Kesibukan ibu bapa mencari wang untuk kesenangan anak-anak kadangkala boleh menimbulkan impak besar dalam soal kasih sayang. Ibu bapa memikirkan kewangan sangat penting sebagai jaminan hidup tetapi lupa bahawa tanpa kasih sayang, pemberontakan jiwa anak boleh berlaku.
Minggu ini, kita berkongsi kisah seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam tentang soal keluarganya yang begitu sibuk dan mengabaikan kasih sayang untuk dirinya. Mungkin juga kasih sayang yang dicari dari orang lain membuatkan dirinya “kelemasan” soal duniawi. Semoga kisahnya menjadi iktibar kepada para pembaca khususnya ibu bapa yang mungkin memikirkan duit adalah segala-galanya.
SOALAN :Saya seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam, berusia belasan tahun. Apa yang ingin saya kongsi di sini ialah mengenai sikap keluarga dan percintaan yang terhalang. Ia benar-benar membuatkan saya berasa sedih.
Saya mempunyai bilangan adik-beradik yang agak ramai, enam orang. Ayah seorang yang sangat berjaya dalam kehidupan manakala emak pula mempunyai perniagaan dalam bidang penyediaan makanan. Sejak dulu, kehidupan keluarga kami tidak pernah aman, selalu saja bermasalah. Mungkin dari segi kewangan, kami sangat stabil tetapi dari segi kasih sayang kami sangat kurang.
Saya tinggal jauh dari keluarga, oleh sebab itu saya tidak tahu masalah yang dihadapi mereka kerana ibu tidak rapat dengan saya. Kadangkala saya hanya mendapat tahu masalah itu dari adik yang rajin bercerita soal keluarga.
Untuk makluman puan kaunselor, kakak sulung saya sudah mendirikan rumahtangga dan dikurniakan dua orang anak tetapi malang, suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap. Saya tidak pernah melihat mereka membuat simpanan tetap sebagai jaminan hari tua mereka. Bila masuk saja gaji, mereka akan boros berbelanja, membeli barangan yang bukan kegunaan.
Hutang banyak tetapi lebih banyak dibuang pada perkara tidak berfaedah. Bukan keluarga saya tidak pernah tolong selesaikan masalah hutang piutang keluarga kakak sebaliknya kakak hanya memuji yang menolong dia selama ini hanyalah keluarga sebelah suaminya, bukan keluarga kami.
Semua perkara ini membuatkan ibu berasa sedih dan kecil hati. Bila mahu berjumpa anak-anaknya, kami perlu mengikut masanya malah suami kakak juga bagaikan hanya mengikut telunjuk sahaja.
Masalah kedua membabitkan abang, satu-satunya anak lelaki tunggal dalam keluarga kami. Apa yang saya tidak suka ialah sikap isterinya yang pandai bermuka-muka. Perangainya merosakkan keluarga saya, bila di depan abang, semuanya nampak manis dan baik sedangkan di belakang hanya Allah yang tahu niatnya. Kakak ipar cukup pandai, dia memberi wang kepada ibu dan ibu agar boleh melupakan kesalahan yang dia pernah dilakukan.
Masalah ketiganya, dibawa oleh kakak pula. Caranya cukup menyombong diri, sudah lupa diri. Bila dia pulang ke rumah, ibu akan memujinya. Sebagai anak, saya cukup terasa dengan sikap ibu yang pilih kasih. Bila kakak ada di rumah juga setiap hari saya akan dimarahi ibu malah cara ibu berbicara juga sangat berbeza. Terkilan sungguh hati saya bila ibu berbuat begini.
Kisah keempat ialah mengenai diri saya. Saya pernah jatuh cinta dan benar-benar menyayanginya sepenuh hati. Apa saja saya sanggup buat untuknya. Bukan saya mahu membuka aib diri sendiri tetapi dalam keadaan sekarang, saya sangat tertekan. Sebenarnya hubungan kami sudah jauh, saya pernah terlanjur bersamanya. Namun akhirnya saya kecewa kerana dia mempunyai perempuan lain.
Saya cukup terkilan dan benar-benar bertaubat di atas dosa lalu. Juah di sudut hati menyesal dengan segala yang telah berlaku. Hinggalah suatu hari, seorang lelaki menyatakan hasratnya untuk bercinta dengan saya. Saya menerimanya dengan seikhlasnya, syukur kepada Allah kerana masih ada lelaki yang menerima saya dengan seadanya.
