalah di pasaran? Mainan siapakah ini? Adakah pihak pengilang gagal mengeluarkan bekalan secukupnya? Adakah bahan mentah untuk menghasilkan gula semakin berkurangan? Jika bukan pengilang yang bersalah apakah pemborong yang punya angkara menyimpan gula untuk menimbulkan suasana yang membolehkan kerajaan menaikkan harga gula? Atau peruncit pula yang memainkan peranan untuk mencari untung lebih dengan ‘menyimpan’ (amat sensitif menggunakan istilah sorok) di stor milik mereka? Mungkinkah juga akibat pembelian panik menyebabkan pengguna pula ‘menyimpan’ (sekali lagi bukan menyorok) gula di rumah dalam kuantiti yang besar dan melebihi keperluan bulanan? Mungkin sehingga menjelang hari raya nanti? Atau angkara penyeludup yang menyeludup gula ke negara jiran seperti Thailand? Jika setiap daripada pengguna membeli dan menyimpan gula dalam kuantiti yang banyak sehingga melebihi keperluan maka bekalan gula akan menjadi semakin terhad di pasaran dan akhirnya berlakulah kekurangan bekalan.

Menurut satu laporan dari Pahang, pemantauan yang dilakukan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan terhadap peruncit dan pembekal di seluruh negeri itu, didapati bekalan gula sebenarnya cukup untuk menampung keperluan 1.6 juta penduduk di Pahang. Setiap bulan, sebanyak 1,700 hingga 1,900 metrik tan gula dibekalkan ke seluruh negeri dan ia merupakan kuantiti yang mencukupi Bagaimanapun bekalan gula di pasaran runcit menjadi cepat susut apabila pengguna membuat pembelian panik dan menyimpan gula di rumah dalam kuantiti yang banyak.

Pembelian panik disebabkan pengguna cemas kerana sukar mendapat bekalan dan secara tidak langsung memaksa mereka ‘mengutip’ gula dari satu kedai ke satu kedai. Mereka bimbang harga gula akan naik. Ini kerana pengalaman masa lalu menunjukkan apabila bekalan gula kurang maka akan berlaku kenaikan. Jika bekalan cukup tetapi tidak ada di pasaran, adakah gula ‘dirampas’ di pertengahan jalan sehingga tidak sampai ke tangan peniaga atau peruncit?

Nampaknya kempen kurangkan gula tidak menjadi. Sama seperti kempen Tak Nak bagi mengurangkan tabiat merokok di kalangan perokok. Apabila harga rokok naik maka banyak pula penyeludupan rokok. Tetapi tidak ada pula gula diseludup masuk ke dalam negara kita. Hiasilah kotak rokok dengan label yang mengerikan tetapi perokok tetap tidak peduli itu semua.

Apakah di peket gula nanti kita perlukan kempen yang akan menakutkan pembeli gula? Bagaimana agaknya apabila setiap peket gula nanti tertera gambar-gambar yang mengerikan mengenai penyakit akibat terlebih gula? Senaraikan juga risiko mengambil terlalu banyak gula. Tentunya setakat sehari dua terasa gerunnya tetapi apabila gula sudah masuk ke dalam balang kaca, hilanglah gambaran menakutkan itu. Dan apabila ‘gula’ (sama ada dalam bentuk gula atau sudah dicampur dalam susu) menjadi teh tarik, maka hilanglah rasa takut itu.

Akhirnya, bekalan gula tidak akan pernah cukup. Subsidi pula akan meningkat kerana di negara kita subsidi itu jugalah yang ‘menyara’ berjuta pendatang asing yang sedang mencari rezeki di sini.

Sebenarnya keperluan gula akan terus meningkat. Makanan dan minuman tidak dapat dipisahkan daripada gula. Menjelang cuti persekolahan minggu depan, banyak majlis kenduri kahwin akan diadakan dan permintaan gula dijangka meningkat. Begitu juga menjelang bulan Ramadan, permintaan akan bertambah lagi. Mungkin keadaan ini juga mempengaruhi orang ramai ‘menyimpan’ gula mulai sekarang. Sesuatu harus dilakukan bagi menyekat kebimbangan orang ramai ini. Pengguna harian mungkin menjadi mangsa kepada keperluan tinggi pengusaha makanan dan minuman.

Gula sudah sebati dalam kehidupan. Mungkin tidak sempurna hidup tanpa gula. Ramai yang belum bersedia minum minuman tanpa gula. Malahan dalam satu iklan menjelang Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010, seorang pelanggan di kedai mamak memesan ‘teh tarik kasi manis’.

Sementara dalam filem Ahmad Albab, Sheikh Mashood lakonan AR Tompel yang mulanya memandang rendah terhadap gula akhirnya mengakui ‘kekuatan’ gula. Mungkin peminat filem P.Ramlee masih ingat cerita ini apabila Mashood dihadiahkan gula dan garam daripada Syawal lakonan P.Ramlee serta hadiah minuman kopi dan gulai tanpa gula dan garam hadiah Mastura (isteri Syawal lakonan Saloma). Selepas membuang gula dan garam yang dihadiahkan Syawal sempena majlis hari jadi, Mashood merasai kopi yang diberi oleh Mastura. Malangnya kopi itu tanpa gula. Kata Mashood: “Kopinya sedap, pekat, hitam melekat tapi gula tak ada, tak ada makna.”

Begitulah pentingnya gula.


Krisis keturunan, pewarisan

Perkahwinan memelihara nasab dan keturunan selain mengelak timbulnya krisis keturunan manusia. - Gambar hiasan

DALAM pembinaan masyarakat dan negara, institusi keluarga sangat penting. Dalam Islam, ia bukan sahaja terbatas sebagai penerus keturunan, malah merupakan struktur asas bagi keseluruhan sistem sosial dan kebudayaan.

Firman Allah SWT: Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan mu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu. (Surah an-Nisa': 1)

Berdasarkan ayat tersebut, jelas institusi keluarga amat penting dalam pembentukan watak dan peribadi setiap anggotanya.

Ia mengekalkan kehidupan manusia dan kebudayaan, meneruskan peranan manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi serta sebagai sumber modal insan yang berguna pada umat, bangsa dan negara pada masa depan.

Krisis keturunan

Justeru, pembinaan institusi keluarga bukanlah sesuatu boleh dianggap enteng dalam kesibukan kita mengejar kekayaan dunia.

Terdapat kecenderungan pada manusia hari ini untuk tidak percaya kepada institusi kekeluargaan kerana menganggap ia menyusahkan disebabkan terikat dengan komitmen yang banyak. Sememangnya perubahan zaman sedikit sebanyak menjejaskan pembentukan institusi keluarga.

Manusia menjadi lebih sibuk untuk menyara diri dan keluarga, menjadi punca mengapa institusi kekeluargaan semakin mengecil.

Statistik kesuburan wanita dan kadar kelahiran di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) misalnya, menunjukkan penurunan daripada purata empat kelahiran setiap wanita pada 1960 kepada 2.1 kelahiran pada 2008.

Begitu juga dengan di negara maju lain seperti Jerman, Australia, Kanada, Hong Kong dan di negara-negara yang mempunyai kaedah perancangan keluarga yang lebih baik.

Malaysia juga tidak lari daripada masalah ini, iaitu dari purata tujuh kelahiran bagi setiap wanita pada 1960 kepada purata 2.56 kelahiran pada 2008.

Malah di negara-negara membangun dan miskin, kadar kesuburan wanita dijangka terus menurun. Namun ada juga yang menunjukkan peningkatan kesuburan. Contohnya, Israel iaitu purata 2.96 kelahiran setahun. (Dipetik dari World Bank, World Development Indicators 2010)

Sekiranya ini berlarutan dalam jangka panjang, kita akan menghadapi krisis genetik dan pewarisan. Pembinaan keluarga boleh menjadi suatu masalah besar pada masa akan datang.

Pada masa yang sama amalan berkeluarga besar semakin menghadapi masalah. Malah ia diburukkan pula dengan budaya lesbian dan gay yang semakin meningkat. Semua ini memberi kesan kepada keturunan dan genetik pada masa akan datang.

Allah telah menjelaskan dalam al-Quran bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa supaya adanya lita'arafu yakni saling berkenalan (Surah al-Hujurat: 13)

Allah juga memberi asas kisah sejarah yang sangat jelas seperti yang terjadi pada kaum Nabi Lut. Kisah kaum Nabi Lut adalah satu teladan tentang perbuatan manusia yang ingkar dan akhirnya Allah telah menghancurkan kaum ini. Bahkan kesannya dikatakan dapat dilihat secara jelas di Laut Mati.

Kerosakan akhlak yang terjadi dan percubaan manusia untuk mengubah hakikat dan fitrah manusia, akhirnya dibinasakan oleh Allah dengan bala yang dahsyat.

Tanpa kawalan

Krisis pewarisan yang terjadi pada hari ini juga adalah akibat corak pergaulan dan perhubungan bebas tanpa batasan. Ia menyumbang kepada penyakit sosial dan penyakit-penyakit seperti HIV/Aids yang tiada penawar.

Inilah yang terjadi sekiranya manusia cuba melanggar hukum alam yang telah Allah tetapkan.

Untuk mengatasinya, para saintis berusaha mencari jalan untuk mencari kaedah-kaedah saintifik untuk mengembangkan keluarga.

Tradisi saintifik memberi fokus kepada kajian genetik, teknik klon, bayi tabung uji berkembang sehingga terdapat kalangan gen artis-artis popular dijadikan sebagai bayi tabung uji tanpa ikatan perkahwinan.

