Assalamualaikum warahmatullah,
Hari ini Laman-Seri kongsikan satu email yang menarik yang diterima dalam mail box. Saya kongsikan di sini : Berapa ramai lelaki yang boleh menjadi imam??
Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam, kita kata, “OK jer... Syhhh.. Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.”
“Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak?!” Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami. Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya disuruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja. Sementelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.
“Habis sekarang kenapa tidak belajar?” Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat.
“Sedang belajarlah ni, tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga, sibuk juga belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!” Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala. Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak.
Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara UTAMA dan ungkapan popular yang sering kita dengar ialah “jika hendak memikat suami, perlu pikat seleranya”. Kalau wanita tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal pula. Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan. Budaya orang Melayu, ikat suami melalui perut, masak sedap-sedap, bagi suami makan. Sebab itu ramai lelaki berperut buncit, sama naik macam perut isteri yang mengandung!
Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya (sekarang bukan sesuatu yang asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami). Namun kedudukan suami kononnya umpama raja tidak berdaulat tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam. Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu.
“Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu boleh jadi imamkah?” Dengus teman wanita yang lain. Betul juga. Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama isteri dan anak-anak sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya?
Mengapa sempurna seorang wanita itu diukur dari kebolehannya memasak? Apakah kriteria yang telah diajar oleh Rasulullah SAW dalam mencari calon isteri? Nampaknya ramai yang tersasar dari panduan yang diberikan, jadi tidak mustahillah baru sahaja berkahwin sudah ada banyak masalah rumahtangga yang akhirnya membawa kepada perceraian.
Jika wanita diukur dengan kebolehan memasak, lelaki WAJAR diukur dengan kebolehannya untuk memimpin. Wanita sepatutnya tetapkan standard bakal suami mampu menjadi imam sebagai syarat utama untuk dilantik menjadi suami. Tidak mustahil ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup.
Alah bisa tegal biasa... Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah. Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga. Tak gitu?
Ðisebabkan lelaki sering meletakkan syarat ‘pandai memasak’ kepada wanita, maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini, “Anda boleh menjadi imam?”
Ternyata ramai yang menjawap tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal. Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri. Tidak sedar tahu agaknya berapa banyak pahala dapat dikumpul untuk sembahyang jemaah bagi pasangan yang sudah berkahwin. Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.
Isu bakal pemimpin patut berkualiti ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami. Sepatutnya, sebagai orang Islam, kita wajar utamakan ajaran Rasulullah SAW, yang penting amal ibadah pada Allah Taala. Panduan yang diberikan daripada wahyu Allah dan sunnah Rasulullah juga tidak diberi perhatian serius menyebabkan kebahagiaan hakiki yang dicari gagal ditemui walaupun hakikatnya semua itu berada depan mata. Bagaimana hendak bahagia, Allah dan Rasulullah sudah bagi panduan dalam surah An-Nisa untuk kita semua ikut tetapi tidak mahu ikut?
Suami sebagai ketua keluarga perlu sentiasa membimbing ahli keluarga, memastikan mereka memenuhi tuntutan agama selain menghiasi rumah tangga dengan solat, membaca al-Quran serta pencarian ilmu. Suami kena mantap ilmu agamanya, baru dia faham tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang suami ialah mendidik isteri dan anak-anak ke arah Islam.
Ramai suami tidak tanya isteri sudah solat ke belum. Yang mereka tanya, masak apa hari ini dan jika tidak masak, mereka marah tetapi jika isteri tidak solat, mereka tak marah pula. Salah satu contoh suami marah isteri dalam isu masak di entry Suami pukul isteri lambat masak mi. Pelik punya species nih!
Suami patut ambil tahu, tugas isteri hanya melayan suami dikamar beradu dan mengasuh anak anak. Masak sedap-sedap, basuk kain, lipat dan seterika baju, kemas rumah... bla... bla... bla... itu semua bukan kewajipan seorang isteri. Orang Melayu khususnya adat budaya dijunjung tinggi, al-Quran dan sunnah dilupakan. Sedih betul....