Melihat kepada keikhlasannya, saya menceritakan semua perkara yang terjadi dan pernah berlaku sebelum ini termasuk saya pernah terlanjur. Alhamdulillah, dia dapat menerima keadaan diri saya. Malah saya juga mendapat tahu, dia anak kepada kawan ayah saya. Dia nekad untuk berkahwin dengan saya, dia bawa keluarganya berjumpa dengan keluarga saya. Alhamdulillah, keluarganya dapat menerima saya. Jujur saya katakan puan kaunselor, saya tidak pernah jumpa dengan lelaki yang betul-betul bersabar dan dapat menerima keluarga saya seadanya. Dia selalu menasihati saya agar tidak tinggal sembahyang malah juga menyuruh menjaga hubungan kami sebaiknya.
Tetapi akhir-akhir ini, emaknya tidak boleh menerima saya. Hati saya sangat hampa. Dulu, saya mengakui saya sangat sosial tetapi kini sudah jauh berubah. Saya tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan. Saya sayangkan dirinya. Saya ingin berkahwin dengannya. Bantulah saya.
JAWAPAN :Assalamualaikum WRT,
Cik yang dimuliakan...
Keluarga merupakan satu institusi yang menggabungkan beberapa orang manusia yang mempunyai pertalian darah yang hidup selesa dan berkasih sayang. Keluarga yang terdiri daripada ibu, bapa, abang, adik dan kakak merupakan keluarga yang lengkap dan berperanan sebagaimana yang dicorakkan. Namun personaliti setiap ahli dalam keluarga amat berbeza dan tidak konsisten.
Ada yang yakin dengan perkembangan masa depan, tidak kurang pula yang hanya mengambil jalan mudah dan berbagai kerenah lagi yang mencorakkan tingkah laku manusia yang berkeluarga. Pendek kata setiap ahli dalam keluarga mempunyai ciri-ciri peribadi yang unik yang boleh bersikap menurut perintah, egoistik, tidak kisah, mengalah, amanah, materialistik dan berbagai sikap baik dan buruk yang ditonjolkan mengikut batasan ilmu dan kecerdasan akal serta emosi masing-masing.
Apabila kehidupan dalam keluarga sudah menjadi sebati dalam hidup manusia maka berbagai personaliti yang boleh dicorakkan, disebatikan atau menimbulkan percakaran, perbalahan dan sebagainya hasil daripada pandangan yang berbeza walaupun lahir dari keturunan yang sama. Maka tidak hairanlah perbezaan gaya hidup, pergaduhan, permusuhan, iri hati, dengki boleh menular dalam ahli keluarga yang boleh berlarutan sehingga akhir hayat.
Coretan cik bermula dengan masalah kakak dan suaminya yang boros dan tiada simpanan kemudian abang dan isterinya yang suka menjadi “batu api” dalam keluarga cik, kemudian kakak cik yang masih belajar.
Akhir sekali tentang cik yang pernah terlanjur serta teman lelaki yang terkini telah mula menjauhkan diri dari cik. Setelah membaca coretan ini saya mengandaikan cik terlalu memberi tumpuan kepada keluarga cik dan cuba mencari penyelesaian kepada semua masalah dalam keluarga.
Cik merasakan seolah-olah cik sahajalah yang layak untuk meleraikan segala krisis yang berlaku dalam keluarga. Cik juga cuba untuk menyusun keluarga cik mengikut ‘kebahagiaan’ ciptaan cik yang belum tentu sesuai dengan mereka yang telah menjalani kehidupan mengikut keselesaan mereka.
Apa yang boleh buat adalah mengasingkan mengikut prioriti tentang apa yang sebenarnya menjadi masalah cik dan keperluan untuk cik untuk menyelesaikannya.
Pertama, cik perlu faham keadaan diri cik yang terlalu memberi perhatian kepada cara hidup keluarga kakak dan abang cik yang telah berkeluarga. Mereka mampu untuk menguruskan keluarga mereka mengikut acuan mereka.
Cik boleh fikirkan tetapi tidak akan memberi faedah pada diri cik kerana mereka akan meneruskan kehidupan sebagaimana yang mereka corakkan walaupun cik tidak suka.