Begitu juga dengan isu ibu tumpang, yang jelas menyalahi nasab dan keturunan seseorang.

Di Barat, institusi keluarga sedang bergelut dengan masalah ini kerana meningkatnya kelahiran tanpa nikah. Begitu juga di negara-negara membangun seperti Malaysia yang dibincangkan pada siri yang lalu.

Kajian saintifik untuk kebaikan tidak salah. Tetapi jika untuk mengubah fitrah yang Allah tetapkan dan mengikut nafsu hasilnya boleh membawa kesan lebih buruk. Apatah lagi jika dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan nafsu dan diri.

Kita tidak menafikan perubahan dalam masyarakat turut merubah struktur keluarga. Khususnya pada keluarga nukleus, ayah dan ibu adalah pemindah model daripada budaya genetik kepada anak-anak mereka.

Dalam masyarakat hari ini, ayah terus bekerja di luar rumah untuk menunjang anggota keluarganya.

Taraf hidup yang tinggi

Namun taraf hidup yang tinggi menyebabkan ibu juga berperanan mencari rezeki. Apatah lagi sekiranya ibu mempunyai pendidikan tinggi. Tugas ibu bapa menjana intelek anak menjadi lebih ringan dan dilepaskan pada pihak lain.

Ada anak-anak yang diabaikan dan membesar dalam kepincangan kasih sayang ibu bapa, lalu menjadi manusia yang kuat memberontak dan degil. Natijahnya bukanlah sesuatu yang baik dalam pembinaan peribadi seseorang manusia.

Bagaimana untuk mewujudkan masyarakat yang seimbang dan harmoni sekiranya institusi kekeluargaan tidak dibina secara baik?

Untuk mempunyai struktur kekeluargaan yang baik perlu ada pendidikan, pembentukan keperibadian, pembinaan nilai dan pengarahan ke arah ciri ciri keagamaan dan kebudayaan.

Tidak ada institusi lain yang dapat mengambil alih peranan institusi keluarga secara menyeluruh. la diasaskan atas rasa tanggungjawab di kalangan setiap ahli.

Membentuk institusi keluarga yang seimbang dan berkualiti bukan sesuatu yang mudah, tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil sekiranya dilakukan dengan komitmen yang penuh dan berterusan.

Institusi keluarga adalah tiang asas pembinaan masyarakat dan negara. Peranan keluarga dalam pembentukan seseorang adalah sangat penting bagi menjana modal insan yang lebih berjaya dan bermutu.

Malah, Islam memberi penekanan yang tinggi kepada pembinaan keluarga kerana setiap anggota keluarga mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap diri sendiri, sesama anggota lain dan masyarakat.

Sekiranya asas ini rosak akibat kelalaian manusia yang terlalu mengikut nafsu, maka akan berlaku kepincangan dalam membina sebuah negara bertamadun dan berjaya.

Sumber : Nurul Izzah Sidek di UM 27/05/2010


Haram berkabung lebih tiga hari kecuali wanita kematian suami


AL-BUKHARI dan Muslim meriwayatkan daripada Zainab binti Abu Salamah, beliau berkata: “Aku pernah masuk ke rumah Ummu Habibah isteri Nabi, ketika bapanya, Abu Sufyan bin Harb meninggal. Ummu Habibah lalu meminta diambilkan minyak wangi yang diperbuat daripada adunan za’faran dan lainnya atau lainnya lagi.

Seterusnya, Ummu Habibah mengusapkannya ke pipi seorang anak kecil dan kedua-dua pipinya (untuk menghilangkan rasa kesedihan). Dia lalu berkata: Demi Allah, tiada yang menghalangiku untuk memakai wangi-wangian sebelum ini, melainkan aku pernah mendengar Rasulullah bersabda di mimbar: Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk berkabung (dengan meninggalkan wangi-wangian dan perhiasan) kerana meninggal seseorang lebih dari tiga hari, kecuali atas kematian suaminya, iaitu selama 4 bulan 10 hari.”

Zainab berkata: “Setelah itu, aku masuk ke rumah Zainab binti Jahsy yang sedang berduka atas kewafatan saudaranya. Dia juga meminta diambilkan minyak wangi, lalu diusapkan ke wajahnya, lalu berkata: Demi Allah, tiada yang menghalangiku untuk memakai wangi-wangian sebelum ini, melainkan aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda di mimbar: Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhir untuk berkabung atas meninggal seseorang lebih dari tiga hari, kecuali atas kematian suaminya, iaitu selama 4 bulan 10 hari.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sumber : Sumber: Buku Ringkasan Riyadhus Solihin (BHarian 31/05/2010)


Sabtu, Mei 29, 2010

Golongan tidak bijak mengurus masa dalam kehidupan akan rugi


Assalamualaikum warahmatullah,

WANG, masa, ilmu dan amal adalah keperluan yang sangat diinginkan setiap manusia. Ada kala bila tercicir wang walau nilainya tidak seberapa, kita sanggup mencarinya. Tetapi kalau tercicir masa walau sesaat, tiada siapa boleh mencarinya kembali.

Demikian apabila tercicir ilmu, kita ketinggalan dan tercicir amal, kita kerugian. Sebenarnya orang yang rugi itu bukan kehilangan wang tetapi yang membuang masa serta kesempatan untuk beriman dan beramal.

Allah berfirman maksudnya: “Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali bagi mereka yang beriman dan beramal soleh serta orang-orang yang sentiasa menasihati saudaranya dengan kebenaran dan kesabaran.” (Surah al-Ashr: 1-3)

Hilang wang boleh dicari, tetapi sekali masa terbuang ia tidak dapat ditebus kembali. Justeru, dalam meneruskan baki hidup ini, masa yang dianugerahkan tidak harus dipersiakan. Ia harus dimanfaatkan bagi mendapat kedudukan yang tinggi dan terpuji. Rasulullah bersabda bermaksud: “Rebutlah peluang lima perkara sebelum tiba lima perkara. Masa muda sebelum tiba masa tua. Masa sihat sebelum tiba masa sakit. Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa kaya sebelum tiba masa papa dan masa hidup sebelum tiba masa ajal.” Apabila ajal datang, segala peluang tidak datang lagi. Justeru, masa yang dilalui mesti dimanfaatkan. Hidup ini singkat kerana ia adalah kembara menuju penyudah dan mati itu adalah noktah hidup walau ia dianggap sebagai sesuatu yang mengerikan.

Masa berlalu begitu cepat. Hari, minggu, bulan dan tahun dilalui tanpa disedari usia terus meningkat. Namun masih belum terlambat untuk mulakan amal soleh. Peluang hidup mesti dipergunakan sebelum ajal datang mengejut.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Segeralah beramal kebaikan sebelum datang tujuh perkara: Apakah kamu nantikan selain kemiskinan yang membuatkan lupa atau kekayaan yang menimbulkan kesombongan dan melewati batas atau penyakit yang merosakkan atau ketuaan yang membuatkan lemah dan kehabisan tenaga atau kematian yang menghabisi usia atau dajal sejahat-jahat yang dinantikan atau hari kiamat yang lebih berat dan sukar.”

Manusia selalu berusaha mengelak diri daripada bahaya serta berikhtiar mengubati segala macam penyakit namun kematian itu sesuatu yang pasti datang walau secanggih mana usaha dilakukan untuk mengelaknya. Allah berfirman bermaksud: “Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” (Surah an-Nisa: 78)

Hidup dan mati dua keadaan yang berbeza, suasana yang berlainan rasa. Hidup dengan kehidupannya masing-masing mengisi keperluan hidupnya yang pelbagai. Keinginan tumbuh berkembang dan hidup seolah-olah hidup ini tanpa mati. Usia yang singkat tidak terasa, hari terbatas bagaikan tidak bersisa. Keinginan untuk terus hidup bagaikan teruja, manusia bagaikan lupa hidup ini hanya sementara dan setiap sandiwara akan dihitung. Rasulullah bersabda maksudnya: “Hai sekalian manusia, ingatlah kepada Allah telah tiba yang menggetarkan hati. Telah datang kematian dengan segala risikonya.”

Mati adalah kenyataan setiap yang hidup
. Manusia pasti menempuhnya seperti orang terdahulu melaluinya. Ia juga tidak terkecuali sesiapa, sama ada yang berpangkat, miskin atau kaya. Mulia, hina, gagah atau lemah. Sama ada yang berilmu atau pun tidak, walau dalam keadaan penyatuan atau perpecahan sekalipun saatnya akan datang juga tidak kira seseorang itu mengharap atau menolaknya.

Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah bahawa sesungguhnya kematian yang kamu semua melarikan diri daripadanya itu pasti akan menemui kamu, kemudian kamu semua akan dikembalikan ke Dzat yang Maha mengetahui segala yang ghaib serta yang nyata selanjutnya Dia akan memberitahukan padamu semua apa yang kamu lakukan.”

Justeru, kita perlu membelanjakan masa dengan bijak dan berhemah untuk membeli kebahagiaan abadi dari Allah. Gunakan peluang hidup yang sekelumit ini sebelum ajal menggamit tiba. Apalagi kehidupan sentiasa terdedah pelbagai malapetaka, penyakit dan gejala. Bila masa saja kita boleh terperangkap oleh pelukan ajal.

