Jika sebelum ini kita sering membaca luahan hati isteri tentang sikap suami yang sering menimbulkan pelbagai masalah seperti mempunyai perempuan lain, tidak bertanggungjawab, panas baran dan sebagainya. Kali ini kita berkongsi luahan hati seorang suami tentang isterinya yang sudah dua kali melarikan diri dari rumah kerana mengikut lelaki lain. Sebagai suami, dia masih menyayangi iserinya dan mengharapkan isterinya kembali ke pangkuannya. Semoga kisanya menjadi teladan buat semua pengunjung blog.
PERSOALAN :
Berat untuk saya bercerita kisah ini, namun semakin dipendam, saya semakin buntu. Ibarat di luah mati mak, ditelan mati ayah. Secara jujurnya, saya masih menyayangi isteri dan mengharapkan dia kembali ke pangkuan saya. Sebagai suami, saya juga mempunyai maruah diri dan tidak mungkin boleh dibeli-beli.
Saya berusia 33 tahun dan kisah ini bermula apabila isteri sudah dua kali melarikan diri dari rumah kerana mengikut lelaki lain. Kali pertama, isteri melarikan diri pada tahun 2009. hampir sebulan saya memujuknya kembali ke pangkuan saya. Akhirnya dia bersetuju. Namun bahagia itu tidak lama apabila sekali lagi pada tahun 2010, dia melarikan diri semula. Kali ini ke Semenanjung bersama seorang lelaki yang bekerja di Kuala Lumpur. Ðia menjalinkan hubungan dengan lelaki tersebut tanpa pengetahuan saya dan melarikan diri semasa saya keluar bekerja. Sekembalinya dari kerja, saya dapati isteri dan barang-barang peribadinya sudah tiada.
Hampir satu bulan juga saya memujuknya balik, barulah dia bersetuju. Namun kali ini isteri memberikan syarat bahawa saya harus mengikut semua kehendaknya yang mana hati saya berat menyetujuinya. Isteri memberi syarat bahawa saya harus menceraikan dia. Ini kerana kata isteri, dia mahu hidup bebas dan bersendirian. Tapi dalam diam, isteri dan pasangannya sudah merancang di sebaliknya. Sebenarnya, saya tidak tahu hubungan dia dengan lelaki tersebut, tetapi Allah Maha Kaya. Mungkin juga Allah mahu menunjukkan kepada saya di mana pada satu malam, saya terjumpa telefon yang tidak pernah saya lihat di dalam almari pakaian. Alangkah terkejutnya saya pada waktu itu. Allah saja yang tahu bagaimana hati saya tatkala membaca mesej-mesej yang tertera di telefon berkenaan.
Keesokan harinya, saya bertanya kepada isteri apakah yang berlaku semasa dia berada di Kuala Lumpur, di mana sebelum itu, isteri mengatakan dia cuma tinggal dan keluar bersama rakan-rakan perempuan sahaja. Tetapi sebaliknya pula yang terjadi. Malah isteri juga sanggup bersumpah atas nama Allah bahawa dia tidak melakukan sebarang perkara terkutuk. Namun bila saya menunjukkan bukti, barulah dia mengaku tetapi sebelum itu dia sempat bersumpah tiada apa yang berlaku.
Isteri mengaku bahawa dia dan lelaki tersebut melakukan perbuatan zina. Masya Allah, hancurnya hati saya hanya Allah yang tahu. Sanggup isteri lakukan perkara tersebut, sedangkan ketika tiu dia adalah isteri saya. Adakah ini dugaan bagi diri saya? Kalau diikutkan rasa hati saya yang sakit ketika itu, mahu saya lakukan perbuatan yang tidak diingini, tetapi saya masih teringatkan Allah. Segala yang berlaku adalah di atas kehendaknya.
Saya cuba untuk menghubungi lelaki tersebut, tetapi lelaki tersebut tidak berani menjawab panggilan saya sehingga saya menghantar mesej supaya dia harus bertanggungjawab di atas apa yang dia pernah lakukan. Adakah lelaki tersebut seorang yang bertanggungjawab jika tidak dapat dibawa berbincang? Baru-baru ini, saya dan isteri telah ke jabatan agama Islam untuk minta kaunseling, tetapi dia pula failkan perceraian. Saya tidak akan ceraikan isteri kerana masih sayangkannya. Bagaimana pun isteri berkata, dia mahu juga diceraikan dan jika saya sanggup lafazkan talak, lelaki tersebut sanggup membayar saya.
