Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,
Dalam BHarian 10/03/2011 - Warga asing ceroboh Pulau Pisang, saya berkesempatan membaca berita pencerobohan dan kecurian pokok karas (gaharu) oleh warga asing di Pulau Pisang. Berita penuh :
PONTIAN: Pulau Pisang yang berkeluasan 400 hektar dikesan menjadi tumpuan pencerobohan warga asing untuk menebang pokok karas yang tumbuh meliar di situ, semata-mata mendapatkan gaharu yang dihasilkan tumbuhan itu kerana mempunyai nilai pasaran tinggi sehingga mencecah RM20,000 sekilogram.
Pencerobohan itu disedari penduduk dan nelayan tempatan baru-baru ini dan tinjauan Berita Harian semalam mendapati lebih 10 pokok karas ditebang serta diambil gaharu tumbuhan itu, manakala sisa pokok itu ditinggalkan menyebabkan kerosakan spesies flora dan fauna yang ada di pulau terbabit. Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin, berkata siasatan mendapati kumpulan lelaki terbabit memasuki kawasan negara ini secara haram.
Awal bulan lalu, polis menahan sekumpulan warga asing berusia 29 hingga 47 tahun ketika cuba mencuri hasil pokok terbabit di Pulau Pisang, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran. Nelayan, Kamal Othman, 39, berkata, tindakan sesetengah pihak menceroboh pulau itu bagi mencuri hasil tumbuhan sesuatu yang merugikan dan perlu dihentikan segera.
“Kesannya akan dilihat dalam tempoh jangka panjang apabila berlaku kepupusan pokok dan hidupan liar. Pokok karas yang ditebang itu juga boleh menyebabkan hakisan permukaan tanah ketika hujan. Ini secara tidak langsung memusnahkan seluruh ekosistem pulau ini," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Pontian, Mohamed A Karim berkata, Pulau Pisang tanah milik kerajaan negeri menyebabkan segala khazanah di pulau itu tidak boleh diceroboh. Mohamed mengakui pulau terbabit belum dibangunkan walaupun sudah menerima kunjungan pelancong tempatan dan asing yang mahu berehat sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Ketika ini ada penduduk tempatan yang mengusahakan kelong di perairan pulau ini serta menanam pokok buah-buahan di pulau terbabit terutama termasuk mangga dan kuini.
Di manakah terletaknya Pulau Pisang? Sedikit masa dulu, pulau ini pernah disiarkan dalam Majalah 3 di TV3. Pulau Pisang adalah pulau yang tidak dihuni, di mana penduduk asalnya telah berpindah ketanah besar di Pontian, yang tinggal hanya dusun dan perkuburan yang tidak terjaga, ia terletak di perairan Pontian Johor dan jauh daripada Singapura.
Menurut sumber blog.limkitsiang.com, anggota TLDM pernah ditugaskan untuk memantau kehadiran petugas rumah api warga Singapura di Pulau Pisang. Persoalannya mengapa kita yang telah 50 tahun merdeka masih memerlukan bantuan Singapura untuk mengawal selia rumah api tersebut? Adakah Jabatan Laut tidak berupaya untuk mengawal selianya?
Menurut salah seorang anggota TLDM itu, selama penugasannya di pulau itu, anggota TLDM tidak dibenarkan memasuki persekitaran rumah api, malah menggunakan jetinya juga dilarang apatah lagi memasuki ke dalam rumah api. Maka sepanjang tugasan mereka di sana, mereka hanya memerhatikan dari jauh warga Singapura keluar masuk secara bebas ke pulau tersebut.
Sedikit masa dulu, kemenangan Malaysia ke atas kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan adalah atas dasar pembangunan dan kawal selia Malaysia di pulau tersebut, begitu juga kehilangan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura juga atas alasan yang sama.
Tidakkah kerajaan Malaysia berasa risau dengan kedudukan Pulau Pisang yang mungkin akan dituntut haknya oleh Singapura pada masa akan datang? Jika tidak dituntutnya sekarang, siapa tahu 50 tahun akan datang mereka akan menuntut hak ke atas pulau itu? Tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh pun dilakukan setelah puluhan tahun ia mengawal selia pulau tersebut. Ada atau tidak perjanjian antara Malaysia dan Singapura yang jelas menyatakan bahawa kehadiran Singapura di Pulau Pisang hanya mengawal selia rumah api sahaja?
Apa perlunya mereka mengawal selia rumah api di atas tanah yang bukan milik negara itu? Jika mereka dilantik untuk mengawal selia rumah api berkenaan semasa Tanah Melayu di bawah jajahan Inggeris, apa perlunya kita terus benarkan mereka berada di dalam kawasan kita setelah merdeka?
Tidak adakah para penasihat Kementerian Pertahanan atau Panglima Angkatan Tentera tidak sedar akan perkara ini? Tidakkah ada yang terfikir, sekiranya berlaku konflik antara Malaysia dan Singapura, dengan mudah mereka boleh menempatkan pasukan elitnya di pulau ini.
Mahukah kita melihat sebuah lagi pulau terlepas ke tangan orang lain? Harap-harap tidak ada kejadian pisang berbuah dua kali. Kita pernah
Fikir-fikirkan!
Rujukan : blog.limkitsiang.com dan BHarian 10/03/2011.
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...