Mengingati betapa hidup yang sementara ini seharusnya mendorong manusia mempersiapkan bekal menghadapi kehidupan yang kekal di akhirat nanti. Rasulullah bersabda maksudnya: “Allah telah memberi kesempatan yang cukup (untuk beramal kebaikan) kepada orang yang dilanjutkan usianya hingga mencapai enam puluh tahun.”
Suatu ketika Rasulullah pernah ditanya siapakah orang yang paling cerdik dan teguh hati, baginda menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Mereka yang paling ingat kepada kematian dan paling mantap persiapannya menghadapi kematian. Orang yang demikian itu cerdik dan bijaksana, beroleh kehormatan dunia dan kemuliaan akhirat.”

Namun mengingati ajal itu bukan melemahkan semangat bekerja malah akan lebih bersemangat untuk bekerja dan beramal sama ada untuk diri, keluarga dan masyarakat terutama dalam mengatasi segala permasalahan yang melanda umat iaitu perpecahan yang tiada kesudahan.

Sumber : Wan Abd Rahim Wan Mohamad di BHarian 17/05/2010


Jumaat, Mei 28, 2010

Kedudukan perempuan dalam Islam


Salah satu tema utama sekaligus prinsip pokok dalam ajaran Islam adalah persamaan antara manusia, baik antara lelaki dan perempuan mahupun antara bangsa, suku dan keturunan. Perbezaan yang digaris-bawahi dan yang kemudian meninggikan atau merendahkan seseorang hanyalah nilai pengabdian dan ketakwaannya kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai seluruh manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (terdiri) dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal, sesungguhnya yang termulia di antara kamu adalah yang paling bertakwa.” (QS 49:13)

Kedudukan perempuan dalam pandangan ajaran Islam tidak sebagaimana diduga atau dipraktikkan sementara masyarakat. Ajaran Islam pada hakikatnya memberikan perhatian yang sangat besar serta kedudukan terhormat kepada perempuan.

Muhammad Al-Ghazali, salah seorang ulama besar Islam kontemporer berkebangsaan Mesir, menulis: “Kalau kita mengembalikan pandangan ke masa sebelum seribu tahun, maka kita akan menemukan perempuan menikmati keistimewaan dalam bidang materi dan sosial yang tidak dikenal oleh perempuan-perempuan di ke lima benua. Keadaan mereka ketika itu lebih baik dibandingkan dengan keadaan perempuan-perempuan Barat dewasa ini, asal saja kebebasan dalam berpakaian serta pergaulan tidak dijadikan bahan perbandingan.” 190

Almarhum Mahmud Syaltut, mantan Syaikh (pemimpin tertinggi) lembaga-lembaga Al-Azhar di Mesir, menulis: “Tabiat kemanusiaan antara lelaki dan perempuan hampir dapat (dikatakan) sama. Allah telah menganugerahkan kepada perempuan sebagaimana menganugerahkan kepada lelaki. Kepada mereka berdua dianugerahkan Tuhan potensi dan kemampuan yang cukup untuk memikul tanggungjawab dan yang menjadikan kedua jenis kelamin ini dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti yang bersifat umum mahupun yang khusus. Kerana itu, hukum-hukum Syari’at pun meletakkan keduanya dalam satu kerangka. Yang ini (lelaki) menjual dan membeli, mengahwinkan dan kahwin, melanggar dan dihukum, menuntut dan menyaksikan, dan yang itu (perempuan) juga demikian, dapat menjual dan membeli, mengawinkan dan kawin, melanggar dan dihukum serta menuntut dan menyaksikan.” 191

Banyak faktor yang telah mengaburkan keistimewaan serta memerosotkan kedudukan tersebut. Salah satu di antaranya adalah kedangkalan pengetahuan keagamaan, sehingga tidak jarang agama (Islam) diatas-namakan untuk pandangan dan tujuan yang tidak dibenarkan itu.

Berikut ini akan dikemukakan pandangan sekilas yang bersumber dari pemahaman ajaran Islam menyangkut perempuan, dari segi :
  • (1) asal kejadiannya, dan
  • (2) hak-haknya dalam berbagai bidang.

Asal Kejadian Perempuan

Berbezakah asal kejadian perempuan dari lelaki? Apakah perempuan diciptakan oleh tuhan kejahatan ataukah mereka merupakan salah satu najis (kotoran) akibat ulah syaitan? Benarkah yang digoda dan diperalat oleh syaitan hanya perempuan dan benarkah mereka yang menjadi penyebab terusirnya manusia dari syurga?

Demikian sebagian pertanyaan yang dijawab dengan pembenaran oleh sementara pihak sehingga menimbulkan pandangan atau keyakinan yang tersebar pada masa pra-Islam dan yang sedikit atau banyak masih berbekas dalam pandangan beberapa masyarakat abad ke-20 ini.

Pandangan-pandangan tersebut secara tegas dibantah oleh al-Quran, antara lain melalui ayat pertama surah an-Nisaa’ yang bermaksud, “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari jenis yang sama dan darinya Allah menciptakan pasangannya dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.”

Demikian al-Quran menolak pandangan-pandangan yang membezakan (lelaki dan perempuan) dengan menegaskan bahawa keduanya berasal dari satu jenis yang sama dan bahawa dari keduanya secara bersama-sama Tuhan mengembang-biakkan keturunannya baik yang lelaki mahupun yang perempuan.

Benar bahawa ada suatu hadis Nabi yang dinilai shahih (dapat dipertanggungjawabkan kebenarannya) yang berbunyi : “Saling pesan-memesanlah untuk berbuat baik kepada perempuan, kerana mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok.” (Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Tirmidzi dari sahabat Abu Hurairah).

Benar ada hadis yang berbunyi demikian dan yang dipahami secara keliru bahawa perempuan diciptakan dari tulang rusuk Adam, yang kemudian mengesankan kerendahan darjat kemanusiaannya dibandingkan dengan lelaki. Namun, cukup banyak ulama yang telah menjelaskan makna sesungguhnya dari hadis tersebut.

Muhammad Rasyid Ridha, dalam Tafsir Al-Manar, menulis: “Seandainya tidak tercantum kisah kejadian Adam dan Hawa dalam Kitab Perjanjian Lama (Kejadian II;21) dengan redaksi yang mengarah kepada pemahaman di atas, nescaya pendapat yang keliru itu tidak pernah akan terlintas dalam benak seorang Muslim.” 192

Tulang rusuk yang bengkok harus difahami dalam pengertian majazi (kiasan), dalam erti bahawa hadis tersebut memperingatkan para lelaki agar menghadapi perempuan dengan bijaksana. Kerana ada sifat, karakter, dan kecenderungan mereka yang tidak sama dengan lelaki, hal mana bila tidak disedari akan dapat mengantar kaum lelaki untuk bersikap tidak wajar. Mereka tidak akan mampu mengubah karakter dan sifat bawaan perempuan. Kalaupun mereka berusaha akibatnya akan fatal, sebagaimana fatalnya meluruskan tulang rusuk yang bengkok.

Memahami hadis di atas seperti yang telah dikemukakan di atas, justeru mengakui keperibadian perempuan yang telah menjadi kudrat (bawaan)-nya sejak lahir.

Dalam surah al-Isra’ ayat 70 ditegaskan bahawa : “Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam. Kami angkut mereka di daratan dan di lautan (untuk memudahkan mencari kehidupan). Kami beri mereka rezeki yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk-makhluk yang Kami ciptakan.”

Tentu, kalimat anak-anak Adam mencakup lelaki dan perempuan, demikian pula penghormatan Tuhan yang diberikan-Nya itu, mencakup anak-anak Adam seluruhnya, baik perempuan mahupun lelaki. Pemahaman ini dipertegas oleh ayat 195 surah ali-‘Imran yang menyatakan : “Sebagian kamu adalah bagian dari sebagian yang lain”, dalam erti bahawa “sebagian kamu (hai umat manusia yakni lelaki) berasal dari pertemuan ovum perempuan dan sperma lelaki dan sebagian yang lain (yakni perempuan) demikian juga halnya.” Kedua jenis kelamin ini sama-sama manusia. Tak ada perbezaan antara mereka dari segi asal kejadian dan kemanusiaannya.

Dengan konsideran ini, Tuhan mempertegas bahawa : “Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal, baik lelaki maupun perempuan.” (QS 3:195)

Pandangan masyarakat yang mengantar kepada perbezaan antara lelaki dan perempuan dikikis oleh al-Quran. Kerana itu, dikecamnya mereka yang bergembira dengan kelahiran seorang anak lelaki tetapi bersedih bila memperoleh anak perempuan seperti dalam firman-Nya : “Dan apabila seorang dari mereka diberi khabar dengan kelahiran anak perempuan, hitam-merah padamlah wajahnya dan dia sangat bersedih (marah). Ia menyembunyikan dirinya dari orang banyak disebabkan ‘buruk’-nya berita yang disampaikan kepadanya itu. (Ia berpikir) apakah ia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup). Ketahuilah! Alangkah buruk apa yang mereka tetapkan itu.” (QS 16:58-59)

Ayat ini dan semacamnya diturunkan dalam rangka usaha al-Quran untuk mengikis habis segala macam pandangan yang membezakan lelaki dengan perempuan, khususnya dalam bidang kemanusiaan.