Adakah maruah ini boleh ditukar ganti dengan duit? Saya takkan berbuat demikian. Saya ada bukti untuk membuatkan lelaki berkenaan ditangkap kerana telah emlarikan isteri saya. Sebab itulah dia sanggup membayar saya, semata-mata untuk menyelamatkan diri sendiri, namun saya mementingkan keselamatan isteri saya.
Kesan dari perkara itu, sekarang saya dan isteri sedang menunggu tarikh dari pihank mahkamah syariah untuk memberi keterangan masing-masing dan tindakan selanjutnya. Apakah yang harus saya lakukan? Tolonglah saya, bagaimana hendak mengatasi masalah ini, kerana saya masih menyayangi isteri.
JAWAPAN :
Istilah kasih sayang dan kesetiaan sangat berkait rapat dan saling melengkapi. Jika kasih sayang menjadi keutamaan kepada individu yang bercinta, maka kesetiaan akan dijulang dan dijadikan perisai pada setiap interaksi yang dibina agar kasih sayang tadi terpelihara.
Kecurangan pula adalah tingkah laku yang lahir dari beberapa faktor dalaman iaitu diri individu itu sendiri dan faktor luaran seperti peluang untuk bertemu dengan pasangan yang lain tanpa batasan dan sekatan serta faktor menarik seperti layanan yang baik yang diterima dari kekasih gelap dan faktor menolak seperti layanan suami yang tidak mencapai tahap kepuasan maksimum yang didambakan oleh iteri yang dijadikan alasan kukuh untuk keluar dari kasih sayang dan kesetiaan yang dibina.
Kecurangan mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja yang menggunakan alasan ini untuk kepentingan dan kepuasan diri. Ada yang sanggup bergelumang dalam dosa kerana mengejar hubungan terlarang kerana mengimpikan kepuasan dan kepentingan diri yang tidak ada noktah dan sempadan.
Ði akhir zaman, lelaki tidak lagi menjadi ‘pelindung’ wanita iaitu amat kurang kuantiti lelaki yang benar-benar menghormati dan melindungi maruah wanita dalam ertikata lain, amat sedikit lelaki yang beriman kepada ayat 30 dari surah an-Nur. Ðitambah pula, antara perkara yang paling ditakuti pada akhir zaman ini apabila muncul pula perempuan-perempuan yang ‘tidak malu’ yang menggunakan semua cara untuk mengundang perzinaan dan membuka peluang kepada lelaki-lelaki yang menggunakan peluang untuk berzina. Keadaan ini tidak menghadkan perlakuan wanita bujang sahaja, malah wanita yang masih berstatus isteri atau apa saja kategori wanita yang menggunakan kecantikan dan layanan romantik, bagi merangsang perzinaan. Tidak hairanlah sekarang ini pertukaran pasangan dan kekasih gelap menjadi ‘trend’ yang berleluasa zaman ini. Selalunya wanita yang masuk kategori ini tidak pernah puas dan bersyukur dengan apa yang ada, sebaliknya mereka mencari pelbagai perkara baru, layanan baru, keseronokan baru dan apa saja yang diistilahkan sebagai kepuasan dalam kehidupan mereka.
Kisah yang tuan paparkan ini mempamerkan kecurangan yang nyata yang dilakukan oleh isteri tuan dalam keadaan tuan yang setia dan memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang. Tuan pula sanggup memaafkan isteri tuan dalam pelbagai kecurangan walaupun tuan sendiri sedia maklum bahawa isteri tuan akan terus mengecewakan tuan, walau seribu kemaafan diberikan. Sebelum tuan teruskan dengan kemaafan tuan untuk sekian kali ini, eloklah tuan menilai semula apa yang sedang berlaku dalam rumahtangga tuan sekarang ini.
