“YA ALLAH, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA PERASAAN SEÐiH ÐAN ÐUKACiTA, AKU BERLINÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA LEMAH ÐAN MALAS, AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BAHKiL ÐAN PENAKUT ÐAN AKU BERLiNÐUNG KEPAÐAMU ÐARiPAÐA BEBAN HUTANG ÐAN TEKANAN PERASAAN.”


“YA ALLAH, BUKAKANLAH UNTUKKU PiNTU-PiNTU KEBAiKAN, PiNTU-PiNTU KESELAMATAN, PiNTU-PiNTU KESiHATAN, PiNTU-PiNTU KENiKMATAN, PiNTU-PiNTU KEBERKATAN, PiNTU-PiNTU KEKUATAN, PiNTU-PiNTU CiNTA SEJATi, PiNTU-PiNTU KASiH SAYANG, PiNTU-PiNTU REZEKi, PiNTU-PiNTU iLMU, PiNTU-PiNTU KEAMPUNAN ÐAN PiNTU-PiNTU SYURGA, YA ALLAH YANG MAHA PENGASiH LAGi MAHA PENYAYANG.”


Jumaat, Mac 18, 2011

Mukmin pemurah disayangi masyarakat, murah rezeki


Assalamualaikum warahmatullah,

SIFAT murah hati mencerminkan kejernihan jiwa yang sentiasa mendapat sorotan cahaya iman. Ia sifat terpuji yang dimiliki kalangan Nabi dan Islam menggalakkan umat mewarisinya.

Orang yang dirinya dihiasi sifat murah hati sudah pasti memahami semangat persaudaraan perlu diutamakan dan mengasihi sesama insan sebagai mana ia mengasihi dirinya sendiri adalah manifestasi dorongan iman yang kuat, di samping menyedari setiap rezeki dimiliki hanyalah pinjaman Allah SWT untuk diurus sebaik-baiknya.

Oleh itu, apabila ada seseorang ditimpa kesusahan, dia akan cepat-cepat menghulurkan bantuan mengikut kemampuan yang ada, sekalipun dirinya sendiri tersepit dalam kesusahan. Bantuan itu sebagai satu jalan untuk merapatkan hubungan persaudaraan dan mendekatkan diri kepada Allah demi memperoleh keredaan-Nya, bukan kerana nama atau ada maksud tertentu.

Inilah yang termaktub dalam sepotong firman Allah bermaksud: “(Iaitu) orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 134)

Pemberian itu sama ada zakat, sedekah, derma atau hadiah adalah sumbangan yang menunjukkan seseorang itu memiliki sifat bermurah hati terpancar dari ketakwaan. Suruhan supaya saling membantu bukan hanya ditujukan kepada orang berada, malah mereka yang berpendapatan rendah.

Sesungguhnya sesiapa yang dipelihara daripada bersifat kikir dan kedekut adalah golongan bernasib baik dan diberi layanan terbaik oleh Allah. Firman Allah bermaksud: “Dan barang siapa dijaga dirinya dari kekikiran, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Surah At-Taghaabun ayat 16)

Murah hati dan dermawan sesungguhnya sudah membudaya dalam kehidupan umat Islam hari ini. Apabila terdengar berita mengenai penduduk yang ditimpa musibah seperti banjir atau kebakaran maka tanpa perlu dikerah semuanya berebut-rebut untuk memberi bantuan baik dalam bentuk wang, pakaian mahupun makanan.

Sikap tolong-menolong ini sungguh mengagumkan dan menjadi salah satu ciri umat Islam yang patuh dengan suruhan agama. Bermurah hati menepati sunnah Rasulullah SAW. Sewaktu membina rumahtangga dengan Khadijah yang kaya, Baginda tidak melatah menggunakan harta isterinya untuk sesuatu yang sia-sia, membazir dan boros. Sebaliknya, harta itu digunakan untuk membantu fakir miskin dan golongan yang lemah.

Diceritakan, datang seorang perempuan menghadap Rasulullah SAW sambil menyerahkan kain tenun hasil kerja tangannya. Hadiah itu diterima baik oleh Rasulullah dan dipakainya. Tiba-tiba seorang sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, alangkah baiknya kain itu. Pakailah untukku.” Baginda menjawab: “Baiklah.”

Begitulah gambaran pemurahnya Rasulullah SAW.

Kita sebagai orang Islam hendaklah sentiasa mengamalkan sifat pemurah bukan saja kita disayangi masyarakat, dihormati sebagai umat berakhlak mulia pada pandangan antarabangsa bahkan kekal mendapat curahan rahmat dan keampunan, diluaskan rezeki serta hidup sejahtera.

Kita hendaklah yakin, Allah akan menggantikan pemberian kita dengan sesuatu yang lebih baik seperti firman-Nya bermaksud: “Dan apa saja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya.” (Surah Saba’, ayat 39).

Jika seluruh masyarakat bermurah hati, sudah tentu dapat menyelesaikan masalah kesusahan, kedukaan, perpecahan dan sifat dengki. Akhirnya hidup akan aman, bahagia dan menerima ganjaran mematuhi ajaran agama.

Renung-renungkan...




Sumber : Mohd Adid Ab Rahman di BHarian 07/02/2011

0 KOMEN:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...

Related Posts with Thumbnails