Dari ayat-ayat al-Quran juga ditemukan bahawa godaan dan rayuan Iblis tidak hanya tertuju kepada perempuan (Hawa) tetapi juga kepada lelaki. Ayat-ayat yang membicarakan godaan, rayuan syaitan serta ketergelinciran Adam dan Hawa dibentuk dalam kata yang menunjukkan kebersamaan keduanya tanpa perbezaan, seperti : “Maka syaitan membisikkan pikiran jahat kepada keduanya ...” (QS 7:20)

“Lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu dan keduanya dikeluarkan dari keadaan yang mereka (nikmati) sebelumnya....” (QS 2:36)

Kalaupun ada yang berbentuk tunggal, maka itu justeru menunjuk kepada kaum lelaki (Adam), yang bertindak sebagai pemimpin terhadap isterinya, seperti dalam firman Allah, “Kemudian syaitan membisikkan pikiran jahat kepadanya (Adam) dan berkata: “Hai Adam, maukah saya tunjukkan kepadamu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan punah?”” (QS 20:120)

Demikian terlihat bahawa al-Quran mendudukkan perempuan pada tempat yang sewajarnya serta meluruskan segala pandangan yang salah dan keliru yang berkaitan dengan kedudukan dan asal kejadiannya.

Hak-hak Perempuan


Al-Quran berbicara tentang perempuan dalam berbagai ayatnya. Pembicaraan tersebut menyangkut berbagai sisi kehidupan. Ada ayat yang berbicara tentang hak dan kewajibannya, ada pula yang menguraikan keistimewaan-keistimewaan tokoh-tokoh perempuan dalam sejarah agama atau kemanusiaan.

Secara umum surah al-Nisaa’ ayat 32, menunjuk kepada hak-hak perempuan : “Bagi lelaki hak (bagian) dari apa yang dianugerahkan kepadanya dan bagi perempuan hak (bagian) dari apa yang dianugerahkan kepadanya.”

Berikut ini akan dikemukakan beberapa hak yang dimiliki oleh kaum perempuan menurut pandangan ajaran Islam.

Hak-hak Perempuan dalam Bidang Politik

Salah satu ayat yang seringkali dikemukakan oleh para pemikir Islam dalam kaitan dengan hak-hak politik kaum perempuan adalah yang tertera dalam surah at-Taubah ayat 71 : “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebagian mereka adalah awliya’ bagi sebagian yang lain. Mereka menyuruh untuk mengerjakan yang ma’ruf, mencegah yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Secara umum, ayat di atas difahami sebagai gambaran tentang kewajiban melakukan kerja sama antara lelaki dan perempuan dalam berbagai bidang kehidupan yang dilukiskan dengan kalimat menyuruh mengerjakan yang ma’ruf dan mencegah yang munkar.

Kata awliya’, dalam pengertiannya, mencakup kerjasama, bantuan dan penguasaan, sedang pengertian yang dikandung oleh “menyuruh mengerjakan yang ma’ruf” mencakup segala segi kebaikan atau perbaikan kehidupan, termasuk memberi nasihat (kritik) kepada penguasa. Dengan demikian, setiap lelaki dan perempuan Muslimah hendaknya mampu mengikuti perkembangan masyarakat agar masing-masing mereka mampu melihat dan memberi saran (nasihat) dalam berbagai bidang kehidupan. 193

Keikut-sertaan perempuan bersama dengan lelaki dalam kandungan ayat di atas tidak dapat disangkal, sebagaimana tidak pula dapat dipisahkan kepentingan perempuan dari kandungan sabda Nabi Muhamad SAW : “Barangsiapa yang tidak memperhatikan kepentingan (urusan) kaum Muslim, maka ia tidak termasuk golongan mereka.”

Kepentingan (urusan) kaum Muslim mencakup banyak sisi yang dapat menyempit atau meluas sesuai dengan latar belakang pendidikan seseorang, tingkat pendidikannya. Dengan demikian, kalimat ini mencakup segala bidang kehidupan termasuk bidang kehidupan politik. 194

Di sisi lain, al-Quran juga mengajak umatnya (lelaki dan perempuan) untuk bermusyawarah, melalui pujian Tuhan kepada mereka yang selalu melakukannya : “Urusan mereka (selalu) diputuskan dengan musyawarah.” (QS 42:38)

Ayat ini dijadikan pula dasar oleh banyak ulama untuk membuktikan adanya hak berpolitik bagi setiap lelaki dan perempuan. Syura (musyawarah) telah merupakan salah satu prinsip pengelolaan bidang-bidang kehidupan bersama menurut Al-Quran, termasuk kehidupan politik, dalam arti setiap warga masyarakat dalam kehidupan bersamanya dituntut untuk senantiasa mengadakan musyawarah.

Atas dasar ini, dapat dikatakan bahawa setiap lelaki maupun perempuan memiliki hak tersebut, kerana tidak ditemukan satu ketentuan agama pun yang dapat dipahami sebagai melarang keterlibatan perempuan dalam bidang kehidupan bermasyarakat – termasuk dalam bidang politik. Bahkan sebaliknya, sejarah Islam menunjukkan betapa kaum perempuan terlibat dalam berbagai bidang kemasyarakatan, tanpa kecuali.

Al-Quran juga menguraikan permintaan para perempuan pada zaman Nabi untuk melakukan bay’at (janji setia kepada Nabi dan ajarannya), sebagaimana disebutkan dalam surah al-Mumtahanah ayat 12.

Sementara, pakar agama Islam menjadikan bay’at para perempuan itu sebagai bukti kebebasan perempuan untuk menentukan pilihan atau pandangannya yang berkaitan dengan kehidupan serta hak mereka. Dengan begitu, mereka dibebaskan untuk mempunyai pilihan yang berbeda dengan pandangan kelompok-kelompok lain dalam masyarakat, bahkan terkadang berbeda dengan pandangan suami dan ayah mereka sendiri. 195

Harus diakui bahwa ada sementara ulama yang menjadikan firman Allah dalam surah an-Nisaa’ ayat 34, “Lelaki-lelaki adalah pemimpin perempuan-perempuan...”, sebagai bukti tidak bolehnya perempuan terlibat dalam persoalan politik. Kerana - kata mereka - kepemimpinan berada di tangan lelaki, sehingga hak-hak berpolitik perempuan pun telah berada di tangan mereka. Pandangan ini bukan saja tidak sejalan dengan ayat-ayat yang dikutip di atas, tetapi juga tidak sejalan dengan makna sebenarnya yang diamanatkan oleh ayat yang disebutkan itu.

Ayat an-Nisaa’ 34 itu berbicara tentang kepemimpinan lelaki (dalam hal ini suami) terhadap seluruh keluarganya dalam bidang kehidupan rumah tangga. Kepemimpinan ini pun tidak mencabut hak-hak isteri dalam berbagai segi, termasuk dalam hak pemilikan harta peribadi dan hak pengelolaannya walaupun tanpa persetujuan suami.

Kenyataan sejarah menunjukkan sekian banyak di antara kaum wanita yang terlibat dalam soal-soal politik praktis. Ummu Hani misalnya, dibenarkan sikapnya oleh Nabi Muhammad SAW ketika memberi jaminan keamanan kepada sementara orang musyrik (jaminan keamanan merupakan salah satu aspek bidang politik). Bahkan isteri Nabi Muhammad SAW sendiri, yakni Aisyah r.a., memimpin langsung peperangan melawan ‘Ali ibn Abi Thalib yang ketika itu menduduki jabatan Kepala Negara. Isu terbesar dalam peperangan tersebut adalah soal suksesi setelah terbunuhnya khalifah ketiga, Utsman r.a.

Peperangan itu dikenal dalam sejarah Islam dengan nama Perang Unta (656 M). Keterlibatan Aisyah r.a. bersama sekian banyak sahabat Nabi dan kepemimpinannya dalam peperangan itu, menunjukkan bahawa beliau bersama para pengikutnya itu menganut faham kebolehan keterlibatan perempuan dalam politik praktis sekalipun.

Hak-hak Perempuan dalam Memilih Pekerjaan

Kalau kita kembali menelaah keterlibatan perempuan dalam pekerjaan pada masa awal Islam, maka tidaklah berlebihan jika dikatakan bahawa Islam membenarkan mereka aktif dalam berbagai aktiviti. Para wanita boleh bekerja dalam berbagai bidang, di dalam ataupun di luar rumahnya, baik secara mandiri atau bersama orang lain, dengan lembaga pemerintah maupun swasta, selama pekerjaan tersebut dilakukannya dalam suasana terhormat, sopan, serta selama mereka dapat memelihara agamanya, serta dapat pula menghindari dampak-dampak negatif dari pekerjaan tersebut terhadap diri dan lingkungannya.

Secara singkat, dapat dikemukakan rumusan menyangkut pekerjaan perempuan iaitu bahawa “perempuan mempunyai hak untuk bekerja, selama pekerjaan tersebut memerlukannya dan atau selama mereka memerlukan pekerjaan tersebut.”

Pekerjaan dan aktiviti yang dilakukan oleh perempuan pada masa Nabi cukup beraneka ragam, sampai-sampai mereka terlibat secara langsung dalam peperangan-peperangan, bahu-membahu dengan kaum lelaki. Nama-nama seperti Ummu Salamah (isteri Nabi), Shafiyah, Laila al-Ghaffariyah, Ummu Sinam al-Aslamiyah, dan lain-lain, tercatat sebagai tokoh-tokoh yang terlibat dalam peperangan. Ahli hadis, Imam Bukhari, membukukan bab-bab dalam kitab Shahih-nya, yang menginformasikan kegiatan-kegiatan kaum wanita, seperti Bab Keterlibatan Perempuan dalam Jihad, Bab Peperangan Perempuan di Lautan, Bab Keterlibatan Perempuan Merawat Korban, dan lain-lain.