Hakikat yang sekarang dipikul oleh tuan adalah isteri tuan mahukan perceraian, sedangkan tuan tidak. Isteri tuan juga telah berzina dengan lelaki lain, sedangkan tuan tidak mahu menceraikannya, walau apa alasan pun. Tuan juga sangat setia dan berikan sepenuh kasih sayang, sedangkan isteri tuan tidak setia dan tiada kasih sayang kepada tuan. Tuan juga dianggap sebagai tempat untuk memenuhi segala keperluan kehidupan sahaja. Sama ada sedar atau tidak, semua perbezaan ini telah mencorakkan satu jarak hubungan yang sangat jauh antara tuan dan isteri tuan.
Secara psikologi, manusia yang ada pemikirannya ‘tidak mahu’, akan mencari seribu satu alasan untuk mencorakkan tingkah laku menjauhi semua perkara yang berkaitan. Tuan perlu faham bahawa isteri tuan sekarang tidak mahu berubah dan mahu hidup bebas. Jika tuan berkeras tidak mahu melepaskannya, maka tuan akan menggalakkan perzinaan dan kecurangan yang lebih lagi kerana tidak ada batasan iman dalam diri isteri tuan yang akan menghalang dirinya dari mengulangi apa yang telah dilakukannya.
Antara ciri suami yang soleh adalah sentiasa berbuat baik kepada isteri dan sentiasa berusaha mendidik isteri ke jalan keimanan dan ketaqwaan. Namun, antara ciri kedayusan suami juga adalah membiarkan isteri berada dalam kesesatan. Ðalam keadaan ini, tuan telah berusaha seboleh mungkin untuk mengembalikan isteri tuan kepada jalan yang lurus, namun isteri tuan tetap memilih untuk berlaku curang. Oleh itu, tuan perlu akur dengan ketentuan ini dan tuan perlu redha jika berlaku perceraian. Tuan juga perlu muhasabah kembali perjalanan kehidupan berkeluarga tuan, adakah tuan penuhi dengan menunaikan tanggungjawab dan hak yang sewajarnya kepada isteri dan anak-anak tuan. Jika tuan juga sudah memenuhi semua tuntutan ini, maka tuan juga perlu terima dugaan ini dengan hati yang terbuka.
Tuan perlu menilai kembali keputusan yang tuan buat, iaitu adakah melepaskan isteri tuan lebih baik atau ‘memaksanya’ kembali kepada tuan lebih baik. Jika tuan dapati menceraikan isteri tuan dan membiarkan dia berkahwin dengan sesiapa yang dia suka adalah jalan terbaik, maka tuan perlu berlapang dada dengan keputusan itu. Sebaliknya, jika tuan masih mengharapkan isteri tuan akan berubah dan isteri tuan bersetuju untuk berbincang serta bertaubat nasuha atas segala perbuatannya, maka peluang yang tuan berikan akan memberi makna.
Akhir sekali, tuan perlu tanya diri tuan sendiri, adakah keputusan tuan untuk melepaskan isteri tuan ini berasaskan kasih sayang atau perasaan dendam atas kecurangan yang dilakukan? Tuan perlu faham bahawa perkahwinan dilaksanakan atas dasar kasih sayang dan persetujuan untuk bersama. Jika salah satu pihak sudah tidak bersetuju untuk bersama, maka unsur ‘paksaan’ akan melakarkan rasa tidak puas hati dan tidak ikhlas untuk bersama, maka tidak hairanlah kecurangan akan berlaku malah akan terus berlaku selagi tidak ada keikhlasan dalam hubungan ini.
Kemurnian hati dan kesediaan tuan untuk membawa isteri tuan ke jalan yang lurus sangat disanjung, namun tuan perlu faham bahawa semua keadaan itu menjadi tidak berguna jika isteri tuan tiada panduan iman yang jelas. Hanya iman yang sempurna dan perasaan takut kepada Allah SWT sahaja yang akan menghalang manusia dari melakukan maksiat. Oleh itu, satu cara lagi adalah cuba bawa kembali isteri tuan ke jalan Allah SWT dan berdoalah agar hatinya lembut dan sentiasa sujud kepada Allah SWT. Semoga dengan mendekatkan diri dengan Allah SWT, isteri tuan akan menjauhi zina dan semua perkara yang membawa kepada zina.
Petikan : MW#1420
Capaian entry berkaitan :
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...