Ibu muda sedih terima SMS diceraikan
KEPALA BATAS: Malang bertimpa buat seorang ibu muda apabila dia bukan hanya kempunan untuk mencurahkan kasih sayang terhadap anak sulungnya yang dilahirkannya pada 25 Februari lalu, malah diceraikan suaminya dipercayai melarikan bayinya itu.
Anis Iyazirah Yaakub, 21, mendakwa anaknya, Nurin Syifa Irdina yang dilahirkan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dilarikan suaminya dari rumah ibunya di Kampung Permatang Tinggi B, di sini, 2 Mac lalu, kira-kira jam 9.30 pagi.
Beliau mendakwa suaminya berusia 26 tahun itu memberi alasan mahu membawa Nurin untuk berubat penyakit kuning bersama ibunya yang tinggal di Sik, Kedah, tetapi membawanya pulang semula ke rumahnya.
“Saya kemudian menghubungi keluarga mentua di Sik untuk bertanyakan sama ada Nurin berada di sana, saya terkejut apabila diberitahu bahawa anak saya berada di sana. Saya pun membuat laporan di Balai Polis Kepala Batas kerana mengesyaki Nurin dilarikan. Hati saya tidak tenteram memikirkan nasib Nurin sepanjang masa itu dan saya nekad memandu kereta seorang diri ke Sik dalam tempoh masih berpantang pada malam itu juga semata-mata mahu melihat keadaannya.”
“Di rumah mentua, saya ditegur ketika cuba memegang Nurin dengan alasan tidak mahu mengganggunya tidur. Saya hanya dapat mencium pipi dan dahi bayi saya sebelum pulang semula ke rumah ibu saya sendirian walaupun ketika itu suami saya berada di rumah ibunya,” katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, kelmarin.
Anis Iyazirah berkata, dia amat tertekan kerana bimbangkan keadaan Nurin yang masih menyusu badan serta menghidap penyakit kuning dan menganggap tindakan memisahkan mereka seperti mahu menganiayai anak kecil itu.
Nasibnya bertambah malang apabila pada 6 Mac lalu, dia menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suaminya yang menceraikannya dan tidak mahu ibu muda itu mengganggunya lagi serta memintanya menunggu keputusan mahkamah.
“Saya yang berniaga makanan dengannya sebelum ini merasa buntu dengan tindakannya yang berubah sikapnya secara tiba-tiba, saya menghubunginya selepas itu dan dia beritahu bahawa dia kini dalam perjalanan ke Selangor untuk memulakan hidup baru. Saya tertekan dengan tindakannya itu, tambahan pula saya diberitahu bahawa dia sebenarnya sudah mempunyai isteri lain,” katanya yang berkahwin dengan suaminya pada Julai tahun lalu.
Laman-Seri : Tindakan tidak wajar seorang suami dan seorang ayah, ternyata telah menzalimi isteri dan anak sendiri...
Saiyidina Ali berkata: “Awaslah dari doa orang yang teraniaya sebab ia minta haknya dari Allah dan Allah tiada akan menolak hak seseorang.”
Rasulullah pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Anas r.a yang bermaksud, “Zalim ada tiga jenis; iaitu zalim yang tidak diampunkan oleh Allah, zalim yang mudah diampunkan oleh Allah dan zalim yang tidak akan dibiarkan oleh Allah SWT. Adapun zalim yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT iaitu mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Manakala zalim yang mudah diampunkan oleh Allah SWT ialah perbuatan maksiat antara manusia dengan Allah dan zalim yang tidak akan dibiarkan oleh Allah SWT iaitu menganiayai sesama manusia. Maka pasti akan dituntut oleh orang yang teraniaya di hadapan Allah SWT.”
Perbuatan yang bagaimanakah dikategorikan sebagai zalim? Zalim termasuk juga meletakkan sesuatu yang tidak kena tempatnya, misalnya Allah SWT telah mewajibkan menutup aurat, ia telah melakukan penzaliman ke atas dirinya. Atau dikatakan zalim apabila membuat sewenang-wenangnya terhadap hak orang lain atau merampas hak orang dengan cara paksaan meskipun yang dirampasnya hanya sebutir buah.
Berhati-hatilah agar kita tidak melakukan penzaliman terhadap sesama makhluk Allah SWT. Kerana bukan sahaja di dunia disegerakan balasannya, bahkan kalau orang yang dianiaya menuntut di akhirat, maka bertambah-tambahlah penderitaan yang ditanggung.
Seorang soleh yang bernama Hasan bin Abi Sinan yang sudah 60 tahun tidak tidur berbaring, tidak makan daging, dan tidak minum air dingin, tatkala dia telah meninggal dunia ada sahabatnya bermimpi bertemunya dan bertanya keadaannya. Dia menjawab: “Aku baik sahaja, hanya kini aku masih tertahan tidak masuk syurga kerana sebatang jarum yang aku pinjam dan tidak sempat untuk aku pulangkan sebelum aku meninggal dunia.”
Cuba kita bayangkan hanya kerana sebatang jarum, dia ditahan, itupun bukan dengan niat untuk mengambilnya, tetapi bagaimana pula jika sengaja mengambil hak orang lain secara sengaja menganiayainya? Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang yang zalim.
Wallahu a’lam..
Petikan : BHarian 10/03/2011
0 KOMEN:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...