Di samping itu, para perempuan pada masa Nabi SAW aktif pula dalam berbagai bidang pekerjaan. Ada yang bekerja sebagai perias pengantin, seperti Ummu Salim binti Malhan yang merias, antara lain, Shafiyah bin Huyay - 196 - isteri Nabi Muhammad SAW Ada juga yang menjadi perawat atau bidan, dan sebagainya.

Dalam bidang perdagangan, nama isteri Nabi yang pertama, Khadijah binti Khuwailid, tercatat sebagai seorang yang sangat sukses. Demikian juga Qilat Ummi Bani Anmar yang tercatat sebagai seorang perempuan yang pernah datang kepada Nabi untuk meminta petunjuk-petunjuk dalam bidang jual-beli. Dalam kitab Thabaqat Ibnu Sa’ad, kisah perempuan tersebut diuraikan, di mana ditemukan antara lain pesan Nabi kepadanya menyangkut penetapan harga jual-beli. Nabi memberi petunjuk kepada perempuan ini dengan sabdanya : “Apabila anda akan membeli atau menjual sesuatu, maka tetapkanlah harga yang anda inginkan untuk membeli atau menjualnya, baik kemudian anda diberi atau tidak.” (Maksud bagainda jangan bertele-tele dalam menawar atau menawarkan sesuatu).

Isteri Nabi SAW, Zainab binti Jahsy, juga aktif bekerja sampai pada menyamak kulit binatang, dan hasil usahanya itu beliau sedekahkan. Raithah, isteri sahabat Nabi, Abdullah ibn Mas’ud, sangat aktif bekerja, karena suami dan anaknya ketika itu tidak mampu mencukupi kebutuhan hidup keluarga ini. - 197 - Al-Syifa’, seorang perempuan yang pandai menulis, ditugaskan oleh Khalifah Umar r.a. sebagai petugas yang menangani pasar kota Madinah. 198

Demikian sedikit dari banyak contoh yang terjadi pada masa Nabi SAW dan sahabat baginda menyangkut keikut-sertaan perempuan dalam berbagai bidang usaha dan pekerjaan. Di samping yang disebutkan di atas, perlu juga digaris-bawahi bahawa Nabi SAW banyak memberi perhatian serta pengarahan kepada perempuan agar menggunakan waktu sebaik-baiknya dan mengisinya dengan pekerjaan-pekerjaan yang bermanfaat. Dalam hal ini, antara lain, baginda SAW bersabda : “Sebaik-baik ‘permainan’ seorang perempuan Muslimah di dalam rumahnya adalah memintal/menenun.” (Hadis diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dari Abdullah bin Rabi’ Al-Anshari).

Aisyah r.a. diriwayatkan pernah berkata : “Alat pemintal di tangan perempuan lebih baik daripada tombak di tangan lelaki.”

Tentu saja tidak semua bentuk dan ragam pekerjaan yang terdapat pada masa kini telah ada pada masa Nabi SAW. Namun, sebagaimana telah diuraikan di atas, ulama pada akhirnya menyimpulkan bahawa perempuan dapat melakukan pekerjaan apa pun selama ia memerlukannya atau pekerjaan itu memerlukannya dan selama norma-norma agama dan susila tetap terpelihara.

Dengan ilmu pengetahuan dan keterampilan yang dimiliki oleh setiap orang, termasuk kaum wanita, mereka mempunyai hak untuk bekerja dan menduduki jabatan jabatan tertinggi. Hanya ada jabatan yang oleh sementara ulama dianggap tidak dapat diduduki oleh kaum wanita, iaitu jabatan Kepala Negara (Al-Imamah Al-‘Uzhma) dan Hakim. Namun, perkembangan masyarakat dari saat ke saat mengurangi pendukung larangan tersebut, khususnya menyangkut persoalan kedudukan perempuan sebagai hakim.

Dalam beberapa kitab hukum Islam, seperti Al-Mughni, ditegaskan bahawa “setiap orang yang memiliki hak untuk melakukan sesuatu, maka sesuatu itu dapat diwakilkannya kepada orang lain, atau menerima perwakilan dari orang lain”. Atas dasar kaedah itu, Dr. Jamaluddin Muhammad Mahmud berpendapat bahawa berdasarkan kitab fiqih, bukan sekadar pertimbangan perkembangan masyarakat kita jika kita menyatakan bahawa perempuan dapat bertindak sebagai pembela dan penuntut dalam berbagai bidang. 199

Hak dan Kewajiban Belajar


Terlalu banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang berbicara tentang kewajiban belajar, baik kewajiban tersebut ditujukan kepada lelaki mahupun perempuan. Wahyu pertama dari al-Quran adalah perintah membaca atau belajar : “Bacalah demi Tuhanmu yang telah menciptakan... Keistimewaan manusia yang menjadikan para malaikat diperintahkan sujud kepadanya adalah karena makhluk ini memiliki pengetahuan.” (QS 2:31-34)

Baik lelaki mahupun perempuan diperintahkan untuk menimba ilmu sebanyak mungkin, mereka semua dituntut untuk belajar : “Menuntut ilmu adalah kewajiban setiap Muslim (dan Muslimah).”

Para perempuan di zaman Nabi SAW menyedari benar kewajiban ini, sehingga mereka memohon kepada Nabi agar baginda bersedia menyisihkan waktu tertentu dan khusus untuk mereka dalam rangka menuntut ilmu pengetahuan. Permohonan ini tentu saja dikabulkan oleh Nabi SAW.

Al-Quran memberikan pujian kepada ulu al-albab, yang berzikir dan memikirkan tentang kejadian langit dan bumi. Zikir dan pemikiran menyangkut hal tersebut akan mengantar manusia untuk mengetahui rahasia-rahasia alam raya ini, dan hal tersebut tidak lain dari pengetahuan. Mereka yang dinamai ulu al-albab tidak terbatas pada kaum lelaki saja, tetapi juga kaum perempuan. Hal ini terbukti dari ayat yang berbicara tentang ulu al-albab yang dikemukakan di atas. Setelah Al-Quran menguraikan tentang sifat-sifat mereka, ditegaskannya bahawa : Maka Tuhan mereka mengabulkan permohonan mereka dengan berfirman: “Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki mahupun perempuan...” (QS 3:195)

Ini bererti bahawa kaum perempuan dapat berfikir, mempelajari dan kemudian mengamalkan apa yang mereka hayati dari zikir kepada Allah serta apa yang mereka ketahui dari alam raya ini. Pengetahuan menyangkut alam raya tentunya berkaitan dengan berbagai disiplin ilmu, sehingga dari ayat ini dapat difahami bahawa perempuan bebas untuk mempelajari apa saja, sesuai dengan keinginan dan kecenderungan mereka masing-masing.

Ramai wanita yang sangat menonjol pengetahuannya dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan dan yang menjadi rujukan sekian banyak tokoh lelaki. Isteri Nabi, Aisyah r.a., adalah seorang yang sangat dalam pengetahuannya serta dikenal pula sebagai kritikus. Sampai-sampai dikenal secara sangat luas ungkapan yang dinisbahkan oleh sementara ulama sebagai pernyataan Nabi Muhammad SAW : “Ambillah setengah pengetahuan agama kalian dari al-Humaira’ (Aisyah).”

Demikian juga Sayyidah Sakinah putri Al-Husain bin Ali bin Abi Thalib. Kemudian Al-Syaikhah Syuhrah yang digelari Fakhr an-Nisaa’ (Kebanggaan Perempuan) adalah salah seorang guru Imam Syafi’i 200 (tokoh mazhab yang pandangan-pandangannya menjadi anutan banyak umat Islam di seluruh dunia), dan masih banyak lagi lainnya.

Imam Abu Hayyan mencatat tiga nama perempuan yang menjadi guru-guru tokoh mazhab tersebut, yaitu Mu’nisat Al-Ayyubiyah (putri Al-Malik Al-Adil saudara Salahuddin Al-Ayyubi), Syamiyat Al-Taimiyah, dan Zainab putri sejarahwan Abdul-Latif Al-Baghdadi. 201 Kemudian contoh wanita-wanita yang mempunyai kedudukan ilmiah yang sangat terhormat adalah Al-Khansa’, Rabi’ah al-Adawiyah dan lain-lain.

Rasullah SAW tidak membatasi anjuran atau kewajiban belajar hanya terhadap perempuan-perempuan merdeka (yang memiliki status sosial yang tinggi), tetapi juga para budak belian (hamba) dan mereka yang berstatus sosial rendah. Kerana itu, sejarah mencatat sekian banyak perempuan yang tadinya budak belian mencapai tingkat pendidikan yang sangat tinggi.

Al-Muqarri, dalam bukunya Nafhu Al-Thib, sebagaimana dikutip oleh Dr. Abdul Wahid Wafi, memberitakan bahwa Ibnu Al-Mutharraf, seorang pakar bahasa pada masanya, pernah mengajarkan seorang perempuan liku-liku bahasa Arab. Sehingga sang wanita pada akhirnya memiliki kemampuan yang melebihi gurunya sendiri, khususnya dalam bidang puisi, sampai ia dikenal dengan nama al-Arudhiyat kerana keahliannya dalam bidang ini. 202

Harus diakui bahawa pembidangan ilmu pada masa awal Islam belum lagi sebanyak dan seluas masa kita dewasa ini. Namun, Islam tidak membezakan antara satu disiplin ilmu dengan disiplin ilmu lainnya, sehingga seandainya mereka yang disebut namanya di atas hidup pada masa kita ini, maka tidak mustahil mereka akan tekun pula mempelajari disiplin-disiplin ilmu yang berkembang dewasa ini.