Lelaki wajar cermin diri dan mampu menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa queen control. Kemampuan seorang lelaki yang untuk memimpin solat ini sangat bergantung atau ‘reflect’ kepada kebolehan seorang suami untuk memimpin keluarga ke arah Islam yang sebenarnya. Mengimamkan solat adalah tugas asas dan tugas pertama yang harus dilakukan oleh seorang suami demi membentuk baitul muslim. Persoalannya, berapa ramai yang mampu? Tidak ramai yang mampu kerana jahil, tidak mahu belajar dan paling sedih tak ambil kisah, malah yang tak solat pun ramai.
Jika wanita disuruh belajar, lelaki dahulu wajar belajar. Bukankah QS 4:34 jelas menyatakan, “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita...”?
Apakah ciri-ciri yang patut dicari dan dipertimbangkan oleh seorang wanita apabila dia ingin memilih calon suami? Berikut disenaraikan ciri-ciri yang penting, berdasarkan turutan kepentingannya.
Pertama: Agama
Ciri pertama yang mesti diperhatikan ialah agama calon suami. Pastikan suami seorang muslim. Jika dia seorang bukan muslim, jemputlah dia ke arah agama Islam. Pastikan sebab utama dia memeluk Islam ialah kerana sayangkan Allah dan Rasulullah, bukan kerana sayangkan anda.
Jika calon memang beragama Islam, maka langkah seterusnya ialah memerhatikan tahap keislamannya. Kita tidak mahu Islam yang biasa-biasa, tetapi muslim yang berilmu, beriman dan beramal shalih.
Di sini calon suami bukanlah semestinya seorang ustaz berkelulusan jurusan agama. Akan tetapi dia hendaklah orang yang menaruh minat kepada Islam, berusaha untuk mendalami ilmu-ilmunya, rajin mengerjakan amal shalih dan menjauhi perkara mungkar. Ini penting kerana suami dipertanggungjawabkan untuk memelihara dirinya dan rumahtangganya dari api neraka. Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.” (Surah al-Tahrim 66:06)
Perkara penting untuk turut diperhatikan, jangan hanya harap suami memiliki nilai agama yang bagus. Anda juga sebagai isteri mesti memiliki nilai agama yang baik agar dapat memainkan peranan sebagai isteri yang berilmu, beriman dan beramal shalih. Tidak dilupakan, sebagai isteri yang dapat menasihati dan membetulkan suami.
Ini kerana kaum muslimin (lelaki) dan muslimat (perempuan) sebenarnya saling membantu antara satu sama lain, seperti firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, sebahagiannya menjadi penolong bagi sebahagian yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah 9:71)
Kedua: Keluarga
Ciri kedua yang perlu diperhatikan ialah sikap calon suami kepada keluarganya, khasnya ibubapanya. Ini kerana Islam amat menekankan seorang anak untuk berbuat baik kepada ibubapanya. Rasulullah bersabda: “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” (Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1899)
Maka calon suami itu jika dia memiliki kefahaman agama yang baik akan memastikan ibu bapanya redha dan senang menerima anda sebagai bakal menantu. Jika tidak, dia akan bercakap dengan penuh hikmah dan hormat bagi menyakinkan ibubapanya menerima anda sebagai bakal menantu. Dia tidak akan membelakangkan ibubapanya kerana anda, dia tidak akan menderhakai ibubapanya kepada anda. Calon suami hendaklah pandai memainkan peranannya di jalan pertengahan di antara ibubapanya dan anda sebagai bakal isterinya.
Di antara ayah dan ibu, seorang anak hendaklah mengutamakan ibunya. Justeru perhatikan bagaimana layanan calon suami terhadap ibunya kerana ia memiliki kaitan yang amat kuat dengan bagaimana dia bakal melayan anda sebagai isteri. Seorang anak lelaki yang melayan ibunya dengan penuh keprihatinan besar kemungkinan akan melayan bakal isterinya dengan penuh keprihatinan juga. Seorang anak lelaki yang mengabaikan ibunya besar kemungkinan akan mengabaikan isterinya juga.
Ketiga: Ciri Kepimpinan
Lelaki, yakni suami, ialah pemimpin dalam sebuah institusi keluarga. Allah menyatakan tanggungjawab ini, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.” (Surah al-Nisa’ 4:36)
Maka hendaklah anda memerhatikan ciri-ciri kepimpinan calon suami anda. Berikan dia satu senario dan perhatikan bagaimana dia membuat keputusan. Berikan dia satu permasalahan dan perhatikan bagaimana dia menyelesaikannya. Berikan dia satu perancangan dan perhatikan bagaimana dia mengaturnya. Berikan dia satu amanah dan perhatikan bagaimana dia bertanggungjawab ke atasnya.
