Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,
Bencana tsunami dan gempa yang menggegarkan Jepun amat memilukan. Hiba melihat video memaparkan besarnya bencana yang menghancurkan beberapa tempat di Jepun dan jumlah korban semakin meningkat. Kini ada negara menerima amaran tsunami seperti Russia, Taiwan, Filipina, Indonesia, Papua New Guinea, Fiji, Mexico, Guatemala, El Salvador, Costa Rica, Nicaragua, Panama, Honduras, Chile, Ecuador, Colombia dan Peru.
Saya berkesempatan membaca kisah sedih seorang warga tua, Hirosato Wako 75, hanya mampu merenung kemusnahan penempatan kecil nelayan yang dipenuhi runtuhan bangunan, besi dan mayat dengan tangan yang kelihatan terkeluar. Hanya sekali beliau pernah melihat keadaan seperti itu, iaitu ketika Perang Dunia Kedua. Beliau tinggal di Sendai yang pernah dilanda serangan udara, tetapi kali ini ia lebih teruk, yang merujuk kepada pengeboman di bandar raya terbesar di timur laut berkenaan. Bagi orang tua yang tinggal di perkampungan di pinggir pantai timur laut Jepun itu, ia bagaikan kembali kepada masa silam yang mana anak-anaknya tidak pernah mengetahuinya.
Generasi tua yang terus tinggal berhadapan dengan kemusnahan dan kemungkinan pencemaran radiasi – satu cabaran dihadapi semula generasi itu selepas negara Matahari Terbit itu terpaksa dibangunkan semula berikutan tewas pada Perang Dunia Kedua pada 1945. Di perkampungan Yuriage, operasi mencari mangsa bertukar menjadi pencarian mayat. Kebanyakan mayat terbabit membabitkan golongan tua yang tidak bermaya untuk lari dari tsunami.
Yuta Saga, 21, mengutip beberapa cawan yang pecah akibat gempa bumi apabila beliau terdengar bunyi siren dan jeritan ‘tsunami!’. Beliau sempat menyambar tangan ibunya dan berlari ke sekolah tinggi, bangunan tertinggi di kawasan terbabit. Apabila tiba di sekolah, Saga dan ibunya mendapati tangga untuk naik ke bumbung dipenuhi orang tua yang tidak lagi berdaya untuk memanjatnya. Ada yang sekadar duduk atau berbaring di atas tangga terbabit. Dalam keadaan panik, penduduk muda mula menolak sesama sendiri dan memanjat mereka yang tidak bergerak atau menepis mereka untuk menuju ke atas. Yuta seperti tidak percaya. Mereka sekadar menolak orang tua. Orang tua terbabit langsung tidak dapat menyelamatkan diri. Yuta masih ingat, seorang wanita menyerahkan bayinya kepada beliau. “Tolong sekurang-kurangnya selamatkan bayi ini,” rayu beliau ketika air sudah mencecah bahagian dadanya.
Ini antara kisah yang sempat dibaca di BH16/03/2011. Cuba letakkan situasi kita di tempat mereka. Dapatkah kita bayangkan bagaimana keadaannya?
Ibu pejabat syarikat saya di Tokyo juga tidak kurang hebat mendapat tempias tsunami. Saat entry ini disediakan, bekalan elektrik masih terputus-putus. Perkhidmatan logistik menjadi tidak lancar kerana ketiadaan petrol dan diesel (di sana ia dipanggil gasoline). Lapangan terbang Narita masih tidak dapat menerima cargo akibat keadaan gudang yang rosak dan backlog yang teruk kerana cargo tidak dapat dihantar ke destinasi akhir.
Bencana sebegini sememangnya menimbulkan pelbagai reaksi daripada pemimpin atau rakyat. Daripada isu itu pelbagai topik mula dibincangkan dan dikaitkan dengan bencana. Namun, amat mendukacitakan ketika negara terbabit menghadapi saat getir dan menangisi pemergian orang tersayang, masih ada segelintir masyarakat kita mempermainkan musibah itu.
Apabila jari menjadi juri, masing-masing mula menulis di laman sosial, blog, mengenai bencana terbabit. Pelbagai cerita dilaporkan yang pastinya, ia ujian Tuhan. Namun, sebagai manusia yang masih ada simpati, janganlah kita mengatakan ia balasan untuk mereka, sedangkan kita juga tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kita kemudian hari. Bencana itu akan datang, sama ada kecil atau besar. Mungkin bukan pada hari ini, tapi esok lusa. Tuhan yang berkuasa.
Apabila Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir mengatakan ekonomi negara turut terkena tempias jika kedudukan ekonomi Jepun terjejas teruk akibat dilanda gempa, ia mendapat reaksi pelbagai pihak. Jepun antara pelabur terbesar di negara kita.
Hubungan perdagangan antara Malaysia dan Jepun adalah satu daripada faktor pertumbuhan ekonomi negara kita semakin rancak dan Malaysia kini terus berdaya tahan menjadi negara yang stabil baik dari segi ekonomi dan pemerintahannya. Jepun dan Malaysia menikmati hubungan dua hala yang baik dan kukuh terutama semasa Dasar Pandang Ke Timur ketika era bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Hubungan bukan saja terbatas kepada bidang politik dan ekonomi tetapi juga budaya dan pendidikan.
Mungkin sebagai masyarakat biasa, kita tidak dapat melakukan apa-apa selain melahirkan simpati. Namun, tatkala negara lain menghadapi bencana wajarlah kita berdoa agar ia segera berakhir.
Semoga Allah SWY meringankan bebanan yang dipikul oleh rakyat Jepun. Semoga dimudahkan mereka menempuh musibah yang melanda. Semoga rakyat Malaysia di Jepun yang terpaksa melalui detik cemas di sana, dilindungi dan selamat tanpa sebarang masalah. Amiin.
先輩達、後輩達、頑張ってね!
Capaian entry berkaitan :
* Malaysia patut contohi Jepun hadapi bencana
* japan-earthquake-tsunami-haarp
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...