Dalam hal ini, Syaikh Muhammad ‘Abduh menulis: “Kalaulah kewajiban perempuan mempelajari hukum-hukum agama kelihatannya amat terbatas, maka sesungguhnya kewajiban mereka untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan rumahtangga, pendidikan anak, dan sebagainya yang merupakan persoalan-persoalan duniawi (dan yang berbeza sesuai dengan perbezaan waktu, tempat dan kondisi) jauh lebih banyak daripada soal-soal keagamaan.” 203

Demikian sekilas menyangkut hak dan kewajiban perempuan dalam bidang pendidikan.

Tentunya masih banyak lagi yang dapat dikemukakan menyangkut hak-hak kaum perempuan dalam berbagai bidang. Namun, kesimpulan akhir yang dapat ditarik adalah bahawa mereka, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, dalah Syaqa’iq Al-Rijal (saudara-saudara sekandung kaum lelaki) sehingga kedudukannya serta hak-haknya hampir dapat dikatakan sama. Kalaupun ada yang membezakan, maka itu hanyalah akibat fungsi dan tugas-tugas utama yang dibebankan Tuhan kepada masing-masing jenis kelamin itu, sehingga perbezaan yang ada tidak mengakibatkan yang satu merasa memiliki kelebihan atas yang lain : “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebagian kamu lebih banyak dari sebagian yang lain, kerana bagi lelaki ada bagian dari apa yang mereka peroleh (usahakan) dan bagi perempuan juga ada bagian dari apa yang mereka peroleh (usahakan) dan bermohonlah kepada Allah dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (QS 4:32)

Maha Benar Allah dalam segala firman-Nya.

Catatan kaki:
  • 190 Muhammad Al-Ghazali, Al-Islam wa Al-Thaqat Al-Mu'attalat, Kairo, Dar Al-Kutub Al-Haditsah, 1964, h. 138.
  • 191 Mahmud Syaltut, Prof. Dr., Min Taujihat Al-Islam, Kairo, Al-Idarat Al-'Amat lil Azhar, 1959, h. 193
  • 192 Muhammad Rasyid Ridha, Tafsir Al-Manar, Kairo, Dar Al-Manar, 1367 H jilid IV, h. 330.
  • 193 Amin Al-Khuli, Prof. Dr., Al-Mar'at baina Al-Bayt wa Al-Muitama', dalam Al-Mar'at Al-Muslimah fi Al-'Ashr Al-Mu'ashir, Baqhdad, t.t., h. 13.
  • 194 Ibid.
  • 195 Jamaluddin Muhammad Mahmud, Prof. Dr., Huquq Al-Mar'at fi Al-Mujtama' Al-Islamiy, Kairo, Al-Haiat Al-Mishriyat Al-Amat, 1986, h. 60.
  • 196 Ibrahim bin Ali Al-wazir, Dr., 'Ala Masyarif Al-Qarn. Al-Khamis 'Asyar, Kairo, Dar Al-Syuruq 1979, h. 76.
  • 197 Lihat biografi para sahabat tersebut dalam Al-Ishabat fi Asma' Al-Shahabat, karya Ibnu Hajar, jilid IV.
  • 198 Muhammad Al-Ghazali, op.cit., h. 134.
  • 199 Jamaluddin Muhammad Mahmud, Prof. Dr., op.cit., h. 71.
  • 200 Ibid., h. 77.
  • 201 Abdul Wahid Wafi, Prof. Dr., Al-Musawat fi Al-Islam, Kairo, Dar Al-Ma'arif, 1965, h. 47.
  • 202 Ibid.
  • 203 Jamaluddin Muhammad Mahmud, Prof. Dr., op.cit., h. 79.

MEMBUMIKAN AL-QURAN - Fungsi dan Peran Wahyu dalam Kehidupan Masyarakat
Dr. M. Quraish Shihab
Penerbit Mizan, Cetakan 13, Rajab 1417/November 1996
Jln. Yodkali 16, Bandung 40124
Telp. (022) 700931 - Fax. (022) 707038
mail to: mizan@ibm.net

Sumber : media.isnet.org


Khamis, Mei 27, 2010

Agar seks sentiasa membara


Selamat sejahtera,

Bacaan ini khas untuk mereka yang sudah ada sijil nikah yang sah sahaja. Kepada mereka yang masih tidak ada pasangan atas sebab musabab tersendiri, jangan nak menggatalkan mata membaca artikel ini. Adalah menjadi tanggungjawab kalian menanggung apa-apa risiko meraban atau raban teben jika masih berdegil untuk menghabiskan artikel ini.

Satu ketika dahulu banyak hak kaum wanita telah dinafikan termasuklah dalam hal yang peribadi iaitu seks. Hanya lelaki yang layak berbicara mengenai seks dan menikmatinya. Sementara wanita sebagai isteri pula harus bersedia melayani suaminya meskipun dia tidak menikmati. Tapi itu semua cerita lebih 50 tahun yang lalu, kini semua pandangan tersebut telah berubah. Kini, masyarakat lebih terbuka, wanita sebagai isteri dapat dan seharusnya menikmati seks. Sekiranya suami isteri menghadapi masalah mengenai seks ia perlulah dibincangkan sesama mereka ataupun mendapatkan bantuan pakar bagi mengatasi permasalahan yang dihadapi.

Suami wajib memberikan apa yang diperlukan oleh isteri dari dirinya. Begitu juga dengan isteri, wajib memberikan apa yang diperlukan suami. Isteri di waktu ini bukan hanya sebagai pemuas nafsu suami. Seks juga perlu dipandang sebagai aktiviti yang murni dan bukan sesuatu aktiviti yang harus dimalukan. Seks merupakan penyatuan lelaki dan wanita untuk mewujudkan kasih yang telah diberikan Tuhan pada manusia. Oleh itu ia seharusnya sesuatu yang harus dihargai.

Seks penting buat suami

Seseorang isteri haruslah menyedari bahawa seks begitu penting dalam perkahwinan dan juga buat suami. Seks merupakan salah satu bentuk komunikasi suami-isteri yang terdalam. Apabila suami-isteri bertengkar dan tidak ada jalan keluarnya, seks merupakan salah satu penyelesaian terbaik untuk mereka rujuk kembali. Sebagai seorang isteri anda harus melakukan sesuatu agar ghairah cinta anda tetap membara tidak kira berapa pun usia pernikahan anda. Jadilah pengambil inisiatif dalam bercinta.

Tubuh wanita dapat membangkitkan ghairah seksual bagi seorang lelaki, jadi jagalah penampilan dan tubuh anda. Namun seorang lelaki bukan hanya memerlukan tubuh isterinya sahaja tetapi juga semangat dan ghairah untuk bercinta dengannya. Bagi mencipta kehidupan seks yang mengghairahkan terdapat dua pendekatan yang boleh dipraktikkan iaitu :

Pendekatan romantis

Ciptakan suasana romantis untuk membangkitkan kembali ghairah untuk bercinta. Mulakanlah memberikan ciuman tak terduga di waktu pagi sambil mengucapkan “I love you”. Selain itu cubalah seminggu sekali sebelum suami anda pulang, anda telah selesai memasak dan memberi makan anak; mandilah dengan sabun mandi yang harum dan riaslah diri anda lain dari biasanya. Sambutlah dengan gembira ketika suami pulang. Jika anda memiliki nama kesayangan sewaktu bercinta dulu, sambutlah suami dengan panggilan itu ketika dia tiba di pintu rumah.

Hargai fizikal suami

Buatlah suami anda berfikir bahawa anda sangat memerlukannya secara fizikal. Rayulah dirinya. Namun untuk merayunya anda harus tahu apa yang disukainya. Sering kali apa yang disukai oleh lelaki tidak disukai wanita. Selain itu buatlah suami anda tahu bahawa anda menyukai dan menghargai fizikalnya. Biarkan dia tahu bahawa tubuhnya memberikan kepuasan seksual tersendiri bagi anda. Anda boleh melakukannya dengan mengucapkan melalui kata-kata anda atau dengan menyentuh tubuhnya. Mungkin matanya, dadanya yang bidang atau senyumnya, katakanlah dengan tulus.

Pastikan dia tahu bahawa dia adalah kekasih yang terbaik. Hayati permainan cintanya dengan semangat. Seorang lelaki sangat gembira bila melihat isterinya menikmati permainan cinta bersamanya. Tapi anda jangan pula pura-pura mengalami orgasma untuk mendorong egonya kerana perkara itu akan membuat suami anda lebih cepat mengalami orgasma sebelum anda. Buat dia memahami akan waktu yang anda perlukan untuk mencapai kenikmatan puncak.

Jangan biar suami hilang ghairah

Isteri juga punya tugas yang cukup penting terutama setelah usia perkahwinan semakin bertambah. Seorang lelaki cukup tertawan dengan penampilan wanita yang sentiasa cantik, oleh itu pergunakanlah kecantikan yang ada untuk menambat hati suami. Jangan berikan alasan anak yang ramai dan kerja yang banyak untuk anda mengabaikan penampilan di rumah dan menolak ajakan seks dari suami. Layanlah suami mengikut kehendaknya dan di samping itu pastikan ghairah suami tetap membara dengan penampilan anda yang seksi dan menggoda ketika bersama dengannya. Nescaya kehidupan seks pasti tiada akan tawar biarpun usia perkahwinan semakin lama.