Berkenaan ciri kepimpnan ini, hendalah diketahui bahawa kebanyakan lelaki masa kini ketandusan ciri kepimpinan. Ini kerana kebanyakan ibubapa mendidik anak lelaki dengan cara membiarkan mereka bermain di luar rumah sesuka hati manakala anak perempuan dididik sikap tanggungjawab menguruskan adik-adik dan pelbagai urusan lain. Hasilnya, kebanyakan wanita bersikap dewasa dan bertanggungjawab manakala kebanyakan lelaki bersikap “sesuka hati” dan tidak memiliki hala tuju yang tertentu.
Berpijak atas sejarah pendidikan ini, maka janganlah mengharapkan calon suami memiliki ciri kepimpinan yang baik. Boleh dijangkakan dia lemah dalam bab ini, maka anda boleh memainkan peranan menyedarkannya dari tidur yang lena. Berikan dia masa dan ruang untuk meningkatkan ciri kepimpinannya.
Keempat: Kewangan
Suami bertanggungjawab ke atas kewangan (nafkah) isterinya. Rasulullah mengingatkan para suami: “Bertaqwalah kepada Allah berkenaan isteri-isteri kalian….mereka memiliki hak di atas kamu, iaitu nafkah dan pakaian pada kadar yang berpatutan.” (Shahih Muslim, no: 2137)
Perlu dibezakan, tanggungjawab kewangan suami ke atas isteri bukanlah bererti suami mesti kaya. Tidak ada manfaat memiliki suami yang kaya tetapi kedekut, suami yang berharta tetapi tidak memberi nafkah, suami yang berstatus tinggi tetapi masih meminta duit isteri. Akan tetapi yang penting lagi bermanfaat ialah suami yang sedar tanggungjawabnya untuk memberi nafkah kepada isteri pada kadar yang dia mampu.
Perlu juga ditekankan, suami tetap wajib memberi nafkah kepada isteri sekalipun isteri memiliki harta atau pendapatan sendiri. Suami tidak boleh mengabaikan tanggungjawabnya memberi nafkah kepada isteri yang kaya atau berpendapatan, juga tidak boleh memaksa isteri mengeluarkan belanja untuk menampung kewangan keluarga. Isteri dibolehkan mengeluarkan belanja atas pilihan dirinya secara rela, bukan paksaan.
Kelima: Akhlaknya
Ciri kelima yang tidak kurang penting ialah akhlak calon suami. Rasulullah SAW menekankan: “Sesungguhnya tidaklah sikap santun terdapat pada sesuatu melainkan ia menghiasinya dan tidaklah ia (sikap santun) tercabut dari sesuatu melainkan ia memburukkannya.” (Shahih Muslim, no: 2594)
Cara penampilan, kekemasan pakaian, arah pandangan, bahasa percakapan, kesungguhan mendengar, kejujuran mengaku salah, rendah diri menerima teguran, sabar terhadap apa yang tidak diingini, tenang dalam suasana marah, senyum dalam suasana tenang dan tegas dalam suasana dizalimi, semuanya adalah akhlak mulia yang perlu diperhatikan.
Jangan sekadar memerhatikan akhlak calon suami kepada anda kerana lazimnya ia mestilah baik. Akan tetapi perhatikan akhlak dia kepada orang lain seperti ahli keluarga, rakan kerja, peniaga buah dan pelayan restoran. Dengan cara ini anda dapat bezakan sama ada akhlak baik yang ditunjukkan calon suami kepada anda adalah tulen atau pura-pura.
Jangan sampai tersilap pilih... kelak anda juga yang merana....
Tips pilihan dari : qawanitadanperkahwinan
Capaian entry berkaitan :
* Cara-menilai-lelaki-bakal-suami
“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”
“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”
Jumaat, Mac 11, 2011
Ciri-ciri suami pilihan
Susunan :
Bawang Goreng
pada
3/11/2011 09:03:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
carilah suami yang baik bahasanya... kerana bahasa mampu menjaga hati seorg isteri. bagaimana nak jadi ketua keluarga kalau bahasa pun x ada... ramai boleh jadi imam, tp bahasa xda, dgn org tua pun krg ajar..jauhi lelaki sebegini..
BalasPadam