Maka cik akan membazirkan masa cik memikirkan masalah untuk orang lain sedangkan cik tidak mampu mengubah personaliti yang sudah sebati dalam kehidupan mereka. Tambahan pula abang cik dan keluarganya serta kakak cik dan keluarganya juga perlu mengambil masa dalam menyesuaikan diri dengan sikap masing-masing. Ada kala sikap yang ditonjolkan bertentangan dengan cik maka cik juga mengambil masa untuk mengadaptasikan sikap mereka yang masuk dalam keluarga cik.
Hal yang sama pasti akan berlaku jika cik pula masuk dalam keluarga “suami” cik nanti. Oleh itu cuba cari persamaan dalam sikap masing-masing dan memahami serta menghormati perbezaan yang ditonjolkan. Apa yang penting cik telah dikurniakan keluarga yang semakin ramai hasil dari perkahwinan abang dan kakak cik.
Kedua, cik sendiri perlu sesuaikan diri dengan perubahan kerana cik tidak akan mampu mencipta perubahan kepada orang lain. Contohnya pada kakak cik yang balik untuk cuti semester dan berkelakuan semakin sombong serta kekasih hati cik yang dah mula menjauhkan diri daripada cik.
Cik perlu tanya diri cik mampu atau tidak berada dalam situasi mereka, jika tidak mampu maka cik keluar dari situasi tersebut dan fokuskan diri cik kepada kerjaya dan masa depan cik. Dalam masa yang sama cik perlu tegas diri (asertif) dengan apa yang cik mahu lakukan bukan sekadar mengikut saja kehendak orang lain dan menggadaikan maruah diri hanya untuk sebuah cinta yang palsu.
Angkatlah martabat dan maruah diri cik sebagai wanita yang hanya akan memberi cintanya sepenuh hati kepada lelaki yang bergelar suaminya sahaja bukan semua lelaki yang dikenali.
Oleh itu cik tidak perlu takut apabila kekasih hati cik menjauhkan diri kerana hubungan itu masih tidak pasti dan cinta yang dihulurkan juga masih kabur serta menjadi tanda tanya.
Yakinlah jika kekasih cik sememangnya ikhlas dengan cik untuk memperisterikan cik maka tidak perlu dikejar kekasih cik, kerana cinta bukan paksaan dan cinta bukan memenuhi tuntutan seksual semata-mata tetapi cinta adalah amanah antara manusia dengan manusia terhadap penciptanya.
Ketiga, cik mempunyai tanggungjawab yang amat besar kepada masa depan kerjaya cik, maka tidak perlu membazir waktu memikirkan semua ini. Tumpukan kepada masa depan cik. Bina kerjaya sebaik mungkin agar cik boleh mencorakkan keluarga menjadi manusia yang beriman dan berilmu. Kemudian barulah cik dapat mengubah cara hidup keluarga melalui “role model” yang jelas dan nyata.
Dekatkan diri dengan Allah SWT kerana kekalutan yang berlaku dalam keluarga cik sedikit sebanyak disebabkan oleh kejahilan dan tumpuan kepada duniawi sahaja. Hasilnya hubungan dengan Tuhan sangat kurang maka masing-masing kurang rasa hormat antara satu sama lain dan tidak melaksanakan amanah dengan berkesan.
Cik yang dihormati, fahamilah bahawa bahtera kehidupan yang Allah SWT bentangkan kepada kita adalah mengikut apa yang kita pilih melalui kebijaksanaan akal, iman serta ilmu yang menjadi bekalan hidup kita.
Maka seterusnya kita akan membina matlamat kehidupan masing-masing dalam mencorakkan kehidupan. Beruntunglah mereka yang melakukan semua ini dengan bermatlamatkan kepada keredhaan Allah SWT. Oleh itu kejarlah keredhaan Allah SWT dan pasti cik tidak akan kecewa seumur hidup cik.
Dalam usia kehidupan cik yang terlalu muda ini usah bazirkan diri cik dengan berbagai perkara yang membebankan fikiran, sebaliknya berikan, tonjolkan, luahkan, bincangkan kasih sayang tersebut dengan memikul amanah dari Allah SWT, insya-Allah keluarga cik akan menemui jalan bahagia di masa depan.
Petikan di MW.