Sumber : MW


Anak disisih akibat ibu bapa tiada kesedaran tanggungjawab

~ Gambar hiasan dipetik dari sumber ~

Assalamualaikum warahmatullah,

ANAK kehilangan ibu atau bapa bukan lagi senario baru yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Memang bunyinya menjengkelkan, tetapi hakikatnya, ia berlaku dan semakin berleluasa mutakhir ini. Walaupun ada yang meninggalkan anak dengan baik di rumah orang tua mereka, bukan soal keperluan tempat tinggal saja yang diperlukan oleh setiap zuriat yang dilahirkan ke dunia, malah lebih daripada itu.

Ada pelbagai sebab yang memaksa ibu atau bapa atau kedua-duanya ‘lari dari rumah’ atau menghilangkan diri daripada anak yang masih mengharapkan kasih sayang ibu bapa. Kebanyakannya kerana faktor kewangan. Ini terbukti apabila banyak kisah dipaparkan media, jelas menunjukkan anak ditinggalkan dalam keadaan kesempitan hidup, tiada tempat bergantung atau punca kewangan, malah ada yang tidak menjamah makanan beberapa hari lamanya.

Ada juga yang bertindak meninggalkan anak kerana perselisihan faham dengan pasangan. Walaupun lumrah suami isteri ada ketikanya berjauh hati, tetapi menjadikan anak sebagai mangsa kerana masalah rumah tangga adalah sangat tidak adil kepada mereka. Malah anak sepatutnya menjadi penghubung kasih antara dua hati yang nekad berkongsi jiwa apabila sanggup berakad setia sebagai suami isteri. Tidak kurang juga yang meninggalkan anak kerana masalah dadah, judi, juga kerana terbabit dalam kancah kehidupan gelap yang memusnahkan kehidupan berkeluarga.

Hal ini amat mendukacitakan kerana sebagai seorang yang bergelar ibu atau bapa, masalah luaran yang berkait rapat dengan kecelaruan jiwa dan terjerumus ke lembah sosial yang hina sepatutnya tidak berlaku kerana rumah tangga adalah syurga yang menjanjikan kebahagiaan buat setiap insan di dunia.

Sudah tentulah persediaan untuk rumah tangga memerlukan kelengkapan rapi dan teratur. Usia dan kemampuan material tidak lagi menjadi asas utama untuk memungkinkan seseorang itu mendirikan rumah tangga sekiranya tidak cukup matang untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemegang amanah Allah SWT.

Tanpa persiapan dan persediaan untuk menghadapi segala kemungkinan dalam perkahwinan, seseorang perlu menangguhkan dulu hasrat itu sekiranya tidak memudaratkan sisi yang lainnya kerana alam rumah tangga adalah dunia baru yang dikongsi dengan orang lain. Ia memerlukan syura, persefahaman, tolak ansur dan kepercayaan yang diasaskan oleh perintah agama, bukan norma dan sosial yang dipengaruhi faktor setempat semata-mata.

Setiap suami perlu sedar bahawa cantiknya isteri adalah terletak kepada dandanan rohani yang disolek olehnya sendiri. Setiap ibu bapa perlu tahu bahawa masa depan zuriat yang mereka lahirkan adalah bergantung kepada tarbiyah dalam rumah tangga yang mereka bina. Allah SWT berfirman dalam Surah Ath-Thuur, ayat 21 yang bermaksud: “Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, kami hubungkan dengan mereka zuriat mereka dan kami tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal-amal mereka tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.”

Jika ibu bapa sendiri tidak sanggup mendepani cabaran dalam rumah tangga demi anak yang dilahirkan daripada darah daging mereka sendiri, tentulah tiada siapa yang lebih layak untuk mengasihi anak berkenaan. Tiada seorang anak pun yang lahir ke dunia untuk membenci dan memusuhi ibu bapa, justeru, mengapa pula mereka ditinggal bagaikan sampah-sarap yang tidak akan dikutip sesiapa?

Sungguh menyedihkan apabila melihat wajah mereka yang tandus kasih sayang dan perhatian, apatah lagi apabila mereka hanya mampu melirik daripada jauh apabila terpandang teman dipeluk dan diganding ibu bapa masing-masing. Usahkan hendak dipimpin tangan, air segelas pun anak yang ditinggalkan ini tidak tahu di mana hendak ditadah lagi. Ingin menikmati juadah yang enak jauh sekali, sayup di sudut hati mereka hanya ingin supaya ibu bapa mereka memahami, melihat dan mendengar rintihan setiap anak yang ditinggal pergi, bahawa mereka berhak disayangi.

Mereka tidak mahu ibu bapa mereka terus lalai kerana ada peringatan dari Allah SWT terhadap orang sebegini. Firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raf, ayat 179 mafhumnya: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya: mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.”

Penulis, Nik Salida Suhaila Nik Salleh [salidasuhaila99@yahoo.com], ialah Pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom.

Sumber : BHarian 27/05/2010



Capaian entry berkaitan :
  1. Kukuh institusi keluarga
  2. Kain Putih Apa Coraknya?
  3. Mendidik Anak Tanggungjawap Bersama
  4. Masalah dan Cabaran Dalam Mendidik Anak
  5. Didik anak mengikut usia
  6. Bapa moden kurang berinteraksi
  7. Didik anak satu cabaran
  8. Jangan Perlekeh Peranan Bapa
  9. Menangani disiplin remaja
  10. Kewajipan Ibu Bapa Terhadap Anaknya
  11. Tazkirah: Didik remaja elak terjebak kancah zina

Judi pencetus gejala sosial, rosak akidah ummah




Amalan pertaruhan dorong sikap tamak sekali gus memusnahkan keharmonian masyarakat

PADA masa kini, isu berkaitan perjudian sering dipaparkan media. Keadaan ini mempamerkan bahawa ia bagaikan sesuatu yang sukar dibendung. Ia muncul dalam pelbagai bentuk dan rupa. Malah ia menjanjikan habuan dan keuntungan yang cukup lumayan untuk menarik minat ramai orang.

Dengan bermatlamatkan untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda itu, menyebabkan seseorang itu lupa atau sengaja melupai mengenai larangan syarak. Dalam al-Quran jelas wujud larangan berjudi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, arak, judi, pemujaan berhala dan menenung nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor, keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya, moga-moga kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah ayat 90)

Di sini jelas Allah SWT melabelkan judi sebagai sesuatu yang kotor, keji dan jijik. Ia sedikit pun tidak mendatangkan kebaikan, bahkan akan mengotorkan roh dan jasad serta merosakkan perangai dan budi pekerti seseorang.

Bagi menjelaskan lagi betapa keji dan kotornya amalan berjudi itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa bermain kad (berjudi dengannya) maka sesungguhnya ia seolah-olah mencelupkan tangannya ke dalam daging dan darah babi.” (Hadis riwayat Muslim)

Dimaksudkan dengan judi itu ialah setiap perkara yang mempunyai unsur beradu nasib atau pertaruhan, sama ada ia sedikit atau banyak dan kecil atau besar. Walaupun judi diberi nama yang bermacam-macam, berbagai-bagai rupa dan cara seperti loteri, tikam ekor, bertaruh, main ketam, semuanya itu adalah haram dan dosa besar. Walaupun agama Islam awal-awal lagi mengharamkan judi, masih ada di kalangan orang Islam yang membabitkan diri dengan judi. Seperti membeli tiket loteri semata-mata untuk mendapatkan harta atau wang yang banyak dengan cara mudah atau ingin cepat kaya tanpa perlu bersusah payah.

Mereka terpikat dengan hadiah atau ganjaran tinggi. Misalnya, dengan membuat pertaruhan sebanyak RM10, mereka berpeluang mendapat wang berpuluh-puluh ribu ringgit. Gejala seumpama ini menyebabkan ada orang yang sanggup menghabiskan wang dan masa semata-mata untuk berjumpa bomoh, pergi melakukan pemujaan di kubur lama dan pokok besar. Ada juga yang mendapatkan nombor kenderaan yang terbabit dalam kemalangan, mendapatkan nombor daripada mimpi dan sebagainya. Pada tanggapan mereka, hal ini dapat mendatangkan tuah dan keuntungan. Demikianlah keadaan seseorang yang sudah menjadi kaki judi atau hamba judi, mereka sanggup melakukan apa saja walaupun ia bertentangan dengan agama demi mencapai hasratnya.

Allah SWT menerangkan bahawa judi adalah satu daripada perbuatan syaitan, maksiat dan dosa. Perbuatan yang menjerumuskan diri kepada kerosakan akidah, sifat tamak dan rakus yang boleh membawa kepada kebinasaan harta dan jiwa, keruntuhan rumah tangga, menimbulkan hasad dengki, pergaduhan, menghabiskan masa yang akhirnya membawa manusia kepada papa kedana, mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga atau masyarakat dan lebih buruk lagi tanggungjawab terhadap Allah SWT.


~ Gambar hiasan ~ (Sumber)

Selain itu, judi adalah punca kepada dendam, permusuhan, pergaduhan dan membawa kepada bunuh diri. Tabiat pemain judi itu, jika ia kalah pada kali yang pertama, ia akan berasa tidak puas hati dan ingin mencuba dan terus mencuba dengan harapan untuk mendapat kemenangan sehingga menjadikannya hamba judi. Apabila beroleh kemenangan pula ia akan terus bertambah tamak dan gemar berjudi sehingga menjadikan judi sebagai darah dagingnya. Soal kalah dan rugi tidak dipedulikan, yang penting seronok main judi sehingga sanggup bergadai dan berhutang walaupun dapur rumah tidak berasap.

Judi itu amat jijik, kerja maksiat dan dosa besar bahkan dianggap najis dan perbuatan syaitan yang boleh membawa kepada permusuhan dan menghalang daripada ingatkan Allah SWT. Wang judi itu bukan hanya haram dimakan malah juga haram digunakan untuk segala-gala hal seperti membeli pakaian, membina rumah dan sebagainya. Ingatlah bahawa harta dan wang yang diperoleh daripada hasil perjudian tidak akan berkekalan dan tidak berkat. Wang judi tidak menjadikan kita seorang hartawan atau jutawan, tetapi sebaliknya menjadikan kita seorang yang suka berdusta, pemarah dan tidak amanah. Ia juga mendorong kita supaya suka berhutang, tetapi tidak mahu membayarnya dan bermacam-macam lagi sifat yang tercela.

Amat mendukacitakan apabila masih ada umat Islam yang masih gemar berjudi meskipun mereka ketahui keburukan berjudi. Lebih menyedihkan apabila ada di antara mereka yang menjadikan judi sebagai pekerjaan tetap atau sumber mata pencarian. Oleh itu, marilah kita jauhi diri kita daripada terpedaya dengan godaan syaitan dan tidak membabitkan diri dengan perjudian. Mudah-mudahan kehidupan kita mendapat berkat dan diredai Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang, oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?” (Surah al-Ma’idah ayat 91)

Penulis, Mohd Shukri Hanapi, ialah Felo Akademik Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM

Sumber : BHarian 27/05/2010


Rabu, Mei 26, 2010

Penduduk kita makan 1.2 bilion paket mi segera setahun


Assalamualaikum warahmatullah,

Hari ini saya kongsikan entry berkenaan mi segera yang selalunya saya sebut 'maggi'. Melihatkan tajuk di atas, saya tidak pernah menyangka begitu ramai penggemar makanan kategori tidak sihat ini... dan tidak mustahil satu hari nanti mi segera ganti akan menggantikan nasi sebagai makanan ruji.

Setiap kali perkataan mi segera disebut, mungkin ramai di antara kita terbayangkan pelbagai slogan iklan produk makanan itu yang sering dipaparkan di kaca televisyen. Ramai berpendapat walaupun wujud banyak hidangan enak pelbagai bangsa, mi segera tetap menjadi pilihan ramai walaupun dimakan hanya sekali dalam sebulan.

Apakah sebenarnya rahsia perencah makanan berasal dari negara matahari terbit ini sehingga menyebabkan rakyat di negara ini terus menyukai makanan ringkas ini?

Menurut Pengarah Eksekutif Unit Perniagaan Makanan Nestle Products Sdn Bhd, Izham Mohamed, pada tahun lalu saja sebanyak 1.2 bilion paket hidangan mi segera dinikmati rakyat Malaysia. Puratanya 38 paket seorang bagi penduduk di Semenanjung dan 44 paket seorang bagi penduduk di Sabah dan Sarawak.

Untuk mengekalkan prestasi mi segera sebagai antara makanan paling digemari bukanlah satu perkara mudah memandangkan mi segera mempunyai banyak saingan. Izham berkata, satu daripada perkara yang perlu dititikberatkan dalam memastikan keunggulan mi segera sebagai hidangan kegemaran ramai ialah daya usaha pengeluar mi segera dalam inovasi produk mereka.

“Pengubahsuaian dan inovasi ialah amat penting untuk mengekalkan pertumbuhan industri mi segera pada jangka masa panjang. Sebagai pembuat mi segera, kita perlu sentiasa inovatif. Contohnya, mencipta perisa baru, meningkatkan khasiat mi segera atau memberikan produk berkualiti tinggi kepada pengguna,” katanya pada Persidangan Persatuan Mi Segera Dunia (WINA) yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kecekapan pengusaha amat penting dalam memastikan peningkatan kos tambahan tidak ditanggung oleh pengguna yang sekali gus boleh menaikkan harga mi segera.

“Kerana faktor harga murah menjadi tarikan utama menjadikan mi segera mampu dinikmati segenap lapisan masyarakat,” kata Izham.

Izham berkata, mi segera kini semakin digemari di seluruh dunia dan menuju ke arah di mana WINA mahu menjadikan mi segera sebagai makanan global seperti nasi dan roti pada masa akan datang. Ini disokong oleh Pengerusi WINA, Koki Ando, yang menyatakan industri mi segera dunia kini dianggarkan bernilai AS$25 bilion.

“Penggunaan mi segera dunia juga dijangka meningkat kepada 100 bilion sajian dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi berbanding 92 bilion sajian tahun lalu,” katanya pada persidangan yang sama.

Menurut Ando, mi segera kini boleh dikategorikan sebagai makanan dunia disebabkan ia selamat dari segi tempoh lupusnya yang panjang dan boleh dibawa ke mana saja dengan mudah. Ando adalah Ketua Pegawai Eksekutif Nissin Foods Holdings Co Ltd dari Jepun dan anak kepada pencipta mi segera, Momofuku Ando. Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif WINA, Norio Sakurai menjelaskan dengan hidangan 93.6 bilion seluruh dunia pada 2008 saja, WINA merasakan wujudnya asas kukuh mi segera boleh menjadi makanan ruji global.

“Penggunaan mi segera dijangka mencecah 100 bilion hidangan dalam tempoh dua hingga tiga tahun, ditambah pula dengan kemunculan pasaran baru seperti Ukraine, Nigeria dan Russia,” katanya.

Walaupun dilihat industri mempunyai masa depan cerah, industri mi segera juga tidak terlepas daripada cabaran yang perlu dihadapi pengusaha. Antara cabaran itu ialah penggunaan bahan perisa seperti sodium (garam) yang sering menjadi punca terhadap pelbagai dakwaan yang mengatakan mi segera tidak mempunyai zat secukupnya untuk menjadi makanan berkhasiat.

“Pengurangan sodium di dalam mi segera adalah cabaran terbaru industri ini... kita tidak boleh mengurangkannya secara drastik, tetapi boleh melakukannya secara berperingkat,” kata Ando.

Bagi pengusaha mi segera utama di Malaysia pula iaitu Nestle, Izham berkata, pihaknya sendiri berusaha mengurangkan penggunaan sodium sebanyak 15% dalam kandungan perisa mi segeranya sejak lima tahun lalu. Namun katanya, selepas menerima maklum balas pengguna yang merungut akibat rasa mi segera yang kurang sedap menyebabkan Nestle mengurangkan kandungan sodium sebanyak 5% saja dalam perisa mi setiap tahun.

Dalam pada itu WINA yang diadakan julung-julung kali di Kuala Lumpur pada 21-22 April lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menghimpunkan lebih 120 delegasi. Pada persidangan dua hari itu, pakar-pakar ini membincangkan semua aspek ekonomi, diet, persekitaran, teknikal dan impak sosial mi segera.

Antara negara yang turut serta ialah Russia, Brazil, Vietnam, Filipina, Indonesia, Jepun, Korea, Thailand, Taiwan, China, India dan tuan rumah Malaysia.

Ando dalam membicarakan mengenai impak sosial mi segera berkata, sejak 2004, Tabung Bencana WINA mengagihkan sebanyak 1.8 juta sajian mi segera kepada mangsa bencana alam. – Bernama

Sumber artikel : BHarian 26/05/2010

[ALERT : Walaupun mi segera disahkan selamat dimakan, namun ia mungkin tidak selamat jika lambat disediakan : Suami pukul isteri lambat masak mi]




Capaian entry berkaitan :

Mi segera disahkan selamat dimakan


KUALA LUMPUR: Hasil analisis makmal Kementerian Kesihatan mendapati mi segera selamat untuk dimakan oleh orang ramai.

Analisis oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengenai kandungan garam di dalam sepeket mi segera itu mendapati kandungan bahan berkenaan tidak melebihi tahap yang disyorkan pihak kementerian.

Pengarah BKKM, Noraini Mohd Othman, berkata secara purata, kandungan garam dalam satu peket mi segera di negara ini adalah antara 2 gram (g) dan 3 g, manakala pihak kementerian yang merujuk pada Panduan Diet Malaysia mengesyorkan pengambilan 5 g sehari bagi orang dewasa dan 4.75 g sehari bagi kanak-kanak selaras saranan Institut Perubatan.

“Ini bermakna sepeket mi segera tanpa bancuhan air mengandungi lebih kurang 50% garam daripada yang disyorkan dan jumlah berkenaan akan menjadi lebih rendah apabila 400 mililiter (ml) air dicampurkan dalam penyediaannya,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Selain itu, beliau berkata, kementerian turut menjalankan analisis makmal ke atas 73 jenis bekas makanan, termasuk bekas mi dalam cawan yang diperbuat daripada plastik jenis polipropilena serta polistirena dan ujian mendapati semua sampel yang digunakan membuat cawan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sebelum ini meminta kementerian itu menjalankan kajian makmal bagi membuktikan kesahihan dakwaan mi segera tidak mendatangkan mudarat kepada pengguna khasnya terhadap kanak-kanak dan orang dewasa.

Noraini menjelaskan tahap piawai garam dalam mi segera tidak termaktub dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana penggunaan garam oleh pihak industri bagi produk mereka adalah bergantung kepada formulasi produk dan tahap penerimaan pengguna.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya bijak memilih makanan bagi memastikan pengambilan garam dalam diet seharian mengikut syor yang disarankan bagi mengurangkan risiko masalah kesihatan selain mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan yang berkhasiat dan bersenam.

Sumber : BHarian 26/05/2010